25 November 2013

Saya Liberal

[Kredit]

"Ish kau tengok budak kecik tu. Nakal betul. Berlari sini. Berlari sana. Kuat teriak pulak tu. Kau tengok bapak dia tu. Boleh ke buat dono. Ingat biskut cap pingpong apa. Ini dalam tren, bukannya taman permainan! Aishhh panas betul aku!"

"Kau ni Maimun, cuba tenang sikit. Budak kecik, biasa lah. Takkanlah kau expect budak kecik sopan-santun ala-ala kumpulan nasyid Rabbani kot..? Elok lagi dia gembira ceria macam tu, daripada menanges tak tentu pasal."

"Masalahnya... Mengganggu ketenteraman awam! Ini harta benda awam, untuk kegunaan awam. Bukannya kegunaan mak bapak dia seorang!" 

"Dah, kau nak buat apa? Nak ikat budak tu? Nak selotep mulut budak tu..? Rilek boleh tak? Kita pon dah nak sampai dah ni. "

"Alah kau ni Zubaidah, malas la aku nak bertekak dengan kau. Daripada aku berbalah dengan kau, baik aku pergi sound bapak budak tu. Tak reti jaga anak! Kau tunggu sini, duduk diam-diam."

***

"Eh Din, penduduk kampung kau ni memang kasar-kasar ke orangnya? Tak puas hati betul aku."

"Aik? Awat lagu tuu...? Tetiba ja hang ni?"

"Tadi... Aku ke surau kampung tepi bendang tu. Masa tu takde orang lain. Ada aku dengan pak Imam je."

"Haaa. Abeh tu?"

"Zuhur pon masuk. Pak Imam tu tenung aku, aku pon tenung dia. Tak pasal-pasal lepas tu dia panggil aku bangsat! Pergghhh dia bikin aku bengkek brooo. Tau la aku bukan orang sini. Tapi tak payah la panggil aku bangsat!"

"Hang biaqq betoiii Lam? Takkan kottt. Pak Imam Yusop tu ka..? Aissshh takkan dia capoi lagu tuuu."

"Sumpah Din. Kau pergi la tanya dia nanti. Kechiwa aku dengan penduduk Kampung Pisang Takkan Berbuah Dua Kali ni!"

***

"Ana musykil la akhi."

"Musykil? Kenapa?"

"Entah. Tadi kan si Adli tu jadi imam kan masa solat Isyak?"

"Haah. So?"

"Takdela. Abes wirid semua tu, semua orang bangun solat sunat ba'diyah. Tapi ana tengok... Dia tak solat pon. Sampai ke sudah. Tu yang musykil tu!"

"Err.. Solat sunat je kan...? Apa yang nak dikecohkan...?"

"Ana tau, ana tau. Tapi.. Orang sehebat Akh Adli tu, ana expect tarbiyah dzatiyyah dia konpem ah kebabommm tahap Super Saiya kesembilan. Qudwah pada orang lain tuu. Tak sangka ana..."

"Leh... Chill boleh tak..? Dia solat lewat sikit kott. Takpe, nanti ana tanya dia. Bagi nta puas hati sikit. Ok?"

***

"Saya dah agak dah dia tu liberal! Dah lama dah saya saspek dia tu liberal, sejak dulu lagiii! Puihhhh! Dasar musuh dalam selimut! Gunting dalam lipatan! Api dalam sekam!"

"Weh berat tu tuduhan anda tu. Tak pasal-pasal je orang lain kena cop liberal. Apa buktinya?"

"Tu ha, status MukaBuku dia yang terbaru tu. Anda nak bukti yang macam mana lagi yang dia tu liberal totok...??"

"Ok. Apa yang dia tulis?"

"SAYA LIBERAL!"

***

"Saya bukan apa kak... Tapi saya tak selesa la dengan Maisarah tu. Sejak kebelakangan ni, asyik lambat je datang ke usrah kita."

"Haah, tu la, akak pon perasan jugak. Hmmm enti ada siasat tak kenapa dia lambat..?"

"Alah kak, tak payah siasat kot. Dia tu sibok sangat dengan urusan kerja di kantor dia tu. Aishh apa nak jadi lah. Dah mula larut dengan dunia."

Err.. Cepat sangat enti buat kesimpulan tu. Betul ke sebab dia semakin sibuk di kantor?"

"Entahlah kak. Apa-apa pon, terasa macam hipokrit pon ada si Maisarah tu. Dulu bukan main lagi dia cakap pasal kepentingan menjaga masa. Harithun 'ala waqtihi. Konon. Entah-entah tak lama lagi, usrah pon dia dah tak nak datang!"

***

Sungguh ramai orang di luar sana yang bercita-cita untuk menjadi hakim amatur; menghukum dan membuat kesimpulan dengan melulu tanpa ada bukti-bukti yang sahih dan benar.

Dan lebih selalu daripada tidak, sangkaan dan tuduhan-tuduhan ini jauh meleset daripada kebenaran. Ketika itu, siapa yang malu..? Kita dan keluarga kita juga.

Malu itu tidak mengapa lagi. Bagaimana dengan fitnah Peah yang telah kita sebarkan? Dengan hati-hati yang telah kita sakitkan? Dengan dosa-dosa yang telah kita kumpulkan..?

Sebab itulah agaknya, Allah menyuruh orang-orang yang beriman untuk menyiasat dahulu sebarang berita yang mereka dengar, terutamanya daripada orang-orang yang fasiq. Kerana sungguh, banyaknya fitnah dan pergaduhan yang berlaku pada hari ini adalah disebabkan oleh tersebarnya berita-berita yang belum terbukti kesahihannya.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasiq datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kejahilan, yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu."
[al-Hujuraat, 49:6]


Bercerita tentang buruk sangka dan kepentingan untuk bertabayyun (meneliti kebenarannya), ada dua kisah menarik yang ingin saya kongsikan di sini.

Pertama adalah bagaimana Rasulullah SAW mengambil langkah selamat bagi mengelakkan timbulnya prasangka dan fikiran yang bukan-bukan dalam kalangan para sahabat.

Kisahnya pada suatu malam, Rasulullah SAW berjalan dengan isterinya di dalam kegelapan malam. Ditakdirkan ketika itu ada beberapa orang sahabat yang berdekatan. Jika difikirkan logiknya, takkanlah para sahabat mahu menaruh syak wasangka pada Rasulullah bukan? Pastilah secara automatiknya apabila ternampak Rasulullah bersama seorang wanita, mereka akan terus bersangka baik bahawa pastilah wanita itu adalah ahli keluarganya bukan?

Namun itu semua tidak menjadikan Rasulullah SAW berdiam diri dan berasa selesa dengannya. Baginda segera mendekati para sahabat dan menjelaskan bahawa wanita yang ada bersamanya adalah isterinya sendiri. 

Nah, lihatlah betapa berhati-hatinya Rasulullah dalam menangani isu prasangka ini. Awal-awal lagi baginda sudah mengambil langkah berjaga-jaga, untuk membuang benih-benih prasangka yang mungkin disemai dalam hati para sahabat, meskipon insan yang terlibat itu adalah seorang Rasul Allah sendiri. 

Keduanya, kisah Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah dan Imam as-Shafi'e rahimahullah. Suatu hari, Imam Shafi'e bermalam di rumah Imam Ahmad. Pada keesokan harinya, anak perempuan Imam Ahmad datang menemui bapanya dan mengadu tentang akhlak Imam Shafi'e yang dirasakan tidak bertepatan dengan akhlak seorang imam besar. Lantas dia hairan dan pelik bagaimana ayahnya selalu memuji-muji kealiman dan kehebatan Imam Shafi'e.

Sudah tentu Imam Ahmad terkejut dengan dakwaan anaknya itu. Apabila ditanyakan apakah akhlak Imam Shafi'e yang dirasakan buruk itu, si anak menyenaraikan tiga perkara:


  1. Imam Shafi'e yang begitu gelojoh makannya
  2. Beliau tidak bangun untuk solat malam sehingga ke Subuh
  3. Beliau tidak berwudhu' dan terus menunaikan solat Subuh di pagi hari

Imam Ahmad, yang begitu hormat dengan Imam Shafi'e, tidak mempercayai kata-kata anaknya begitu sahaja. Dia yakin pasti Imam Shafi'e ada sebab-sebabnya untuk berbuat demikian. Lantas Imam Ahmad pergi menemui Imam Shafi'e dan bertanyakan kepadanya perihal perilaku dirinya ketika bermalam di rumah Imam Ahmad tempoh hari.

Imam Shafi'e tersenyum mendengarkan pertanyaan Imam Ahmad. Ayuh kita teliti jawapan dan maklum balas Imam Shafi'e yang sungguh lejen ini.

"Wahai Ahmad! Sebabnya aku makan dengan lahap dan banyaknya di rumah kamu kerana aku tahu bahawa makanan di rumah kamu jelas halal dan baik. Aku tidak ragu dengan makanan itu sedikit pon, atas sebab itulah aku makan dengan lahap. Lagi pon aku amat memahami bahawa engkau seorang yang sangat pemurah. Makanan orang yang pemurah itu ubat dan makanan orang yang kedekut itu penyakit. Aku makan semalam bukan kerana untuk kenyang tetapi semata-mata untuk berubat dengan makananmu itu.

Perkara kedua yang menyebabkan aku tidak solat malam kerana ketika aku meletakkan kepalaku di atas bantal untuk tidur, tiba-tiba seolah-olah aku melihat di hadapanku Kitabullah dan sunnah RasulNya SAW dan dengan izin Allah malam itu, aku dapat menyusun 72 masalah fiqah Islam sehingga aku tidak sempat solat Malam. Perkara ketiga yang menyebabkan aku tidak berwudhu' ketika solat Subuh kerana aku wallahi! Pada malam itu aku tidak dapat tidur walau sekelip mata, sehingga aku solat Suboh dengan wudhu' Solat Isya’."

Pergh.

Terlalu banyak ibrah yang boleh kita ambil daripada kisah Imam Ahmad dan Imam Shafi'e ini. Antaranya, kadangkala mata kita bisa sahaja berdusta. Apa yang kita lihat, tidak semestinya apa yang sebenarnya berlaku. Apatah lagi apabila ia melibatkan insan-insan hebat dan soleh. 

Dan keduanya sikap dan akhlak Imam Ahmad sendiri yang amat wajar dipuji. Dia tidak terus mempercayai kata-kata anaknya, meskipon itu adalah anaknya sendiri. Dia yang terkenal dengan akhlaknya yang terpuji dan pastinya mahu menjaga ukhuwwahnya dengan Imam Shafi'e, bertanya terus kepada sahabat dan gurunya itu. 

Nah, anda rasa, apa akibatnya andai Imam Ahmad terus sahaja menerima dan mempercayai bulat-bulat kata-kata anaknya itu? Bukankah ia akan menimbulkan fitnah yang besar kelak? Bukankah ia akan mencalarkan ukhuwwah antara kedua imam besar lagi mulia itu...?

Ah! Betapa manis dan indahnya ukhuwwah dan akhlak yang ada pada keduanya...!

Malangnya, sifat ini semakin terhakis dalam diri kita pada hari ini, hatta dalam jiwa mereka yang bergelar dai'e. Status-status di MukaBuku amat cepat dipercayai dan dijadikan hujah. Berita-berita yang sampai ke telinga terus kita percaya dan terima. Kicauan-kicauan yang sampai kepada kita, kita anggap sebagai hukum dan fatwa. Gambar dan foto yang terpampang di Instagram kita, kita jadikan bukti hakiki yang abadi.

Kita malas mahu mencari kebenaran. Punggung kita terlalu berat untuk kita pergi mencari penjelasan. Hati kita lebih suka pada fitnah dan gosip-gosip liar, daripada kisah benar yang membosankan. 

Bukankah kita ini seorang dai'e dan bukannya qadi...?

Tunduk malu. Kuis-kuis kaki. 

Malah apabila kebenaran sudah sampai ke telinga kita sekali pon, belum tentu kita akan menerimanya. Apabila penjelasan sudah diberikan sekali pon, belum pasti kita mahu menelannya. Kerana hati kita sudah begitu kotor untuk semua itu.

Nanges.

Berlapang dadalah, kerana itu adalah serendah-rendah tahapan ukhuwwah. Andai berlapang dada pon tidak mampu kita lakukan, lantas, apa lagi yang tinggal pada ukhuwwah itu..?

[Kredit]
 
*** 

"Saudara... Saudara ni tak reti jaga anak ke..? Ke hulur ke hilir. Tak reti duduk diam! Mengganggu orang lain tahu tak...?? Dah, nanti kena culik ke apa, sapa yang susah?? Saudara jugak!"

"Ma..Maafkan saya Puan... Uhmmm... Mak budak tu baharu sahaja meninggal dunia pagi tadi... Saya tak tahu nak beritahu apa padanya... Saya buntu..."

"Ooohh... Saudara ada tisu...? Mata saya masuk habuk pulak tiba-tiba."

***

"Pak Imam, betoi ka pak Imam cakap kawan saya tu bangsat?"

"Hahhh...?? Bila masa pulak aku habaq laguuu tuuu...??"

"Entah, dia dok mengacom, dia habaq pak Imam dok kata dia bangsat sebelum Zuhur tadi."

"La hawla wala quwwata illa billah. Aku soh dia pi bang, pi azan. Aku cakap la, 'Hang bang sat,' bukannya dia tu bangsat!"

***

"Akh Adli..."

"Hm saya?"

"Ni ha. Ada orang nak tahu. Kenapa nta tak solat sunat ba'diyah lepas Isyak tadi. Dia musykil."

"Oh? Haha. Takde, anak usrah ana, dia belum solat Isyak lagi. Jadi ana nak tunggu dia, nak solat sama-sama dengan dia. Dapatlah dia solat berjemaah dengan ana nanti."

***

"Haaa..? Hahaha. Saya dah lama kottt tak bukak MukaBuku. Konfem lah ada orang hack tu!"

***

"Sarah, akak nak tanya boleh..?"

"Ye kak..?"

"Hmmm. Lately akak perasan Sarah selalu je lambat ke usrah. Sarah ada apa-apa masalah ke..?"

"Allahu... Kalau boleh memang Sarah takmau cerita pada akak dan yang lain-lain... Tapi... Since akak dah tanya.... Sebenarnya... Hmmmm.. Sarah dah infaqkan kereta Sarah tu pada tabung Palestin. Jadi... Sekarang ni Sarah kayuh basikal je ke mana-mana. Tu yang selalu lambat tu. Dan berpeluh ketiak. Hehe."

***
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik..."
[al-Hujuraat, 49:12]


-gabbana-

Sekiranya anda punya kelapangan dan masa percuma, cari juga kisah Sai'd bin Amir al-Jumahi r.a., seorang sahabat besar yang begitu zuhud dan tinggi taqwanya. Hayati kisahnya ketika menjadi gabenor di Hims bersama dengan 'Umar al-Khattab r.a., Amirul Mu'minin ketika itu. Pasti akan membuatkan anda terlopong atau mengalir air mata.

Moga bermanfaat. 

20 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 25/11/2013, 15:33  

Sungguh .... diriku penuh prasangka ... Terima kasih .. :)..
Your article make me think ...

Anonymous 25/11/2013, 15:49  

Assalamualaikum.Boleh cadangkan buku yang ada kisah-kisah sahabat, kisah Rasulullah saw, dan figur Muslim hebat yang selalu anda sisipkan dalam tulisan anda ini?

Anonymous 25/11/2013, 15:51  

Liked. Sungguh benar, jika dilihat pada situasi tersebut, ramai yg kurang matang dlm membuat penilaian. Kebanyakan manusia mudah mempercayai mengikut emosi tanpa soal selidik dulu sedangkan kita diberikan akal untuk menilai. Dan pada masa yang sama walaupun ada yg cuba positifkan prasangka itu, tetap kita x mahu percaya selagi tiada bukti depan mata. Nauzubillah, minta kita semua dijauhkan dari kejahilan yg bahaya ini. Moralnya, berfikir panjanglah sebelum membuat sesuatu penilaian. Usah menghakimi. Sikap ini boleh diubah dgn istighfar dan sudah tentu ianya bermula dr rumah. Hehe.

rijal1431h 25/11/2013, 16:07  

Jazakallah.. aritikel yg tersangat melekat di hati..

Anonymous 25/11/2013, 16:41  

Boleh baca buku Sirah 60 Sahabat karangan Khalid Muhammad Khalid. kisah Sa'id bin Amir ada dalamnya.

Anonymous 25/11/2013, 17:51  

65 gambaran kehidupan sahabat. Dr Abd Rahman Ra'fat al-Basha. Pustaka Salam. sangat menarik insyaAllah :)

Anonymous 25/11/2013, 18:20  

syukran. sy punya tunggu post IG 5 hari ni. tgk2 IG post pd besday sy.
bole sy anggap ni hadiah precious dari IG? mabruk ^^

Anonymous 25/11/2013, 20:31  

Penulisan Inche Gabbana dah matang. Like both of your writing approaches. Yg matang dan kurang matang. Jzkk! Good entry to be pondered.

Unknown 26/11/2013, 00:11  

masyaAllah... terbaik~

Anonymous 26/11/2013, 00:18  

penulisan semakin matang dan menarik

Alhamdulillah, still sampai makna2 yang tersirat

Anonymous 26/11/2013, 00:30  

Syukran ya akhi. Saya ni memang antara makhluk Allah yg mudah berprasangka. Terima kasih kerana bagi pengajaran yg baik untuk saya. :')

Anonymous 26/11/2013, 01:48  

Kalau tgk kws anggota deria kita,mulut lah y berada paling bawah sekali.telinga,mata.hidung brada hmpir dgn otak kita.tht.s it.Allah mnjdikan kjadian ddnia ini bukan semata_mata.

Miss Kelabu 26/11/2013, 11:32  

masyaallah..sangat terkesan di hati..

bell 26/11/2013, 21:26  

"Aku cakap la, 'Hang bang sat,' bukannya dia tu bangsat!"

haha yg ni terbaikkk. blh salah dgr smpai gitu skali xD

btw,kalau blh nak tegur psl gmbr hiasan kat atas skali tu (gmbr kaki lelaki),blh nmpk auratnya..maybe blh ganti yg lain. >.<

Today's Rant 27/11/2013, 06:04  

Nangis laju2..

Anonymous 27/11/2013, 09:24  

Gambar tu..

Kalau nak bersangka baik, " Er..tu budak lelaki belum baligh kot."

Maybe boleh diedit balik bagi panjangkan lagi seluar dia ke.. Aseef. Apa pun just nak berhati-hati.

Jzkk.

Anonymous 27/11/2013, 23:43  

penulisan yg mantap tapi lagi canteek kalo admin tulis psl tajuk nie yg bawa maksud sbenar ttg liberal.

Liberal, ramai org yg xtau pasal benda tu.so,sangaatla cun kalo tajuk liberal dpt dikupas dgn cntoh2 yg sgt sesuai.

qaseh 28/11/2013, 13:38  

Alhamdulillah dan terima kasih.
Sungguh.
Apabila Allah memberi ilham itu, ilham itu sukar untuk kita menidakkan kekuatannya.

Zinedine Zaiddin 29/11/2013, 08:55  

Tang hehehehehe lepas berpeluh ketiak tu...memang osem. Kelakar. Lawak.

hahaha

Saya pun kena belajar banyak2 bersangka baik..mengambil ibrah dari cerita yang dijalin dengan begitu kemas oleh tuan blog.

From: Bila Karipap Boleh Bercakap

Unknown 01/12/2013, 07:54  

insyaAllah, saya akan amik kisah ini sebagai iktibar. satu benda yang saya belajar ased in my own experience this past few weeks, NEVER trust whatever other people say. sebab banyak sgt cerita la yang menyebabkan kita curiga pada orang. thanks, Inche Gabbana.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP