30 December 2014

Abam Teksi

[Kredit]

Telefon Saniman berbunyi. Ada notifikasi dari aplikasi MyTeksi yang baharu dimuatnaiknya dua minggu yang lepas.

Ada penumpang yang mahu ke Kelana Jaya dari Gombak Setia.

Ah, jauh sangat tu. Time macam ni konfem jem lagi. Kenapa tak naik LRT je?

Saniman meneruskan pemanduannya. Tidak dinafikannya, semenjak dia mula menggunakan aplikasi MyTeksi, lebih mudah untuk dia mendapatkan penumpang. Pada mulanya, dia agak skeptikal dengan perisian itu. Ah Saniman memang skeptikal dengan apa-apa jenis teknologi pon. Dengan telefon pintar pon dia skeptikal, apatah lagi dengan aplikasi yang kononnya boleh memudahkan para pemandu teksi  untuk mencari penumpang itu?

Tetapi setelah diyakinkan oleh beberapa orang rakan pemandu teksinya yang mendakwa aplikasi itu telah banyak memudahkan hidup mereka, akhirnya Saniman akur. Namun Saniman terpaksa membeli sebuah telefon pintar dahulu. Setelah puas mencari telefon yang paling murah yang boleh didapati di pasaran, akhirnya Saniman berpuas hati dengan telefon Ninetology buatan Malaysia.

Patriotik katanya.  

Telefonnya berbunyi lagi. Ada orang yang mahukan teksi untuk ke Bukit Bintang dari Setiawangsa.

Bukit Bintang? Gila apa. Orang baru nak pergi lunch ni!

Masuk satu lagi notifikasi.

Ada penumpang yang mahu ke Bukit Antarabangsa dari Wangsa Walk Mall.

Saniman menderam jari-jemarinya pada stereng kereta Proton Saga yang dimilikinya secara sewa beli itu. Berkira-kira sama ada mahu mengambil penumpang itu atau pon tidak.

Sempat dijelingnya gambarnya pada lesen pemandu teksi yang diletakkan di atas dashboard di hadapan tempat penumpang hadapan. Tujuh tahun yang lalu. Ketika itu misainya masih tebal dan kumisnya panjang.

Hensem jugak aku. Kehkeh.

Akhirnya dia membuat keputusan. Dia menekan skrin telefonnya untuk menerima tawaran untuk mengambil penumpang tersebut.

Bukit Antarabangsa dekat je. Abes hantar dia, boleh aku patah balik ke Sri Rampai.

Proton Saga berwarna biru tua dan putih itu meluncur laju menuju ke Wangsa Walk Mall. Seminit sebelum tiba, Saniman menelefon bakal penumpangnya itu, untuk memastikan lokasi sebenarnya agar mudah Saniman menjemputnya nanti.

Suara lelaki. Muda. Saniman sedikit kecewa.

Tibanya Saniman ke lokasi, seorang lelaki tampan, berbaju kemeja putih dengan tangan yang tersingsing, berseluar khaki perang tua dengan loafer merah yang sepadan, sudah sedia menanti. Ada beg kertas besar berwarna biru tua tertulis ZARA. Baru selesai shopping agaknya. Lelaki itu tersenyum sebaik sahaja melihat kelibat teksi Saniman. Dalam lesung pipitnya. Manis.

“Assalamualaikum.”

Lelaki itu memberikan salam sebaik sahaja pintu dikuak. Semerbak bau minyak wangi menusuk hidung Saniman apabila lelaki itu menutup pintu teksinya. Saniman tidak tahu minyak wangi jenama apa yang digunakannya, tapi yang pasti, ia adalah minyak wangi yang mahal. Alah Saniman tidaklah kisah sangat pon. Ketiaknya itu pon jarang sekali disapu dengan deodoran, inikan pula mahu ambil tahu tentang minyak wangi? Lupakan.   

Saniman memerhatikan lelaki itu dari cermin pandang belakangnya. Kini struktur wajah dan fizikal lelaki itu lebih jelas. Kulitnya putih dan licin. Hidungnya mancung. Rambutnya kerinting dipotong pendek. Keningnya tebal dan bulu matanya juga tebal. Kepala Saniman berputar memikirkan sama ada dia pernah terlihat lelaki ini di mana-mana iklan atau drama Melayu.

Lelaki itu tersenyum, seakan-akan tahu yang dia sedang diratah oleh mata Saniman. Malu Saniman dibuatnya. Tersipu-sipu jadinya.

“Err Bukit Antarabangsa dekat mana Encik?”

“Oh ye. Depan sikit dari Masjid Bukit Antarabangsa tu. Atas lagi.”

“Oohh ok.”

Lelaki itu tersenyum lagi. Saniman senang dengan penumpangnya itu. Tak lokek dengan senyuman. Nampak pon baik.

Pengalaman Saniman memandu teksi selama tujuh tahun telah menemukannya dengan beraneka jenis penumpang. Yang sombong perasan macam Mak Datin ada. Yang baik hati pijak semut tak mati ada. Yang bisu sepanjang perjalanan ada. Yang terlebih ramah sehingga buat Saniman menyampah pon ada. Macam-macam ada!

Suasana di dalam teksi itu sunyi seketika, hanya ditemani dengan celoteh deejay Sinar.fm, sehinggalah teksi itu baharu sahaja melepasi Zoo Negara apabila lelaki itu memulakan biacara.

“Dah lawa bawak teksi bang?”

“Adalah dalam… tujuh tahun gitu.”

“Oh lama jugak tu. Sebelum tu abang kerja apa?”


“Macam-macam encik. Pernah jadi buruh binaan. Pernah jual jambu dan air bungkus naik motor. Pernah kerja di pejabat. Macam-macam lah.”

Lelaki itu tersenyum lagi. Ada riak kagum pada wajahnya.

“Banyak pengalaman abang ni. Kenapa pilih untuk bawak teksi?”

Saniman sedikit tersentak dengan soalan itu. Dia berfikir sejenak sebelum menjawab. Jujur, dia sendiri tidak pasti mengapa.


“Entahlah Encik. Ni saja yang saya mampu buat untuk tanggung anak bini.”

“Oh. Abang berapa orang anak?”

“Empat. Hujung tahun ni masuk lima InsyaAllah.”

Kali ini Saniman pula yang tersenyum lebar.

“Wah tahniah bang!”

“Terima kasih Encik. Encik? Dah kahwin?”

Lelaki itu tertawa kecil.

“Saya? Abang rasa? Ada gaya macam suami orang tak? Hehe.”


Saniman tersenyum simpul. Dia cuba mengagak.

“Entahlah Encik. Kalau ikut firasat saya, macam belum.”

Lelaki itu tersenyum lebar sehingga menampakkan giginya.

“Haha. Nampak muda lagi eh saya ni bang? Saya dah kahwin bang. Anak sorang.”

Terangkat kening Saniman mendengarnya. Sangkanya, lelaki sekacak dan sebergaya itu, pasti memilih untuk bujang lebih lama. Bertuah siapa yang menjadi isterinya.  

Saniman memberikan isyarat untuk masuk ke kiri. Teksi Proton Saga itu membelok ke kiri, bersedia untuk mula mendaki Bukit Antarabangsa. Azmin Ali tersenyum menyambut sesiapa sahaja yang mahu masuk ke kawasan parlimennya itu. Bergoyang-goyang loket kalimah Allah dan Muhammad berwarna emas yang digantung pada cermin pandang belakang teksinya itu.

Sisa-sisa tanah runtuh beberapa tahun yang lepas masih jelas kelihatan di bahagian kanan jalan. Seriau juga Saniman dibuatnya.

“Mesti macam-macam jenis penumpang abang dah jumpa kan?”

Saniman melihat cermin pandang belakangnya. Dia tidak dapat meneka motif lelaki itu bertanyakan soalan sebegitu kerana dia sedang memandang ke arah luar.

“Haah Encik. Macam-macam perangai ada.”

Lelaki itu mula menunjukkan minatnya.

“Macam-macam perangai? Contoh?”

Saniman memerhatikan sekeliling, risau jika dia terlepas simpang. Dia bukanlah selalu ke Bukit Antarabangsa itu.

“Macam-macam lah encik. Yang nak menipu ada. Yang buat-buat takde duit ada. Yang dok sibuk beromen ada. Yang pelupa ada. Yang pemurah dan baik hati pon ramai. Ada sekali tu, tambang makcik ni sembilan ringgit je, tapi makcik ni ada doploh ringgit, dia takde duit kecik. Dia kata, ‘Keep the change.’ Ha yang macam tu saya suka.”

Kedua-dua Saniman dan lelaki itu tertawa.

 “Abang selalu kena tipu?”

“Uhmm takdelah selalu. Tapi cukuplah untuk saya kenal jenis orang macam ni.”

“Iya? Macam mana?”

Saniman lega apabila dia menangkap papan tanda ‘MASJID BUKIT ANTARABANGSA.’ Dia segera mengikuti arah yang ditunjukkan papan tanda itu.

“Selalunya orang macam ni baik semacam. Macam-macam dia borak. Tanya khabar kita lah. Tanya pasal anak kita lah. Terlebih prihatin. Lepas tu dia mintak berhenti kat mana-mana, konon terlupa barang. Lepas tu nanti dia tak muncul-muncul dah. Lesap! Lelaki perempuan, sama je!”

Baik semacam. Tanya khabar. Terlebih prihatin.

Lelaki itu tertawa kecil.

“Abang tak pernah kena samun ke?”

“Alhamdulillah, belum pernah kena lagi. Depan lagi ke Encik?”

“Ha ye, depan lagi. Sikit lagi bang.”

Tersedak-sedak teksi Proton Saga itu mendaki bukit. Manakan tidak. Manual. NGV lagi. Sudah berusia tujuh tahun lebih. Memang sudah seasoned!

“Ok bang. Nampak simpang ke kiri tu kan? Ha masuk situ.”

Saniman menurut arahan. Namun dia pelik kerana sebaik sahaja dia membelok ke kiri, yang ada hanyalah semak samun dan hutan belukar di kiri dan kanannya. Mana ada kawasan perumahan di situ. Ada sebuah kereta MyVi berwarna hitam tanpa nombor plat yang diletakkan di bahu jalan.

“Betul ke ni En..”

Saniman berpaling mahu menoleh ke arah lelaki itu. Namun dia seperti terkena kejutan elektrik apabila ada benda tajam yang mencucuk lehernya.

“Minta maaf bang. Saya bukan suka buat kerja ni. Tapi terpaksa. Anak bini nak makan. Cari kerja, semua rejek. Saya terdesak bang.”

Saniman menelan air liurnya. Kering. Tiada air liur yang keluar.

Kecut perut Saniman apabila sekilas pandang pada cermin pandang belakang, benda tajam yang mencucuk lehernya itu adalah sebilah pisau Rambo. Pundi kencing Saniman seperti mahu merembes ketika itu juga.   

“Abang bagi je lah apa yang abang ada. Jangan melawan bang. Ingat, saya ni terdesak. Abang ikut je cakap saya. Saya takkan apa-apakan abang.”

Saniman mengangguk perlahan. Dia terketar-ketar.

Tiba-tiba Saniman teringat pada cerita yang sedang heboh dalam kalangan pemandu teksi di kawasan Lembah Klang itu. Perihal seorang penyamun yang begitu berbudi pekerti dan bergaya. The Gentleman Thief; gelaran yang diberikan kepada penyamun itu.

Tidak disangkanya, dia terpilih untuk bertemu dengan lelaki itu hari ini.

“Ha, kunci kereta tu sekali.”

“To..tolong Encik. Teksi ni je lah punca rezeki saya. Encik amiklah apa yang Encik mahu, tapi bu…bukan teksi ni.”

Lelaki itu tersenyum tipis. Ada bibit simpati pada wajahnya yang bersih itu.

“Jangan risau bang. Saya bukan nak amik teksi abang. Saya tak nak abang lari awal-awal je. Saya akan tinggalkan kunci abang ni kat bawah bukit, dekat dengan masjid tadi. Nanti abang carilah kat situ. Ok bang?”

Lelaki itu mengeluarkan sesuatu dari beg kertas ZARA-nya.

“Maaf bang. Saya terpaksa ikat abang. SOP.”

Pucat wajah Saniman melihat tali guni entah berapa kaki yang dipegang kemas lelaki itu.

Selesai mengikat Saniman pada kerusi pemandu, lelaki itu bersiap untuk pergi.

Tiba-tiba telefon Saniman berbunyi. Notifikasi dari MyTeksi. Ada penumpang yang memerlukan pengangkutan untuk ke stesen LRT yang terdekat dari Bukit Antarabangsa.

Lelaki itu tersenyum nakal.

“Dan. Ini juga.”

Lelaki itu mencabut telefon Saniman dari pemegangnya yang dilekatkan pada cermin kereta. Dia membelek-belek telefon itu.

“Ninetology? Ada jugak orang pakai eh?”

Lelaki itu terkekeh kecil memandang Saniman.

“Ok bang. Saya mintak diri dulu. Minta maaf banyak-banyak ye bang. Assalamualaikum.”

Saniman menyumpah. Di dalam hati lah; tak sanggup dia kena sembelih dengan pisau Rambo!
Hanya ada satu perkara yang benar-benar pasti yang sedang bermain di dalam kepala Saniman; sebaik sahaja dia bebas nanti, perkara pertama yang akan dia lakukan adalah batalkan pendaftaran keahliannya dengan MyTeksi!

-gabbana-

28 December 2014

Keputusan Pertandingan Mereka Kaver Baru IPJ


Ya, anda sedang melihat baju baru yang bakal disarungkan kepada buku 'Ikhwah Pakai Jeans: Kerana Akhirnya Ikhwah Itu Seorang Lelaki' cetakan kedua nanti.

Meskipon saya sudah pon membuat pengumuman ini di laman MukaBuku saya, saya kira dengan post ini, keputusan Pertandingan Mereka Kaver Baru IPJ dikira rasmi dan sebarang rayuan dan surat-menyurat tidak akan dilayan.

Mabruk dan syabas diucapkan kepada Saudara Najmul Musyaroff atas rekaan yang cukup bergaya dan menambat hati para juri. Eheh.

Jujurnya, amat sukar sekali untuk kami membuat keputusan, apatah lagi banyak penyertaan yang dihantar haibat dan berkualiti sekali. 

Namun akhirnya rekaan Najmul ini yang dipilih untuk menjadi kaver baru IPJ nanti, untuk beberapa faktor. Antara faktor-faktor tersebut termasuklah:

  • Rekaan yang simpel dan tidak berserabut
  • Penggunaan warna yang semat lagi elegan
  • Elemen seluar jeans yang mengujakan
Rekaan saudari Diyana Zahari pula telah berjaya menduduki tempat kedua:




Jujur, para juri juga hampir-hampir tergugat dengan rekaan ini. Rekaan yang sempoi dan unik, di samping penggunaan props yang menarik, menjadikan rekaan ini antara pilihan utama para juri. 

Tahniah dan syabas diucapkan!

Dan rekaan saudara Nazmee Leewon (tak pasti ni nama penuh dia ke apa) telah dipilih sebagai rekaan ketiga pilihan hati dan lubang hidung juri. Eh.




Rekaan yang menggunakan kombinasi warna gelap dan oren ini dengan penggunaan elemen seluar jeans yang optimum telah berjaya mendapat antara undian tertinggi dalam kalangan para pembaca. Bravo!

Para pemenang akan dihubungi oleh pihak Hud Hud Media untuk urusan hadiah dan penghargaan seperti yang telah dijanjikan sebelum ini. 

Mabruk dan syabas sekali lagi kepada semua pemenang! 

Untuk pengetahuan semua, buku IPJ cetakan kedua sudah berada di peringkat akhir pengeditan layout. InshaAllah, sasarannya ia akan mula dikeluarkan di pasaran pada pertengahan bulan Januari ini. Doakan! 

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jazakumullahu khairan katheera kepada semua para pembaca belog APG yang tidak henti-henti mendoakan dan memberikan sokongan. Sehingga ke hari ini, tidak putus-putus saya menerima pertanyaan bagaimana mereka boleh mendapatkan naskhah IPJ. Tanpa doa dan anda semua, saya tidak mungkin boleh sampai ke tahap seperti ini. Alhamdulillah haadza min fadhli rabbi.

Doakan juga agar urusan pencetakan buku kedua saya, #Chenta, dipermudahkan olehNya. Saya terpaksa beritahu anda bahawa kavernya sahaja sudah sumpah mengujakan! Ohoi! 

Moga Allah redha! 

-gabbana-

Jangan berhenti mendoakan dan membantu mana yang termampu untuk para sahabat dan saudara kita yang sedang ditimpa musibah banjir, terutamanya mereka yang berada di Pantai Timur. 

Juga tidak dilupakan, pesawat QZ8501 yang dilaporkan hilang dalam penerbangannya dari Surabaya ke Singapura. Meskipon hanya seorang rakyat Malaysia yang terlibat, namun ia tetap membutuhkan kemanusiaan kita bukan?

Sungguh, Allah mahu kita belajar tentang banyak perkara melalui musibah-musibah ini. Moga kita menjadi para hambaNya yang bertaqwa!


22 December 2014

Seloka Dunia Yang Gila

[Kredit]

Hari ini gua buka newspaper,
Macam-macam berita gua baca,
Dari satu benua ke satu benua,
Buat gua serabut kepala.

Interpol kata nak tangkap Qaradhawi,
Padahal Bashar masih bebas lagi,
Israel kejam tiada siapa peduli,
Adakah ini dikatakan hak asasi?

Gua terus baca newspaper,
Manalah tahu ada cerita suka,
Takdelah asyik kelam durjana,
Tapi sekali lagi gua kechiwa.

Di Ostrolia kedai cokolat kena tawan,
Oleh ekstremis asalnya dari Iran,
Ramai budak kena bunuh di Pakistan,
Dengan pak serban bernama Taliban!

Gua selak lagi newspaper,
Macam-macam yang gua jumpa,
Kadang-kadang macam tak percaya,
Betulkah ini negara gua Malaysia?

Rosyam Nor mengamuk di Twitter,
Pasal anaknya yang nak mintak kerja,
Nasib baik dia selebriti glemer,
Kes setel dalam sehari dua!

Gua baca lagi newspaper,
Harapannya ada lah berita gembira,
Tapi yang banyak bala bencana,
Aduhai dunia, kenapa dan mengapa?

Pantai timur dilanda banjir,
Habis rumah kena tenggelam air,
Kena pindah dewan terpinggir,
Alahai kasihan moga terus isbir!

Gua selak dan selak newspaper,
Entah apa pula berita yang ada,
Berdebar juga gua dibuatnya,
Jangan buruk lagi gua minta!

Tapi gua rasa mahu tepuk kepala,
Kafir-mengkafir sini sana,
Salafi Wahhabi dua perkataan popular,
Sampai kiamat baru habis agaknya!

Gua teliti lagi newspaper,
Walaupon gua dah pening kepala,
Perut mual sempit dada,
Dunia ni betul-betul sudah gila!

Maksiat dosa macam perkara biasa,
Bunuh orang dah macam takde apa,
Tapi ostad ostajah terus berlaga,
Masing-masing nak tunjuk terer!

Gua terus tatap newspaper,
Manalah tahu ada seprais bahagia,
Tapi gua silap macam tak percaya,
Yang ada hanyalah fitnah durjana.

Isu Melayu dijual dijaja,
India Cina rakyat kelas kedua,
Nak kritik tak boleh suka-suka,
Silap haribulan dituduh derhaka!

Newspaper masih di depan mata,
Gua dah tak sanggup nak baca,
Entah apa lagi berita yang ada,
Sampah dan najis sahaja agaknya.  

Tahun depan tahun kesusahan,
Harga barang naik sedemikian,
Rakyat terus ditekan dibeban,
Walhal menteri kaya dan wahan!

Gua rasa nak tutup newspaper,
Dengan sisa tenaga yang ada,
Sebab gua sedih bermuram durja,
Nak muntah nak pitam, semua ada!

Wahai Tuhan selamatkanlah kami,
Dari fitnah dan ujian duniawi,
Sungguh kami perlukan bimbingan Ilahi,
Keluarkan kami dari kegilaan ini!

-gabbana-


18 December 2014

Kaver Baru IPJ

Alhamdulillah, dengan penuh rasa bersyukur, bangga dan terujanya, saya ingin kongsikan dengan anda LIMA BELAS kaver untuk IPJ yang telah disenaraipendek sempena Pertandingan Mereka Kaver Baru IPJ yang dianjurkan baru-baru ini.

Maka saya perlukan bantuan dan kerjasama anda untuk memilih kaver pojaan hati anda dengan mengundi di kotak undian di bahagian kanan belog ini.

Saya mohon jasa baik anda untuk mengundi TIGA sahaja kaver pilihan hati anda dan tidak lebih daripada itu. Dan anda hanya boleh mengundi SEKALI sahaja untuk setiap kaver. Hanya kejujuran dan ketelusan anda sahaja yang saya harapkan. Boleh kan? 

Tiga kaver yang memperoleh undianH tertinggi akan memasuki pusingan yang seterusnya yang mana kaver yang akhirnya akan terpilih untuk menjadi kaver IPJ akan dipilih oleh beberapa orang juri khas (nama-nama mereka terpaksa dirahsiakan kerana dikhuatiri akan diugut bunuh). Maknanya, kaver yang memperoleh undian tertinggi belum tentu akan berjaya menjadi kaver IPJ yang baharu. Ada faham?

Undian akan dibuka sehingga Ahad 21 Disember jam 11.59 malam waktu Malaysia. Keputusan akhir akan diumumkan sesegera yang mungkin, biidznillah.

Baiklah. Anda sudah bersedia?

Betulkan tempat duduk. Buat-buat batuk.

Bismillah. Saya bawakan anda calon-calon kaver baru untuk IPJ!  


K1 - Aina Irdina



K2 - Aminuddin Tusri



 K3 - Diyana



K4 - Huda



K5 - Ikram



K6 - Im Faqihuddin




K7 - Milky Lula



K8 - Najmul



K9 - Najmul



K10 - Nazri Leewon



 K11 - Norfadillah



K12 - Taufiq



K13 - Taufiq



K14 - Najmul



K15 - Milky Lula


[Sila klik gambar-gambar di atas untuk imej yang lebih jelas dan bergaya]

Tarik nafas. Sumpah mengujakan bukan? Hoyeaaahh!

Oh ya. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jazakumullahu khairan katheera kepada semua yang telah menghantar karya-karya anda untuk pertandingan mereka kaver baru IPJ ini. Mohon jangan terjun gaung ya kepada yang tidak terpilih? Cuba lagi, err, tiga tahun depan? Eheh. 

Baiklah. Selamat mengundi dengan penuh keterujaan! Moga Allah redha!

-gabbana-
 

16 December 2014

Memaknai Amin Dalam al-Fatihah

[Kredit]

Jika saya tanya mengapa dalam solat berjemaah, para jemaah akan beramai-ramai mengaminkan bacaan al-Fatihah oleh sang imam dengan penuh lantang, nyaring dan mendayu-dayu, saya pasti ramai daripada anda dengan yakinnya akan menjawab kerana al-Fatihah itu sendiri merupakan sebuah doa.

Anda bijak. Anda benar.

Namun sekiranya saya bertanyakan kepada anda, mengapa surah al-Fatihah itu begitu haibat dan pawer sehingga ia wajib dibaca dalam setiap rakaat solat, tidak kiralah solat apa sekalipon hatta solat jenazah sekalipon...

Atau mengapa gelaran untuk surah al-Fatihah itu adalah umm al-Quran atau ibu kepada al-Quran...

Atau mengapa nama surah al-Fatihah itu sendiri adalah al-Fatihah, yakni pembuka (pembuka kepada al-Quran)...

Saya pasti ramai yang akan terkial-kial dan terkulat-kulat untuk menjelaskannya.

Tidak mengapa, jangan khuatir. Ia tidak akan menjejaskan kewibawaan anda atau reputasi anda sebagai bekas pelajar terbaik SPM sekolah suatu ketika dahulu. Namun kehenseman anda mungkinlah tercalar sedikit. Eheh.

Saya yakin bukanlah suatu masalah yang besar untuk anda mendapatkan khidmat Syaikh Gugel atau Ostad Wiki untuk merungkaikan keserabutan anda dek soalan-soalan saya di atas. Bukan juga suatu masalah untuk anda mencari mana-mana tafsir yang sesuai untuk memberikan anda jawapannya.

Namun ijinkan saya untuk berkongsikan beberapa perkara yang sangat menarik tentang surah yang cukup menggugah ini menurut sudut pandang saya yang marhaen ini, berdasarkan ilmu di dada yang sekelumit cuma. Alahai. 

Ehem. Betulkan tali leher dan tempat duduk. Ok dah lama tak buat kerja-kerja ni. Wahahaha.

Pertamanya, ia dinamakan surah al-Fatihah (pembuka) adalah kerana ia seolah-olahnya membuka pintu masuk untuk kita lebih memahami dan memaknai surah-surah yang lainnya. Menurut Amr Khaled di dalam Khowatir Qurannya, tema dan mesej-mesej penting yang terkandung dalam setiap surah, terkandung juga di dalam al-Fatihah. Mudah kata, al-Fatihah adalah kunci untuk memahami surah-surah yang lainnya.

Wah, sumpah kool bukan??

Maka tidak hairanlah juga yang al-Fatihah ini digelar ibu kepada al-Quran; kerana sepertimana anak-anak kecil yang apabila tidak pasti akan sesuatu akan bertanyakan kepada sang ibu, al-Fatihah seakan-akannya menjadi rujukan kita apabila kita gagal memahami atau menghayati keindahan surah-surah lain. 

Keduanya, mesej-mesej yang ditekankan di dalam al-Quran sebenarnya menyimpulkan tujuan hidup kita di muka bumi ini. Lafaz di dalam surah al-Fatihah adalah manifestasi kepada keimanan kita kepada Allah, Tuhan Pemilik bagi segala-galanya dan juga ar-Rasul SAW, utusan yang dihantar Allah untuk membimbing kita.

Dari aspek bahasa, lafaz


Ø¥ِÙŠَّاكَ Ù†َعۡبُدُ ÙˆَØ¥ِÙŠَّاكَ Ù†َسۡتَعِينُ

adalah suatu jeritan terdesak meminta pertolongan agar diselamatkan. Kata 'nastain', yang sama maksudnya dengan 'istinaa' yang bermakna meminta pertolongan, berasal dari kata akar 'aaun' yang menggambarkan permintaan pertolongan dalam keadaan kita benar-benar sesak dan sempit.

Dari aspek makrifahnya pula, lafaz ini menggambarkan keimanan dan kebergantungan kita yang total kepada Allah semata-mata. Ia merupakan kesaksian seorang hamba yang marhaen lagi lemah, yang mengakui bahawa di sana ada suatu kuasa yang agung dan hebat, yang sempurna dan tiada cacat celanya. Inilah manifestasi 'ubudiah (perhambaan) kita sebagai makhluk ciptaan kepada Sang Pencipta. Kerana itu ia dimulakan dengan 'na'budu'; lambang kehambaan dan kemarhaenan kita di sisi Allah.

Manakala lafaz

ٱهۡدِÙ†َا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡÙ…ُسۡتَÙ‚ِيمَ
صِرَٲطَ ٱلَّØ°ِينَ Ø£َÙ†ۡعَÙ…ۡتَ عَÙ„َÙŠۡÙ‡ِÙ…ۡ غَÙŠۡرِ ٱلۡÙ…َغۡضُوبِ عَÙ„َÙŠۡÙ‡ِÙ…ۡ ÙˆَÙ„َا ٱلضَّآلِّÙŠ

adalah pengharapan kita sebagai hamba yang lemah, agar ditunjukkan kita jalan dan caranya bagaimana kita dapat mencontohi assabiqun al-awwalun (golongan terdahulu) yang terlebih awal menelusuri jalan ini. Perhatikan bahawa konteks ayat ini merujuk kepada sesuatu yang sudah berlaku (Baca: Past tense) - qudwah sebenar kita adalah mereka yang telah syahid di atas jalan ini; mereka yang masih hidup belum tentu lagi akan dapat berjaya mengharungi kehidupan ini dengan penuh bergaya. 

Ia juga adalah isyarat bahawa dalam menjalani kehidupan kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, kita memohon agar dibimbing dan diberikan petunjuk agar kita dapat memakmurkan alam buana ini sepertimana yang pernah berjaya dilakukan oleh golongan terdahulu. Dengan kata lain, untuk mengembalikan semula khilafah, untuk mengembalikan semula kegemilangan dan kemakmuran Islam, formulanya cukup mudah; tiru dan lakukan apa yang pernah dilakukan oleh ar-Rasul SAW dan para sahabat suatu ketika dahulu. 

Cukup menggugah bukan?

Nah, apa pula pengajaran ketiga yang bisa kita peroleh daripada surah yang cukup pawerrr ini?

Surah al-Fatihah juga sebenarnya mengajar kita cara-cara dan adab untuk berdoa. Sekiranya kita mahu berdoa, sewajarnya kita berdoa sepertimana kita membaca surah al-Fatihah. Bukankah surah al-Fatihah itu sendiri merupakan sebuah doa?


[Kredit]

Ayat 1 hingga 4 itu adalah puji-pujian dan ucapan syukur kepada Allah. Ayat 5 itu pula adalah pengakuan pengharapan dan pergantungan kepada Allah semata. Manakala ayat 6 dan 7 adalah konteks dan isi doa itu sendiri.

Makanya, setiap kali kita mahu berdoa, ia perlu mengikuti format yang sebegitu. Mulakan dengan ucapan puji-pujian dan syukur kepada Allah (juga solawat dan salam kepada Rasulullah SAW), kemudian nyatakan pengharapan dan betapa terdesaknya kita dalam meminta pertolongan dan akhir sekali, mintalah kepada Allah apa yang terbuku di hati. InshaAllah pasti Dia akan mengabulkan segala permintaan yang dihajati.

Di dalam sebuah hadith qudsi, disebut bagaimana Allah menjawab setiap bacaan ayat surah al-Fatihah kita. Oleh sebab itulah, 'Umar al-Khattab r.a. akan berhenti seketika pada setiap selang ayat surah al-Fatihah, agar dia dapat menikmati dan menghayati jawapan-jawapan Allah kepada doanya itu. Subhanallah.

Nah, bagaimana? 

Selepas ini kita akan memandang surah al-Fatihah itu dengan pandangan yang sedikit berbeza bukan?

Selepas ini kita akan lebih menghargai mengapa setiap hari kita wajib melafazkan TUJUH BELAS kali bacaan surah al-Fatihah bukan?

Dan selepas ini kita akan berasa lebih hidup, segar dan nikmat setiap kali kita mengamiinkan bacaan al-Fatihah sang imam itu bukan?

Senyum.

-gabbana-

Subhanallah walhamdulillah, akhirnya Allah izinkan juga saya untuk menyudahkan tulisan ini. 

Haadza min fadhli rabbi. Terasa begitu nikmat dan bersyukur, setelah sekian lama berhenti menulis. 

Moga Allah redha dengan penulisan yang marhaen ini. Dan moga Allah ampunkan dosa-dosa saya dan kita semua, biidznillah. 

Amiin, ya robbal a'lamin. 


26 November 2014

Lap Hingus Tu Boleh Tak?

[Kredit]

Jika anda bersama dengan gerabak tarbiyah dan dakwah ini, anda pasti pernah berasa sedih. Dan anda punya terlalu banyak sebab dan alasan untuk berasa sedih.

Sama ada dakwah yang tidak menjadi.

Hadek bulatan gembira yang melarikan diri.  

Diri yang sering dihina dan dicaci. 

Ujian harta, kerjaya dan keluarga yang menghambat diri.

Masalah ummah yang seakan-akan tidak punya solusi.

Ya, ada banyak sebab untuk kita berasa sedih.

Saya sendiri ada suatu kisah sedih yang ingin saya kongsikan. Di tahun pertama saya mula membawa bulatan gembira saya yang sendiri, telah berlaku suatu peristiwa yang benar-benar menyebabkan saya berasa bawah dan terasa seperti mahu terjun ke dalam gaung yang paling dalam. 

Ketika itu saya masih belajar di Kerajaan Bersatu. Ada seorang hadek yang begitu berpotensi, yang saya letakkan harapan yang tinggi kepadanya, melihatkan kepada personaliti dan kelogaman yang ada padanya. Saya namakan dia sebagai N. Saya begitu optimis pada N. Malah, saya melihat diri saya ada pada N.

Namun selepas cuti panjang musim sejuk, saya menerima satu mesej pesanan ringkas daripada N (semasa itu masih belum ada waksep lagi). Mesejnya kurang lebih begini:

"[Inche gabbana], I'm gonna drop a bomb."

Saya sudah dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Berderau darah saya apabila membaca penyudahan mesej itu.

"I don't think I want to continue usrah with you. It's nothing to do with you. It's just me."

(Cakap omputoh ok? Eheh.)

Terasa berdiri segala macam bulu yang ada di belakang tengkuk saya. Walaupon dinyatakan bahawa keputusannya itu adalah keputusan peribadi, namun saya tahu benar dua ayat yang terakhir itu adalah ayat penyedap hati. 

Bayangkan sahajalah bagaimana perasaan saya yang baharu mahu merangkak dan bertatih di dalam membawa bulatan gembira ketika itu.

Terasa macam ada seorang lelaki gagah setinggi enam kaki menumbuk tepat pada muka saya, kemudian menggelakkan saya sambil membuat tarian ayam (Baca: Chicken dance). Err. 

Cukup meremukkan jiwa. Cukup menghiris hati. Cukup cukup menyedihkan. 

Tiada salahnya untuk kita berasa sedih. Apatah lagi jalan dakwah ini sememangnya panjang dan berduri, penuh dengan kaca, paku dan gula-gula getah bekas ludahan entah siapa. Eh.

Tapi tidak perlulah kita bersedih dan terlalu bawah, sehingga kita meninggalkan terus kerja-kerja tarbiyah dan dakwah kita. Janganlah terlalu terguris dengan seorang hadek bulatan gembira, sehingga kita abaikan hak-hak hadek-hadek yang lainnya. Janganlah terlalu remuk dan sebak jiwa kita, sehingga kita merajuk berbulan-bulan lamanya. Alahai.

Ditambah pula dengan air hingus yang meleleh, rambut kusut masai dan mata lebam legam anda itu! Buruk bebenor eh! 

Demikianlah peringatan yang diberikan oleh Allah kepada utusanNya yang terchenta, Nabi Muhammad SAW:
"Boleh jadi engkau (Muhammad) akan membinasakan dirimu (dengan kesedihan), kerana mereka (penduduk Mekah) tidak beriman."
[asy-Syu'ara', 26:3]

Nah, sedangkan Nabi SAW yang kita tahu hidupnya diabdikan untuk dakwah itu pon ditegur oleh Allah... Sedangkan ujian dan cubaan yang menimpa dirinya yang mulia itu bagai langit dengan bumi jika hendak dibandingkan dengan kita itu pon diingatkan oleh Allah... Sedangkan dakwahnya ditolak oleh berapa ramai manusia, termasuklah ahli-ahli keluarganya yang terdekat itu pon dinasihati oleh Allah... Apatah lagilah kita yang serba marhaen ini?

Layakkah kita untuk berasa sedih sehingga mahu meninggalkan gerabak tarbiyah dan dakwah, sekiranya mahu dibandingkan dengan mehnah yang dilalui oleh ar-Rasul dan para sahabat?

Layakkan kita untuk berasa sedih sehingga mahu futur, gugur dari terus kejap memegang obor perjuangan ini sekiranya hendak dibanding dengan kesusahan dan kepayahan yang telah pon dilalui oleh golongan awal?

Layakkan kita untuk berasa sedih sehingga tiada apa yang keluar dari mulut kita melainkan keluhan dan aduan, walhal kita masih belum benar-benar menjualkan diri kita untuk dakwah ini?

Allah Allah! Nanges. 

Kerana itu kita dilarang untuk bersedih yang keterlaluan, kerana ia hanya akan membinasakan diri kita.

Keterlaluan yang bagaimana?

Sedih sehingga tidak mahu berjumpa dengan ikhwah/akhawat.

Sedih sehingga tidak mahu hadir ke bulatan gembira.

Sedih sehingga lesu untuk pergi bermuayasyah dengan mutarabbi kita.

Sedih sehingga kita membenarkan diri kita jatuh ke dalam lubang-lubang jahiliyyah.

Sedih sehingga kita mula meninggalkan amal-amal fardhi dan dakwi.

Sedih sehingga kita mula menjauhkan diri daripada kasih-sayangNya. 

Sedih sehingga kita menyalahkan Allah yang kita rasakan tidak berlaku adil kepada diri kita.

Bukankah semua itu suatu kebinasaan?? 

Nastaghfirullah. Ampuni kami wahai Allah. 

"Dan sungguh, Tuhanmu Dialah yang yang Maha Perkasa, Maha Penyayang."
[asy-Syu'ara', 26:9]

Percayalah, setiap apa yang berlaku adalah sebahagian daripada pelan agungNya untuk kita. Setiap ujian dan mehnah yang menimpa kita, adalah antara caraNya untuk mematangkan kita di atas jalan dakwah ini. Kesedihan dan kesusahan yang terpaksa kita hadapi, sekiranya ditanggapi dengan bijak dan sabar, pastinya akan menatijahkan nikmat syukur yang amat besar. 

Tidak mungkin Allah akan membiarkan hambaNya yang mahu berbakti kepada agama ini terkapai-kapai seorang diri.

Tidak mungkin Allah sengaja mahu membuatkan kita berasa sedih dan susah, tanpa ada mutiara yang berharga yang terhasil darinya.

Dan tidak mungkin Allah yang Maha Perkasa dan Maha Penyayang itu, membiarkan kita terus di dalam kesedihan dan kebingungan tanpa menceriakan hari-hari suram kita dengan pelangi nan indah menghiasi sang suria. Ewah. 

"Dan janganlah kamu (berasa) lemah dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman."

[ali-Imraan, 3:139]

Sudah-sudahlah tu. Cukup-cukuplah tu. Boleh dah lap hingus tu. Sila keringkan air mata tu.

Biasalah tu berasa sedih sekali-sekali dengan ujian berat yang menimpa kita di atas jalan dakwah ini. Abam macho berbadan sasa pon sekali-sekala menanges juga apabila menonton drama Korea. Wahahaha.

Namun jangan biarkan kesedihan itu sampai membinasakan diri kita!

Tahu?

-gabbana-  

Ada suatu kejutan untuk anda semua dalam bulan Disember ini, inshaAllah.

Sungguh, tidak sabar rasanya saya mahu berkongsikan berita gembira ini! Aiwah!

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP