24 March 2014

Panduan Marhaen Buat Hadek-Hadek Lepasan SPM

[Kredit]

[Nota: Siri Donut & Falafel dihentikan buat sementara waktu, kerana stok tepung dan gula yang kehabisan untuk membuat doh baru. Eheh.]

Saya menjangkakan minggu ini dan minggu-minggu berikutnya adalah masa-masa yang cukup getir dan menyibukkan buat hadek-hadek yang baharu sahaja mengambil keputusan SPM beberapa hari lalu, terutamanya buat mereka yang mendapat keputusan warna terbang.

Sudah tentu antara soalan-soalan yang bermain di kepala sekarang ini termasuklah:

Nak ambil bidang pengajian apa? Nak pilih biasiswa mana? Nak pergi ke kolej/institut pengajian mana? Nak ambil program apa? 

Maka saya terpanggil untuk memberikan perkongsian ini, dengan harapan dapatlah ia sedikit sebanyak memberikan pencerahan dan panduan kepada hadek-hadek sekalian dalam membuat keputusan yang paling tepat demi masa hadapan yang lebih cerah dan terjamin. Ada macam bunyi iklan insurans pendidikan tak? Wahahaha.

Sebelum itu, wajar saya kira untuk saya berkongsikan dahulu pengalaman peribadi saya sewaktu baharu sahaja mendapat keputusan SPM dahulu. Seperti kebanyakan remaja berusia lapan belas tahun ketika itu, saya tidak tahu dan tidak pula ambil pusing apakah bidang yang paling baik dan sesuai dengan minat dan karakter diri saya. 

Yang saya tahu saya mahu terbang ke luar negara. Tidak kisahlah bidang apa pon, yang penting saya dapat main salji dan melancong ke luar negara. Alahai. 

Apatah lagi ketika di zaman saya, tidak banyak ceramah-ceramah kerjaya yang diadakan, tidak seperti pada hari ini. Hadek-hadek di zaman ini saya kira jauh lebih beruntung dan bernasib baik.

Hendak dijadikan cerita, ketika itu, sedang hangat diperkatakan tentang bioteknologi. Di masa itu, Perdana Menteri Malaysia adalah Dato' Sri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) yang berperanan besar melonjakkan bidang bioteknologi sebaris dengan bidang-bidang lain di Malaysia ini. 

Entah bagaimana, saya adalah antara manusia yang terpengaruh dengan agenda memperkasakan bioteknologi itu. Walhal sebelum itu berkobar-kobar saya mahu menjadi seorang Tuan Duktur! Sayugia sekonyong-konyong saya pon dengan penuh keyakinan, berbekalkan sijil yang boleh tahan cemerlang itu, membuat permohonan biasiswa MARA dalam bidang bioteknologi. 

Selain itu, saya juga membuat permohonan biasiswa yang lain seperti Bank Negara Malaysia, Petronas, PNB dan lain-lain lagi (bukan dalam bidang bioteknologi). Yalah, objektif utamanya asalkan terbang kan?

Antara tempoh membuat permohonan dan dipanggil untuk sesi temuduga, baharulah saya berbincang dengan seriyes dengan Inche Papa tentang prospek masa hadapan saya. Tidak fasal-fasal saya dimarahinya kerana membuat keputusan semberono tanpa berbincang dahulu dengannya. 

Timbullah rasa sedikit penyesalan dalam diri. Dan tidak semena-mena timbul pula rasa tidak minat pada bidang bioteknologi. Pulak dah! 

Maka apabila dipanggil untuk temuduga biasiswa MARA, saya dengan penuh keyakinan tahap Action Kamen, memberitahu panel penemuduga bahawa saya mahu menukar permohonan saya dari bidang bioteknologi kepada bidang perakaunan. Saya keluar dari bilik temuduga itu tersipu-sipu tapi yakin bahawa permintaan saya itu akan dipenuhi. 

Ketika surat tawaran biasiswa MARA tiba di rumah, saya telah ditawarkan bidang bioteknologi di bawah program AUSMAT (Australian Matriculation). Kuang kuang kuang. Apabila saya menghubungi pihak MARA dan bertanyakan mengapa permohonan saya untuk bidang perakaunan ditolak, mereka memberi alasan bahawa mereka kekal dengan permohonan asal saya. Adeh.

Dipendekkan cerita, saya dipanggil pula untuk temuduga biasiswa sebuah syarikat korporat berkaitan kerajaan. Dan alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan biasiswa syarikat tersebut di dalam bidang ekonomi. Untuk menambahkan perisa pada masakan, ketika itu saya sudah pon memulakan program AUSMAT saya di sebuah kolej persediaan selama seminggu lamanya. Terpaksalah saya ke pejabat MARA untuk membatalkan biasiswa saya dengan mereka. Mujur juga saya belum lagi menandatangani apa-apa kontrak lagi. Maka hai hai ekonomi dan bai bai bioteknologi! Wah!

Pandang kiri, pandang kanan. Lari laju-laju. 

Ada beberapa pengajaran besar yang boleh saya kongsikan dengan hadek-hadek lepasan SPM daripada kisah hidup saya yang boleh tahan tragis itu. InshaAllah ibrah yang ingin saya kongsikan ini diharapkan bukan sahaja berguna untuk anda yang bercita-cita untuk belajar ke luar negara, tetapi boleh juga dimanfaatkan untuk hadek-hadek yang akan menyambung pelajaran dalam negara nanti.

Ada beberapa faktor yang perlu diambil kira sebelum membuat keputusan sama ada anda ingin menjadi tuan duktur, inche injiniur, puan peguam, cik akauntan atau ostajah pilihan:

MINAT

Kalau dah minat, kerja apa pon berkat! InshaAllah. ;) [Kredit]

Pada pendapat saya yang marhaen ini, minat adalah faktor terbesar dan terpenting yang perlu diambil seriyes sebelum membuat keputusan yang bakal merobah hidup anda buat selamanya. Ironinya, jarang sekali saya dengar, ada orang yang memilih sesuatu bidang atau kerjaya disebabkan oleh minat dan semangat. 

Minat akan menjadikan anda termotivasi dan penuh bertenaga mengejar cita-cita anda. Minat juga akan membuatkan anda bersungguh-sungguh merealisasikan impian yang telah tanam sejak sekian lama. Dan jarang sekali seseorang itu akan menyesal apabila memilih kerjaya atau profesion berdasarkan minatnya.

Jika anda berminat untuk menjadi seorang jurutera kapal terbang meski anda seorang perempuan, mengapa tidak? Andai anda punya impian untuk menjadi seorang pereka kasut walau anda seorang lelaki jantan gagah lari berani, mengapa tidak? Sekiranya anda sangat bersemangat mahu menjadi seorang pelatih dolfin profesional, err, mengapa tidak...?

Mungkin berguna juga sekiranya anda punya ruang dan peluang untuk mengambil beberapa siri ujian psikologi yang dapat mengenalpasti minat dan karakter anda dengan lebih tepat dan jitu. Dengan cara ini, dapatlah ia membantu anda mengenal potensi diri yang sebenar, lantas memilih bidang yang bertepatan dengan kelebihan anda itu.

Sekiranya faktor-faktor lain tidak menghalang keputusan anda, maka jadikan minat sebagai panduan dalam melakar masa hadapan anda. InshaAllah sekiranya anda ikhlas mengejarnya, anda akan dapat yang anda mahukan dan anda akan sangat berpuas hati dengannya.

HARAPAN/KEHENDAK PUAN MAMA DAN INCHE PAPA

Adududu mak oo mak, janganlah nanges semata-mata saya tak diterima bekerja sebagai penganalisis di Google! Eh. [Kredit]

Hal ini tidak boleh dipandang enteng, espeseli dalam masyarakat Malaysia yang saya kira masih lagi konservatif dan konvensional. 

Kadangkala mak dan ayah anda sudah punya impian untuk kita sejak anda menggelungsur keluar dari rahim mak kita lagi. Mungkin mereka mahu melihat anda menjadi seorang tuan duktur yang berjaya. Mungkin mereka mahu melihat anda menjadi seorang artikek yang terkenal di seluruh dunia. Atau mungkin mereka mahu melihat anda menjadi seorang juruterbang yang meluncur laju di langit biru (Walaupon saya mengesyaki kini tidak ramai ibu bapa yang mahu anaknya menjadi juruterbang. Hohoho.)

Takkanlah anda mahu senang-senang melihat punah berkecai dan hancur berderai impian mak ayah anda kan..? 

Anda cukup bertuah andai minat anda selari dengan kehendak dan impian mak ayah. Sekiranya tidak, cubalah bawa berbincang dengan baik dan penuh harmoni dengan mereka. InshaAllah, sekiranya anda ikhlas dan bersungguh-sungguh menjelaskan kepada mereka, mengapa anda merasakan minat dan impian anda itu berbaloi untuk dikejar, besar kemungkinan kedua orang tua anda boleh menerima hasrat anda itu.

PROSPEK KERJAYA
Ke mana kerjaya kita akan bawa kita nanti...? [Kredit]

Perlu diakui, Malaysia bukanlah seperti negara-negara maju yang lain, yang punya prospek kerjaya yang lebih meluas dan bervariasi. 

Saya masih ingat, pernah suatu ketika dahulu, saya sangat teruja untuk menjadi Imagineer, yakni jurutera yang merekabentuk permainan dan tunggangan di taman tema. Malangnya, pekerjaan tersebut seolah-olahnya tidak wujud di Malaysia ini. Adoi. 

Kerana itu penting juga untuk anda menghadiri ceramah-ceramah kerjaya, yang akan memberikan anda pendedahan yang lebih meluas dan praktikal tentang sektor kerjaya di Malaysia ini. Jujurnya, cikgu-cikgi anda berkemungkinan besar tidak mampu untuk memberikan pencerahan terbaik tentang keadaan pasaran buruh semasa. Amacam? Ada gaya seperti seorang ahli ekonomi tak..? Wahahaha.

Pandang awan sambil tersenyum nakal.

Berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya yang sedikit ini, sekarang ini berlaku lambakan doktor dan jurutera (bukan semua jenis jurutera) dek terlalu ramai para pelajar yang dibasuh otak mereka untuk memilih kerjaya ini. Kononnya kedua-dua kerjaya ini punya prospek masa hadapan yang paling cerah, secerah suria yang menyinar terik di siang hari. Eh. 

Benar, rejeki itu Allah yang tetapkan untuk kita. Tetapi bagi saya, bukanlah sesuatu yang bijak andai kita membuat suatu pilihan yang sangat penting di dalam hidup kita tanpa merancang dengan baik dan melihat gambarannya yang lebih besar. 

Ketiga-tiga faktor di atas saya kira merupakan tiga faktor utama yang dapat memandu anda dalam membuat keputusan. Andai anda dapat menyeimbangkan ketiga-tiga faktor ini, saya yakin anda dapat membuat keputusan yang bukan sahaja bijak dan praktikal, tetapi memberikan anda kepuasan yang maksima.

Namun begitu, ijinkan untuk saya menambah satu lagi faktor yang saya kira, sebenarnya paling utama dan terpenting berbanding ketiga-tiga faktor di atas:

KEPENTINGAN UNTUK TARBIYAH DAN DAKWAH

Allahu ghayatuna! [Kredit]

Ha, tersembur kau baca tarbiyah dan dakwah. Wahahaha.

Alhamdulillah, setelah berkecimpung dalam konspirasi menggegarkan dunia ini, saya dapati, antara ujian terbesar yang dihadapi oleh ikhwah dan akhawat adalah ujian kerjaya. Sedihnya, tidak kurang yang gugur (Baca: Futur) dek tidak tertahan lagi dihambat dan diserang oleh ujian kerjaya bertubi-tubi.

Oleh sebab itu, teramatlah super saiya penting, sebelum anda membuat keputusan profesion apakah yang bakal anda pilih nanti, anda mengambil kira kesannya kepada tarbiyah dan dakwah. Saya tahu, kemungkinan besar hadek-hadek lepasan SPM yang membaca post ini, belum lagi terlibat dengan gerabak tarbiyah dan dakwah. Jika ada sekalipon, mungkinlah tidak seseriyes mana kerana pada usia semuda itu, apa sahaja yang seriyes dalam dunia ini melainkan mahu berseronok-seronok dan berhuha-huha sahaja? Eh.

Mohon sentap sebentar.

Namun jika ada dalam kalangan hadek-hadek yang sudah insaf, sedar dan faham betapa tujuan hidup kita di dunia ini bukan hanya kerja, berkeluarga, makan dan tidur, maka tidak boleh tidak, keputusan anda nanti pastinya akan memberi kesan pada kerja-kerja tarbiyah dan dakwah anda. 

Bakal profesion anda nanti sebaiknya bukan sahaja memberikan anda ruang dan masa untuk mentarbiyah dan berdakwah, malah memberikan anda kelebihan dan kekuatan tambahan untuk memaksimakan lagi kemuntijan (Baca: Keefisienan) kerja-kerja menjerat dan menangkap orang-orang di luar sana ke dalam kandang 'ubudiah dan khilafah. Wah! 

Arakian berdasarkan pemerhatian dan muayasyah saya bersama dengan ikhwah yang sudah bekerjaya (dan juga berdasarkan pengalaman saya sendiri), saya mendapati ada beberapa kerjaya yang menepati ciri-ciri ini. Antaranya:

  • Pensyarah
  • Guru sekolah (tapi ini pon semacam merbahaya juga)
  • Bisnes sendiri
  • Pensyarah
  • Bisnes sendiri...
 Ya saya tahu, saya tahu. Pilihannya tidak banyak. Tetapi itulah...

Peluh kecil.

Saya pasti akan ada komen-komen dan maklum balas yang tidak bersetuju dengan pandangan saya ini. Malah saya sudah boleh menjangkakan reaksi-reaksi yang bakal timbul nanti:

"Alah Inche gabbana ni. Dia tahu apa! jadi tuan dan puan duktur pon boleh berdakwah apa! Sambil merawat pesakit, sambil-sambil tu sebarkanlah chenta!"

"Ceh. Inilah dia, pemikiran kolot! Jumud! Walhal jadi apa-apa pon boleh mentarbiyah, boleh berdakwah. Yang penting mujahadah kena haibat lah!"

"Entah apa-apa la Angel Pakai Bata ni. Kalau ye pon nak bagi tips dan bimbingan, biarlah dengan fakta. Ini tidak, lebihnya auta! Alahai kasihan."

Hehe. Terpulanglah. Lain kali sebelum baca post ni, baca dahulu tajuknya dengan teliti. Sudah saya katakan, ini adalah panduang yang marhaen bukan?

Untuk rekod, pandangan dan pendapat saya ini, meski bukanlah qat'ie (tetap, tidak boleh diubah), namun ia adalah berdasarkan pemerhatian dan pergaulan saya dengan ramai ikhwah dan akhawat (err pergaulan dengan akhawat adalah secara tidak langsung). Sekiranya anda berbual mesra dan menyelami hati ikhwah dan akhawat yang sudah bekerjaya, dan bersungguh-sungguh pula melaksanakan tugas syahadatul haq mereka, saya yakin mereka boleh bersetuju dengan pendapat saya ini. 

Fuh.

Selain daripada empat faktor di atas, ijinkan juga saya untuk menyenaraikan beberapa perkara secara ringkas yang JANGAN dibuat dalam menentukan dan membuat keputusan yang bakal mempengaruhi masa hadapan anda ini:

  • JANGAN ikut-ikut kawan
  • JANGAN pilih sesuatu bidang atau program semata-mata kerana mahu terbang ke luar negara - "Kenapa kau nak pergi Korea..?" "Err.. Err.. Sebab aku nak jumpa Kim Hyung Joong je sebenarnya." Tersembur.
  • JANGAN buat sesuatu pilihan kerana hanya itu sahaja pilihan yang anda ada (Baca: last resort) - Ramai yang memilih untuk menjadi polis, tentera dan juga guru disebabkan faktor ini. Akhirnya, lihatlah apa yang terjadi pada sektor keselamatan dan pendidikan negara..?
  • JANGAN buat pilihan dalam keadaan yang tertekan dan terpicit. Eh.
  • JANGAN baling dadu atau lontar syiling untuk membuat keputusan. Itu gila.
Amboi banyaknya jangan. 

Ehem.

Perlu juga untuk saya membuat sedikit diskelemer di sini; bahawa pemerhatian dan pengalaman saya ini tidaklah lengkap dan holistik, dalam erti kata saya tidaklah berkesempatan bergaul dengan pelbai jenis orang dengan pelbagai jenis kerjaya dan menyelami sendiri pengalaman sebenar mereka ini. Makanya saya perlu mengaku bahawa tulisan saya ini tidaklah sempurna dan banyak cacat celanya. 

Apa-apa pon, perbanyakkan perbincangan dan pembacaan anda sebelum anda membuat keputusan biasiswa apa yang akan anda pilih atau bidang apa  yang akan anda ceburi. Percayalah, perkara terakhir yang mahu anda hadapi adalah perasaan menyesal tak sudah dengan keputusan yang pernah anda buat suatu ketika dahulu.

Banyak masa, tenaga, harta dan emosi akan dibazirkan, apabila anda mendapati tahun-tahun yang telah anda habiskan adalah untuk sesuatu yang tidak memberi apa-apa erti. 

Sudah ada beberapa orang rakan yang saya kenali, yang kini bekerja dengan profesion yang berlainan sekali dengan apa yang dipelajari sewaktu di universiti dahulu. Semuanya gara-gara kechiwa, tidak tahan dan terkejut dengan realiti sebenar dunia kerjaya yang boleh jadi kejam dan tidak berperikekerjaan. Aduhai. 

Dan sudah tentu, perbanyakkan doa dan istikharah, minta panduan dan bimbingan daripadaNya. Mintalah agar Dia tunjukkan jalan dan bantu anda sepertimana yang Dia mahukan, dan bukannya sepertimana yang anda mahu dan inginkan.

Yakinlah, bahawa Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk anda. Percayalah dan rasa tenanglah dengan perancanganNya untuk anda. InshaAllah, apabila anda sudah melakukan semua ini, mengambil kira semua faktor-faktor yang perlu anda pertimbangkan, lantas berasa tenang dan yakin dengannya, saya yakin Allah ada bersama-sama dengan anda! Bismillah, jalan!

Oh ya, suatu hari nanti, apabila anda sudah menjadi seseorang yang sukses, dalam erti kata kerjaya dan tarbiyah dan dakwah inshaAllah, setelah mengaplikasikan sebaiknya tips-tips yang saya bagi ini, jangan lupa cari saya dan belanja saya segelas teh tarik besar kaw-kaw tahu? 

Wahai!
 
-gabbana- 

Saya tidak bertanggungjawab sama sekali sekiranya masa hadapan anda punah dan ranah dek kerana menggunakan tips dan panduan saya seperti di atas bulat-bulat. Jangan saman saya. Jangan simbah asid pada kereta saya andai berlaku perkara-perkara yang tidak diingini nanti. Wahahaha.

Sebagai seorang mu'min, kita wajib percaya dan beriman dengan ketentuanNya. Dan inshaAllah, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. 

Selamat mengejar pelangi wahai hadek-hadekku! Senyum. 

Nota tapak kaki: Saya siap menulis post ini sebelum mengetahui berita tentang hukuman mati terhadap 529 ikhwan di Mesir. Alangkah hancurnya dan robeknya hati. Allahu Allah.

Terasa seperti tidak sesuai pula untuk mengepost artikel ini tatkala ummah sedang bersedih dan menangesi keputusan mahkamah tentera Mesir yang penuh kegilaan itu. Namun saya kira, hidup perlu diteruskan. Perjuangan perlu dihidupkan.

Moga Allah kurniakan mereka semua dengan jannahNya yang tertinggi. Moga Allah izinkan kita untuk menyertai mereka nanti! Allahul musta'an!

#doauntukMesir #doauntukIkhwan #doauntukummah #doauntukeadilan

14 Caci Maki Puji Muji:

Annabuadiary 24/03/2014, 20:42  

salam akhi, tahniah memberi input buat adik adik yang baru memasuki tertiary education. dari graduan bioteknologi yang terinspirasi dari kata kata pak lah dan masih teruja dalam bidang ini.

p/s:semoga mereka yang dizalimi di bawah regime sisi mendapat ganjaran sebaiknya di sisi Allah

Amen Naqib 24/03/2014, 21:14  

Jazakkallah kairan katsir. :) Dari hadek lepasan SPM.

Anonymous 24/03/2014, 23:21  

SPm juga bukanlah pengakhiran bagi segala2-nya. Jgn give up bg kawan2 lepasan SPM yg mendapat result biasa2/kurang memberangsangkan.. move on cepat. STPM ada. Kemasukan utk ambil kemahiran pun ada. Anything.. asalkan ada passion tanpa henti terhadap ilmu. Dalam Islam, kita dituntut untuk menuntut ilmu dan kalau boleh biarlah sampai ke negeri China. =) Ape-ape pun, saya pun baru lepas ambil result SPM. Biasa-biasa je. Tapi saya ikhlas dan redha. Sebab saya yakin Allah pasti menjanjikan sesuatu yg unexpected utk saya satu hari nanti! :B Thanks, Inche... Gabbana?

~Farah

Unknown 25/03/2014, 00:16  

Jazakkallah kairan katsir. :) Dari hadek lepasan SPM.

oi_danny 25/03/2014, 01:16  

Syukran, Akhi! Pelajar lepasan SPM2013 batch 1996~termasuk sy, bersyukur atas apa yg kita perolehi. :)Kita berusaha, Allah SWT yg tentukan :) Jgn mudah putus asa ya. Salam Ukhwah. :)

MiaLovetto ^^ 25/03/2014, 01:22  

Allahuakbar. Syukran atas perkongsian.

Anonymous 25/03/2014, 01:49  

Nice input . Spm bukan permulaan atau pengakhiran . Tapi how we act will define the future 😊

Anonymous 25/03/2014, 13:45  

pensyarah 2 kali..so nk suh jadik pensyarah la kot..LOL..:D

Anonymous 25/03/2014, 15:24  

pensyarah bagus, sebab pensyarah dapat mentarbiyah budak2 dalam umur budak2 dah dewasa (young adult?), sebaik sebelum mereka masuk realiti kehidupan kerjaya.
kalau jadi supervisor budak2 psm, budak2 postgrad, sudah tentu lagi rapat dengan mereka.

setuju inche gabbena tulis dua kali

daun ketumbar 25/03/2014, 16:00  

Alhamdulillah, sy bersyukur dgn kerjaya sy. Tp kdg2 rase amat2 bersalah n berdosa sbb busy sgt smpi lupe nk ingat mengingatkn. Keje sbg seorg dr (skrg houseman) yg sibuk, kdg2 lupe nk pesan pd pesakit jgn tinggal solat n cara2 solat bergantung pd keupayaan...rase berdosa jg..tp Xpandai sgt nk bgtau secara berhikmah.. Approach utk setiap pesakit berbeza2.. Semoga Allah permudahkn, beri minda yg lancar n bernas dan hati yg tabah utk berdakwah melalui pekerjaan ni..amiin.. Spy pekerjaan lebih berkat~ in sha Allah..^~^

Rashidah Ismail 25/03/2014, 20:03  

Kerjaya suri rumah lepasan ijazah juga tk kurg kritikalnya;)... thats another long story:)

Anonymous 26/03/2014, 12:01  

nak minta pendpt IG..dengn situasi dunia sekarang terutamanye di timur tengah..wajar tak kita sambung belajar ke sana? cam jordan..orng kate aman tpi sebelah je dengan syiria...wajar tak?
*hadek lepasan spm yng keliru

Without name 26/03/2014, 19:10  

Hoho. Tersentap. Betullh tu. Bak kata mendiang Steve Jobs " Don't waste your time to live others' life and don't be trapped by dogma-living with the results of other people's thinking". We are who we are. We are the fighter. Fight for what we want , doesn't matter how pain it is. Sy hidup atas keputusan mak ayah , they want me to be a doctor. Katanya.. Sy cenderung dlm bidang ni , mse tu sy nk x nk je. Masuk Asasi , barulh tau betapa susah dan sukarnya belajar Bio. Tapi Alhamdulillah , Allah datangkan perasaan minat dan suka tu(berkat doa mak ayah). Now , 4 papers to go. (: Keep smile and study.
#prayforim529

Anonymous 29/03/2014, 12:32  

Artikel yang baik :)
Terime kasih Inche Gabbana..
#Kepada dia yang tiada nama / 'Without Name'... anda pasti seorang pelajar dari puncak alam..

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP