Abam Teksi
[Kredit] |
Telefon Saniman
berbunyi. Ada notifikasi dari aplikasi MyTeksi yang baharu dimuatnaiknya dua
minggu yang lepas.
Ada penumpang yang mahu
ke Kelana Jaya dari Gombak Setia.
Ah, jauh sangat tu. Time macam ni konfem jem lagi.
Kenapa tak naik LRT je?
Saniman meneruskan
pemanduannya. Tidak dinafikannya, semenjak dia mula menggunakan aplikasi
MyTeksi, lebih mudah untuk dia mendapatkan penumpang. Pada mulanya, dia agak
skeptikal dengan perisian itu. Ah Saniman memang skeptikal dengan apa-apa jenis
teknologi pon. Dengan telefon pintar pon dia skeptikal, apatah lagi dengan
aplikasi yang kononnya boleh memudahkan para pemandu teksi untuk mencari penumpang itu?
Tetapi setelah
diyakinkan oleh beberapa orang rakan pemandu teksinya yang mendakwa aplikasi
itu telah banyak memudahkan hidup mereka, akhirnya Saniman akur. Namun Saniman
terpaksa membeli sebuah telefon pintar dahulu. Setelah puas mencari telefon
yang paling murah yang boleh didapati di pasaran, akhirnya Saniman berpuas hati
dengan telefon Ninetology buatan Malaysia.
Patriotik katanya.
Telefonnya berbunyi
lagi. Ada orang yang mahukan teksi untuk ke Bukit Bintang dari Setiawangsa.
Bukit Bintang? Gila apa. Orang baru nak pergi lunch
ni!
Masuk satu lagi notifikasi.
Ada penumpang yang mahu
ke Bukit Antarabangsa dari Wangsa Walk Mall.
Saniman menderam
jari-jemarinya pada stereng kereta Proton Saga yang dimilikinya secara sewa
beli itu. Berkira-kira sama ada mahu mengambil penumpang itu atau pon tidak.
Sempat dijelingnya
gambarnya pada lesen pemandu teksi yang diletakkan di atas dashboard di hadapan tempat penumpang hadapan. Tujuh tahun yang
lalu. Ketika itu misainya masih tebal dan kumisnya panjang.
Hensem jugak aku. Kehkeh.
Akhirnya dia membuat
keputusan. Dia menekan skrin telefonnya untuk menerima tawaran untuk mengambil
penumpang tersebut.
Bukit Antarabangsa dekat je. Abes hantar dia, boleh
aku patah balik ke Sri Rampai.
Proton Saga berwarna
biru tua dan putih itu meluncur laju menuju ke Wangsa Walk Mall. Seminit
sebelum tiba, Saniman menelefon bakal penumpangnya itu, untuk memastikan lokasi
sebenarnya agar mudah Saniman menjemputnya nanti.
Suara lelaki. Muda.
Saniman sedikit kecewa.
Tibanya Saniman ke
lokasi, seorang lelaki tampan, berbaju kemeja putih dengan tangan yang
tersingsing, berseluar khaki perang tua dengan loafer merah yang sepadan, sudah sedia menanti. Ada beg kertas
besar berwarna biru tua tertulis ZARA. Baru selesai shopping agaknya. Lelaki itu tersenyum sebaik sahaja melihat
kelibat teksi Saniman. Dalam lesung pipitnya. Manis.
“Assalamualaikum.”
Lelaki itu memberikan
salam sebaik sahaja pintu dikuak. Semerbak bau minyak wangi menusuk hidung
Saniman apabila lelaki itu menutup pintu teksinya. Saniman tidak tahu minyak
wangi jenama apa yang digunakannya, tapi yang pasti, ia adalah minyak wangi
yang mahal. Alah Saniman tidaklah kisah sangat pon. Ketiaknya itu pon jarang
sekali disapu dengan deodoran, inikan pula mahu ambil tahu tentang minyak
wangi? Lupakan.
Saniman memerhatikan
lelaki itu dari cermin pandang belakangnya. Kini struktur wajah dan fizikal
lelaki itu lebih jelas. Kulitnya putih dan licin. Hidungnya mancung. Rambutnya
kerinting dipotong pendek. Keningnya tebal dan bulu matanya juga tebal. Kepala
Saniman berputar memikirkan sama ada dia pernah terlihat lelaki ini di
mana-mana iklan atau drama Melayu.
Lelaki itu tersenyum,
seakan-akan tahu yang dia sedang diratah oleh mata Saniman. Malu Saniman
dibuatnya. Tersipu-sipu jadinya.
“Err Bukit Antarabangsa dekat mana Encik?”
“Oh ye. Depan sikit dari Masjid Bukit Antarabangsa
tu. Atas lagi.”
“Oohh ok.”
Lelaki itu tersenyum
lagi. Saniman senang dengan penumpangnya itu. Tak lokek dengan senyuman. Nampak
pon baik.
Pengalaman Saniman
memandu teksi selama tujuh tahun telah menemukannya dengan beraneka jenis
penumpang. Yang sombong perasan macam Mak Datin ada. Yang baik hati pijak semut
tak mati ada. Yang bisu sepanjang perjalanan ada. Yang terlebih ramah sehingga
buat Saniman menyampah pon ada. Macam-macam ada!
Suasana di dalam teksi
itu sunyi seketika, hanya ditemani dengan celoteh deejay Sinar.fm, sehinggalah
teksi itu baharu sahaja melepasi Zoo Negara apabila lelaki itu memulakan
biacara.
“Dah lawa bawak teksi bang?”
“Adalah dalam… tujuh tahun gitu.”
“Oh lama jugak tu. Sebelum tu abang kerja apa?”
“Macam-macam encik. Pernah jadi buruh binaan.
Pernah jual jambu dan air bungkus naik motor. Pernah kerja di pejabat.
Macam-macam lah.”
Lelaki itu tersenyum
lagi. Ada riak kagum pada wajahnya.
“Banyak pengalaman abang ni. Kenapa pilih untuk
bawak teksi?”
Saniman sedikit
tersentak dengan soalan itu. Dia berfikir sejenak sebelum menjawab. Jujur, dia
sendiri tidak pasti mengapa.
“Entahlah Encik. Ni saja yang saya mampu buat untuk
tanggung anak bini.”
“Oh. Abang berapa orang anak?”
“Empat. Hujung tahun ni masuk lima InsyaAllah.”
Kali ini Saniman pula
yang tersenyum lebar.
“Wah tahniah bang!”
“Terima kasih Encik. Encik? Dah kahwin?”
Lelaki itu tertawa
kecil.
“Saya? Abang rasa? Ada gaya macam suami orang tak?
Hehe.”
Saniman tersenyum
simpul. Dia cuba mengagak.
“Entahlah Encik. Kalau ikut firasat saya, macam
belum.”
Lelaki itu tersenyum
lebar sehingga menampakkan giginya.
“Haha. Nampak muda lagi eh saya ni bang? Saya dah
kahwin bang. Anak sorang.”
Terangkat kening
Saniman mendengarnya. Sangkanya, lelaki sekacak dan sebergaya itu, pasti
memilih untuk bujang lebih lama. Bertuah siapa yang menjadi isterinya.
Saniman memberikan
isyarat untuk masuk ke kiri. Teksi Proton Saga itu membelok ke kiri, bersedia
untuk mula mendaki Bukit Antarabangsa. Azmin Ali tersenyum menyambut sesiapa
sahaja yang mahu masuk ke kawasan parlimennya itu. Bergoyang-goyang loket
kalimah Allah dan Muhammad berwarna emas yang digantung pada cermin pandang
belakang teksinya itu.
Sisa-sisa tanah runtuh
beberapa tahun yang lepas masih jelas kelihatan di bahagian kanan jalan. Seriau
juga Saniman dibuatnya.
“Mesti macam-macam jenis penumpang abang dah jumpa
kan?”
Saniman melihat cermin
pandang belakangnya. Dia tidak dapat meneka motif lelaki itu bertanyakan soalan
sebegitu kerana dia sedang memandang ke arah luar.
“Haah Encik. Macam-macam perangai ada.”
Lelaki itu mula
menunjukkan minatnya.
“Macam-macam perangai? Contoh?”
Saniman memerhatikan
sekeliling, risau jika dia terlepas simpang. Dia bukanlah selalu ke Bukit
Antarabangsa itu.
“Macam-macam lah encik. Yang nak menipu ada. Yang
buat-buat takde duit ada. Yang dok sibuk beromen ada. Yang pelupa ada. Yang
pemurah dan baik hati pon ramai. Ada sekali tu, tambang makcik ni sembilan
ringgit je, tapi makcik ni ada doploh ringgit, dia takde duit kecik. Dia kata,
‘Keep the change.’ Ha yang macam tu saya suka.”
Kedua-dua Saniman dan
lelaki itu tertawa.
“Abang
selalu kena tipu?”
“Uhmm takdelah selalu. Tapi cukuplah untuk saya
kenal jenis orang macam ni.”
“Iya? Macam mana?”
Saniman lega apabila
dia menangkap papan tanda ‘MASJID BUKIT ANTARABANGSA.’ Dia segera mengikuti
arah yang ditunjukkan papan tanda itu.
“Selalunya orang macam ni baik semacam. Macam-macam
dia borak. Tanya khabar kita lah. Tanya pasal anak kita lah. Terlebih prihatin.
Lepas tu dia mintak berhenti kat mana-mana, konon terlupa barang. Lepas tu
nanti dia tak muncul-muncul dah. Lesap! Lelaki perempuan, sama je!”
Baik semacam. Tanya khabar. Terlebih prihatin.
Lelaki itu tertawa
kecil.
“Abang tak pernah kena samun ke?”
“Alhamdulillah, belum pernah kena lagi. Depan lagi
ke Encik?”
“Ha ye, depan lagi. Sikit lagi bang.”
Tersedak-sedak teksi
Proton Saga itu mendaki bukit. Manakan tidak. Manual. NGV lagi. Sudah berusia
tujuh tahun lebih. Memang sudah seasoned!
“Ok bang. Nampak simpang ke kiri tu kan? Ha masuk
situ.”
Saniman menurut arahan.
Namun dia pelik kerana sebaik sahaja dia membelok ke kiri, yang ada hanyalah
semak samun dan hutan belukar di kiri dan kanannya. Mana ada kawasan perumahan
di situ. Ada sebuah kereta MyVi berwarna hitam tanpa nombor plat yang
diletakkan di bahu jalan.
“Betul ke ni En..”
Saniman berpaling mahu
menoleh ke arah lelaki itu. Namun dia seperti terkena kejutan elektrik apabila
ada benda tajam yang mencucuk lehernya.
“Minta maaf bang. Saya bukan suka buat kerja ni.
Tapi terpaksa. Anak bini nak makan. Cari kerja, semua rejek. Saya terdesak
bang.”
Saniman menelan air
liurnya. Kering. Tiada air liur yang keluar.
Kecut perut Saniman
apabila sekilas pandang pada cermin pandang belakang, benda tajam yang mencucuk
lehernya itu adalah sebilah pisau Rambo. Pundi kencing Saniman seperti mahu
merembes ketika itu juga.
“Abang bagi je lah apa yang abang ada. Jangan
melawan bang. Ingat, saya ni terdesak. Abang ikut je cakap saya. Saya takkan
apa-apakan abang.”
Saniman mengangguk
perlahan. Dia terketar-ketar.
Tiba-tiba Saniman
teringat pada cerita yang sedang heboh dalam kalangan pemandu teksi di kawasan
Lembah Klang itu. Perihal seorang penyamun yang begitu berbudi pekerti dan
bergaya. The Gentleman Thief; gelaran
yang diberikan kepada penyamun itu.
Tidak disangkanya, dia
terpilih untuk bertemu dengan lelaki itu hari ini.
“Ha, kunci kereta tu sekali.”
“To..tolong Encik. Teksi ni je lah punca rezeki
saya. Encik amiklah apa yang Encik mahu, tapi bu…bukan teksi ni.”
Lelaki itu tersenyum
tipis. Ada bibit simpati pada wajahnya yang bersih itu.
“Jangan risau bang. Saya bukan nak amik teksi
abang. Saya tak nak abang lari awal-awal je. Saya akan tinggalkan kunci abang
ni kat bawah bukit, dekat dengan masjid tadi. Nanti abang carilah kat situ. Ok
bang?”
Lelaki itu mengeluarkan
sesuatu dari beg kertas ZARA-nya.
“Maaf bang. Saya terpaksa ikat abang. SOP.”
Pucat wajah Saniman
melihat tali guni entah berapa kaki yang dipegang kemas lelaki itu.
Selesai mengikat
Saniman pada kerusi pemandu, lelaki itu bersiap untuk pergi.
Tiba-tiba telefon
Saniman berbunyi. Notifikasi dari MyTeksi. Ada penumpang yang memerlukan
pengangkutan untuk ke stesen LRT yang terdekat dari Bukit Antarabangsa.
Lelaki itu tersenyum
nakal.
“Dan. Ini juga.”
Lelaki itu mencabut
telefon Saniman dari pemegangnya yang dilekatkan pada cermin kereta. Dia
membelek-belek telefon itu.
“Ninetology? Ada jugak orang pakai eh?”
Lelaki itu terkekeh
kecil memandang Saniman.
“Ok bang. Saya mintak diri dulu. Minta maaf
banyak-banyak ye bang. Assalamualaikum.”
Saniman menyumpah. Di
dalam hati lah; tak sanggup dia kena sembelih dengan pisau Rambo!
Hanya ada satu perkara
yang benar-benar pasti yang sedang bermain di dalam kepala Saniman; sebaik
sahaja dia bebas nanti, perkara pertama yang akan dia lakukan adalah batalkan
pendaftaran keahliannya dengan MyTeksi!
-gabbana-
18 Caci Maki Puji Muji:
deep sangat yinche gabbana, tak paham saya.
uwaah. menarik cerita ni inche. lain dari kebiasaan ye. anyway ending dia lawak gak laa.:D
hmmm. jenuh pikir pengajaran. deep sngt.
Erkkkk tak pernah aku bagi salam sejurus aku bukak pintu Teksi. Malunya....
Saidina Umar suka gi pasar. Bukan untuk beli belah, tapi sekadar nak sebarkan salam. Nampak kecik, tapi besar impaknya bagi salam.
*Tahu tapi tak amal. Hampeh
Ohh Pak Chik Saniman. I fell you. Saya pon skeptikal dengan gadget.
wah, best citer ni... lawak gk..
'The Gentleman Thief' - stylo la pencuri tu...hehe
Best cerita ni terhibur. Cuma sama dgn anon yg lain, saya tak faham pengajarannya..hehe
the dark side of social media :)
Bapak ah IG buat citer ginie! Kipidup! Nie buat aku makin suka baca belog kau. Versetail giler! Bila aku baca aku tersenyum je. Kau buat aku tibe-tibe nak menganalisis.Cis. Hahaha!
1. Bagus gak cadangan Pak Saniman nak batalkan keahlian dia kat MyTeksi. Hari nie dia kena rompak. Lain hari, mungkin data dia dalam keahlian MyTeksi dimananipulasikan oleh pihak yang tak bertanggungjawab. (Ada pro & kontra. Ikut fatwa hati masing-2) Please make your data secured dan selalu kemaskini data peribadi dan password sekerap mungkin.
2. The Gentleman Thief hanya sekadar gentleman tapi tak bijak. I can catch you! ;) Tak smart sebab kau ambik talipon. Walopon 9tology je. It still device and technology. And i still boleh detect you kat mane hanya melalui devices tu. Kekekeke. Watch out!
Doakan aku yer IG! aku dalam proses nak masuk PDRM bahagian Cyber Crime. Harap tak ade halangan menegak, melintang.
IG..... Emmm nie kali entah keberapa aku baca entri Abam Teksi. Erkkk. Sebab aku suka baca entri yang ade case. Tersipu-sipu. Keh keh keh.
Err apa ending dia eh? I mean apa jadi dengan sariman tu ye? Teringin nak tahu huhu.
menarik... kita selalu memandang orang yang mempunyai daya tarik yang tinggi sebagai orang baik. padahal, luaran tiada kaitan dengan dalaman.
macam don't judge a book by it's cover eh?
quite deep.
Deep indeed..
pelik nya cerita ni. tu lah.. orang hensem mcm tu pun leh jd pencuri kan.... alahai, paras rupa, jd ujian yg berat sebenarnya...
Apa pengajarannya?
menariklah cerita ni, baca sampai ke ayat terakhir tu =)
saya follow sini
part SOP tu kelakar...
is it true story? scary nye..ALLAHU..pelik pelik manusia sekarang T.T
okey ni superb! best.
Post a Comment