13 January 2014

Kadangkala Kita Kena Jadi Hero Hindustan Juga

[Kredit]

Anda pernah menonton filem Hindustan? Espeseli filem-filem lama di era 60 dan 70-an?

Ketika itu Shah Rukh Khan masih lagi kanak-kanak hingusan. Nama Aamir Khan belum lagi melonjak naik seperti sekarang. Salman Khan pula masih belum lagi membuat keputusan tentang masa hadapannya. Wah!

Filem-filem Hindustan ketika itu penuh dengan aksi-aksi hebat yang memukau dan mempesonakan. Meskipon aksi-aksi yang dipamerkan tidak masuk akal (seperti jatuh bergolek-golek ke dalam gaung dan masih boleh hidup lagi atau heronya ditembak berkali-kali namun masih lagi mampu untuk beraksi hebat), namun ia cukup menghiburkan dan menggelikan hati. 

Ada satu persamaan besar antara filem-filem yang ditayangkan (dan persamaan ini masih boleh didapati lagi dalam kebanyakan filem Hindustan hari ini*); kebanyakan jalan ceritanya sama dan sudah boleh diagak. Heronya akan mengalami krisis yang tidak terbayang dek akal dan seperti tidak punya harapan lagi; putus chenta, dipulau oleh orang kampung, dibuang keluarga, diburu penjahat dan sebagainya. Ketika inilah mak-mak dan akak-akak kita akan mula mencapai sekotak tisu dan sebiji baldi berwarna merah atau biru kerana tidak dapat menahan lagi empangan air mata yang pecah. Namun di penghujung cerita, si hero akan ketemu kejayaan dan bahagia yang berkekalan buat selamanya. Dia disatukan dengan kekasih hatinya semula. Penjahat-penjahat, walau sekuat dan sehabat mana pon mereka, akan tetap berjaya ditewaskan. Seluruh penduduk kampung memujanya dan mengangkatnya sebagai wira.

(*Tekaan saya sahaja. Saya tidak lagi menonton filem-filem Hindustan marcapada ini.)

Dengan kata lain, hero kalah dahulu dan menang kemudian. Tipikal.

Namun formula yang diulangpakai inilah yang menjadikan industri filem Bollywood begitu laku dan laris sekali, lebih laris daripada pisang goreng panas (selain formula tari-menari dengan hikmat gerakan sejenak). Formula inilah yang memberikan kelainan kepada filem-filem Hindustan, yang menjadikannya berbeza dan ada niche tersendiri sekiranya hendak dibandingkan dengan filem-filem yang dikeluarkan oleh Hollywood mahupon Hong Kong.

Ehem.

Dalam kehidupan kita, kadangkala kita terpaksa menjadi seperti Raj Nath dalam filem Bobby atau Sunder Khanna dalam Sangam. Yakni, kalah dahulu dan menang kemudian.

Sekiranya kita rajin untuk menelusuri seerah Nubuwwah dan para sahabat, kita akan dapati banyak sekali kisah-kisah yang menggambarkan situasi ini; hero kalah dahulu untuk menang kemudiannya. 

Suatu hari, seorang Arab Badwi yang jahil, dengan sesuka hati tok dan neneknya telah kencing di Masjid Nabi. Melihatkan hal ini, para sahabat menjadi berang, malah ada yang menawarkan diri untuk memenggal terus kepala lelaki Badwi itu. Namun anda tahu apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW? Baginda menenangkan para sahabatnya dan membiarkan si Badwi itu kencing sehingga usai. 

Selepas itu baharulah Rasulullah SAW memanggil Badwi itu dan menasihatinya dengan baik dan lemah lembut sekali. Baginda lantas menyuruh seorang sahabat membawakan air dan baginda sendiri yang menjirus dan mencuci tempat kencing Badwi itu dengan air tersebut. Air kencing Badwi tersebut dicuci sendiri oleh tangan Nabi yang mulia! Walaweh! 

Dan apa impaknya kepada si Arab Badwi itu? Ada riwayat yang menyatakan bagaimana dia memeluk Islam kerana tersentuh dan terkesan dengan akhlak yang ditunjukkan oleh ar-Rasul al-Amin yang mulia.

Anda bohong sekiranya anda mengatakan anda tidak kagum dan ternganga mulut dengan akhlak dan qudwah yang ditunjukkan oleh ar-Rasul SAW. Ok, err, anda boleh tutup dah mulut anda tu. Masuk lalat nanti. Wahahaha.

Dan apa yang dapat kita belajar daripada peristiwa Thaif? Bukankah ar-Rasul kalah dahulu tetapi menang kemudian?

Bagaimana para Malaikat penjaga gunung Abu Qubais dan gunung Qu'aiqa'an sudah menawarkan untuk melemparkan dua gunung tersebut terhadap penduduk Thaif yang bukan sahaja mengingkari risalah yang dibawa baginda malah menyakiti pula tubuh badan baginda, tetapi tawaran tersebut ditolak Nabi. Malah baginda mendoakan pula agar suatu hari nanti Allah akan membuka pintu hati para penduduk Thaif untuk menerima Islam. 

Sejarah telah menjadi saksi, betapa selepas pembukaan kota Mekah, para penduduk Thaif berbondong-bondong datang menyerahkan diri mereka untuk diIslamkan. Malah sejarah juga menjadi saksi, betapa ketika peristiwa fitnah besar di zaman Abu Bakr r.a. sebagai khalifah yang menyaksikan ramainya umat Islam yang murtad, penduduk Thaif adalah antara mereka yang tetap teguh dan utuh berpegang kepada Islam.

Nah, kalah dahulu dan menang kemudian ala-ala hero Hindustan bukan...?

Begitu juga dengan perisitiwa perjanjian Hudaibiyah. Bukankah ramai para sahabat besar, termasuk 'Umar al-Khattab r.a. sendiri yang tidak bersetuju dengan isi kandungan perjanjian tersebut dan melihatnya sebagai berat sebelah kepada kaum kuffar Quraisy dan langsung tidak menguntungkan umat Islam?

Namun melalui sejarah, kita juga tahu bagaimana perjanjian Hudaibiyah itu sendiri yang merintis kemenangan Islam dan pembukaan Kota Mekah selepas itu? Walaupon tampak ia tidak adil dan menindas umat Islam pada awalnya, namun kesan-kesan langsung daripada perjanjian itu akhirnya memberikan kelebihan kepada umat Islam dan akhirnya berbobdong-bondong orang yang datang menyerahkan diri mereka kepada Islam.

Sekali lagi kes kalah sebelum menang. Tewas sebelum berjaya. Jatuh sebelum bangun.

Ada banyak lagi kisah-kisah yang tercatat di dalam sejarah yang menceritakan perkara yang sama; kalah sebelum menang. Berulang-ulang kali diceritakan. Seolah-olahnya ia adalah sunnatullah, hukum alam yang sudah termaktub di dalam undang-undang buana. Namun cukuplah saya berkongsikan tiga kisah ini.

Pandang ke atas. Ah birunya langit.

Hari ini, ramai daripada kita yang terlalu gopoh untuk menang, sehinggakan kita terlalu takut untuk kalah dahulu. Ramai daripada kita yang bergelar dua't ilallah ini yang terlalu sibuk memikirkan bagaimana untuk menang, sehingga kita langsung tidak boleh menerima prospek kekalahan. Ramai daripada kita yang terlalu fokus untuk menjadi juara dan pemenang, sehingga kita melihat kekalahan itu sebagai suatu kehinaan dan kekejian.

Kita lupa, bahawa formula untuk menang adalah kesusahan. Kita alpa, rahsia untuk menang adalah kita perlu bersusah-payah dahulu. Dan kita leka, resipi untuk suatu kemenangan yang benar-benar lazat dan manis itu adalah kita dahulu perlu merasa kepahitan sebuah perjuangan.


"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan dengan mengatakan, 'Kami telah beriman,' dan mereka tidak diuji?

Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta."
[al-Ankabut, 29:2-3]

Bukankah sebelum merasakan kesenangan itu, perlu terlebih dahulu merasakan kesusahan?


"Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kesenangan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kesenangan."
[al-Insyirah, 94:5-6] 

Uhm uhm.

Saya melihat isu kalimah Allah daripada perspektif ini; kita terlalu gopoh untuk menang sehingga kita langsung tidak boleh menerima kekalahan. 

Begini.

Saya pasti ada sudah pon membaca pelbagai hujahan dan lontaran dalil daripada kedua-dua belah pihak - pihak yang menyokong agar penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam diharamkan dan pihak yang tidak menyokongnya - dan ketika ini, anda mungkin sudah pon mempunyai pendirian anda. Pendapat saya, kedua-dua belah pihak punya hujahan untuk menyokong pendirian masing-masing dan hujah dan dalil yang digunakan ada pemberatnya yang tersendiri.

Namun ini pendirian saya: Saya tidak bersetuju dengan pengharaman penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam. Apatah lagi tindakan merampas kitab Bible oleh JAIS baru-baru ini.

Sabar-sabar, jangan singsing lengan dahulu. Jangan garu kepala dahulu. Dengar dahulu penghujahan saya. 

Tidak perlu rasanya saya menulis isu ini dengan panjang lebar daripada aspek teologi (Baca: Keagamaan) dan epistomologi (tergeliat lidah menyebutnya), kerana ia sudah pon ditulis dengan begitu baik oleh pelbagai pihak, baik pihak yang menyokong mahu pon yang menentang. Malah nama-nama besar seperti Dr. MAZA, Ustaz Zaharuddin dan sebagainya, sudah pon mengulas tentang isu ini. Malah tokoh-tokoh agama luar negara juga pernah mengulas isu yang sedang hangat diperkatakan di Malaysia ini.

Namun izinkan saya menulis dari perspektif saya. Dari sudut pandang seorang marhaen yang sedikit berbeza, yang mungkin tidak selari dengan arus perdana. 

Betulkan kolar dan tali leher. Duduk tegak.

Benar, memang ada usaha-usaha terancang untuk memurtadkan umat Islam. Itu tidak dapat saya nafikan. Memang kerisauan bahawa akan ada umat Islam yang terkeliru dan akan dipengaruhi oleh kalimah Allah yang tidak merujuk kepada Allah yang Esa, ada benarnya. Dan memang benar, akan ada pihak yang menyalahgunakan kalimah Allah ini untuk kepentingan dan agenda yang dapat mengganggu-gugat umat Islam.

Saya tidak nafikan semua itu. 

Namun saya melihat, tindakan kita mengharamkan penggunaan kalimah Allah meletakkan kita dalam situasi yang amat lemah dan terancam (Baca: Vulnerable). Seolah-olahnya umat Islam yang seramai hampir 15 juta di Malaysia ini amat mudah terpengaruh dan terpedaya dengan dakyah yang mahu dibawakan oleh segelintir mubaligh Kristian itu. Lebih banyak mudharat dan fitnah yang akan (dan telah) berlaku akibat tindakan ini, berbanding dengan maslahat dan keuntungan.

Aduhai. 

Apatah lagi tindakan-tindakan radikal kita dengan bermati-matian mahu mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam sehingga mengancam untuk membakar gereja dan tempat ibadat mereka, merampas kitab-kitab suci mereka dan sebagainya, mengiyakan sangkaan dan rasa hati mereka bahawa Islam adalah agama ganas yang tidak ada unsur toleransi di dalamnya. Semakin ramai yang menjauhi dan membenci agama kita ini, semata-mata dek tindakan ghuluww (berlebih-lebihan) segelintir daripada kita.

Sudahlah yang murtad semakin ramai; semakin ramai pula yang lari daripada Islam!

Geleng kepala.


Benarkah ini isunya yang sebenar? [Kredit]

Benar, tindakan mengharamkan penggunaan kalimah Allah itu adalah berdasarkan waqi' (keadaan) semasa yang seakan-akannya menghalalkan tindakan pengharaman itu. Namun mengapa waqi' lain, yang perlu diberi lebih perhatian, yang lebih merbahaya untuk kesejahteraan aqidah umat Islam tidak dititikberatkan...?

Bagaimana dengan pengetahuan asas umat Islam tentang Tuhan dan ar-Rasul mereka sendiri? Bagaimana dengan keadaan hedonisme, berjimba yang keterlaluan dalam kalangan masyarakat Malaysia? Bagaimana dengan sukarnya asnaf yang lapan itu mendapatkan bantuan daripada puzat zakat di seluruh Malaysia? Bagaimana pula dengan kos hiudp masyarakat yang semakin menekan, sehingga kadangkala menjadikan rakyat tidak punya pilihan? 

Bukankah waqi' sebegini yang perlu diberi lebih perhatian? Bukankah keadaan dan situasi begini yang sepatutnya dibanteras terlebih dahulu? Bukankah isu-isu sebegini yang lebih merbahaya untuk kemaslahatan aqidah umat Islam...??

Dan sekiranya benar isu aqidah ini adalah isu yang benar-benar mengganggu-gugat kesejahteraan aqidah umat Islam, mengapa sekarang ini baharu ia dicanangkan dengan begitu hangat sekali..? Mengapa baru sekarang ia dilihat sebagai isu negara yang membahayakan keselamatan dan sestabilan Malaysia? Dan mengapa dibiarkan masih ada lompong-lompong yang kosong pada keputusan mahkamah yang lepas, sehingga boleh dipersoalkan dan dipermain-mainkan?

Sekiranya benar dan sahih ia benar-benar membahayakan keselamatan negara, mengapa ia tidak diharamkan terus penggunaannya oleh bukan Islam, once and for all? Mengapa wujud unsur-unsur 'kelabu' sehingga boleh menimbulkan lebih banyak salah faham dan kekeliruan..? Kenapa hanya The Herald sahaja yang diharamkan menggunakan kalimah Allah tetapi tidak penerbitan-penerbitan yang lain...?

Ah ini semua poyo! Eh. Maksud saya...

Ah ini semua politik!

Daripada pembacaan dan penelitian saya yang marhaen ini, saya gagal menjumpai mana-mana bukti atau noktah di dalam sejarah yang memperlihatkan tindakan yang sama yang diambil oleh kerajaan Malaysia atau mana-mana badan yang memperjuangkan pengharaman kalimah Allah ini, dalam rangka mempertahankan kesucian agama Islam. Saya tidak boleh mengotakkan tindakan ini akan menguntungkan umat Islam secara jangka masa panjangnya.

Yang saya tahu, umat Islam adalah sekumpulan manusia yang penuh dengan kasih-sayang. Yang saya jumpa, umat Islam adalah pendakwah dan bukannya qadi atau hakim. Dan yang saya jumpa, Islam disebarkan dengan penuh kechentaan kepada manusia kesemuanya, bukan dengan sangkaan apatah lagi kebencian.  

Apa yang sedang kita lakukan sekarang adalah kita menang dahulu dan kalah kemudian. Ya, kita mungkin tampak 'menang', berjaya menjaga kesucian kalimah Allah itu daripada disalahgunakan oleh golongan bukan Islam, tetapi sebenarnya kita sedang kalah. Kita sibuk mahu memenangkan diri kita hanya untuk kalah di kemudian hari. Adeh.

Semuanya ini hanya menampakkan ketidakmatangan kita. Semuanya ini memperlihatkan betapa kita adalah bangsa yang paranoid dan tidak rasional. 

Boraklah dengan mana-mana bukan Islam; rakan anda, jiran sebelah rumah mahupon rakan di kantor. Saya pasti, tidak ada seorang pon yang menyokong tindakan pengharaman penggunaan kalimah Allah itu. Tidak ada seorang yang tertarik untuk memeluk Islam apabila mendengar tentang kes rampasan Bible itu. 

Di Eropah, semakin ramai yang mendekati Islam meski umat Islam di sana hanyalah minoriti. Sedangkan di sini, semakin ramai pula yang menjauhi Islam walaupon umat Islamnya majoriti.

Ya, tindakan terburu-buru dan gopoh kita telah menjauhkan lagi orang dari Islam. Kita yang rabun jauh ini gagal melihat kesan tindakan kita untuk kemaslahatan jangka masa panjang. Kita yang terlalu sibuk mengejar kemenangan ini telah kalah.

Kalah!

Isunya adalah prioriti. Dan kita seringkali tersilap dalam memilih prioriti. 

Sekiranya isu yang sebenar adalah aqidah ummah, adakah dengan mengharamkan penggunaan kalimah Allah akan menyelesaikan isu ini..? Tidak.

Yang lebih perlu adalah membanteras kemiskinan tegar dalam kalangan umat Islam. Yang lebih utama adalah memperkasakan usaha-usaha tarbiyah dan dakwah agar lebih ramai yang punya ilmu asas tentang Islam. Yang lebih perlu diberikan fokus adalah mengurangkan salah laku pecah amanah dalam kalangan umat Islam sendiri, sehingga menzalimi mereka yang lebih lemah. Yang perlu kita lipatkaligandakan usaha-usaha kita adalah menarik minat anak-anak muda ke masjid dan program-program agama berbanding ke komplek beli-belah dan pusat-pusa hiburan. 

Dan yang lebih perlu kita berikan keutamaan, korbankan sepenuh tenaga dan perhatian, adalah menyebarkan kasih-sayang dan keindahan Islam, dan bukannya kebencian dan salah faham. 

Sabda Nabi SAW:


"Permudahkanlah dan jangan susahkan. Dan berilah khabar gembira dan jangan berikan khabar buruk."


[Riwayat Bukhari dan Muslim]

Begitulah.  


Islam itu indah. Dan mudah. [Kredit]

Silakan bersetuju untuk tidak bersetuju. Itu hak anda.

Tapi jangan pula mencaci-maki dan mengeji saya (Baca: Dosa kering) kerana pandangan saya tidak sama dengan pegangan anda. Jangan disebabkan anda taksub dengan sesuatu fikrah atau pandangan, menyebabkan anda hilang pertimbangan dan asas akhlak Islami. Bacalah dengan hati dan bukan dengan emosi. 

Kerana ini juga hak saya untuk menyatakan pendirian dan pegangan saya. 

Iya, kadangkala kita kena jadi seperti hero Hindustan. Bukan kerana mereka boleh terbang dan lawan seratus musuh hanya seorang. Bukan kerana mereka boleh menari-nari sekejap di Delhi dan sekejap lagi di pergunungan Alps penuh salji. dan bukan juga kerana mereka ada markar pakai sari. Eh.

Tetapi kerana mereka faham erti kemenangan setelah kekalahan. 

Senyum. 

-gabbana- 

Saya tahu, isu ini seperti tidak perlu diperbesarkan lagi. Sudah begitu ramai orang yang memberikan komentar tentangnya. Dan risau juga saya andai ia bakal menambah minyak ke atas api.

Namun seorang hadek berbulatan gembira menyatakan bahawa kadangkala kita perlu tegas dalam menyatakan pendirian kita, supaya orang tidaklah tertanya-tanya dan membuat spekulasi liar atau propaganda merbahaya.

Maka ini adalah post untuk menyatakan pandangan dan pendirian saya. Moga Allah redha. 

20 Caci Maki Puji Muji:

Ainin Sofiya 13/01/2014, 17:07  

hurmm terfikir jugak betapa malunya rakyat malaysia ni

Anonymous 13/01/2014, 17:11  

Kalah dulu..menang kemudian.
Allah mmg menjanjikan kemenangan utk Islam kan. Tapi, adakah itu 'tiket' kita utk membiarkan saja usaha2 mereka menyebarkan dakyah d ngra kita? Dgn alasan, ok xpe. Kita akn mng kemudian. Kalau bgtu, apa perlu kita hnya duduk diam goyang kaki smbil mkn popcorn dgn isu comango? Takpe..biar kita kalah dlu. Islam akn menang,kan.. (peluh besar..)

Dari satu sisi, sy setuju, mmg ada baaaanyak lg isu yg perlu kita ambil tindakan. Tapi mana2 isu yg masih dlm kekuatan kita utk cegah, kita usahakn utk cegah. Kes murtad d msia smkin merisaukn. Yg itu pun kita dah tergaru2 kpla utk tangani.

Masing2 kita sdg berjuang utk Islam. Mgkin kita xrasa isu ni perlu utk kita 'menang' sbb kita rasa ada isu lain yg lebih besar. Tapi percayalah, matlamat kita sama. Sbb kita sygkn Islam dan ingin memperjuangkn Islam dgn apa cara sekalipun.

Anonymous 13/01/2014, 17:19  

Assalamualaikum w.b.t

Saya setuju dgn pandangan Inche Gabbana. Sebagai seorang pelajar luar negara, D&T banyak membantu hidup dan pemahaman saya tentang agama Islam, yang sedari sekolah, hanya fokus kepada perbuatan, tanpa sebarang penghayatan.

Isu nama Allah ni pun sudah saya ajukan dalam usrah, dan kita berkongsi pandangan yang sama. Lemah sungguhkah iman kita sehingga boleh berbolak balik jika nama Allah digunakan oleh orang bukan Islam? Kemudian ada kawan memberi pandangan, kita, as in pelajar2 yang sudah mendapat pendedahan agama dan FAHAM, bolehlah berkata sedemikian. Bagaimana dengan kawan2 yang picis imannya di Malaysia? Isu ni tak patut dibangkitkan dari awal, hanya menambahkan kekeliruan, terutama kepada rakan2 yang kurang tahu.

Isu ni perlu dikaji dari akar. Perlu di-attack sedari kecil, tanamkan aqidah kepada anak2 kecil, supaya faham dan tidak mudah keliru.

Sedih dengan keadaan sekarang. Kita disepak-sepak, mudah sangat hanya sebab kurang iman dan percaya...

Anonymous 13/01/2014, 19:30  

ada betul jugak ye APG tulis ni. tulah kengkadang pelik tgok JAIS... kat melaka, deme guna perkataan Allah x de hal pulak, kat Ipoh tmpt saya tinggal pulak x de hal pulak.... pening pening. semoga umat islam kat negara kita ni akan bersatu semula dan bangkit menentang kekufuran dan maksiat!!!!!! ALLAHU AKBAR!

Inspector Saahab 13/01/2014, 20:13  

perenggan ketiga dari gambar al kitab,
typo,

aqidah, bukan aqiqah

aqiqah untuk majlis orng yang da kawen ada anak:P
heh

Anonymous 14/01/2014, 10:21  

Sorry, can't afford the time to thoroughly read everything here..fitnah kantor menanti dihari libur ini.
Apepe pon, on which side our views are, niatkan kerana Allah. Menyokong atau tidak sesuatu pendapat adalah kerana NYA. Kita berpendapat berdasarkan kefahaman dan pengetahuan masing2. Jangan sampai memperlekehkab, merendahkan golongan lain.
Namun, saya selalu terkena dgn penangan puak sebelah PR sana yg ttetiba masuk jarum dgn views mrk. Tk kira masa dan tempat, sdg makanke, sedang hadir convention ke. Plzz la, leave yr political views behind. Kalau ckp leklok tak pe jgk, tapi asyik menghentam, perli, condemn. Tak berdosa ke?

Anonymous 14/01/2014, 12:32  

Sorry, terkomen kat atas tadi. Tapi saya selalu terkena, walhal they don't even know which side I'm on. Main lepas cakap jer, tk jaga sensitiviti pon. Ini bukan pendapat tapi realiti.
Saya tak pandai nak redah pendaoat kat orang lain. Bila kena attack pon tak pandai nak fire back. Hanya sempat berfikir dan memikir cara terbaik utk menjawab dgn berhemah. Jika tk mampu berbicara secara berhemah, baik diam sahaja.
Ini lah pengalaman pahit saya.. sedeyy!!
Tolong lah jangan main redah je beri pendapat. Saya cuma nak jaga hubungan sesama Muslims.

insieme-syahid 14/01/2014, 20:21  

Setuju dengan pandangan APG. Seriously anak muda sangat perlukan bimbingan agama.

alief 15/01/2014, 13:44  

peace, in Islam...
inilah kecantikan Islam, semua org boleh beri pendapt dan idea masing2,.. alhamdulillah, bertambh ilmu dan pengetahuan dgn post dan perbincgn spt ini.. teruskn beri pendpt, sy percaya ramai lg golongn muda yg inginkn pencerahan dalm setiap isu yg melibatkan akidah dan pegangan kita sbg seorg muslim...

Unknown 15/01/2014, 15:23  

Somehow kita kupa, atau tak sedar. Kalau kita perlu menang sekalipun, tak semestinya ada pihak yg perlu kalah

Anonymous 19/01/2014, 10:54  

Kadang2 benda simple je. We make it complicated.

Kita tahu Allah tu satu. 'Qul huwallahu ahad' selalu kita baca dlm mathurat.

Tapi bila sampai masa kita kena pertahankan yg Allah tu satu, kita tak buat.

Assaff: 2-3

Its not just a word. ;)

Anonymous 19/01/2014, 12:27  

Ubah lah minda dari mengata2 kpd mengota2..Too much complaining, there's so much could be churned.
It's time to act..
That's what I notice most are doing nowadays...in every aspect, young or old. Don't ramble about the causes and reasons anymore. It's time to act...but do it the proper channel.
Baring atas jalan is not the solution. Missing your lectures are also not tolerable. So do, comdemning, teasing others. It brews hatred among us. Coz all of us are heading in the same direction. Only our methods differ..politics, and political allignment aside. Cara mane diterimanye? wallahuaklam.

Anonymous 19/01/2014, 12:49  

Comdemning, CRITICIZING and teasing others brews hatred among us. What do you get for that? Dosa kering, right? And you all do it secara berjamaah, sometimes bersendirian pun ade.
Every day I meet this kind of group and people. When confronted with a problem, they'll ramblele.. When forwarded with the solution, they'll escape...run fr yr life. Eg: When, the price of veges go up, grow your own. What's your excuse? No pc of land, n money..? Ask for a pc of land from d colleges. They ll be obliged, if you could provide them financial support.. by selling the vegis. Woahhh!!! or give them the veges
Why not usrah among the vegetables /garden? greener effects....This is NOT teasing, mind you. This is real solution not rhetorical.
I know why, some of you hv never even weeded the grass in your life and shriek upon seeing the worms.

Anonymous 19/01/2014, 13:08  

Setuju dengan anonymous atas.
Everyone should do their roles without condemning others.

Bukan semua benda perlu condemn.

Anonymous 21/01/2014, 10:39  

We hv been giving in for too long, since out tok-nenek, when most of us were not even born. It's not the time to beri muka or berlembut anymore. Others hv gained the ground, we're still trailing behind. We can't afford to act like bollywood heroes anymore. Time is runniing out. What our forefathers had done before, "tak ape, jemput masuk rumah kita..."/ 'Kami tolong kamu, ma.".
No more, they are hooligans and robbers. Don't let them in anymore or give anymore chances.
Kalau ade org bawa hamper kat area Damansara etc, Don't open the door, they are bogus scam!

Anonymous 21/01/2014, 15:21  

Setuju dengan artikel ni.Cara diaorang nak pertahankan kalimah Allah ni nampak ekstrem sangat.Buat demo lah,report kat polis lah.Kan boleh je selesaikan baik2.Kenapa pilih cara yang menampakkan seperti Islam tu agama yang ganas.

Anonymous 21/01/2014, 19:50  

Demo dan report polis tu ganas? Are u sure? Yg lembut macamana?

Lenggang Kangkung 23/01/2014, 10:31  

pd pandangan saya.. ini tektik politik.. yg penting dpt terus memerintah..Di semenanjung jer yang tidak boleh (harapan agar org melayu, Islam akan sokong mereka) , di sabah & serawak boleh (agar penyokong kristian mereka disana terus sokong mereka)..

http://www.malaysia-today.net/the-blasphemous-malay-bible/

Anonymous 23/01/2014, 21:09  

Minah lenggang(atas0, watave..
What simplistic, twisted observation you forwarded. It's not as simple as that.

Anonymous 19/02/2014, 19:01  

Assalamualaikum, setuju dengan APG jangan tampilkan AKHLAK yang buruk atas nama KEBAIKKAN dan PERJUANGAN...tampilkan keindahan dan kelembutan dalm ketegasan kita itulah ibrah baginda Nabi SAW yang di tunjukkan dalam sirah baginda SAW.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP