20 November 2013

Vila Salsabila

Jeng jeng jeng... [Kredit]

Malam itu angkernya lain macam.

Ah sudah. 

Menyesal pula Sudin mengajak rakan-rakannya 'memburu' hantu dan jin hutan tengah-tengah malam begitu. Semuanya gara-gara teruja dan terpengaruh menonton filem 'Menara Genting Highland' sebelum itu. Filem yang mengisahkan tentang kasino lama yang berhantu itu, menyebabkan Sudin entah mengapa bersemangat satu macam untuk merasakan sendiri pengalaman bertemu dengan makhluk dari alam ghaib.

Tapi ofkoslah dia tak berani nak pergi seorang diri. Maka geng basikal fixinya yang seramai lapan orang itulah yang menjadi mangsa ajakannya. Mereka yang turut menonton filem 'Menara Genting Highland' bersama-sama bersetuju dengan ajakan Sudin kerana turut sama teruja dengan sutradara filem genre seram itu.

Dan kini mereka juga turut menyesal. Suasana malam itu benar-benar menyeramkan. Meski bukan malam Jumaat, namun aura malam itu terasa macam malam-malam Jumaat selama sebulan dikumpulkan sekali.

Namun kerana masing-masing nak jaga ego, masing-masing nak tunjuk macho, tiada siapa yang mahu mengaku yang meremang jugalah bulu tengkuk mereka dek keseraman yang mereka rasakan. Malah Zamani, salah seorang daripada ahli rombongan memburu hantu itu, hampir-hampir terkencing dalam seluar apabila tidak semena-semena seekor kucing hitam bermata kuning terang melintas di hadapan mereka.

Apatah lagi lokasi yang mereka pilih untuk aktiviti paranormal mereka adalah Vila Salsabila; sebuah banglo usang yang terletak di atas bukit tidak jauh dari padang tempat mereka selalu berkumpul untuk bergaya dengan aksi lasak basikal mereka. Banglo itu sudah lama tidak berpenghuni, sejak zaman awal merdeka lagi. Sudah bermacam cerita, hikayat dan dongeng yang mereka dengar tentang rumah puaka itu. 

Ada yang mengatakan banglo itu dahulunya diduduki oleh sepasang suami isteri berbangsa Inggeris, yang mati dipenggal kepala oleh tentera Jepun yang datang menjajah Tanah Melayu ketika itu. Ada yang mengatakan banglo itu merupakan markas tentera-tentera Bintang Tiga; maka ramailah mangsa seksaan dan kekejaman komunis di banglo itu. Dan ada juga yang mendakwa banglo itu pernah dijadikan rumah sembelihan korban bomoh Siam bagi memuja ruh-ruh dan jin-jin yang berkeliaran bebas di kawasan itu. Ala-ala Mona Fendi gitu. 

Pendek kata, banglo itu tidak pernah lekang dari kontroversi dan kisah-kisah yang menakutkan. Bukan sedikit orang yang mendakwa pernah melihat atau mengalami perkara-perkara yang pelik dan menyeramkan. Ada yang mengatakan pernah melihat sepasang suami isteri di beranda tingkat atas sedang duduk minum kopi. Ada yang yang pernah ternampak wanita berpakaian putih melilau di sekitar banglo tersebut. Ada juga yang mendakwa pernah terdengar seolah-olahnya ada perbarisan tentera yang sedang berkawad di kawasan sekitar banglo tersebut. 

Angker.

Maka, tiada tempat lain yang lebih baik dan sesuai untuk projek Sudin dan rakan-rakan melainkan Vila Salsabila, berdasarakan rekod cemerlang banglo tersebut sebagai tempat misteri yang penuh dengan puaka. Sehingga malam itu, belum pernah sesiapa lagi yang cukup berani untuk meneroka dan menyiasat sendiri rahsia Vila Salsabila. Paling paling hebat pon tiga tahun lalu apabila tiga orang pemuda ke sana untuk membuat rakaman ala-ala 'Seekers' untuk dimuatnaik ke TiubAnda. Peristiwa itu berakhir dengan ketiga-tiganya lari lintang-pukang dengan salah seorangnya terlucut kain pelikat yang dipakai, kerana kononnya disergah oleh suatu suara garau yang tidak diketahui mana puncanya. 

Andai mereka berjaya membongkar misteri Vila Salsabila malam itu, maka merekalah yang pertama sekali berbuat yang sedemikian. Ada can masuk buku rekod. 

Namun sampai sahaja di kaki bukit, Aslam dan Ruzaini mencadangkan agar mereka semua mempertimbangkan semula pelan mereka untuk menerjah Vila Salsabila malam itu. Aslam menggunakan alasan cuaca malam itu yang tampaknya mendung dan mungkin akan hujan. Manakala Ruzaini pula mengatakan dia berasa tidak sedap hati, dan dakwanya lagi, selalunya apabila dia mengalami perasaan sebegitu, pasti akan benda buruk yang bakal terjadi.

Sudin sebagai ketua ekspedisi menyanggah cadangan mereka berdua. Katanya, tiada apa yang perlu ditakutkan, apatah lagi mereka bersembilan kesemuanya. Takkanlah sembilan orang lelaki gagah perkasa kecut perut kot? Walhal sejak dari tadi ada rama-rama yang berterbangan dalam perut Sudin. 

Maka dengan bacaan doa oleh Mahmud - yang paling ostad dalam kalangan mereka - mereka akhirnya memulakan pendakian naik menuju ke Vila Salsabila. Sudin sebagai ketua menawarkan diri untuk berjaga pada posisi paling belakang, kononnya untuk menjaga ahli-ahli rombongan yang lainnya. Sedangkan kalau ada apa-apa yang berlaku, dia dahulu yang angkat kaki! 

Masing-masing menyalakan lampu suluh yang dibawa. Tapi mentang-mentanglah zaman telefon pintar kan, semua pon pakai lampu kilat kamera telefon sahaja. Sempat lagi tu Rafiq dan Haikal buat selfie dan muatnaik ke akaun Instagram mereka. Kapsyen foto mereka, "Mencari ketenangan, memburu makhluk Tuhan." Ceh. 

Walaupon ada jalan berturap untuk naik ke Vila Salsabila, dek kerana kawasan tersebut yang sudah lama terbiar dan ditinggalkan, jalan untuk naik ke atas dipenuhi dengan semak samun dan lalang-lalang setinggi bahu. Najdi sebagai orang yang paling hadapan, terpaksa berhadapan dengan risiko toyol melompat secara tidak semena-mena atau ada langsuir yang melintas dengan gigi berseringai. Eheh.

Akhirnya selepas kurang lebih setengah jam, dengan daki yang sudah mula berkumpul pada kolar baju dan peluh yang membasahi ketiak, mereka akhirnya tiba di perkarangan Vila Salsabila. Mujur tiada apa-apa yang menakutkan berlaku. Belum lagi. 

Banglo yang masih berdiri gah itu meski sudah ditinggalkan sejak sekian lama, masih tampak indah disinari dengan cahaya bulan purnama. Oh lupa nak beritahu yang bulan mengambang penuh malam itu. Cerita seram katanya. Kagum jugalah mereka dengan binaan Vila Salsabila itu. Tidak sangka mereka ia secantik itu. Selama ini hanya memerhatikan dari jauh sahaja.

"Ok geng, alhamdulillah kita dah selamat sampai ke sini. Kita akan pecah tiga; tiga orang satu kumpulan. Kumpulan satu, aku, Mahmud dan Zam. Kumpulan dua, Lam, Naj dengan Zack. Dan kumpulan tiga, Ruzai, Raf dan Haikal. Kumpulan satu akan naik ke tingkat atas, ke bilik utama yang dikatakan tempat pasangan suami isteri omputih tu dibunuh. Kumpulan dua ke dapur, sebab ada orang pernah dengar ada bunyi memasak kat situ. Dan kumpulan tiga, korang keliling banglo ni sambil jadi sentri. 

Kalau jumpa atau nampak apa-apa, waksep dulu. Kalau tak terketar ah. Sebab kalau boleh, tak nak bagi benda tu lari. Pape hal, jerit je sekuat hati. Bereh?"

Penuh berkarisma sekali Sudin memberikan arahan. Ketua lah katakan. Sengaja dia pilih Mahmud bersama dalam kumpulannya; sekurang-kurangnya kalau ada pontianak buat serprais nanti, bolehlah Mahmud baca jampi serapah mana yang perlu. 

"Bereh!"

Bergema kawasan banglo itu dengan laungan persetujuan mereka. 

Maka berpecahlah mereka sepertimana yang telah dicadangkan oleh Sudin. Sebaik sahaja mereka memasuki banglo usang itu, sekali lagi aura ngeri dan menyeramkan menyelubungi mereka semua. 

"Assalamualaikum! Boleh kami masuk tak? Kami ni datang nak ziarah je, bukan nak buat kacau. Hallo enibadihom? Eh."

Perabot-perabot di rumah itu masih lagi tersusun rapi, meski sudah usang dan berhabuk. Malah, pada lantai halaman utama, masih ada permaidani tebal yang mengalasnya. Ada potret seorang wanita berpakaian ala Inggeris yang memandang tepat ke arah mereka. Gila cuak.

"Sudin, kau sure ke ni? Adoi kenapa la aku setuju nak ikut kau buat kerja gila ni!"

Zamani mengomel. 

"Ish kau ni Zam. Kalau kau nak balik, kau baliklah. Tapi kalau kau terserempak dengan hantu bungkus on the way balik nanti, kau kem salam sayang aku kat dia! Kekeke."

Tak pasal-pasal Zamani menelan 5ml air liur serta-merta mendengarkan usikan Sudin itu. Dia hanya mampu menjeling Sudin tanda tidak puas hati campur takut. 

Tatkala kaki mereka memijak anak-anak tangga kayu yang sudah reput itu, tiba-tiba kedengaran bunyi salakan anjing bersahutan dari jauh. Tiada kebetulan dalam hidup ini. Camtuha.

Sudin memberhentikan langkahnya. Peluh sejuk mengalir laju di tepi dahinya. Kali ini dia memang betul-betul rasa seram. Bukan setakat bulu tengkuk yang naik, bulu tangan dan kakinya turut berdiri sama. 

"Ish apsal kau berhenti ni Sudin? Naiklah!"

Mereka meneruskan langkah mereka dengan berhati-hati. Akhirnya mereka sampai ke tingkat atas. Penuh dengan debu. Akar-akar pokok tumbuh menjalar di lantai kayu. Dindingnya pula kusam, penuh dengan kulat hijau yang tebal. Memang epik. 

Namun selain daripada itu, semuanya tampak normal sahaja pada tingkat atas di Vila Salsabila itu. Sudin, Mahmud dan Zamani berlegar-legar mencari-cari kalau ada apa-apa yang menarik, tetapi tiada apa yang benar-benar signifikan yang boleh dikategorikan sebagai berpuaka, melainkan perhiasan dalaman di tingkat atas itu yang sudah usang dan reput. 

Semuanya berjalan lancar, sehinggalah tidak semena-mena Sudin terhenti. Matanya membundar. Gayanya seperti dia ternampak sesuatu yang menakutkan. Mukanya tiba-tiba sahaja pucat.

Mahmud yang menyedari perubahan pada Sudin datang mendekatinya.

"Eh kau ok ke Din? Lain macam je aku tengok."

Seram pula Mahmud dibuatnya, melihatkan Sudin sebegitu rupa.

Lama Sudin berdiam, sebelum dia memandang Mahmud dan menjawab.

"Ha..? Aku ok. Aku ok. Cuma..."

Ketika itu juga terdengar jeritan nyaring dari tingkat bawah. Rafiq. 

"Oyyy aku nampak langsuir oyy! LANGSUIRRRR!!! Lariii! Laaariiiii!!!"

Tercicit-cicit Zamani mendahului menuruni anak-anak tangga, diikuti oleh Mahmud dan Sudin. Bekeriuk-keriuk bunyi tangga kayu yang sudah reput itu. Mujur tidak roboh. 

"Lari wehhh lariiii! Sumpah aku nampak langsuir taaaadiiii!"

Maka berlarilah mereka semua menuruni bukit meninggalkan Vila Salsabila, tanpa memandang ke belakang lagi. Naik bukit setengah jam, turun bukit tak sampai lima minit! Pergh.

Sampai sahaja di kaki bukit, tercungap-cungaplah masing-masing, mencari saki-baki nafas yang ada. Rafiq yang paling pucat sekali. Lain-lain rata-ratanya pucat sebab semput.

Ketika itulah mereka menyedari yang Sudin tiada bersama dengan mereka. Ah sudah. 

"Ya Allah! Sudin mana Sudin...?? Sudinnn! SUDDDIIINNNN!!!"

Nak naik balik cari Sudin, tiada siapa yang berani. Silap haribulan bukan jumpa Sudin, tapi langSudin. Ok lame.

Ketika itu baharu Mahmud teringat akan reaksi pelik Sudin di Vila Salsabila tadi. Lantas dia menceritakan perihal Sudin kepada rakan-rakannya yang lain. Dua tiga orang jugalah yang terbeliak mata mendengar cerita Mahmud itu. Zamani seorang yang terlopong mulutnya.

"Uishhh ye ke Mud..?? Sudin dah kena rasuk kottt!"

"Eh kau ni Haikal, celopar betul mulut kat tu! Tenang geng, tenang. Sekarang kita kena cari Sudin sampai jumpa. Kita cari dulu area kat kaki bukit ni dan kawasan sekitar. kalau tak jumpa juga, bila dah cerah nanti, baru kita naik balik cari dia. Amacam?"

Najdi mengambil-alih tugas sebagai ketua. 

"Pape hal, waksep."

Najdi memberikan pesanan terakhir sebelum mereka berpecah dua. 

Jam ketika itu sudah pon menunjukkan angka empat dan tiga puluh lima. 

Kurang lebih empat puluh lima minit selepas pencarian Sudin bermula, henpon Najdi bergetar, mendapat waksep dari kumpulan yang satu lagi. Mereka mendakwa yang mereka sudah berjaya menjumpai Sudin. Dia sedang terbungkang lena di surau al-Muttaqin, tidak jauh dari kaki bukit Vila Salsabila. 

Arakian bergegaslah Najdi, Rafiq, Zamani, Haikal dan Zack ke surau tersebut. Sebaik sahaja mereka tiba di surau al-Muttaqin, Sudin sudah pon terjaga dari tidurnya. Semuanya teruja, mahu mendengar sendiri misteri kehilangan Sudin. Adakah dia diculik langsuir? Dia nampak apa di Vila Salsabila? Macam mana dia boleh sampai dahulu ke surau itu; dia terbang atau ada hikmat gerakan sejenak? Pelbagai soalan bermain di kepala. 

"Sudin, kau ok ke Sudin..? Kau hilang mana tadi...??"

Sudin yang masih mamai terpinga-pinga. Dia meminta izin untuk pergi mengambil wudhu' dahulu. Ketika itu, sudah ada pakcik-pakcik tua yang sampai, bersiap-sedia untuk solat berjemaah Subuh di surau itu. Ada dua tiga orang pakcik yang menegur mereka, jelas teruja dengan kehadiran anak-anak muda untuk menunaikan solat Subuh bersama-sama. Konon.

Sekembalinya Sudin dari mengambil wudhu', wajahnya gusar. Dia tampak resah. Dia mengajak rakan-rakannya ke belakang surau, kerana khuatir mereka akan berbuat bising dan mengganggu jemaah yang sudah semakin ramai. 

"Ha, cita lah Sudin! Kau ni buat kitorang cuak je tahu?? Kau pon nampak ke langsuir yang Rafiq nampak tu...??"

Sudin membisu. Ditatapnya satu persatu wajah rakan-rakannya. Akhirnya dia bersuara. 

"Aku... Aku... Aku betul-betul minta maaf geng. Waktu kat banglo tadi, masa aku dengan Mahmud dan Zam kat atas tu, semua ok je mula-mula. Tapi lepas tu... Tiba-tiba..."

Saspens. Masing-masing menahan nafas, menantikan apakah yang bakal keluar dari mulut Sudin. Dupdap dupdap. 

"...aku teringat yang mutabaah amal aku tak setel lagi. Tilawah dengan qiam. Tu yang aku cepat-cepat lari pergi surau tu! Minggu lepas dah la aku kantoi. Abang naqib aku marah kottt..."

-gabbana-

Ada kena-mengena dengan yang hidup. Yang dah mati saya tak tahu.

Jangan lupa ambil wudhu' dan baca doa tidur malam ni. Hihihi. 
 

24 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 20/11/2013, 20:11  

style and nice cerita :)

Anonymous 20/11/2013, 20:29  

hepi ending..

Muhd Azmi 20/11/2013, 20:32  

naisss (y)

Anonymous 20/11/2013, 20:32  

Dup dap dup dap jantung. Tibe tibe anibadihome pulak buat lawak. Haha

Anonymous 20/11/2013, 20:40  

Smart :-) serious dupdap baca. Haha.

Unknown 20/11/2013, 20:56  

haha! yaAllah....sabar je lah.

kokümuslim 20/11/2013, 21:04  

adoi la sudin,nakal betul.
haha gempak benor parody siap dengan mutabaah amal! kalah villa nabila.
sebagai pengajaran kita kena completekan mutabaah amal dulu sebelum mana2 - huhu tersentap jugak sebenarnya. heh

khairunn 20/11/2013, 21:15  

Terbaikkk ahhh... dahla... tgh tonton seekers nih.... adoiiyai smpai kat the end ...
lempang -lempang dinding

Best tahap gaban!

Anonymous 20/11/2013, 21:27  

Haha..xklakar lansung * versi main2

*versi siyes-daebak!!!!

lyana zahim 20/11/2013, 22:58  

hai, meh follow blog kita yunk

Anonymous 20/11/2013, 23:01  

okay.dah terkekeh-kekeh depan laptop.

terbaek!

anonymous ikhwah 20/11/2013, 23:08  

Akhi, adam xjoin skali ekspidisi tu? Hehe

Anonymous 20/11/2013, 23:49  

Sumpah terketar jugak baca sorang dekat pukul doblas ni .

Sekali ending ,, pergh . Terguling .

Anonymous 21/11/2013, 00:45  

enibadihom?hahahaha.

Unknown 21/11/2013, 07:49  

mula2 excited..plak2 baca dlm gelap..
leps tu buka lampu rase seram huhu
lepas tu sengih sorang2...
last gelak..
huhuhu seyss bestt gilerr ctr nieh (tumps up smbil goyang)

Ayyid 21/11/2013, 12:50  

Adoyai. Terkena batang hidung.kekeke

Nice one akhi ;)

Anonymous 22/11/2013, 12:37  

haishh,,,seram bce ...hahhaha.thank for the awesome n3..

Today's Rant 22/11/2013, 15:59  

Pasni nk bt ekspidisi kne completekn mutabaah ibadah dlu! Noted. ^^

Anonymous 23/11/2013, 01:43  

memang x goyang baca.. cuma ternanti2 pengakhirannya... hahaa mmg mantap... boleh kalah david teyo ni.

Nawfal Fathel 23/11/2013, 04:19  

Boleh tahan .

Anonymous 23/11/2013, 15:05  

Hahaha. K. Serius lawak. Ending dia macam tak habis lg ni

Anonymous 25/11/2013, 13:59  

Best3

Anonymous 29/11/2013, 20:46  

Osem gilaa bro !

Sumpah.

-anak ayah- 07/12/2013, 18:08  

seriyes,
baru bace bajet seram
sekali,mak aih,agak sentap

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP