12 May 2014

Ini Dakwah Gue!

[Kredit]
Sesiapa sahaja boleh mengaku bahawa mereka mengikuti gagasan perjuangan yang dibawa oleh Imam Hassan al-Banna menerusi pergerakan al-Ikhwanul Musliminnya. Dengan kata lain, sesiapa sahaja boleh mengaku bahawa dia adalah seorang 'ikhwan.'

Saya kira itulah antara fenomena yang acapkali berlaku di Malaysia ini. Masing-masing mahu mengaku bahawa merekalah yang paling ikhwan jika hendak dibandingkan dengan yang lainnya. Masing-masing mahu mendabik dada bahawa merekalah yang paling assolah (asli) dalam memperjuangkan fikrah ikhwan.

Baik orang-orang IKRAM, PAS, ISMA, HALUAN, ABIM dan sebagainya, akan ada segelintir atau sekelompok daripada mereka ini yang tanpa segan silu mencanangkan bahawa merekalah yang paling ikhwan sekali di seluruh galaksi bimasakti ini. Err. Saya pon tidak pasti bagaimana mereka ini boleh sebegitu yakin. Kagum saya dibuatnya.

Hal ini secara tidak langsung menggambarkan betapa berpengaruhnya gerakan al-Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan oleh al-Banna pada tahun 1928. Sejak sekian lama, fikrah yang dibawa oleh gerakan ini telah menjadi inspirasi kepada ratusan, jika tidak ribuan, gerakan-gerakan berbentuk haraki di seluruh dunia, hatta sehingga sekarang ini. Meski ada banyak cubaan-cubaan oleh kerajaan taghut untuk menghapuskan gerakan ini (seperti yang diumumkan oleh al-Sisi sekiranya dia menang dalam pertandungan Presiden nanti), kekuatan fikrah al-Ikhwanul Muslimin telah terbukti cukup gagah dan utuh untuk bertahan dan melawan arus-arus hasad dan dengki yang mahu menghancurkannya.

Dalam risalah Daawatuna - 'Dakwah Kami' atau 'Dakwah Kita'; bergantung kepada siapa yang mendengarnya - salah satu risalah dalam himpunan risalah yang ditulis oleh al-Banna, ada memperincikan beberapa ideologi yang diperjuangkan oleh ikhwan, terutamanya pendirian ikhwan terhadap fahaman-fahaman -isme yang semakin berleluasa dalam kalangan umat Islam. Meski risalah ini ditulis hampir seratus tahun yang lalu, saya melihatnya masih sangat relevan untuk diaplikasikan pada hari ini, terutamanya dalam keadaan sosio-politik Malaysia yang sedang mengalami kelintangan kepukangan hari ini.

Dalam isu nasionalisme (al-Qaumiyah) contohnya, al-Banna dengan jelas menyebut:

"Jika apa yang dimaksudkan dengan nasionalisme ialah berbangga dengan bangsa sendiri sehingga ke tahap merendahkan bangsa lain, memusuhi dan memanipulasi bangsa lain demi memartabatkan bangsa sendiri sepertimana yang pernah dilakukan oleh Jerman dan Itali atau mana-mana bangsa yang mendakwa mereka lebih istimewa berbanding bangsa-bangsa lain, maka maksud seperti ini adalah suatu yang keji malah bercanggah sama sekali dengan nilai peri kemanusiaan."

Al-Banna kemudiannya menambah:

"Ikhwan tidak juga tidak perlu melaungkan semangat Firaun atau Aran atau Phoenix atau Syria atau apa sahaja nama atau gelaran yang menjadi kebanggaan ramai manusia. Namun ikhwan menerima apa yang dikatakan Rasulullah SAW yang merupakan seorang manusia yang sempurna malah seorang manusia terbaik yang mengajar prkara yang baik kepada manusia. Sabda baginda,

"Allah telah membersihkan kamu daripada nilai jahiliyyah dan budaya berbangga dengan nenek moyang. Seluruh manusia beasal dari Adam dan Adam berasal dari tanah. Tiada kemuliaan bagi orang Arab berbanding bukan Arab kecuali dengan ketaqwaan."

Alangkah indah dan adilnya ungkapan ini. Semua manusia daripada Adam dan kerana itu mereka semua setaraf. Manusia hanya berbeza berdasarkan amalan mereka. Jadi sepatutnya mereka bersaing dalam melakukan kebaikan. Sekiranya dua teras ini menjadi landasan kepada bangsa manusia sudah tentu martabat manusia akan meningkat hingga ke puncak langit.

Pertama, semua manusia daripada Adam jadi mereka semua adalah bersaudara. Oleh itu mereka perlu saling bekerjasama, bahu-membahu, berkasih-sayang dan saling memimpin ke arah kebaikan. Kedua, perbezaan antara manusia hanyalah berdasarkan amalan mereka. Jadi masing-masing perlu berusaha supaya dapat mengangkat martabat seluruh manusia.

Adakah ada perkara yang dapat mengangkat darjat manusia ke tahap ini? Apakah ada didikan yang lebih baik daripada didikan Rasulullah SAW ini?"

Nah, sudah terang lagi bersuluh dengan lampu sorot bukan? Kata-kata al-Banna yang cukup tulus dan bersih itu, saya kira boleh menjelaskan banyak perkara yang sedang berkecamuk sekarang ini.

Tentang apa akhlak dan sikap yang sepatutnya kita tonjolkan terhadap mereka yang menolak dakwah ini, al-Banna berkata:

"Kita berdamai dengan mereka jika mereka berdamai dengan kita. Kita juga berbaik dengan mereka jika mereka tidak bermusuh dengan kita. Kita yakin hubungan antara kita dengan mereka ialah hubungan dakwah. Menjadi tanggungjawab kita menyeru mereka supaya bersama kita kerapa apa yang kita miliki ini adalah baik untuk seluruh bangsa manusia. Kita akan menggunakan pelbagai cara dan wasilah yang telah ditetapkan oleh Islam demi menjayakan dakwah ini. Jika mereka memusuhi kita, kita akan balas dengan cara yang baik."

Padat. Cantik. Terus ke hati.

Mungkin akan timbul sangkaan atau dakwaan daripada anda, saya bersifat selektif dalam mengkuot Imam Hassan al-Banna. Saya hanya mampu tersenyum dan menggeleng kepala. Bacalah risalah Daawatuna itu sendiri, dan akan dapati, mesej-mesej yang ingin saya tekankan di sini adalah konsisten dengan keseluruhan risalah itu.

Tidak, saya tidak mahu terperangkap di dalam perdebatan-perdebatan emosional yang tidak membuahkan amal. Saya tidak mahu terjerat dengan acara tuduh-menuduh dan caci memaki yang akhirnya akan merugikan diri sendiri dan dakwah ini.

Kita punya kerja yang masih terlalu banyak untuk dipikul. Kita tidak punya masa untuk bertelagah dan bercakaran. Ummah di sana masih amat memerlukan bimbingan dan kita memilih untuk bergaduh di MukaBuku dan Pengicau yang tidak berkesudahan. Aduhai.
Cukup-cukuplah. Sudah-sudahlah. Apa yang kalian perolehi daripada pergaduhan dan perdebatan ini? Kepuasan hati? Keseronokan diri? Melengkapkan mutabaah sehari? Erk.

Kalau saya hadek bulatan gembira anda sudah tentu saya akan minta untuk tukar usrah. Eh. Hilang tsiqah bhai!

Dan sekiranya anda benar dan tegar mahu mengaku diri anda sebagai seorang ikhwan, maka hormati dan ikutilah prinsip-prinsipnya. Jangan hanya pandai mengaku ikhwan mulut dan alam maya, tapi sebenarnya anda sedang membawa fitnah dan memburukkan lagi perjuangannya!
Andai masih berdegil, hanya ini yang mampu saya ungkapkan:

"Ini dakwah gue! Dakwah lo' gimana...??"

Wahai!

-gabbana-

Tidak pernah bosan menelaah dan mengkaji semula tulisan-tulisan Hassan al-Banna. Hidup, segar dan sentiasa relevan.

Moga Allah merahmati sosok yang pernah menggegarkan dunia itu. Moga Allah izinkan saya untuk ketemu dengannya di sorga sana! Biidznillah! 

5 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 12/05/2014, 16:40  

Osem :)

Unknown 13/05/2014, 08:13  

Dah lama tunggu entri sebegini. Thanks ig.

Anonymous 13/05/2014, 11:12  

I admire ikram, I support isma, as long as they don't quarrel with each other.(Ref: Alifah Ting).
I can support your motion to boycott macD. Can you agree with me not no eat at Old Town-what-kopitiam? and the like?

Anonymous 19/05/2014, 23:17  

mana nak jumpa buku2 dari albanna and yusuf alqardhawi dekat2 area shahalam nih?

Anonymous 21/05/2014, 21:50  

Kedai buku wisma MAIS ada xsilap..dan juga di kedai buku ole2 seksyen 18 aras2..shah alam iAllah senang nak cari buku2 agama & dakwah;)

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP