27 May 2009

Ada aku kisah...?

Korea Utara dilaporkan telah melancarkan ujian nuklearnya untuk kali kedua dalam tempoh yang terdekat ini, meskipun telah diberi amaran keras oleh ketua syerif dunia, Amerika Syarikat Sendirian Berhad. Ujian peluru berpandu berjarak sederhana itu telah dikesan oleh pihak berkuasa Korea Selatan dikatakan dilancarkan dari Pantai Timur Korea Utara. Pyongyang mengeluarkan kenyataan bahawa ujian nuklear itu merupakan reaksi kepada tindakan Amerika Syarikat yang terus menekan negara Komunis itu melalui sekatan ekonomi dan polisi politik yang meletakkan Korea Utara sebagai ancaman kepada keselamatan dunia.



Paksi Kesyaitanan

Korea Utara yang pernah dilabel sebagai 'Axis of Evil' bersama-sama Iran dan Iraq oleh mantan Presiden Amerika, George 'Bahalol' Bush, memang terkenal dengan aktiviti ketenteraan mereka. Negara jiran China, Jepun dan Korea Selatan itu sejak dahulu lagi sering mengadakan perarakan ketenteraan secara besar-besaran dan gah mempamerkan kekuatan ketenteraan mereka. Kebanyakan aktiviti harian penduduk Korea Utara juga berpaksikan kepada memperkasa negara tersebut daripada aspek k
etenteraan dan apa sahaja yang boleh menyumbang kepada 'kekuasaan' negara tersebut di mata dunia.



Pemimpin agung dan cukup kontroversi lagi
penuh misteri Korea Utara, Kom Jong Il, yang amat disayangi dan dipuja oleh kebanyakan rakyat negara itu, dilihat mengambil pendekatan 'Ada aku kisah...?' dalam polisi luar negaranya. Hal ini jelas sekali mengambil kira pendirian Korea Utara yang langsung tidak mengambil peduli amaran dan kecaman masyarakat antarabangsa berkaitan isu nuklear ini.

Justeru kita tertanya, mengapa, kenapa dan bagaimana Korea Utara boleh bertindak begitu berani lagak seorang anak jantan sejati Kampung Pinang Sebatang, sedangkan negara yang saiznya hanyalah satu pertiga daripada Malaysia itu tahu sekiranya dunia yang diketuai oleh Superman antarabangsa, Amerika menyerang mereka, pastilah habuk dan debu sahaja yang tinggal..? Kita hairan dan pelik, bagaimana Pyongyang terus berdegil lagak seorang anak kecil yang mahukan permainan Power Rangers meskipun bapanya sudah pun membelikannya Saidina, menafikan kecaman demi kecaman masyarakat antarabangsa sedangkan Korea Utara tidaklah sekuat mana? Kerana mereka tahu tiada apa yang perlu ditakutkan. Mereka sedar bahawa ancaman Amerika hanyalah api-api di mulut sahaja, tidak lebih daripada itu.

Negara Bukan Islam
Persoalannya, mengapa Amerika tidak menyerang Korea Utara sahaja sekiranya benar negara yang masih mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan China dan Russia itu memberi ancaman kepada keselamatan dunia? Bukankah itu alasan yang digunakan oleh George 'Bahalol' Bush untuk menyerang Iraq dan Afghanistan sewaktu ketika dahulu?

Jawapannya mudah. Anda tidak perlu minum Enfagrow 1-2-3, apatah lagi Anlene Gold untuk memahami situasi ini. Korea Utara bukan sebuah negara Islam (atau majoriti penduduknya Muslim) dan Korea Utara tidak mempunyai kepentingan strategik buat Amerika Syarikat Sendirian Berhad. Sebagai sebuah negara kepala kapitalis dunia, sudah pastinya sifat tamak dan haloba dijadikan rukun negara oleh Amerika. Maka Iraq diserang kerana kepentingan minyaknya dan Afghanistan dirempuh dek kedudukan strategiknya di Timur Tengah dan Asia Minor, di samping mahu menjatuhkan kerajaan pimpinan Taliban.

Sejarah telah mengajar kita bahawa sebaik sahaja Amerika Syarikat menukar dasar luar negaranya daripada berkecuali kepada campur tangan pada tahun 1941 setelah Pearl Habour diserang, setiap campur tangan dan kaki yang negara itu laksanakan pasti mempunyai kepentingan tersendiri, baik politik, ekonomi mahupun geografi. Mangsanya? Pertama, mereka yang mempunyai kekayaan hasil bumi yang melimpah ruah, contohnya Iraq. Kedua, mereka yang boleh mengancam kedudukan Amerika secara terus, sebagaimana yang berlaku lewat tahun 70 dan 80-an, apabila banyak rampasan kuasa di negara-negara Latin didalangi oleh CIA, hanya kerana mereka memilih komunisme dan bukan demokrasi cara Amerika. Ketiga, negara yang mempunyai kepemimpinan berasaskan Islam. Suka atau tidak, itulah realitinya. Malah faktor pertama dan kedua juga tidak sekuat faktor ketiga, sekiranya kita mengambil kira Venezuela dan Korea Utara sendiri.

Venezuela merupakan antara sepuluh negara pengeluar minyak mentah terbesar di dunia dan dasar sosialis yang dicanangkan oleh Presiden Chavez terkenal dengan kutukan dan sindiran terhadap Amerika. Namun Amerika tidak pernah mengancam untuk mengambil tindakan terhadap Venezuela, apatah lagi menyerang negara tersebut. Korea Utara pula merupakan sebuah negara komunis sejak zaman Nabi Zakaria lagi dan sehingga kini, tiada tindakan efektif pernah diambil oleh Amerika untuk menghentikan kekuasaan nuklear mereka.

Namun apabila Iran contohnya, belum pun senjata berkemampuan nuklear dibangunkan, hanya reaktornya sahaja yang dibina, sudah bising satu dunia gendang dan kompang dipalu. Sedangkan Israel itu mempunyai kekuatan nuklear untuk menghancurkan seluruh dunia dan isinya, namun jangan dikata ancaman, teguran secara lemah lembut dan bersopan ala-ala anak dara 3 pingitan pun tidak pernah dianjurkan oleh Amerika.

"Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu Muhammad sebelum engkau mengikuti agama mereka."
al-Baqarah:120


Kita tunggu dan lihat, apakah tindakan Amerika Syarikat Sendirian Berhad seterusnya dalam membendung Korea Utara daripada terus memperbodohkan negara koboi dunia itu. Harapan menggunung disandarkan kepada kenangan ke atas Presiden Barack Hussein Obama, sama ada beliau akan mengambil tindakan bijak dan sewajarnya, atau mahu meneruskan dasar luar negara Amerika, 'Campur bila perlu, atau kita buat tak tahu.'

-gabbana-

4 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 27/05/2009, 16:19  

Salam~
Hahaha.. good one.. good one... unsur sindiran sangat memukau~

E.y.n.a 27/05/2009, 21:19  

salam ziarah

artikel yg mnarik!
izinkan sy 'copy' tuk d letakkan d blog sy..

wsalam

Inche gabbana 27/05/2009, 21:42  

~Ki@MbaNg~ (susahnye nak eja..! ;p) : haha.. hanya melalui sindiran mesej dapat disampaikan! ;)

eY Na_chan (pun susah gak..! hihi) : sila sila. moga beri manfaat kepada semua.

Ilyana Fauzy 30/05/2009, 19:15  

haih. hrp2, msia x kn berperang....

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP