Kebaikan Atau Penumbuk Yang Anda Mahukan?
[Kredit] |
Sejak kebelakangan ini, apabila menatal garis masa akaun MukaBuku saya, akan dapati kebanyakan hapdet-hadpet yang ada berupa bahan-bahan yang soleh dan musleh. Penuh dengan tazkirah, nasihat dan panduan yang berguna. Bukan sahaja dalam bentuk tulisan, malah kmik dan video nasihat juga banyak dikongsikan. Saya melihat ini sebagai suatu perkembangan yang cukup sihat dan baik, apatah lagi MukaBuku sering dikaitkan dengan pelbagai masalah sosial yang ada marcapada ini.
Namun ia bergantung kepada siapa rakan dan kenalan anda sebenarnya. Andai rakan-rakan anda ramai yang berspecies mambang laut dan jin hutan, atau raksasa gorgon berpenyepit empat berhidung kembang, alamatnya hantu jugalah kandungan hapdet-hapdet di MukaBuku anda. Peluh.
Berbalik kepada nasihat dan tazkirah yang dikongsikan, ia datang dalam pelbagai rupa dan gaya. Ada yang berbentuk status nasihat semata. Ada yang mengkuot hadith atau ayat al-Quran. Ada yang mengkuot kata-kata mujadid, tabi'en atau tokoh-tokoh lain, sama ada dengan atau tanpa kebenaran. Ada yang mengkuot kata-kata Inche gabbana. Eh. Tak kisahlah. Asalkan ia nasihat yang berguna kerana sesungguhnya manusia itu perlu sentiasa diingatkan dan ditegur.
"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin."
[adz-Zariyat, 51:55]
Namun begitu, ewah, ada beberapa gejala yang kurang saya senangi dengan posto-posto berbentuk nasihat dan tazkirah ini. Jika anda perasan, ada sesetengah post yang disertakan dengan amaran atau peringatan tambahan di hujungnya. Ia selalunya berbunyi begini:
"Sila SHARE jika anda peduli."
"Jika anda benar-benar sayangkan Islam, sila sebarkan!"
"Anda hanya ada dua pilihan: LIKE & SHARE atau anda boleh IGNORE."
"Sebarkan sekiranya anda benar chentakan Nabi SAW."
"Kalau anda tak sebarkan bermakna anda bukan sebahagian daripada umat ini!"
Pernah jumpa kan..? Jujur, saya merasakan ada yang tidak kena dengan peringatan/amaran sebegitu rupa. Ia berbunyi semacam ancaman. Ia tampak seolah-olahnya seperti ugutan.
"Oh kau konfem tak chenta Islam kalau kau tak sebarkan nasihat ni!"
"Ekele kerek gile kau, benda baik macam ni pon kau tak nak sebarkan. Apa kau ingat kau dah konfem masuk sorga...??"
"Aku dah agak dah aku tak sayang Nabi. Sebab tu kau tak nak SHARE en..??"
Ok bunyinya mungkin sedikit keterlaluan. Tetapi begitulah seolah-olahnya persepsi atau perasaan orang yang membaca post-post yang disertai dengan amaran dan peringatan seperti di atas.
Arakian menjadi serba salahlah orang yang 'terperangkap' dalam situasi sedemikian. Kalau tak sebar dan kongsi, nanti dituduh tidak peduli. Namun andai disebarluaskan lagi, semakin ramailah yang terjerat dengan permainan ini.
Saya melihat apa yang berlaku dalam MukaBuku ini tiada bezanya dengan fenomena surat berantai yang pernah kecoh dan popular suatu ketika dahulu. Malah saya tidak hairan andai surat berantai ini masih lagi berantai ke hari ini. Adeh.
Surat yang mengandungi nasihat-nasihat dan panduan tertentu yang kononnya diwarisi daripada penjaga makam Nabi. Nasihat dan bimbingan yang diberikan tampaknya baik-baik dan bagus sahaja, sehinggalah apabila ia disertakan dengan amaran, barangsiapa yang tidak menyebarluaskannya, pasti akan ditimpa bala bencana. Tidak cukup dengan itu, disertakan pula dengan testimoni atau kisah-kisah benar yang menimpa mereka yang buat tidak peduli dengan surat tersebut, lantas akhirnya ditimpa kecelakaan. Sebaliknya, buat mereka yang bersegera menyebarkan dan berkongsikan amanat dalam surat tersebut, pasti akan mendapat keuntungan yang besar dan lumayan sekali.
Ini mengarut. Ini gila. Dan ini khurafat! Tidak keterlaluan saya katakan, boleh jatuh hukum syrik kepada sesiapa sahaja yang mempercayai bahawa bala bencana akan menimpa diri mereka andai mereka tidak melaksanakan sepertimana yang diminta dalam surat tesebut. Atau mereka akan mendapat kenikmatan dan keuntungan besar andai mereka mematuhi arahan dalam surat tersebut.
Bunyinya seperti tidak munasarawak dan hanya orang-orang yang bodoh sahaja yang akan tertipu dengan permainan sebegini. Tapi jangan terkejut andai ramai yang sudah terperangkap dengan kekejian ini. Malah saya sendiri, ketika pertama kali membaca isi kandungan surat tersebut, berasa berdebar-debar dan resah jugalah dibuatnya. Mujurlah iman saya masih kuat dan tidak mempercayai apa yang terkandung dalam surat itu. Malah saya telah membuat kajian sendiri dan mendapati sememangnya surat berantai itu adalah suatu penipuan yang hanya mahu mempermainkan manusia sejagat.
Meskipon apa yang berlaku di MukaBuku hari ini tidaklah seseriyes atau sedangkal fenomena surat berantai, namun saya tetap melihatnya sebagai suatu gejala yang tidak sihat. Niatnya mungkin baik; mahu kebaikan dan kebenaran disebarkan seluas dan secepat mungkin. Namun niat tidak menghalalkan cara. Ada yang tidak kena dengan kaedah yang digunapakai dalam menyebarkan kebaikan dalam hal ini.
Ia berupa ancaman. Ia berbaur ugutan. Dalam bentuk yang lebih halus dan tidak ketara. Bertopengkan bahasa-bahasa nasihat yang lembut dan bersopan-santun ala-ala anak gadis tunduk hormat apabila lalu di hadapan bakal mak mertua. Eh.
Mungkin inilah yang dikatakan oleh ar-Rasul SAW sebagai ghuluw (berlebihan) dalam beragama. Sabda baginda:
"Jauhilah oleh kalian akan ghuluw (berlebihan) di dalam agama, kerana telah binasa orang-orang sebelum kalian dengan sebab (ghuluw) di dalam agama."
[Hadith riwayat Ahmad]
Berlebihan dalam agama termasuklah taasub dengan suatu pendapat sahaja, obses dengan figur atau tokoh tertentu sehingga memaksumkannya, mudah emosional dan marah apabila pendirian dan pendapatnya ditentang, mudah melabel orang lain dan amat mudah merendah-rendahkan orang lain.
Malah asal kepada terjadinya hadith-hadith maudhu' (palsu) adalah kerana wujudnya golongan yang berlebihan dalam agama.
Jadi marilah kita mengelak diri kita daripada terjebak dengan perangkap ghuluw ini. Kita mungkin tidak menyedarinya, tetapi tindak-tanduk, kata-kata dan perbuatan kita mungkin telah pon menunjukkan simptom-simptom yang kita sudah mula berlebihan. Ya, kita amat-amat mahukan kebaikan itu tersebar luas ke seluruh pelusuk dunia. Tapi paksaan, ancaman dan ugutan bukanlah caranya.
Sampaikanlah risalah Allah yang agung ini dengan penuh kasih-sayang dan keikhlasan, tanpa mengharapkan balasan. Dan yakinlah, usaha-usaha dakwah yang ikhlas lagi tulus, kata-kata yang benar lagi mulus, pasti akan tersebar jauh nun ke hujung dunia. Sepertimana dakwah Nabi SAW yang akhirnya berjaya menguasai dunia!
Kalau ya pon mahu menggalakkan orang menyebarluaskan nasihat atau teguran yang telah kita kongsikan, nyatakanlah ia dengan cara penuh berhikmah da bijaksana.
"Jika anda mahukan saham soga yang berterusan sampai kiamat, ayuh sebarkan siapa cepat dia dapat!"
"Kalau suka tolong sebarkan kepada semua. Kalau tak suka, tolong maklumkan kepada saya."
"Mendapat pahala semudah dua klik sahaja; LIKE dan SHARE."
"Antara amalan anak Adam yang akan berkekalan hatta setelah mati adalah ilmu yang bermanfaat yang diamalkan. Sebarkan ini jika anda mahu bekalan amalan yang berterusan!"
"Weyyy awat hang ketegaqq sangat..?? Nak sebarkan pon susah kaaa..?? Aku balun satgi baghu hang tauuu!"
Err. Sila abaikan yang terakhir itu.
Tidak perlu risau nasihat anda itu tidak kesampaian. Tidak perlu garu kepala post yang anda tulis panjang-panjang itu tiada yang siapa yang membacanya. Dan tidak perlu gundah gulana apabila tiada yang mahu berkongsikan status atau post nasihat anda itu.
Kerana yakinlah, Allah sudah pon melihatnya. Bukankah Allah tidak melihat pada hasil, tapi usaha semata? Ya, tiada apa yang perlu dirisaukan andai kita benar-benar ikhlas dalam menyampaikan kebenaran!
Dan oh, sebarkanlah post ini sekiranya anda benar-benar cakna dengan isu ini.
Eh?
Eh?
-gabbana-
Ramadhan semakin menuju ke penghujungnya. Siapa kita di sisiNya? Adakah kita sudah berjaya merebut segala tawaran ekstravaganza di bulan Ramadhan ini..?
Ramadhan jangan pergi dahulu! Saya masih belum puas! Nanges.
5 Caci Maki Puji Muji:
Inche gabbana, apakah pendapat anda bagi sesetengah pihak yang post "1 like = 1 doa. 1 share =100 doa"
Nice sharing EG. slalunya bila dpt kata2 'amaran' yg pelik tu lg sy memang xnak share..
Good entry!! May Allah bless u
Belog Inche Gabbana memang power. ^^ teruskan!
Seronok baca blog Inche Gabbana. :D da'wah is not about preaching hard, but to reach people's heart right?
Post a Comment