16 December 2015

PRU14: Satu Analisa Marhaens

[Kredit]

Buat kesekian kalinya, Perhimpunan Agung UMNO, atau lebih mesra dipanggil PAU kacang merah telah melabuhkan tirainya pada Sabtu lepas. Perhimpunan yang menghimpunkan 2,762 perwakilan dari 191 bahagian dari seluruh negara ini amat dinanti-nantikan bukan sahaja oleh ahli-ahli UMNO mahupon Barisan Nasional, tetapi seluruh rakyat Malaysia melihatkan pelbagai krisis dan isu yang sedang dihadapi oleh kerajaan dasawarsa ini. Ewah dasawarsa kau.

Meskipon banyak isu dan persoalan gagal dijawab dengan baik oleh UMNO pada perhimpunan kali ini, terutamanya isu 1MDB, ada satu perkara yang semakin jelas dan sukar dinafikan lagi usai PAU kali ni. Bahawasanya Presiden UMNO, Dato' Sri Najib Tun Razak tidak akan tunduk pada tekanan untuk berundur dari jawatan itu (dan secara otomatiknya Perdana Menteri Malaysia) dan akan terus menerajui barisan kepimpinan UMNO sehinggalah PRU yang berikutnya. Malah, majoriti para penganalisa politik secara berjemaahnya bersetuju yang kedudukan Dato' Sri Najib kini semakin kukuh dan mantap melihatkan kepada sokongan ahli-ahli UMNO yang tidak berbelah bahagi kepadanya. PAU menjadi neraca dan tanda aras untuk mengukur kepopularitian beliau di peringkat akar umbi dan terbukti sokongan untuknya masih lagi kuat dan sukar digugat. 

Antara seruan yang dicanangkan-canangkan oleh Dato' Sri Presiden UMNO di PAU kali ini ialah keperluan untuk seluruh jentera baik UMNO mahupon BN untuk mula fokus kepada Pilihanraya Umum (PRU) 14 yang akan datang. Walaupon PRU14 tidak akan berlaku sehinggalah 2018 selepas tamat penggal lima tahun kerajaan BN memerintah, seruan Dato' Sri Najib dilihat relevan melihatkan prestasi BN pada PRU yang lepas. Juga mengambil kira sentimen rakyat masa kini dan prestasi wakil rakyat BN yang dilihat gagal membawa banyak isu jalanan ke pihak atasan untuk diambil tindakan. 

Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Zahid Hamidi juga baru-baru ini mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan kerisauan dan konflik yang dihadapai barisan kerajaan BN kerana tidak berjaya memenangi sekurang-kurangnya dua pertiga daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan pada PRU13 yang lepas, menyebabkan BN tidak boleh meminda mana-mana peruntukan perlembagaan sewenang-wenangnya. (Adakah maknanya sebelum PRU12 kerajaan BN seringkali meminda perlembagaan negara ikut suka hati mak ayah mereka? Eheh.)

Sekiranya kita kerap dan hanya gembar membaca The Malaysian Insider, Malaysiakini. Free Malaysia Today, Harakah, Rocket Kini dan yang seangkatan dengannya, sudah tentulah kita dengan penuh optimis dan yakin akan kekalahan BN pada PRU14 nanti. Ditambah pula dengan isu kos sara hidup yang semakin menggila sejak kebelakangan ini - GST, kenaikan kos pengangkutan awam, kenaikan harga kereta, kenaikan tol dan entah bermacam-macam lagi yang naik - kebarangkalian untuk BN menang pada PRU akan datang tampak tipis, senipis kulit bawang merah. 

Namun pemerhatian yang lebih teliti dan adil mungkin masih memberikan harapan kepada BN. Dan membuatkan pakatan pembangkang (ada ke pakatan?) sepatutnya lebih berhati-hati dan mengikat tali pinggang keledar dengan lebih kemas dan ketat. 

Begini.

Semenjak gelombang perubahan berlaku pada PRU12 pada 2008 yang menyaksikan buat pertama kalinya BN hilang dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat, kita melihat perubahan yang signifikan pada geopolitik negara, yang mana majoriti para pengundi bandar telah berubah angin kepada barisan pembangkang. Meskipon barisan pembangkang kehilangan Kedah pada PRU13, namun trend pengundi bandar menyokong barisan pembangkang berterusan, malah lebih ketara lagi. 

Buktinya, pada PRU13, daripada 43 kerusi bandar yang dipertandingkan, 38 daripadanya dimenangi oleh Pakatan Rakyat (ketika itu) dan hanya 5 kerusi berjaya dimenangi oleh BN. Dan daripada 54 kerusi separuh bandar (Baca: semi urban) kerusi yang dipertandingkan, 30 daripadanya berjaya menjadi milik Pakatan Rakyat. 

Undi popular pula menyaksikan lebih dari 3.5 juta pengundi bandar dan separuh bandar mengundi Pakatan Rakyat berbanding kurang leboh 2.5 juta pengundi yang menyokong BN. Perbezaan hampir sejuta orang pengundi!

Sebagai perbandingan, daripada 125 kerusi luar bandar yang dipertandingkan, 108 kerusi berjaya dibolot oleh BN. Undi popular pula menyaksikan 2.7 juta pengundi luar bandar memilih BN, jika hendak dibandingkan dengan 2 juta pengundi luar bandar yang mengundi Pakatan Rakyat. 

Yang paling ketara pada PRU13 ialah perubahan citarasa pengundi berbangsa Cina yang seolah-olahnya merajuk dengan BN dan mempunyai konsensus untuk mengundi Pakatan Rakyat secara berjemaah. Daripada 30 kerusi Parlimen dengan kependudukan kaum Cina yang paling ramai, baik di bandar, separuh bandar mahupon luar bandar, kesemua kerusi berjaya dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

Tapi ini tidaklah bermakna pengundi Cina mengamalkan dasar rasis (walaupon mustahil lah kalau nak nafikan secara total kan?). Kerana daripada 30 kerusi yang dipertandingkan itu, ada sahaja calon-calonnya yang bukan berbangsa Cina. Pendek kata, pengundi Cina seolah-olahnya mahu menunjukkan protes mereka terhadap kerajaan yang dipimpin oleh BN.  


Nah, apa yang dapat kita deduksikan daripada semua ini?

Yang jelas, benteng terkuat BN masih lagi terletak pada pengundi luar bandar. Dan kekuatan Pakatan Rakyat jelas sekali berpunca daripada para pengundi bandar dan separuh bandar. 

Ada TIGA sebab yang utama mengapa para pengundi bandar dan separuh bandar beralih angin kepada barisan pembangkang:

  1. Majoriti daripada mereka terdiri daripada anak-anak muda. Anak-anak muda yang lebih terdedah dengan keadaan politik semasa dan dunia dan ideologi politik yang berasaskan keadilan dan kebebasan bersuara melalui media-media sosial, lebih kritis dalam berfikir untuk menentukan parti mana yang berhak mendapat undi mereka.
  2. Media alternatif telah mengambil tempat media bercetak dalam menyebarkan berita dan hapdet yang terkini. Penduduk bandar mempunyai akses yang lebih baik kepada internet lantas pendedahan yang lebih kerap oleh media alternatif, menjadikan mereka lebih celik dan cakna tentang isu-isu semasa. Dengan ini mereka juga mendapat gambaran yang lebih besar dan adil dalam sesuatu isu, yang seringkali disembunyikan oleh media yang dikuasai kerajaan.
  3. Banyak polisi-polisi kerajaan mengesani para penduduk bandar, lebih daripada penduduk luar bandar. Belanjawan negara (Baca: Bajet) saban tahun yang diumumkan juga lebih banyak memberi manfaat kepada penduduk luar bandar. 
Tiga faktor inilah yang menyumbang kepada kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat dan kemerosotan mendadak pada undi BN.

Dengan pengumuman kenaikan harga tol, kos pengangkutan awam dan kemungkinan kenaikan harga kereta nasional pada tahun hadapan, ditambah pula dengan GST dan kesan langsung/tidak langsung GST pada kos sara diri, bakal menyaksikan penurunan sokongan penduduk bandar dan separuh bandar terhadap kerajaan BN menjadi bertambah dramatik

Pada masa yang sama, kenaikan kos sara diri ini tidaklah memberikan kesan yang besar pada penduduk luar bandar. Mereka tidak perlu risau dengan kenaikan harga tol kerana ia hanya melibatkan tol dalam bandar. Mereka tidak perlu garu kepala dengan pengumuman kenaikan kos pengangkutan awam kerana tiada LRT di Felda Andak Taib atau Kampung Ceruk Tuk Kun. Mereka tidak perlu rungsing dengan GST kerana kebanyakan barangan atau makanan yang mereka beli termasuk dalam senarai barangan yang dikecualikan GST.

Semua ini menjadikan penduduk luar bandar kalis atau immune dengan pengumuman kenaikan harga barang dan kos sara diri. Melainkan sekali-sekala apabila mereka berjalan makan angin ke bandar-bandar besar terutamanya Kuala Lumpur dan Lembah Klang, mereka tidaklah terlalu terkesan dengan peningkatan kos sara diri yang seolah-olahnya disasarkan kepada para penduduk bandar.

Kebetulan? Saya tidak rasa begitu.  

Anda rasa kerajaan pimpinan BN ni bodoh sangat ke, tak tahu dan tak perasan itu semua? 

Dah anda rasa mengapa banyak dasar kerajaan terutamanya yang membabitkan ekonomi banyak memberi manfaat kepada penduduk luar bandar? Setiap kali pengumuman bajet, siapa yang paling banyak dapat hadiah percuma selalunya? Dan siapa pula yang paling terbai dan disisihkan? 

Mereka yang berpendapatan rendah (yang kebanyakannya duduk di luar bandar) lah yang paling banyak mendapat manfaat setiap kali bajet diumumkan, sedangkan mereka yang berpendapatan sederhana (selalunya anak-anak muda atau keluarga kecil yang tinggal di bandar) pula yang seringkali disisihkan. 

Oleh sebab itu kerajaan akan terus 'menyogok' penduduk luar bandar dengan BR1M, program subsidi ini, subsidi itu, bantuan ini dan bantuan itu, walaupon sebenarnya bantuan kewangan seperti ini tidak produktif dan efisien dari kaca mata ekonomi. Untuk apa? Untuk memastikan penduduk luar bandar akan terus-menerus memangkah dacing pada pilihan raya yang akan datang. 

Nah, anda sudah nampak permainannya di situ?

Maka sekiranya barisan pembangkang benar-benar seriyes untuk menawan Putrajaya pada pilihan raya umum yang akan datang, saya kira mereka tidak perlu risau sangat sebenarnya dengan anak-anak muda yang bermastautin di bandar. Kerana tanpa perlu gigih menawan hati mereka sekalipon, mereka ini secara otomatiknya benci kepada kerajaan BN kerana mereka merasakan diri mereka ditindas dalam banyak hal  

Apa yang perlu mereka fokuskan adalah bagaimana mahu menawan hati rakyat yang tinggal di luar bandar terutamanya mereka yang berbangsa Melayu. Bagaimana mahu meyakinkan mereka ini bahawa jatuhnya kerajaan BN bukanlah pengakhiran untuk segala-galanya. Bagaimana untuk buktikan kepada mereka ini sekiranya BN dan UMNO kalah pada pilihan raya yang berikutnya, ia tidak akan menggugat kedudukan kaum Melayu yang sudah pon dijamin di dalam perlembagaan negara

BN pula, sekiranya mahu mendapat semula dua pertiga kerusi Dewan Rakyat dengan cara yang sah, mereka perlu menghentikan polisi-polisi dan dasar-dasar yang tampaknya seolah-olah membalas dendam kepada para pengundi yang yang tidak menyokong mereka dalam pilihan raya sebelum ini. Kaum Cina dan anak-anak muda adalah dua kumpulan yang paling banyak menjadi sasaran kepada polisi 'balas dendam' ini. 

Dah kalau budak-budak tu dah menanges, meroyan menjerit-jerit nak minta sesuatu, kita pula pergi bambu dan rotan dia, apa agaknya reaksi pada emosi dan tindakan budak tu? Bukankah lebih baik kita pujuk dia dengan gula-gula, bagi patung beruang gebu dan kata-kata yang menenangkan? Itu analoginya. Mungkin BN dan UMNO terutamanya, perlukan lebih ramai pakar psikologi kanak-kanak sebagai penasihat untuk menasihati mereka dalam membuat dasar dan polisi. Eheh.    

BN juga perlu merangka strategi untuk menawan semula hati anak-anak muda di bandar, yang saya kira dilakukan dengan sangat baik oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin buat masa. ini Dah boleh dapat Dato' dah tu. Wahahaha. Sangat baik tetapi belum lagi mencukupi. Juga menguasai media-media alternatif dan sosial yang kini jelas dikuasai oleh barisan pembangkang.  

Sesuatu yang amat menarik lagi mengujakan pasti akan berlaku pada PRU14 nanti. Dengan barisan pembangkang yang tampak kucar-kacir dan tidak tersusun, sibuk berbalah sesama sendiri, masih ada ruang dan harapan untuk BN menang sekali lagi dalam PRU14 nanti, meskipon untuk mendapat dua pertiga kerusi Dewan Rakyat tetap menjadi cabaran besar buat mereka. 

Persoalannya sekarang, mahukah anda negara diperintah oleh kerajaan BN untuk tempoh lima tahun lagi? 

Gelak kecil. 

Sekian melaporkan. Eheh.

-gabbana-

Tiba-tiba rasa nak sambung Masters dalam Politik dan Ekonomi pula. Kekeke.      


15 Caci Maki Puji Muji:

zulhilmisb 16/12/2015, 09:33  

Felda Taib Andak bang. Andak Taib tak dengar lagi. Hehehe. Apapun, artikel yang baik untuk muhasabah semula kecenderungan politik dan buat peringatan semula mereka yang dah terlupa akibat gula2 politik yang disuakan.

Natrah. Jumindar 16/12/2015, 09:53  

Maka benarlah.

Anak muda. Pengundi muda hanya bercakap tentang cos sara hidup.
Kurang bercakap survival agama dan bangsa.

Antara dua kemudaratan.
Pilih lah kemudaratan yang masih memperkasakan daulah islam di Malaysia.

Anonymous 16/12/2015, 10:27  

Persoalannya sekarang, mahukah anda negara diperintah oleh kerajaan BN untuk tempoh lima tahun lagi?

MawaddahMTS 17/12/2015, 12:34  

TAK MAHU!

Economist Muda 18/12/2015, 00:37  

Assalam bang..

Rasanya mmg abang kena buat kot course Masters in Economics ke Political economics ke.. kalau tak nanti banyak main bg sentimen tak betoi kt para pembaca

Memang la betoi abang cakap gov fokus kt luar bandar.. benda basic kot, dalan ekonomi, ada dua prkara asas yg diperhatikan:
i-Growth
ii-Development

Kalaupun GDP naik mencanak2, tp hanya KL je yg maju, nanti gini coefficient akan jd tinggi, inequality akan jd tiggi, dan ikut teori nya, semua ni akan lead pd increasing gap between socio-economic activities dan geography.. takkan la abg tak tau, bila jurang miskin kaya, bandar luar bandar ni besar, maka political turmoil dan juga stability akan affected.

Baca la kot paper2 yg berkaitan dgn pembangunan.. semua fokus pd bridging gap between rural and urban.. bukan sbb nk menang pilihanraya, tp mmg itulah kunci pd kestabilan..

Ke abang nak cakap, kalau parti pmbgkang menang, xyah fokus luar bandar? Takkan la kan.. so plis jgn la letak sentimen gov ni buat utk luar bandar bnyk utk menang undi.. mmg keje nya begitu..

Sekian, hanye allah yg lebih mgetahui.. mohon jgn lekas mencampakkan sentimen..

Terimas

Inche gabbana 19/12/2015, 00:48  

Economist Muda: Hehe. Alangkah bahagianya saya kalau itulah hakikat yang sedang berlaku. Saya rasa sayalah orang pertama yang akan undi BN pada PRU14 nanti!

But theory will always look better than reality.

Jika benar kerajaan bersungguh untuk bangunkan kawasan luar bandar, mengapa emigrasi penduduk luar bandar ke bandar meningkat dengan mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini? Ketidakstabilan tetap akan berlaku kerana kerajaan is not solving the root cause of the problem. If what you are saying is true, why is then banyak projek mega masih dilaksanakan di bandar-bandar besar?

It's not about sentiment, but looking at things that people tend to overlook.

Yours truthfully,
Bekas graduan ekonomi dari LSE

Anonymous 21/12/2015, 09:11  

Tudiaaa yours thruthfully graduan LSE baqhang hehe

TQ IG atas pencerahan

Lama tak mengomel comel kat sini :)

Anonymous 21/12/2015, 10:20  

saya sokong IG..saya bekerja di KL..memang saban hari saya merasai kesakitan yang dicipta oleh BN..apa lagi yang tak naik?..tol, minyak, harga barangan, subsidi ditarik dengan alasan untuk membangunkan ekonomi negara..its not about development..jangan sampai negara kita kembali kepada zaman penjajahan jepun..terpaksa makan ubi kayu..tapi zaman tu boleh la tanam ubi kayu, sekarang ni nak tanam di mana?..tanah pun dah diambil untuk pembangunan..

Anonymous 23/12/2015, 00:27  

Sokong ekonomis muda.
Bersangka baiklah kita. Mana-mana parti pon dianggotai oleh manusia dari pelbagai background. Ada yang ikhlas, tapi mmg tak blh nak elak yang ambil kesempatan. Bukan lah semata-mata menyogok orang kampong tapi mereka deserve a better life. Walau pon expectation mereka tak setinggi macam orang bandar they do deserve some attention and assistance since their living condition is much to desired. Kalau nak satisfy kehendak orang bandar tak kesudahan nya.
Pernah, ahli korporat Cina menyatakan, orang bandaraya ni nak facilities bertaraf cities tapi usaha dan pencapaian tak berpadanan dengan keperluan sebagai penghuni bandar. In other words, nak perks di bandar tapi tak qualify dari segi keberhasilan diri sendiri. Memang sakit juga dengar pemerhatian tsb tapi ada logik nya.
I guess those who feel the pinch of staying in the cities, balik la kampong. That shows you do not deserve it there. Dn kampong sekarang pon is equally equipped. Take it as that is one of the reasons the government is developing the rural; deurbanizing. Kampong life is not that bad after all, the young people can help to develop the rural areas to be more livable than the jam-packed cities. Agak controversial observation disini tapi fikir-fikirkan lah.

Economist Muda 24/12/2015, 02:33  

Erk.. maaf la bang, kalau komen saya ni telah menyebabkan abang rasa irritated, sampai kena declare graduan LSE.. huhu. Saya bersangka baik je la, mebi abg declare sbb taknak org igt abg tak belajar ekons kot eh? Minta maaf ye bang

Tapi kan.. saya rasa la, mgkin kt LSE abg tak belajar development @ growth sgt kot.. sbb dua2 ni melibatkan falsafah dan teori asas ekonomi.. mgkin abg bnyk belajar finance, etc2 kot... hehe.. sbb point migrasi tu sgt tak kena bila nk xplain pembangunan luar bandar tu.. sebab apa?

i-boleh bagi data tak utk xplain part "meningkat dengan mendadak" tu? Jom sama2 kita kaji
ii-migrasi berlaku kerana pelbagai sebab. Pendidikan, peluang pekerjaan dll. Tak semestinya bila gov pour money pd rural areas, terus kena ada influx of workers going there.

Economics is not a sentiment-based story telling. It has causality and effects. As an economist yourself (or so you claim) lebih2 lagi lah akan mengerti pentingnya data dalam membuat apa2 deduksi. Dont get me wrong. Saya bukan penyokong BN tegar. Bnyk je isu saya x setuju, 1MDB, pghapusan subsidi beras dll. Tp saya kurang gembira bila penulis spt abang menulis semberono tanpa fakta/kajian dan sewenang-wenang buat tuduhan.. kita kan belajar, walaupun rasa benci pd sesuatu kaum, utk tidak berlaku tidak adil pd mereka kan?

Kembali kpd isu pembangunan luar bandar. Sarawak misalannya, mendapat bajet besar utk bajet2016. Org kl pulak, tiba2 merungut.. pdhal, sarawak tu saiz nya punya la besar, nak sama dgn whole of semenanjung dah. Dah la km square besar, penduduk nya pulak ciput.. sparse population.. lack basic amenities.. saya ni duduk sarawak bang, budak2 sekolah masih naik sampan.. jalan raya takdak, letrik dan air pun bnyk tak dapat.. asyik2, dengar psl semenanjung je yang dapat.. dgn MRT nya lah, ktm nya lah.. bila kawasan kampung dpt peruntukan sikit.. dilabel nya gov sbg memancing undi..

Aduh.. kalau lah abg drpd pembangkang, saya tak nak undi abang lah. Rupanya org bandar tak suka orang kampung dapat pembangunan. Hehe gurau..

Apa apa pun, premis kita tetap sama abang, kita mahukan yg terbaik.. saya pun sudah bosan dengan pimpinan sekarang, jerit perih rakyat kadang seperti tidak diambil peduli..

Tapi saya kekal dengan prinsip... tak mahu menghukum tanpa mengkaji.. kita kan lagi selalu dinasihatkan, periksa khabaran yang sampai sebelum percaya.

Yours truthfully,
Calon pelajar phd
Tapi bukan LSE

Raihanah Ahmad 27/12/2015, 10:16  

whatever it is jangan biarkan orang luar bandar atau pendatang asing yg tentukan siapa kerajaan pada pru akan datang.

Unknown 29/12/2015, 18:15  

Assalamualaikum,inche,APA maksud inche yg inche tulis kat blog inche yg camni
(Baca:Learn the hard way).sya kena baca Dekat mana sebenarnya?

Inche gabbana 03/01/2016, 15:16  

Economist Muda: Haha saya sangat suka dengan anda! Jujur mula-mula tu sedikit annoyed dengan komen anda. Tapi lepas baca komen yang kedua, alhamdulillah saya lebih sejahtera. ;)

Would loveeee tu meet you up and discus further, but that's just impossible. Hehe. Maybe you can drop me an email if you would like to pursue this further? ^_^ My email: dolcegabbana08@gmail.com

Maaf juga kalau kata-kata saya sebelum ni ada mengguris hati.

p/s: Saya nampak anda boleh pergi jauh dalam bidang ekonomi ni, inshaAllah. Saya doakan! ;D

Inche gabbana 03/01/2016, 15:17  

Unknown 18:15: Maaf saya tak faham komen anda. ^^"

Saudagar Sorga , kehkeh 26/01/2016, 14:29  

Dengan ini , pelantikan Perdana Menteri seterusnya ialahhh .. Tuan Seri Inche Gabbana .. dengan undian sebanyak pasir di lautan serta bintang di angakasa raya . Eheh ! puasa tak dak ?

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP