19 July 2012

Saya, Ramadan

[Kredit]

"Daaaaannn!"

Ramadan tersentak dari lamunannya. Dia memandang sekeliling, mencari punca suara yang memanggilnya. Kelihatan kelibat ibunya, Mak Cik Zabedah Rustam menyinsing lengan berjalan ke arahnya.

"Kau ni lah Dan, termenung aje kerjanya! Dah dah, tolong mak pergi kedai Pak Tam, beli kelapa parut sebungkus. Mak nak masak gulai ikan tenggiri ni."

"Ala mak.. Suruhlah si Ros ke, si Raihan ke.. Dan tengah sibuk ni!"

"Kau sibuk buat apa..?? Mak tengok kau melangut je dari tadi. Dah dah, pergi tolong mak! Adik-adik kau ada kerja sekolah nak buat!"

Ramadan mencebik.

"Duitnya mana..?"

Mak Cik Zabedah menjeling. Dihulurkannya duit kertas berwarna biru nila kepada anak bujangnya itu.

"Aik? Singgit je..? Mana cukup maaaaakk."

"Ish kamu ni! Nak perasap mulut le tu! Apa nak jadi le kamu nii...!"

Mak Cik Zabedah menghulurkan lagi dua keping wang kertas berwarna biru nila. Benci tapi sayang.

Ramadan tersenyum. Lirih.

Mak Cik Zabedah hanya mampu menggelengkan kepala, sambil matanya menyoroti Ramadan yang menyarungkan selipar Jepunnya dan berlalu pergi. Berbaju tebal dengan hud yang tertulis 'Shi*t Happens. Why Despair?' di belakangnya.  Berseluar pendek, berserabai bulu kaki yang mengerinting panjang. Apa nak jadilah dengan kau ni Dan.

Ramadan Mubarak. Satu-satunya anak lelaki pasangan Mak Cik Zabedah dan Pak Cik Karim Ruslan. Mereka dikurniakan dengan lima orang cahaya mata; empat perempuan dan Ramadan seorang lelaki. Ramadan anak yang kedua. 

Sindrom anak kedua. Serabut juga Mak Cik Zabedah dibuatnya.

Ramadan terutamanya, sebagai satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, ditatang bagai minyak yang penuh. Dia dimanjakan oleh Pak Cik Karim. Apa sahaja yang dipinta anak bujangnya itu, pasti akan dipenuhi olehnya. Sedangkan apabila anak-anak perempuannya meminta sesuautu daripadanya, dia akan berkira-kira dahulu. Kadang-kadang diletakkan kuota dan syarat untuk setiap permintaan. Ah dasar chauvinis. 

Mujurlah Ramadan adalah seorang anak yang, err, bolehlah dikatakan taat dan baik. Luluslah ujian tahunan 'Anak Baik Lagi Comel' anjuran Taman Panda Gemilang, taman perumahan tempat tinggal Pak Cik Karim dan sekeluarga. Tidaklah pula Ramadhan mengambil kesempatan atas kasih-sayang yang dilimpah-ruahkan oleh ayahnya itu. Ok kadang-kadang ada jugalah dia mengambil kesempatan, terutamanya ketika permainan aksi hidup Naruto baharu keluar di pasaran dahulu.

Mujur juga adik-beradik lain tidak berapa kisah dengan layanan yang diberikan kepada Ramadan. Jika tidak, pasti perang saudara sekali seminggu dibuatnya! Kakak sulungnya, Ramisah Maimun, pada mulanya agak cemburu juga pada Ramadan. Lama-kelamaan dia sudah boleh menerimanya. Adik-adik Ramadan yang selebihnya, Ruhani Mariah, Rosnah Maratib dan Raihan Markonah lebih rapat dengan si ibu, jadi tidaklah mereka begitu terasa dengan layanan istimewa Pak Cik Karim kepada Ramadan.

Semuanya berjalan dengan baik dan lancar untuk keluarga Pak Cik Karim. Pak Cik Karim yang bekerja sebagai seorang tukang masak di sebuah hotel terkemuka berupaya untuk menyediakan kehidupan yang selesa untuk seisi keluarganya. Tidaklah mewah, tapi bolehlah sekali-kala membawa mereka bersiar-siar di Bukit Bintang atau minum teh mutiara perisa strawberi.

Keluarga Pak Cik Karim adalah keluarga ideal yang dicemburui oleh para penduduk Taman Panda Gemilang. Dengan anak-anak yang comel-comel cantik-cantik dan baik-baik, dengan kehidupan keluarga yang harmoni dan gemilang kadang-kadang potong rumput bersama-sama di waktu petang sambil minum teh o ais limau, semuanya tampak sempurna dan baik-baik sahaja dengan keluarga Pak Cik Karim. Bak kata pepatah omputih, keluarga Pak Cik Karim adalah keluarga 'Happily ever after.' Ewah.

Tetapi semua kepingan-kepingan mimpi indah itu mula terpisah dan menuju kehancuran apabila Pak Cik Karim mengalami kemalangan yang meragut nyawanya. Pak Cik Karim tercekik biji buah pic ketika sedang menyediakan pencuci mulut kek puding karamel bersalut sos buah pic. Kemalangan yang tampaknya seperti tidak masuk akal tetapi sungguh mengerikan itu.

Semenjak itu, kehidupan Mak Cik Zabedah dan anak-anaknya berubah dengan mendadak. Mak Cik Zabedah yang selama ini menjadi suri rumah sepenuh masa dan kadang-kadang adalah mengambil upah menjahit manik untuk sarung kusyen, kini terpaksa mencari kerja untuk menampung hidup dia dan lima orang anak-anaknya. Mujurlah hotel tempat Pak Cik Karim bekerja bersimpati dengan nasibnya sekeluarga, lantas menawarkan kerja sebagai penyelamat bertugas di kolam renang hotel.

Namun yang paling terkesan dengan pemergian Pak Cik Karim adalah Ramadan. Sebagai anak yang paling rapat dengan ayahnya, Ramadan amat terasa dengan kehilangan Pak Cik Karim. Semenjak tragedi itu, Ramadan telah memboikot buah pic dan bersumpah tidak akan makan hatta menyentuh buah yang telah meragut nyawa ayahnya itu. 

Ramadan berubah daripada seorang kanak-kanak yang periang dan ceria, membesar menjadi remaja yang pemarah dan suka menyendiri. Ramadan juga memilih untuk berkawan dengan mereka yang sekepala dengannya; degil, suka memberontak dan tidak suka dikawal dan diberi arahan. Moto hidup mereka: "Lek-lek dulu, isap okok dulu!"

Di sinilah Ramadan mula berjinak-jinak dengan rokok dan aktiviti-aktiviti lain yang tidak memberi faedah kepada dirinya, apatah lagi agama, bangsa dan negara. Ramadan, selaku ketua kepada kumpulannya, dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti haram buat ahli-ahli kumpulannya bagi memenuhi masa-masa yang mereka ada. Dan kebanyakan masa yang dipilih adalah ketika di waktu sekolah.

Bukan sekali Mak Cik Zabedah dipanggil ke sekolah, menghadap Puan Pengetua Rosmah Badiuzzaman kerana masalah disiplin Ramadan. Bukan sedikit air mata Mak Cik Zabedah yang tumpah, bercucuran dek Ramadan. Dan bukan sekali dua Ramadan berjanji kepada ibunya untuk berubah; terasa kasihan dan meyesal pula apabila melihatkan ibunya yang kecewa dengan sikapnya.

Tetapi semuanya tinggal janji. Ah Ramadan memang pandai berkata-kata! Sehingga habis sekolah pon, Ramadan kekal sebegitu. Nakal. Pemberontak. Degil. Licik. Mujurlah dia tidak dibuang sekolah. Sekiranya tidak, tak tahulah bagaimana Mak Cik Zabedah mahu menguruskan anak lelakinya yang seorang itu.

Kini Ramadan sudah berada di tahun dua Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di sebuah institut pengajian tinggi awam yang boleh tahan glamorlah juga. Itulah bahagian yang kadang-kadang tidak dapat difahami oleh Mak Cik Zabedah, mahupon guru-guru Ramadan di Sekolah Menengah Platipus Perang dahulu. Senakal-nakal dan sejahat-jahat Ramadan, pelajarannya boleh tahan bagus juga. Walaupon tidaklah secemerlang Siti Rozitah Chekwan atau Kim Lee-Beok, dua pelajar cemerlang yang sentiasa bersaing sekolah dahulu, prestasi pelajaran Ramadan bolehlah diberi tepukan mesra di bahu.

***

"Mak, ooo mak. Ni ha, kelapa parut ni. Nak letak mana?" 

"Kamu buat apa sekarang Dan..? Meh tolong mak, perah kelapa tu. Kamu juga nak makan gulai tu nanti kan..?"

Ramadan mengerutkan dahinya. Dia lemah betul kalau ibu kesayangannya itu meminta pertolongan daripadanya. Bukan apa, sejak pemergian ayahnya lapan tahun yang lalu, dialah yang menjadi tempat ibunya mengadu masalah dan berkasih-sayang. 

"Ala mak ni. Dan sibuklah... Kenapa tak beli santan kotak je terus..? Kan ke senang..? Alahai.."

"Kau jangan nak bohong Dan, kau sibuk buat apa..? Sibuk melangut..? Lagi pon mana sedap santan kotak. Tak fresh! Marilah tolong mak ni. Boleh kita berborak bantal sikit." 

Mak Cik Zabedah memujuk manja. Ramadan tewas. Dia mengangkat bendera putih. Walaupon dia tahu, borak bantal ibunya itu akan lebih berupa bebelan dan nasihat pemanah telinga.

"Ha, macam tu la anak emak! Eh eh, basuh tangan tu dulu Dannn! Kau tu tadi, entah pegang apa. Habis rasa Dunhill nanti gulai mak..!" 

Ramadan menjeling ibunya, sambil tersenyum nakal. Sudah berbuih-buih mulut maknya memarahi dan menasihatinya agar berhenti daripada merokok. Tapi rokok dan Ramadan adalah ibarat henpon dan kad pra-bayar; kedua-dua saling melengkapi dan tidak boleh berfungsi kalau tiada salah satu antaranya.

"Mak.. Amacam kerja mak..? Ada orang lemas tak semalam..? Hahaha.."

"Ish kau ni Dan. Mengarut je kau ni. Sepanjang lapan tahun mak bekerja, di bawah pengawasan mak, belum lagi ada orang yang lemas kau tahu..?? Mak cemerlang ok..??"

"Ye la mak oii. Nasib baiklah diorang tak suruh mak pakai macam Baywatch tu. Mahu muntah ungu dibuatnya orang-orang kat situ! Ahahahah.."

Piaaaappp hinggap suatu tamparan wanita di belakang Ramadan.

"Adoooiiii mak sakitlah..! Apa mak ni! Orang gurau je la..! Emo betul...!"

"Eh Dan. Ramadhan dah nak dekat ni. Tinggal lagi beberapa hari je lagi. Kau perasan tak ni..??"

Ramadhan. Dan Ramadan. Awal-awal dahulu, itulah bahan lawak jenaka utama yang digunakapakai berulang-ulang kali oleh rakan-rakan Ramadan untuk mengejeknya.

"Ooiii Ramadhan dah datang...!" Ujar Saleh Diego, salah seorang rakannya di tingkatan satu dulu.

"Mana mana..??" Rakan-rakan yang lain menyahut, mahu turut serta menyakat Ramadan.

"Tu ha, tu Ramadhan, kau orang tak nampak ke..??" 

"Yang mana satu..?? Ramadan ni ke, atau Ramadhan ni...??" Jawab seorang lagi rakan, Fujima Kahewara, sambil satu tangan menunjuk kepada Ramadan dan satu lagi tangan menunjukkan kepada kalendar Hijri pada bulan Ramadhan.

Satu kelas kemudiannya akan gegak-gempita dengan tawaan mengejek Ramadan. Ramadan hanya buat muka biskut, sudah lali dengan lawak jenaka sebegitu. Awal-awal dahulu dia memang cukup terasa dengan ejekan kawan-kawannya di sekolah. Bukan sekali dia pulang ke rumah menangis dan memarahi ayahnya kerana memberikan nama Ramadan kepadanya. Bukan sekali juga dia meminta agar ayahnya menukar namanya kepada Syaaban atau Rejab. Yang penting bukan Ramadan atau Syawal.

Ironinya, semenjak pemergian ayahnya, Ramadan tidak pernah berpuasa penuh. Dahulunya ayahnyalah yang sentiasa memastikan Ramadan berpuasa. Di samping motivasi RM1 bagi setiap hari dia berpuasa, motivasi rotan dan piat telinga turut memastikan  yang Ramadan dididik untuk berpuasa penuh. Namun semenjak ayahnya meninggal dunia, dicampur pula dengan sikap memberontak yang menebal di dalam jiwanya, liat sungguh untuk Ramadan berpuasa. Jangankan berpuasa penuh, berpuasa sehari pon cukup sukar untuk dilaksanakannya.

Dan sebagai ketua kumpulan geng nakal di sekolahnya dahulu, dialah yang bertanggungjawab memikirkan pelan ponteng puasa untuk rakan-rakannya yang lain. Bak kata peribahasa Melayu moden, "Alang-alang nak buat keji, biarlah keji secara berjemaah! Baru boleh istiqamah!" Maka pelbagai rancangan licik dan boleh tahan geliganya keluar daripada kepala otak Ramadan. Sama ada memenuhkan stok makanan di bangsal persembunyian mereka beberapa hari sebelum Ramadhan, atau mengupah rakan-rakan mereka yang bukan beragama Islam, atau pergi berkelah di tepi sungai nan air yang sejuk di siang hari bulan Ramadhan, ada sahajalah pelan Ramadan untuk ponteng puasa.

Bukannya dia tak tahu yang berdosa besar untuk dia tinggalkan puasa secara sengaja. Tetapi entah, dia seolah-olahnya tiada motivasi untuk melaksanakan salah satu rukun utama dalam Islam itu. Dan perangai buruknya itu diteruskan pula setelah dia meninggalkan sekolah. Sudah menjadi acara wajib tahunan pula.

Mak Cik Zabedah bukan tak tahu perangai tidak senonoh anaknya itu. Pernah sekali dia dengan tidak sengaja menangkap Ramadan dan rakan-rakannya sedang menikmati ayam goreng Radix di siang hari bulan Ramadhan. Ketika itu Mak Cik Zabedah pulang awal ke rumah kerana tidak ramai orang yang berenang ketika bulan Ramadhan. Terbeliak matanya melihat mereka yang sedang berseronok menikmati ayam goreng panas berempah beserta kentang lecek penuh berkrim itu. Terliur sekejap jugalah Mak Cik Zabedah dibuatnya.

Sudah puas Mak Cik Zabedah menasihati Ramadan. Pelbagai fatwa telah dikeluarkannya. Dan berbagai-bagai cara juga sudah digunakannya; cara keras dan brutal mahupon cara lembut dan halus. Semuanya tak lut dek kekebalan dan kedegilan Ramadan. Mak Cik Zabedah sudah hilang akal bagaimana mahu memujuk anak lelakinya itu untuk berpuasa.

"Habis tu, kenapa dengan Ramadhan..?"

"Ish kau ni Dan. Ramadhan kena berpuasalah! Kau dah dua puluh satu tahun tahun ni Dan oii. Dah boleh jadi bapak orang dah. Bilanya kau nak mula berpuasa penuh ni..? Nanti dah kahwin, ada anak bini, macam mana kau nak bimbing diorang nanti..??"

Ramadan berkerut. Dia terlambat memasang mod anti-bunyi di telinganya. Tapak tangannya meramas kuat parut-parut kelapa yang diletakkan di dalam sebuah bekas berwarna kuning.

"Ala mak ni. Bila dah kahwin nanti, pandai-pandailah Dan. Lambat lagi Dan nak kahwin pon. Penat la mak nak puasa... Dan tak larat. Dan perlukan tenaga mak, espeseli sebagai seorang pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa! Uissshhh.. Penaaaat tuuuuu!"

Ramadan tersenyum nakal, mengusik ibunya yang hanya mampu menggelengkan kepala.

***

Sehari sebelum Ramadhan...

"...dah besar panjang dah tu. Saya ingat, nak mula carikan calon untuk dia la."

Ramadan sedang baring-baring malas di biliknya, membelek-belek majalah GQ, membaca gosip-gosip terbaru artis-artis Hollywood, ketika dia hendak ke bilik air dan menangkap perbualan ibunya dengan seseorang.

"Muda-muda awak dah nak kahwinkan dia..? Baguslah tu. Kalau tunggu lama-lama, nanti entah macam-macam orang yang dia jumpa. Budak-budak sekarang ni kan, bukan boleh percaya sangat!"

Dia sangat kenal wanita yang sedang berbual dengan ibunya itu. Mak Cik Asiah Borhan. Dan dia lebih kenal dengan anak perempuan Mak Cik Asiah, Sofeah Irdina. Peeerrgghh. Ramadan berhenti, cuba mencuri-curi dengar apa yang sedang dibualkan mereka berdua.

"Bukan apa Bedah. Saya risau je. Tengok budak-budak muda zaman sekarang ni... Risau saya kalau si Peah tu tak dapat cari suami yang baik!"

Gulp. Suami..? Ramadan menarik nafas panjang. Panjang dan berhati-hati. Ini suatu perbualan yang tidak mahu dilepaskannya. Panas. Sensasi. Dan kontroversi.

Siapa yang tak kenal dengan Sofeah Irdina? Nama itu meniti di bibir seluruh penduduk Taman Panda Gemilang. Malah nama itu turut dikenali di taman-taman perumahan yang berjiran, seperti Taman Gorgon Perkasa dan Taman Dua Tiga Kucheng Berlari. Punyalah hebat nama Sofeah Irdina itu!

"Betul betul. Saya sokong sangat. Err.. Awak nak carikan suami yang macam mana..? Apa ciri-ciri yang awak cari..?"

Mak Cik Zabedah bertanya, mahu menyiasat apakah citarasa jirannya itu.

Ramadan menelan air liurnya, tetapi tidak tertelan olehnya, seolah-olah tersekat di halkumnya.

Waduh waduh, Sofeah Irdina kot..?? Menyebut namanya sahaja sudah boleh bergetar kepala lutut! Wajahnya yang ayu, kulitnya yang mulus, hidungnya yang tirus, bibirnya... Walaupun Sofeah Irdina bertudung litup dan sopan cara pemakaiannya, namun kecantikannya tetap jelas terserlah. Malah itulah sebenarnya yang menjadikan Sofeah Irdina begitu diidam-idamkan oleh para jejaka di kawasan sekitar; lembah-lembut, ayu, bersopan-santun dan rupawan pada masa yang sama. Pakej lengkap! Penuh misteri tapi cukup menggugah jiwa dan hati!

Suaranya sahaja sudah boleh membuatkan mana-mana lelaki terasa seperti di awang-awangan. Pernah sekali Ramadan terserempak dengan Sofeah Irdina ketika mahu membeli burger ayam spesel bertingkat dengan keju di Gerai Burger Romli di tepi sekolah di hujung jalan. Sofeah Irdina menegur Ramadan, bertanyakan khabar Mak Cik Zabedah kerana kedua orang tua mereka bersahabat baik. Ramadan seperti tidak percaya yang Sofeah Irdina menegurnya. Tergagap-gagap Ramadan dibuatnya! Selepas itu Ramadan terasa seperti mahu terjun gaung kerana begitu marah pada dirinya yang telah memalukan diri sendiri di hadapan bidadari sorga!

Sofeah Irdina!

Bukan sekali Ramadan termimpi-mimpi berlari-lari, berkejar-kejaran dengan Sofeah Irdina di tepi pantai. Bukan sekali dia berangan-angan menimang cahaya mata  yang comel dan gebu-gebu dengan Sofeah Irdina. Bukan sekali...

"Entahlah Bedah. Saya tak kisah sangat pon. Takdelah cerewet mana. Cumanya..."

Ramadan mendengar dengan penuh teliti. Kalaulah dia punya corong untuk membesarkan suara, sudah pasti dia akan melekapkannya di telinganya ketika itu juga.

"Cumanya..?"

Cumanya apa Mak Cik Asiah oiii! Bentak hati Ramadan yang tidak sabar-sabar lagi mendengar jawapan bocor daripada bakal ibu mertuanya.

"Yalah, kalau boleh, saya nak seorang lelaki yang bertanggungjawab, yang boleh jaga si Sofeah tu dengan baik. Yang boleh hormat dia sebagai seorang wanita. Yang boleh hormat kami sebagai mak bapak dia. Dan.."

Ramadan tersenyum. Tampak gigi separa kuningnya. Yabedabedu..! Terasa seperti mahu melompat kegembiraan. Aku lulus semua syarat-syarat tu weiii! 

"Dan...? Dan apa Siah..?"

"Lelaki tu lelaki yang baik, yang soleh dan beriman. Solatnya jaga, boleh bimbing si Sofeah tu solat jemaah. Quran baca. Puasa tak tinggal. Lebih kurang begitulah. Alah, tak susah kan nak cari lelaki yang macam tu..?"

Gulp.

***

"Eh, awal kau bangun ni Dan..? Kau mimpi apa ni..? Mak sahur pon tak masak apa lagi ni!"

Ramadan hanya tesenyum. Sumbing.

"Mak jangan risau. Dan dah siap dah goreng nasi semua. Siap dengan ikan bilis dan ayam goreng berempah tu!"

Terlopong mulut Mak Cik Zabedah. Matanya hampir mahu terkeluar apabila melihat benar-benar ada kuali berisi nasi yang sudah siap digoreng di atas meja.

"Kau demam ke Dan..? Kau buang tebiat apa..?"

"Ish mak ni. Ke situ pulak. Takde apa mak. Dan.." 

Ramadan teragak-agak mahu menyebutnya. Mak Cik Zabedah menantikan dengan penuh berdebar butir-butir kata yang bakal keluar dari mulut anaknya itu.

"Dan berazam nak puasa penuh tahun ni."

 *** 

Tinggal dua hari lagi sebelum Ramadhan datang membuka tirainya. Sudahkah kita bersedia untuk melayannya sebagai tetamu agung kita..?

Kepada anda yang belum lagi memulakan apa-apa, belum terlambat untuk panaskan enjin. Dan untuk anda yang sudah lama menantikan bulan penuh barakah ini dengan penuh teruja, ayuh bersedia untuk masuk gear lima..!

-gabbana-

20 Caci Maki Puji Muji:

maxisbb 19/07/2012, 15:06  

jap, mak dia kerja lifeguard kat pantai ke lepas ayah dia meninggal?

Inche gabbana 19/07/2012, 15:09  

-___-" tak penting pon kan point tu..? Huhuhu.. Lifeguard kat swimming pool hotel lah.

Saya ada buat perubahan sket. Sket je. Kalau rajin bacalah balik. Eheh.

Anonymous 19/07/2012, 15:23  

tak penting tapi cam pelik..hoho..cuba jadi pembantu lain ke? cadangan jee..eheh

Unknown 19/07/2012, 15:27  

haha. Ok, entry ni bt aku nk gelak guling2. Hilang jap stress blaja utk final lusa nanti. Well, sgt menarik :). Tapi xleh blah la mak cik zabedah tu jd lifeguard. Umur dia da bpe tahun? Cari la kerja yg feminin sket. Ok, mungkin itu adlh slh satu unsur kelakar, if xda xbest plak nti. Above all, well done akhi. :)

Anonymous 19/07/2012, 15:27  

ahha!yang lain2 hanya penambah rasa ,, point penting adalah sudahkah kita bersedia?? Allah.. moga ramadhan kali ini better dari yang lepas2,,& mungkin satu lagi nak berBM opkoslah takmudah,,, IM pon terkontang kanting, heh..

CheCardio 19/07/2012, 19:05  

walaweyh! kalau anda tidak sibuk dengan DnT, saya yakin tulisan tangan anda sedang disebarkan di merata-rata lah! nice one, brader~!

Unknown 19/07/2012, 19:37  

thumbs up =).post yg sgt gaban:D

ciksuehaoi™ 19/07/2012, 20:48  

sempoi dan mesej sampai.bagusss!

Anonymous 19/07/2012, 22:44  

sindrom anak kedua benar-benar wujud?

Fishy 19/07/2012, 23:39  

kat mesir jgn ckp ramadhan mubarak, nnti kne tegur ngn pk cik2 arab. fobia ngn mubarak mybe?heh.
mreka prefer ramadhan kareem.

Anonymous 20/07/2012, 00:49  

lawak! haha.
*tp ending die cemaneer.

Anonymous 20/07/2012, 01:36  

aah..ending apa cerita?

maxisbb 20/07/2012, 08:04  

hehe, memang tak penting pun. dont worry, got the point. :D. ramadhan kareem inche gabana.

Ir Jinggo 20/07/2012, 11:56  

woah.. nak kena start juga ni.. Ramadhan Kareem... :D

Anonymous 22/07/2012, 00:58  

adoi doi inche gabana,anda mmg terel bab buat org ketawa disamping beri nasihat.tabik spring onion ah XD

Anonymous 25/07/2012, 12:20  

cam tu je abis..adoyai..bru nak syok bce..anyway great job!

Anonymous 21/07/2013, 12:18  

sindrom anak kedua memang wujud. my brother is the proof.

Anonymous 21/07/2013, 14:19  

ada sambungan x enche gabana... mcm best jer.... sy kat rumah nieh kekeringan idea nak buat ape waktu bulan puasa nieh... lgi2 bila cuti.... sekurang2 nya baca dlm blog nieh bermanfaat sikit....

Unknown 22/07/2013, 09:10  

ending dia?...ramadan dapat puasa penuh tak?..kawen tak dengan sofea irdinah tu..haha

Anonymous 28/06/2014, 23:51  

Dan Dan ... entry yang memang gabban ! mekeaseh inche gabbana anda sangat ohsem . Ramadhan kareem :)

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP