31 July 2013

Kebaikan Atau Penumbuk Yang Anda Mahukan?

[Kredit]

Sejak kebelakangan ini, apabila menatal garis masa akaun MukaBuku saya, akan dapati kebanyakan hapdet-hadpet yang ada berupa bahan-bahan yang soleh dan musleh. Penuh dengan tazkirah, nasihat dan panduan yang berguna. Bukan sahaja dalam bentuk tulisan, malah kmik dan video nasihat juga banyak dikongsikan. Saya melihat ini sebagai suatu perkembangan yang cukup sihat dan baik, apatah lagi MukaBuku sering dikaitkan dengan pelbagai masalah sosial yang ada marcapada ini.

Namun ia bergantung kepada siapa rakan dan kenalan anda sebenarnya. Andai rakan-rakan anda ramai yang berspecies mambang laut dan jin hutan, atau raksasa gorgon berpenyepit empat berhidung kembang, alamatnya hantu jugalah kandungan hapdet-hapdet di MukaBuku anda. Peluh.

Berbalik kepada nasihat dan tazkirah yang dikongsikan, ia datang dalam pelbagai rupa dan gaya. Ada yang berbentuk status nasihat semata. Ada yang mengkuot hadith atau ayat al-Quran. Ada yang mengkuot kata-kata mujadid, tabi'en atau tokoh-tokoh lain, sama ada dengan atau tanpa kebenaran. Ada yang mengkuot kata-kata Inche gabbana. Eh. Tak kisahlah. Asalkan ia nasihat yang berguna kerana sesungguhnya manusia itu perlu sentiasa diingatkan dan ditegur.

"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin."
[adz-Zariyat, 51:55]

Namun begitu, ewah, ada beberapa gejala yang kurang saya senangi dengan posto-posto berbentuk nasihat dan tazkirah ini. Jika anda perasan, ada sesetengah post yang disertakan dengan amaran atau peringatan tambahan di hujungnya. Ia selalunya berbunyi begini:

"Sila SHARE jika anda peduli."

"Jika anda benar-benar sayangkan Islam, sila sebarkan!"

"Anda hanya ada dua pilihan: LIKE & SHARE atau anda boleh IGNORE."

"Sebarkan sekiranya anda benar chentakan Nabi SAW."

"Kalau anda tak sebarkan bermakna anda bukan sebahagian daripada umat ini!"

Pernah jumpa kan..? Jujur, saya merasakan ada yang tidak kena dengan peringatan/amaran sebegitu rupa. Ia berbunyi semacam ancaman. Ia tampak seolah-olahnya seperti ugutan.

"Oh kau konfem tak chenta Islam kalau kau tak sebarkan nasihat ni!"

"Ekele kerek gile kau, benda baik macam ni pon kau tak nak sebarkan. Apa kau ingat kau dah konfem masuk sorga...??"
 
"Aku dah agak dah aku tak sayang Nabi. Sebab tu kau tak nak SHARE en..??"

Ok bunyinya mungkin sedikit keterlaluan. Tetapi begitulah seolah-olahnya persepsi atau perasaan orang yang membaca post-post yang disertai dengan amaran dan peringatan seperti di atas.

Arakian menjadi serba salahlah orang yang 'terperangkap' dalam situasi sedemikian. Kalau tak sebar dan kongsi, nanti dituduh tidak peduli. Namun andai disebarluaskan lagi, semakin ramailah yang terjerat dengan permainan ini.

Saya melihat apa yang berlaku dalam MukaBuku ini tiada bezanya dengan fenomena surat berantai yang pernah kecoh dan popular suatu ketika dahulu. Malah saya tidak hairan andai surat berantai ini masih lagi berantai ke hari ini. Adeh. 

Surat yang mengandungi nasihat-nasihat dan panduan tertentu yang kononnya diwarisi daripada penjaga makam Nabi. Nasihat dan bimbingan yang diberikan tampaknya baik-baik dan bagus sahaja, sehinggalah apabila ia disertakan dengan amaran, barangsiapa yang tidak menyebarluaskannya, pasti akan ditimpa bala bencana. Tidak cukup dengan itu, disertakan pula dengan testimoni atau kisah-kisah benar yang menimpa mereka yang buat tidak peduli dengan surat tersebut, lantas akhirnya ditimpa kecelakaan. Sebaliknya, buat mereka yang bersegera menyebarkan dan berkongsikan amanat dalam surat tersebut, pasti akan mendapat keuntungan yang besar dan lumayan sekali.

Ini mengarut. Ini gila. Dan ini khurafat! Tidak keterlaluan saya katakan, boleh jatuh hukum syrik kepada sesiapa sahaja yang mempercayai bahawa bala bencana akan menimpa diri mereka andai mereka tidak melaksanakan sepertimana yang diminta dalam surat tesebut. Atau mereka akan mendapat kenikmatan dan keuntungan besar andai mereka mematuhi arahan dalam surat tersebut. 

Bunyinya seperti tidak munasarawak dan hanya orang-orang yang bodoh sahaja yang akan tertipu dengan permainan sebegini. Tapi jangan terkejut andai ramai yang sudah terperangkap dengan kekejian ini. Malah saya sendiri, ketika pertama kali membaca isi kandungan surat tersebut, berasa berdebar-debar dan resah jugalah dibuatnya. Mujurlah iman saya masih kuat dan tidak mempercayai apa yang terkandung dalam surat itu. Malah saya telah membuat kajian sendiri dan mendapati sememangnya surat berantai itu adalah suatu penipuan yang hanya mahu mempermainkan manusia sejagat. 

Meskipon apa yang berlaku di MukaBuku hari ini tidaklah seseriyes atau sedangkal fenomena surat berantai, namun saya tetap melihatnya sebagai suatu gejala yang tidak sihat. Niatnya mungkin baik; mahu kebaikan dan kebenaran disebarkan seluas dan secepat mungkin. Namun niat tidak menghalalkan cara. Ada yang tidak kena dengan kaedah yang digunapakai dalam menyebarkan kebaikan dalam hal ini. 

Ia berupa ancaman. Ia berbaur ugutan. Dalam bentuk yang lebih halus dan tidak ketara. Bertopengkan bahasa-bahasa nasihat yang lembut dan bersopan-santun ala-ala anak gadis tunduk hormat apabila lalu di hadapan bakal mak mertua. Eh. 

Mungkin inilah yang dikatakan oleh ar-Rasul SAW sebagai ghuluw (berlebihan) dalam beragama.  Sabda baginda:

"Jauhilah oleh kalian akan ghuluw (berlebihan) di dalam agama, kerana telah binasa orang-orang sebelum kalian dengan sebab (ghuluw) di dalam agama."
[Hadith riwayat Ahmad]

Berlebihan dalam agama termasuklah taasub dengan suatu pendapat sahaja, obses dengan figur atau tokoh tertentu sehingga memaksumkannya, mudah emosional dan marah apabila pendirian dan pendapatnya ditentang, mudah melabel orang lain dan amat mudah merendah-rendahkan orang lain.

Malah asal kepada terjadinya hadith-hadith maudhu' (palsu) adalah kerana wujudnya golongan yang berlebihan dalam agama.

Jadi marilah kita mengelak diri kita daripada terjebak dengan perangkap ghuluw ini. Kita mungkin tidak menyedarinya, tetapi tindak-tanduk, kata-kata dan perbuatan kita mungkin telah pon menunjukkan simptom-simptom yang kita sudah mula berlebihan. Ya, kita amat-amat mahukan kebaikan itu tersebar luas ke seluruh pelusuk dunia. Tapi paksaan, ancaman dan ugutan bukanlah caranya.

Sampaikanlah risalah Allah yang agung ini dengan penuh kasih-sayang dan keikhlasan, tanpa mengharapkan balasan. Dan yakinlah, usaha-usaha dakwah yang ikhlas lagi tulus, kata-kata yang benar lagi mulus, pasti akan tersebar jauh nun ke hujung dunia. Sepertimana dakwah Nabi SAW yang akhirnya berjaya menguasai dunia!

Kalau ya pon mahu menggalakkan orang menyebarluaskan nasihat atau teguran yang telah kita kongsikan, nyatakanlah ia dengan cara penuh berhikmah da bijaksana.
 
"Jika anda mahukan saham soga yang berterusan sampai kiamat, ayuh sebarkan siapa cepat dia dapat!"

"Kalau suka tolong sebarkan kepada semua. Kalau tak suka, tolong maklumkan kepada saya." 

"Mendapat pahala semudah dua klik sahaja; LIKE dan SHARE."

"Antara amalan anak Adam yang akan berkekalan hatta setelah mati adalah ilmu yang bermanfaat yang diamalkan. Sebarkan ini jika anda mahu bekalan amalan yang berterusan!"

"Weyyy awat hang ketegaqq sangat..?? Nak sebarkan pon susah kaaa..?? Aku balun satgi baghu hang tauuu!"

Err. Sila abaikan yang terakhir itu.

Tidak perlu risau nasihat anda itu tidak kesampaian. Tidak perlu garu kepala post yang anda tulis panjang-panjang itu tiada yang siapa yang membacanya. Dan tidak perlu gundah gulana apabila tiada yang mahu berkongsikan status atau post nasihat anda itu.

Kerana yakinlah, Allah sudah pon melihatnya. Bukankah Allah tidak melihat pada hasil, tapi usaha semata? Ya, tiada apa yang perlu dirisaukan andai kita benar-benar ikhlas dalam menyampaikan kebenaran!

Dan oh, sebarkanlah post ini sekiranya anda benar-benar cakna dengan isu ini. 

Eh?

-gabbana-

Ramadhan semakin menuju ke penghujungnya. Siapa kita di sisiNya? Adakah kita sudah berjaya merebut segala tawaran ekstravaganza di bulan Ramadhan ini..?

Ramadhan jangan pergi dahulu! Saya masih belum puas! Nanges. 

29 July 2013

Dialog-Dialog Yang Tak Berapa Patut Di Hari-Hari Terakhir Bulan Ramadhan

[Kredit]

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengijinkan kita untuk melangkah masuk ke sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan. Ia adalah satu anugerah yang cukup besar lagi bermakna, kerana ia tandanya kita telah terpilih untuk menghidupkan hari-hari terakhir dalam bulam Ramadhan, di mana di dalamnya terkandung satu malam yang jauh lebih baik daripada seribu bulan. 

Ini adalah masa untuk kita memecut laju. Ini adalah masanya untuk kita melupakan segala urusan dunia (yang tidak berfaedah) dan memfokuskan keseluruhan tenaga dan upaya kita untuk mengejar dan memburu redha Allah. Dan inilah masanya untuk kita tidak menoleh ke belakang lagi. Apatah lagi tiada jaminan untuk kita berjumpa dengan Ramadhan tahun hadapan!
 
Telan air liur.

Nabi SAW dan para sahabat sememangnya mempunyai hubungan yang cukup intim dengan sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan. Baginda dan para sahabat akan beriktikaf penuh di masjid, hanya pulang ke rumah untuk urusan yang benar-benar penting sahaja. Sebahagian besar masa mereka akan dihabiskan di masjid untuk memperbanyak dan mempertingkat kualiti ibadah mereka. Malam mereka akan dihidupkan sebaiknya...

"Adalah Rasulullah SAW jika telah masuk sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, beliau mengencangkan kainnya, menghidupkan malamnya, dan membangunkan keluarganya."

[Hadith riwayat Bukhari dan Muslim]

Namun di sebalik keoseman sepuluh hari terakhir dan ganjaran ekstavaganza vavavum! yang dijanjikan di dalamnya, masih ada segelintir manusia yang tidak dapat menghayati dan mengambil seriyes akan keistimewaannya. Malah di hujung-hujung Ramadhan ini, amalan mereka menjadi semakin mandom (Baca: Tak bersemangat) dek kepenatan berpuasa yang hanya mendapat lapar dan dahaga semata. Juga kerana tidak sabar-sabar untuk mengenakan langsir baru dan baju melayu berwarna pink sedondon dengan samping songket jahitan tangan dari Terengganu itu. Adeh.

Mari kita lihat gelagat-gelagat segelintir masyarat kita yang nampaknya acuh tak acuh sahaja dalam menyambut sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Malah mereka lebih berminat untuk menghabiskan bulan ini secepat mungkin agar dapatlah mereka berhari raya dengan penuh riang gembira. Moto mereka, "Ada aku kesah..?"

Mari.

"Wey Suhaimi Lotfi, satgi lunch kita nak makan apa..?"

Komen: Ni tak pasti sama ada dah terlalu penat berpuasa sampai terlupa, atau kantoi kawkaw yang sepanjang bulan Ramadhan dia memang tak berpuasa. Hohoho. Peluh besar.


"Eh Zabedah Arifudin, tahun ni berapa balang semperit kau buat?

Komen: Walaupon tak salah nak buat kuih raya atau berniaga kuih raya, tapi takdelah sampai berlumba siapa yang lebih haibat dan kuat menguli tepung dan memecah telur. Susah-susah, kuih raya tunjuk sudah!


"Bhai, korek idung batal pose tak?"

Komen: Soalan ni kalau ditanya di awal-awal Ramadhan masih boleh diterima lagi. Tapi kalau soalan ini masih ditanya di akhir-akhir Ramadhan, rasanya ada sesuatu yang tidak kena di mana-mana.


"Tahun ni langsir kau berapa meter? Kau beli kain ropol-ropol kat Semua House tu ke?"

Komen: Takkanlah setiap tahun nak tukar langsir baru? Dan kalau ye pon nak tukar, kena ke tukar di sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan..? Makcik Laila tidak lihat pada langsir baru, tapi pada taqwa!


"Razali Hashim, jom teman aku gi beli baju raya kat Masjid India..? Tapi hujung-hujung Ramadhan ah, sebab time tu harga runtuh bhaekkk punyaaa! Silap haribulan dapat baju raya satu set feri of caj!"

Komen: Kalau nak beli baju raya, baik beli siap-siap sekarang. Tak pon di waktu tengah hari atau petang. Itu pon tak digalakkan kerana khuatir akan penat di waktu malamnya. Di hujung-hujung Ramadhan inilah kita keluar semua (Baca: All out) untuk perbanyakkan amal ibadah kita. Kalau disebabkan baju raya kita terlepas berjumpa dengan Makcik Laila, tak ke rugi namanya tu..? Rugi gile bhaaii!


"Shinzo Himawari, saya dengar kat Hotel Fantabulus tu ada buat promosi khas berbuka puasa sempena malam Lailatul Qadr. Apa lagi, ni lah masa untuk kita nak pulun sampai lebam!"

Komen: Tak terkata. Pertamanya, banyak mana sangatlah nak makan sewaktu berbuka? Dan kedua, kalau dah mentekedarah macam jin tanah, nak rukuk pon sampai nak termuntah, rasa-rasa ada can ke nak bertemu dengan malam seribu bulan nan indah..?


"Terawih masjid mana yang baca paling pantas dan cepat? Pendek dan manis gitu."

Komen: Orang lagi menuju ke akhir Ramadhan, lagi banyak rakaat terawih dan tadarus al-Quran. Ini tidak; berkadar songsang! 


"Quran kau dah mukasurat berapa, wahai Dalila Zainol?"

Komen: Soalan yang sepatutnya ditanya, "Quran kau dah khatam berapa kali dah..?" Ohoi!


"Kalau buat witir satu rakaat je ok kan..?"

Komen: Mata terbeliak. Memanglah ok je. Tapi kita nak ikut sunnah Nabi kan? Kita nak tawarkan amal ibadah yang terbaik kepada Allah kan? Dan bila lagi masa yang terbaik untuk mantapkan dan perbanyakkan ibadah kalau bukan di malam-malam terakhir bulan Ramadhan?


"Err.. Lailatul Qadr tu benda apa..? Nama sejenis kurma ke..?"

Komen: Pengsan. 

Haaa bagaimana..? Ada tak mana-mana dialog di atas yang pernah anda ungkapkan..?

Jika ada, sudah tiba masanya untuk berubah! Ya, anda belum lagi terlambat. Kerana masih ada SEPULUH hari untuk anda manfaatkan dan gunakan sebaiknya! 

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam Qadar itu? Malam Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar."
[al-Qadr, 97-1-5]

Ya, ia adalah tawaran ekstravaganza yang ditawarkan hanya setahun sekali. Kalau bukan Ramadhan tahun ini untuk kita bertemu dengannya, bila lagi..?

Moga kita tergolong dalam kalangan mereka yang berjaya berjumpa dengan Makcik Laila. Moga kita terpilih untuk beribadah pada malam yang jauh lebih osem daripada seribu bulan. Dan moga kitalah orangnya yang didoakan 'Sejahtera' oleh para malaikat sekaliannya!

Ayuh mulakan operasi memburu Makcik Laila dan mengejar redhaNya yang hakiki! Ayuh kita sama-sama berlumba mendapatkan sorgaNya yang seluas langit dan bumi! Ayuh kita bersegera memperbanyak amal ibadah kita, agar tidak kita menyesal di akhirat nanti!
 

Cepat-cepat ikat tali kasut tak mahu tertinggal jauh.

-gabbana-

Jom kita sama-sama hidupkan ibadah i'tikaf yang sudah semakin dilupakan. Malam ini saya inshaAllah ke Masjid UIA. Anda bagaimana..? Senyum. 
 

26 July 2013

Tujuhbelas Ramadhan

[Kredit]

Hari ini, lebih seribu empat ratus tahun yang lalu, pada tujuhbelas Ramadhan tahun kedua Hijriah, telah tercacat sebuah peristiwa agung yang merubah lanskap dan sejarah umat Islam secara keseluruhannya. Peristiwa yang mengubah halatuju dakwah ar-Rasul dan para sahabat, lantas memberikan platform kepada baginda untuk menyebarkan risalah Allah dengan lebih meluas lagi. Peristiwa yang telah menghambat musyrikin di jazirah Arab dan menambah keyakinan umat Islam yang sedia ada pada aqidah tauhid yang mereka imani. 

Ya, tujuhbelas Ramadhan, selain mencatatkan peristiwa turunnya al-Quran dari Lauh Mahfuz ke langit dunia, juga menandakan suatu peristiwa yang cukup besar impaknya kepada umat Islam.

Badar al-Kubra. Peperangan Badar.

Peperangan ini cukup unik dan menarik untuk dikaji. Pertamanya adalah kerana di pihak umat Islam, mereka langsung tidak menyangka, pelan asal mereka untuk menyerang dan merampas barangan yang dibawa oleh kafilah Abu Sufyan akan bertukar menjadi kepada peperangan dalam skala yang lebih besar. Hal ini dicatatkan dalam al-Quran:

"Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepadamu bahawa salah satu daripada dua golongan (yang kamu hadapi) adalah untukmu, sedang kamu menginginkan bahawa yang tidak mempunyai kekuatan senjatalah untukmu."
[al-Anfal, 8:7] 

Kedua, sekiranya kita melihat peperangan Badar dari kaca mata peperangan yang konvesional, ia tidak layak digelar peperangan pon. 313 tentera di pihak umat Islam menentang 1,000 tentera musyrikin Mekah? Bunyinya macam pergaduhan merebut kawasan sahaja. Ala-ala jemaah gengster gituh. Wahahaha.

Err.

Namun yang lebih menarik dan mengujakan adalah kesan jangka masa panjang yang dibawa oleh peperangan Badar ini. Hasil kemenangan umat Islam dalam peperangan ini, mentaliti dan tanggapan masyarakat di jazirah Arab terhadap risalah yang dibawa oleh risalah ar-Rasul berubah serta-merta. Mereka yang selama ini beranggapan bahawa musyrikin Mekah adalah suci dan kebal daripada sebarang kekalahan dan akan sentiasa menang dalam peperangan (rentetan persitiwa tentera bergajah Abrahah), kini kepercayaan mereka mula goyah dan merapuh. Semakin ramai yang tertarik dengan Islam. Semakin ramai yang terbuka mata dan hati mereka, untuk mengimani risalah agung yang dibawa ar-Rasul SAW. Al-Haq mula menapak, al-Bathil semakin disepak!

Hal inilah yang dimaksudkan oleh Allah:

"...Tetapi Allah hendak membenarkan yang benar dengan ayat-ayatNya dan memusnahkan orang-orang kafir sampai ke akar-akarnya, agar Allah memperkuat yang haq dan menghilangkan yang bathil walaupon orang-orang yang berdosa (musyrik) itu tidak menyukainya."
[al-Anfal, 8:7-8]

Ya, bukan kebetulan umat Islam bertembung dengan 1,000 orang tentera musyrikin Mekah di medan Badar. Bukan kebetulan mereka akhirnya terpaksa berperang dengan ayah, abang dan saudara mereka sendiri, meski kelengkapan perang mereka amat dhaif dan menyedihkan. Dan bukan kebetulan mereka dibantu oleh "...seribu malaikat yang datang berturut-turut" dan akhirnya tercatat dalam sejarah memenangi peperangan tersebut, dengan lebih 70 orang pemuka Quraisy terkorban. 

Bukan, bukan kebetulan. Semuanya adalah suatu suratan. Kerana kebetulan itu adalah bahasa Argentina. Eh.

Kerana Allah mahu memenangkan yang haq dan menguburkan yang bathil buat selamanya.

Kerana itu peperangan Badar juga digelar sebagai 'Yaumul Furqan' - Hari yang membezakan antara haq dan bathil. Peperangan Badar menjadi titik tolak dalam sejarah umat Islam dalam meletakkan batu asas kepada kemenangan demi kemenangan di masa akan datang. 

"...jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad) di hari Furqan, iaitu pada hari bertemunya dua pasukan."
[al-Anfal, 8:41]

Hari ini, tujuhbelas Ramadhan seribu empat ratus tiga puluh empat Hijriah, akan berlaku lagi suatu peristiwa yang bakal meletakkan lagi satu titik tolak buat umat Islam; pertembungan antara jutaan umat Islam di Mesir yang menyokong bekas Presiden Mursi yang digulingkan, dengan para penyokong kerajaan sementara yang didokong oleh as-Sisi dan konco-konconya di Medan Tahrir.

Ucapan as-Sisi baru-baru ini, yang amat jelas berbaur provokasi dan seolahnya menghalalkan pembunuhan lebih ramai penyokong Mursi, apabila beliau meminta semua rakyat Mesir turun sama dalam demonstrasi hari ini bagi menandakan sokongan mereka terhadap polis dan tentera Mesir. Ini adalah tindakan terkutuk as-Sisi yang hanya mahu mencuci tangannya, dengan membiarkan rakyat Mesir bergaduh dan berbunuhan sesama sendiri. 

Dan hipokrasi polis dunia, Amerika Syarikat semakin terserlah dengan keengganan mereka campur tangan dalam perkembagan yang terbaru ini. Apatah lagi sudah terkantoi yang mereka adalah dalang di sebalik penggulingan Presiden Mursi. 

Pertembungan antara para penyokong Mursi yang majoritinya mendokong perjuangan Islam (Islamis) dengan para penyokong kerajaan sementara yang majoritinya adalah penyokong kerajaan yang liberal dan sekular, bukan sahaja pertembungan antara dua ideologi atau pemikiran yang berbeza. Tidak. Tetapi ia adalah pertembungan antara al-Haq dan al-Bathil, sama seperti apa yang pernah berlaku di Badar suatu ketika dahulu.

Bezanya, al-Bathil hari ini bertopengkan Islam. Mereka juga mengaku diri mereka umat Islam, mahu menegakkan keadilan dan mahu memperjuangkan kebebasan. Namun tindakan dan ucapan mereka sejak penggulingan berlaku jelas menunjukkan hipokrasi dan tembelang mereka yang sebenar. Mereka menghalalkan dan menyokong penindasan dan pembunuhan ke atas para penyokong Mursi, kerana hal itu hanya akan menguntungkan mereka. 

Dan di mana-mana, di seluruh dunia Islam, semakin ketara musuh-musuh Allah dan agamaNya semakin berani merancang dan menanam makar-makar jahat untuk menghapuskan Islam. Syria, Palestin, Turki, Afgahnistan, Kashmir, Chechnya dan terbaru Tunisia. Kuffar laknatullah semakin menggila dalam menabur fitnah dan menyerang umat Islam.

Ayuh kita perbanyakkan doa, zikir dan munajat di bulan mulia ini pada hari yang mulia, untuk kemenangan Islam dan mereka yang memperjuangkanm Islam. Bukankah doa itu senjata untuk orang-orang mukmin..?
"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu pasukan (musuh), maka berteguh hatilah dan sebutlah (nama) Allah banyak-banyak (berzikir dan berdoa) agar kamu beruntung."
[al-Anfal, 8:45]

Andai mereka menembak kita dengan senapang, kita tembak mereka dengan doa. Sekiranya mereka menggugurkan bom, kita gugurkan doa. Sungguh doa itu amat berkuasa dan berkesan sekali buat mereka yang teguh dan mantap imannya. 

Buat saudara-saudara seperjuangan saya di Mesir sana, doa kami bersama-sama anda. Bersabarlah, teguhkan pendirian anda dan sahutlah seruan Allah dan ar-Rasul yang menghidupkan. Sumpah kami di sini amat cemburu dengan kalian di sana. Yakinlah, Allah besama-sama kalian. Dan saya yakin, bukan kebetulan ia berlaku pada tujuhbelas Ramadhan.

Allahummansuril ikhwana fil Misr! Kami hanya mampu berdoa daripada sini wahai saudara-saudara kami! [Kredit]

Moga Allah memenangkan yang Haq, dan menguburkan yang Bathil. Moga Jumaat ini benar-benar akan menjadi Jumaat Furqan, dan tercatat dalam sejarah umat Islam sebagai hari risalah Allah yang agung itu sekali lagi akan menang! Amiin, ya robbal a'lamin.

"Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucpan) mereka, tetapi Allah tetap menyempurnakan cahayaNya meskipon orang-orang kafir membencinya."
[as-Saff, 61:8]

-gabbana- 

17 Ramadhan tahun ini membawa makna tersendiri yang sungguh istimewa buat saya secara peribadi. Terima kasih Allah, untuk kehidupan ini. Nanges.

25 July 2013

Jemaah Malaikat

[Kredit]
[Amaran keras sekeras tengkorak kepala anda: Bacaan ini hanya sesuai dibaca oleh anda yang sudah beramal, bergerak dan sekali-sekala melompat riang sambil mendepakan tangan dalam tarbiyah dan dakwah ini. Sekiranya anda degil dan berkeras mahu membacanya juga, pihak saya apatah lagi pihak berwajib sama sekali tidak bertanggungjawab kepada sebarang kes kena makan dengan jerung sebab terjun laut, terjun dari jambatan Pulau Pinang mahupon kena langgar dengan lori simen. Sekian.]

Amal jamai'e. Anda yang sudah berkeceimpung dalam dunia tarbiyah dan dakwah pastilah sudah faham benar tentang kepentingan beramal jamai'e. Beramal secara berjemaah. Membuat sesuatu amalan itu dalam kumpulan atau geng tertentu.

Suatu ketika, kita mungkin pernah anti dengan jemaah jemaah ini. Kita rimas dengan kepelbagaian jemaah yang ada. Kita runsing dan garu kepala, apabila individu-individu tertentu datang mendekati kita untuk menarik kita menyertai mereka.

"Ish apahal depa ni tak boleh nak bersatu. Kan mudah kerja...?"

"Diorang ni macam gaduh je.. Kata nak buat kerja dakwah. Aisshh."

"Aku tak paham la sek sek budak-budak usrah ni. Tak boleh ke diorang ni dok dalam satu kumpulan je..? Adoila."

Mungkin itu antara monolog-monolog yang pernah bermain di dalam kepala kita. Rimas. Keliru. Garu hidung.

Namun segala-galanya berubah apabila kita sudah mula berjinak-jinak dengan tarbiyah dan dakwah. Mentaliti dan cara fikir kita berubah apabila kita sudah mula jatuh chenta dengan tarbiyah dan dakwah. Kita semakin faham. Kita semakin jelas.

Perbezaan jemaah adalah sesuatu yang diraikan. Betapa perbedaan yang ada adalah pada perkara-perkara yang khilafiyah. Pada perkara-perkara yang furu' (cabang) dan bukan pada perkara yang usul (pokok). Pada fiqh (cara/kaedah) dalam melaksanakan tarbiyah dan dakwah itu sendiri.

Yang penting, kesemua jamaatul minal muslimin (jamaah orang-orang Islam) yang ada punya tujuan dan objektif yang sama; mahu menegakkan kembali hukum Islam di muka bumi Allah ini. Cara dan kaedahnya? Terpulang pada ijtihad dan kefahaman masing-masing, sehinggalah khilafah dapat ditegakkan semula. Ketika itu, umat Islam wajib bersatu di bawah satu naungan khalifah sahaja. 

Tiada masalah. Tiada isu. Tadehal la bro!

Yang lebih utama, kita faham Islam itu dahulu. Kita tanamkan keyakinan dan iktikad tauhid itu dalam-dalam. Kita cerna tujuan hidup kita sampai lumat dan hadam. 

Selepas itu kita fahami pula tanggungjawab dakwah, yakni amanah yang terletak pada pundak kita untuk menyebarkan risalah Allah di muka bumi ini. Tugas Syahadatul Haq, iaitu tanggungjawab kita menjadi saksi ke atas kebenaran.

Selepas itu pula, kita semakin jelas dan faham, mengapa amat perlu kita beramal jamai'e dalam menyebarkan agama Allah ini. Betapa kita tidak mampu untuk melaksanakan tugas yang maha berat ini hanya dengan seorang. Bahawasanya tiada manusia yang boleh hidup sendirian dan berseorangan untuk menjalankan tujuan hidupnya yang dua itu; sebagai 'abid dan khalifah Allah untuk seluruh alam buana.

Maka kita pon berkira-kira, jemaah mana yang mahu kita sertai. Tergaru-garu kita macam kera dapat buah nangka; tak tahu nak pilih jemaah yang mana. Namun setelah berfikir masak-masak semasak buah cempedak, setelah bertanyakan orang-orang yang kita percayai dan tsiqahi, setelah beristikharah dan memohon bimbingan daripadaNya, akhirnya kita membuat keputusan. Dengan yakin. Dengan tenang. Dengan penuh kefahaman. InshaAllah.  

Alhamdulillah. Kita semakin yakin untuk mentarbiyah. Kita semakin selesa untuk berdakwah. Kembang-kempis hidung kita, penuh semangat sambil rambut (tudung labuh jika anda akhawat) shiuuhh shiuuhh ditup angin dalam melaksanakan tugas-tugas kita sebagai hamba dan khalifahNya, kerana kini kita merasakan adanya bumbung dan payung yang menaungi kita. Kita beraza izzah, bangga dan teruja kerana menjadi sebahagian daripada jemaah yang kita rasakan cukup osem dan bergaya.

Dan akhirnya kita hidup bahagia hingga ke akhirnya. Tamat cerita.

Op op. Apa anda ingat ni kartun Disney ke nak hidup bahagia hingga ke akhirnya? Sila berpijak di bumi yang keras lagi nyata! Wahai!

Arakian kita pon mula melihat masalah-masalah, musykilah dan segala tok nenek isu yang berlaku dalam jemaah. Sedikit demi sedikit kita mula mengesani perkara-perkara yang tidak pernah kita sangka akan berlaku semasa kita mula-mula menyertai gerabak ini dahulu. Kita mula mengalami mimpi ngeri di waktu malam, kerana jemaah yang kita sangkakan sempurna ala-ala Senderela memakai kasut cap Bata, rupa-rupanya punya banyak kekurangan dan kelemahan.

Panas yang disangka berpanjangan hingga ke petang, ditutupi dengan awan mendung di tengah hari.

Bunga-bunga dafodil yang tumbuh segar dan riang di padang, digelek hancur oleh jentolak berkuasa tinggi.

Arnab-arnab gemok dan comel berlari girang, bertukar menjadi raksasa gorgon yang menakutkan huaarrghhh makan budakkk!

Apa benda yang anda mengarut ni Inche gabbana..?

Err. Tersipu-sipu. Maafkan saya. Kandungan gula yang rendah dalam badan. Bulan puasa la katakan. Wahahaha.

Ok. Sambung semula. Sayugia semakin hari, semakin kita kechiwa dengan jemaah yang kita sertai. Mula timbul rasa sesal dalam diri. Tidak kurang juga rasa geram, marah dan tidak puas hati kerana merasakan diri kita telah ditipu untuk menyertai jemaah itu. Apatah lagi apabila hak-hak kita sebagai ahli jemaah terasa begitu diabaikan, terutamanya dari aspek tarbiyah dan peningkatan diri.

Maka sedekit demi sedikit, kita mula menjauhkan diri. Kita mula menyepikan diri dan mengambil sikap acuh tak acuh. Kita sudah malas pergi bulatan gembira kita sendiri. Konferens riang sudah tidak kita hadiri. Program-program yang dianjurkan untuk ahli-ahli jemaah tidak lagi kita beri prioriti. Dan kemuncaknya, apabila kita sudah gemok dan tidak peduli dengan bulatan gembira yang kita pimpin. Kita mula meninggalkan tarbiyah dan dakwah yang suatu ketika dahulu, pernah kita laung-laungkan dengan penuh semangat waja betapa akan kita perjuangkan dan pertahankannya hingga ke titisan darah yang terakhir. Ewah. 

Akhirnya jadilah kita golongan yang tertinggal dan ketinggalan. Jadilah kita golongan yang mengambil dan mengisi borang alumni ikhwah. Jadilah kita golongan yang futur di atas jalan dakwah ini.

Geleng kepala. Air mata nak mengalir tapi tak jadi.

Ikhwah dan akhawat, hakikatnya jalan dakwah ini tidaklah semudah dan sebahagia yang kita sangkakan. Ketika kita mula berbaiah dahulu, kita bukan sahaja berjanji untuk bergabung dengan jemaah yang kita sertai, tapi sebenarnya kita juga berjanji setia untuk bersama-sama dengan jemaah ini di waktu senang dan susahnya. Kita berjanji yang kita akan turut menanggung beban dan kesusahan yang pasti akan datang dalam perjuangan menegakkan al-Haq ini. 

Ikhwah dan akhawat, realitinya, tiada apa yang sempurna di dunia ini. Kita mungkin merasakan jemaah kitalah yang paling baik, yang paling osem, yang paling bergaya. Tapi sila dengar sini dan saya tidak akan jemu untuk mengulangnya lagi; tiada apa yang sempurna di dunia ini. Di sebalik kekuatan dan kelebihan yang ada pada gerabak yang kita sertai ini, jangan pandang sebelah mata pada kelemahan dan kekurangan yang ada. Kita mungkin rasa syok menaiki keretapi laju Dondang Sayang pulang ke kampung di Kota Bharu, tapi ada orang yang lebih syok naik Malindo Air terbang laju terus ke destinasi yang dituju. 

Ikhwah dan akhawat, hakikatnya, jemaah yang kita sertai ini adalah jemaah manusia dan bukannya jemaah malaikat. Dan oleh kerana ia adalah jemaah manusia, maka tidak mungkin akan dapat lari daripada melakukan kesilapan. Oleh kerana ia adalah jemaah manusia, mustahillah andai ia tidak punya sebarang kelemahan atau kekurangan. Dan oleh kerana ia adalah jemaah manusia lah, kita masih punya harapan. 

Ini tidak bermakna kita merelakan jemaah ini terus-menerus melakukan kesilapan. Tidak bermakna kita memberi lampu hijau kepada sebarang kekurangan yang disengajakan. Juga tidak bermakna kita buat biskut dan goreng bihun sahaja pada mana-mana kelompongan dan kebobrokan yang ada. 

Andai jemaah kita sakit, kita rawatilah.

Andai jemaah kita lemah, kita kuatkanlah.

Andai jemaah kita goyah, kita kukuhkanlah.

Syabab dan rijal yang penuh dengan semangat berkobar-kobar, mesti sentiasa bersedia menerima teguran dan bimbingan daripada orang-orang lama yang berpengalaman. Qiyadah (pemimpin) dan pakcik makcik juga mesti bersedia untuk membuka minda dab berlapang dada menerima cadangan dan komen daripada anak-anak muda yang ingin menyumbang.

Sinergi inilah yang akan melahirkan suatu perkumpulan yang bukan sahaja berhikmah, tapi penuh dengan hamasah. Kasih-sayang dan hormat-menghormati yang terjalin antara ahli-ahli jemaah inilah yang akan menghasilkan suatu golongan manusia yang...

"...bersikap lemah-lembut terhadap orang-orang beriman, tetapi bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela."
[al-Maidah, 5:54]

Keluar atau lari daripada jemaah bukanlah solusinya. Malah, kita amat mementingkan diri sekali andai kita memilih untuk berbuat demikian. Hakikatnya, jemaah tarbiyah dan dakwah ini tidak akan rugi apa-apa tanpa keberadaan kita di dalamnya. Kitalah yang sebenarnya berada di dalam kerugian yang nyata. 

Kuatkan, kukuhkan dan mantapkan jemaah ini dari dalam, meski ia menuntut pengorbanan yang besar. Lakukan apa yang terbaik untuk menguatkan institusi ini, walaupon ada yang skeptikal atau menentang usaha-usaha kita, hatta oleh ahli-ahli jemaah ini sendiri. Positif. Optimistik. Kerana ini jemaah kita. Kalau bukan kita yang mahu membantu dan menguatkannya, takkan makcik yang jual nasi lemak di sebelah pasaraya Giant tu kan..?

Mana tahu kau, makcik tu akhawat. Ha, macam mana..?
 

Jatuh kerusi.

Ayuh kita hindarkan diri kita daripada asyik berjiddal pada perkara-perkara yang tidak membuahkan amal. Ayuh kita buang jauh-jauh prasangka dalam jiwa yang hanya menyesakkan dan menyakitkan dada. Dan ayuh kita mula bekerja, kerana masih ramai lagi manusia-manusia di luar sana yang masih terkapai-kapai, terumbang-ambing tidak tahu apa-apa!
 

Kuatkan iman, tingkatkan amal! Ya, inilah KITA! 

Senyum.

-gabbana-

Harap anda baca dahulu nukilan saya ini dengan cermat dan teliti, sebelum meninggalkan sebarang komen atau pandangan ya..? Risau pula ada yang bunuh diri nanti. Eheh.
 

23 July 2013

Di Sorgakah Aku...? [Hari Kesembilan]

[Kredit]

"Di sorgakah aku..?"

Setiap pagi Adam tidak akan pernah gagal untuk bertanyakan soalan yang sama, sebaik sahaja dia sedar daripada keadaan separuh matinya. 

Sungguh dia amat rindukan sorga. Sungguh dia amat kepingin untuk bersama para kekasihNya di taman-taman yang mengalir air sungai nan indah di bawahnya itu. Dan sungguh, dia tidak sabar untuk menatap wajahNya.

Namun setiap kali itu juga, dia berasa hampa. Kerana dia masih berada di dalam dunia yang nyata. Ditampar pipinya kuat berkali-kali sekalipon, ditarik rambutnya dengan bersungguh-sungguh, dicubit perutnya kuat, dia masih tetap berada di dalam dunia yang fana. Pahit. Tapi benar. 

InshaAllah lain kali. 

Selepas menelan realiti kehidupan yang menyakitkan, selepas memujuk jiwanya yang amat rindukan sorga itu, Adam meneruskan rutin hariannya seperti biasa. Dan dia tidak pernah gagal untuk berasa cemburu dan bahagia pada masa yang sama, apabila melihatkan sahabatnya Qatadah yang sering mendahuluinya dalam mendekatkan diri kepadaNya. Sekali sekala sahaja Adam berjaya menewaskan sahabatnya itu; kebanyakannya masanya pastilah Qatadah yang sentiasa mendahului! 

Ah, cemburu!

Usai solat Subuh, mereka semua mula berkumpul untuk mendengar arahan dan perancangan untuk hari itu. Demonstrasi yang disertai oleh bukan sahaja mereka yang berlatar belakangkan agama ini sudah masuk hari yang kesembilan. Semakin ramai yang menyertai demonstrasi dek kepopularitiannya, ditambah pula dengan kedegilan Presiden Ahmed Subarni untuk meletakkan jawatan. Hari itu juga menandakan sudah lebih 20 nyawa yang terkorban akibat demonstrasi itu, semuanya di pihak penunjuk perasaan.

Subarni tahu yang dia tiada pilihan lain. Dia sudah semakin terdesak. Sehinggakan dia membuat pengumuman rasmi di siaran televisyen milik kerajaan bahawa dia tidak akan bertanding lagi untuk mempertahankan jawatannya pada pilihanraya yang akan datang.

Tetapi rakyat tidak bodoh. Mereka tahu dalam kerajaan, kaki-kaki dan tangan-tangan Subarni menguasai keseluruhan pejabat kerajaan. Subarni mungkin tidak lagi menjadi Presiden, tetapi anjing-anjing yang terus menguasai kerajaan tetap taat pada dirinya. Oleh sebab itu, para penunjuk perasaan bukan sahaja menuntut agar Subarni meletakkan jawatan, tetapi seluruh menteri dan orang-orang kanannya juga dituntut untuk berambus pergi. 

Namun siapa yang mahu melepaskan jawatan dan status yang tinggi dengan begitu mudah, apatah lagi apabila ia menjanjikan kemewahan dan kedudukan yang tiada tolok bandingnya? Lantas, mereka akan melakukan apa sahaja yang mampu difikirkan mereka, untuk terus mempertahankan kedudukan mereka, termasuklah menggunakan keganasan dan kekerasan meski terhadap mereka yang sebangsa dan seagama dengan mereka ini. 

Maka saban hari, reaksi pihak tentera dan polis terhadap para penunjuk perasaan semakin ganas dan tidak berperikemanusiaan. Pada hari kelapan, pemimpin penunjuk perasaan, Muhammad Fatah terkorban apabila terkena tembakan di dada. Nampaknya politikus-politikus di Zabalon benar-benar tercabar dan terancam dengan kebangkitan rakyat, lantas mereka menyasarkan kepala-kepala utama yang menggerakan demonstrasi ini. Pembidik tepat telah diarahkan untuk memberi prioriti kepada Muhammad Fatah, walau dengan cara apa sekalipon.

Sangka mereka, jatuhnya Muhammad Fatah, maka kebangkitan rakyat akan patah. Tetapi mereka silap. Kebangkitan dan revolusi yang bakal berlaku bukanlah berputar dan berpaksikan kepada seorang individu semata. Tetapi ia adalah kebangkitan massa yang tidak dapat dibendung lagi. Seorang jatuh, seorang lain yang akan naik. Seorang mati, seorang lain yang akan mengganti. Tadehal lah! 

Hari ini para penunjuk perasaan akan berarak menuju ke Istana Presiden. Meskipon dilarang keras dan berkali-kali diberi amaran oleh pihak polis dan tentera untuk tidak mendekati Istana Presiden, namun para penunjuk perasaan tekad untuk melakukannya.  

"InshaAllah! Jika Allah izinkan, pada hari ini Subarni akan turun! Jika Allah izinkan, kita akan tawan istana Presiden! Dan jika Allah izinkan, Zabalon akan bebas, bebas daripada cengkaman Subarni dan anjing-anjingnya!"

Bersemangat sekali Salahuddin Zaidi, pengganti kepada Muhammad Fatah, berucap. Terpancar pada wajahnya cahaya keikhlasan, sinar kesungguhan. Sesiapa pon, pada ketika itu, pasti akan turut sama bersemangat dan berkobar-kobar jiwa dan rasa apabila mendengar ucapan Salahuddin. Terasa seperti mahu syahid ketika itu juga!

"Sudah berapa lama kita ditindas dan dizalimi..? Sudah berapa lama ayah dan ibu kita terpaksa memperhambakan diri kepada Subarni..? Dan sudah berapa lama, Islam yang agung lagi mulia itu ditolak tepi..??

Hari ini, Subarni dan penjahat-penjahat upahannya akan menjadi saksi! Betapa rakyat marhaen seperti kita sudah tidak tertahan lagi! Kezaliman akan tunduk pada keadilan! Kebathilan akan tersungkur di kaki kebenaran! Islam akan tertegak semula! Islam akan kembali menyinari Zabalon dan seluruh alam buana!"

Ucapan Salahuddin yang berapi-api itu semakin berbara, apabila disambut dengan laungan takbir dan tahmid yang menggegar bumi dan menggugah jiwa buat siapa sahaja yang mendengarnya. 

"Pergi pergi Subarni! Kami tak perlu kau lagi!"

Laungan kuat serentak dan senada para penunjuk perasaan menguasai Medan Keadilan.

"Dari hujung laut,
Ke gunung nan tinggi,
Subarni si taghut,
Boleh berambus pergi!"

Dari muda dan tua, lelaki dan wanita, miskin dan kaya, semuanya berpadu tenaga dan bersatu jiwa menentang Subarni. Mereka sudah tidak tertahan lagi. Malah mereka yang berfahaman sekular dan liberal juga turut sama menyertai demonstrasi itu. Kerana ia bukan sahaja soal agama atau kepentingan pihak-pihak tertentu, tetapi ia soal kemanusiaan. Hak asasi yang sudah begitu lama dizalimi.

Para penunjuk perasaan mula mengambil tempat masing-masing dan bersedia untuk berjalan menuju ke Istana Presiden. Ada yang memegang sepanduk. Ada yang memakai topeng. Ada yang menjulang bendera. Ada juga yang tidak membawa apa-apa. Bermacam gaya dan rupa. Namun tujuan mereka sama. Semangat dan keyakinan mereka juga sama.

Adam seperti biasa mengambil tempat berdekatan dengan Qatadah. Apa-apa yang terjadi, dia tekad untuk syahid bersama sahabat dunia akhiratnya itu. Dan seperti biasa, dengan lilitan bendera 'Lailaha ilallah' pada kepalanya, Adam memegang sepanduk yang tertulis, "Allahu ghayatuna! Ar-Rasul qudwatuna! Al-Quran dustuuruna! Al-Jihad sabiluuna! Al-Mautu fi sabilillah, asma amanina!"

Allah adalah tujuan kami.
Ar-Rasul adalah tauladan kami.
Al-Quran adalah perlembagaan kami.
Jihad adalah jalan kami.
Mati di jalan Allah, adalah cita-cita tertinggi kami. 

Slogan itu tersemat rapi dalam hati Adam. Dia benar-benar ikhlas memaksudkannya. Dan dia berazam untuk menghidupkannya. 

Tetapi Adam tiga tahun yang silam adalah seorang insan yang berbeza. Amat berbeza.

Allah adalah tujuan hidup? Solat pon entah ke mana.

Ar-Rasul menjadi ikutan? Sunnah baginda adalah perkara terakhir yang bermain di kepalanya.

Al-Quran rujukan utama? Dia pon tidak ingat, bilakah kali terakhir dia membacanya.

Jihad adalah jalan juangnya? Hidupnya penuh dengan hiburan dan permainan semata.

Mati di jalan Allah? Jiwanya penuh dengan dosa, dirinya terlalu asyik dengan noda.

Dia amat jauh sekali daripada Allah. Jauh. Sehinggakan pernah suatu ketika, dia tidak lagi mengenali siapa dirinya yang sebenar. Dia benar-benar gelisah, apakah tujuan hidupnya di dunia ini. Dia runsing. Dia keliru. Dia benar-benar buntu. 

Namun kerana terlalu menurutkan nafsu, dia membiarkan sahaja kegusarannya itu. Rasa gundah dalam hati ditenangkannya dengan air kencing syaitan. Kerisauan yang menghambat jiwa dilupakan dengan wanita. Ketakutan, rasa keseorangan itu ditutup dengan hiburan dan keseronokan yang melampau-lampau.

Dia terus larut. Lemas. Terkapai-kapai. Tanpa dia sendiri menyedarinya. 

Sehinggalah.. Sehinggalah Allah membentak hatinya dan memukul jiwanya dengan menghantar seorang utusan bernama Qatadah. Ya, Qatadah sahabat baiknya itu. 

***

Mereka akhirnya tiba di perkarangan Istana Presiden. Kelihatan beberapa buah kereta kebal dan kereta perisai siap mengawal rapi kediaman rasmi Presiden. Askar-askar lengkap bersenjata tersusun kemas di hadapan istana. Ada juga askar yang berlegarlegar di bahagian bumbung istana. Provokasi. Mereka tahu yang para penunjuk perasaan datang tidak bersenjata, tidak berniat pon untuk menggunakan kekerasan. 

Mereka datang dengan niat yang satu; menuntut Subarni meletak jawatan dengan aman dan sukarela. Namun Subarni tidak mungkin akan membiarkan itu berlaku. Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan jawatannya itu, meski dia terpaksa membunuk rakyatnya sendiri. Ya, rakyat Zabalon, tanah tumpah darahnya selama ini.

"Pergi pergi Subarni! Kami tak perlu kau lagi!"

Bergema perkarangan hadapan Istana Presiden dengan laungan para penunjuk perasaan.

"Lama sudah kami dizalimi! Sudah tiba masanya Subarni pergi!" 

"Dari hujung laut,
Ke gunung nan tinggi,
Subarni si taghut,
Boleh berambus pergi!"

Bermacam kain rentang, sepanduk dan papan piket yang mengiringi laungan dan slogan bersemangat para penunjuk perasaan. Meriah! 

Semuanya berjalan dengan aman dan lancar. Malah sekiranya ada orang yang tidak tahu bahawa apa yang sedang berlaku itu adalah suatu demonstrasi tunjuk perasaan, mereka tidak boleh disalahkan sekiranya menyangka ada pesta yang dianjurkan oleh Istana Presiden. 

Namun keadaan sebegitu tidak berkekalan lama. Tidak semena-semena suasana bertukar menjadi kacau-bilau dan huru-hara apabila askar yang berjaga di atas bumbung istana melepaskan tembakan secara rawak ke arah penunjuk perasaan. Bertempiaran lari mereka yang baharu sahaja sebentar tadi masih melaung-laungkan slogan mendesak agar Subarni berundur diri. Keadaaan menjadi lebih tidak terkawal apabila tentera dan polis yang berjaga di kawasan perkarangan istana membuat halangan pada jalan, mengepung para penunjuk perasaan sehingga tiada jalan keluar buat mereka. Gila. Ini betul-betul gila! 

Dalam keadaan yang mengelirukan dan kacau-bilau itu, Adam segera mencari Qatadah. Pada mulanya dia tidak dapat mengesan sahabatnya itu. Dengan orang ramai yang berlari menyelamatkan diri, hingar-bingar jeritan dan bunyi tembakan, memang sukar sekali untuk Adam mencari Qatadah. Akhirnya dia menangkap kelibat kain lilit merah pada kepala Qatadah. 

"Qatadah! Qatadah! Sini sahabatku! Sini!"

Qatadah berpaling, tanda dia menangkap panggilan sahabatnya Adam. Lantas dia mencari-cari punca suara itu.

"Qatadah! Aiwah! Sini!"

Di sebalik kekalutan dan huru-hara yang berlaku, Qatadah tersenyum apabila berjaya mengesan lokasi Adam. Namun senyumannya tidak lama. Wajahnya tiba-tiba bertukar pucat. Matanya bundar, hampir terbeliak. Darah merah memercik daripada tepi kepalanya.

Adam bagai tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Qatadah semakin melemah. Akhirnya dia jatuh, tersembam.

Dia ditembak, tepat di kepalanya. 

"Qaaataadaaahhh....!! Tiidaaakkkkk....!!"

Adam segera berlari mendapatkan sahabatnya itu. Ketika itu, dia tidak peduli akan tembakan berterusan oleh pihak askar. Ketika itu, dia hanya mahu mendapatkan sahabat kesayangannya itu. 

Dia segera merangkul Qatadah, yang sudah nyawa-nyawa ikan. Dengan penuh daya upaya, dia mengangkat Qatadah dan segera berlari mencari tempat perlindungan. Di sebalik sebuah van media antarabangsa, Adam segera meletakkan tubuh Qatadah yang sudah longlai dan tidak bermaya. Dia sandarkan kepala Qatadah pada pahanya.

"Qatadah sahabatku.. Qatadah! Jangan tinggalkan aku! Kita janji untuk syahid bersama-sama kan..? Kita janji untuk ke sorga berpimpan tangan kan..? Wahai saudara sorgaku, jangan tinggalkan aku lagiii...!!"

Mata Qatadah sudah terpejam. Nafasnya lemah. Digenggam erat tangan Adam. Pada bibirnya terukir sebuah senyuman. 

Kemudian dia melepaskan nafasnya yang terakhir. Dadanya tidak lagi berombak. Tenang. Genggamannya dileraikan. 

Adam hanya mampu menangis. Menangisi pemergian Qatadah yang amat dichentainya itu. Teresak-esak. Sebak.

"Ya akhi filah.. Tunggu aku di pintu sorga. Tunggu aku.. Janji ya..?"

-gabbana- 

Struggle jugalah nak menyambung siri ini. InshaAllah tinggal lagi satu siri sahaja. Moga bermanfaat buat anda yang membacanya.

Kepada anda yang baru mengikuti siri ini, boleh baca episod pertama di sini:

>> Di Sorgakah Aku...? [Hari Ketujuh]
 

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP