8 September 2011

Aku Bukan Saorang Sejarawan

[Kredit]

Dalam mempelajari sejarah, anda perlu tahu dan sedar wujudnya unsur bias dalam penafsiran sesuatu fakta sejarah.

Malah sangat menarik untuk kita perhatikan perkataan sejarah dalam Bahasa Inggeris sendiri, History, adalah berasal daripada dua frasa yakni His dan Story. His-story. Cerita dia. 

Persoalannya, siapa punya cerita..?

Benar, fakta-fakta sejarah yang berbentuk di mana, bila dan siapa, sukar untuk kita mempersoalkan kesahihan fakta tersebut kerana selalunya fakta-fakta ini bersifat objektif. 

Tetapi yang menjadi masalahnya adalah persoalan apa; apa yang benar-benar berlaku pada tarikh dan di tempat tertentu. Persoalan ini amat mudah terdedah kepada penafsiran bias yang subjektif, bergantung kepada siapa yang menafsirnya.

Seperti kata Alex Haley dalam karyanya And I Quote:

"History is written by the victors." 

Sejarah ditulis oleh orang-orang yang menang..!

Saya terpanggil untuk menulis isu ini selepas mengikuti perkembangan yang berlaku dengan keadaan politik tanah air. Untuk pengetahuan anda, seboleh-bolehnya saya cuba mengelak untuk menulis isu-isu berbaur politik. Kerana politik juga seperti sejarah, malah boleh jadi lebih teruk lagi; amat mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur bias. Maka sukar untuk saya menulis dalam keadaan yang benar-benar neutral dan tanpa prejudis.

Tetapi disebabkan apa yang berlaku kali ini melibatkan sejarah - satu topik atau subjek yang amat saya minati - tidak boleh tidak saya terasa saya mesti memberikan pendapat dan pandangan saya yang tidak seberapa ini.

Umum mengetahui apa yang sedang mengambil tempat di pentas politik Malaysia; isu penafsiran semula sejarah kemerdekaan negara. Semuanya bermula gara-gara kenyataan berani mati Mat Sabu yang mengangkat Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan yang sebenar dan menuduh pihak polis yang mati di dalam peristiwa Bukit Kepong sebagai tali barut British kerana mati mempertahankan kepentingan penjajah tersebut. 

Sama ada Mat Indera adalah pejuang tulen kemerdekaan negara atau pengkhianat bangsa, itu bukanlah topik yang saya ingin bincangkan di sini. 

Secara jujurnya, sebelum peristiwa penuh kontroversi ini, saya seperti kebanyakan rakyat Malaysia yang lain juga. Rata-rata menerima peristiwa Bukit Kepong sebagai suatu tragedi kemanusiaan yang layak dikabungi negara. Tetapi selepas tercetusnya kontroversi seperti yang berlaku sekarang ini, banyak portal-portal berita alternatif, juga belog-belog informatif di luar sana yang cuba menghuraikan fakta sejarah melalui perspektif yang berbeza.

Hasilnya? Banyak maklumat-maklumat atau fakta-fakta penting dan menarik yang selama ini tidak pernah diketahui umum didedahkan. Arakian wujudlah satu gelombang baru yang mendesak penafsiran atau penulisan semula sejarah. Golongan ini menuntut kerajaan untuk mengkaji semula perjalanan sejarah tanah air dan menekankan peri pentingnya untuk fakta-fakta sejarah yang lebih adil dan terbuka didedahkan kepada umum.

Tetapi seperti kata Oscar Wilde:

"Any fool can make history, but it takes a genius to write it!"

Bermotifkan Politik? 
Saya berpeluang untuk berborak secara maya (Baca: Chatting) dengan seorang rakan lama dari Kolej Yang-namanya-dirahsiakan. Perbualan kami berkisarkan isu yang sama; bagaimana sejarah boleh dimanipulasikan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.

Saya tabik hormat tiga jari pasukan pengakap kepada sahabat saya itu. Pada pendapat saya, dia mempunyai pendirian yang neutral dalam isu ini, dan saya amat kagumi dan hormati pendiriannya itu. Walaupun sebelum ini saya merasakan dia mempunyai pendirian politik berhaluan kiri, tetapi dia adil ketika memilih untuk mentafsirkan sejarah.

Itulah yang tidak ada pada ahli-ahli politik kita yang sedang hangat dan rancak berdebat sekarang ini - kemampuan untuk bersikap benar-benar neutral dan adil.

Tipulah sekiranya anda mendakwa PAS (atau Pakatan Rakyat) tidak ada motif atau kepentingan politik yang tertentu dalam mendesak kerajaan mengkaji semula penulisan sejarah tanah air. Malah mereka sendiri mengeluarkan kenyataan yang mereka akan memastikan sejarah akan ditulis semula seandainya mereka menang dalam pilihanraya yang akan datang.

Persoalannya, mengapa sekarang..? Mengapa tidak sejak dahulu lagi? Mengapa isu ini baru dimainkan sekarang? Sekiranya isu ini benar-benar penting dan perlu bebas daripada prejudis dan pengaruh pihak-pihak tertentu, mengapa PAS kelihatannya bersungguh-sungguh mahu memperjuangkan isu ini hingga ke liang lahad..?

Saya rasa anda cukup bijak untuk menyedari kekuatan pada seorang ahli politik atau parti politik adalah kehebatan mereka dalam memainkan isu. Dan isu sejarah yang sedang disilatpulutkan sekarang ini tidak lain hanyalah untuk memenui agenda politik pihak tertentu.

Pendapat saya secara peribadi, PAS tidak bijak dalam merendah-rendahkan peranan yang dimainkan oleh mereka yang terkorban dalam perisitwa Bukit Kepong, mahupun peristiwa-peristiwa di zaman silam yang lainnya. Seperti yang katakan di awal tadi, kebanyakan rakyat Malaysia sudah terpahat di dalam otak mereka bahawa mereka ini dibunuh dengan kejam oleh pihak komunis. Merekalah hero, pahlawan, jagoan yang bermatian untuk mempertahankan kedaulatan tanah air.

Tidak mustahil disebabkan tindakan PAS ini, ramai yang beralih sokongan kepada UMNO. Kerana isu sebegini dilihat taboo dan sensitif, terutamanya apabila ia dikaitkan dengan pengorbanan anak bangsa dalam mempertahankan negara. 

Benar, apa yang sebenarnya berlaku masih kekal misteri. Terdapat pelbagai pendapat dan tafsiran tentang apa yang sebenar-benarnya terjadi. Tetapi saya melihat PAS sewajarnya lebih bijak dalam mengatur strategi dalam bermain dengan sentimen sebegini. 

UMNO (atau BN) juga dilihat kurang cekap dalam menangani isu ini. Dalam mempertahankan figur-figur dan peristiwa-peristiwa sejarah yang tertentu, jelas mereka tampak tidak matang, kebudak-budakan dan membabi-buta dalam menegakkan pendirian mereka. Sebagai pihak pemerintah yang sudah memegang tampuk kekuasaan sejaka zaman merdeka lagi, sewajarnya mereka lebih adil, pro-aktif dan tenang dalam menghadapi isu ini. Jelas sekali mereka tampaknya kalut dan menggelabah, sama menggelabahnya ketika Bersih 2.0 yang lalu. Semuanya kerana mahu menjaga kepentingan diri sendiri! 

Kedua-dua pihak jelas berdegil dengan versi sejarah mereka. Masing-masing mendakwa versi merekalah yang benar dan sepatutnya dijadikan rujukan rasmi untuk semua. Dari satu sudut, saya melihat ini sebagai perkembangan positif kerana ia merancakkan lagi perdebatan dan perbincangan tentang sejarah tanah air. Tetapi yang menjadi kerisauannya apabila kedua-dua pihak ini bertelagah, yang menang jadi abu, yang kalah jadi arang nanti!

Awas! Seronok dan terlalu leka bermain dengan api, nanti diri sendiri yang terbakar!

Tafsiran Semula Sejarah 
Saya tidak menolak, malah menyokong penuh cadangan untuk mengkaji semula perjalan sejarah tanah air. Masakan tidak; tidak terujakah anda untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku kepada bangsa dan negara kita di masa silam? Tidak teringinkah anda untuk membongkar khazanah sejarah masa lalu yang mengandungi seribu satu maklumat tentang asal-usul anda? Tidak mahukah anda membebaskan diri dari kepompong kejumudan yang selama ini dimomok-momokkan dengan fakta-fakta buku teks sejarah Kementerian Pelajaran Malaysia..?? 

Saya teruja. Saya teringin. Dan saya mahu..!

Ketika membaca buku Sejarah Nusantara hasil nukilan Dr. Hafidzi Md. Noor, banyak pandangan dan perspektif saya tentang sejarah berubah. Saya merasakan seolah-olah saya baru sahaja belajar sejarah Nusantara selepas membaca bukunya itu; seolah-olah apa sahaja yang saya ketahui selama ini hanyalah tipu dongeng semata-mata.

Kerana itu saya menyokong penuh usaha-usaha untuk mengkaji semula perjalanan Sejarah tanah air. Dalam peristiwa Tok Janggut misalnya. Para pengkaji sejarah orientalis rata-rata melabel Tok Janggut sebagai pengkhianat bangsa, apatah lagi apabila Sultan Kelantan sendiri yang merestui usaha-usaha pihak British untuk menghapuskan Tok Janggut. Tetapi para sejarawan tempatan bersetuju sebulat-suara mengatakan yang Tok Janggut adalah tokoh terbilang pembela bangsa! Pengorbanannya bukan pengorbanan yang sia-sia dan wajib dikenang oleh generasi bangsa setiap masa dan ketika!

Tok Janggut: Pengkhianat negara atau mujahid setia? [Kredit]

Pengkajian semula sejarah akan membuka ruang dan peluang untuk kita mengetahui sejarah negara dan bangsa kita dengan lebih telus dan adil. Dan ini amat penting kerana hanya dengan menguasai sejarah sebegini sahajalah kita dapat menghargai dan menghayati peri pentingnya perjuangan dan pengorbanan tok nenek kita dahulu dalam mempertahankan tanah air yang terchenta.

Bak kata George Santayana:

"Those who cannot remember the past are condemned to repeat it!"

Namun saya skeptikal dengan pelaksanaan pengkajian semula ini, sekiranya ia benar-benar akan berlaku. Adakah penfsiran semula ini akan benar-benar bebas daripada pengaruh dan agenda pihak-pihak tertentu? Adakah penulisan semula sejarah tanah air akan betul-betul adil, telus dan terbuka? 

Saya merasakan perkara ini mustahil untuk dilakukan atas dua sebab yang utama:

1) Mereka yang mengusai sejarah, merekalah yang menguasai dunia. Maka amat sukar untuk kita percaya kerajaan dapat memastikan kajian semula ini dapat dijalankan dengan benar-benar adil dan telus. Kerana saya yakin kerajaan juga ada agenda-agenda tertentu yang mahu mereka penuhi. Periuk nasi mereka perlu dijaga! Pekung di dada jangan dibuka! 

Bayangkan, sanggupkah kerajaan membuka semula fail-fail lama tragedi Memali, kes al-Maunah di Bukit Sauk, tragedi 16 September, Ops Lalang, pembubaran UMNO dan banyak lagi noktah-noktah sejarah negara, hanya kerana mahu memastikan sejarah yang lebih adil dapat ditulis? Sanggupkah mereka mendedahkan kepincangan-kepincangan yang ada kepada rakyat secara terbuka?

Tepuk pipi sampai lebam dan bangunlah daripada mimpi siang anda kerana saya tidak fikir begitu.

2) Dan meskipun kerajaan dapat memastikan kajian yang benar-benar adil dan telus dapat dilaksanakan, masih ada satu masalah besar yang akan berlaku dalam penafsiran semula sejarah; masalah bias.

Sehebat mana pun seorang sejarawan itu, pandangan dan kajiannya pasti akan berat kepada pola cara pemikirannya. Sekiranya dia adalah seorang yang konservatif misalnya, bukan satu kehairanan apabila tafsiran sejarahnya juga lebih bersifat konservatif dan tradisional. Begitu juga sebaliknya. Seorang sejarawan yang lebih liberal pasti mempunyai tafsiran yang lebih radikal dan moden. 

Maka tidak hairanlah, dengan isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini, kita dapat melihat di kalangan ahli akademik dan para sejarawan sendiri bertelagah dan tidak dapat sebulat suara tentang apa yang sebenar-benarnya berlaku. Kerana mereka punya pandangan sendiri dan tidak keterlaluan saya mengatakan, mereka juga ada agenda dan integriti yang perlu dijaga. Dalam aspek ini, tiada bezanya mereka dengan politikus-politikus yang sedang hangat bertikam lidah..!

Sedangkan sirah Nubuwwah juga tidak terlepas dari unsur bias dan pelbagai tafsiran, inikan pula sejarah tanah air yang tidak syak lagi amat mudah terdedah dengan manipulasi dan eksploitasi pihak-pihak tertentu!

Apa Peranan Kita..?
Dalam menghadapi isu-isu sebegini, sebagai anak muda dalam era moden yang lebih terbuka dan berintegriti, amat penting untuk kita menjadi seneutral yang boleh. Anda perlu sedar isu yang dimainkan marcapada ini tidak lebih hanya gimik politik, terutamanya dengan prospek pilihanraya umum yang bakal menjelang. 

Namun saya melihat ini sebagai peluang yang baik untuk kita membongkar kembali perjalanan sejarah negara. Tiada salahnya, malah menjadi hak kita untuk mendapatkan fakta yang benar-benar sahih tentang tanah air yang kita cintai ini.

Kerajaan tidak sepatutnya takut atau khuatir dengan desakan untuk membuat kajian semula ini. Malah mereka sewajarnya memberikan sokongan penuh tanpa kompromi. Saya melihat ini sebenarnya peluang baik untuk mereka membersihkan nama mereka yang tercemar sebagai kerajaan diktator dan berpendirian Machiavellistik, terutamanya selepas peristiwa Bersih 2.0 tempoh hari.

Dan seandainya kita tidak boleh jadi neutral sekalipun, sebelum kita memilih untuk berpihak kepada sesiapa, pastikan pendirian kita dibina atas fakta dan bukannya auta. Banyakkan bacaan anda, terutamanya bacaan ilmiah yang sahih dan berintegriti. Sudah tentu akhbar Utusan, Berita Harian, The New Straits Times, Harakah dan akhbar-akhbar yang dikuasai pihak tertentu tidak tergolong dalam kumpulan bahan ilmiah sahih dan berintegriti ini..! 

Sebagai seorang dai'e, saya juga melihat isu ini peluang baik untuk mengenali waqi' Malaysia dengan lebih baik. Ya, kita mungkin sudah 'arif' dengan sejarah turun naiknya ketamadunan Islam melalui ISK dan sebagainya, tetapi bagaimana dengan pengetahuan am kita tentang tanah air kita sendiri? Sudah cukupkah tsaqafah kita tentang pengorbanan nenek moyang kita dalam mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara?

Rugi besarlah kita yang mengambil pendekatan untuk tidak mahu mengambil tahu dengan apa yang sedang berlaku atas alasan ia tidak penting dan ada lebih banyak perkara yang lain yang perlu diberi perhatian. Kerana sesungguhnya ini adalah sejarah kita juga. Dan sejarah adalah satu sunnatullah; sunnatulah pastinya akan berulang. Rugilah seandainya kita langsung tidak bersedia apabila sejarah kembali berulang nanti!

Jangan lupa Malaysia adalah medan amal kita. Sekiranya kita benar-benar ikhlas dan bersungguh mahu menubuhkan sebuah negara Islam yang merdeka, pastinya ia bermula di Malaysia dan bukannya Sri Lanka, Uganda mahupun Kemboja. Maka penting untuk kita sekurang-kurangnya mengambil tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku sekarang ini. Penting untuk kita menguatkan jentera dan senjata kita dengan pengetahuan-pengetahuan asas tentang sejarah. Sejarah kita.

Kerana orang yang lupa dengan sejarahnya sendiri, pasti akan mengulanginya kembali. Dan seorang mukmin itu tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali!

Belajar sejarah itu altimet penting tahu..? Supaya kita tidak mudah diperkotak-katikkan oleh orang lain! [Kredit]

Saya tutup penulisan saya ini dengan butir-butir mutiara berharga seorang fuqaha' di zaman silam, Imam Abul Qasim al-Junaid:
"Sejarah merupakan salah satu daripada tentera Allah yang menguatkan hati."
Maka lihatlah sejarah dengan mata hati dan bukannya hawa nafsu. Kerana mereka yang menguasai sejarah dengan hati yang tulus, jiwa yang bersih dan akal yang dipandu dengan cahaya Ilahi, pastinya akan menjumpai khazanah berharga dan rahsia besar untuk menakluki alam semesta ini!

-gabbana-

Penulis adalah pensyarah tamu University of Oxford dalam bidang Sejarah Ketamadunan Moden. Eceh.

11 Caci Maki Puji Muji:

Liyana 08/09/2011, 13:01  

terbaik

Anonymous 08/09/2011, 16:22  

good job!

nota kaki:apa maksud waqi' dan tsaqafah?

Anonymous 08/09/2011, 20:39  

aci x include sej malaysia islami version (watever version la) dalam ISK yg dh sedia tebal tu?sejarah kita gak kan...

faisalzulkifli 09/09/2011, 07:22  

wah adam, bagus betul analisis bersahaja ko, memang x lekang membaca setiap kali kau tulis entri baru..bangga ada kawan cm kau..

whatever it is, memang adat politik melayu, hebat sungguh jentera media kerajaan umno apatah lagi yang keluarkan kenyataan itu from parti islam, abis-abisan dihentamnya..tapi buat apa nak heran, hatta profesor madya pun boleh quote statement daripada akhbar utusan daripada rujuk statement hj mat sabu sendiri dan konteks ceramah beliau..tapi fair enough la kan, memang kita org melayu memang camtuh dan suka benda2 yang sensasi sebegini, so buat apa nak kasi fakta betul kan..y penting nampak pandai bila cakap pasal sejarah..

entah-entah Hj mat sabu nih setiap kali hari kemerdekaan dia duk cakap pasal sejarah perjuangan mereka yang menentang sebarang bentuk kolonial, (macam kau sebut dalam entri nih) tapi tak pernah diberi kredit mahupun penghargaan, tapi kenapa kali ini pulak yang jadi isu?....bila manipulasi media berjaya perangkap, so UMNO tepuk tangan lah ..abis kena tempelak pas sokong komunis pulok,.,


well papehalpun, ini sekali lagi membuktikan, sejarah dicipta oleh sang penguasa. Orang politik. Sesetengah sarjana sekadar jadi garfu dan senduk untuk mengenyangkan perut dan tembolok sang penguasa.


p/s: siapa tahu mat indera tuh tahfiz and guru agama malah penasihat sultan johor kan?

Al-Fakir Hamidi 09/09/2011, 09:08  

salam.

hurm... nampaknya ana kena banyak membaca sejarah. antara subjek yang paling tidak diminati time spm. hukhuk...

to anon:
waqi'=keadaan semasa
tsaqafah=pengetahuan

Inche gabbana 10/09/2011, 01:28  

enonimus II: Sebenarnya dah ada pengisian Sejarah Nusantara, selalunya disampaikan oleh Dr. Hafidzi sendiri. Mmg torbaheeekkk tahap pencuci Daia! hehe..

tp mcm menarik gak cadangan anda tu. maybe boleh masukkan sket2, especially memana peristiwa yg boleh menaikkan semangat dan berikan kesedaran!

bergantung kekreativian kita juga sebenarnya! ;)

Inche gabbana 10/09/2011, 01:30  

cha: aku mcm tak percaya lak kau tulis komen ni. lain btol gaya bahasa ko..! hehe..

komen kau kurang neutral ah cha. hehe.. tapi aku appreciate pandangan kau. dan aku setuju mmg media dikuasai oleh BN.

yg lagi tak best pakcik2 dan makcik2 kampung, bahan bacaaan utama mereka utusan, BH, etc, dan hari2 tgk berita kat TV3, Rtm.. sapa yg tak terpengaruh..?

tanggungjawab kita ntok smpaikan berita yg adil dan telus pada mereka ni..! ;)

p/s: next year ko dah abes kan..? boleh lah beraya sekali... ^^

Inche gabbana 10/09/2011, 01:32  

hamidi: rugi wooo. sejarah besssst kot..! dan org yg tak blaja sejarah ni, takkan dapat hayati sepenuhnya kewujudan dia di muka bumi ni! hehe..

tsaqafah tu rasanya maksudnya luas x..? bukan ke 'tsaqafah al-fikr' tu maksudnya luas ilmu pengetahuan..? allahu a'lam, btolkan kalau salah..

faisalzulkifli 10/09/2011, 02:07  

tapi x semua perkara kalau neutral kena duduk tengah2 dam, neutral liyana mungkin lain dengan neutral hamidi, sebab penerimaan maklumat dan sudut pandang akan berbeza..ye dak?.. hatta di akhirat pun kena pilih syurga neraka, xde y jadi neutral pun kan?..

papehalpun dam, ini bukan isu baru pun, n dlm isu ini akan ada banyak hikmah though kelihatan parti islam kena serang abis-abisan sbb KONONnya sudah sokong komunis pulok..

bila lagi kita nak dengar cerita-cerita pejuang yang menentang penjajahan jepun dan british demi akidah dan negara kan?..

no worries dam, insyaa ada rezeki beraya lah aku di tanah air. walau sudah lama beraya di sini..kem slm mak ayah kau yeh..

hanz_alias 11/09/2011, 18:35  

:D, sejarah dikuasai yang menang, dan bias tu pun sentiasa ada.

sedangkan agama2 samawi juga menjadi mangsa biblikasi dan drama.

hanya al-qur'an jua yang terpelihara dari segala aspek termasuk sejarah nya.. :)

walau apa pun
sejarah memainkan peranan hidup sesuatu bangsa negara dan juga faktor kepada sesetengah agama..so, kena kaji baik2, dan jngan terlalu menerima bulat2 akan sejarah, banyak baca buku :D:D

fndrocka 13/09/2011, 07:49  

kata2 Mat Sabu mungkin boleh memakan diri..reaksi Umno juga boleh sja memakan diri..skrg ni terletak pada rakyat utk mengkaji.sekurang2 kurangnya ramai yg mula mengkaji & membaca sejarah!panas lah buku sejarah lepas ni

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP