29 November 2013

Ainul Mardhiah: Bahagian II

[Kredit]

Hati Muzammil berdegup kencang. Dup dap. Dup dap. 

Dia tidak berani untuk mengangkat mukanya, memandang wajah yang duduk bertentangan dengannya itu.

Ya Allah, ujian apakah ini...?

Tidak semena-mena mengalir air mata panas, membasahi pipinya. Cepat-cepat Muzammil mengelapnya dengan buntut tapak tangannya. 

Timbul bibit-bibit penyesalan dalam dirinya. Terdengar bisikan dan hasutan syaitan yang menyuruhnya untuk membatalkan sahaja pertemuan itu dan meminta maaf sahaja kepada semua. Senang. 

Alah, orang pon faham. Kalau marah pon, sekejap je. Biasalah benda-benda macam ni, bukan tak pernah dibuat orang.

Muzammil menarik panjang nafasnya. Dalam. Dadanya semakin tenang. Timbul sinar keyakinan jauh di sudut hatinya, bahawa itu bukan kebetulan tapi suatu ketentuan. 

Haadza min fadhli rabbi. 

Bismilllah.

"Assalamu a'laikum warah matullah. Nama.. Nama ana, Muzammil. Ahmad Muzammil bin Ahmad Rafi'e."

Muzammil memulakan bicara.

***

Aaaa. Apa lah aku nak letak ni. 

Mardhiah berkira-kira mahu menulis apa pada ruang 'Kelebihan.'

Aku nak letak, gemok dan pendek lah. Justeru, comel. Boleh? Hahaha.

Mardhiah berseloroh dengan dirinya sendiri. 

Mardhiah sedang memandang skrin komputer ribanya. Untuk lebih spesifik, borang Baitul Muslimnya pada perisian Microsoft Word.

Sehingga saat itu dia masih tidak dapat mempercayai yang akhirnya dia akan mengisi juga borang BM sendiri. Terasa seperti berada di planet Uranus.

Ketika dia menghantar pesanan Whatsapp kepada Salwa untuk dihantarkan kepadanya contoh borang BM sedia ada, Salwa membalas permintaannya itu dengan lima emotikon senyum lebar nampak gigi, tujuh emotikon senyum sambil tertangis dan tiga emotikon muncung dengan lambang cinta. Juga dengan zikir tahmid, tasbih, takbir dan istighfar yang tidak berhenti. Jelas Salwa tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya. 

Terketar-ketar Mardhiah ketika menerima contoh borang BM dari Salwa yang dihantar menerusi emel. Dua tiga kali juga dia berfikir, sama ada dia benar-benar mahu meneruskannya. Akhirnya, dia tekad. Dengan lafaz basmalah, dia menekan pautan yang dihantar dan memuat turun kandungannya.

Kelakar la aku ni. Dengan borang BM pon nak kecut perut. Macam mana la nak pergi berjihad kat Palestin tu nanti.

Bahagian awal borang tersebut tidak menjadi masalah untuk Mardhiah mengisinya. Nama, umur, tinggi, berat, pendidikan... Semuanya ibarat mengunyah kek Chocolate Indulgence Secret Recipe sahaja. 

Namun apabila tiba kepada soalan-soalan seperti "Nyatakan kelebihan yang ada pada diri anda," "Nyatakan kekurangan yang ada pada diri anda," "Apakah harapan yang anda letakkan pada BM yang bakal dibina," dan yang seangkatan dengan itu, berpeluh-peluh kepala Mardhiah dibuatnya. 

Tiba soalan maut - "Nyatakan ciri-ciri idaman bakal suami anda" - bundar mata Mardhiah melihatnya. Dua tiga kali dia terpaksa menelan air liur, terkejut agaknya dengan soalan itu. 

Adoiii macam mana nak jawab ni. Letak je la, nak hensem macam Batman, hensem macam Superman tapi warak macam Aliman. Boleh tak..? Kekeke.

Mardhiah menggaru tudungnya.  

Jujurnya, seumur hidupnya tidak pernah langsung terlintas dalam kepalanya soalan sedemikian rupa. Sejak kecil, dia sudah menerima hakikat bahawa dia punya kekurangan dari segi rupa paras dan fizikal, jika hendak dibandingkan dengan adik-beradiknya yang lain, meskipon rakan-rakannya di sekolah. 

Dia sudah lali dengan ejekan dan usikan orang ramai tentang dirinya. Gepen la, katak kodok la, Doraemon la dan entah bermacam-macam lagi gurauan kasar yang pernah dilontarkan kepada dirinya.

Hati mana yang tidak remuk dengan penghinaan sebegitu rupa. Jiwa mana yang tidak berkecamuk dengan tamparan sepedih itu.

Kemuncaknya adalah apabila ibunya sendiri pernah secara bergurau berkata kepadanya, "Kamu tak payah kahwin la Mar. Kamu duduk dengan mak, jaga mak sampai tua. Bukan ada orang yang nak kahwin dengan kamu pon."

Ketika itu terasa seperti ada sembilu tajam yang menusuk tepat ke jantungnya. Terasa dadanya sempit, sukar untuknya bernafas. Air matanya mengalir laju tidak tertahan. Lama juga dia tidak bertegur-sapa dengan ibunya selepas perisitiwa itu. Semuanya gara-gara gurauan yang tidak kena pada tempatnya. 

Awal-awal dulu memang Mardhiah akan mudah menjadi emosional, marah dan gundah setiap kali dia diejek sedemikian rupa. Yalah, perempuan mana yang tidak mahu rupa paras yang cantik? Perempuan mana yang tidak mahu punya keterampilan yang menarik? Dan bukan sekali dua dia menyalahkan takdir, marah pada Tuhan kerana menjadikan dia sedemikian rupa. 

Bukan sedikit wang yang dia habiskan untuk menguruskan badannya yang gedempol itu. Sudah merata-rata pusat rawatan kecantikan yang dikunjunginya untuk melicinkan kulit wajahnya yang menggerutu itu. Sudah bermacam produk kecantikan yang dicubanya untuk memberinya wajah yang lebih bersinar dan kulit yang lebih mulus dah halus. Namun semuanya tidak memberikan hasil sepertimana yang diidam-idamkannya.

Mardhiah tetap Mardhiah yang asal. Dan lama-kelamaan, dia sudah mula dapat menerimanya.

Akhirnya dia menjumpai sesuatu yang lebih baik daripada semua itu; tarbiyah. Tarbiyah telah menyelamatkan dirinya. Tarbiyah telah mengajar dirinya erti sabar dan redha. Tarbiyah telah mendidiknya dirinya untuk belajar memahami, menanggapi dan meyakini perancangan Allah untuk diriNya.

Dan yang paling penting, daripada tarbiyah, dia telah belajar bahawanya kecantikan hati itulah yang lebih utama berbanding dengan kecantikan paras rupa. Bertitik-tolak dari situ, Mardhiah berazam untuk menjadi seorang manusia yang tercantik pada pandangan mata TuhanNya. Meskipon dia buruk dan hodoh di sisi manusia, dia bertekad mahu menjadi selebriti paling cun bergaya dalam kalangan para penduduk langit sana. 

Maka keluarlah seekor rama-rama yang begitu indah dan mempesona dari kepompong jumud yang selama ini merosakkan fikiran dan jiwa. Mardhiah menjadi seorang serikandi dakwah yang begitu bersemangat dan bermotivasi tinggi, sentiasa menjadi inspirasi dan sebutan para akhawat yang lainnya. Sentuhan peribadi dan taujihat berapi dari Mardhiah sentiasa dinanti-nantikan oleh para akhawat yang sentiasa dahagakan tamparan rabbani dan goncangan imani. 

Saban tahun, semakin ramai akhawat yang berjaya dilahirkan menerusi sentuhan Mardhiah. Anak-anak buahnya bertebaran di merata tempat, mewarisi perjuangan Mardhiah dalam menyebarkan risalah Allah. Hanya Allah sahaja yang tahu nilai semasa saham-saham sorga Mardhiah yang semakin menjulang tinggi saban hari. 

Saban tahun juga, Mardhiah menyaksikan sendiri satu-persatu anak-anak buahnya mendirikan rumah tangga. Malah Mardhiahlah insan yang bertanggungjawab untuk duduk dan sama-sama membimbing anak-anak buahnya itu untuk meletakkan ciri-ciri pilihan yang terbaik pada seorang al-akh yang bakal menjadi suami mereka nanti.

Ironi. 

Dan kini Mardhiah terpaksa berhadapan dengan realiti, bahawa gilirannya sudah tiba. 

"Nyatakan ciri-ciri idaman bakal suami anda."

Mardhiah kaku. Tidak tahu mahu diisi apa pada ruangan itu. Ditenungnya skrin komputer ribanya itu, seperti mahu dimakan satu-persatu aksar ayang terpampang di hadapannya.

"Beriman. Bawa sekurang-kurangnya lima usrah."

Cepat-cepat Mardhiah menekan kekunci 'Backspace', memadam kembali apa yang telah ditaipnya.   

"As-Sidiq seperti Abu Bakr, tegas seperti 'Umar. Pemalu seperti Uthman. Gagah seperti 'Ali."

Backspace. Gila.

Mardhiah memejamkan matanya. Penat. Tidak disangkanya kerja mengisi borang yang disangkakan mudah itu boleh jadi begitu meletihkan.

Ya Allah, pandulah hatiku.

Mardhiah mencelikkan matanya dan dengan pantas dia menaip.

"Sederhana. Boleh menerima diri ini dengan seadanya."

Alhamdulillah, siap!

Mardhiah menekan pautan 'Save' dan segera dilampirkan borangnya itu pada emel balasnya kepada Salwa.

Bismillah.

Send.

***

Muzammil menatal pantas borang BM di hadapan matanya itu. 

Umur. Lepas. Tinggi. Ok. Pendidikan. Bereh. 

Muzammil tidak hirau sangat pada aspek-aspek lain pada borang yang sedang ditatapinya itu.

Kelebihan. Kekurangan. Hobi. Makanan kegemaran. Pekerjaan ayah. Jumlah adik-beradik.

Namun tiba-tiba Muzammil jadi tidak keruan apabila tiba masanya untuk dia melihat foto si pemilik borang. Berdebar-debar. 

Dia menarik nafas. Drama.

Darahnya berderau apabila pertama kali menatap wajah si ukht. Hampa. 

Muzammil pantas menutup kelopak matanya. Rapat. Dia beristighfar beberapa kali. Kemudian apabila dia sudah sedikit tenang, teragak-agak dia menekan bulatan berwarna merah dan bersimbol 'X' pada penjuru kiri skrin MacBooknya. 

Not this time.

Masuk itu, sudah lebih sebelas borang yang ditolaknya. Sebelas. 

Jujur, Muzammil sendiri tidak tahu apa yang sebenarnya dimahukannya. Lawa? Cantik? Penyejuk mata? Muzammil tahu semuanya itu adalah subjektif, bergantung kepada 'selera' masing-masing. 

Dia sampai sudah naik malu kepada pengurus al-Baitul Muslimnya. Awal-awal dahulu, dia menyangka prosesnya mudah dan pantas sahaja. Maka apabila ditanya apakah kriteria dan ciri-ciri bakal isteri pilihan, dia dengan mudah menjawab, "Siapa-siapa pon ok, InshaAllah. Asalkan akhawat yang beramal. Ustaz pilihlah."

Rupa-rupanya baharu dia tahu, ia tidak seringkas itu. Kerana ia berkait rapat dengan hati. Hati yang amat mudah berbolak-balik itu. 

Akhirnya dia belajar untuk lebih jujur apabila menyatakan kehendak hatinya. Meski ia bakal membuatkan pipinya merah padam dan peluh sejuk mengalir perlahan di tepi dahi, itu lebih sejahtera. 

"Akhi, anta yang nak kahwin kan? Kahwin ni bukan perkara main-main akhi. Anta kahwin dengan seorang akhawat tu, anta nak tinggal dan duduk dengan dia untuk sepanjang hayat, InshaAllah. Tiada siapa yang berkahwin untuk bercerai.

Jadi pilihlah yang paling sejahtera dengan hati anta. Yang paling menenangkan anta. Pasal agama semua itu, anta tak usahlah risau sangat, sebab anta akan berkahwin dengan akhawat. InshaAllah akhawat ni, agama mereka sudah terjaga. Jadi takpelah kalau anta nak pilih yang cantik pon, tiada salahnya. Nabi SAW pon tak larang. 

Apa-apa pon, jangan lupa untuk solat istikharah dan perbanyakkan doa. Akhirnya, anta kena yakin dan percaya dengan ketentuanNya. Dan anta kena banyak-banyakkan bersabar."

Nasihat panjang-lebar oleh seorang akh kepada dirinya itu, dijadikan pegangan sehingga ke hari ini. Dirasakan kata-kata akh itu dekat dengan hatinya, begitu rapat dengan perasaannya. 

Ah tak kisahlah orang nak cakap apa, aku yang nak kahwin!

Namun kini, Muzammil tidak berapa pasti lagi. Adakah dia terlalu menurutkan nafsunya? Adakah dia terlalu cerewet dalam memilih bakal penyeri hati jantungnya itu? Adakah permintaan dan kehendaknya untuk berkahwin dengan akhawat yang lawa jelita suatu permintaan yang keterlaluan..? Kadang-kadang sampai dia terfikir, mungkin dia tak akan kahwin kalau dia terus bersikap begitu.  

Kenapalah borang yang datang kat aku, takde yang lawa. Kalau lawa kan senang, terus aku terima!

Tekanan ke atasnya untuk berkahwin saban hari semakin kuat. Apa-apa acara atau mana-mana perkumpulan ikhwah yang disertainya, pasti soalan-soalan cepu cemas itu akan ditanya;

"Akhi, bila kami nak dapat kad dari anta pulak ni?"

"Mil, teringin aku nak makan nasi minyak."

"Lah, anta tunggu apa lagi akhi? Takkan nak tunggu bidadari turun dari langit kot!"

Kadangkala, soalannya jujur dan lebih lurus lagi;

"Bila nak kahwin?"

Selalunya, Muzammil akan berseloroh melayan soalan-soalan sebegini.

"Bila nak kahwin? Dari tahun lepas lagi saya NAK kahwin! Hahaha."

Sudah mahu bernanah telinganya diaju dengan soalan-soalan maut itu. Sampai dia naik segan dan rimas mahu ke mana-mana majlis atau acara yang ada ikhwah di dalamnya, terutamanya jika ia adalah kenduri kahwin ikhwah sendiri. Bisa naik gila dibuatnya!

Jauh di sudut hati, terasa juga Muzammil dengan soalan-soalan sebegitu. Yalah, siapa yang tidak mahu kahwin. Umurnya juga sudah semakin meningkat, bukan semakin menurun. Siapa yang tidak cemburu melihat kemesraan zauj dan zaujahnya, bersama-sama meniti jalan dakwah ini? Siapa yang tidak keruan melihat kanak-kanak tembam, comel dan gebu, hasil perhubungan halal antara dua insan yang mencari redhaNya?

Dan di usia sebegitu, siapa yang tidak mahu... Ah, Muzammil tahu dia sudah sampai tahap wajib berkahwin!  

Dalam keadaan yang mendesak sebegitu, Muzammil kadangkala boleh jadi tidak rasional. 

"Akhi, kalau ana kahwin dengan bukan akhawat boleh kan..?"

Pernah sekali ditanya soalan itu kepada Harith. Mahu terjojol keluar mata Harith mendengar soalan jujur itu. 

"Anta gila ke akhi...?? Akhawat punyalah ramaaaai! Mengamuk akhawat nanti, kalau tahu ada ikhwah seqawiyy anta, memilih untuk bernikah dengan bukan akhawat. Silap haribulan, diorang buat demo nanti!"

Begitulah Harith. Serius dalam selorohnya.
 

"Tapi akhi... Hmmm, kalaulah.. Kalau je ek. Sudah suratanNya, ana bernikah dengan bukan akhawat. Macam mana...? Adakah anta akan hilang tsiqah pada ana nanti...?"

Harith terdiam. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjawab soalan itu. Dan dia tahu, dengan soalan itu, dia wajib membantu Muzammil, mencari jalan keluar untuk sahabat dunia akhiratnya itu.  

Dah kronik dah budak ni! Kepala masuk air!

Dan dalam keadaan yang mendesak sebegitu, Muzammil kadangkala akan dihunjam dengan serangan-serangan jahiliyyah lamanya. Di saat-saat dia tertekan tentang isu perkahwinan ini, kadangkala dia akan teringatkan...

Tiba-tiba telefon Muzammil berbunyi dan bergetar, menandakan ada mesej Whatsapp yang masuk.

Harith.

Muzammil segera mengambil Xperia Z-nya itu dan membaca mesej yang terpampang di skrin.

"Salaam akhi. Ana ada berita baik untuk anta! ;D Alham..."

Jantung Muzammil berdebar-debar. Matanya membundar. Jarinya berpeluh pijar. Terus dia memasukkan kod laluan telefonnya, untuk dia membaca mesej penuh dari Harith. 

"Salaam akhi. Ana ada berita baik untuk anta! ;D Alhamdulillah, ana rasa ana dah jumpa calon yang paling sesuai dengan anta! Nanti ana forwardkan borangnya. Doa akhi, doa! ^^"

Allah... 

Haadza min fadhli rabbi. 


***

bersambung...

DAFTAR KATA
Taujihat - pengisian yang menghala ke arah objektif tertentu
Rabbani - perihal Tuhan (rabb)
Tsiqah - kepercayaan

-gabbana-

Rasa-rasa dah boleh agak ke jalan cerita ni, atau tak boleh...? Nantikan dengan penuh debaran, dalam kesabaran.

Gelembung pipi. 

>> Ainul Mardhiah (Bahagian I)
>> Ainul Mardhiah Bahagian III
>> Ainul Mardhiah Bahagian IV


35 Caci Maki Puji Muji:

Hamba Allah 29/11/2013, 19:52  

assalamualaikum, akhi...
thumbs up buat enta..teruskan usaha enta dlm b'dakwah melalui penulisan... cepat2 untuk smbung entri ni yaa... nice job... ^^

Che Tulip 29/11/2013, 19:57  

Alahai terima kaseh Akhi! Ana dah tahu nak isi apa. Ana nak macam superman...batman.. Etceli ana pon bingung ni nak isi apa. Ana siap suruh mak istikarah+hajat+tahajud sekali. Padahal ana yg nak isi borang kekeke. Dan borang tu dah nak masuk 2 weeks tanpa ayat!

shamyheart 29/11/2013, 19:58  

Susah juga mengisi borang kan?
Letak tinggi2, org ckp memilih.
Nak tau kesudahan cerita ni.

efef 29/11/2013, 20:05  

" kenapa borang yg datang, semua tak lawa"

Sebab mmg ssh org yg lawa nk jdi qawiyy. Byk cabarannya. Ramai yg tersungkur do tgh jalan

Ataupun mostly dah diambil orang. Lulz.

The Other Ainnul 29/11/2013, 20:07  

kalau ikhwah mmg kena kahwin dengan akhawat. define ikhwah,define akhawat

Anonymous 29/11/2013, 20:09  

"nanti akhwat buat demo" huhu.

Anonymous 29/11/2013, 20:10  

em, maksudnye ikhwah langsung x boleh nikah ngan bukan akhwat ke? macam tu skali ke kene diskriminasi?

Anonymous 29/11/2013, 20:10  

btw mabruk akh. ana pasti untuk menulis tentang ini pun memerlukan keberanian jugak. huhu

Anonymous 29/11/2013, 20:12  

kisah yg dkt dgn diri ana
gurauan ibu adekah ad insan yg mahukan ana (sentap sangat)
rupa paras yg tidak seberapa tp Alhamdulillah sempurna
sehinggakan pernah terfikir tak mahu membina masjid

tapi ana yakin dgn Allah
tiada yg sia2 dlm aturanNya
sekarang fokus ana adalah dakwah, tarbiyah, usrah & islah
andai ad al akh qowiyy yg sudi melamar.Alhamdulillah
jika tiada pun.Alhamdulillah

cepat cepat menyambung ya inche!

Unknown 29/11/2013, 20:17  

tak sabar nak tunggu chapter yang seterusnya. Wallah, APG should make a novel. ^-^

Anonymous 29/11/2013, 20:32  

Good job akhi ! Cepat2 sambung yee ^^

Anonymous 29/11/2013, 21:33  

Dah 2tahun borang tu diam kat dalam laptop... :)

Anonymous 29/11/2013, 21:43  

Errr... geram dgn ikhwah!!!!!!!!!!!!!

Anonymous 29/11/2013, 21:50  

Ta sbr nak tnggu next episode :-D .

Anonymous 29/11/2013, 23:05  

ending dia rasanya muzamil ngan mardhian x kawen bersama...Diorang akan kawen fgn orang lain...

Anonymous 29/11/2013, 23:20  

Nasib ada part 2..teruskan berkarya =) .. penat la bc novel skrg ni yg plotnya sama je..jarang nk jumpa novel yg ada pengisian..
p/s:teringin sangat nak join gerabak usrah tapi belum ada kesempatan =(

Anonymous 30/11/2013, 10:26  

kalau muzamil ni hensem oke lagi nak yg laawa kalau x . mmg kene gelak ..

Anonymous 01/12/2013, 00:28  

Tak sangka ada sistem BM mcm tu...(isi borang)..memang ada gi tu ke? "Baru tahu"

Anonymous 01/12/2013, 00:48  

Enta memang dapat menjiwai watak Muzammil tu akhi :,(

Anonymous 01/12/2013, 00:50  



borng BM. hehe. menarik. baca komen2 tntg syrt sngt menarik

syrt... sush ye letk tggi2 org sush nk terima. letk biase aje, hti pula ase sush nk timer bila ade yg dtg. kan?

pd ana. jujur saje dgn diri.
tulis saje ape hrpn kita
biarlah Dia yg menilai. kita manusia nk nilai diri kita pun lmh. so jujur je. Allah yg bolak balik hati manusia. pandaila Dia susun bila dh ade tu.

kalau ana jujur je. org nk kata ape pun biarlah. tu diri ana. hrpn ana. kalau dh dia tkley terima biarlah. kita kena yakin Allah akn bg pd kita yg terbaik yg kena dgn hrpn kita dan kmmpuan kita. ^^

Bunga Iman.

Anonymous 01/12/2013, 09:51  

Lawls.
Kemain.

Plenty of other things to do, but then you just haaaad to post a story pasal BM.
It has continuations as well.

*facepalm

- A.

Selendang Hitam 01/12/2013, 13:43  

pergh~~~ nak tercabut jantung.. berdebar debar nak tnggu smbungan..tapi kadang2 rase cm berada di alam mimpi baca cite nh.. hahaha..

Anonymous 01/12/2013, 15:47  

1 ikhwah : 10 akhawat.. sepatutnya mmg layak ikhwah untuk memilih.. tp pilihlah atas dasar iman, kadang ada ikhwah yang rasa dirinya sgt hebat sehingga mahukan zaujahnya hebat

Anonymous 01/12/2013, 16:36  

Dapat rasa apa yang mardhiah rasa tu , hahah . Kipidap , tak sabar nak tunggu sambungannya .

Anonymous 01/12/2013, 20:37  

terpakse skip intro atas2 tu . panjangnye iggggggg orang dah la x sabar nak tunggu dia isi borangggg . huhu btw x sbr nk tunggu sambungan . haha weee

( boleh tulis dengan sukahati sbb ig tak tahu sape )
lalala

Anonymous 01/12/2013, 23:04  

X pe la klau ikhwah nk akhawat yg cntik2. Dh name pun llaki kan. Bg akhwat yg rase rndah diri, anda cantik pd pndangan Allah. Sbb tu Allah cipta anda mcm tu. Ak dulu pn pnah down sbb rase x cntik.

Anonymous 02/12/2013, 00:21  

Allah.. tetiba rasa tak nak habis belajar sebab tak nak fikir tntg "BM" ni..hu.. rasa nak terus guling-guling dgn ilmu dan kitab-kitab, main kejar-kejar dengan akhawat dan berulang alik ke usrah dan daurah setiap minggu.. ,macam lagi best je.. macam lagi enjoy je.. tak menakutkan macam "BM".. bukan "BM" je menakutkan rupanya nak isi borang "BM" pon dan menakutkan.. erkk =_="

Anonymous 02/12/2013, 10:12  

salam...
maaf nk tny..kenapa x boleh kawen ngan akhawat?? salah ke??
tersentuh hati perempuan yg bukan akhawat2 ni bila bace kate x leh kawen ngan yg bukan akhawat?
sedangkan yg bukan akhawat pun perlukan ikhwah2 yg qawwiy ni bimbing mereka ke syurga jg..,

by the way, post ni mmg touch my heart!

good job en.gabana!

BeskutMereeCecahKopee 02/12/2013, 13:02  

Ana seorang perempuan.
Akhawat or not, tu lain cerita ah.
Self-proclamation nanti, kembang hidung pulak.

Tapi ada betulnya kenapa isu 'ikhwah perlu kahwin dengan akhawat' and v/versa.
Bukan tak boleh.
Tapi digalakkan untuk berkahwin sesama mereka yang sefikrah, seperjuangan dengan kita.
Supaya pasangan faham dengan demand masing2 sebagai daie: busy bawak usrah, hilang weekends sebab pergi daurah, lesap seminggu pergi jaulah, invisible sebentar sebab katibah.

Bukan semua yang faham.

Kalau nak berBaitulMuslim,
Jangan dilupakan marhalah tarbiyah yang dimulakan dengan penekanan konsep individu muslim dulu.
Tak lepas tangga satu, jangan dilangkah ke tangga kedua.

Apa itu marhalah tarbiyah?

HAAAAHH. Kne join usrah, baru boleh faham.
THEN, baru fikir nak kawen dengan ikhwah akhawat bagai.

Aseef, APG. Cam terbakar sikit ble tgk org sibuk2 komplen x dpt kawen dgn ikhwah akhawat, sedangkan...

ish. takpe la. astaghfirullah.

Semoga bermanfaat. :)

Anonymous 02/12/2013, 13:52  

aiyaaaaa!histeriaa ambe dibuatnyer bile nmpk dgn perkataan nie (bersambung)tension!!

Anonymous 04/12/2013, 21:13  

Memang tak boleh ke tak kahwin dgn akhawat?

Anonymous 08/12/2013, 20:03  

Join gerabak. Nnt antum akn tau ^^

Anonymous 11/12/2013, 20:11  

Sedihnya.
Bukan akhawat tak layak bagi seorang ikhwah?

Hmm.
Yang tak join usrah semuanya tak sama fikrah ke dengan yang join usrah?
Tak boleh ke suami sendiri jadi daie kpd isteri? Isteri yang tak ikut usrah, tapi punya matlamat yang sama, mengejar redha Allah?

Anonymous 12/12/2013, 03:58  

Plg suka part ni. ;)
Tarbiyah telah menyelamatkan dirinya. Tarbiyah telah mengajar dirinya erti sabar dan redha. Tarbiyah telah mendidiknya dirinya untuk belajar memahami, menanggapi dan meyakini perancangan Allah untuk diriNya.

Anonymous 31/12/2013, 16:28  

hina sangat kah utk seorang ikhwah mengahwini seorang akhawat? >< reply asap tolong.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP