29 October 2010

Wah! Anda Sangat Sukses Jika...


Dulu, sewaktu masih bersekolah dan tibanya musim Old Boys Weekend, di mana bekas murid-murid tua sekolah akan datang ke sekolah pada hujung minggu dan berkumpul sambil mengenang memori-memori lama, kami pelajar-pelajar yang masih bersekolah akan sentiasa membanding-bandingkan murid-murid tua yang datang. Antara mereka, siapa yang lebih berjaya dan sukses dalam kehidupan mereka.

Dan kriteria yang digunakan untuk menentukan kesuskesan seseorang murid tua itu adalah;
  1. Sama ada dia bergelar Tan Sri atau Datuk (Tun tinggi sangat darjat).
  2. Kereta apa yang dibawa. Semakin mewah dan bergaya, maka semakin berjaya. Jika seorang murid tua itu memandu Porsche Cayenne, wah! Dia memang sangat sukses!
  3. Pakaian dan gayanya. Sekiranya dia kelihatan seperti seorang yang kaya (oh amat mudah untuk anda mengenalpastinya), maka secara otomatiknya dia adalah seorang yang sangat berjaya.
  4. Pasangan/Isteri seorang murid tua. Sekiranya cun melecun dan cantik mantik, kami secara bersepakat akan mengecop label 'Sukses' pada dahi murid tua itu. Ok mungkin tidak. Tetapi lebih kurang lah. Sekiranya si murid tua mempunyai anak-anak gadis yang comel dan sebaya, maka lebih sukseslah dia! *ehem ehem* Wahahaha..
  5. Pekerjaannya. Kadang-kadang kami berkesempatan berborak-barok bersama murid-murid tua ini. Dan selalunya mereka yang bergelar usahawan, doktor, juruterbang, peguam dan yang seangkatan dengannya, akan dikira sebagai sukses selalu. 
Murid-murid tua yang lain, yang tidak memandu kereta yang besar lagi mewah, berpakaian selekeh ala-ala aku takde duit tunggu hujung bulan oi!, atau mereka yang memang kelihatan sempoi dan tidak ada apa-apa yang istimewa pada mereka, selalunya hanya akan menjadi watak pipih sahaja dalam cerita ini. Kami hanya pandang sebelah mata sahaja pada mereka! (Kadang-kadang tu dua-dua belah mata sudah ditempah untuk sekodeng anak-anak dara murid-murid tua yang ikut sekali ke majlis makan malam bersama bapa mereka yang sudah tua! Astaghfirullah..)

BMW X5: Antara ukuran kesusksesan seseorang..! Cantek woo..
Dan selalunya, murid-murid tua yang berkereta besar dan bekerjaya cemerlang inilah yang rajin datang ke sekolah. Dahulu ketika sekolah mungkin si dia di dalam kelas yang corot, tapi sekarang lihatlah aku sudah berjaya hahahaha, kata si murid tua yang bergaji besar dengan bangganya. Dahulu mungkin cikgu ini dan cikgu itu tak pernah pun hendak menegur si dia, tetapi kini jangankan tegur, puji-muji tahap selebriti hot dan sensasi setelah melihat kereta BMW 5 siri.

Saya yakin kriteria-kriteria ini tidak hanya diamalkan oleh kami budak-budak STAR sahaja. Saya pasti anda dan anda dan anda di luar sana juga turut menggunakan kayu ukur yang sama untuk mengagak, meneka dan menentukan kesuksesan seseorang itu. Betul tak..??

Buktinya, kalau makcik-makcik dan pakcik-pakcik nak kawenkan anak dara pingitan mereka, pastinya mereka nakkan bakal menantu yang ada pekerjaan yang semenggah. Lagi up kerjaya, lagi cerah peluang bakal mak mertua nak sayang anda. Kalau anda bekerja sebagai Ketua Pegawai Eksekutip sebuah syarikat swasta di metropolitan Kolompo, silap haribulan bakal mak mertua anda yang nak kawen dengan anda! Wahaha..

Uih susah jugak kalau dapat Mak Mertua camni. Moralnya, jangan jadi pemusik! Wahahaha.. Ok tak lucu.
Begitu juga kalau kita tengok iklan-iklan bisnes onlain yang terlalu banyak dan menyakitkan mata di internet ni. Selalunya dia orang tayang apa nak tarik perhatian anda..? Testimonial mereka yang telah sukses, bergaya dan bergambar bersama kereta Mesedis atau BMW mereka, atau gambar mereka memegang wang kertas lima puluh hinggit secara berjemaah  banyaknya. (Oh gambar sebegini sungguh menjengkelkan! Apa kau hengat aku ghairah sangat dengan wang kau itu..??)

Hakikatnya, itulah kita. Siapa kita didefinisikan oleh cara kita berpakaian, henpon jenis apa yang kita pakai, jam tangan cap apa, kasut kulit buatan mana, pekerjaan kita dan berapa pendapatan yang kita peroleh setiap masa. Semakin besar dan tinggi nilai harta dunia yang kita ada, lebih tinggi dan hebatlah status kita.

Itu fitrah manusia. Sejak dahulu lagi, sejak manusia mula mengumpul kekayaan dan mencari pengaruh, mereka yang memiliki harta yang banyak pasti akan dihormati dan seterusnya dilayan sebagai ketua. Begitu jugalah sejarah kepada tertubuhnya institusi beraja di mana-mana negara; mereka yang paling kaya adalah mereka yang paling berpengaruh. Maka secara otomatiknya merekalah raja kerana mereka yang paling bergaya.

Anda sudah nampak di mana masalahnya?

Kesuksesan seseorang itu diukur dan dinilai berdasarkan ciri-ciri luaran. Tidak salah, kerana itu adalah fitrah. Normal. Tetapi yang menjadi masalahnya adalah apabila kesuksesan seseorang itu diukur dan dinilai berdasarkan ciri-ciri luaran semata-mata. Manusia memuja dan mengagungkan mereka yang memiliki dunia ini. Tidak kisahlah kalau dunia itu dimiliki dengan cara Machiavelli; buatlah sesuka hati asalkan impian dikecapi. Tidak hairanlah betapa ramai orang yang kaya-raya-maya, akhlaknya lebih jijik daripada binatang. Bukan saya yang kata tetapi Allah yang kata (Sila rujuk Surah al-Aaraf, 7:179 kalau tak percaya).

Kasihan juga pada mereka yang sebenar-benarnya sangat hebat dan cemerlang (malah bergaya!), tetapi beriltizam untuk memilih perjalanan hidup yang lebih sederhana dan tidak huha. Saya secara peribadi mengenali beberapa individu yang memilih untuk menjadi pendakwah full-timer, sedangkan memiliki dan menggenggam ijazah kedoktoran. Atau mereka yang sangat genius dan berkebolehan, memilih untuk menjadi ustaz atau cikgu. Tidak kurang juga yang mengabdikan diri mereka untuk kerja-kerja sukarela; bersusah-payah ke sana ke sini, membantu orang-orang yang tidak dikenali, jauh daripada keluarga sendiri.

Jadi adakah golongan ini tidak berjaya? Adakah kerjaya seorang guru itu rendah martabatnya? (Ok, pasti anda mengatakan guru itu mulia dan sebagainya. Tapi cuba bayangkan anda ke perhimpunan bekas murid tua. Anda seorang cikgu sedangkan si Temah dah jadi doktor, si  Leman dah jadi peguam berjaya dan Eton pulak usahawanita yang sukses. Apa perasaan anda?) Adakah dengan menghabiskan sisa-sisa hidup untuk berbakti kepada masyarakat dan kerana itu tidak berpeluang memandu kereta besar dan memiliki rumah berkolam renang, dikira sebagai tidak kelas..?

Sedih bukan..?

Yang lebih menyedihkan adalah apabila kita mencemuh, mengejek dan mengadu domba mereka-mereka yang 'kurang berjaya' ini. Kita kata mereka tidak cool, tidak sehebat mereka yang memiliki rumah banglo atau kereta Nissan Fairlady. Kita kata mereka tidak berjaya; yalah siapa suruh dulu tak nak belajar pandai-pandai? Kita kata mereka malas, tidak pandai mencari peluang. Aduh. Ceteknya pemikiran kita ya?

Tetapi itulah realiti. Itulah kita. Itulah saya. Saya mengaku, kadang-kadang saya masih meletakkan hal-hal duniawai sebagai neraca kejayaan seseorang. Saya sedar itu tidak betul, tetapi kadang-kadang perasaan itu terus masuk ke dalam kepala tidak mengetuk pintu dan memberi salam tanpa saya menyedarinya. Bongok sungguh bukan? Adeh.

Ustaz Rahmat Abdullah. Seorang murabbi super. Mengabdikan dirinya hanya untuk Islam!
 Teringat beberapa ayat daripada surah al-Muthaffifin, antara surah peberet untuk dibaca.

"Dan orang-orang yang derhaka, mereka mentertawakan orang-orang yang beriman. Dan apabila orang-orang beriman lalu dekat dengan mereka, mereka mengerling dan mengerdip-ngerdip sesama sendiri (mencemuh). Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira. Dan apabila merek amelihat orang-orang yang beriman, mereka berkata, 'Sesungguhnya mereka adalah orang yang sesat!' Sedangkan orang-orang yang derhaka itu tidak diutus untuk menjaga orang-orang beriman.

Maka pada hari ini, orang-orang beriman pula yang mentertawakan orang-orang kafir itu. Sambil mereka berehat di atas pelamin-pelamin sambil memerhatikan (orang-orang kafir itu). 'Bukankah orang-orang kafir itu telah dibalas akan apa yang telah mereka kerjakan dahulu?' "
al-Muthaffifin, 83: 29-36

Koyak. TT__TT

Dan teringat pula ayat ini, daripada surah at-Taubah, 9:111:

"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang Mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikianlah kemenangan yang agung.

Wah... Tak perasan pulak kalau Allah ada cakap yang orang-orang yang memiliki Volvo XC90 atau Bentley, atau duit berkepuk-kepuk di bawah bantal, atau gelang emas 4.5 karat sampai ke lengan, atau mahligai sebesar negeri Perlis, adalah kemenangan yang agung! Allah tak pandanglah apa yang kita miliki di dunia ini, melainkan segala apa yang kita miliki itu digunakan di jalanNya..!

So bagaimana sekarang? Adakah perspektif anda tentang maksud kejayaan dan sukses dalam ertikata yang sebenar sudah berubah? 

I surely hope so.

Jom kita ubah paradigma kita jom! ;)

Allahu 'alam.

-gabbana-

12 Caci Maki Puji Muji:

hmdnzr 29/10/2010, 12:20  

bukan apa gabbana. masa cuti semester lepas saya berkesempatan bekerja di kedai makanan segera. alah jadi tukang sapu sahaja. benar sekali. betapa prejudisnya perangai pelanggan. semenjak dari itu presepsi mula berubah. jangan fikir yang semua bepakaian cantik ini hati mulia. watak luaran tak mencerminkan langsung watak dalam mereka. kadangkala yang kita lihat tidak menyedapkan mata itu adalah lebih gembira bergaul bersama mereka. lebih ehem-nya hati mereka. entri kali ini sangat best! sangat menarik! memang semasa-lah! dapat membuka minda dan berfikir sejenak.

dan pasal sekolah tue saya tidak tahu, memang bukan budak sbp. ahahha

Shinichi Kudo 29/10/2010, 14:10  

0_0

tercelik mata sekejap.. hehe

Mohammad Aiman 29/10/2010, 14:25  

lame x jenguk star =)

Inche gabbana 29/10/2010, 15:06  

wah inche hamdan. komen anda begitu pjg sehinggakan boleh bwat post baru..! wahahaha.. ;)

betul betul. ada apa pada rupa ye dak..?

Anonymous 29/10/2010, 18:35  

Saya juga terkejut apabila berjumpa dgn seorang insan yang memiliki Master dlm BioMedical Eng dari London sanggup menjadi lecturer. Bila ditanya kenapa, jawapan cuma satu, hanya untuk dakwah :)

IMANSHAH 30/10/2010, 18:23  

Yang akan berjaya orang yang memanfatkan ilmunya untuk jalan yang diredhai.

Sekadar datang menunjukkan kereta besar, dan kadang2 bercerita tentang kekayaan yang dimiliki mungkin jua bilangan isteri, maka terjuling2 lah bijik mata budak2 STAR kan. Dan akhirnya ditanam satu perasaan bahawa suatu hari nanti aku ingin jadi seperti datuk ini, datuk itu, walau menggunakan apa jua cara. Haha mungkin juga komen ini agak tidak memihak kepada OB..

Natijahnya, besederhanalah, dan carilah keberkatan atas harta benda yang dimiliki.

Semoga anda sebahagian dari mereka yang tidak pernah lupa bersyukur tentang dari mana kejayaan anda hadir..

N 30/10/2010, 23:33  

wah, anda sangat sukses jika sebenarnya dalam hati anda tidak sedetik pun berbangga dgn "kesuksesan" anda tu. pinjaman belaka saja...

terima kasih utk entri ni. kita manusia abad ini seolah-olah sudah "diajar" utk mengukur tahap sukses dgn cara kebendaan. saya pun kadang2 begitu, cuma apabila sudah semakin dewasa dan berjumpa dgn ramai org, persepsi tersebut saya cuba ubah perlahan-lahan. kadang2 kita mana tahu, yg papa kedana itulah sebenarnya jutawan senyap :)

Inche gabbana 31/10/2010, 14:04  

anonymous: saya sudah ramai berjumpa org2 seperti inche itu. mengagumkan bukan..? ;)

Inche gabbana 31/10/2010, 14:05  

cikgu: saya tidak boleh bersetuju lebih lagi daripada itu. ;)

kaya atau miskin, hodoh atau cantik, putih atau hitam, semuanya itu dari Allah. pasti ada hikmahnya di situ! ^^

Inche gabbana 31/10/2010, 14:07  

N: itulah dunia yang kita sedang diami sekarang ini.

tapi ada satu dunia yg semua org sama sahaja, malah berbahagia dgn apa yg mereka miliki; dunia syurga. ;)

Anonymous 23/10/2012, 16:14  

Salam.

just nak inform.yang surah at-taubah tu.ayat 111 bukan 109.sebab saya baca translation dia tak sama.
sorry kalau saya silap :)

Miss Kelabu 19/12/2012, 17:37  

best entry nie =)
boleh membuka mata2 mereka yg diluar sana supaya jgn mengukur tahap kejayaan seseorg melalui hrta bnda dan kekayaan je ~

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP