Aik? Bila Masa Saya Mabuk...??
Anda. Oh anda. Ye, saya sedang bercakap dengan anda. Ye, andalah. Tak perlu tengok ke kiri atau ke kanan. Betul, saya tak tipu. Andalah orangnya.
Saya nak beritahu anda ni. Ini berita panas. Berita sensasi. Saya rasa dah lama anda alami benda ni, cuma anda tak perasan je. Anda dah bersedia ke nak dengar berita ni? Saya risau nanti anda terkejut beruk lantas tergolek dog. Bukan salah saya ye anda.
Betul ni anda nak dengar? Saya tak jamin tau kalau anda menangis tak berhenti-henti, macam air terjun lepas dengar pendedahan ni. Sure..? Ok, it's your say. Saya tak tanggung tau?
Macam ni.
Anda tahu tak selama ni anda mabuk..? Ye, mabuk. Bukan mabuk cinta atau mabuk laut. Bukan. Ni mabuk macam orang minum arak la. High. Tak ingat satu benda pon bila tengah mabuk. Cakap pon tak betul. Pernah tengok Jackie Chan buat kungfu mabuk tak? Ha macam tu la lebih kurang.
Eh saya bukan tuduh tau. Ni betul-betul terjadi. Ye, anda, anda dan anda (dan saya juga!) sering sahaja mabuk. Sekurang-kurangnya lima kali sehari. Mungkin lebih lagi!
Aksi kungfu mabuk Jackie Chan. |
Uik..?? Bila masa saya mabuk ni..?? Hey Inche gabbana, anda jangan serkap jarang tahu? Jangan tuduh yang bukan-bukan..! Anda nak kena saman..??
Sabar dahulu. Jangan cepat melatah. Saya bercakap berdasarkan bukti. Dalil yang kukuh. Dan yang lebih menguatkan hujah saya, bukan saya yang cakap anda mabuk tahu? Tetapi Allah yang cakap.
Allah berfirman dalam surah an-Nisa':
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dekati (mengerjakan) solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengetahui apa yang kamu katakan..."
an-Nisa', 4:43
Aih? Ini bukan untuk kami Inche gabbana! Ni ayat pengharaman arak, yang diturunkan secara berperingkat-peringkat! Itu kata anda.
Senyum.
Betullah asbabul nuzul ayat ini, diturunkan sebagai amaran untuk para sahabat r.a. untuk tidak bersolat dalam keadaan mabuk, selepas Saidina 'Ali r.a. mengimamkan solat dalam keadaan mabuk lantas terlupa bacaan surahnya. Ketika itu, arak masih belum diharamkan sepenuhnya.
Namun cuba anda baca ayat ini seolah-olah ia ditujukan untuk anda. Bukankah al-Quran itu diturunkan untuk kita semua? Dan bukankah salah satu cara kita berinteraksi dengan al-Quran adalah dengan membacanya dan memahaminya bahawa al-Quran itu sedang bercakap dengan kita?
Jadi, apa yang dapat anda fahami apabila membaca ayat ini dengan perspektif yang baru?
Baca semula...
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dekati (mengerjakan) solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengetahui apa yang kamu katakan..."
Nah! Allah cakap kepada kita semua, jangan dekati solat kalau satu benda pon tak faham dalam solat tu! Kalau kita bersolat tapi satu menatang apa pon tak faham, maka secara tak langsung, kita dah jadi macam orang mabuk! Maka kena fahamkan dulu bacaan-bacaan dalam solat tu, apa pengajaran dan ibrah bagi setiap pergerakan dan sebagainya. Barulah kita boleh bersolat...!
Bagaimana..? Anda ada rasa macam nak menangis..?
Ekstrem bukan tafsiran ini..? Wahaha.. Ini bukan tafsiran saya, tetapi saudara Salman yang selepas membaca ayat ini, sangat terkesan lantas terus berazam untuk menguasai bahasa Arab. Dia akhirnya berjaya menguasai bahasa itu dan seterusnya menubuhkan Ibn Jabal, sebuah institut bahasa Arab yang amat terkenal di United Kingdom. Saudara Salman merupakan alumni LSE, universitas tempat saya menuntut sarjana muda Ekonomi saya. Dia akan bercerita bagaimana dia terkesan dengan ayat ini setiap kali dia mempromosikan institut Ibn Jabalnya itu.
Kalau macam tu, tak boleh bersolatlah selagi tak kuasai bahasa Arab..?? Bukan begitu. Ayat ini pada dasarnya memang ditujukan untuk para sahabat r.a., sebagai amaran kepada mereka untuk tidak mencampuradukkan arak dengan solat mereka. Itu asbabul nuzulnya, sebab ayat itu diturunkan. Dan ia akan terus kekal begitu.
Cuma sebagai orang Islam yang mahu menjadi seorang Mukmin, kita wajar melihat dan memahami ayat itu seolah-olah ditujukan untuk kita. Kiranya, Allah sedang bersms dengan kita. Jadikan ayat ini sebagai motivasi untuk kita menguasai bahasa Arab suatu hari nanti. Anda tidak cemburukah melihat mereka yang faham bahasa Arab dan dengan kefahaman mereka itu, dapat beramal dengan al-Quran dengan lebih efektif? Anda tidak jeleskah melihat mereka yang menangis teresak-esak apabila diperdengarkan bacaan al-Quran kepada mereka? Terutamanya ketika solat..?
Uih... Saya jeles. Sangat jeles.
Tambahan pula, bukankah al-Quran itu memang diturunkan dalam bahasa Arab? Kita tidak akan mampu memahami sepenuhnya sms-sms Allah itu selagi kita tidak menguasai bahasa Arab. Terjemahan dan tafsiran yang ada sekarang ini tidak mampu untuk menterjemahkan al-Quran dalam erti kata yang sebenar. Mungkin tidak sampai 10% pun daripada mesej sebenar yang cuba Allah katakan kepada kita. Jadi bukankah menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha memahami mesej-mesej ini..?
Macam mana nak khusyu' dalam solat kalau tak faham apa yang kita baca...?? |
Akhirnya, tidak mahukah anda menjadi seperti mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini...?
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
al-Anfaal, 8:2
Saya mahu dan saya tidak mahu mati sebelum saya menjadi seperti yang dimaksudkan dalam ayat ini. Saya mahu apabila di akhirat nanti, saya boleh berkata dengan bangganya di hadapan Pencipta saya, "Sayalah yang dimaksudkan dalam ayat itu!"
Saya harap anda juga mahu!
Saya harap anda juga mahu!
-gabbana-
8 Caci Maki Puji Muji:
Alhamdulillah pernah belajar sekolah arab, sekolah pondok..dapatlah sedikit sebanyak emmahami ayat2 allah..
woah alhamdulillah! bagusnya..! cemburu cemburu tetapi gembira juga untuk anda pada masa yg sama..! ;)
saya dari dahulu memang cemburu,
tapi sampai sekarang tak berapa ingat vocab arab lagi, walaupun dah dengar banyak kali T-T
saya mabuk rupanya
memang dari dulu nak blaja bahasa arab... =(
(tapi kan, hadis yang kata arab ni bahasa syurga, rasanya pernah keluar kat SaifulIslam ke ILuvIslam ntah, x ingat. cakap yang hadis tu hadis lemah. entah la. x pasti pula)
Woooaaaahhh!
MasyaAllah brother!
Menangis baca.
TT.TT
Jzkk adame s*y*ng
:P
jgn berputus asa anonymous! sekurang-kurangnya anda sudah ada kesedaran di situ! tinggal lagi nak bertindak sahaja! ;)
mekasih aiman. walaupun saya tak sebut pun tu sebagai hadith, memandangkan saya sendiri takde bukti yang mengatakan bahawa bahasa arab ni bahasa syurga, saya rasa lebih baik saya remove perenggan tu.
dan saya dah check, mmg hadith yg mengatakan bahasa arab tu bahasa syurga adalah hadith dhaif/palsu.
allahu a'lam. jzkk sekali lagi! ;)
s*y*ng tu apa resah..? labu sayong ke..?? wahahaha..
jgn menangis je eh..? bertindak! ;)
Post a Comment