19 October 2012

Sindrom Budak Sekolah Agama

[Kredit]

[Amaran keras kepala lutut: Kepada anda yang mudah emo dan menggelabah, adalah dilarang sama sekali daripada membaca post ini. Anda yang ada tabiat baca sekerat-kerat lepas tu buat konklusi sesuka-suki hati juga dilarang daripada membaca tulisan ini.

Sebarang kehilangan nyawa, harta benda atau pon air muka akibat kedegilan menurut nasihat ini adalah atas tanggungjawab dan risiko sendiri. Sekian.]

Saya pasti anda yang membaca belog ini sama ada pernah bersekolah agama atau paling koman pon punya kawan yang bersekolah agama. Dan bila disebut sekolah agama, saya tidak maksudkan sekolah agama petang bersamping hijau itu, bukan. Tapi sekolah beraliran agama. 

Dan saya pasti juga, sekurang-kurangnya sekali dalam hidup anda, pernah terlintas monolog sebegini:

"Eh eh eh macam ni ke budak sekolah agama..?" 

Atau..

"Biar betul mamat ni sekolah agama. Takde gaya pon.."

Atau...

"Laaaaa dia sekolah agama ke..?? Seriyes tak terpercaya...!"

Atau apa-apalah yang seangkatan dengannya.

Dan saya pasti anda yang bersekolah agama juga sudah rimas dan bosan dengan stereotaip yang sebegitu.  

Ada asasnya untuk kedua-dua situasi; stereotaip terhadap budak-budak sekolah agama, juga mengapa budak-budak sekolah agama berhak mempertahankan diri mereka dan dinilai dari perspektif yang lebih adil. Inilah tujuan artikel ini ditulis; untuk memberi sudut pandang sisi yang Insha-Allah neutral dan adil tentang isu sindrom budak sekolah agama ini. 

Izinkan saya untuk memulakan perbincangan ini dengan mengapa segelintir budak sekolah agama menghidap sindrom yang boleh tahan merbahaya ini.

Ehem.

Sebelum itu, elok sekiranya saya nyatakan di sini betapa saya mempunyai ramai rakan-rakan bekas sekolah agama. Maka penulisan saya ini bukanlah tuduhan yang semberono, malah ia sebenarnya sedikit sebanyak berasaskan pengalaman saya bergaul dengan mereka. 

Umum mengetahui budak-budak sekolah agama ini mempunyai ego mereka yang tersendiri; ego dalam hal-ehwal dan bidang agama. Mereka merasakan yang mereka lebih tahu daripada  yang lain tentang isu-isu yang berkaitan dengan hukum dan persoalan-persoalan agama yang lain. Walaupon ia bukanlah sesuatu yang sentiasa betul, namun secara semulajadinya sememangnya kita sebagai budak-budak bukan sekolah agama ini akan menjangkakan yang budak-budak sekolah agama lebih berpengetahuan dalam bidang agama.  

Oleh sebab itu, agak sukar untuk mengajak mereka ke program-program atau konferens riang yang dikendalikan oleh mereka yang 'tidak bertauliah.' Mereka skeptikal dan tidak tsiqah kepada penyampai dan pengisian yang disampaikan. Kalau mereka pergi sekali pon, selalunya mereka ini pergi dengan mentaliti "Oh aku dah tahu dah!" dan akan bertanyakan soalan-soalan membunuh, yang sengaja ditanya untuk menguji si penyampai. Aduhai. Merbahayanya tindakan mereka ini, kerana ia juga boleh mempengaruhi orang lain yang turut sama berada di tempat kejadian. Rakan-rakan lain yang naif dan suci hatinya, awal-awal lagi telah diracuni pemikiran mereka oleh rakan-rakan mereka yang bersekolah agama ini.

Saya sering ditanya, bagaimana mahu berhadapan dengan hadek-hadek sekolah agama, yang selalunya mendominasi suasana dan perbincangan di dalam sesebuah bulatan gembira. Apabila dibentangkan tentang seerah atau kisah para sahabat, mereka ini yang akan membidasnya. Apabila dihuraikan tentang persoalan hukum atau bahasa Arab, mereka inilah yang cepat mencatasnya. Aduhai. 

Belum lagi dikira dengan golongan budak sekolah agama yang amat sukar ditegur. Apabila ditegur, maka keluarlah mesingan atau AK-47 mereka, menembak kembali si penegur dengan pelbagai hujah dan dalil. Juga mereka yang sesuka-hati berbuat apa yang mereka mahu lakukan kerana kononnya ada dalil dan hujah untuk menghalalkan perbuatan mereka itu. Peluh besar.

Ya, inilah sindrom budak sekolah agama. Yang mana, akar kepada penyakitnya adalah ego dan merasakan diri jauh lebih bagus daripada yang lain, hanya kerana sekelumit ilmu yang mereka punya.  

Toksah la nak ego sangat. Main Lego takpe. Wahaha.. [Kredit]

Benar, walaupon ia tidak menjangkiti semua yang bersekolah agama, tetapi epal-epal busuklah inilah yang menyebabkan mereka yang lain terpalit sama.

Namun seperti yang telah dijanjikan di awal penulisan ini, tidak adil sekiranya mereka ini dihentam tangkap muat begitu sahaja seperti serangan gerila lagaknya, tanpa berhujah mempertahankan apa yang perlu.

Pertamanya, bukan semua yang kronik dijangkiti sindrom budak sekolah agama ini. Malah saya secara peribadi mengenali ramai budak-budak sekolah agama yang haibat dan gaban, sehingga sudah boleh berlari laju di atas permukaan air. Eh. Kerendahan diri dan tawadhu'nya diri mereka ini, kadangkala membuatkan kita terlupa ketinggian dan keluasan ilmu yang ada pada diri mereka. Malah saya seringkali berasa segan dengan mereka yang memanggil saya dengan panggilan 'Syaikh', 'Ustaz' dan sebagainya, walhal mereka ini lebih layak dipanggil dengan gelaran sebegitu rupa. 

Ketahuilah, mereka yang bersekolah agama kemudiannya berjaya pula disentuh dengan tarbiyah dan dakwah, mereka ini akan berlari pecut ke hadapan, jauh meninggalkan yang lain. Mengapa? Kerana di dalam diri mereka sudah pon punya khazanah ilmu yang berharga. Dan apabila ia dimanfaatkan sebaiknya untuk kebaikan Islam dan menegakkan kebenaran, subhanallah, tiada apa yang dapat memperlahankan mereka daripada merempuh apa jua sebarang bentuk halangan di hadapan. 

Keduanya, saya meletakkan berat kesalahan kepada fenomena yang sedang berlaku ini kepada sistem pendidikan sekular yang diamalkan di Malaysia. Aliran agama tidak wajar dipisahkan daripada mana-mana sekolah sekalipon. Walaupon sudah ada pelajaran Pendidikan Islam di semua sekolah dan menjadi mata pelajaran wajib bagi para pelajar yang beragama Islam, err, oktengsbai. Malas nak komen. Nak skor A punyalah senang untuk mata pelajaran Pendidikan Islam ni (ini bukan ayat bongkak atau riya', tapi hakikat yang diakui oleh banyak pihak), tapi sekadar cemerlang di atas kerja sahajalah. Tidak lebih daripada itu. Lap peluh di tepi dahi.

Pada pendapat saya, setiap orang Muslim wajib belajar ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Islam, sementelah ilmu-ilmu ini dapat memantapkan keimanan dan fikrahnya terhadap Islam. Maka tidak perlulah sekolah aliran agama, sekolah aliran sains, sekolah aliran vokasional dan sebagainya. Semua sekolah sewajarnya mempunyai mengajar subjek-subjek sepertimana yang diajar di sekolah agama ini. Mudah kata, semua pelajar Muslim sepatutnya belajar bahasa Arab, sirah, usuluddin, ulum Quran, hadith, tasawur dan sebagainya. Wajib, tanpa sebarang kompromi. Kerana Islam itu sifatnya syamil, kamil dan mutakamil; sempurna, lengkap dan melengkapi. Tidak sewajarnya Islam itu dipisahkan mengikut juzuk-juzuk yang berpecah-pecah.

Arakian hasil daripada tinggalan penjajah British melalui sistem pendidikan ini, umat Islam secara sedar atau tidak telah dipecah-belahkan. Maka lahirlah makhluk-makhluk perasan yang merasakan diri mereka lebih superior dari yang lain; mereka yang ke sekolah omputih merasakan diri mereka lebih hensem dan moden dari yang lain, mereka yang ke sekolah jenis kebangsaan pula merasakan yang mereka ini lebih berhak ke atas negara ini dan mereka yang ke sekolah aliran agama, merasakan mereka sahajalah yang akan masuk sorga.

Pengsan. 

Muncul juga budaya label-melabel orang lain dengan panggilan seperti Islam liberal, Islam konservatif, Islam moden, Islam Hadhari, eh, Islam jin toncit, Islam Happy Meal, Islam Cap Kapal Layar, Islam progresif dan entah apa-apa label lagi yang diberikan, hasil daripada dasar pecah dan perintah ini. Ok, ini tiada kena mengena sangat sebenarnya dengan tajuk yang mahu kita bincangkan. Peluh. Cuma nak kata, sistem pendidikan kita dan tangan-tangan jijik pihak penjajah ada sahamnya juga dalam mengakibatkan sindrom yang menyerang budak-budak sekolah agama.

Selain itu, sekolah agama yang sering dijadikan oleh solusi terakhir oleh ibu bapa yang mahu 'menjinakkan' anak-anak mereka yang jahat, atau sekiranya tiada sekolah lain yang mahu menerima anak mereka. Mereka sangkakan, pengetua sekolah agama dan guru-gurunya punya kuasa ajaib atau tongkat sakti untuk mengubah akhlak dan perangai anak-anak mereka agaknya. Ingardium Lajadibaiknya! Pooofff anak-anak mereka terus menjadi bersopan-santun tersipu-sipu sambil menunduk badan ketika berjalan di depan orang tua. Ewaahhhh! 

Maka kedengaranlah dialog-dialog sumbang seperti:

"Eh budak sekolah agama pon merokok..?"

"Buang anak..?? Walawww. Bukan tudung labuh ke minah tu..??"

"Ya rabbi. Tonggang tonggek solat, talaqi Quran macam ayam patuk beras, pon hisap dadah jugak...?? Ish ish ish."

Geleng kepala. Walhal mereka sememangnya sudah begitu, tidak didik dengan sempurna di rumah oleh ibu dan bapa mereka!

Semua yang saya sebutkan tadi adalah faktor eksternal. Bagaimana pula dengan faktor internal yang menjadikan budak-budak sekolah agama diserang sawan dan sindrom sebegitu rupa..? 

Adakah guru-guru, muallim muallimah dan murabbi murabbiah di sekolah-sekolah agama benar-benar menghidupkan ruh sekolah agama..? Atau mereka pon dua kali lima, lima tambah lima juga dengan anak-anak murid mereka? Adakah sistem di sekolah agama itu benar-benar mahu melahirkan seorang muslim yang daham agamanya, atua hanya melepas batok di tangga? Adakah budak-budak sekolah agama ditarbiyah dengan fikrah Islamiyah yang sebenar, berdasarkan al-Quran dan al-Hadith, atau caca-marba ala kadar sahaja..? 

Atas sebab-sebab inilah, sukar untuk saya menghukum budak-budak sekolah agama yang jelik dan ego hanya kerana sifat dan akhlak mereka tidak menepati gambaran kita tentang budak sekolah agama. Permasalahan yang berlaku sebenarnya adalah lebih kompleks dan rumit. 

Persoalan yang lebih utama, bagaimana kita boleh menyahsingkirkan sindrom ini..? Kerana jelas sekali betapa sindrom ini amat merugikan kita, terutamanya jika dilihat dari aspek tarbiyah dan dakwah.

Jujurnya, saya tidak punya jawapan yang tepat lagi memuaskan. Tapi ya, saya punya beberapa cadangan.

Pertama, sistem pendidikan di Malaysia perlulah diormbak semula. Hal ini memerlukan perancangan jangka masa panjang dan pelaksanaan yang menyeluruh. Semua anak-anak muslim wajib mengikuti pengajian bahasa Arab, ulum Quran, ulum hadith, usuluddin dan sebagainya...

Eh eh Inche gabbana ni. Suka hati mak nenek dia je..! Pedulilah mak bapak nak hantar anak-anak mereka ke sekolah mana-mana pon! St. John Institution ke, Anderson ke, Sri Garden International School ke, itu hak yang dah dijamin oleh perlembagaan negara! Ini negara demokrasi..! Hak tuiihhh! 

Erk. Maafkan saya. Semalam ada orang yang memukul kepala anda dengan keraskah sehingga bergegar otak anda..?? Wahahaha..

Itulah peranan kerajaan yang kononnya melaksanakan pemerintahan negara selari dengan maqasid syariah. Rakyat mempunyai kekurangan dan kelemahan untuk memberi penilaian yang adil dansaksama dek datangnya dari pelbagai latar belakang yang berbeza. Ada had-had tertentu yang sekiranya keputusan diserahkan kepada rakyat semata untuk memutuskannya, negara pasti akan menjadi huru-hara dan kacau-bilau. Di sinilah kerajaan perlu memainkan peranannya untuk kebaikan dan kemaslahatan sejagat yang lebih besar. Dalam isu ini, saya melihat kerajaan perlu bertegas dan membuat keputusan yang akan memberi manfaat dan faedah kepada seluruh rakyat untuk jangka masa yang panjang. 

Untuk itu juga, kita memerlukan kerajaan yang bersedia untuk melaksanakan sistem pemerintahan Islam, bukan hanya dari segi politiknya dan ekonominya, tetapi dari segala aspek dan bidang. Eh kerajaan yang Islam sahaja sudah mencukupikah..? Tidak. Apa guna kalau kerajaannya Islam tetapi rakyatnya tidak..? Rakyat juga perlu mempunyai mentaliti Islam agar dapat memberi sokonganyang padu kepada kerajaan yang ingin melaksanakan sistem Islam. Inilah fungsi tarbiyah. Di sinilah peranan dua't amat-amat dibutuhkan untuk melaksanakan pelan haibat jangka masa panjang ini.

Maaf, di sini bukanlah ruangnya untuk saya berbincang lebih panjang lebar tentang isu dan cadangan ini. 

Keduanya, bagaimana mahu menekel (Baca: Tackle) budak-budak sekolah agama yang cerdik pandai ini..? Yang perlu kita faham dan terima hakikatnya, adalah mereka ini juga manusia biasa. Yang punya hati, emosi dan perasaan. Maka langkah pertama yang perlu kita lakukan adalah menawan hati mereka dahulu. Santuni perasaan dan bermanja-manjalah dengan mereka, sepertimana kita memanjakan hadek-hadek yang lain. Sekali-sekala baring-baring di atas paha mereka apa salahnya. Eh. 

Saya seorang yang amat yakin dan percaya, bahawasanya hati yang ditawan lebih mudah untuk dijinakkan (sila baca dengan mentaliti yang positif, jika tidak saya cubit perut anda). Perbanyakkan muayasyah dengan mereka ini. Kadangkala mereka hanya inginkan perhatian dan mahu didengari. Dan jangan lupa untuk DF mereka ini kaw-kaw punya..! Wahahaha..

Percayalah, sekali hati mereka tertawan, mereka tidak akan pandang belakang lagi. Anda suruh mereka merentasi lautan api dan terbang ke langit tinggi pon mereka sanggup! Wah!

Tapi ingat! Setiap hati ada kuncinya dan anda tidak boleh menggunakan kunci yang sama untuk membuka dua hati yang berbeza!

Untuk menghadapi hadek-hadek bekas sekolah agama yang mungkin tinggi egonya dan mahu tunjuk pandai akan ilmu mereka, anda sebagai murabbi perlu menundukkan dan mematahkan ego mereka ini. Bagaimana..? Untuk melakukannya, anda perlu membuat kerja rumah ekstravaganza. Bacalah buku-buku fikrah dan agama secara lebih kerap untuk memantapkan tsaqafah anda. Cari fakta-fakta dan dalil-dalil yang eksotik, yang tidak pernah didengari mereka. Tunjukkan pada mereka yang ada juga sebenarnya tahu, malah lebih tahu daripada mereka. Dengan syarat, untuk menjinakkan mereka dan bukannya anda yang mahu menunjuk pandai dan takabur! Kalau anda yang lebih-lebih mahu riya' dan show off tak ingat dunia, ohoi, lebih baik terjun masuk mulut buaya..! 

Dan untuk meyakinkan fikrah yang kita bawa kepada mereka ini, anda juga perlu bekerja lebih keras, kerana anda perlu faham latar belakang mereka yang telah pon dibasuh di sekolah dahulu. Duduk dan borak-borak santai bersama mereka, di samping cuba untuk 'membaca' mereka ini. Dengar dan cuba fahami hujah dan cara mereka berfikir. Dari situ, anda akan lebih jelas dan faham bagaimana mahu menekel mereka ini. Terangkan kepada mereka secara rasional dan penuh berlapang dada, digaul pula dengan ramuan kasih-sayang dan perencah manja-manja. Peerrrggghh, konfem terliur! Wahahaha.. 

Raikan juga mereka ini di bulatan-bulatan gembira yang mereka sertai. Maknanya, tunjukkan betapa anda sebagai murabbi amat menghargai latar belakangnya sebagai pelajar lepasan aliran agama. Contohnya, anda bolehlah bertanyakan kepadanya perkataan-perkataan Arab yang tidak anda fahami (atau sengaja buat-buat tak faham. Hihihi..) dan meminta kepadanya untuk menghuraikan sedikit-sebanyak perkataan itu di hadapan rakan-rakan lain. Tugas anda pula adalah untuk menarik semula perbincangan itu kepada fikrah yang ingin anda tanam dan bumikan. Mudah bukan..? 

Jangan sesekali berdebat dan berjiddal dengan mereka ini. Jangan anda pula yang terlebih emo dan sensitif untuk menegakkan hujah-hujah anda. Tidak ada gunanya. Mereka ini akan hilang hormat pada anda dan akhirnya akan lari-lari anak menjauhi anda. Ingat! Semua manusia ada hati dan senjata untuk melemahkan hati adalah dengan kasih-sayang. Sejantan-jantan dan semacho-macho mana pon seseorang itu, pasti akan tertunduk tewas dengan panahan chenta dan kasih-sayang! Eheh. 

Tak perlulah berjiddal dan berdebat untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah. Tulis belog lagi bagus! Eh. [Kredit]

Akhirnya, sedikit nasihat saya buat budak-budak sekolah agama yang mungkin terasa dengan post ini (baguslah kalau anda terasa, memang itu tujuannya pon. Hihihi..). Apabila anda mudah terasa dan panas punggung apabila ada orang yang menegur anda, itu ego. Apabila anda merasakan diri anda diri anda lebih bagus daripada yang lain dan amat mudah memandang rendah pada mereka, itu takabbur. Dan apabila anda bercakap atau menegur yang lain hanya kerana mahu menunjuk bahawa anda lebih bagus daripada mereka, itu riya'.

Dan anda sebagai budak-budak sekolah agama pastinya tahu dan jelas bahawa Allah amat murka dengan golongan sebegitu rupa bukan..? 

Gelaran atau status anda sebagai budak sekolah agama tidak menjanjikan sorga untuk anda. Ia sama sekali tidak pula menjamin pembebasan dari api neraka.

Yang pasti, ilmu yang telah anda pelajari itu akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Anda yang lebih berilmu daripada kami yang tidak bersekolah agama ini, akan ditanya, bagaimanakah anda memanfaatkan ilmu itu sebaiknya. 

Bak kata seorang pengicau yang membalas kicauan saya (juga seorang budak sekolah agama); "Mulianya Nabi bukan kerana status kerasulannya itu. Tetapi mulianya Nabi adalah kerana tarbiyah dan dakwah yang diperjuangkannya!"

Wahai budak-budak sekolah agama sekalian, anda adalah logam yang amat berharga di sisi agama. Manfaatkan ilmu dan kelebihan yang ada pada anda untuk menyebarkan kebaikan dan menegakkan Islam! Bukan untuk disalahgunakan demi kepentingan diri atau sebagai senjata pertahanan untuk melarikan diri! 

Dan kami di sini, akan sentiasa berada di sisi, berpimpinan tangan dengan anda semua, untuk kita sama-sama mengejar pelangi sorga! Senyum lebar nampak gigi. 

"Sungguh yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. 
[al-Hujuraat, 49:13]

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong tunjukkan,
Saya ni pon ha budak baru belajar,
Silap salah, janganlah segan-segan tolong tunjukkan!

Dua tiga kucing berlari,
Mana nak sama si kucing Parsi,
Budak sekolah agama sukar dicari,
Sekali jumpa, pergghh, terbaik sekali!

Gunung daik bercabang tiga,
Pulau Pandan jauh ke seberang,
Kita semua nak masuk sorga,
Jangan tinggalkan sesiapa di belakang!

Ewaaahhhh!

-gabbana-

Sengaja berhenti sebentar daripada menghabiskan Baihaqi. Kalau saya tak nak habiskan, boleh kan..? Eheh.  

Insha-Allah, akan sibok bemain dan berkejar-kejaran di taman-taman sorga hujung minggu ini. Alhamdulillah. Anda bagaimana..? Sudah punya perancangan untuk memanfaatkan hujung minggu anda..?
 
 

35 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 19/10/2012, 12:20  

Huuu... Macam mana kalau sebagai murabbi kita rasa inferior dengan adik-adik yang banyak ilmu ni? Intimidated jugak...

hana from far far away 19/10/2012, 12:31  

good entry. tahniah kerana membincangkan isu ni from different points of view. Tapi, still kene habiskan siri Baihaqi. Jangan tinggalkan pembaca setia blog anda makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lelap sbb ternantikan kesinambungannya. hehe.

Anonymous 19/10/2012, 12:32  

jujurnya kata2 kau sehingga tak terfitnah aku.
solusi yang diberikan adalah method yang sama aku guna utk faham homosapien bukan aliran agama.
sindrom yang wujud bukan pada status yg `sekolah agama` atau `bukan sekolah agama`
ia sindrom biasa pada makhluk yang bernama MANUSIA.

tawan hati..
tawan hati..

mengadili dan menghukum tak selesaikan apa2 masalah

-bekas sekolah agama-

Anonymous 19/10/2012, 12:39  

kalau tk dpt nk ajak budk skol agama mmg akhirnye menulis gini yer, lawak. heh.

Qalamqudus92 19/10/2012, 13:06  

Ada benarnya kata-kata anda. Saya juga pengendali bulatan riang. Saya juga antara pelajar aliran agama.

Cuma saya bersetuju juga dengan kata2 anonymous 2, hakikat manusia itu sama.

Pelajar aliran sains atau etc juga kadang2 tak mahu kalah dengan ilmu dan pemahaman yg mereka ada kepada sang murobbi.

Kaedah anda itu juga saya guna untuk mendekati adik2 luar biasa ini.

Hakikatnya redho an nas ghoyah, la tadruk. Kepuasan hati manusia itu pelbagai dan kita sukar memuaskan hati org lain.

Usaha sampai jaya! :)

Anonymous 19/10/2012, 13:59  

tak boleh..
baihaqi kene teruskan jugak..

kontraktor dakwah qowiy 19/10/2012, 14:28  

ni dah macam ayat debat nta masa kt KYUEM je akhi ;)

Anonymous 19/10/2012, 14:48  

panjangnya. good entry!

Eternal Love Seeker 19/10/2012, 15:21  

Sungguh kenyang membaca entri yg padat dan tepu ini. Sangat setuju pasal pendidik yg 2x5=5+5 tu. Ajar agama mcm main aci kejar, marathon sokmo nak habiskan silibus semata. Kesannya,pelajar zero penghayatan since agama paling senang nak score A+. oh manusia.....

Anonymous 19/10/2012, 17:18  

kdg2 situasi tu jadi sbb nila yg setitik.. parents zaman skrg bnyk ambil langkah mudah - bila rasa anak mcm dh susah nk dibendung perangai 'nakal', maka sekolah2 agama la jd tempat di'buang'.. dan apabila 'produk2' ni keluar ke dunia luar, maka jadi lah ia setitik nila yg merosakkan susu sebelanga..

homosapien 19/10/2012, 17:30  

"hati y dtawan mudah u djnakkan"..
wahhaa..totally agree..i'm ex skola agma..n sngt mnntng tdung lbuh-at that time la-and sgt rebellious sbb rsa terkongkong..lps kluar skolah bru sdar dri..so grateful cuz allah bg pluang utk brubah..bdk skolah agma pun manusia byse gak..still hamba..

coklat_31 19/10/2012, 17:55  

Salam.. Alhamdulillah. Nice entry. Agk terkejut jugak sy membc entry ini sebb setakat sy mengenali budak2 bekas sekolah agm di ipg ini, mereka xpernah menonjolkn kpd org len bhw mereka budk sekolah agm. Memg dr segi luaran pon, kita x dpt bajet la diorg budak skool agm rupanya.. yg baeknya, mrk sukakn aktvt agm cuma jrg join, kena ajak2 bru join tp mrk sokong sebenarnya.. 1 benda bagus mrk (bese laki la) mrk ni masih kekalkn amln mrk di sek dulu iaitu jaga solat berjemaah mrk.. bab berlagak dia ada ilmu agam tuh, sy lom jumpa ag setakat sy bergaul dgn mereka. =)tp, bila ckp ilmu agama, bila dgr diorg sampuk, baru kita perasan, memg betol dia ni skool agama dulu.. merendah diri kot.. huk3.. tp bila dengar diorg bg komen about something about islam, bru diorg kait2kan.. hebat2.. tp memg x nafikn yg geng2 merokok tuh ada jugak bdak sek agama.. kalo pompuan pon pakaian sama jek bila keluar sekolah.. itu la skrg xdek beza dh sek agama ke x agama ker. yg bezakn mereka dan kita hanya ketinggian ilmu jek. luaran mereka lebih kurg jek... yg x manis kalo yg pompuan pakaian yg x sopan ngat laa... huk3.. sekian komen dr saya.. =D

pencinta Rasulullah 19/10/2012, 19:05  

Gulpp! terase.. fakta budak sekolah agam mmng 98% ego tinggi..tp ramai jek budak sekolah agama ..dan rakan2 skola tahfiz saya yg tidak bertudung dn bile ditanya mereka akan menjawab "mak bapak aq suh masuk skola tahfiz sbb aq kurg pandai" dan bukan sbb hafaz al-qur'an inilah yg terjadi niat mereka dah terpesong waktu masuk seolah agama sbb 2 wujudnya plja skolah agama mengandung ,hisap dadah,tidak bertudung diluar..
:D

Anonymous 19/10/2012, 21:00  

Entri yang sangat bagus untuk MEMAHAMI budak aliran agama dan SPEKULASI masyarakat yang anggap SEMUA budak aliran agama ni baik-baik belaka.

Cuma satu je yang masih membelenggu. Macam mana nak ubah spekulasi masyarakat bila budak aliran agama ni buat benda-benda yang tak elok? Betul la,sebab nila setitik,habis rosak semua budak aliran agama. Macam mana nak bagi diorang ni faham dan secara tidak langsung dapat mempertahankan kedudukan sekolah agama itu sendiri? Bukan agak lagi, memang mengaibkan dah.

Sekian.

Anonymous 20/10/2012, 03:14  

betul kunci setiap orang tu berbeza dan unik.. ada budak sekolah agama tak suka orang tegur dia macam dia tak pernah belajar dan macam kau pun baru nak kenal agama nak ajar aku.. =.= ni saya pernah jumpa..
ada jugak jenis yang ok je, dia dah tahu semua tapi zuhudnya dia tak kisah malah suka kalau orang tegur dia.. ada jugak dak sekolah agama, dia nampak macam ok dan xda masalah, sampai orang pandang tinggi sebab ingat dia zuhud bagai, tapi sebenarnya dia takut dan rasa jauh dari semua orang dan yang ni la perlukan sangat nasihat, belaian (^^") dan kekuatan orang sekeliling..
dan saya sendiri, tak suka bila orang anggap saya dah tahu dan banyak ilmu padahal ilmu saya ni lagi sikit dari orang tak sekolah agama sebab ilmu agama bukan disampaikan disekolah agama semata-mata, tapi yang dicari dan diberi oleh parents.. wallahua'lam~

miss world 20/10/2012, 04:11  

tanda org yg berilmu beriman beramal adalah zuhud dlm perbuatan perkataan pekerjaan.

tak kesah ko dari mana pon yg penting hati kena cantik iman kena kuat..byk aku jumpe budak sek agama ni kdg2 lagi over culture shock dorang bila dah masuk dunia lepas sekolah..sampai ada yg gugur anak..yg jadi maknyah pon ada..sedey.

cuba kalo org cantik kacak mcm model2 masuk dakwah ko tak payah nk susah tido atas peha nk amik ati diorang...ko duduk dan buka mulut je dah tertawan dan melopong hati adek2 tu...

sori.hanya pendapat.bye.

shasha mimi rhoneta 20/10/2012, 04:39  

selamat berhujung minggu dan berdakwah
semoga adek2 awk sentiasa rindu dan syg.

Anonymous 20/10/2012, 17:23  

salam.. yup,setuju..
kadang2 akan rase riya' plak bile bercakap psl agama..
kdg2 bile kwn tnye psl agama,, utk mengelakkan hati riya', kite jawab kite x tau..
yang sy setuju,, sekola agama @ bukan sekola agama,, diorg still manusia..
bole jdi judgemental person, tp jgn smpai judgement mengenai bdk bekas sekola agama kbnyakannnya ego,,
membunuh terus niat kite utk mengislah msyrkt..


ape2 pun bro,,tq for this post..
kdg2 ape y org tegur tu sbnrnye teguran dri ALLAH..
-bekas bdk sekola agama-

依之汉 20/10/2012, 22:43  

Saya juga ada kawan bekas sekolah agama. Dan pandangan saya sama seperti masyarakat apabila mereka melakukan perkara yang lari dari ajaran Islam seperti couple, merokok, mencarut dan sebagainya.

Mungkin perjalanan dakwah saya ini masih jauh lagi... Dan terima kasih atas entri panjang ini. Nak buat rujukan kejap-kejap dan lama-lama. (maksudnya tak hadam lagi nih. heh)

Fauzesc 21/10/2012, 00:00  

terbaik dari ladang!

bekas kanak-kanak riang 21/10/2012, 02:13  

dia nampak macam ok dan xda masalah, sampai orang pandang tinggi sebab ingat dia zuhud bagai, tapi sebenarnya dia takut dan rasa jauh dari semua orang dan yang ni la perlukan sangat nasihat, belaian (^^") dan kekuatan orang sekeliling..
****************
komen anynomous yg ni memang betul berlaku, . . . .

sepi seorang dara 21/10/2012, 03:38  

tolong ingatkan aku..

asyifa' 21/10/2012, 11:25  

salam alaik.. sbnrnya pointnya mudah, ini bukan soal belajar sekolah agama, yg paling utama dan penting ialah mengamalkan agama dlm apa jua aspek kehidupan.. btw.. sy juga bekas pelajar maahad.. dan trus terang amat merindui suasana biah soleh dan solehah di maahad dulu.. skrg w/pun bakal memegang degree bukan dlm bidang agama or islamic tp itu bukan isu, yg pnting ialah pengamalan ilmu agama itu sendiri.. last but not least,, sy percaya dan yakin sahabat2 yg turut berasal dari sekolah agama dan turut tidak terkecuali shbt2 dari sekolah menengah bukan aliran agama akan terus berjuang dgn cara sendiri utk menegakkan ISLAM sbg AD DEEN di bumi ALLAH ini.. wslm..

mimsinlammim Ilyas 21/10/2012, 11:26  

Saya setuju silibus sekolah diubah...bab guru mgajar 2x5 5x5 adalah disebabkan tuntutan kementerian yg sukar di penuhi..guru mana nak peljarnya gagal menjadi manusia..mereka akan melalui proses tarbiyah yg berpanjangan...xsemestinya di sekolah..konfrens riang adalah lanjutan dr sekolah..kalu sekolah agama perfect xpyhlah konfrens..syukran mmg terasa dgn artikel ni..tp we stil hambaNya..xkire sekolah agama atau tidak..peringatan maseh wajib diberi..

Anonymous 23/10/2012, 09:44  

ya sy terasa!!!

Anonymous 28/10/2012, 09:53  

setiap org lain2.btol kan.?ada yg selalu ego,ada suka main lego.





-bdop skoloh agamo-

Anonymous 03/11/2012, 03:44  

post yg syiokkk dan bermanfaat! chuppp nak tambah 1.hehehe.kalau saya,i would really glad kalau ustazah2/ustaz2 dpt crita keindahan Islam taim kelas mcm murabbi2 bulatan gmbira critakan.sbb dpd pngalaman, adakalnya pengajaran agama Islam tu hanya for d sake utk habeskan silibus shaja.apa slhnyakan berbulatan gmbira di sekolah! ehehe

tentera hendap mantopgile 16/11/2012, 03:03  

Nieh mmg jadi dilema bdk sekolah agama. Macamlah bdk sekolah agama nieh angel ==" . Mereka pon manusia biase. Pendosa juga. Tapi yg sedihnye bila ilmu tanpa amal. Bak kereta x de enjin. Ehemm. (maaf ter'emosional')

Sdg menuntut di sekolah agama. Peace. Heheh

sayaulatbukulahsangad 18/11/2012, 01:11  

aha! jumpe pon tempat nak membebel . ahaha

oke . firstly , budak2 ex skolah agame . sila tarik nafas dan hembus banyak - banyak . haha

open your heart and open up your mind. kalau tak ade teguran takkan ade perubahan pada diri kan?

oke . sile senyum :) ohh. sungguh menawan :D

inche gabana . u are osem . thumbs up for you .




tak kesahla kan . ade ilmu , amalkan . kurang , tambahkan . :)

islam untuk semue kan ? hehe peace no war ;)

sailormoonSABAR 18/10/2013, 23:04  

terus melangkah gagah !

walaupun sentiasa di pandang rendah..

kita ada Allah .

*senyum sikit*

syukur :)

_biasa kena tembak sebab "budak agama"_

niqmah 19/12/2013, 12:45  

good entry!

Anonymous 22/12/2013, 11:29  

cair la...baca entry ni :).macam sewel je duk angguk2 senyum2.tapi serius,penat dengan ayat

"tak padan dengan budak sekolah agama"

sangat penat.dengar je dah penat apatah lagi kalau ayat tu untuk diri sendiri...

apa perasaan engkorang kalau dengar non muslim cakap

"tak sedar diri tu islam"

kitorang rasa teruk lagi tau tak
sebab datang dari saudara sefikrah yang mengaku beriman pada malaikat dan manusia tu bukan malaikat dan kami manusia.terima kaseyh...

-budak sekolah agama-

Anonymous 12/08/2015, 18:25  

Assalammualaikum... dah lama x bca blog sni since aku sndri dh lama tinggalkan dakwah dan tarbiyah nie, selalu je muncul dalm nwes feed fb aku, cuma dah x menarik minat aku... tapi bila baca tajuk post nie, aku gagahkan juga klik dan baca...

aku bukan budak aliran agama, tapi hati aku pernah ditawan dengan panahan tajam dakwah dan tarbiyah yang amat aku cintai dahulu... kenapa aku tinggalkan dakwah dan tarbiyah? bukan mahu menunding jari, cuma aku rasa kesal dan mualai hilang minat bila murobbi aku yg sudah bekerja sudah semakin sibuk dgn aktivi msg2... aku dibiarkan terkapai tanpa berita... aku dahagakan air D&T nie sehinggalah aku haus-sehausnya...

ya, benar sekali..hati yang ditawan mudah untuk dijinakkan, tetapi bila sudah dijinakkan jgn lupa diberi makan...jgn biar hati jadi keras dek kerana pengaruh yang lain...

maaf, komen panjang... doakan aku trus minat dalam D&T yg aku pernah cintai dlu...

Unknown 13/08/2015, 16:42  

admin ni student kyuem ke? batch brpe?
salam from student ky batch 17.0!

Anonymous 11/11/2015, 20:27  

Power! Tulisan yg saya kira sangat menarik & bermanfaat. Tertarik dengan teknik saudara (Inche Gabbana) yg memberi pendapat dan idea dr sudut sisi yg berbeza & juga bagaimana saudara cakna dgn isu persekitaran-- kemasyarakatan umumnya.
Interesting! Baca A-Z sambil sengih.
-inh98-

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP