29 April 2011

Domino's Yang Dimakan Di Bulatan Gembira Lebih Lazat Rasanya

Sila terliur sekian terima kasih. [Kredit Gambar]

Malam ini jika diizinkannya, saya akan ke Kolej Yang-Namanya-Dirahsiakan untuk berbulatan bersama hadek-hadek terchenta tersayang buat sekian kalinya, setelah lebih dua minggu tidak berbulatan gembira bersama mereka. Tidak sabar rasanya. Yalah, dah dua minggu kot tak berjumpa mereka..?? Orang tak jumpa bini seminggu pon dah naik gila, inikan pula hadek-hadek bulatan gembira..! Eh. Sila abaikan.

Selain hadek-hadek Kolej Yang-Namanya-Dirahsiakan, saya juga berbulatan gembira bersama hadek-hadek di Kolej Maha Busy. Bezanya antara mereka, hadek-hadek Kolej Yang-Namanya-Dirahsiakan berbulatan gembira bersama sejak awal-awal lagi, sedangkan hadek-hadek Kolej Maha Busy, mereka diserahkan kepada saya.

Perasaannya memang berbeza, membawa bulatan gembira yang diusahakan sendiri dan membawa bulatan gembira hasil didikan dan asuhan orang lain. (Walaupon sebenarnya bulatan gembira di Kolej Yang-Namanya-Dirahsiakan bukanlah usaha saya seratus peratus pon. Saya hanya mengikut atas (baca: Follow-up) mereka sahaja, hasil sentuhan saudara-mara Kerajaan Bersatu yang pulang bercuti pada musim panas yang lalu)

Tetapi kedua-duanya mempunyai keistimewaan dan kelebihan masing-masing. Sungguh, begitu banyak pelajaran yang saya peroleh daripada kedua-duanya. 

Secara jujurnya, saya rasa saya lebih banyak belajar dan mendapat faedah daripada bulatan-bulatan gembira yang saya bawa, daripada hadek-hadek itu sendiri. Kata orang, erti hidup pada memberi. Lebih banyak memberi, lebih beertilah hidup seseorang itu. I just couldn't agree more.

Saya masih ingat, sewaktu tahun kedua di Kerajaan Bersatu dahulu, saya berkongsi bulatan gembira dengan Inche J, di mana ketika itu saya berperanan sebagai, err, pembantu pendidik. Hohohoh.. Akibatnya, tidak banyak yang saya belajar, akibat ketidakbertanggungjawaban sendiri yang selalu sahaja mengharapkan Inche J untuk melakukan segala-galanya. Cuma dari segi bagaimana Inche J menangani bulatan gembira itu, ya, di situ banyak juga yang saya peroleh dan belajar. Melihatkan komitmen Inche J menyebabkan saya lebih bersemangat untuk berbulatan gembira sendiri pada semester hadapan.

Maka tahun berikutnya, dengan izinNya, saya diberi peluang untuk membawa bulatan gembira sendiri. Proses 'menjerat,' menangkap', 'menjala' dan 'memancing' bermula di Malaysia lagi, sebelum terbang semula ke Kerajaan Bersatu untuk tahun akhir di sana. Wahahaha.. Dan subhannallah, pengalaman membawa bulatan gembira sendiri adalah amat jauh berbeza dengan membawanya bersama orang lain.

Hadek-hadek bulatan gembira banyak mengajar saya erti kehidupan, tarbiyyah dan bermacam-macam lagi yang pastinya saya tidak boleh dapat di tadika kemas Taman Jaya. Eh. Saya menjadi lebih matang dengan berbulatan gembira bersama mereka. (Kenyataan satu perempat berani mati. Hohoho..)

Pernah suatu ketika saya mengadu kepada Inche W yang salah seorang daripada hadek bulatan gembira saya benar-benar menguji keimanan dan kesabaran saya. Saya seolah-olah hampir berputus-asa bagaimana mahu 'menjinakkannya'.

Dan anda tahu apa jawapan Inche W untuk saya..? Ok bersedia. Tarik nafas, hembuuusss. Tarrrikkk, hembuusss.. Ok. 1, 2, 3...!

"Kau ingat Allah saja-saja ke bagi si X (merujuk kepada hadek tadi) tu kat kau. Kenapa Dia tak bagi kau si Y ke, si Z ke, yang memang senang kau nak masuk ngan diorang tu. Tapi tak, Allah bagi kau si X juga. Kenapa? Sebab mesti ada benda yang Allah nak kau belajar daripada dia. Mesti ada benda yang tak setel dalam diri kau tu, yang Insha-Allah boleh disetelkan kalau kau tarbiyyah si X tu betul-betul.."

Zaaaaappppppppppp. Eh ada dengar bunyi apa-apa terkoyak tak...?

Air mata bercucuran laju tak terhenti-henti. 

Begitulah.

Melihat kembali ke belakang, terlalu banyak benda yang saya belajar hanya dengan membawa bulatan gembira sewaktu di Kerajaan Bersatu dahulu. Susah saya nak terangkan di sini dan susah juga untuk anda fahami selagi anda tidak berbulatan gembira dan tidak membawa bulatan gembira sendiri.   

Tetapi cukuplah saya simpulkan yang saya terlalu amat paling bersyukur diberi peluang yang satu itu oleh Allah untuk melalui satu fasa yang telah banyak merobah diri ini. Terima kasih Allah, kerana Kau beri peluang pada hambaMu yang hina dan marhaen ini.

Kini, walaupon terpaksa mengembara dua jam pergi dan balik ke Kolej Yang-Namanya-Dirahsiakan dan juga Kolej Maha Busy, tapi itu tidak apa-apa sekiranya hendak dibandingkan dengan mutiara-mutiara berharga yang saya kutip di sana. Setiap kali saya ke sana, saya amat yakin yang Allah bayar saya dengan tunai, sama ada melalui kefahaman atau semangat untuk terus bekerja. Oh saya tidak kisah sekiranya tiba-tiba ada seketul kereta Volkswagen Kumbang jatuh gedebup dari langit di depan mata..! Wahahaha.. Jelir lidah. 


Uh oh, comel kan gambar ni..?? Jom kita sama-sama semangat bekerja untuk Allah! ;) [Kredit Gambar]

Tetapi sungguh, kekuatan dan kesungguhan yang ada pada diri saya kini (kalau adalah.. peluh kecil) semuanya lahir dan bermula beribu-ribu kilometer dari sini. Di bumi asing yang tidak pernah saya sangka akan menemukan saya semula dengan Islam yang sebenar. Dengan makna hidup yang selama ini disorokkan daripada saya. Dengan kemanisan ukhuwwah yang tidak pernah dirasai di mana-mana.

Mungkin di hari lain, pada post yang lain, saya akan berkongsi lagi dengan anda secara lebih spesifik pengalaman saya berbulatan gembira di Kerajaan Bersatu. Yalah, kata orang tempat jatuh lagi kan dikenang, inikan pula tempat ditarbiyyah. Bukankah begitu..? 

-gabbana-

Apa kena-mengena dengan tajuk? Oh malam ini saya nak bawa pizza Domino's untuk dimakan bersama dengan hadek-hadek di bulatan gembira nanti..! Peace. 

Oh, selamat menyambut hari buruh kepada anda yang sudah menjadi kuli seperti saya ini! Wahahaha.. ^^"

28 April 2011

El Mensajero #1


Epilog: Mind the Gap!

Tiada kekuasaan selain Allah! [Kredit Gambar]

Sebastian menyelak pintu almarinya. Almari kayu vernier berwarna putih yang dibelinya di IKEA Wembley itu sudah mula menunjukkan tanda-tanda usang dan kusam. Manakan tidak, almari itu dibelinya lima tahun yang lalu menggunakan duit gajinya yang pertama. 

Masih segar dalam ingatan Sebastian bagaimana dia bersusah-payah mengangkut kepingan-kepingan papan vernier itu menaiki keretapi bawah tanah dan kemudiannya bas dua tingkat Double-Decker hanya kerana tidak mahu membayar upah penghantaran yang dirasakannya cukup mahal.

Sampai sahaja ke unit pangsapuri sewanya di Southwark, setelah bertungkus-lumus pula mengangkut almari yang belum siap itu menaiki tangga, dia terus memasang, mencantum-cantumkan kepingan-kepingan papan vernier itu menjadi almari, sepertimana yang dilihatnya di platform pameran di IKEA. Walaupun tidak sempurna dek kekekokan Sebastian menggunakan pemutar skru khas yang dibekalkan bersama, dia berasa puas kerana dia kini sudah memiliki almari yang bakal menempatkan pakaiannya yang sudah lama terperap di dalam dua buah bagasinya.

Itu lima tahun yang dahulu. Kini Sebastian berkira-kira untuk membeli almari yang baru. Koleksi pakaiannya kini sudah bertambah. Jeans-jeans yang dikumpulnya sejak lima tahun yang lalu sudah semakin banyak. Kemeja kasual, pakaian pilihannya untuk dipakai ketika hujung minggu dan malam-malam bersosial juga kini sudah mencecah belasan helai. Tetapi dia masih sayangkan almari putihnya itu. Cukup nostalgik. Almari itu sebagai ingatan buatnya yang datang berhijrah ke negara orang untuk menerokai dunia baru mencari sesuap nasi.

Dan Sebastian mempunyai tabiat menampal poskad-poskad yang dibelinya dari serata dunia di atas permukaan almarinya itu. Juga poskad-poskad yang dihantar oleh rakan-rakan dan keluarganya. Setiap kali dia menyelak pintu almarinya, matanya tidak pernah terlepas daripada melirik kata-kata semangat, atau pemandangan-pemandangan menyegarkan, atau binaan-binaan yang menakjubkan yang tertampal pada almarinya itu. Mana mungkin dia mahu menggantikan almari itu dengan almari yang baru. Memori. 

Sebastian membawa keluar penyangkut tali lehernya. Belasan tali leher tergantung kemas pada setiap besi unjuran kecil pada penyangkut itu. Sebastian berfikir sejenak sebelum menarik keluar tali leher sutera berwarna merah gelap, disulami dengan corak geometri kecil yang beraneka bentuk. Memang cukup padan dengan baju kemeja putih berkotak-kotak kecil yang dipakainya hari ini.

Terukir senyuman kecil pada bibir anak muda berusia pertengahan 20-an itu. Memilih tali leher yang sepadan dengan baju dan seluar adalah satu kejayaan kecil buat dirinya, saban hari. Begitulah rutin hariannya di hari-hari biasa. Bangun seawal 7.00 pagi, menikmati pancuran air panas sebelum bersiap untuk ke tempat kerja.

Dia menyemburkan minyak wangi Hugo Boss aroma campuran cengkih Mediterranean dan epal hijau segar sebelum mengkancingkan butang pada pergelangan baju kemejanya. Diambilnya pula kot panjang yang tergantung pada belakang pintu. Hari ini tentu sejuk, detik hatinya. Cuaca di luar kurang daripada 0o Celsius, menurut ramalan cuaca BBC yang sempat ditontonnya.

Selepas melilitkan selendang bulu biri-biri Scotland di leher, dia menyarungkan pula sarung tangan kulit hitam di tangan. Bergaya. Dia lantas terus menyambar beg silang kulit berwarna perang kehitaman yang dibelinya di Massimo Dutti pada jualan Boxing Day dua tahun yang lalu, di atas sofa baldu berwarna hijau gelap di hadapan set televisyennya. 

Dia sempat menjeling penampilannya pada hari itu pada cermin yang tergantung di koridor di pintu utama. Kacak. Getus hatinya. Bayangannya di cermin membalas senyumannya. Dia lantas membuka pintu dan berjalan keluar menuruni tangga, sebelum keluar daripada bangunan pansapurinya itu. 

Angin dingin bulan Januari menyapa wajahnya. Dia sedikit menggigil. Ramalan cuaca turut meramalkan salji akan turun pada hari itu. Sebastian benci hari yang sejuk sebegitu. Ketika ini dia berharap dia dapat menikmati sinaran matahari segar di kampung halamannya. Namun pada masa yang sama, jauh di sudut hati dia menggemari musim sejuk seperti itu kerana ketika itulah dia dapat bergaya sakan dengan pelbagai fesyen musim sejuk. Sebastian tersenyum sinis memikirkan kegilaannya itu.

Sebastian Alejandro Aragon berhijrah ke kota London demi mencari pengalaman baru yang lebih mencabar dan menyeronokkan. Selama hampir dua puluh tahun dibesarkan di daerah Albayzín, di Granada, Sepanyol, dia amat teringin untuk menjelajah dan menerokai dunia luar. Setelah membuat kajian dan pembacaan sendiri, ditambah pula dengan syor daripada rakan-rakannya, dia mengambil keputusan untuk mencuba nasib di kota London, kota metropolitan penuh warna-warni yang menjanjikan sesuatu yang amat berlainan daripada kehidupan serba sederhananya di Granada.


Kota Albayzín [Kredit Gambar]

Walaupun kedua orang tuanya pada mulanya menentang, mereka akhirnya akur selepas melihatkan kedegilan Sebastian dengan keputusannya itu. Malah ayahnya sendiri yang membelikan tiket penerbangan Iberia ke London. Berbekalkan ijazah sarjana muda dalam bidang Ekonomi dan Sains Perniagaan daripada Universiti Granada, dia amat berharap dia akan memperoleh kerja di London nanti. Timbul juga perasaan ragu-ragu dan tidak berkeyakinan beberapa hari sebelum dia berlepas pergi, namun dia tekad untuk meneruskan rancangannya. Tambahan pula dia sudah menghebahkan kepada semua rakan-rakannya tentang pemergiannya ke London. Malu besar dia nanti kalau dia membatalkan rancangan meganya di saat-saat akhir! 

Kali pertama dia menjejakkan kaki di kota London, perasaan sesal, cemas dan tidak keruan menguasai dirinya. Ketika tiba di Lapangan terbang Heathrow, melihatkan ratusan manusia yang memenuhi lapangan terbang tersebut, tergerak hatinya untuk membeli tiket pulang ke Granada semula ketika itu juga. Tetapi membayangkan wajah rakan-rakannya yang tertawa besar menyambut kepulangannya nanti, dia membatalkan hasratnya itu.

Mujurlah dia punya sepupu di London. Sepupunya itu cukup baik hati untuk menjemputnya di lapangan terbang dan menawarkan biliknya untuk dikongsikan dengan Sebastian. Sebastian berjanji yang dia akan keluar daripada bilik tersebut setelah dia berjaya mendapatkan pekerjaan. Dia tidak mahu menyusahkan sepupunya itu. Tambahan pula, dia telah berazam untuk berdikari semasa di London. Dia mahu belajar menjadi matang dan hidup bebas daripada kekangan keluarga.

Sebastian melihat jam di tangan. 7.34 pagi. Dia masih awal. Terlalu awal. Tidak mengapa, dia tidak suka bergegas-gegas dan berhimpit-himpit di dalam keretapi nanti. Perjalanan dari apartmentnya ke stesen keretapi Southwark, stesen yang terdekat dengannya mengambil masa kurang lebih tujuh minit berjalan kaki. Kadang-kadang, dia akan berjalan jauh sedikit ke stesen London Bridge, sengaja mahu menikmati pemandangan pagi di tepi sungai Thames.


Stesen keretapi bawah tanah Southwark [Kredit Gambar]

Dia mengeluarkan sekotak rokok dari saku dada kotnya. Sarapan pagi. Dia mengeluarkan sebatang rokok dan segera menyalakannya kerana tidak tertahan lagi dengan kesejukan pada pagi itu. Dia menarik dalam asap rokok cap Pall Mall, dan kemudian menghembuskan perlahan-lahan asap keluar daripada mulutnya. Asap yang keluar kelihatan lebih berkepul daripada biasa, dek cuaca yang sejuk pada pagi itu.

Seorang wanita separuh abad berkulit hitam sedang sibuk mempersiap gerai menjual buah-buahannya di lorong pejalan kaki tepi jalan utama Blackfriars. Pelbagai jenis buah-buahan segar dijualnya. Sebastian tersenyum melihatkan longgokan buah oren yang diletakkan di satu sudut gerai tersebut. Lantas terus memorinya melukiskan pohon-pohon naranja yang menghiasi kiri dan kanan jalan di kampung halamannya. Di musim bunga, tatkala matahari bersinar terik, sudah menjadi aktiviti wajib untuk Sebastian dan rakan-rakannya memetik oren yang sedang berbuah lebat untuk menghilangkan dahaga. Walaupun sedikit pahit, tetapi titisan jus buah oren segar sudah cukup untuk membuatkan mereka lupa akan rasa pahit yang terpalit di lidah.

Naranja Andalusia, mengukir seribu memori di tanah Europa! [Kredit Gambar]

Sebastian mencampakkan putung rokok dan memijaknya sebaik sahaja dia tiba di stesen. Dia menuruni anak tangga, mengeluarkan kad Oysternya yang diselitkan pada poket belakang beg silangnya dan menyentuh kad tersebut pada panel pintu otomatik. Dia melangkah masuk sebaik sahaja pintu otomatik terbuka untuknya. Di waktu itu stesen masih agak lengang.  Maka Sebastian tidak perlu tergesa-gesa untuk berebut menaiki keretapi. Tambahan pula, tidak ramai orang yang mengambil aliran Jubilee, jika hendak dibandingkan dengan aliran Picaddily atau Central.

Dia sempat menyambar senaskah surat khabar percuma di pintu masuk stesen tadi. Ketika menuruni eskalator untuk ke platform keretapi, telinganya sempat menangkap pengumuman yang dibuat oleh pegawai stesen:

"Please mind the gap...! Mind the gap..!"

[Kredit Gambar]


bersambung...

-gabbana-

Sudah lama saya tidak menulis cerita pendek seperti ini. Besar harapan saya, saya akan diberikan kekuatan untuk menghabiskan cerita pendek.

Berapa siri? Saya pon tak tahu lagi. Wahahaha.. Nantikan sambungannya.. Senyum.

27 April 2011

Perjuangan




Perjuangan ini dimulakan oleh seorang...

Kemudian disambung oleh beberapa orang...

Kemudian disebarluaskan menjadi ribuan, malah jutaan pejuang..

Kini cahaya Islam tertegak di muka bumi disebabkan oleh pengorbanan mereka yang tidak pernah kenal erti kepentingan diri sendiri.

Jiwa, nyawa, hati dan perasaan mereka diperhambakan untuk Allah, as-Rasul, Islam dan dakwah. Tiada yang lebih utama melainkan membebaskan manusia daripada perhambaan jahiliyyah, kepada perhambaan yang agung dan abadi kepada Allah!

Perjuangan mereka wajib diteruskan.

Pengorbanan mereka wajar dipanjangkan.

Kesetiaan mereka kepada agama dan kesungguhan mereka untuk dakwah yang suci ini mesti disambung..!

Tergamakkah kita untuk memutuskan mata-mata rantai perjuangan ini...??

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah...”
[ali-Imraan, 3:110] 


-gabbana-

Amat terkesan menonton video ini, yang saya cilok di sini. Sekiranya orang-orang kafir pon boleh bangun membela nasib saudara-saudara kita di Palestin, kita sebagai saudara seaqidah mereka sewajarnya melakukan lebih lagi daripada itu..!

Sumpah malu... Maafkan aku wahai saudara-saudara Palestinku! Air mata mengalir laju.  

(Tekan 'cc' untuk sarikata. Peace.)

26 April 2011

Selamat Datang Ke Kelab Bujang Bergaya!

[Kredit Gambar]

[Amaran tiga perempat keras: Post ini panjang lebar, hampir sama panjang dengan Tembok Besar China. Hanya baca apabila anda bosan tahap Suria Perkasa Hitam dan ada masa untuk baca sehingga habis sekian terima kasih]

Khamis lepas, selepas begitu banyak alasan dan dalihan, dan selepas begitu lama tertangguh, saya akhirnya berjaya juga memaksa Inche Q, hadek junior saya di Sekolah Bintang dahulu untuk janji temu makan tengah hari. 

Inche Q masih seperti dahulu, malu-malu kucing Siam dan amat bersopan-santun. Kira macam lelaki Melayu kedua terakhirlah selepas saya.. Wahahaha.. Eh. Dan sifatnya itulah yang menyebabkan saya anak-anak gadis mudah jatuh hati, paru-paru dan ginjal padanya. Silap haribulan mak-mak gadis pon boleh jatuh chenta..! Hihihi..

Setelah puas memancing dan menggali (dua hobi saya ketika masa lapang), akhirnya Inche Q membuka juga cerita kisah Uda dan Dara hidupnya. Ketika kali terakhir saya berjumpa dengan Inche Q, dia masih lagi bujang. Tetapi kini dia sudah berpunya walaupon dia masih bujang kerana kalau dia berkahwin sekarang nescaya dia dan bini bakal makan mee maggi cepat dimasak sedap dimakan setiap hari ewaahh..! Eh. 

Namun dek perangai dan akhlak Inche Q yang sungguh malu-malu, agak sukar juga untuk dia bercerita dengan maklumat-maklumat yang terperinci lagi sensasi. Maka terpaksalah saya bercerita dahulu tentang diri saya, dengan harapan dia akan termasuk jerat dan akhirnya akan berasa lebih selesa dan terbuka untuk bercerita. Wahaha.. Dan akhirnya dia banyak juga bercerita kepada saya; perkara-perkara yang saya kira, di waktu lain atau pada orang lain, saya berani kerat jari dia langsung tidak akan menyebutnya. Wah!

Yang lebih hangat dan sensasi, Inche Q ada satu pengakuan; dia sebenarnya masih tidak bersedia untuk berada di dalam perhubungan (Baca: In a relationship). Keputusannya untuk  berpacaran adalah disebabkan rasa bersalah, bertanggungjawab dan sedikit terpaksa. Dan mengenali perangai dan keperibadian Inche Q, saya tidak hairanlah yang dia berada di dalam situasi tersebut.

Kemudian, Inche Q ada satu permintaan. Permintaan yang cukup berat tetapi dek mahu menolong Inche Q seikhlas hati, saya bersetuju untuk memenui permintaannya itu. Dia mahukan nasihat saya bagaimanakah dia dapat keluar daripada perhubungan itu (atau et lis menyelesaikan kekusutan di kepalanya) dan saya katakan, saya tidak dapat memberi nasihat atau penyelesaian dalam waktu yang sekejap cuma. Arakian Inche Q berkata pula, "Kalau macam tu tulis dalam belog pon takpe."

Peluh kecil mengalir perlahan.

Semalam dia sms lagi, mendesak saya untuk memberikan jalan penyelesaian. Dan inilah hasilnya wahai Inche Q, sebuah post yang ditulis khas untuk anda (dan mungkin juga sesuai kepada sesiapa sahaja yang berada di dalam situasi yang sama).

Begini. 

Jalan penyelesaiannya sebenarnya ada berada di depan mata; ia terletak tidak jauh daripada genggaman anda. Mengapa? Kerana anda lebih memahami perasaan anda, apakah situasi yang sedang anda lalui dan bagaimanakah kekuatan anda sekarang ini.

Oh begitu mudah untuk saya mengatakan "Haram ini, haram itu!" Ya, memang mudah kerana saya tidak berada di tempat anda. Tetapi itu bukan cara saya. Apa guna kita paksa seseorang itu sekiranya dia tidak faham dan jelas mengapa dia perlu meninggalkan sesuatu perkara. Samalah sekiranya kita memaksa seorang perokok tegar untuk berhenti merokok trang tang tang ketika itu juga, dengan memberikan hujah bahawasanya Majlis Fatwa Kebangsaan dah fatwakan merokok itu haram, rokok boleh menyebabkan kanser, bla bla bla.. Sedangkan diri kita sendiri tidak merokok! Mana mungkin kita faham apa yang sedang dilalui oleh seorang perokok tegar.

Sedangkan Nabi SAW sendiri tidak pernah memaksa para sahabatnya berhenti daripada meminum arak secara dramatik, kerana dia amat faham arak dan orang Arab ketika itu ibarat buku dengan ruas! Eh silap. Isi dengan kuku! Sekiranya dia memaksa para sahabatnya berhenti meminum arak tatkala mereka masih baru dalam mengenali Islam, nescaya mereka beramai-ramai akan mengucapkan 'Hai hai Gudbai!' kepada Nabi.

Kembali kepada topik sebelum saya melalut tanpa kawalan, ya, saya tidak akan memaksa atau menekan anda untuk meninggalkan perhubungan tersebut, walaupon anda sendiri menyedari bahawa perhubungan tersebut adalah salah di sisi agama. Tetapi apa yang saya boleh katakan atau syorkan, fahami dan belajar betul-betul mengapa perhubungan antara lelaki dan perempuan yang masih belum berkahwin adalah haram dan salah di sisi agama.

Sekiranya kita mahu mengajar orang yang sedang mabuk arak betapa bahaya dan bodohnya perbuatan itu, nescaya si pemabuk tidak akan menerima kata-kata dan nasihat kita ketika itu. Tetapi sekiranya kita menasihati dia tatkala dia sedar dan bebas daripada pengaruh arak, nescaya dia dapat menerima kata-kata kita, walaupon sedikit.

Samalah. Sekiranya kita mahu meninggalkan si kekasih hati di kala kita mabuk cinta di puncak dunia, lautan api sanggup ku renangi kalau kentut pon bau wangi, nescaya hati kita akan meronta-ronta, jiwa kita akan meraung sengsara dan akal kita juga tidak dapat berfikir dengan bijaksana. Tetapi sekiranya kita menjauhi sumber yang memabukkan kita itu, hati kita lebih tenang dan perasaan kita tidak bergelojak seperti selalu, maka pasti lebih mudah untuk kita berfikir dengan lebih rasional dan kurang beremosi.

Sedikit-sedikit Lama-Lama Jadi...
Maka langkah pertama yang saya syorkan sekiranya anda benar-benar seriyus mahu meninggalkan perhubungan itu, adalah dengan menjauhkan diri atau et lis mengurangkan dos daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan anda 'mabuk.' Contohnya, kalau dahulu hampir setiap saat anda bersms cinta, mungkin boleh kurangkannya kepada sejam sekali? Kalau dahulu bertemujanji hampir setiap hari, mungkin kini boleh jadikannya seminggu dua kali? Kalau dahulu berpegang tangan berasmara dana, mungkin kini sekiranya bertemu mata, tangan disorokkan ke dalam kocek seluar? 

Insha-Allah, sekiranya anda konsisten dalam usaha untuk menjinakkan nafsu anda, lama-lama anda akan mendapati yang anda boleh hidup tanpa sms cinta setiap hari, yang anda masih boleh bernafas dan bernyawa walau tidak mendengar suara si dia setiap masa dan ketika.

Nah, selepas anda sedikit bebas daripada panahan asmara dan gelojak nafsu yang membara, barulah akal dan hati anda dapat duduk sejenak dan beriman sebentar. Kini barulah kita boleh melangkah ke peringkat yang seterusnya.

Anda bersedia..?

Apa Tujuan Kita Berchenta?
Setiap perkara ada tujuannya, ada hasil akhir dan objektifnya. Kalau anda bermain bola, apa tujuannya? Sama ada untuk menang, mengeluarkan peluh sihat bergaya atau beriadhah mengeratkan ukhuwwah sesama rakan. Sekiranya anda makan nasi lemak Mak Cik Giant, apa tujuannya? Pastinya untuk menikmati kelazatan nasi lemak tersebut, sambil mengisi perut kosong di pagi Sabtu. *koff koff situasi amat spesifik koff koff* 

Pokoknya, setiap perkara yang kita lakukan, dari sekecil-kecil benda sehinggalah sebesar-besar nenek gajah, pasti ada tujuannya. Sekiranya apa yang anda lakukan tiada tujuan atau 'takde apa saja-saja' sahaja, maka sia-sialah perbuatan dan perlakuan anda itu. 

Maka saya ingin bertanya anda. Apa tujuan anda berchenta? Untuk melempiaskan nafsu? Untuk merasa sendiri bagaimanakah rasanya berchenta? Untuk mengenali si makhluk bernama perempuan dengan lebih lanjut? Atau apa? Apa tujuan anda berchenta?

Tolong, sila lihat tujuan anda berchenta untuk jangka masa yang panjang. Sekiranya anda berkata anda berchenta untuk mendapat keredhaan Allah, erk, sila jelaskan bagaimana atau saya akan luku anda sehingga darah mengalir laju. Hoh.

Anda mahu berkahwin dengannya..? Adakah anda jamin sekiranya anda berchenta bagai nak rak dengannya, anda pasti akan nak ke jinjang pelamin dengan cik gadis yang sama? Dah puas anda sentuh, dah puas anda taburkan dengan janji-janji manis, dah puas anda karang ayat-ayat chenta, akhirnya anda berkahwin dengan orang lain juga. Hampagas.


Ya, anda memang boleh berjanji. Tapi akhirnya siapa yang akan menentukan hala tuju hidup anda..? Allah. Fulsetop. [Kredit Gambar]

Sudah banyak kali saya dengar sampai hendak bernanah telinga, si abang bujang akhirnya selamat diijabkabulkan bukan dengan si adik manis yang sudah lama berchenta-mhenta, tapi akhirnya dengan gadis pilihan emak juga. Leh, tadi kata nak sehidup semati? Gunung tinggi kita daki bersama, lurah dalam kita turuni togetha..?? Apa kes..?

Alasan yang selalu digunapakai mengapa perlu berchenta sebelum kahwin adalah untuk mengenali hati budi si gadis manis, sebelum mendirikan rumah tangga nanti. Masalahnya, yang selalunya berlaku adalah bukan sahaja hati budi yang dikenali, kedudukan tepat tahi lalat seluruh badan pon dikenali juga..! Peluh besar. 

Tak kenal maka tak chenta, kalau nak berkenalan selepas kahwin, kalau tak suka macam mana hey..?? Ya, satu lagi alasan yang diberikan. Terbaca baru-baru ini di belog Ustaz Saiful Islam, chenta itu di hati kita. Kitalah yang mengisi rumah tangga kita dengan chenta, dan bukannya mengharapkan ia datang menaiki permaidani terbang dengan majiknya!  

Chenta Itu Kopirait Allah 
Akhirnya, kita perlu sedar yang chenta itu milik Allah. Perasaan kita, gelojak jiwa kita dan perasaan kita yang membara, semuanya itu datangnya daripada Allah.

Saya yakin dan percaya, perasaan yang anda sedang lalui sekarang ini adalah normal dan merupakan satu bentuk ujian dari Allah. Anda manusia, maka tidak adil dan tidak bijaklah sekiranya anda mahu menidakkan perasaan anda itu. Tetapi pada masa yang sama, Allah mahu melihat bagaimana anda dapat mengawal, mentadbir dan seterusnya menghalakan perasaan anda itu untuk kegunaan dan faedah yang lebih besar.

Kegunaan apa yang lebih besar? Anda bertanya sambil menggaru kepala. 

Perasaan dan jiwa kita yang kosong, yang kononnya perlu diisi dengan chenta dan kasih sayang, sebenarnya adalah untuk Allah. Allah sedang menanti-nanti kita untuk mengadu kasih kepadanya. Allah sedang menunggu-nunggu kita untuk melaungkan kalimah-kalimah cinta yang suci dan abadi kepadaNya.

Cinta Allah untuk kita begitu melimpah-ruah banyaknya. Kita sahaja yang sombong tidak mahu menyahut panggilan cintaNya! [Kredit Gambar]

Bunyinya seperti poyo dan wateva bukan..? Percayalah saya pernah merasainya dan tiada apa yang lebih agung dan indah daripada mendambakan cinta Allah dan Allah membalasnya.

Kerana itu saya rasa saya layak untuk menulis post ini, walaupon pedih dan sesak untuk saya menelannya. Ya, saya juga pernah melalui alam percintaan *koff koff* dan ya, saya pernah merasakan betapa nikmat dan asyiknya bercinta. 

Tetapi saya juga pernah merasakan betapa masyuk dan walawehnya bercinta dengan Allah. Benar, perasaan itu tidak selalu datang bertandang di hati, tetapi cukuplah saya katakan yang nikmat dan indahnya mendambakan cinta Allah itu tidak tergambar perasaannya. 

Apabila menaiki mesin masa Doraemon untuk meninjau-ninjau saya yang dahulu, diri ini berasa begitu kerdil, malu dan hina. Bagaimana saya boleh terjebak begitu jauh di dalam kancah maksiat? Bagaimana saya begitu mudah ditipu oleh nafsu serakah? Bagaimana saya boleh terperangkap dengan panahan asmara yang disemerakkan oleh api bisikan syaitan..?

Diri berasa lebih malu dan hina apabila memikirkan setiap saat yang dibazirkan untuk si dia, Allah menanti-nanti dengan penuh sabar, bilakah hambaNya yang satu ini mahu menerima ajakan bercinta denganNya. Tidak pernah pula Dia menghukum saya secara tunai kerana tidak membalas penantian cintaNya yang suci! Tidak pernah pula ketika saya syok-syok bersms dengan si dia, Allah menghilangkan jari-jemari saya secara tiba-tiba kerana tidak menyahut panggilan cintaNya! Subhanallah..

Cinta itu milik Allah, maka bercintalah dengan Allah dahulu sebelum kita bercinta dengan makhluknya. Perasaan kasih, belas dan sayang itu adalah anugerah daripadaNya. Maka jangan hairan atau pelik sekiranya suatu hari nanti, Allah tarik semula perasaan cinta membara pada si dia, kerana sudah begitu lama kita tidak menghiraukan rindu dan cintaNya kepada kita!

Arrgghh!! Di Mana Kekuatan Itu..??
Benar, mencari kekuatan yang diperlukan untuk meninggalkan sesuatu perhubungan adalah amat sukar sekali. Kadang-kadang tu kita sudah hampir-hampir hendak membuat keputusan untuk berpisah, tetapi akhirnya kita batalkan niat kerana pelbagai alasan yang diberikan.

Masih sayang pada si dia lah, tak nak nanti dia kechiwa menonggenglah, nanti apa orang lain cakaplah, itu ini begitu begini. 

Sebenarnya anda sendiri yang masih berat untuk meninggalkan perhubungan itu bukan..? Jangan salahkan orang lain tetapi tudinglah jari pada diri sendiri dahulu. Seperti yang saya katakan di awal tadi, keputusan sebenarnya berada di depan mata. Sama ada kita mahu mengambilnya dan genggam erat dengan jari-jemari, semuanya terpulang kepada kita.

Tetapi saya tidak nafikan, bukan semua orang mampu untuk melakukannya there and then, atas pelbagai faktor. Maka nasihat saya untuk anda, mintalah kekuatan itu pada Allah. Mengadulah padaNya, yang anda kini mahu bercinta denganNya sahaja, maka kurniakanlah kekuatan dan kemahuan untuk melepaskan perhubungan anda dengan si dia. 

After all, Dialah pemilik hati-hati makhlukNya dan Dialah pemilik segala kekuatan dan kemahuan. Berdoalah dengan sepenuh keikhlasan dan berazamlah untuk meninggalkan perhubungan itu, Insha-Allah, Dia akan menunjukkan cahaya di hujung terowong. Eh.

Tapi awas! Sekiranya anda berjaya melepasi ujian-ujian perasaan dan emosi yang akhirnya membawa anda kepada putusnya perhubungan anda dengan si dia,  dan anda sangka semuanya akan menjadi lebih baik, anda silap. Cabaran yang lebih besar dan marabahaya sedang menunggu anda! Ketika inilah Jeneral Iblis dan tentera-tenteranya akan berasak-asak menyerang anda, seboleh-bolehnya mahu menghancur-ranapkan jiwa dan perasaan anda. Sehinggalah anda merasakan anda telah membuat keputusan yang silap dan anda perlu kembali kepada si dia!

Awas! Jangan biarkan anda tewas kepada pujuk rayu si  iblis laknatullah dan konco-konconya, kerana mereka sememangnya mahu melihat anda jatuh tersungkur setiap masa. Jangan biarkan diri anda tersungkur di depan pintu neraka!

Ok, saya rasa saya perlu berhenti di sini. Jika tidak saya rasakan post ini akan menjadi terlalu panjang dan anda pula akan bosan membacanya. Tetapi sebelum itu izinkan saya merumuskan langkah-langkah atau tips untuk 'menyelamatkan' diri daripada hubungan terlarang ini:
  1. Akui dan yakini apa yang sedang anda lalui salah dan tidak mengundang keredhaan Allah
  2. Mula jauhi diri atau kurangkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menyemarakkan nafsu anda
  3. Fahami apa sebenarnya tujuan anda bercinta
  4. Isi kekosongan jiwa anda dengan cinta kepada Allah
  5. Bertindak! Mintalah kepada Allah untuk memudahkan urusan anda!
  6. Selamat maju jaya kalau gagal cuba lagi tahun depan! Eh, sila abaikan.
Bagaimana..? Kalau membantu saya amat gembira. Jika tidak, sila maafkan saya, saya hanyalah manusia biasa. Hohoho.. 


Tak rugi cinta Allah, kerana ia pastinya berbalas! Tahu..?? [Kredit Gambar]

Apa-apa pon, berbual mesralah dengan hati anda, kerana hati yang dipandu dengan niat yang ikhlas untuk berubah, pasti tidak akan menipu. Hati tidak akan berkata bohong tetapi nafsu dan akal yang jahatlah yang akan mengelabui anda. 

Tepuk dada, tanyalah iman. 

Tepuk dada, tanyalah hati yang tulus dan suci. 

Tepuk dada, tanyalah Allah, tagihlah cintaNya yang agung dan abadi.

"Adapun orang-orang beriman, sungguh besar cinta mereka kepada Allah..."
[al-Baqarah, 2:165]

-gabbana-

Saya bukanlah seorang  yang arif dalam bab perchentaan ini. Maka sila maafkan saya sekiranya kata-kata atau tips-tips yang saya berikan tidak boleh digunapakai. Saya juga masih dalam perjalanan yang jauh dalam menagih cintaNya...

Untuk Inche Q, banyakkan bersabar, kuatkan semangat dan jangan lupa berdating denganNya. Oh jika anda memerlukan sokongan moral dan tepuakn di belakang bahu, boleh juga sekiranya anda mahu berdating dengan saya! Wahahaha..

Apa-apa pon, menjadi bujang yang senang itu memang cukup kachak dan bergaya! Peace.

25 April 2011

Sekolarship Untuk Ke Sorga


[Kredit Gambar]

Baru-baru ini ramai kanak-kanak lepasan SPM yang bertandang ke ibupejabat tempat saya bekerja. Bukan, bukan untuk mengecat bangunan sebagai aktiviti lapang sambil menunggu tawaran penempatan universiti. Dan bukan, bukan untuk meminta pekerjaan sambilan untuk mengisi poket yang semakin hari semakin kosong. Bukan.

Tetapi mereka adalah antara ribuan calon yang terpilih untuk menjalani proses pemilihan kelayakan sekolarship Syarikat XYZ yang diuruskan pemilihannya oleh bahagian yayasan kompeni saya. Ok, agak komplikated di situ, tetapi sila abaikan kerana tidak menambahkan iman. Hohohoh..

Melihat mereka, teringat zaman muda-mudi dahulu ketika saya berada di dalam kasut mereka. Masih teringat bagaimana saya berpeluh-peluh mengisi segala tok nenek borang sekolarship yang ada, pergi ke temuduga, perasaan seperti hendak terjun bangunan tingkat dua puluh lapan dek direjek, berjumpa dengan calon-calon bini dari sekolah lain.. Bermacam-macam lagi la..!

Seronok melihat keterujaan yang terpancar jelas pada wajah-wajah mereka; bangga kerana terpilih untuk ditemuduga dan keyakinan tahap Kamehameha yang mereka dapat menawan hati para penemuduga. Tetapi kasihan, kerana dalam ribuan yang memohon, hanya ratusan sahaja yang dipilih untuk ke peringkat pertama proses pemilihan. Dan daripada ratusan ini, tinggal kurang daripada sepuluh atau dua puluh calon yang akhirnya akan terpilih untuk menjadi pemegang sekolarship tersebut. Pasti remuk dendam perasaan mereka yang penuh keyakinan untuk mendapat sekolarship itu tapi akhirnya direjek bukan..?

Kerana itu mereka yang ingin memohon selalunya membuat persediaan yang cukup teliti ketika memohon. Sekiranya Azim Asmawi memohon sekolarship Syarikat Cap Ayam Serama Berhad contohnya, pastinya dia akan berusaha dengan gigih untuk mengkaji sedikit-sebanyak tentang syarikat tersebut. Et lis tahulah siapa Inche Bos Besar syarikat itu dan apa perniagaan utamanya. 

Tidak cukup dengan itu, para calon juga akan memastikan mereka bersedia fizikal dan mental bagi menghadapi ujian-ujian kelayakan seperti temuduga satu atas satu (Baca: One on one), ujian bertulis dan sebagainya. Segala mak ayah persiapan yang perlu dilakukan untuk memastikan mereka memperoleh sekolarship telah dibuat dengan bersungguh. Malah, ibu bapak turut sama mempersiapkan anak-anak mereka dalam menghadapi proses permohonan sekolarship. Dah jadi upacara keluarga bersama-sama dan bukan lagi urusan si pemohon sahaja. Meriah bukan..?

Para pemohon juga akan bersaing sesama mereka untuk mendapatkan sekolarship yang paling hangat dalam pasaran. Konon-konon buat bertanya "Eh ko mintak sekolarship apa..?" atau "Weyy ko dah mintak sekolarship Kompeni Kain Pelikat Cap Gajah Comel tu belom..?" padahal dalam hati penuh dendam kesumat untuk menjatuhkan pemohon lain. Wahahaha.. Ok keji sedikit di situ. 

Pokoknya, bila tiba musim meminta sekolarship ini, kita akan menyaksikan para pemohon bertungkus-lumus gigih berusaha untuk menawan hati para penawar sekolarship kerana mereka tahu, ini peluang sekali sahaja seumur hidup (untuk pengajian peringkat ijazah bujang (Baca: Bachelor's degree))! Kerana itu saya kasihan melihat mereka yang begitu bersungguh-sungguh berusaha untuk mendapatkan sekolarship tetapi akhirnya direjek dek kuota yang diberikan tidak mencukupi untuk semua. Memanglah bukan rezeki mereka, tapi mereka juga manusia biasa; pasti kechiwa rasa nak terjun jambatan Pulau Pinang apabila usaha yang dicurahkan tidak memberikan pulangan seperti yang diharapkan. Nasihat saya: Jangan terjun! Weeheehee..

Tetapi saya lebih kasihan dan sedih melihat ramainya manusia di luar sana yang direjek, sering sahaja ditolak untuk mendapatkan sekolarship yang satu ini; sekolarship untuk ke sorga.

Prosesnya juga hampir sama; perlukan permohonan, ada proses ujian dan temuduga dan ada proses pemilihan. Para pemohon juga perlu mempersiapkan diri mereka untuk dipilih masuk ke dalam sorga. Sama sahaja.

Cuma yang membezakannya adalah di kalangan para pemohon, tidak ramai yang bersungguh-sungguh untuk memohon sekolarship ini. Tidak ramai yang gigih berusaha untuk memastikan mereka berjaya menawan hati si Hakim yang bakal menilai dan mengadili permohonan mereka. 

Yang lebih sayu dan menyedihkan, tidak kurang ramainya di kalangan kita yang awal-awal lagi dah tolak sekolarship ni; permohonan pon tak pandang..!

Bagi yang sudah memohon, syabas dan tahniah diucapkan! Tetapi awas! Prosesnya tidak tamat di peringkat permohonannya sahaja. Seperti yang saya katakan, ada tingkat-tingkat dan 'pit-stop' yang perlu anda lalui. Anda perlu melepasi ujian-ujian yang telah ditetapkan untuk anda bagi mengkompemkan yang anda benar-benar layak menjadi penghuni tetap sorga suatu hari nanti.

"Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: 'Bilakah datangnya pertolongan Allah?'. Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat."
[al-Baqarah, 2:214]


Sekiranya kita bermati-matian menghabiskan segala sumber yang ada bagi memastikan kita terpilih untuk mendapatkan sekolarship di dunia ini, kita sewajarnya melakukan lebih lagi daripada itu untuk mendapatkan sekolarship untuk ke sorga. Mengapa? Kerana kita hidup hanya sekali di dunia ini, sedangkan sekolarship dunia, alah, kalau bukan rezeki anda untuk ijazah bujang, mungkin rezeki anda untuk ijazah Tuan Guru pula..? (Baca: Master. Hohoho..)

Bukankah dunia itu ladang akhirat..? Adakah kita nak menuai buah-buahan atau hasil tanaman yang busuk lagi masam dan tidak sedap langsung di akhirat nanti..??

Seandainya kita bertungkus-lumus berlumba-lumba dan bersaing untuk mendapat sekolarship di dunia ini, kita sewajarnya berlumba dengan lebih sengit dan gigih lagi untuk mendapatkan sekolarship untuk ke sorga. Tetapi yang menariknya sekolarship untuk ke sorga ini, ia tiada kuota. Jadi tidak perlu dengki-mendengki dan hasad buruk kerana setiap orang ada peluang yang sama-rata untuk ke sana! Walaweh! 


Biarlah kita penat berlumba di dunia, asalkan mendapat pingat di akhirat nanti! ;) [Kredit Gambar: qc-london]

Bahkan, sekiranya anda saling membantu sambil berlumba-lumba untuk menjadi pemohon yang terbaik, lagi cerahlah peluang anda untuk mendapatkan sekolarship itu!

"Berlumba-lumbalah kamu untuk mendapatkan keampunan daripada TuhanMu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman pada Allah dan rasul-rasulNya. Itulah kurnia Allah yang diberikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar."
[al-Hadid, 57:20]

Allah sudah cukup bermurah-hati untuk menawarkan sekolarship ini kepada sesiapa sahaja; tidak kiralah anda kaya atau papa, hodoh atau kacak bergaya, pendek atau tinggi, asalkan anda memenuhi syarat-syarat kelayakan, anda pasti dijamin untuk menerima sekolarship!

Apakah syarat-syarat kelayakannya..? Sila rujuk al-Quran, as-Sunnah dan Seerah..! Wahahaha..

Dan anda tahu apa yang lebih fulamaweh tentang sekolarship ini..? Sekiranya anda gagal memohon buat kali pertama, anda masih boleh memohon untuk kali kedua, ketiga, keempat ... dan kezigilion kalinya...! Pintu permohonan sentiasa dibuka, asalkan anda MAHU dan TAHU untuk memohon! Dan yang lebih utama, asalkan anda tidak melepasi tarikh tutup permohonan, maka anda sangatlah paling teramat layak untuk memohon...! (Ok part ni kena buat muka terkejut kerana tak percaya tawaran dari Allah yang sangat osem)

Leh, dok tercongok kat situ lagi buat apa..?? Tunggu apa lagi..?? Cepat cepat mohon sekolarship untuk ke sorga..! Jangan biarkan proses permohonan untuk sekolarship ini ditutup untuk selamanya-lamanya..!

-gabbana-

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya menghapdet belog ini. Laptop saya dihantar untuk proses penyucian jiwa (Wah!) maka sepanjang hujung minggu tidak berkesempatan untuk beratas talian. Oh kalau laptop saya ada di sisi pon, saya rasa saya tiada masa untuk menghapdet kerana saya begitu gembira berkoferens riang! Senyum ceria nampak gigi.

21 April 2011

Pelik Itu Eksotik

Kalau anda seorang penulis belog, setiap kali anda mahu mengedjas saiz tulisan anda, anda akan ke ikon 'tee kecil tee besar' dan memilih sama ada mahu tulisan anda bersaiz 'smallest,' 'small,' 'normal,' 'large' atau 'largest' bukan..? Pilihan saya? Normal dan berfontkan 'Trebuchet.' Cukup bergaya sekian terima kasih.

Normal.

Cukup ironik. Perkataan yang terakhir di dalam dunia ini untuk mendefinisikan diri saya. Kerana saya jauh daripada normal.

Hakikatnya, saya pelik. Pelik lagi memelikkan.

Anda tidak percaya? Anda boleh bertanya kepada mereka yang mengenali diri ini. Kenal, maksudnya benar-benar kenal dan bukan setakat tambah kawan di MukaBuku, stalk gambar kemudian berdinding-dinding sekala-sekali, kemudian terus mendakwa yang anda telah mengenali saya. Itu bukan kenal, itu nakkenabalun. Eh.

Antara kepelikan tahap menggaru minda yang ada pada Inche gabbana adalah suka bercakap sorang-sorang. Ya, sangat kronik (unik?) bukan..? Wahahaha.. Masa yang paling digemari untuk bercakap seorang-seorang adalah selepas mandi sambil hendak memakai baju, ketika memandu dan ketika di dalam lif seorang-seorang. Juga ketika bermuhasabah (seperti peristiwa semalam) di mana saya akan memarahi diri sendiri. 


Cakap pada tangan (Baca: Talk to the hand) lebih berfaedah mungkin..? [Kredit Gambar]

Macam-macam topik yang saya perkatakan. Kadang-kadang tu memang tersangat paling random topik yang dipilih, sehinggakan saya sendiri tertawa dengan kerandoman saya (ketawa sorang-sorang tu pon dah dikira pelik en..?). Selalunya saya akan memberi ceramah agama, membayangkan anda penonton di hadapan saya.

Kadang-kadang saya berceramah dalam bahasa omputih, kadang-kadang dalam bahasa Ibunda, pernah juga di dalam bahasa Indon, sekali-sekali omputih ala-ala Latin gitu. Wah! Sungguh eksotik bukan..? (Sila berpeluh kecil atau besar sekarang)

Selalu juga saya hanya berbual dengan diri sendiri. Dan saya mengaku yang saya memang gemar berbual dengan diri sendiri. Sekiranya saya stress atau ada masalah, cara ini selalunya berjaya mengurangkan tahap tekanan marabahaya yang sedang melanda. 

Uh oh, pernah juga terkantoi sedang bercakap/berbual sorang-sorang. Sumpah malu! Sekali tu dengan Inche Papa. Dia bertanya, "Eh [Inche gabbana] cakap dengan sapa tu..?"

Errr.. Err.. Cakap..? Salah dengar kot..! Tu kucing kat luar tu la..! Wahahaha..

Dan sekali tu dengan rakan sekerja. Yang ni seriyes malu. Tiba-tiba je Inche Rakan Sekerja menegur saya, "Bro, janganla cakap sorang-sorang bro. Ko ok ke ni..?" Sudah. Menutup muka sambil berlari-lari anak. Sumpah saya langsung tidak perasan yang saya bercakap sorang-sorang. Sungguh pelik tahu..??

Tapi saya rasalah, dek kerana saya suka bercakap sorang-sorang tu la datangnya kemahiran saya bercerita dan bercereka (mahir ke..?? :O). Kira anda bertuahlah juga sebab Inche gabbana suka bercakap sorang-sorang sebab kalau tak, pasti anda tidak dapat menikmati karya-karyanya yang bermutu tinggi lagi bergaya..! Choyyy..!

Di samping gemar bercakap seorang diri (tatkala ini sekiranya anda mula berasa ragu-ragu dengan tahap kewarasan Inche gabbana, saya tidak boleh menyalahkan anda), saya juga ada sifat-sifat kepelikan yang lain.

Antaranya, suka menyanyi-nyanyi pada masa yang paling random yang boleh anda fikirkan. Juga amat teliti dalam soal kekemasan dan kebersihan. Selain itu saya juga suka membuat muka pelik atau aksi gila di khalayak ramai.

Pokoknya, kalau diformulakan sifat dan perangai saya ini, anda akan mendapati jawapan kepada formula tersebut adalah Inche gabbana ni pelik lagi memelikkan! Weeheehee.

Tapi tunggu dahulu, saya tidak keseorangan. Rupa-rupanya, di dalam dunia ini bukan saya sahaja yang pelik. Siapa lagi yang pelik..? Tanya anda kehairanan tidak percaya kerana anda rasakan di dalam dunia ini selepas membaca post ini, tiada lagi yang lebih pelik dan memelikkan selain daripada Inche gabbana. Wah!

Soalan anda sepatutnya bukan 'siapa' tetapi 'apa.' Baiklah cuba anda tanya sekali lagi.

Err. Err. 

Ish, cubalah tanya!

Baiklah. (Peluh kecil mengalir perlahan) Apa lagi yang pelik di dalam dunia ini..?

Terima kasih anda kerana bertanya..! ISLAM! Ya, Dalam dunia ni, Islam-lah yang paling pelik sekali...! Anda tidak percaya..??

"Sesungguhnya Islam datang dalam keadaan asing (gharib), dan akan kembali asing..."
[Hadith Riwayat Muslim]

Ha... Kan dah cakap, tapi anda tak nak percaya..! (Buat muka bangga minta pelempang)

Apa maksud asing dalam hadith ni..? Tidak lain dan tidak bukan, asing membawa maksud pelik. Nah! Cuba anda lihat sekeliling anda sekarang ni.. Bukankah Islam dipandang pelik lagi memelikkan..? 

Islam tu kejam. Islam tu menindas. islam tu menidakkan hak kaum wanita. Islam itu tiada toleransi pada kaum homoseksual dan transeksual. Islam itu mundur. Islam itu __________ (sila isi dengan perkataan-perkataan yang menggambarkan bahawa Islam itu tidak kool dan bergaya)

Bagaimana sebuah ideologi atau kepercayaan yang para penganutnya mendakwa sebagai ajaran yang paling benar boleh sebegitu kompleks dan mengharubirukan..??  Pokoknya, masyarakat bukan Islam melihat Islam itu pelik! Dan orang-orang yang memeluk Islam itu juga pelik! 

Maka tidak hairanlah kita melihat gelagat dan tingkah laku 'umat Islam' zaman ini yang langsung tidak menggambarkan Islam yang sebenar, kerana mereka juga malu untuk menjadi umat Islam! Mereka malu untuk dipandang pelik..!

Mereka lebih rela meniru gaya dan tingkah laku golongan yang ingkar pada Allah. Mereka lebih suka untuk menjalani hidup orang-orang yang menuruti hawa nafsu mereka. Dan mereka lebih cinta untuk hidup penuh dengan kemaksiatan, seperti orang yang tiada tujuan hidup lagaknya. Semuanya semata-mata kerana mahu mengikuti trend semasa. Kerana itulah yang dirasakan paling kool dan bergaya. Takut benar mereka dipandang pelik..!

Hakikatnya, siapa yang pelik? Atau apa yang pelik? Islam atau kita..??

Kita amat khuatir dan risau sekiranya dipandang pelik oleh masyarakat di sekeliling kita, tapi pernahkah kita risau Allah memandang pelik kepada kita..?

Kita takut benar kalau kita dilabel sebagai jakun, orang kampung, tak kool dan sebagainya sehingga sanggup mengorbankan prinsip hidup dan agama. Pernahkah kita takut Allah melabel kita sebagai munafik, sebagai fasik, sebagai orang yang ingkar kepadaNya..??

Kita cukup gelisah apa yang orang lain fikir dan kata tentang kita; tak boleh tidur malam dibuatnya kalau kita tahu ada orang yang mengutuk dan mencaci-maki kita. Tapi pernahkah kita gelisah, risau, khuatir dan takut apa yang Allah fikir tentang kita...??

Pelik pelik. Pelik sungguh manusia ni..! 

Nak dipandang pelik oleh manusia atau Allah? Pilihan di tangan KITA! [Kredit Gambar]

Biarlah kita dipandang pelik di dunia ini. Biarlah kita dipandang hina oleh masyarakat, hatta keluarga dan rakan-rakan kita. Dan biarlah kita asing di dunia yang fana ini. Asalkan Allah sayang, suka dan cinta kepada kita.

Biarlah kita dan Islam yang kita pegang itu pelik di mata masyarakat, asalkan kita ini sebutir mutiara berharga di mata Allah.

"...Maka beruntunglah orang-orang yang asing (ghuraba')."
[Sambungan hadith di atas]

Senyum lebar-lebar nak bagi nampak lesung pipit tapi tak boleh sebab takde lesung pipit.

Allahu a'lam.

-gabbana-

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP