11 January 2011

Pagi Ini Saya Hampir-Hampir Menjadi Inkeredibel Hak

Pagi ini saya tiba di opis kurang lebih jam lapan pagi. Selalunya sebelum tujuh setengah lagi saya sudah berjaya tiba di opis. Jadi mengapa pagi ini saya lewat? Adakah saya tidur lewat malam tadi lantas bangun juga lewat pada pagi ini? Adakah saya sudah mula bosan dengan kerja arakian terasa begitu culas untuk ke opis? Atau muncul seekor raksasa gorgon pagi tadi yang menghalang saya daripada bertolak awal ke opis kerana terpaksa menjadi Otromen terlebih dahulu..?

Semuanya pon bukan.

Pagi tadi setibanya saya, Puan Mama dan Inche Abang di platform Putra LRT, manusia sudah berbondong-bondong memenuhi kawasan platform. Pelik. Selalunya platform agak lengang di waktu sebegini. Ketika ini saya sudah dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena akan berlaku. Kemudian tren pertama pon tiba. Memang tiada harapanlah untuk menaiki tren tersebut kerana jumlah manusia yang terlalu ramai, ditambah pula tren terebut hanya ada dua gerabak sahaja.

Pagi tadi lebih dahsyat keadaannya.. -__-" [Kredit Gambar]

Tren kedua pula tiba. Masih tren dua gerabak. Ketika ini jumlah manusia masih ramai disebabkan tidak ramai yang dapat menaik tren yang pertama tadi. Maka saya dan Puan Mama serta Inche Abang mahu menunggu tren yang ketiga pula. Saya tersenyum sendirian memikirkan yang selepas ini pastilah tren empat gerabak pula yang akan tiba dan padan muka hahaha siapa yang naik tren dua gerabak sahaja terpaksa berhimpit-himpit macam tin tuna. Eh.

Tetapi tengok-tengok, tren ketiga yang tiba juga adalah tren dua gerabak. Pelik sekali lagi. Ini tidak pernah lagi berlaku. Selalunya tren dua gerabak dan tren empat gerabak akan bergilir-gilir. Maka kami semua memutuskan untuk naik sahaja tren dua gerabak itu, sementelah orang juga tidak seramai ketika tren pertama dan kedua sampai tadi. Setelah terkumat-kamit menamatkan doa Rabbitah, saya mengeluarkan senaskhah buku dari dalam beg sandang saya. Rutin harian bagi menghilangkan kebosanan. Alhamdulillah perjalanan lancar, seperti pagi-pagi biasa.

Sehinggalah tren itu berhenti di Ampang Park. Dan tiada apa-apa yang terjadi. Tiada apa-apa. Exactly. Lima minit. Masih tiada apa-apa. Tren tidak bergerak. Pintu tren terbuka luas tidak tertutup-tutup. Masuk minit kesepuluh baharulah ada pengumuman yang dibuat. Itu pon samar-samar sahaja bunyinya...

"Attention to all passengers. There is congestion at platform ahead. The train will be moving shortly.

Perhatian kepada para penumpang. Terdapat kesesakan di platform hadapan. Tren akan bergerak sebentar sahaja lagi."  

Saya tidak yakin dengan pengumuman tersebut. Bukan su'udzan (hohoho..), tapi saya sudah masak dengan pengumuman sebegitu. Ini bukan pertama kali perkara sebegini terjadi. Masuk ini rasanya sudah tiga kali saya mengalami keadaan yang sama. Dan sangkaan saya memang tepat. Sepuluh minit selepas itu, pengumuman sama dibuat. Tetapi kali ini oleh cik adik suara manis-manis dan bukan lagi encik abang suara samar-samar. Apa mereka ingat kalau mereka gantikan dengan suara cik adik, hati kami semuakah akan sejukkah..? Kalau pakai suara Kak Seripah Aini sekali pon belum tentu lagi hati kami ni semua boleh disejukkan tahu!

Seorang gadis Cina memang amat obviyes tidak dapat menahan kegeramannya. Berkali-kali dia menghentakkan muncung payungnya pada lantai tren. Tuk, tuk tuk. Akhirnya dia berhenti apabila saya menjeling tajam. Hehehe.. Tidak lama selepas itu dia pun keluar, mencari alternatif lain agaknya. 

Masuk minit ke dua puluh lima, sekali lagi pengumuman dibuat oleh cik adik suara manis-manis. Tetapi kali ini pengumumannya lain sedikit...

"Attention to all passengers. There is congestion at platform ahead. This train will stop here for awhile. The train will be moving shortly. Sorry for the inconvenience.

Perhatian kepada para penumpang. Terdapat kesesakan di platform hadapan. Tren ini akan berhenti sebentar di sini. Tren akan bergerak sebentar sahaja lagi. Maaf atas kesulitan yang dihadapi."

Sorry..?? Maaf...?? Ewah-ewah menanam tebu di pinggir bibir sungguh..! Orang dah lambat dah ni kak oii..!! Tulang belakang pon dah rasa nak terpeleot dah ni berdiri lama-lama macam ni..! Tren pulak makin sesak sebab pintu tak tutup-tutup oleh sebab itu semakin ramai yang memenuhi tren. Ini bukan setakat peluh besar dah ni tapi dah jadi banjir peluh. Huh.  

Punyalah lama kami terpaksa berdiri di dalam tren itu, sehinggakan gadis Cina yang keluar tadi telah masuk semula..! Walaweh. Dan mungkin kerana terlau geram sehingga otaknya mengalami amnesia, gadis Cina itu sekali lagi menghentak lantai train dengan muncung payungnya. Tuk, tuk, tuk...

Dan pengumuman tersebut diulang sekali lagi. Tiba-tiba entah mengapa, kulit saya bertukar menjadi hijau. Baju dan seluar kerja saya koyak dengan serta-merta tapi masih menutup aurat dek urat-murat dan otot-motot saya membesar dengan dahsyatnya. Saiz saya bertambah berkali-kali ganda. Saya menjadi ganas. Penumpang di sekitar mula menjerit-jerit ketakutan. Ramai yang berlari keluar, histeria, tidak percaya dengan apa yang mereka lihat.

Belum sempat saya keluar daripada tren, bumbung tren itu sudah terkopak dek tumbesaran saya yang terlalu pantas dan menakutkan. Saya memanjat keluar, dan melompat ke arah paltform. Saya angkat gerabak tren yang saya naiki dan mencampakkanya ke arah terowong. Saya lantas menhancurkan stesen Ampang Park pula dan kemudian berlari, mencari-cari ibu pejabat Syarikat Prasarana. Saya mahu hancurkan ibu pejabat Prasarana pula.

Huaarrgghhh makan buuuddaaakkk! [Kredit Gambar]

Ok.

Sungguh liar imaginasi saya. Tetapi lebih kurang begitulah yang saya rasakan. Bayangkan, gadis Cina tadi keluar sekali lagi dan kali ini pergi tak kembali lagi. Hohoho..  Sudah tidak boleh belah agaknya tu. Akhirnya pada minit ke tiga puluh, satu lagi pengumuman dibuat:

"Attention to all passengers. The technical problem has been rectified. The train will be moving shortly.

Perhatian kepada para penumpang. Masalah teknikal telah berjaya diatasi. Tren akan bergerak sebentar sahaja lagi."

Masalah teknikal...??? Tadi kata kesesakan..?? Pfffftttt...!

Mujurlah tren betul-betul bergerak selepas itu. Jika tidak, saya yakin pasti ada yang terbakar pada hari itu. Kalau bukan bangunan Prasarana, pasti tren atau stesen yang akan terbakar. 

Setengah jam lamanya kami semua terpaksa bersesak-sesak di dalam tren. Ya, setengah jam. Eh bukan setengah jam sepanjang perjalanan tahu?? Setengah jam tersekat di Ampang Park sahaja. Keseluruhan perjalanan? SATU JAM! Saya fikir, setengah jam pada petugas tren adalah "..sebentar sahaja lagi." Terima kasih ya..!

Dan mengapa mereka tidak boleh berlaku jujur sahaja kepada kami semua..?? Kesesakan...?? Ppfffttt! Kalau di London dulu, jika ada orang yang membunuh diri dan menyebabkan perkhidmatan tren tergendala, hal tersebut akan diumumkan. Sekiranya ada masalah teknikal, ia akan diumumkan. Apa-apa sahaja hal pasti akan diumumkan dengan jujur supaya para penumpang tahu apa masalah sebenar yang terjadi. Dan pengumuman dibuat oleh pemandu tren dengan nada yang benar-benar jujur dan sesal. Genuinely apologetic.

Bukannya suara cik adik manis-manis yang kedengarannya mahu melepas diri daripada tanggungjawab. Beritahu sahajalah apa masalah yang sebenar!

Kalau beginilah keadaannya dan Syarikat Prasarana tidak mahu membuat apa-apa untuk menambah mutu dan kualiti perkhidmatan, Inche Kerajaan, sila dan sila beri projek MRT itu pada syarikat lain yang lebih berkelayakan sekian terima kasih.

Vision: Provider of World Class Mass Public Transportation System. Pffttt..! [Kredit Gambar]

"Those who do not read history are doomed to repeat it." - George Santayana

-Inkeredibel Hak-

La taghdab.. La taghdab.. La taghdab. Jangan marah. Komen seorang sahabat pada status Muka Buku saya pagi tadi. Tak marah pon. Suka. Suka sangat. Boleh..? Senyum. 

8 Caci Maki Puji Muji:

ch!natsu 11/01/2011, 11:58  

muahaha.. samela kte..
bezanya? jln yg sesak td..
rs mau laggar sume kete biar aku leh lalu..
mematikan mood aku sgguh di pagi hari.. haish2~

z.shin 11/01/2011, 15:52  

adam! hehe...

Anonymous 11/01/2011, 17:42  

sabar ye en gabbana.hujan lebat kot pagi nie... ada la air bah kat mane2..tambahan plak org2 mmg sgt ramai bgn lmbt.syok tidur agaknya lepas subuh....

Mohammad Aiman 11/01/2011, 17:57  

hulk masuk islam.. masih menutup aurat, dan menjaga batas pergaulan ketika mengamuk..

haha

Inche gabbana 11/01/2011, 21:54  

ch!natsu: tp et lis ada tidak perlu bersesak macam tin tuna... ^__^"

Inche gabbana 11/01/2011, 21:54  

bambino: adam mana lak nih...? -___-"

Inche gabbana 11/01/2011, 21:54  

enonimus: huhuh. saya amat kagum dengan kepositifan anda... ;)

bagus!

Inche gabbana 11/01/2011, 21:55  

aiman: hahahaha.. tetapi kalau dia btol2 Islam, pasti dia tak mengamuk, melainkan pada sebab2 yg haq sahaja.

maka jadilah inkeredibel haq. hehe.. ;)

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP