20 July 2012

Mengapa Anda Perlu Rasa Teruja Menyambut Ketibaan Ramadhan

[Kredit]

Ok kalau kita rasa lebih teruja dengan kedatangan Olimpik 2012 daripada bulan Ramadhan al-Mubarak, ada sesuatu yang tidak kena dengan saraf tunjang dan modula oblongata kita. 

Kalau nak sebut satu persatu fadhilat bulan Ramadhan, rasanya tak tersebut di sini. Lagi pon, untuk anda pembaca tegar belog ini, anda tahu stail saya bukan begitu; bukan menyuapkan fakta semberono begitu sahaja. Saya suka melihat sesuatu itu dari pandangan mata burung Rajawali (Baca: Bird's eyes view) atau dengan gambaran yang lebih besar. 

Dan kalau anda betul-betul mahu tahu fadhilat bulan Ramadhan yang sumpah osem lagi mulia ini, mudah sahaja. Silakan bertanya kepada as-Syaikh Google atau terus sahaja ke toko-toko buku berdekatan dan belilah senaskhah dua buku yang berkaitan dengan kebsarandan kepentinga bulan Ramadhan! Senyum sedikit keji. 

Maka hari ini, saya ingin berkata tentang kepentingan untuk kita berasa teruja, seronok dan gembira menyambut Ramadhan yang bakal tiba kurang lebih beberapa jam sahaja daripada sekarang. 

Sekiranya dahulu, sebelum kita dilanggar oleh Mak Cik Hidayah dan ditangkap dan disumbat masuk ke dalam gerabak dakwah (mata pandang ke atas, tangan melekap ke dada), ini mungkin antara beberapa sebab utama mengapa kita berasa teruja dengan kedatangan Ramadhan:

  1. Dapat makan masakan ektra spesel oleh Puan Mak
  2. Dapat makan juadah berbuka yang tidak wujud di luar bulan Ramadhan, contohnnya ayam golek berempah, ayam percik kuah putih, popiah basah rangup, cendol agung tanpa kolestrol, air bandung jagung cincau dan entah apa-apa lagi lauk-pauk yang dijual
  3. Dapat jumpa rakan-rakan secara berjemaah di masjid ketika menunaikan solat Tarawih
  4. Dapat main bunga api dan mercun
  5. Dapat turunkan berat badan barang sekilo dua
  6. Dapat bertukar-tukar juadah berbuka dengan anak dara Pak Cik Termizi Bustamam sebelah rumah. Err..
  7. Dapat beli baju raya dan kasut raya dan kuih raya
  8. .........Dapat makan daging salai masak lemai cili api! Ohoiii...!

Ehem.

Tetapi itu dahulu. Sungguh wahan, saya tahu. Tetapi alhamdulillah, kini hati ini cair diayat oleh ayat-ayat chenta Allah, setelah jiwa ini terpaut pada gerabak dakwah dan tarbiyah dan setelah mata ini dipakaikan dengan kanta sesentuh dakwah dan tarbiyah yang sumpah kool dan bergaya itu, keterujaan menyambut Ramadhan tidak lagi sama seperti dahulu. Malah kini jauh lebih teruja, hidung kempang-kempis dan rambut ditiup angin shiuu shiuuu setiap kali mendengar nama Ramadhan. 

Tipulah sekiranya saya katakan, langsung tidak teruja dengan sebab-sebab di atas. Oh tidak sabar mahu ke bazar Ramadhan membeli daging salai masak lemak cili api! Terliur. Tapi yang menjadikan Ramadhan lebih istimewa adalah kini ia tidak lagi dilihat menerusi kaca mata duniawi sahaja; ia disambut dengan penuh rasa keinsafan dan pengharapan untuk menggapai redhaNya yang abadi. Ramadhan terasa lebih basah dan hidup, kerana ia tidak lagi disambut bersandarkan kayu ukur duniawi semata!

Maka di sini ingin saya kongsikan, mengapa anda perlu (kalau sebut wajib, nanti anda kata saya pandai-pandai keluarkan fatwa pula!) berasa teruja menyambut Ramadhan. Atau boleh juga dijadikan panduan untuk anda, bagaimana mewujudkan rasa keterujaan yang melampau-lampau dalam menyambut ketibaan Ramadhan! Senyum nampak gigi kuning. 

Sebab 1
Sepanjang tahun ni, agak-agaklah berapa guni dosa yang telah kita kumpulkan? Kalau tak guni pon, mungkin lori jugalah. Berapa banyak orang yang telah menjadi mangsa umpatan kita? Berapa ramai pula yang menjadi mangsa kerakusan mata kita? Berapa kali kita sengaja melewat-lewatkan solat? Berapa kali kita meningginkan suara terhadap Inche Papa dan Puan Mama..?? Air mata bercucuran laju.

Maka kita perlu rasa teruja dengan kedatangan Ramadhan kerana ia adalah bulan pembersih dan pencuci dosa.

Abu Hurairah telah berkata, "Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang
Ramadhan yang bermaksud: 'Sesiapa yang mendirikannya (Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.'"

[Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e, Malik, Ahmad dan Baihaqi]

Saya rasa-rasalah, pasti iblis dan konco-konco syaitonirojimnya berasa amat bengkek dengan bulan Ramadhan kerana penat-penat mereka bertungkus-lumus menghasut dan menyesatkan manusia, alih-alih semasa bulan Ramadhan, Allah ampunkan segala dosa! Walawehhh!!

Sebab 2
Bulan Ramadhan adalah masa yang paling sesuai untuk merapatkan silaturrahim dan ukhuwwah Islamiyah, baik sesama ahli keluarga atau pon sesama ikhwah dan akhawat. Err.. Ikhwah dengan ikhwah dan akhawat dengan akhawat tahu..??

Masa-masa seperti iftar jamai'e, iktikaf, qiam perdana dan sebagainya, wajar dimanfaatkan sebaiknya untuk bermuayasyah (bergaul mesra) dan berborak bantal seikhlas jiwa, bagi mengenali hati budi masing-masing.

Percayalah, sekiranya anda melakukan ini dengan setulus hati sebersih nurani, anda akan keluar dari bulan Ramadhan berasa lebih segar dan mata bersinar-sinar. Aiwah! 

Sebab 3 
Atas sebab yang hampir sama dengan Sebab 2, bulan Ramadhan juga adalah masa yang paling osem untuk melaksanakan kerja-kerja menjerat kijang dan menjoran ikan (Baca: Dakwah fardhiah. Wahahaha). Ketika ini anda punya banyak masa dan peluang keplatinuman untuk menyentuh hati-hati mad'u di luar sana.

Uish anda bayangkan sahajalah, apa perasaan hadek terchenta apabila anda membawa seekor ayam golek berempah Hadharamaut, sebungkus cendol gergasi dan cucur badak air rangup untuk berbuka bersama-sama dengannya..? Ok tiba-tiba perut saya bernasyid pula ketika ini. 

Selain menyentuh perut mereka, anda juga boleh menggunakan alasan Ramadhan untuk sama-sama bertilawah, qiam atau beriktikaf dengan sasaran dakwah anda. Hati mana yang tidak cair apabila ada abang kachak yang sudi menemankan si hadek lepak-lepak di masjid untuk beriktikaf..? 

Sebab 4 
Ramadhan adalah masa yang terbaik untuk kita merancang gerak kerja dakwah kita. Bayangkan, anda sudah berjaya menjimatkan waktu bersarapan pagi (setengah jam) dan makan tengah hari (paling kurang satu jam) semasa Ramadhan. Itu belum lagi dikira spesis-spesis yang minum pagi jam sepuluh dan minum petang jam empat. Wahai, berapa banyak masa yang dapat dijimatkan tu..??

Sayugia gunakanlah masa-masa yang sudah dijimatkan itu untuk berjalan-jalan di bazar Ramadhan memburu lauk-pauk yang paling merembes pundi air liur merancang bahan-bahan dalam bulatan gembira, perancangan konferens-konferens riang di masa-masa hadapan, artikel apa yang hendak ditulis, perancangan tajmik hadek-hadek dan macam-macam lagilah yang boleh dilakukan! 

Dan yang lebih menarik, Ramadhan menjadikan kita lebih fokus dan seriyes dalam bekerja. Mengapa? Kerana kurangnya kita makan. Bila makan banyak, perut jadi buncit. Eh. Bila makan banyak, fokus kita mudah hilang dek zat-zat besi yang turun ke kelopak mata. Eheh. Dan hati kita juga lebih bersih dan suci ketika Ramadhan insha-Allah; menjadikan lebih mudah untuk kita faham dan berfikir dengan lebih efisien hal-ehwal gerak kerja dakwah kita.

Ini.. Ini.. Ini sumpah osemness...! Tidak dapat diragukan lagi...!

Sebab 5
Kata omputih, 'Save the best last.' Sebab kelima ini tiada keraguan lagi adalah sebab utama mengapa kita perlu dan wajar rasa teruja semaksima mungkin dalam menyambut ketibaan Ramadhan. 

Sebagai seorang dai'e, tidak boleh tidak, bekalan ruhiyy adalah bekalan terpenting yang menguatkan jiwa-jiwa kita. Dalam kita sibuk dan aktif berdakwah dan mentarbiyah di luar sana, bekalan yang meniupkan semangat dan hamasah untuk ruh dan jiwa sama sekali tidak boleh dilupakan.

Maka Ramadhan adalah masa dan platform terbaik untuk menampal lompong-lompong yang kita tinggalkan sepanjang tahun, dek kelemahan dan kealpaan diri kita. Inilah peluang kita untuk mengejar kembali bacaan al-Quran yang kita abaikan. Inilah peluang untuk kita memperbanyak hafazan kita yang tidak sempat kita lakukan di masa-masa yang lain. Inilah peluang untuk kita bangun setiap malam, bermunajat dan mengalirkan air mata yang tulen lagi gemok. memohon kekuatna dan keampunan seikhlas hati. Inilah peluang untuk kita memperbanyak sedekah dan amal jariah. Dan inilah peluang kita untuk menjinakkan nafsu serakah kita yang ganas itu, kerana terlalu banyak peluang dan ruang untuk kita mendekatkan diri kepadaNya!

Pendek kata, peluang untuk kita memantapkan jiwa dan mengukuhkan iman kita amat terbuka luas di bulan Ramadhan! Bulan Ramadhan adalah bulan kita berpesta ibadah! 

Dan yang lebih utama daripada semua itu, kita amat wajar mengimani bahawa segala amal kebaikan ini tidak hanya semangat dilakukan di bulan Ramadhan semata. Bulan Ramadhan wajar dilihat sebagai sebuah madrasah tarbiyah yang mendidik jiwa kita untuk jatuh chenta dengan amalan-amalan kebaikan yang telah kita latih dan semaikan sepanjang satu bulan ini. Tilawah dan tadarus Quran, bangun malam, amalan bersedekah, bertukar-tukar juadah dengan anak dara Pak Cik Termizi Bustamam, menahan, melatih dan mendidik nafsu dan segala tok nenek amalan kebaikan yang kita sungguh-sungguh lakukan di bulan Ramadhan, wajar diteruskan sepanjang tahun.

Berakhirnya kita menuntut di madrasah Ramadhan nanti, kita selayaknya memegang segulung ijazah, bukan untuk dibingkaikan dan digantung di dinding ruang tamu utama, tetapi untuk kita kita bawa ke mana-mana sahaja kita pergi, sebagai manifestasi yang kita sudah berjaya ditarbiyah oleh Ramadhan. Keluarnya kita dari madrasah Ramadhan nanti, sewajarnya kita menjadi seorang makhluk yang lebih baik dan osem daripada yang sebelumnya!

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa."
[al-Baqarah, 2:183]


Ya, Ramadhan adalah untuk orang-orang yang bertaqwa. Dan untuk mereka yang mencari dan memburu taqwa. 

Orang-orang terdahulu sudah pon berjaya merangkul gelaran taqwa itu. Tidak mengapalah sekiranya kita belum lagi dimuliakan oleh Allah dengan gelaran itu, kerana inilah masanya untuk kita mendapatkannya! Senyum kenyit mata.

Selamat berpuasa dan menghidupkan Ramadhan anda! Err.. Korek idung batal puasa tak..? Eh. [Kredit]

Cukuplah lima sebab untuk membangkitkan keghairahan anda menyambut kedatangan Ramadhan. Bagaimana..? Sudah terujakah anda? Adakah kini anda terasa seperti mahu melompat-lompat kegirangan dan menjerit yabedabedu kerana tinggal beberapa jam sahaja lagi Ramadhan akan membuka tirainya..? 

Eh eh, anda nak ke mana tu Inche gabbana..? Tergesa-gesa dan lintang-pukang nampaknya tu..?

Lah, nak kena mana lagi..?? Saya nak sediakan pasukan kompang dan bunga manggar, dan saya mahu bentangkan permaidani merah tebal tujuh inci untuk menyambut ketibaan Ramadhan..! Mari..?

Ahlan ahla ya Ramadhan! Wa marhaban bika! 

-gabbana-

Tahun lepas alhamdulillah saya dapat merasakan kemanisan dan kelazatan Ramadhan. Sumpah.

Semoga tahun ini Ramadhan sudi menjadi tetamu agung saya. Semoga Ramadhan kali ini jauh lebih baik buat diri saya daripada tahun-tahun yang sebelum ini!

Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak 1433H anda semua! Semoga ia membawa seribu satu keberkatan, kegembiraan dan kechentaan kepada anda seisi keluarga! Semoga kita semua lulus dengan cemerlangnya daripada Universiti Ramadhan nanti!

Ayuh kita semarakkan Ramadhan!

2 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 20/07/2012, 16:10  

selamat berpuasa Inche Gabbana ^^
trimas atas peringatan2 yg saaangat osem = )

Anonymous 20/07/2012, 18:22  

semoga kita sama2 memburu kelazatan ramadhan kali ini pula.. :) selamat berpuasa..

p/s: menarik! gud job. ^_^

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP