6 August 2012

Kalau Bukan Sekarang, Bila Lagi..?



"Sayang, tadi I dengar ceramah ni. Ustaz tu cakap kapel tu haram. So I nak putuskan hubungan kita sekarang juga. Oktengsbai!"

"Okayh, selepas mendengar pengisian Babai Jahiliyyah tadi, dengan ini, aku berjanji akan akan berhenti daripada merokok 20 batang rokok hari ini juga..!"

"Baiklah! Selepas mendengar pengisian 'Tanyalah Ustazah' selama tiga puluh minit itu, saya berazam mahu pakai tudung labuh sampai ke kaki kini, dahulu dan selama-lamanya!"

Kalaulah sebegitu mudah untuk berubah, sudah pasti dunia ini akan dipenuhi dengan bunga-bungan Dafodil di tepi jalan sambil arnab-arnab gemuk berlari riang. Eh.

Pernah saya nukilkan dalam 'Berubah Itu Susah, Tapi Tidaklah Sesusah Membajak Sawah' tentang betapa sukarnya untuk kita berubah dan perubahan itu tidak perlu drastik dan dramatik. Kerana dikhuatiri sekiranya perubahan yang dilaksanakan itu terlalu drastik dan terburu-buru, akhirnya kita akan kembali melakukan jahiliyyah yang telah ditinggalkan dek vakum yang kita tinggalkan tidak diisi dengan sesuatu yang berguna dan bermanfaat. 

Di banyak tempat di dalam al-Quran, Allah telah mengingatkan ar-Rasul SAW supaya tidak gopoh dalam menghafal ayat-ayat chenta yang diturunkan kepadanya. Antaranya dalam surah Taha:

"...Dan janganlah engkau (Muhammad) tergesa-gesa (membaca) al-Quran sebelum selesai diwahyukan kepadamu, dan katakanlah, 'Ya Tuhanku, tambahkanlah ilmu kepadaku.'"
[Taha, 20:114]

Juga di dalam surah al-Qiyamah:

"Jangan engkau (Muhammad) gerakkan lidahmu (untuk membaca al-Quran) kerana hendak cepat-cepat (menguasai)nya. Sesungguhnya Kami yang akan mengumpulkannya (di dadamu) dan membacakannya. Apabila Kami telah selesai membacakannya maka ikutilah bacaannya itu. Kemudian sesungguhnya Kami yang akan menjelaskannya."
[al-Qiyamah, 75:16-19]

Dr. Wahbah al-Zuhaily di dalam tafsir al-Munirnya menjelaskan bahawa daripada ayat-ayat ini, kita tidak boleh tergesa-gesa dan tergopoh-gapah hatta di dalam urusan agama sekalipon. Perkara-perkara yang besar, signifikan dan berat perlu ditangani dengan cermat dan berhati-hati. Maka dalam isu meninggalkan jahiliyyah yang besar dan berkarat dalam diri, ia perlu ditekuni dengan penuh berhikmah, dan pada masa yang sama bermujahadah dan istiqamah dalam melakukannya. 

Hal ini dikuatkan lagi dengan ayat-ayat pengharaman arak. Arak hanya diharamkan ketika para sahabat berada di Madinah, yakni lebih tiga belas tahun selepas fasa di Mekah. Ayat-ayat pengharaman arak diturunkan secara berperingkat-peringkat; setiap peringkat lebih keras dan tegas daripada peringkat yang sebelumnya.

Apakah tujuannya ayat-ayat pengharaman arak diturunkan sebegitu rupa? Agar para peminum arak tegar di kalangan para sahabat lebih bersedia dan faham akan kewajipan mereka meninggalkan perbuatan keji itu. Malah sejarah telah menyaksikan bagaimana Madinah dibanjiri oleh arak ketika mana ayat pengharam arak secara total diturunkan, dek banyaknya arak yang dibuang dan dituang ke tanah, tanda patuh dan akurnya para sahabat dengan perintah Allah tersebut. 

Semua ini menunjukkan betapa perubahan itu tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru. Ia perlu didasari dengan kefahaman dan dibentengi dengan kesungguhan. Perubahan yang dilakukan bukan atas dasar faham dan dibuat kerana rasa terpaksa; selalu perubahan sebegini tidak akan kekal lama. 

Pernah suatu ketika dahulu, ketika memandu pulang bersama seorang hadek dari sebuah program sempena musim sejuk di utara Kerajaan Bersatu, kami berborak bantal dan menyelami hati masing-masing (Tetapi kebanyakan masanya saya yang tercungap-cungap dek banyaknya menyelam! Wahahaha..) Akhirnya, dalam perjalanan pulang setelah berhenti makan di Rusholme, Manchester, hadek tersebut menghamburkan soalan cepu permata:

"Uhhmmm... [Inche gabbana], kalau kapel cane eh..? Macam mana nak bawa Islam tapi pada masa yang sama ada kapel..?"

Gulp.

Saya tahu hadek itu penuh kejujuran bertanya, pada masa yang sama dirudum oleh seribu satu perasaan bersalah dan ingin berubah. Arakian saya juga dengan jujurnya menjelaskan kepadanya apa yang saya tahu dan faham.

Esoknya dia menghantar mesej pesanan ringkas kepada saya, memberitahu yang dia sudah memutuskan hubungannya dengan gelprennya. Saya sedikit terkejut. Tidak saya sangkakan dia akan mengambil langkah sebegitu drastik. Of koslah ketika itu saya berasa bersyukur dan gembira. Tapi pada masa yang sama, ada sedikit rasa tidak senang di hati, kerana merasakan tindakannya itu sedikit terburu-buru.

Benarlah sangkaan saya. Tidak lama selepas itu, dia menyambung kembali perhubungannya dengan gelprennya itu. Peluh besar. Sebahagiannya adalah silap saya juga kerana gagal mengikut-atas (Baca: Follow up) hadek itu dengan baik selepas dia patah hati. Namun sebahagian lagi saya yakin adalah kerana dia belum lagi benar-benar bersedia untuk membuat keputusan sebegitu besar.

Namun yang lebih utama daripada semua ini adalah, BERUBAH TETAP BERUBAH. Hujah-hujah di atas TIDAK boleh dijadikan alasan untuk melambatkan perubahan atau berdalih-dalih lagi. Atau berubah sekerat jalan dan tidak bersungguh dalam perubahan.

"Baiklah! Aku berjanji untuk mengurangkan jumlah rokokan aku dari lima belas batang ke sepuluh batang setiap hari!" 

Bagus perubahan tu. Cuma kalau selepas tu kekal pada tahap sepuluh batang dan tak turun-turun lagi.. Err.. Itu hampagas cap beruang panda namanya!

"Ala anda ni. Sikit-sikitlah berubah. Mula-mula saya pakai tudung dahulu, lepas tu barulah longgarkan pakaian!"

Tapi dah bertahun-tahun baju masih ketat, tudung makin singkat, macam mana tu kak..??

"Kadang-kadang dalam Islam kena jadi pemarah jugak en..?? Kira oraitlah aku dah berubah banyak ni! Aaah aku tak kira huaaarrgghhhh makan buddddaaaaakkkk...!" 

Err.

Berubah tetap berubah. Dan jangan ditunda-tunda lagi! Biar perlahan, asal beterusan. Biar lambat, asal selamat! Selamat apa Inche gabbana..? Selamat dari bakaran dan hangusan api nerakalah...!

Gasp.

"Wahai orang-orang yang berselimut! bangunlah, lalu berilah peringatan! Dan agungkanlah Tuhanmu! Dan bersihkanlah pakaianmu, dan tinggalkanlah segala (perbuatan) yang keji!"
[al-Muddathir, 74:1-5]

Bangkitlah dari lenamu wahai manusia! Buangkan selimut jahiliyyah yang menutupi dirimu itu! Agungkanlah Tuhanmu yang telah melimpahkan hidupmu dengan pelbagai nikmat dan kesenangan! Sudah tiba masanya untuk kita buang jauh-jauh segala perbuatan keji yang menghantui diri!

Perubahan yang sengaja dilambat-lambatkan itu ibaratnya seperti gula-gula getah yang melekat pada tapak kasut! [Kredit]

Sempena bulan Ramadhan yang penuh barakah dan mulia ini, di mana kita punya banyak ruang dan kelebihan untuk beramal kebaikan, saya ingin mengajak anda semua untuk berubah. Sekali dan untuk selama-lamanya (Baca: Once and for all). Ketika mana syaitan dibelenggu pada bulan Ramadhan yang penuh maghfirah ini, pertempuran kita hanyalah dengan nafsu raksasa dalam diri. Ya memang sukar, tetapi sekurang-kurangnya kuranglah satu talian hayat untuk nafsu bukan..? Senyum.

Lebih osem daripada itu, ketika mana amalan sunat diberi pahala amalan wajib, manakala amalan wajib pula dilipatkaligandakan pahalanya sebanyak tujuh puluh kali, kita tidak punya alasan untuk tidak merebut peluang keplatinuman ini untuk berubah menjadi manusia yang lebih dekat kepadaNya.

Dan bukankah meninggalkan yang haram itu hukumnya WAJIB..? Bayangkan, setiap perubahan baik yang anda lakukan, setiap karat jahiliyyah yang anda kikis dan tinggalkan, anda akan dapat TUJUH PULUH KALI LIPAT pahala..! Walaweehhhh...! Apa lagi yang anda tunggu tu..??

Sekarang masanya untuk berhenti merokok!

Sekarang masanya untuk membuang cakera padat lucah yang anda simpan lama itu!

Sekarang masanya untuk menutup aurat dengan baik, menyarung tudung dengan cantik!

Sekarang masanya untuk berhenti daripada mengumpat, mencaci dan membuat fitnah Peah!

Sekarang masanya untuk mendirikan solat yang anda rasakan cukup berat dan liat!

Sekarang masanya untuk mula berlatih membaca Quran; Muqaddam pon jadilah!

Sekarang masanya untuk berubah! Berubah menjadi manusia berjiwa hamba, berubah menjadi hamba yang lebih bergaya dan berubah menjadi manusia yang patuh dan tunduk pada Tuan dan Tuhannya!

Hey anda..! Kalau bukan sekarang, bila lagi...?? Nak tunggu Izrail datang mencabut nyawa anda pergi...?

Gulp.

-gabbana-

Hadek dalam cerita di atas alhamdulillah kini sudah menjadi penggerak dakwah dan tarbiyah yang cukup hoyeeaaahh. Akhirnya dia memutuskan juga perhubungan kapelnya tu selepas benar-benar faham dan jelas mengapa dia perlu berbuat demikian. Senyum kenyit mata.

Ayuh kita sama-sama berusaha tinggalkan jahiliyyah yang berkarat dan bersarang di dalam hati. Sesungguhnya jahiliyyah adalah ibarat gula-gula getah cap gajah, yang melambatkan lagi gerabak dakwah dan tarbiyah ini untuk lebih laju menerjah dalam menggapai redha Allah! Jom ubah!

4 Caci Maki Puji Muji:

bersama kak Es 06/08/2012, 12:48  

entry yang sangat bagus untuk mereka yans sedang mencari turning point :)

kartikel.com 06/08/2012, 13:37  

terima kasih kerna mengingatkan

Anonymous 06/08/2012, 19:02  

kalam lisan anda sebijik sejibik dgn gaya penulisan anda. haip, cmni nmpaknya bakal terbongkarlah identiti anda IG..btw, its come from ur heart..nice one!

cinta joyah dan joned karam di lautan atlantik 08/08/2012, 01:20  

skang ni susah nak jumpa yg ikhlas mencintai dicintai kerna ilahi.. banyak kapel sebab nak "sedap" je tu yg tak kekal...
jadikan cinta ilahi beraja di hati sebelum diisi dgn cinta insani duniawi..
kala kita "lemas" hanya cinta ilahi penyelamat sejati..

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP