3 July 2012

Ku Sangkakan Sudah Ku Lepasi Fasa Itu

[Kredit]
(Amaran: Post ini panjang super. Sikit lagi nak buat novel. Sila sediakan popkon dan gula-gula getah beserta sebotol air osmosis terbalik)

Saya kira cabaran berhadapan dengan keluarga adalah antara cabaran terbesar dan yang paling mengalirkan peluh di kalangan ikhwah dan akhawat. Espeseli untuk mereka yang bukan ikhwah atau akhawat sejak dalam kandungan.

Dalam hal ini, ada beberapa post yang telah saya nukilkan. Antaranya, 'Parti Politik Mak Bapak,' 'Antara Kita Dan Beruang Polar' dan 'Cik Adik Perempuan.' Dalam post-post ini telah saya ceritakan dan kongsikan tips-tips untuk berhadapan dengan situasi sebegini, di samping pengalaman peribadi saya mengharungi cabaran yang menggarukan kepala ini. 

Baru-baru ini saya telah berpeluang untuk berhubungan dengan salah seorang hadek terchenta menerusi telefon. Tujuan asal saya menghubunginya adalah untuk mengenalpasti punca utama mengapa dia gagal untuk dihubungi pada hari sebelumnya. Dia lantas menceritakan kepada saya betapa sekarang ini dia sedang melalui fasa yang agak sukar bersama keluarga; Puan Ibunya, err, bolehlah dikatakan melarangnya untuk keluar rumah berprogram atau mengikuti bulatan gembira. Katanya, hal ini ada kemungkinan kerana dia kurang menunjukkan qudwah di rumah di samping tidak menghabiskan banyak masa berkualiti bersama keluarga.

Saya cuba untuk menenangkan hatinya. Kata saya, ini adalah fasa yang akan dilalui oleh semua orang yang bergelar dai'e; fasa berpolitik dengan keluarga terchenta. Kata saya lagi, dia perlu amat bersabar dan berhemah menghadapi situasi ini kerana ia akan mematangkan dirinya atas jalan dakwah ini. Alhamdulillah, menurut saya, saya telah pon melalui fasa ini dan saya  yakin, anda (hadek tadi) juga akan berjaya melaluinya dengan penuh bergaya sekali.

Oh tidak saya ketahui, kenyataan saya itu bakal membunuh diri. Bukan bahagian yang hadek saya Insha-Allah akan dapat mengharung fasa keluarga yang sungguh getir itu dengan warna-warna berterbangan (Baca: Flying colors), tetapi bahagian yang saya telah pon selesai melalui fasa tersebut. Peluh gemok mengalir laju.

Tidak lama selepas perbualan dengan hadek tersebut, saya bercurahan hati pula dengan Puan Mama. Dan Puan Mama telah memaklumkan sesuatu yang ibaratnya seperti seguni beras lima puluh kilo menghempap kepala saya - perihal Inche Papa, bahawasanya dia sedang merajuk dengan saya. Gulp. 

Banyak yang telah saya tuliskan tentang Puan Mama dan Cik Adik Perempuan. Kepada pembaca tegar belog ini, saya tidak hairan sekiranya anda terlanggar bahu dengan Puan Mama di pasar tani atau kaki-kaki lima pantas dapat mengenali insan tersebut sebagai Puan Mana Inche gabbana. Eheh. Tetapi jarang sekali saya menulis panjang-lebar tentang Inche Papa.

Bukan kerana saya tidak rapat dengan Inche Papa. Malah saya berani kerat jari untuk menyatakan bahawa sayalah yang paling rapat dengannya sekiranya hendak dibandingkan dengan adik-beradik yang lain. Cuma.. Personaliti Inche Papa mungkin. Dia bukan seorang yang suka meluahkan perasaannya, tidak seperti Puan Mama (saya rasa hampir semua kaum bapa di luar sana adalah seperti ini bukan..?). Amat sukar untuk mentafsirkan perasaan dan keadaan emosi semasanya. Dan respon yang diberikannya juga, err, kurang unsur-unsur emosi dan perasaan di situ. Atas sebab itu juga, amat jarang anak-anaknya meluahkan sesuatu yang peribadi kepadanya; selalunya Puan Mamalah yang menjadi mangsa.

Mungkin kerana itu saya jarang menulis tentangnya. Tetapi tidak bermakna hubungan saya dengan Inche Papa dingin atau renggang. Sekurang-kurangnya itu pada pandangan saya. Arakian pendedahan oleh Puan Mama baru-baru ini cukup mengejutkan saya. Cukup sensasi hingga berjaya menggugah iman dan meresahkan perasaan. Hati saya pantas berbolak-balik dan tidak senang untuk duduk di satu-satu tempat. Pendek kata, selepas mendengar pendedahan Puan Mama itu, saya jadi tidak keruan.

Menurut Puan Mama, Inche Papa cukup terasa dengan ketidakberadaan saya di rumah, dek ke hulu dan ke hilir berprogram. Terbaru, apabila saya terpaksa keluar setiap malam untuk menguruskan sebuah program dan kemudian mengambil cuti pula untuk berjaulah ke Terengganu bersama hadek-hadek terchenta. Kata Puan Mama, (dupdap dupdap berdegup jantungku):

"He thinks he has lost you."

Allahu Allah. Air mata mengalir laju. Dan kata Puan Mama lagi, Inche Papa mengalirkan air mata ketika melafazkan kata-kata itu. Gulp.

Adoyai siapa pula yang sibuk mengemas sekarang ni, habis debu dan habuk-habuk berterbangan.

Kata Puan Mama lagi, Inche Papa mendakwa yang sekiranya 'ustaz' saya mengeluarkan arahan untuk saya berhenti kerja, pasti ketika itu juga saya akan berhenti. Wahai, siapalah agaknya ustaz itu kan..? Peluh kecil mengalir perlahan.

Puan Mama juga mengaitkan apa yang sedang berlaku ini dengan kadar tekanan melampau yang sedang dihadapi oleh Inche Papa. Kata Puan Mama, sehari selepas Inche Papa meluahkan hal itu kepadanya, gunung berapi Krakatau meletop dan larva dan debu-debunya jatuh menimbuni Cik Adik Perempuan. Eh.

Maafkan saya yang banyak mengarut ini. Jujur jiwa saya juga kacau ketika menulis ini.

Menurut Puan Mama, harapan dia dan Inche Papa sangat tinggi terhadap saya. Betapa mereka mahu melihat saya berjaya menaik tangga dunia keparat korporat dengan penuh bergaya. Tiada masalahnya, tegas Puan Mama, untuk berjaya dalam dunia kerjaya dan pada masa yang sama menjadi seorang Muslim yang cemerlang bukan?

Dan saya hanya mampu menggelengkan kepala. Aduhai, seandainya mereka faham...

Hakikatnya, bukan mudah untuk menjadi [Inche gabbana]. Itulah yang saya rasakan selaku anak kedua daripada tiga orang adik-beradik dalam keluarga Inche Papa dan Puan Mama.

Sukar untuk saya katakan ini. Dan jujur, saya tidak suka untuk meluahkan ini. Tapi demi menggambarkan betapa situasi saya yang tersepit dan terhimpit ketika ini, izinkan saya untuk berkongsi sedikit-sebanyak apa yang terbuku di hati.

Di dalam keluarga, sayalah biri-biri hitamnya. Tetapi dalam konteks keluarga saya, hitam tidak bermakna jahat atau keji. Hitam bermakna lain dari yang lain. Semenjak di sekolah rendah lagi, saya sudah menunjukkan tanda-tanda yang saya akan pergi jauh, lebih jauh berbanding adik-beradik dan kawan-kawan yang lain. Ehem. Dilantik menjadi Ketua Pengawas, juga pernah mewakili Selangor dalam Pertandingan Bercerita Kisah-kisah Al-Quran. Hal ini pernah saya nukilkan di dalam post 'Inche gabbana Yang Suka Bercereka'.

Kemudian saya ke Sekolah Bintang bagi melanjutkan pelajaran menengah saya. Ditakdirkan, ia adalah institusi yang sama yang pernah mendidik Inche Papa suatu ketika dahulu. Agak ajaib dan mengagumkan, kerana Inche Papa tidak pernah memohon untuk memasukkan saya ke situ. Dan kecemerlangan saya diteruskan di sini; lapan A dalam PMR, mewakili sekolah dalam pelbagai jenis tok nenek pertandingan dan kejohanan dan kemuncak rasa riya' dan takabbur pax Romana ini adalah apabila saya dilantik untuk menjadi Ketua Umum dan dipilih pula menjadi Pelajar Serba Bidang ketika itu. Saya masih ingat, sijil penghargaan ketika Majlis Anugerah Cemerlang bagi menghargai pencapaian saya ketika itu telah disampaikan oleh Dato' Sri Najib 1Malaysia yang merupakan Menteri Pendidikan ketika itu.

Nah, anda beritahu saya, ibu dan ayah mana yang tidak bangga dengan pencapaian sedemikian? Tambah pula saya bersekolah dengan sekolah yang sama dengan Inche Papa. Mahu tak kembang hidungnya apabila berborak dan berbual dengan rakan-rakan lamanya? Malah untuk rekod, saya adalah satu-satunya anak 'murid tua' yang pernah menjawat jawatan Ketua Umum sepanjang sejarah penubuhan Sekolah Bintang. Saya masih menanti-nanti untuk rekod itu dipecahkan.

Maaf kalau anda terasa mual dan sudah mula mahu muntah oren, tetapi hatta ketika mengikuti Program Latihan Khidmat Negara sekalipon, saya tidak boleh tidak, terpaksa menjadi cemerlang. *koff koff* Di akhir program, saya telah dipilih menjadi pelatih terbaik bagi modul Kenegaraan. Itu pon, dari angin-angin yang lalu ke telinga, saya mendengar yang kononnya saya sepatutnya dipilih menjadi pelatih terbaik keseluruhan. Tetapi dek hubungan rapat saya dengan kaum perempuan ketika itu (sila ternganga mulut sekarang juga!), para jurulatih merasakan saya tidak sesuai untuk menerima anugerah tersebut. Ohoi.

Kejayaan dan pencapaian diteruskan apabila saya melanjutkan pelajaran ke sebuah kolej A-Level yang cukup berprestij di negara ini, di bawah tajaan sebuah konglomerat terkenal negara. Di situ saya dipilih pula untuk menjadi Presiden bagi badan perwakilan pelajarnya. Pendek cerita, saya telah ditawarkan pula untuk menyambung pelajaran Ijazah Sarjana Muda saya di salah sebuah institusi yang terbaik di seluruh dunia di Kerajaan Bersatu. Saya boleh bayangkan ketika ini, perasaan Puan Mama dan Inche Papa (espeseli Inche Papa) seperti mahu berlari-lari laju keliling padang sambil melompat riang dan menjerit sekuat hati. Ahah!

Percayalah, saya langsung tidak berasa bangga, hidung tinggi apatah lagi punggung besar ketika menukilkan semua ini. Entah, saya tidak berasa apa-apa ketika ini. Seperti yang saya katakan, ia semua bagi memberi gambaran yang jelas kepada anda semua.

Yang menjadikan semua ini lebih signifikan adalah kerana saya seorang sahaja di dalam keluarga yang memiliki pencapaian sebegitu. Tidak seperti keluarga lain yang kadang-kadang hampir semua adik-beradiknya berjaya dengan cemerlang sekali, hal ini tidak berlaku di dalam keluarga saya. Ya, saya seorang sahaja yang ke Sekolah Berasrama Penuh, saya seorang sahaja yang menyambung pelajaran ke luar negara dan saya seorang sahaja yang memiliki segulung Ijazah Sarjana Muda (sehingga ini).

Dan di samping itu, sayalah di kalangan adik-beradik kami yang paling rajin melayan Inche Papa. Saya yang selalunya menemaninya ke kedai mamak untuk minum-minum teh tarik atau bersarapan bersama. Saya sahajalah yang boleh berborak dengannya dari lelaki ke lelaki (Baca: Man to man). Saya juga yang selalu mengikuti Inche Papa dan Puan Mama ke mana-mana mereka pergi, termasuklah ke kenduri-kendara walaupon sudah besar panjang sebegini. Maka tidak hairanlah apabila Puan Mama mendakwa yang Incha Papa benar-benar terkesan dengan ketidakberadaan saya selama ini.

Uhm uhm.

Sekarang boleh anda bayangkan tekanan yang berada di bahu saya? Dan boleh bayangkan perasaan dan berkecamuknya jiwa saya apabila Inche Papa melafazkan "I have lost him"...?

Aish, sudah habis mengemas, hiris bawang pulak ke kak oii..??

Situasi ini lebih menarik dan signifikan untuk dibincangkan dalam konteks menjadi dai'e marcapada ini. Saya kira, hubungan kekeluargaan yang terjalin pada hari ini banyak bezanya dengan bagaimana Puan Mama dan Inche Papa kita sewaktu ketika dahulu. Pertamanya, hubungan mereka dengan kedua ibu dan ayah mereka seakan-akannya suatu hubungan formal; seolah-olahnya ibu dan ayah adalah suatu profesion. Hal ini mungkin disebabkan faktor sosial dan ekonomi zaman dahulukala di mana ibu dan ayah ketika itu kebanyakannya bekerja berat di sawah dan ladang, menyebabkan mereka tidak punya masa yang banyak dengan anak-anak mereka.

Keduanya, status ibu dan ayah adalah sesuatu yang sangat mulia dan dilihat seperti suci dan tidak boleh diganggugugat (Baca: Divine) dan seolah-olah ada dinding penghalang antara mereka dan anak-anak mereka. Ayah sebagai ketua keluarga mempunyai suara dan kuasa autoriti yang tidak boleh dicabar dan wajib dipatuhi. Dan ketiganya, Puan Mama dan Inche Papa kita yang dahulunya jauh lebih matang sekiranya hendak dibandingkan dengan kita pada hari ini (Tak boleh nak bayangkan Puan Mama dahulu berlari-lari anak gembira sambil menghisap lolipop.. Peluh.). Kebanyakan mereka berkahwin awal, terpaksa menggalas tanggungjawab dan amanah sebagai ketua keluarga di usia yang muda dan ada di kalangan mereka yang terpaksa meninggalkan alam persekolahan kerana mahu bekerja untuk menampung keluarga.

Semua ini amat berbeza dengan persekitaran pada hari ini. Kebanyakan daripada Puan Mama dan Inche Papa kita dasawarsa ini jauh lebih senang berbanding dengan Puan Nenek dan Inche Atok kita. Pekerjaan mereka tidaklah memerlukan mereka untuk membanting tulang empat kerat untuk mencari sesuap nasi. Hal ini menyebabkan mereka punya lebih masa untuk dihabiskan bersama anak-anak. Dan pengaruh keibubapaan dari Barat telah menjadikan mereka lebih terbuka dan mesra dengan anak-anak, tanpa mengorbankan rasa hormat anak-anak pada mereka (walaupon sebenarnya benda ni Islam dah ajar lama dah!).

Hal ini telah menjadikan hubungan kekeluargaan di zaman ini amat berbeza sekali. Anak-anak lebih rapat dengan kedua orang tua mereka. Pada masa yang sama, kedua ibu bapa mengawal penuh pergerakan anak-anak mereka dan sentiasa ingin mengambil tahu pergerakan dan aktiviti-aktiviti yang disertai oleh anak-anak mereka. Setiap program yang disertai akan diselidiki dengan penuh teliti. Seusai sesuatu program atau aktiviti, mereka menjangkakan laporan penuh siap dengan tandatangan dan cop mohor rasmi daripada anak-anak mereka. Eheh. Bukan sedikit hadek-hadek yang sedang berprogram, mendapat panggilan daripada Puan Mama atau Inche Papa mereka yang ingin mengambil tahu perihal anak-anak kesayangan mereka.

Pada dasarnya, kerisauan dan rasa ambil berat mereka ini amat baik. Mereka amat menyayangi anak-anak mereka dan tidak mahu mereka ini terjebak dengan aktiviti dan gejala yang keji lagi menghinakan (amboi bahasa!). Maknanya, kerisauan dan sikap mahu ambil tahu mereka ini dibina atas asas yang betul dan terpuji; mereka amat mengasihi anak-anak mereka. Cuma apa yang berlaku, sikap ambil berat dan tidak senang duduk mereka ini kadangkala bertukar menjadi paranoid lantas menyekat kebebasan dan perkembangan anak-anak mereka.

Walau sebrutal mana Inche Papa anda, ketahuilah, jauh di sudut hatinya, dia amat menyayangi anda. [Kredit]

Dan anak-anak mereka, yang sudah sedia baik dan skema itu, mengikuti pula bulatan gembira yang sememangnya menerapkan dan menyemai akhlak dan sifat-sifat terpuji termasuklah menghormati ibu bapa dan berusaha sebaik mungkin untuk menggembirakan mereka, pastinya akan tersepit dan dirudung rasa bersalah tahap moksya dengan situasi sebegini. Memetik kata seorang hadek yang sedang bertarung menghadapi fasa keluarga yang getir ini:

"Macam mana ni akhi? Ana tak nak jadi dua't yang memberikan alasan tapi ana tak nak sedihkan mak ana. Ana dalam dilema yang teramat."

Aduhai hadekku, abangmu ini amat memahami situasi yang sedang kau lalui! Muntah hijau.

Inilah mujahadah wahai ikhwah dan akhawat. Kerana mujahadah bukanlah kita bersungguh-sungguh melawan sesuatu yang mudah dan kacang cap Menggelembu untuk kita. Permulaan mujahadah itu adalah apabila kita mula merasakan pedih, perit, letih dan susah dalam menghadapi sesuatu. Mujahadah adalah apabila kita terpaksa berkorban segala sesuatu bagi memastikan iman kita berada pada tahap yang sepatutnya. Mujahadah adalah bersungguh-sungguh melawan sesuatu yang bakal meninggalkan kesan yang cukup mendalam di dalam diri kita.

Dan inilah tarbiyah wahai ikhwah dan akhawat. Tarbiyah mengajar kita penyelesaian untuk menghadapi fasa keluarga yang cukup menggugah iman ini bukanlah dengan kita langsung meninggalkan bulatan-bulatan gembira dan konferens-konferens riang kita, bukan. Dan tarbiyah juga telah mengajar kita untuk tidak berlaku durhaka dan kurang ajar kepada kedua orang tua kita. Tarbiyah mengkehendaki untuk kita membuat pilihan yang terbaik antara keduanya, tanpa mengorbankan dan mengurangkan hak mana-mana pihak. Dan dek tarbiyah juga, kita tahu yang kita sebenarnya mampu untuk melakukannya.

Benar, bunyinya seperti mustahil bukan untuk memuaskan hati kedua orang tua, dan pada masa yang sama memenuhi tuntutan dakwah dan tarbiyah?

Benar, ibaratnya seperti melakukan kerja gila bukan untuk berkejar-kejaran ke sana ke mari semata-mata mahu memastikan semua orang dan semua pihak pon tertunai hak mereka?

Dan benar, seolah-olahnya kita sedang membunuh diri kita bukan apabila kita terpaksa mengorbankan perasaan, emosi dan seluruh jiwa dan raga kita hanya kerana mahu melihat orang tua kita gembira dan pada masa yang sama kita tidak mengabaikan tanggungjawab kita sebagai seorang dai'e..?

Ya, itulah jalan dakwah dan tarbiyah. Itulah jalan yang sedang anda lalui dan jalan yang anda mahu terus lalui. Ia jalan yang sumpah panjang dan dipenuhi dengan onak dan duri, tetapi anda tahu ia jalan yang menuju ke sorga yang abadi. 

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik."
[al-Ankabut, 29:69]

Jangan sesekali berputus-asa dengan jalan ini. Ia adalah jalan perjuangan, maka ia menuntut pengorbanan. Ia jalan yang penuh dengan onak dan ranjau, maka suka atau tidak, ia pasti akan melukakan dan mengalirkan darah. Dan ia jalan yang dipenuhi dengan tentangan dan cabaran, walau daripada kedua orang tua yang kita kasihi, kerana itulah sunnah jalan ini.

Kepada anda yang mengalami situasi yang sama seperti saya, selamat datang ke kelab ini saya ucapkan. Wahahaha.. Ketahuilah, fasa ini tidak mungkin akan berakhir, sehinggalah anda menghembuskan nafas anda yang terakhir atau anda berjaya menarik masuk kedua orang tua anda ke dalam gerabak dakwah ini. Saya belajar melalui jalan yang keras (Baca: I learn the hard way). Tapi walau apa pon keputusannya, jangan sesekali pandang ke belakang. Kerana tidak ada nikmat yang lebih besar daripada nikmat disentuh hidayah dan dipilih pula oleh Allah untuk bersama-sama di dalam saf perjuangan ini.

Manakala kepada anda yang tidak pernah merasakan betapa perit dan azabnya (Ohoi!) terpaksa berhadapan dengan situasi sebegini, jangan sesekali memandang rendah atau memperlekehkan sahabat-sahabat anda yang sedang bertarung berpolitik dengan ibu dan ayah mereka. Sama ada Allah tidak mahu menguji anda dengan ujian sebegitu kerana tahu anda tidak akan mampu menanggungnya (tersedak) atau ada ujian yang jaaaaaauuuhh lebih besar sedang menanti untuk menyambut anda dengan penuh keterujaan. Senyum keji.
 

Dan kepada Inche Papa, ketahuilah, tiada yang lain yang diinginkan oleh anakandamu ini melainkan mahu melihat ayahanda dan ibundanya bersama-sama riang gembira di mahligai sorga.

Tiada yang lain yang dikehendaki oleh diri ini melainkan melihat kedua-dua ayahanda dan ibunda meninggalkan dunia ini dalam keadaan redha dan diredhai.

Dan tiada yang lain yang dimahukan oleh diri ini melainkan keredhaan anda dan Puan Mama, kerana sesungguhNya keredhaan Allah itu terletak pada keredhaan anda berdua.

Tulus ikhlas dari hati yang suci.

"Ya Allah! Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya, atas didikan mereka padaku dan pahala yang besar atas kesayangan yang mereka limpahkan padaku. Peliharalah mereka sebagaimana mereka memeliharaku..."

Senyum, air mata mengalir perlahan.

-gabbana-

Berchenta juga mahu menghabiskan post ini. Alhamdulillah, berjaya juga ia disiapkan. Banyak lagi yang sebenarnya yang saya ingin nukilkan, tapi saya kira, cukuplah sekadar ini. Moga bermanfaat untuk anda membacanya. Dan moga menjadi obor penerang jalan buat anda yang memerlukannya.

Ya Allah, jangan kau matikan aku selagi aku tidak menjadi seorang anak yang soleh. Jangan kau matikan aku selagi aku belum habis berbakti kepada orang tuaku. Dan jangan Kau matikan aku selagi mereka tidak redha dengan kehidupanku ini...

Amin, ya robbal a'lamin. 

31 Caci Maki Puji Muji:

sayang mak dan ayah 03/07/2012, 17:46  

you know what Encik G,

saye terpaksa meng-fail-kan satu subjek saye supaya saye dapat extend sebulan kat u dan tak perlu pulang kerumah dalam tempoh masa yang panjang. cume seminggu ja dirumah.
satu keputusan yang sukar, dan orang mungkin melihat tu sebagai satu keputusan yang tak wajar, tapi saye perlu, untuk jaga hubungan saye dengan Allah, dan saye masih baru dan belum kuat...
bace post ni, serius, TT_TT

Anonymous 03/07/2012, 17:53  

the never-ending topic. moga Allah beri kekuatan pd kita semua.

sama mungkin? :( 03/07/2012, 17:57  

APA KONKLUSINYA INCHE GABBANA?
dah settlekan dgn inche PAPA?huhu

Anonymous 03/07/2012, 17:58  

apasal pedih sangat mata ni?

tak tahu lah bila saya balik for good di malaysia bagaimana..

saya rasa, anda minta maaflah dan berterus terang dengan inche papa anda sekarang juga!

doa Allah tunjukkan jalan..

ciksuehaoi™ 03/07/2012, 18:00  

conclusionnya?tetibe rasa homesick dan nak balik mesia pulak(=="

Anonymous 03/07/2012, 18:11  

T.T

Anonymous 03/07/2012, 18:28  

ALLAH..ujian yg sama yg tgh sy lalui..moga sme2 kuat

~daLucky0ne~ 03/07/2012, 20:07  

tetibe rase betapa pntingnya kebersamaan dgn famili tnpa m'abaikan dakwah....

Malaysian Boy 03/07/2012, 20:40  

sumpah panjang, semput gua baca.

Elijah Kayu 03/07/2012, 20:49  

Still fresh in my mind, how angry my dad was when he knows that I am active in d&t and I had daurah very often. What he thought was, this is just too much or I could say 'extreme'. He even came to few daurah I was attending just to pick me up, and brought me home. Yet alhamdulillah, I put my trust in Allah, I managed to handle the situation. It was really a critical period for us.

Right now I am far away from home, studying oversea. So I dont have any problem as so anymore.

But what makes me happy is that, my mom told me that somehow I managed to change dad, in a good way. Alhamdulillah, he is now a good muslim and slowly trying to absorb what I had tried to convey to him all this time.

Its a long long process :) InshaAllah, with efforts and du'a, Allah will make a way for it.

Lets pray for each other, and stay strong to those are having difficulties in this.

sis izzah 03/07/2012, 21:28  

huh..cam sama..

rasa sedih juga..
btw, dalam proses memahamkan keluarga.
moga kEluarga inchee dan kwn2, diberi kefahaman ^_^

Anonymous 03/07/2012, 22:53  

the time will come, when your father will realise what a real gem he has raised. but it may take forever mind you!
my grandparents betul2 faham apa yang my mom tgh buat (D&T) dan nampak kesan baik D&T tu lepas dah bercucu. 20 lebih tahun tu. salutelah kat my mom.

p/s: bawaklah ayah enta pergi program umum yg berkaitan sekali sekala. jadikan itu bonding session yang baru. jalan2 lepak surau sama2 atau gi jogging2 cite pasal qowiyyul jismi sure ayah enta bahagia over the moon wallaweh~

izyan.ariff 04/07/2012, 00:11  

judging ur stories and ur 'man2man' talks with inche Papa tu, you have a really good bond oredi.

mungkin just add on by telling him everything (or most if not all) that you do/think with regards to D&T.

it takes a while for them to understand, tp bila selalu cerita kehappyan jaulah2 + program2 that u had, iA the happiness will rub in. include him in. maybe not literally, sekadar mengupdate the things that ur doing iA :)

just my 25 sen :)

Dear bella 04/07/2012, 00:22  

situasi ni memg biasa berlaku dan susah utk handle... Jadi kena pandai2 explain kat mereka dan cara nak explain mesti sesuai dgn kotak pemikirannya... Tetapi dilema masih berlaku... antara nak pilih bersama ibubapa ataupun aktiviti usrah kita...

Fishy 04/07/2012, 07:00  

.." kepada anda yang tidak pernah merasakan betapa perit dan azabnya (Ohoi!) terpaksa berhadapan dengan situasi sebegini, jangan sesekali memandang rendah atau memperlekehkan sahabat-sahabat anda yang sedang bertarung berpolitik dengan ibu dan ayah mereka. Sama ada Allah tidak mahu menguji anda dengan ujian sebegitu kerana tahu anda tidak akan mampu menanggungnya (tersedak) atau ada ujian yang jaaaaaauuuhh lebih besar sedang menanti untuk menyambut anda dengan penuh keterujaan."

erk,jauh lbih besar? okay, mmg ckup SASPEN dgn knyataan ini.kne bsiap sedia!!!

Muharikah 04/07/2012, 08:43  

Lama dah tak baca kat sini. Kuncinya seimbang akhi. Gembirakan hati org tuamu. Be excellent in everything walaupun payah. Keluarga adalah backup dakwah kita dan cara dakwah kita dgn mereka tetap kepada masa yang kita berikan utk mereka

Ummi Rai 04/07/2012, 10:56  

Subhanallah,ana ingt ana sorg yg alami situasi ini.sungguh,ana rasa sedih dan keliru bila parents ana larang ana join bulatan gembira.tak mahu sakiti hati mereka dan pada masa yang sama cuba berjuang di medan dakwah.Allah,moga kita semua diberi kekuatan untuk hadapi semua ini.Syukran Inche G.

Kepada Inche G.. 04/07/2012, 12:49  

Salaam.

huhu, ana rasa lah kan, ini maknanya sudah tiba masa untuk anta mendirikan baitul muslim. vavavumm!!

eh. Bila [IG] dah ber-bm, barulah anta akan hilang sikit kerisauan keluarga anta [inche papa n puan mama]. Ye lah, bila dah berkeluarga insyaAllah inche papa akan lebih mengerti bahawa IG sudah punya tanggungan. Dengan cara ni, inche papa mungkin akan lebih melonggarkan sikit perhatiannya terhadap inche G, lantas IG boleh bergerak sesuka hati tanpa mengabaikan dan sakitkan hati mereka.

walaweh! ok x idea ni? hehe.

-u know who-

yg risau 04/07/2012, 14:17  

sy suka idea di atas. ahha :D

org kuantang 04/07/2012, 23:12  

wah, nampak gaye mcm dah sampai seru je IG nak ber-bm ;p

anak dara tua 05/07/2012, 00:32  

bila sampai2 tahap tertentu org tua kita nak main dgn cucu..

malaikat maut 05/07/2012, 00:35  

again..age juz number but maturity counts.

brothernaz 05/07/2012, 05:32  

inshaallah akan balik ke tanah air terchenta kurang lebih 3 minggu. Dan akan memperlihatkan perubahan mendadak kepada anggota2 keluarga. Kalau ikut skype pun, dah ada yg kata,"..dah macam orang tabligh..". Huhuuu...

Ok la kan, at least tak dipanggil extremist atau terrorist. Inshaallah!

Huhu.. dug dag dug dag. Peluh kecil ke besar ke banjir ke, ntahla. Yang penting, Allah redha. Allah redha. Allah redha.

SERAH SEPENUHNYA URUSAN KEPADA ALLAH SWT!

Anonymous 05/07/2012, 10:19  

hati mak ayah kena jaga. pastikan ada masa untuk family. dan masa itu perlu berkualiti. kalau dah setel dengan family, inshaAllah dia takde masalah bila kita keluar berprogram

NORA BELLA 06/07/2012, 10:45  

keep both balance

izreenaisya 05/08/2012, 02:06  

Ya Allah, jangan kau matikan aku selagi aku tidak menjadi seorang anak yang solehah. Jangan kau matikan aku selagi aku belum habis berbakti kepada orang tuaku. Dan jangan Kau matikan aku selagi mereka tidak redha dengan kehidupanku ini...

Amin, ya robbal a'lamin.

sophieDeCutazRazman 16/08/2012, 01:54  

sekolah bintang ?
STAR , IPOH ;)

Cikgu 'Aina 30/08/2012, 08:16  

zass..kereta lalu..dan pedihnye mata sy...

KUAT inche gabbana KUAT !!!

moga Allah bg kekuatan kpd anda selalu...

Anonymous 18/09/2012, 21:55  

kekuatan sangat diperlukan untuk mengharungi mereka...

kita mahukan terbaik, kita mahukan mereka faham apa yang kita lakukan...tapi ia bukan berjalan dlm sekelip mata..setahun 2 tahun , atau bila kita tidak tahu..

Doa pada Tuhan yang maha pengasih supaya hati mereka lembut untuk Kita anaknya...Demi islam tercinta


Sangat memahami huhu..

Anonymous 04/01/2013, 00:26  

yes! he miss u damn much! TT_TT

Anonymous 06/01/2015, 18:42  

Kalau tak mati sampai habis berbakti kepada kedua ibu bapa..

Mungkin takkan mati la gitu.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP