29 November 2013

Ainul Mardhiah: Bahagian II

[Kredit]

Hati Muzammil berdegup kencang. Dup dap. Dup dap. 

Dia tidak berani untuk mengangkat mukanya, memandang wajah yang duduk bertentangan dengannya itu.

Ya Allah, ujian apakah ini...?

Tidak semena-mena mengalir air mata panas, membasahi pipinya. Cepat-cepat Muzammil mengelapnya dengan buntut tapak tangannya. 

Timbul bibit-bibit penyesalan dalam dirinya. Terdengar bisikan dan hasutan syaitan yang menyuruhnya untuk membatalkan sahaja pertemuan itu dan meminta maaf sahaja kepada semua. Senang. 

Alah, orang pon faham. Kalau marah pon, sekejap je. Biasalah benda-benda macam ni, bukan tak pernah dibuat orang.

Muzammil menarik panjang nafasnya. Dalam. Dadanya semakin tenang. Timbul sinar keyakinan jauh di sudut hatinya, bahawa itu bukan kebetulan tapi suatu ketentuan. 

Haadza min fadhli rabbi. 

Bismilllah.

"Assalamu a'laikum warah matullah. Nama.. Nama ana, Muzammil. Ahmad Muzammil bin Ahmad Rafi'e."

Muzammil memulakan bicara.

***

Aaaa. Apa lah aku nak letak ni. 

Mardhiah berkira-kira mahu menulis apa pada ruang 'Kelebihan.'

Aku nak letak, gemok dan pendek lah. Justeru, comel. Boleh? Hahaha.

Mardhiah berseloroh dengan dirinya sendiri. 

Mardhiah sedang memandang skrin komputer ribanya. Untuk lebih spesifik, borang Baitul Muslimnya pada perisian Microsoft Word.

Sehingga saat itu dia masih tidak dapat mempercayai yang akhirnya dia akan mengisi juga borang BM sendiri. Terasa seperti berada di planet Uranus.

Ketika dia menghantar pesanan Whatsapp kepada Salwa untuk dihantarkan kepadanya contoh borang BM sedia ada, Salwa membalas permintaannya itu dengan lima emotikon senyum lebar nampak gigi, tujuh emotikon senyum sambil tertangis dan tiga emotikon muncung dengan lambang cinta. Juga dengan zikir tahmid, tasbih, takbir dan istighfar yang tidak berhenti. Jelas Salwa tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya. 

Terketar-ketar Mardhiah ketika menerima contoh borang BM dari Salwa yang dihantar menerusi emel. Dua tiga kali juga dia berfikir, sama ada dia benar-benar mahu meneruskannya. Akhirnya, dia tekad. Dengan lafaz basmalah, dia menekan pautan yang dihantar dan memuat turun kandungannya.

Kelakar la aku ni. Dengan borang BM pon nak kecut perut. Macam mana la nak pergi berjihad kat Palestin tu nanti.

Bahagian awal borang tersebut tidak menjadi masalah untuk Mardhiah mengisinya. Nama, umur, tinggi, berat, pendidikan... Semuanya ibarat mengunyah kek Chocolate Indulgence Secret Recipe sahaja. 

Namun apabila tiba kepada soalan-soalan seperti "Nyatakan kelebihan yang ada pada diri anda," "Nyatakan kekurangan yang ada pada diri anda," "Apakah harapan yang anda letakkan pada BM yang bakal dibina," dan yang seangkatan dengan itu, berpeluh-peluh kepala Mardhiah dibuatnya. 

Tiba soalan maut - "Nyatakan ciri-ciri idaman bakal suami anda" - bundar mata Mardhiah melihatnya. Dua tiga kali dia terpaksa menelan air liur, terkejut agaknya dengan soalan itu. 

Adoiii macam mana nak jawab ni. Letak je la, nak hensem macam Batman, hensem macam Superman tapi warak macam Aliman. Boleh tak..? Kekeke.

Mardhiah menggaru tudungnya.  

Jujurnya, seumur hidupnya tidak pernah langsung terlintas dalam kepalanya soalan sedemikian rupa. Sejak kecil, dia sudah menerima hakikat bahawa dia punya kekurangan dari segi rupa paras dan fizikal, jika hendak dibandingkan dengan adik-beradiknya yang lain, meskipon rakan-rakannya di sekolah. 

Dia sudah lali dengan ejekan dan usikan orang ramai tentang dirinya. Gepen la, katak kodok la, Doraemon la dan entah bermacam-macam lagi gurauan kasar yang pernah dilontarkan kepada dirinya.

Hati mana yang tidak remuk dengan penghinaan sebegitu rupa. Jiwa mana yang tidak berkecamuk dengan tamparan sepedih itu.

Kemuncaknya adalah apabila ibunya sendiri pernah secara bergurau berkata kepadanya, "Kamu tak payah kahwin la Mar. Kamu duduk dengan mak, jaga mak sampai tua. Bukan ada orang yang nak kahwin dengan kamu pon."

Ketika itu terasa seperti ada sembilu tajam yang menusuk tepat ke jantungnya. Terasa dadanya sempit, sukar untuknya bernafas. Air matanya mengalir laju tidak tertahan. Lama juga dia tidak bertegur-sapa dengan ibunya selepas perisitiwa itu. Semuanya gara-gara gurauan yang tidak kena pada tempatnya. 

Awal-awal dulu memang Mardhiah akan mudah menjadi emosional, marah dan gundah setiap kali dia diejek sedemikian rupa. Yalah, perempuan mana yang tidak mahu rupa paras yang cantik? Perempuan mana yang tidak mahu punya keterampilan yang menarik? Dan bukan sekali dua dia menyalahkan takdir, marah pada Tuhan kerana menjadikan dia sedemikian rupa. 

Bukan sedikit wang yang dia habiskan untuk menguruskan badannya yang gedempol itu. Sudah merata-rata pusat rawatan kecantikan yang dikunjunginya untuk melicinkan kulit wajahnya yang menggerutu itu. Sudah bermacam produk kecantikan yang dicubanya untuk memberinya wajah yang lebih bersinar dan kulit yang lebih mulus dah halus. Namun semuanya tidak memberikan hasil sepertimana yang diidam-idamkannya.

Mardhiah tetap Mardhiah yang asal. Dan lama-kelamaan, dia sudah mula dapat menerimanya.

Akhirnya dia menjumpai sesuatu yang lebih baik daripada semua itu; tarbiyah. Tarbiyah telah menyelamatkan dirinya. Tarbiyah telah mengajar dirinya erti sabar dan redha. Tarbiyah telah mendidiknya dirinya untuk belajar memahami, menanggapi dan meyakini perancangan Allah untuk diriNya.

Dan yang paling penting, daripada tarbiyah, dia telah belajar bahawanya kecantikan hati itulah yang lebih utama berbanding dengan kecantikan paras rupa. Bertitik-tolak dari situ, Mardhiah berazam untuk menjadi seorang manusia yang tercantik pada pandangan mata TuhanNya. Meskipon dia buruk dan hodoh di sisi manusia, dia bertekad mahu menjadi selebriti paling cun bergaya dalam kalangan para penduduk langit sana. 

Maka keluarlah seekor rama-rama yang begitu indah dan mempesona dari kepompong jumud yang selama ini merosakkan fikiran dan jiwa. Mardhiah menjadi seorang serikandi dakwah yang begitu bersemangat dan bermotivasi tinggi, sentiasa menjadi inspirasi dan sebutan para akhawat yang lainnya. Sentuhan peribadi dan taujihat berapi dari Mardhiah sentiasa dinanti-nantikan oleh para akhawat yang sentiasa dahagakan tamparan rabbani dan goncangan imani. 

Saban tahun, semakin ramai akhawat yang berjaya dilahirkan menerusi sentuhan Mardhiah. Anak-anak buahnya bertebaran di merata tempat, mewarisi perjuangan Mardhiah dalam menyebarkan risalah Allah. Hanya Allah sahaja yang tahu nilai semasa saham-saham sorga Mardhiah yang semakin menjulang tinggi saban hari. 

Saban tahun juga, Mardhiah menyaksikan sendiri satu-persatu anak-anak buahnya mendirikan rumah tangga. Malah Mardhiahlah insan yang bertanggungjawab untuk duduk dan sama-sama membimbing anak-anak buahnya itu untuk meletakkan ciri-ciri pilihan yang terbaik pada seorang al-akh yang bakal menjadi suami mereka nanti.

Ironi. 

Dan kini Mardhiah terpaksa berhadapan dengan realiti, bahawa gilirannya sudah tiba. 

"Nyatakan ciri-ciri idaman bakal suami anda."

Mardhiah kaku. Tidak tahu mahu diisi apa pada ruangan itu. Ditenungnya skrin komputer ribanya itu, seperti mahu dimakan satu-persatu aksar ayang terpampang di hadapannya.

"Beriman. Bawa sekurang-kurangnya lima usrah."

Cepat-cepat Mardhiah menekan kekunci 'Backspace', memadam kembali apa yang telah ditaipnya.   

"As-Sidiq seperti Abu Bakr, tegas seperti 'Umar. Pemalu seperti Uthman. Gagah seperti 'Ali."

Backspace. Gila.

Mardhiah memejamkan matanya. Penat. Tidak disangkanya kerja mengisi borang yang disangkakan mudah itu boleh jadi begitu meletihkan.

Ya Allah, pandulah hatiku.

Mardhiah mencelikkan matanya dan dengan pantas dia menaip.

"Sederhana. Boleh menerima diri ini dengan seadanya."

Alhamdulillah, siap!

Mardhiah menekan pautan 'Save' dan segera dilampirkan borangnya itu pada emel balasnya kepada Salwa.

Bismillah.

Send.

***

Muzammil menatal pantas borang BM di hadapan matanya itu. 

Umur. Lepas. Tinggi. Ok. Pendidikan. Bereh. 

Muzammil tidak hirau sangat pada aspek-aspek lain pada borang yang sedang ditatapinya itu.

Kelebihan. Kekurangan. Hobi. Makanan kegemaran. Pekerjaan ayah. Jumlah adik-beradik.

Namun tiba-tiba Muzammil jadi tidak keruan apabila tiba masanya untuk dia melihat foto si pemilik borang. Berdebar-debar. 

Dia menarik nafas. Drama.

Darahnya berderau apabila pertama kali menatap wajah si ukht. Hampa. 

Muzammil pantas menutup kelopak matanya. Rapat. Dia beristighfar beberapa kali. Kemudian apabila dia sudah sedikit tenang, teragak-agak dia menekan bulatan berwarna merah dan bersimbol 'X' pada penjuru kiri skrin MacBooknya. 

Not this time.

Masuk itu, sudah lebih sebelas borang yang ditolaknya. Sebelas. 

Jujur, Muzammil sendiri tidak tahu apa yang sebenarnya dimahukannya. Lawa? Cantik? Penyejuk mata? Muzammil tahu semuanya itu adalah subjektif, bergantung kepada 'selera' masing-masing. 

Dia sampai sudah naik malu kepada pengurus al-Baitul Muslimnya. Awal-awal dahulu, dia menyangka prosesnya mudah dan pantas sahaja. Maka apabila ditanya apakah kriteria dan ciri-ciri bakal isteri pilihan, dia dengan mudah menjawab, "Siapa-siapa pon ok, InshaAllah. Asalkan akhawat yang beramal. Ustaz pilihlah."

Rupa-rupanya baharu dia tahu, ia tidak seringkas itu. Kerana ia berkait rapat dengan hati. Hati yang amat mudah berbolak-balik itu. 

Akhirnya dia belajar untuk lebih jujur apabila menyatakan kehendak hatinya. Meski ia bakal membuatkan pipinya merah padam dan peluh sejuk mengalir perlahan di tepi dahi, itu lebih sejahtera. 

"Akhi, anta yang nak kahwin kan? Kahwin ni bukan perkara main-main akhi. Anta kahwin dengan seorang akhawat tu, anta nak tinggal dan duduk dengan dia untuk sepanjang hayat, InshaAllah. Tiada siapa yang berkahwin untuk bercerai.

Jadi pilihlah yang paling sejahtera dengan hati anta. Yang paling menenangkan anta. Pasal agama semua itu, anta tak usahlah risau sangat, sebab anta akan berkahwin dengan akhawat. InshaAllah akhawat ni, agama mereka sudah terjaga. Jadi takpelah kalau anta nak pilih yang cantik pon, tiada salahnya. Nabi SAW pon tak larang. 

Apa-apa pon, jangan lupa untuk solat istikharah dan perbanyakkan doa. Akhirnya, anta kena yakin dan percaya dengan ketentuanNya. Dan anta kena banyak-banyakkan bersabar."

Nasihat panjang-lebar oleh seorang akh kepada dirinya itu, dijadikan pegangan sehingga ke hari ini. Dirasakan kata-kata akh itu dekat dengan hatinya, begitu rapat dengan perasaannya. 

Ah tak kisahlah orang nak cakap apa, aku yang nak kahwin!

Namun kini, Muzammil tidak berapa pasti lagi. Adakah dia terlalu menurutkan nafsunya? Adakah dia terlalu cerewet dalam memilih bakal penyeri hati jantungnya itu? Adakah permintaan dan kehendaknya untuk berkahwin dengan akhawat yang lawa jelita suatu permintaan yang keterlaluan..? Kadang-kadang sampai dia terfikir, mungkin dia tak akan kahwin kalau dia terus bersikap begitu.  

Kenapalah borang yang datang kat aku, takde yang lawa. Kalau lawa kan senang, terus aku terima!

Tekanan ke atasnya untuk berkahwin saban hari semakin kuat. Apa-apa acara atau mana-mana perkumpulan ikhwah yang disertainya, pasti soalan-soalan cepu cemas itu akan ditanya;

"Akhi, bila kami nak dapat kad dari anta pulak ni?"

"Mil, teringin aku nak makan nasi minyak."

"Lah, anta tunggu apa lagi akhi? Takkan nak tunggu bidadari turun dari langit kot!"

Kadangkala, soalannya jujur dan lebih lurus lagi;

"Bila nak kahwin?"

Selalunya, Muzammil akan berseloroh melayan soalan-soalan sebegini.

"Bila nak kahwin? Dari tahun lepas lagi saya NAK kahwin! Hahaha."

Sudah mahu bernanah telinganya diaju dengan soalan-soalan maut itu. Sampai dia naik segan dan rimas mahu ke mana-mana majlis atau acara yang ada ikhwah di dalamnya, terutamanya jika ia adalah kenduri kahwin ikhwah sendiri. Bisa naik gila dibuatnya!

Jauh di sudut hati, terasa juga Muzammil dengan soalan-soalan sebegitu. Yalah, siapa yang tidak mahu kahwin. Umurnya juga sudah semakin meningkat, bukan semakin menurun. Siapa yang tidak cemburu melihat kemesraan zauj dan zaujahnya, bersama-sama meniti jalan dakwah ini? Siapa yang tidak keruan melihat kanak-kanak tembam, comel dan gebu, hasil perhubungan halal antara dua insan yang mencari redhaNya?

Dan di usia sebegitu, siapa yang tidak mahu... Ah, Muzammil tahu dia sudah sampai tahap wajib berkahwin!  

Dalam keadaan yang mendesak sebegitu, Muzammil kadangkala boleh jadi tidak rasional. 

"Akhi, kalau ana kahwin dengan bukan akhawat boleh kan..?"

Pernah sekali ditanya soalan itu kepada Harith. Mahu terjojol keluar mata Harith mendengar soalan jujur itu. 

"Anta gila ke akhi...?? Akhawat punyalah ramaaaai! Mengamuk akhawat nanti, kalau tahu ada ikhwah seqawiyy anta, memilih untuk bernikah dengan bukan akhawat. Silap haribulan, diorang buat demo nanti!"

Begitulah Harith. Serius dalam selorohnya.
 

"Tapi akhi... Hmmm, kalaulah.. Kalau je ek. Sudah suratanNya, ana bernikah dengan bukan akhawat. Macam mana...? Adakah anta akan hilang tsiqah pada ana nanti...?"

Harith terdiam. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjawab soalan itu. Dan dia tahu, dengan soalan itu, dia wajib membantu Muzammil, mencari jalan keluar untuk sahabat dunia akhiratnya itu.  

Dah kronik dah budak ni! Kepala masuk air!

Dan dalam keadaan yang mendesak sebegitu, Muzammil kadangkala akan dihunjam dengan serangan-serangan jahiliyyah lamanya. Di saat-saat dia tertekan tentang isu perkahwinan ini, kadangkala dia akan teringatkan...

Tiba-tiba telefon Muzammil berbunyi dan bergetar, menandakan ada mesej Whatsapp yang masuk.

Harith.

Muzammil segera mengambil Xperia Z-nya itu dan membaca mesej yang terpampang di skrin.

"Salaam akhi. Ana ada berita baik untuk anta! ;D Alham..."

Jantung Muzammil berdebar-debar. Matanya membundar. Jarinya berpeluh pijar. Terus dia memasukkan kod laluan telefonnya, untuk dia membaca mesej penuh dari Harith. 

"Salaam akhi. Ana ada berita baik untuk anta! ;D Alhamdulillah, ana rasa ana dah jumpa calon yang paling sesuai dengan anta! Nanti ana forwardkan borangnya. Doa akhi, doa! ^^"

Allah... 

Haadza min fadhli rabbi. 


***

bersambung...

DAFTAR KATA
Taujihat - pengisian yang menghala ke arah objektif tertentu
Rabbani - perihal Tuhan (rabb)
Tsiqah - kepercayaan

-gabbana-

Rasa-rasa dah boleh agak ke jalan cerita ni, atau tak boleh...? Nantikan dengan penuh debaran, dalam kesabaran.

Gelembung pipi. 

>> Ainul Mardhiah (Bahagian I)
>> Ainul Mardhiah Bahagian III
>> Ainul Mardhiah Bahagian IV


27 November 2013

Ainul Mardhiah

[Kredit]

Muzammil seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Terasa seperti mahu menangis pon ada. 

Mahu melarikan diri, sudah terlambat. Mahu memungkiri janji, masakan dia tergamak berbuat begitu?

Haadza min fadhli rabbi. Aku tidak tahu sama ada ini nikmat atau musibah, namun aku bersangka baik dengan Allah.

*** 

"Akhi, ana dah segan laaa..."

"Laaa, nak segan apanya...? Anta nak kahwin kan..?"

"Ye la, memang la nak kahwin. Tapi.. Ishhh... Ana dah segan dah dengan ustaz. Semua calon-calon yang dia forwardkan, ana tolak. Ana dah segan akhi..."

"Dah, apa masalah anta..? Kenapa tak terima je calon-calon ustaz tu...?"

"Alahai. Ana malu nak cerita kat anta akhi. Ni jahiliyyah ana..."

"Ya Allah... Anta yang nak ana tolong kan...? Kalau tak, masakan anta nak jumpa ana hari ni...?"

Muzammil tak senang duduk. Berkali-kali dipandang wajah Harith dengan pandangan orang yang tidak selesa. Dia menarik nafasnya. Dalam.

"Ana... Ana cerewet akhi.. Adoiii..."

Harith tidak dapat menyembunyikan rasa geli hatinya. 

"Cerewet...? Ahahaha. Cerewet macam mana tu akhi? Cuba anta cerita sikit."

Muzammil menjuih. Dia tidak pasti sama ada dia mahu membuka pekung di dada atau tidak. Tapi dia sudah tidak tahu mahu diceritakan kepada siapa masalahnya itu. Andai tidak diselesaikan segera, alamatnya bujang sehinggalah ke tua lah dia!

Hanya Harithlah orang yang boleh dipercayainya dalam hal sebegitu rupa. 

"Hmmmm. Basically... Anta pon tahu kan latar belakang family ana macam mana. Ana bukannya dari keluarga ikhwah. Nak tak nak, syarat-syarat yang mak bapak ana letakkan, ana kena penuhi juga."

Harith mengerutkan dahinya.

"Ok. Apa syarat-syarat tu..?"

"Well... Mak ana nak yang berpelajaran. Mesti lagi muda dari ana. Ayah pulak nak yang tinggi lampai. Dan.. dari latar belakang yang sekufu dengan keluarga kami."

Harith tersengih.

"Tu je? Akhi, ana boleh carikan seratus akhawat yang menepati syarat-syarat keluarga anta tu!"

Wajah Muzammil bertukar resah.

"Tu BARU syarat-syarat keluarga ana, akhi. Belum lagi syarat-syarat ana sendiri."

Harith mengembangkan hidungnya, tanda tidak sabar mahu mendengar apa pula syarat akh kesayangannya yang seorang ini.

"Uhmmm.. Kalau boleh, ana nak akhawat yang punya latar belakang tarbiyah sama macam ana. Bukan budak sekolah agama. Bukan dari keluarga ikhwah. Dari sekolah berasrama. Entahlah. Ana rasa lagi senang nak masuk nanti. Ana rasa... Lebih mudah begitu, sebab frekuensinya sama."

"Ok..."

"Dan..."

"Dan...?"

"Ye lah, ana kahwin ni sebab dakwah kan, InshaAllah. Jadi nak lah akhawat yang qawiyyah. Yang bawa dua tiga usrah. Yang boleh terima kesibukan ana. Semua semua tulah!"

"Ok bereh, tadehal. Err... Abes dah?"

Harith berseloroh. Jauh di sudut hatinya, dia tahu Muzammil masih menyembunyikan sesuatu.

"Dan..."

Muzammil memandang kasut Kickers berwarna merahnya. Tidak sanggup dipandang wajah Harith, yang tidak sabar-sabar lagi menunggu syarat terakhir Muzammil.

"...ana. Nak. Err. Astaghfirullah. Ana jujur habis ni akhi. Hmmm. Ana. Nak. Kalau. Boleh. Yang. Lawa. Ya, lawa. There, I said it."

Ok, anta memang cerewet."

Tersembul kata-kata itu dari mulut Harith. Spontan.

***

Mardhiah tidak dapat menyembunyikan debaran hatinya. Kenapalah agaknya Kak Sal nak jumpa aku ni.  

Sejak tadi, jari-jemarinya mengetuk-ngetuk meja marmar dihadapannya. Berselang-seli. Berentakan.

Mardhiah tiba di Bangi Kopitiam agak awal daripada yang dijanjikan. Lebih baik awal daripada terhegeh-hegeh nanti. Tujuh minit sebelum jam menunjukkan pukul lapan suku malam, dia menerimana mesej Whatsapp daripada Salwa, mengatakan yang dia akan sedikit lewat atas urusan keluarga yang tidak dapat dielakkan. Dengan emotikon menangis, Salwa berulang-kali meminta maaf kepada Mardhiah.

Benarlah penantian itu suatu penyeksaan. Dengan lewatnya Salwa, Mardhiah menjadi semakin tidak keruan. 

Jarang sekali Salwa meminta untuk bertemu dengannya secara bersendirian. Apatalah lagi apabila ditanya apakah tujuan pertemuan itu, jawapan yang diterimanya hanyalah, "Rahsia. Spesel." dan emotikan senyum lebar dan dua jari tanda aman. 

Mardhiah seakan-akan boleh mengagak apakah tujuan pertemuan itu. Tetapi seboleh-boleh dia cuba menidakkannya kerana sekiranya benarlah Salwa mahu bertemu dengannya untuk tujuan itu, pasti pertemuan itu nanti akan menjadi pelik dan tidak selesa. Awkward

Mujurlah Bangi Kopitiam ada WiFi percuma. Dimanfaatkan masa-masa yang ada untuk membalas emel-emel yang tersimpan, yang sudah lama terperam, menanti balasannya. Ketika dia sedang asyik membaca sebuah emel daripada seorang anak usrahnya, dia merasakan bahunya disentuh seseorang.

"Awak! Aduhh akak mintak maaf sangat-sangat! Lama ke awak tunggu?"

Mardhiah melirih jam tangannya. Lapan tiga puluh tiga. 

"Eh ok je kak. Tak lama pon saya tunggu. Seb baik ada WiFi percuma ni hah."

Mardhiah terus bangkit dan dipeluknya Salwa. Seperti biasa, mereka berlaga-laga pipi dengan penuh mesra, tanpa mempedulikan orang di sekeliling mereka. 

"Awak dah order dah..?"

"Beluuum. Tunggu akak la. Malu la jugak, waiter tu dua tiga kali datang tanya nak minum apa. Saya buat muka seposen je. Haha."

Salwa tertawa. Dipanggilnya seorang pelayan yang tampak tidak sibuk ketika itu, untuk mengambil pesanan mereka.

"Awak nak makan apa? Jangan risau, akak belanja. Tanda mintak maaf pada awak."

Mardhiah hanya tersengih mendengar kata-kata Salwa. Dia tahu, tawaran Salwa itu bukan sekadar kerana mahu menebus kelewatannya. Ada udang di sebalik batu. 

Usai memesan makanan, Salwa muka bertanyakan soalan-soalan klise kepada Mardhiah - dia sihat atau tidak, apa khabar keluarganya di kampung, anak-anak usrahnya bagaimana, pekerjaanya - yang membuatkan Mardhiah semakin mengesyaki bahawa sangkaannya sebelum ini tentang tujuan sebenar pertemuan itu adalah tepat lagi benar. 

"Eh tak bawa Aakif hari ni? Rindulah nak cubit pipi dia!"

Mardhiah cuba menguasai topik perbincangan pula. 

"Oh hari ni abi dia bawak pergi usrah. Bagus juga. Kalau tak, susah akak nak jumpa awak malam ni."

"Oooh ok."

Buntu. 

Mereka terus berborak tentang pelbagai perkara sehingga pesanan mereka tiba. Aroma kari ayam dan cengkih menusuk hidung Mardhiah. Perutnya tiba-tiba sahaja seakan-akan ada rama-rama di dalamnya. 

Mardhiah memesan roti dan kari, manakala Salwa pula memilih untuk menikmati kuetiau goreng ala Penang. Baharu sahaja masuk suapan yang kedua, Salwa kembali menguasai pentas bicara.

"Akak sebenarnya nak jumpa awak ni, nak tanya pasal BM awak."

Hampir-hampir tersedak Mardhiah dibuatnya, mendengarkan dua huruf puaka itu. B dan M. BM.

Baitul Muslim. Aku dah agak daaahhh! 

Cepat-cepat Mardhiah mencapai helaian tisu dan mengelap mulutnya. Sopan. 

"BM...? Kenapa dengan BM saya kak..?"

Kura-kura dalam perahu. 

"Hmmm. Akak dapat tahu yang awak belum pernah isi borang BM kan...? Akak korek dari murabbiah awak la. Hehehe."

Mardhiah cuba untuk tersenyum. Gagal. Mardhiah hanya memandang cecair kuning kemerahan di dalam mangkuk besar berwarna putih di hadapannya. Seingat Mardhiah, itulah pertama kali dia memberikan fokus sebegitu mendalam pada kuah kari ayam.

Melihatkan tiada apa-apa maklum balas yang keluar dari mulut Mardhiah, Salwa meneruskan bicaranya.

"Bukan apa, akak risau je dengan awak ni. Awak tu dah nak masuk dua puluh enam kan? Ke dua puluh tujuh? Tak kisahlah. Kita ni perempuan, bukan macam lelaki wak. Lelaki dah tua-tua pon laku lagi. Kita ni, semakin tua... Hmmm.. Awak faham-faham je lah."

Hilang selera Mardhiah untuk menghabiskan dua keping roti dan seketul setengah ayamnya. Kalau dia tahu dengan pasti inilah tujuan Salwa mahu berjumpa dengannya, sudah pasti dia menolak dengan tegas awal-awal lagi. 

Akak ingat saya tak nak kahwin ke kak...? Siapa yang tak nak kahwin dalam dunia ni...?? Siapa yang tak mahu merasakan kasih-sayang seorang insan bernama suami? Tidak mahu mencurahkan kasih-sayang pada anak-anak yang bakal dilahirkan nanti...??

Itu skrip Mardhiah di dalam hati. Tidak tergamak rasanya mahu mengungkapkan kata-kata sedemikian rupa kepada Salwa. 

"Kak... Aduhai. Saya tak tahu macam mana nak cakap pada akak... Hmmm.. Siapa yang tak mahu kahwin kak...?"

Salwa memandang wajah Mardhiah. Ada bibit-bibit kegeraman, sedikit kemarahan pada wajah hitam manis itu. 

"Dah tu...? Apa yang menghalang awak?"

Mardhiah menarik nafasnya dalam-dalam. Dan tanpa dia dapat berbuat apa-apa, tanpa dia sempat menahannya, ada air yang mengalir laju dari matanya.

"Eh eh, kenapa menangis pulak ni? Allah. Awak ni..! Akak salah cakap ke...?"

Salwa memandang sekeliling, risau pula jika ada yang mendengar. Mujur Mardhiah memilih sudut yang agak jauh dari orang ramai. 

Mardhiah mengetap bibirnya.

"Saya.. Saya tak tahu macam mana nak explain kak..."

Salwa membongkokkan badannya ke hadapan. Dicapainya tangan Mardhiah, dan digenggam erat tangan yang suam-suam kuku itu. Kejap. 

"Mar... Awak tahu awak boleh percaya kat akak kan...? Bukan sehari dua awak kenal akak.. Dan kalau bukan akak yang boleh bantu awak, siapa lagi...?"

Mardhiah tersenyum simpul. Mengalir lagi beberapa titisan air mata membasahi pipinya.

"Ish awak ni, emosional betullah. Nak amik tisu ni. Lap air mata dan hingus tu. Tak ayulah kalau orang nampak!"

Mardhiah tertawa kecil mendengar seloroh Salwa. Ya, Salwa memang pakar dalam mengendurkan suasana yang tegang sebegitu. 

"Ha, kan comel macam tu... Dah, beritahu akak. Apa masalah awak sebenarnya...? Kalau betul awak nak kahwin, dah, apa pasal sampai borang BM pon tak mahu isi...?"

Ish jujur sangat lah Kak Sal ni.

Mardhiah tahu yang dia tidak boleh lari. Bukan kali ini. 

Salwa bakal menjadi orang pertama yang mendengar luahan dari lubuk hati yang paling dalam Mardhiah. Selama ini, segala-galanya disimpan oleh Mardhiah seorang diri. Tidak diceritakan kepada sesiapa, hatta rakan baiknya, ahli-ahli usrahnya mahupon murabbiahnya sendiri. Murabbiah yang sudah berkali-kali bertukar-ganti. 

Bagus juga Mardhiah membuka peti rahsia yang tersimpan di jiwa pada Salwa. Sekurang-kurangnya ada juga yang mahu mendengar. 

Bismillah.

"Akak... Jujur ye kak. Akak rasa, ada ke ikhwah yang nak kahwin dengan saya ni kak...?"


Kali ini giliran Salwa pula yang hampir-hampir mahu tersedak mendengar kenyataan berani mati Mardhiah itu. Tersedak kerang dalam kuetiau gorengnya.  

"Ya Rabbi ya Rahman ya Rahim.. Kenapa cakap macam tu awak...??"

Mardhiah bermain-main dengan penyedut teh o' lemon madu aisnya. Butir-butir kaca mula membentuk kembali di hujung matanya. Ala Kak Sal ni, buat-buat tak tahu pula.

"Ye la kak. Akak tengok la saya ni... Bukan cantik pon. Gemuk. Pendek. Hitam. Muka banyak jerawat. Mana ada ikhwah yang nak kahwin kak..."

"Astaghfirullahal adzim Mar.. Kenapa cakap macam tu...?? La hawla wala quwwata illa billah. Ikhwah mana pandang semua tu!"

"Eleh kak, sudahlah kak. Ingat saya tak tahu ke perangai ikhwah macam mana. Berapa ramai akhawat masih membujang disebabkan ikhwah yang banyak songeh ni! Bukan yang kita tak kenal kak. Semua pon yang rapat dengan kita jugak.. Akak lainlah..."

Tak sanggup Mardhiah mahu menghabiskan kata-katanya. Takut pula nanti, andai dia  terlanggar batasnya. Cepat-cepat dia mengambil tisu nipis percuma Bangi Kopitiam dan dilap mata dan hidungnya. Basah.

Salwa hanya mampu menggelengkan kepalanya. Tidak disangkanya itulah punca sebenar mengapa Mardhiah begitu berat mahu mengisi borang BM. Tidak disangkanya juga, Mardhiah, seorang ukht yang begitu hebat dan bersemangat di atas jalan ini boleh menjadikan alasan-alasan sebegitu sebagai eskapismenya.

"Alah kak, malaslah nak cakap pasal BM ni. Kalau tak kahwin kan senang? Boleh saya fokus pada tarbiyah, pada dakwah. Ada banyak masa dengan adik-adik. Ada banyak masa untuk DF, untuk muayasyah semua tu. Kalau semua orang pon nak kahwin, siapa je yang tinggal untuk betul-betul buat semua kerja-kerja ni..? 

Takpelah kak, biar saya berkorban. Saya pon hepi je. Saya ok. Sungguh!"

Berkerut dahi Salwa mendengarkan hujah-hujah Mardhiah. Ini betul-betul atau cobaan..?

Mardhiah sudah kehilangan idea untuk berbicara. Baginya, dia sudah pon meluahkan segala-galanya yang terbuku di hati. Entah mengapa, dia sedikit lega. Sekurang-kurangnya kini ada orang sudah tahu. Kak Salwa sudah tahu. 

Salwa juga tidak tahu untuk memberi maklum balas yang bagaimana. Dia buntu. Sungguh dia tidak menyangka, hari itu dia akan berdepan dengan situasi sebegitu rupa. 

Lama mereka berdua mendiamkan diri. Hanya bunyi-bunyi pinggan mangkuk bergeseran di dapur dan kesibukan dan kemeriahan para pelayan mengambil pesanan yang memenuhi ruang udara ketika itu.

Akhirnya Salwa memecahkan suasana.

"Awak... Awak tak yakin dengan ketentuan Allah ke wak..?"

Sudah.

Mardhiah memandang wajah Salwa, seperti tidak percaya hujah itu yang akan digunakannya.

"Maksud akak...?"

"Ye lah. Segalanya kan dah tertulis di Lauh Mahfuz. InshaAllah ada lah jodoh awak tu. Awak tak yakin ke dengan semua tu..?"

Mardhiah berkira-kira sebelum memberikan jawapan. Dia sudah melalui semua ini. Skrip lengkap sudah tersimpan rapi di dalam kepalanya. Cuma di dalam situasi ini, bersama dengan Salwa yang amat dihormati dan dikasihinya kerana Allah, dia perlu lebih berhati-hati. Dan perlu lebih manusiawi.

"Akak.. Sebab saya yakin dengan perancangan Allah lah saya tak isi borang BM tu. Kalau, InshaAllah, jodoh saya ada, tak akan ke mana kan? Saya isi atau tidak, tetap ada kan..?"

Jika perbualan itu berlaku dalam LINE, sudah pasti Mardhiah akan meletakkan 'pelekat' si arnab dengan mata bersinar-sinar cerah. 

"Awak, ya Allah! Mana boleh macam tu!"

Terkejut Mardhiah dengan reaksi Salwa. Tidak disangkanya Salwa akan meninggikan suara sedemikian rupa. Geram agaknya. 

"Awak ni, betul ke ikut usrah selama ni..? Kenapa boleh jadi sampai macam ni...?? Astaghfirullah. Itu namanya menyerahkan pada takdir tanpa berusaha! Itu jabbariyyah namanya! Ya Rahman ya Raheem..."

Tersentak Mardhiah mendengar kata-kata Salwa. Seperti ada orang yang memukul kepalanya dengan kayu besbol. 

Salwa kecewa dengan jawapan yang didengarinya daripada Mardhiah. Tidak disangka-sangkanya, jawapan sebegitu yang akan sampai ke telinganya. 

Mardhiah hanya mendiamkan dirinya. Dia tidak berani mahu menyuarakan apa-apa. Silap haribulan, halilintar dan ribut taufan pula yang keluar, andai dia tersilap langkah lagi. Setelah bermuhasabah sebentar, ada munasabahnya kemarahan Salwa itu. Menyesal pula dia menghamburkan kata-kata sebegitu rupa.

Ah, terlajak perahu boleh diundur lagi! 

Setelah keadaan sedikit tenang, Salwa kembali berbicara. 

"Aaseef wak, emo sikit tadi. Tapi seriyes tak sangka, awak, of all people, akan cakap macam tu. Haihhh."

Mardhiah mencuri-curi lihat jam tangannya. Sembilan tujuh belas. Sudah lebih satu jam dia di situ. 

"Awak, listen. Awak isi je borang BM tu. Yang lebih-lebih tu awak doa dan tawakkal. Kena sungguh-sungguh doa. Kena sungguh-sungguh tawakkal. Awak usaha dulu. Yang lain-lain kita serah pada Allah. InshaAllah, ada rezeki, awak akan kahwin. Takde rezeki, awak kena redha. Kena usahalah tapi!"

Mardhiah seperti belum yakin.

"Awak, Nabi tak mengaku umat tahu, kalau awak memang sengaja tak mahu kahwin? Hadith tu. Berkahwin ni melengkapkan separuh daripada agama. Maknanya, kalau awak sengaja mengelak, lari dari berkahwin, awak sengaja jugalah tak mahu melengkapkan agama awak!"

Kali ini Mardhiah tersentak. Tersentap. Matanya sedikit membundar. Perasaannya ketika itu seolah-olah baharu pertama kali dia mendengar maksud hadith yang disebut Salwa tadi. 

Salwa mengesan perubahan pada raut wajah Mardhiah. Dia tahu yang dia sudah berjaya mengetuk paku ke dalam hati Mardhiah. Terukir sedikit senyuman pada bibir Salwa. 

"Percayalah awak. Rezeki tu, Allah yang bagi. Peranan kita sebagai manusia, hanya berusaha. Dan minta dariNya. Awak bacalah surah at-Talaq tu. Ayat seribu dinar tu. Apa Allah cakap?"

Terkebil-kebil Mardhiah memandang Salwa. Fikirannya kosong. Dia seperti sudah terpukau dengan kata-kata Salwa.

"Allah kata, barangsiapa yang bertaqwa, Allah akan bukakan jalan keluar baginya, dan Allah akan beri rezeki dari arah yang kita tak sangka-sangka. Plus, barang siapa yang bertawakkal padaNya, Allah akan mencukupkan keperluannya. Nah, awak tak yakin lagi...??" 

Mardhiah mengangguk perlahan. Ditariknya nafasnya dalam-dalam. Dia lantas memalingkan wajahnya dari Salwa. Tidak sanggup dia mahu memandang wajah yang mulia itu. Dia malu. 

Air matanya tidak tertahan lagi. Tidak semena-mena dia merasakan ada tangan yang memeluknya dari belakang. Panas. Menenangkan. Kemudian ada suara halus yang berbisik di telinganya.

"Awak... Awak sabar ok...? Ini semua ujian daripada Allah. Akak jeles dengan awak tau, Allah bagi ujian seberat ni. Sebab Allah hanya akan bagi ujian seberat ni pada orang yang mampu untuk menanggungnya. Dan Allah tahu awak mampu. Sebab awak hebat. Awak kuat. Sebab tu akak yakin, you will and you can go through this. 

Dan awak... Ujian sehebat ni, adalah surat chenta teragung dari Allah. Bukan semua orang yang dapat surat chenta seromantik ini. Allah nak awak lebih dekat pada Dia. Nak awak lebih yakin pada perancanganNya. Nak awak belajar erti tawakkal dan redha. Akak.. Akak boleh cakap je lah. Tapi yang rasanya awak. Awak sahaja yang tahu erti dan makna semua ini. 

InshaAllah, akak yakin, Dia nak beri yang terbaik pada awak. Ada knight with shining armour tengah tunggu awak dengan penuh setia. Haha. Awak hanya perlu sabar. Sikit je wak. Sikit je. Ok wak..?"

Mardhiah menggangguk perlahan. Dia menggenggam erat tangan yang memeluknya. Dibiarkan air matanya membasahi tangan itu. 

"Te...Terima kasih kak..."

Haadza min fadhli rabbi.


***

Bersambung... 

DAFTAR KATA
Haadza min fadhli rabbi - Ini termasuk kurnia Tuhanku (diambil dari ayat Quran)
Akhi - Saudaraku (macam "Bro..")
Ana - Saya
Anta - Anda
Ikhwah - Saudara (ramai)
Akhawat - Saudari (ramai)
Qawiyyah - Kuat, hebat
Abi - Ayah(ku)
BM, Baitul Muslim - Keluarga Islam. Dalam konteks cerita ini, proses untuk berkahwin (al-baitul Muslim)
Murabbiah - Cikgu, pendidik (untuk perempuan)
Ukht - Saudari
DF (Dakwah Fardhiyyah) - Dakwah yang dilakukan yang mana sasarannya adalah seorang (fardhi)
Muayasyah - bergaul (Ala-ala borak bantal gitu)
Lauh Mahfuz - suatu alam ghaib, di mana di sinilah Allah 'menulis' segala-galanya dari awal penciptaan alam sehingga pengakhirannya
Jabbariyyah - suatu kefahaman yang menyerahkan segala-galanya kepada Allah tanpa berusaha

Allahu a'lam.

-gabbana-

Ok ini yang tak suka tulis cerita pendek ni. Nak kena sambung-sambung la pulaaaakkk. Adoyai.

Rasa malas pon ada. Boleh tak...? Wahahaha.  

Mungkinkah Ainul Mardhiah bakal mengganggu gugat kedudukan Baihaqi? Eheh. 

Bersabar sahajalah.  

>> Ainul Mardhiah Bahagian II
>> Ainul Mardhiah Bahagian III
>> Ainul Mardhiah Bahagian IV

25 November 2013

Saya Liberal

[Kredit]

"Ish kau tengok budak kecik tu. Nakal betul. Berlari sini. Berlari sana. Kuat teriak pulak tu. Kau tengok bapak dia tu. Boleh ke buat dono. Ingat biskut cap pingpong apa. Ini dalam tren, bukannya taman permainan! Aishhh panas betul aku!"

"Kau ni Maimun, cuba tenang sikit. Budak kecik, biasa lah. Takkanlah kau expect budak kecik sopan-santun ala-ala kumpulan nasyid Rabbani kot..? Elok lagi dia gembira ceria macam tu, daripada menanges tak tentu pasal."

"Masalahnya... Mengganggu ketenteraman awam! Ini harta benda awam, untuk kegunaan awam. Bukannya kegunaan mak bapak dia seorang!" 

"Dah, kau nak buat apa? Nak ikat budak tu? Nak selotep mulut budak tu..? Rilek boleh tak? Kita pon dah nak sampai dah ni. "

"Alah kau ni Zubaidah, malas la aku nak bertekak dengan kau. Daripada aku berbalah dengan kau, baik aku pergi sound bapak budak tu. Tak reti jaga anak! Kau tunggu sini, duduk diam-diam."

***

"Eh Din, penduduk kampung kau ni memang kasar-kasar ke orangnya? Tak puas hati betul aku."

"Aik? Awat lagu tuu...? Tetiba ja hang ni?"

"Tadi... Aku ke surau kampung tepi bendang tu. Masa tu takde orang lain. Ada aku dengan pak Imam je."

"Haaa. Abeh tu?"

"Zuhur pon masuk. Pak Imam tu tenung aku, aku pon tenung dia. Tak pasal-pasal lepas tu dia panggil aku bangsat! Pergghhh dia bikin aku bengkek brooo. Tau la aku bukan orang sini. Tapi tak payah la panggil aku bangsat!"

"Hang biaqq betoiii Lam? Takkan kottt. Pak Imam Yusop tu ka..? Aissshh takkan dia capoi lagu tuuu."

"Sumpah Din. Kau pergi la tanya dia nanti. Kechiwa aku dengan penduduk Kampung Pisang Takkan Berbuah Dua Kali ni!"

***

"Ana musykil la akhi."

"Musykil? Kenapa?"

"Entah. Tadi kan si Adli tu jadi imam kan masa solat Isyak?"

"Haah. So?"

"Takdela. Abes wirid semua tu, semua orang bangun solat sunat ba'diyah. Tapi ana tengok... Dia tak solat pon. Sampai ke sudah. Tu yang musykil tu!"

"Err.. Solat sunat je kan...? Apa yang nak dikecohkan...?"

"Ana tau, ana tau. Tapi.. Orang sehebat Akh Adli tu, ana expect tarbiyah dzatiyyah dia konpem ah kebabommm tahap Super Saiya kesembilan. Qudwah pada orang lain tuu. Tak sangka ana..."

"Leh... Chill boleh tak..? Dia solat lewat sikit kott. Takpe, nanti ana tanya dia. Bagi nta puas hati sikit. Ok?"

***

"Saya dah agak dah dia tu liberal! Dah lama dah saya saspek dia tu liberal, sejak dulu lagiii! Puihhhh! Dasar musuh dalam selimut! Gunting dalam lipatan! Api dalam sekam!"

"Weh berat tu tuduhan anda tu. Tak pasal-pasal je orang lain kena cop liberal. Apa buktinya?"

"Tu ha, status MukaBuku dia yang terbaru tu. Anda nak bukti yang macam mana lagi yang dia tu liberal totok...??"

"Ok. Apa yang dia tulis?"

"SAYA LIBERAL!"

***

"Saya bukan apa kak... Tapi saya tak selesa la dengan Maisarah tu. Sejak kebelakangan ni, asyik lambat je datang ke usrah kita."

"Haah, tu la, akak pon perasan jugak. Hmmm enti ada siasat tak kenapa dia lambat..?"

"Alah kak, tak payah siasat kot. Dia tu sibok sangat dengan urusan kerja di kantor dia tu. Aishh apa nak jadi lah. Dah mula larut dengan dunia."

Err.. Cepat sangat enti buat kesimpulan tu. Betul ke sebab dia semakin sibuk di kantor?"

"Entahlah kak. Apa-apa pon, terasa macam hipokrit pon ada si Maisarah tu. Dulu bukan main lagi dia cakap pasal kepentingan menjaga masa. Harithun 'ala waqtihi. Konon. Entah-entah tak lama lagi, usrah pon dia dah tak nak datang!"

***

Sungguh ramai orang di luar sana yang bercita-cita untuk menjadi hakim amatur; menghukum dan membuat kesimpulan dengan melulu tanpa ada bukti-bukti yang sahih dan benar.

Dan lebih selalu daripada tidak, sangkaan dan tuduhan-tuduhan ini jauh meleset daripada kebenaran. Ketika itu, siapa yang malu..? Kita dan keluarga kita juga.

Malu itu tidak mengapa lagi. Bagaimana dengan fitnah Peah yang telah kita sebarkan? Dengan hati-hati yang telah kita sakitkan? Dengan dosa-dosa yang telah kita kumpulkan..?

Sebab itulah agaknya, Allah menyuruh orang-orang yang beriman untuk menyiasat dahulu sebarang berita yang mereka dengar, terutamanya daripada orang-orang yang fasiq. Kerana sungguh, banyaknya fitnah dan pergaduhan yang berlaku pada hari ini adalah disebabkan oleh tersebarnya berita-berita yang belum terbukti kesahihannya.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasiq datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kejahilan, yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu."
[al-Hujuraat, 49:6]


Bercerita tentang buruk sangka dan kepentingan untuk bertabayyun (meneliti kebenarannya), ada dua kisah menarik yang ingin saya kongsikan di sini.

Pertama adalah bagaimana Rasulullah SAW mengambil langkah selamat bagi mengelakkan timbulnya prasangka dan fikiran yang bukan-bukan dalam kalangan para sahabat.

Kisahnya pada suatu malam, Rasulullah SAW berjalan dengan isterinya di dalam kegelapan malam. Ditakdirkan ketika itu ada beberapa orang sahabat yang berdekatan. Jika difikirkan logiknya, takkanlah para sahabat mahu menaruh syak wasangka pada Rasulullah bukan? Pastilah secara automatiknya apabila ternampak Rasulullah bersama seorang wanita, mereka akan terus bersangka baik bahawa pastilah wanita itu adalah ahli keluarganya bukan?

Namun itu semua tidak menjadikan Rasulullah SAW berdiam diri dan berasa selesa dengannya. Baginda segera mendekati para sahabat dan menjelaskan bahawa wanita yang ada bersamanya adalah isterinya sendiri. 

Nah, lihatlah betapa berhati-hatinya Rasulullah dalam menangani isu prasangka ini. Awal-awal lagi baginda sudah mengambil langkah berjaga-jaga, untuk membuang benih-benih prasangka yang mungkin disemai dalam hati para sahabat, meskipon insan yang terlibat itu adalah seorang Rasul Allah sendiri. 

Keduanya, kisah Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah dan Imam as-Shafi'e rahimahullah. Suatu hari, Imam Shafi'e bermalam di rumah Imam Ahmad. Pada keesokan harinya, anak perempuan Imam Ahmad datang menemui bapanya dan mengadu tentang akhlak Imam Shafi'e yang dirasakan tidak bertepatan dengan akhlak seorang imam besar. Lantas dia hairan dan pelik bagaimana ayahnya selalu memuji-muji kealiman dan kehebatan Imam Shafi'e.

Sudah tentu Imam Ahmad terkejut dengan dakwaan anaknya itu. Apabila ditanyakan apakah akhlak Imam Shafi'e yang dirasakan buruk itu, si anak menyenaraikan tiga perkara:


  1. Imam Shafi'e yang begitu gelojoh makannya
  2. Beliau tidak bangun untuk solat malam sehingga ke Subuh
  3. Beliau tidak berwudhu' dan terus menunaikan solat Subuh di pagi hari

Imam Ahmad, yang begitu hormat dengan Imam Shafi'e, tidak mempercayai kata-kata anaknya begitu sahaja. Dia yakin pasti Imam Shafi'e ada sebab-sebabnya untuk berbuat demikian. Lantas Imam Ahmad pergi menemui Imam Shafi'e dan bertanyakan kepadanya perihal perilaku dirinya ketika bermalam di rumah Imam Ahmad tempoh hari.

Imam Shafi'e tersenyum mendengarkan pertanyaan Imam Ahmad. Ayuh kita teliti jawapan dan maklum balas Imam Shafi'e yang sungguh lejen ini.

"Wahai Ahmad! Sebabnya aku makan dengan lahap dan banyaknya di rumah kamu kerana aku tahu bahawa makanan di rumah kamu jelas halal dan baik. Aku tidak ragu dengan makanan itu sedikit pon, atas sebab itulah aku makan dengan lahap. Lagi pon aku amat memahami bahawa engkau seorang yang sangat pemurah. Makanan orang yang pemurah itu ubat dan makanan orang yang kedekut itu penyakit. Aku makan semalam bukan kerana untuk kenyang tetapi semata-mata untuk berubat dengan makananmu itu.

Perkara kedua yang menyebabkan aku tidak solat malam kerana ketika aku meletakkan kepalaku di atas bantal untuk tidur, tiba-tiba seolah-olah aku melihat di hadapanku Kitabullah dan sunnah RasulNya SAW dan dengan izin Allah malam itu, aku dapat menyusun 72 masalah fiqah Islam sehingga aku tidak sempat solat Malam. Perkara ketiga yang menyebabkan aku tidak berwudhu' ketika solat Subuh kerana aku wallahi! Pada malam itu aku tidak dapat tidur walau sekelip mata, sehingga aku solat Suboh dengan wudhu' Solat Isya’."

Pergh.

Terlalu banyak ibrah yang boleh kita ambil daripada kisah Imam Ahmad dan Imam Shafi'e ini. Antaranya, kadangkala mata kita bisa sahaja berdusta. Apa yang kita lihat, tidak semestinya apa yang sebenarnya berlaku. Apatah lagi apabila ia melibatkan insan-insan hebat dan soleh. 

Dan keduanya sikap dan akhlak Imam Ahmad sendiri yang amat wajar dipuji. Dia tidak terus mempercayai kata-kata anaknya, meskipon itu adalah anaknya sendiri. Dia yang terkenal dengan akhlaknya yang terpuji dan pastinya mahu menjaga ukhuwwahnya dengan Imam Shafi'e, bertanya terus kepada sahabat dan gurunya itu. 

Nah, anda rasa, apa akibatnya andai Imam Ahmad terus sahaja menerima dan mempercayai bulat-bulat kata-kata anaknya itu? Bukankah ia akan menimbulkan fitnah yang besar kelak? Bukankah ia akan mencalarkan ukhuwwah antara kedua imam besar lagi mulia itu...?

Ah! Betapa manis dan indahnya ukhuwwah dan akhlak yang ada pada keduanya...!

Malangnya, sifat ini semakin terhakis dalam diri kita pada hari ini, hatta dalam jiwa mereka yang bergelar dai'e. Status-status di MukaBuku amat cepat dipercayai dan dijadikan hujah. Berita-berita yang sampai ke telinga terus kita percaya dan terima. Kicauan-kicauan yang sampai kepada kita, kita anggap sebagai hukum dan fatwa. Gambar dan foto yang terpampang di Instagram kita, kita jadikan bukti hakiki yang abadi.

Kita malas mahu mencari kebenaran. Punggung kita terlalu berat untuk kita pergi mencari penjelasan. Hati kita lebih suka pada fitnah dan gosip-gosip liar, daripada kisah benar yang membosankan. 

Bukankah kita ini seorang dai'e dan bukannya qadi...?

Tunduk malu. Kuis-kuis kaki. 

Malah apabila kebenaran sudah sampai ke telinga kita sekali pon, belum tentu kita akan menerimanya. Apabila penjelasan sudah diberikan sekali pon, belum pasti kita mahu menelannya. Kerana hati kita sudah begitu kotor untuk semua itu.

Nanges.

Berlapang dadalah, kerana itu adalah serendah-rendah tahapan ukhuwwah. Andai berlapang dada pon tidak mampu kita lakukan, lantas, apa lagi yang tinggal pada ukhuwwah itu..?

[Kredit]
 
*** 

"Saudara... Saudara ni tak reti jaga anak ke..? Ke hulur ke hilir. Tak reti duduk diam! Mengganggu orang lain tahu tak...?? Dah, nanti kena culik ke apa, sapa yang susah?? Saudara jugak!"

"Ma..Maafkan saya Puan... Uhmmm... Mak budak tu baharu sahaja meninggal dunia pagi tadi... Saya tak tahu nak beritahu apa padanya... Saya buntu..."

"Ooohh... Saudara ada tisu...? Mata saya masuk habuk pulak tiba-tiba."

***

"Pak Imam, betoi ka pak Imam cakap kawan saya tu bangsat?"

"Hahhh...?? Bila masa pulak aku habaq laguuu tuuu...??"

"Entah, dia dok mengacom, dia habaq pak Imam dok kata dia bangsat sebelum Zuhur tadi."

"La hawla wala quwwata illa billah. Aku soh dia pi bang, pi azan. Aku cakap la, 'Hang bang sat,' bukannya dia tu bangsat!"

***

"Akh Adli..."

"Hm saya?"

"Ni ha. Ada orang nak tahu. Kenapa nta tak solat sunat ba'diyah lepas Isyak tadi. Dia musykil."

"Oh? Haha. Takde, anak usrah ana, dia belum solat Isyak lagi. Jadi ana nak tunggu dia, nak solat sama-sama dengan dia. Dapatlah dia solat berjemaah dengan ana nanti."

***

"Haaa..? Hahaha. Saya dah lama kottt tak bukak MukaBuku. Konfem lah ada orang hack tu!"

***

"Sarah, akak nak tanya boleh..?"

"Ye kak..?"

"Hmmm. Lately akak perasan Sarah selalu je lambat ke usrah. Sarah ada apa-apa masalah ke..?"

"Allahu... Kalau boleh memang Sarah takmau cerita pada akak dan yang lain-lain... Tapi... Since akak dah tanya.... Sebenarnya... Hmmmm.. Sarah dah infaqkan kereta Sarah tu pada tabung Palestin. Jadi... Sekarang ni Sarah kayuh basikal je ke mana-mana. Tu yang selalu lambat tu. Dan berpeluh ketiak. Hehe."

***
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik..."
[al-Hujuraat, 49:12]


-gabbana-

Sekiranya anda punya kelapangan dan masa percuma, cari juga kisah Sai'd bin Amir al-Jumahi r.a., seorang sahabat besar yang begitu zuhud dan tinggi taqwanya. Hayati kisahnya ketika menjadi gabenor di Hims bersama dengan 'Umar al-Khattab r.a., Amirul Mu'minin ketika itu. Pasti akan membuatkan anda terlopong atau mengalir air mata.

Moga bermanfaat. 

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP