13 November 2013

Sepuluh Cara Untuk Masuk Sorga

=') [Kredit]

Teng teng teng. 

Adakah selepas membaca post ini anda konfem akan dapat menjejakkan kaki masuk ke sorga?

Teng teng teng.

Adakah Inche gabbana membawa ajaran sesat baharu yang akan menggegarkan negara dan seluruh dunia Islam?

Teng teng teng. 

Adakah ini satu cubaan berani mati untuk menaikkan kadar bacaan belog marhaen ini?

Tersedak untuk kenyataan pertama. Anda gilakah?? untuk kenyataan kedua. Ekele untuk kenyataan ketiga.

Eheh.

Hari ini saya mahu bercerita dan berkongsikan tentang sepuluh orang sahabat Nabi SAW yang telah dijanjikan sorga. Ah, klise bukan?

Tapi sebelum itu, mari kita lakukan satu kuiz trivia ringkas. Cuba namakan kesepuluh sahabat yang dijanjikan untuk masuk sorga dalam masa lima belas saat. 

...

...

...

Shiuhh shiuhhh angin bertiup perlahan selama lima belas saat.

Ok.

Kalau saya suruh namakan kesebelas barisan utama pasukan Machangster United, eh, Manchester United atau Arsenal atau Liverpool, atau menamakan para pelakon dalam siri 'Inche Angkuh' di setiap waktu Maghrib itu, sudah pasti anda dapat melakukannya sepantas arnab bukan? Pffttt. 

Jadi siapakah sepuluh orang sahabat yang dijanjikan sorga itu...?

Daripada Abdul Rahman Bin Humaid, daripada bapanya: Sesungguhnya Said Bin Zaid pernah menceritakan kepadanya mengenai satu kumpulan, dengan katanya, 'Pernah Rasulullah SAW bersabda, "10 orang yang akan memasuki sorga iaitu Abu Bakar, 'Umar, Uthman, 'Ali, Zubair, Talhah, Abdul Rahman, Abu ‘Ubaidah, Sa’ad Bin Abu Waqqas..."  

Maka beberapa orang yang mengira-ngira jumlah semua yang dijanjikan dengan syorga itu, di manakah lagi seorang? Lalu mereka bertanya kepada Said Bin Zaid, "Demi Allah Wahai Abu A’awar! Siapakah dia orang yang kesepuluh itu?" 

Maka Said Bin Zaid pun menjawabnya, "Bukahkah kamu sendiri telah bersumpah bahawa Abu A’awar itu pun adalah di kalangan mereka yang dijanjikan syurga?" 

Imam Abu ‘Isa (At-Tirmidzi) menyatakan, "Abu A’awar itu sendiri adalah Said bin Zaid bin ‘Amru."

[Hadis sahih riwayat Imam At-Tirmidzi]

Ayuh kita berkenalan serba ringkas dengan kesepuluh para sahabat Super Saiya ini, untuk mengetahui apa sebabnya mereka ini terpilih untuk dijanjikan dengan sorga.

Abu Bakr as-Siddiq r.a.
Siapa yang tidak kenal dengan sahabat agung yang seorang ini bukan? Selain terkenal sebagai sahabat karib Nabi dan antara orang terawal yang memeluk Islam, Abu Bakr juga terkenal dengan keteguhan imannya apabila membenarkan peristiwa Isra' wal Mikraj tanpa ragu-ragu, lantas beliau dijolok dengan gelaran as-Siddiq, yakni membenarkan. 

Abu Bakr merupakan peneman hijrah Nabi, yang mana beliau diminta sendiri oleh Nabi untuk menemaninya berhijrah. Abu Bakr juga merupakan seorang dermawan lejen, yang pernah menginfaqkan seluruh hartanya untuk kegunaan umat Islam di Perang Tabuk. 

Abu Bakr juga adalah bapa mertua Nabi, apabila mengahwinkan anak gadisnya, Ummul Mu'minin 'Aisyah r.a. dengan Nabi. Abu Bakr adalah khalifah pertama dalam sejarah Islam selepas kewafatan baginda Nabi SAW. 

'Umar al-Khattab r.a.
Ha, ini seorang lagi sahabat lejen yang menjadi peberet saya sepanjang zaman. Sekelumit kisah tentang sosok agung ini telah pon saya kongsikan dalam post 'Mari Menjadi 'Umar.' 

Kisah pengIslaman 'Umar sering diulang-tayang untuk menggambarkan bagaimana seorang manusia yang bengis dan berjiwa keras juga akhirnya tewas dengan tamparan Makcik Hidayah. Heh. 'Umar yang sebelum Islamnya terkenal sebagai seorang yang amat tegar menentang Islam, menjadi pejuang dan pembela Islam yang terkehadapan selepas keimanannya. 

Terlalu banyak kisah menarik tentang 'Umar, yang sekiranya mahu diceritakan satu-persatu, post ini akan menjadi senaskhah buku. Eh. Cukuplah saya simpulkan betapa 'Umar mempunyai firasat seorang mu'min yang sangat tajam, sehinggakan kata-katanya sering dibenarkan Allah melalui firmanNya yang mulia. 'Umar juga sering berlumba-lumba dengan Abu Bakr dalam mengejar keredhaan Allah dan merebut chenta Rasulullah, sehingga menjadikan dirinya tidak pernah puas dengan amalan dirinya.

'Umar merupakan khalifah kedua khulafa' ar-rasyidin menggantikan Abu Bakr. Zaman 'Umar merupakan zaman kegemilangan Islam apabila banyak kejayaan dan pencapaian yang diperoleh umat Islam ketika itu. Satu fakta yang tidak diketahui ramai, 'Umar juga merupakan bapa mertua Nabi, apabila anaknya, Hafsah diperisterikan baginda SAW. 

Uthman ibn Affan r.a.
Ah, siapa yang tidak berasa segan untuk menceritakan kehaibatan sahabat yang seorang ini, yang mana para malaikat pon malu dengannya? Juga seorang sahabat yang sering disalahertikan dan difitnah dengan tuduhan yang bukan-bukan.

Beliau adalah satu-satunya sahabat yang menjadi menantu Nabi dua kali, apabila memperisterikan Ruqayyah dan Ummi Kalthum, lantas diberi gelaran Zun an-Nur'ain, yakni yang memiliki dua cahaya. Uthman adalah seorang dermawan yang tiada tolok bandingnya, sehinggakan infaqnya untuk Perang Tabuk diiktiraf Nabi sehingga baginda bersabda,

"Tidak ada bagi Uthman sesuatu yang akan menimpanya setelah ini, tidak ada bagi Uthman sesuatu yang akan menimpanya setelah ini."

[Hadith riwayat at-Tirmidzi. Juga diriwayatkan oleh al-Hakim dengan sebutan, "Tidaklah akan membahayakan Uthman apapon yang dilakukannya selepas hari ini.]

Pergh. 

Uthman merupakan khalifah ketiga, menggantikan 'Umar al-Khattab. Di zaman pemerintahannya, beliau bertanggungjawab mengumpulkan mushaf al-Quran yang ada dan menyusunnya agar mudah menjadi rujukan umat Islam yang semakin ramai dan berkembang ketika itu.

'Ali bin Abi Talib r.a.
Sepupu Nabi SAW, yang merupakan kanak-kanak pertama memeluk Islam dan antara manusia terawal yang memeluk Islam. Beliau mengambil risiko dibunuh oleh kaum kafir Quraisy apabila  menggantikan Nabi di tempat tidurnya pada hari baginda berhijrah ke Madinah. Kau berani...??

'Ali merupakan menantu Nabi SAW apabila mengahwini puteri kesayangan baginda, Fatimah r.a.. 'Ali merupakan khalifah yang keempat selepas Uthman. Malangnya semasa zaman pemerintahan beliau, keadaan umat Islam ketika itu kucar-kacir dek terlalu banyak fitnah dan ujian yang berlaku, sehinggakan meninggalkan noktah-noktah hitam di masa kekhalifahannya.

Keutamaan 'Ali disebut dalam banyak hadith-hadith sahih, antaranya bagaimana Nabi SAW menyifatkan 'Ali sebagai Harun kepada Musa. Namun, berhati-hati dalam mengambil dan mempercayai hadith berkaitan 'Ali, kerana dikhuatiri ia adalah hadith palsu yang direka-reka oleh puak Syiah yang ghuluw (berlebih-lebihan) dalam mengagungkan beliau. 

Zubair bin al-Awwam r.a.
Hah, rasanya ramai yang tidak kenal dengan sahabat yang satu ini. Beliau adalah antara as-Sabiqun al-Awwalun, yakni mereka yang mula-mula sekali memeluk Islam; ketika beliau berumur 15 tahun lagi. Kita di umur 15 tahun masih lagi seronok mengorek hidung. Eh. 

Zubair sangat terkenal dengan kepahlawanannya. Di dalam perang Badar, beliau telah berhasil menombak mata Ubaidah bin Said sehingga jatuh tersungkur dan mati, dan peristiwa ini menyebabkan pihak musuh terketar lutut ketakutan. 

Zubair amat dichentai oleh Rasulullah SAW. Baginda pernah bersabda,

"Setiap Nabi ada hawari (pengikut setia) dan hawari bagiku adalah Zubair al-Awwam."

Kelejenan Zubair semakin terbukti apabila 'Umar al-Khattab r.a. menghantar bantuan tentera kepada 'Amr al-Ash r.a. seramai 4 orang dengan menyifatkan setiap orang mewakili seribu orang parajurit yang gagah berani. Dan ya, Zubair adalah salah seorang daripadanya. Senyum.

Talhah bin 'Ubaidillah r.a.
Talhah adalah besfren till jannah Zubair. Talhah digelar sebagai 'Syuhada' yang berjalan di muka bumi' oleh Rasulullah SAW dek keberaniannya dalam perang Uhud dan pengorbanannya melindungi baginda dalam perang yang sama. 

Dalam perang Uhud, beliau telah terkena lebih daripda 70 tikaman pedang atau panahan anak panah dan masih mampu bertahan dengan machonya. Ha, kau mampu...?? Ketika tersebar berita bahawa Rasulullah telah wafat, Talhah yang sedang memapah baginda ketika itu berkata, "Aku tebus dikau wahai Rasulullah dengan ayah dan ibuku," menggambarkan kechentaan yang besar beliau terhadap ar-Rasul. 

Abdul Rahman bin 'Auf r.a.
Sekiranya Abdul Rahman bin 'Auf masih hidup di zaman ini, sudah pasti Tan Sri Tony Fernandes, Donald Trump dan Robert Kuok tersujud malu dengan kepakaran dan kehaibatan dia dalam dunia perniagaan. Pernah dibuat perkiraan secara kasar, kekayaan yang dimiliki oleh beliau sekiranya diterjemahkan ke dalam nilai hari ini, berjumlah lebih bilionan dolar! Walaweh!

Namun kekayaan tidak pernah menggelapkan hati sahabat yang satu ini. Ketika turun perintah hijrah kepada para sahabat di Mekah, beliau dengan koolnya meninggalkan seluruh harta benda yang telah dikumpulkannya semata-mata mahu menyahut seruan Ilahi. Dan di Madinah, beliau telah membuktikan kepakarannya berniaga yang tiada tolok bandingnya, apabila dalam masa yang sangat singkat beliau berjaya mengumpulkan kekayaan kembali.

Di dalam perang Tabuk, beliau pernah mengimami solat kepada ar-Rasul dan para sahabat, satu kemuliaan yang belum dipernah dikecapi oleh mana-mana sahabat yang lain. 

Abdul Rahman adalah salah seorang sahabat yang ditunjuki 'Umar untuk menggantikan beliau sebagai khalifah. Namun akhirnya beliau menawarkan diri untuk memegang amanah, bertanggungjawab menjadi 'Suruhanjaya Pilihan Raya' yang memilih khalifah antara 'Uthman dan 'Ali.

Abu 'Ubaidah al-Jarrah r.a.
Sahabat yang mendapat gelaran 'Kepercayaan ummah' oleh Rasulullah SAW ini adalah seorang sahabat besar, yang membuktikan kesetiaannya kepada Islam melebihi segalanya apabila membunuh ayahnya sendiri di dalam perang Badr, sehingga Allah merakamkannya dalam surah al-Mujadilah, ayat 22.

Beliau adalah seorang pahlawan dan perwira yang gagah berani, diberi kepercayaan oleh 'Umar al-Khattab ketika menjadi khalifah untuk memimpin tentera Islam bagi menggantikan Khalid al-Walid r.a.. 

Sa'ad bin Abi Waqqas r.a.
Di awal keIslamannya, Sa'ad diuji dengan begitu getir sekali; memilih sama ada mahu kekal dengan aqidah baharu yang menyejukkan imannya atau menuruti kehendak sang ibu terchenta yang mahukan dirinya kembali kepada agama nenek moyang mereka. Sang ibu sehingga mengugut Sa'ad untuk membunuh dirinya (dengan cara mogok lapar) andai Sa'ad tidak mahu akur dengan permintaannya.

Maka terkeluarlah dialog lejen yang disebut-sebut sehingga ke hari ini:

"Sungguh, seandainya ibu mempunyai seratus nyawa, lalu nyawa-nyawa itu keluar satu per satu, tidaklah aku akan meninggalkan agama ini. Bahkan andai seratus nyawa ibu ditambah satu nyawaku sendiri, aku tetap akan memegang teguh aqidahku. Maka terserah ibu, mahu makan atau tidak."
 
Peh peh peh.

Sa'ad juga merupakan orang yang pertama-tama sekali melepaskan anak panah untuk Islam. Kepawerannya dalam memanah diakui oleh Nabi SAW sendiri, apabila dalam perang Uhud, baginda bersabda:

"Panahlah wahai Sa'ad! Ayah dan ibuku menjadi tebusan untukmu!"

Doa Sa'ad juga sangat makbul kerana pernah didoakan Nabi untuk memiliki keistimewaan sebegitu rupa. Ah, terlalu banyak kisah Super Saiya lejen tahap kesepuluh yang mahu diceritakan tentang sahabat yang bernama Sa'ad ini! 

Sa'id bin Zaid r.a.  
Rasanya, dalam ramai-ramai sahabat yang dijanjikan masuk sorga, sahabat yang seorang ini paling tidak glamor sekali. Tapi inilah dia sahabat yang sama ada secara langsung atau tidak, terbabit sama dalam pengIslaman 'Umar. Beliau adalah suami kepada adik 'Umar, Fatimah, dan ketika peristiwa lejen 'Umar menampar adiknya itu, Sa'id ada bersama. Malah dikatakan, berkat kesabaran Sa'id dalam menanggapi 'Umar adalah antara punca mengapa 'Umar akhirnya terbuka untuk memilih Islam.

Sa'id tidak pernah tinggal satu peperangan pon bersama Rasulullah, kecuali Badr. Itu pon kerana beliau telah dihantar untuk menjadi perisik kekuatan musuh ketika itu. Beliau juga terlibat dalam peperangan membebaskan Persia dari api Majusi dan juga Syam dari cengkaman kekufuran Nasrani. 

Tarik nafas. Penat jugalah menaip semua ini. Ehem.

Lantas, apa yang dapat kita pelajari daripada sosok-sosok hebat dan agung kesepuluh sahabat yang dijamin masuk sorga ini...?

Daripada mereka kita dapat fahami bahawa, jalan ke sorga itu bukan satu, bukan dua, bukan juga tiga, tapi sepuluh! Untuk masuk sorga, bukan hanya dengan satu cara, tapi boleh sahaja dengan beraneka kaedah dan gaya. 

Daripada Abu Bakr kita belajar, jalan ke sorga itu terletak pada keimanan yang tinggi, membenarkan apa sahaja yang diungkapkan oleh Allah dan RasulNya. Seorang sahabat sejati bukan hanya sampai mati, tapi sorga yang tertinggi!

Daripada 'Umar kita belajar, jalan ke sorga itu terbentang pada erti sebuah hijrah yang sebenar; perpindahan daripada jahiliyyah menuju hidayah. Eh, orang tegas dan garang juga boleh masuk sorga tahu?

Daripada Uthman kita belajar, jalan ke sorga itu diselusuri dengan sikap merendah diri dan malu. Nah, jika 'Umar itu garang, Uthman yang amat bersopan-santun juga bisa masuk sorga!

Daripada 'Ali kita belajar, jalan ke sorga itu dapat dititi dengan kechentaan dan pengorbanan yang besar untuk ar-Rasul. Juga berkorban kepentingan dan kehendak diri sendiri!

Daripada Zubair kita belajar, jalan ke sorga itu pasti buat mereka yang setia pada sunnah yang ditinggalkan baginda. 

Daripada Talhah kita belajar, jalan ke sorga itu akan terbuka buat mereka yang sanggup berkorban nyawa semata-mata untuk menegakkan Islam yang terchenta. 

Daripada Abdul Rahman kita belajar, jalan ke sorga itu bersinar cerah untuk mereka yang tidak terjerat dengan tipu-daya dunia. Siapa kata orang kaya tidak boleh masuk sorga?

Daripada Abu Ubaidah kita belajar, jalan ke sorga itu tidak mahal harganya buat mereka yang mendedikasikan seluruh hayatnya untuk agama.

Daripada Sa'ad kita belajar, jalan ke sorga itu terbina lurus buat mereka yang menjadikan kechentaan kepada Allah dan RasulNya yang pertama-tama sebelum sesuatu.

Dan daripada Sa'id kita belajar, jalan ke sorga itu benar-benar milik mereka yang sabar.

Ah nanges!

Moga-moga! InshaAllah! Nanges. [Kredit]

Anda tahu apa pengajaran paling besar daripada semua ini...? 

Meskipon para sahabat ini tahu bahawa mereka telah dijanjikan sorga oleh Allah - janji yang tidak mungkin akan dimungkiri - namun sehingga ke akhir hayat mereka, mereka tidak pernah lelah berjihad dan menyampaikan risalah, beramal dan memohon keampunan, sehinggalah maut datang menjemput mereka! 

Begitu berbeza sekali dengan kita kan...? Jangan kata sorga, bau sorga pon belum tentu kita hidu. Namun akhlak dan perangai kita seharian, solah-olahnya sudah konpem yang kita akan bebas daripada api neraka dan sudah menempah tiket VIP ke sorga...! Allahu.

Aaaaahhhhh...! Lari laju-laju sambil potong bawang seguni.

Oh ada satu disklemer yang ingin saya lakukan. 

Sebenarnya... Sebenarnya... Sebenarnya... Mutiara naga itu ada tujuh biji. Wahahaha. Err.

Sebenarnya... Sahabat Nabi SAW yang dijanjikan masuk sorga itu ada lebih daripada sepuluh orang! 

Terbeliak.

Betul ke Inche gabbana...?? Dah kenapa yang selalu disebut sepuluh orang yang dijanjikan sorga? 

Sebab nama-nama mereka yang sepuluh ini disebut Nabi SAW dalam sebuah hadith secara sekaligus. Kerana itu mereka digelar 'sepuluh sahabat yang dijanjikan sorga.' Namun selain, daripada mereka itu, terdapat ramai lagi para sahabat yang dijanjikan masuk sorga. 

Sumayyah r.a., Mus'ab r.a., Bilal r.a., Hamzah r.a., Abdullah bin Jahsy r.a. dan ramai lagi para sahabat besar yang lainnya, yang pernah dijanjikan sorga oleh Allah.

Maka ini berita super duper baik untuk kita semua. Kerana ini bermakna, cara untuk masuk sorga itu bukan setakat sepuluh sahaja, malah lebih lagi daripada itu! Walawehhh!

Mata bersinar-sinar.

Abu Bakr. 'Umar. Uthman. 'Ali. Zubair. Talhah. Abdul Rahman. Abu 'Ubaidah. Sa'ad. Sa'id. 

Ingat nama-nama itu. Kerana mereka mengajar kita, betapa manusia itu punya beraneka gaya dan warna. Mereka mengajar kita, nak kejar redha Allah itu boleh sahaja dengan mengayuh basikal, berjalan kaki atau menaiki kereta. Dan mereka mengajar kita, betapa nak masuk sorga itu boleh sahaja dengan apa-apa cara, asal asasnya itu TAQWA!

Ah, saya benar-benar kepingin mahu bercipiki-cipika dengan mereka di sorga sana!

-gabbana-

8 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 13/11/2013, 21:24  

:))

Anonymous 13/11/2013, 21:41  

masyaAllah.sweet reminder indeed!thanks.

cik Bee Hoon 15/11/2013, 07:39  

Encik gucci, video osem yang aritu dah ada pemenang ke?

Anonymous 15/11/2013, 18:14  

Huaha. Nanges kott bace ni. Hehe

Muhammad Nur Fitri 18/11/2013, 07:47  

kisah para sahabat amat meng"inspired"kan umat...

jzkk akhi...(^_^)

n_u_f_a_b 23/11/2013, 23:13  

Slm. Bkn ke dialog lejen Saad bin abi waqqas tu sbnrnya dialog yg disebut oleh Mus' ab bin umayr? Ataupon ana yg dah slh org sbnrnya?
Anyway, jzkk akhi utk entry yg meniup angin smgt fiufiuuu. Thumbs up!

Anonymous 07/05/2014, 16:58  

lnche Dialog saad bin waqas mungkin ralat di situ. Dlm kitab sy dialg tersebut dialg mus'ab

Unknown 13/05/2014, 06:22  

mabruk atas tulisan yg mantap ;)

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP