1 November 2015

Tiada Negosiasi Dalam Dakwah!

[Kredit]
[Amaran dari Kerajaan Burkina Faso: Bacaan ini hanya sesuai untuk anda yang sudah berkecimpung dalam arena sukan renang berirama tarbiyah dan dakwah sahaja. Sebarang kecederaan jiwa akibat tidak mematuhi amaran ini adalah di luar tanggungjawab pihak kerajaan Burkina Faso mahupon penulis. Sekian.]

"Akhi ana ada kerja la malam ni. Kalau ana datang lambat malam ni boleh tak?"

"Ukhti, boleh tak buat bulatan gembira kita dekat sikit dengan tempat ana malam ni? Ana penat kerja lah hari ni."

"Apa? Konferens riang kita buat dekat Kedah? Apahal lah nak buat jauh-jauh. Buat area Lembah Klang sudahlaaah. Huhu."

"Ala ana kena bawa bulatan gembira lagi ke? Ana dah nak start HO ni akhi. Ana akan sibok gile nanti. Bagi ana kerja lainlah. Boleh tak?"

"Afwan hujung minggu ana tak boleh kacau lah. Ana dah ada plan. Dah lama ana plan. Afwan ye."

Sekali baca macam tiada apa-apa dengan dialog-dialog di atas. Dua tiga kali baca pon, belum tentu kita akan bertemu dengan apa-apa. Biasalah tu kan. Budak-budak usrah pon manusia juga?

Cuma ia jadi sedikit luar biasa apabila ia dituturkan oleh mereka yang bukan setahun dua duduk di dalam gerabak tarbiyah dan dakwah ini, tapi mereka yang sudah bertahun-tahun lamanya.

Dan murabbi/ah hanya mampu berhuhu sahajalah apabila mendapat mesej-mesej Waksep atau Telegram sebegini. Jika tidak dibenarkan, dikatanya kita kejam, tidak prihatin, tak fikir pasal kebajikan orang lain. Jika dibenarkan, takut naik lemak susu penuh berkrim pula jadinya! Serba salah dibuatnya! 

Hakikatnya, tiada negosiasi atau tawar-menawar di dalam tarbiyah dan dakwah ini. Para dua't yang telah berbaiah dengan manhaj perjuangan ini, sewajarnya faham bahawa mereka tidak boleh tawar-menawar atau bermanja-manja dengan perjuangan ini.

Hei ini gerabak tarbiyah dan dakwah lah, bukan gerabak gula-gula kapas atau gerabak badut dan monyet sarkis!

Bagi menambah pedih pada luka, rabak pada jiwa dan keserabutan kepala, mari kita sama-sama tadabbur sepotong ayat dari surah al-Hujuraat:

"Orang-orang Arab Badwi berkata, 'Kami telah beriman.' Katakanlah (kepada mereka), 'Kamu belum beriman, tapi ucaplah 'Kami telah tunduk (kepada Islam)' kerana iman belum masuk ke dalam hatimu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya, Dia tidak akan mengurangi sedikit pon pahala amalanmu. Sesungguhnya, Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.'" 
[Al-Hujuraat, 49:14]

Jika kita cukup rajin untuk membuka mana-mana tafsir al-Quran, kita akan mendapati bahawa ayat ini diturunkan untuk menempelak sebuah kaum Arab Badwi yang baharu memeluk Islam. Mereka berasa berjasa dengan keIslaman mereka itu; seolah-olahnya apabila mereka menjadi Muslim, ia memberi kekuatan tambahan kepada umat Islam ketika itu. Maka sebagai balasan atas 'jasa' mereka itu, mereka meminta imbalan dari Nabi SAW. Ada riwayat yang menyebut imbalan yang diminta ialah berupa makanan. 

Nah, apa jawapan Allah untuk menempelak permintaan mereka ini?

Allah berfirman bahawa mereka ini belum lagi beriman. Mereka baru Islam dan belum lagi membuktikan apa-apa dengan keIslaman mereka itu.

Bagaimana? Anda dah nampak permainannya di situ?

Anda bersedia untuk ditampar kuat? Diterajang hebat? Dibelasah dahsyat?

Sila sediakan peti kecemasan di kawasan yang berhampiran dengan anda. 

Baiklah. 

Kita yang suka bernegosiasi dengan dakwah ni, atau dengan kata lainnya suka memberikan alasan dan bermanja-manja ni, tak jauh bezanya dengan Arab Badwi yang ditempelak oleh Allah dalam surah Al-Hujuraat tadi. 

Ish, mana boleh samakan Inche gebuna! Tak acilah gitu! Depa tu baru masuk Islam! Kami ni dah lamaaa. Dah buat tarbiyah dan dakwah! Mana samaaa!

Hehe. Ye ke tak sama?

Yang sama tu adalah pada bahagian negosiasi tu.

Mengapa kita sampai tergamak boleh mahu bernegosiasi (Baca: Memberikan alasan) dengan dakwah? Mahu bermudah-mudah dan bersenang-senang dalam kerja-kerja tarbiyah kita? Bukankah kerana kita merasakan kita sudah ada jasa pada dakwah ini kerana lamanya kita berada di dalam gerabak ini? Bukankah kerana ego dan angkuh yang tersembunyi di dalam hati kita, dek kerana kita merasakan yang gerabak yang kita sertai ini sedikit sebanyak sudah menuai buah dan hasil biji benih yang kita tanam suatu ketika dahulu? Bukan begitu?

Aduhai. 

Entah mengapa, secara tidak sedar, perlahan-lahan kita sudah masuk ke dalam zon selesa kita. Bulatan gembira kita mula dirasakan bosan dan terlalu lama. Konferens riang dirasakan jauh dan tidak berfaedah untuk kita. Bulatan gembira hadek-hadek mula kita abaikan, entah ke mana. Tarbiyah, tajmik dan perkara-perkara asas dalam dakwah sudah mula kita pandang enteng dan tinggalkan. Sebarang taklifan atau tugasan yang mahu diberikan kita tolak dengan alasan beri peluang kepada orang lain untuk belajar dan timba pengalaman.

Sedangkan dahulu kitalah yang pertama-tama sekali menyahut bila sahaja ada seruan yang menggerakkan. Kita dahulu yang masuk ke dalam kereta, tidak sabar-sabar untuk bertemu dan bermuayasyah dengan teman-teman seperjuangan setiap kali ada program yang menghidupkan. Tidak pernah sekali kita mengomel atau membebel bila mana murabbi kita mahu berbulatan gembira di tempat yang tidak berdekatan. Kita tidak pernah berkira apatah lagi capai kalkulator apabila seruan infaq dicanangkan. Dan kitalah yang paling bersemangat dan bersungguh-sungguh setiap kali kita diamanahkan dengan tanggungjawab atau tugasan.

Ke mana perginya ruh itu? Sudah matikah semangat itu? Sudah layukah hamasah itu??

Semakin lama kita berada di dalam gerabak ini rupa-rupanya tidak menambah semangat pengorbanan dan bara kesungguhan yang ada di dalam jiwa. Tetapi ia hanya menambah lemak pada futur dan kotor pada kefahaman yang pernah kita bina!

Allah Allah! 

Rupa-rupanya kita masih belum lagi benar-benar beriman dengan manhaj perjuangan ini. Rupa-rupanya kita masih belum betul-betul faham pada tuntutan dakwah ini. Dan rupa-rupanya selama ini kita hanya bermain-main dan berangan-angan dengan tarbiyah ini!

Kerana iman belum masuk lagi ke dalam hati dan meresapi sanubari kita!

Nanges laju-laju. 

Pada masa yang sama, saya tidak menolak apatah lagi menafikan sensitiviti saorang murabbi untuk mengambil kira keadaan dan situasi mutarabbi yang dibawanya. Iyalah, dalam mentakwin, membina dan membentuk mutarabbi yang dibimbing itu, kita tidak mahu terlalu gopoh memetik buah, sehingga terpetik juga buah yang belum masak bukan? Proses pembinaan dan pentakwinan yang dilakukan mestilah dilakukan dengan teliti, berhati-hati dan penuh dengan kasih-sayang, agar rijal yang dilahirkan ialah mereka yang benar-benar intima' dengan dakwah dan perjuangan ini! 

Namun itu bukan alasan untuk bermudah-mudahan dan bermanja-manja dengan dakwah ini tahu? Dan sekali-sekala mencubit perut atau mempiat telinga dengan penuh ketegasan itu juga boleh jadi suatu bentuk kasih-sayang tahu? Wahahaha.

Maka sekiranya kita pernah melakukan itu semua, bernegosiasi dengan dakwah, beralasan agar dapat berselesa dengan tarbiyah, ayuhlah kita bermuhasabah. Ke mana perginya ruh kita yang membara suatu ketika dahulu? Ke mana perginya diri kita yang dahulu, yang apabil semboyan perjuangan diseru, kitalah yang pertama bangkit untuk menyahutnya? Ke mana perginya jiwa kita yang tidak pernah mengomel atau beralasan apabila kita diuji dengan bebanan tarbiyah dan dakwah?

"Dan jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya, Dia tidak akan mengurangi sedikit pon pahala amalanmu."

Sungguh, dalam tarbiyah dan dakwah ini, tiada negosiasi mahupon tawar menawar. Yang ada hanyalah siap-siaga menurut perintah apabila diseru, dalam keadaan ringan mahupon berat, bertenaga atau penat, lapang atau sendat!

Ayuh!

-gabbana-

Alhamdulillah akhirnya berjaya menyiapkan satu artikel selepas hiatus sebulan lamanya. Doakan saya terus tsabat untuk menyumbang kepada ummah! 

7 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 03/11/2015, 06:30  

Hmmmm, Insya Allah

Anonymous 06/11/2015, 22:17  

Don't stop writting tau

SN

Blue Chrysanthamum 09/11/2015, 18:42  

=_= .senyum.

Anonymous 25/11/2015, 08:58  

Murobbi kawen,ada dauroh..
Usrahmate kawen ada dauroh..huhu

Unknown 22/12/2015, 06:18  

Saya sangat meminati inche gabbana . Sudah lama menginginkan karya tersebut . Dah sangat teruja untuk membeli buku #chenta

Anonymous 18/01/2016, 12:45  

����smga tsabat dlm penulisan akhi

Saudagar Sorga , kehkeh 24/01/2016, 10:46  

anta poyo la akhi . poyo sangat ... wahaha !

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP