19 December 2013

Tarbiyah Tepu Gebu Gebu

[Kredit]

"Ok puan-puan, sekarang kita masukkan konferens riang ke dalam adunan bulatan gembira dan tarbiyah dzatiyah tadi. Kita gaul sampai sebati. Ok lepas tu kita masukkan pula mukhayyam, kita pecahkan rehlah dan masukkan. Kita gaul lagi. Kita masukkan nadwah dan muktamar sedikit demi sedikit. Kalau adunan kita nampak macam dah pejal, kita renjis bahan fikrah dan masukkan mujahadah secukup rasa. Gaul lagi sehingga adunan kita menjadi tepu."

Ok bayangkan kalau anda rancangan realiti sebegitu rupa. Resipi tarbiyah. Chefnya ikhwah selebriti atau akhawat berapi. Eheh. (Konfem tiada siapa yang nak tonton rancangan ni. Eh? Matilaaaah.)

Ehem.

Ceritanya begini. Malam semalam, ketika sedang berbulatan gembira bersama hadek-hadek terchenta, seorang hadek menceritakan bagaimana ketika ini dia merasakan diri dia sedang 'tepu.' Tepu dengan suasana baik-baik dan biah solehah yang ada. Tidak lagi merasakan basahnya tarbiyah. Tidak lagi tersentuh dengan tazkirah-tazkirah yang didengarinya. Tidak lagi merasakan betapa umat di luar sana perlu diselamatkan.

Dengan kata lain, dia sudah tepu dengan tarbiyah. 

Dan menurutnya lagi, suasana ini tidak dialami oleh dirinya seorang. Ramai lagi makhluk di luar sana, terutamanya yang bersekolah di Musleh (sekolah yang didirikan oleh ikhwah dan akhawat) sedang mengalami gejala yang serupa. Rimas. Fedap. Sudah kebal dengan masukan-masukan tarbiyah yang sepatutnya mengguggah jiwa.

Sehingga ada dalam kalangan mereka yang mahu keluar dari Musleh dan bersekolah di sekolah biasa sahaja. Sama ada kerana tidak tahan lagi dengan suasana tepu sebegitu atau merasakan betapa perlunya diri menyelamatkan diri daripada fenomena sedemikian rupa. 

Jelas riak kerisauan pada wajah hadek saya itu. Dia sendiri sedang bertarung, untuk berperang dengan perasaan tepu dengan tarbiyah itu. Kerana dia sedar perasaan sebegitu amat merbahaya. Dia tahu yang dia perlu melakukan sesuatu untuk menyelamatkan dirinya. Dan dia faham, yang sekiranya dibiarkan perasaan sedemikian berkuasa tanpa ada usaha-usaha untuk memeranginya, suatu hari nanti, boleh jadi dirinya akan jatuh dan tidak bisa untuk bangkit kembali. 

Suatu ketika dahulu, saya pernah menulis sebuah artikel yang sedikit sebanyak menyentuh isu yang hampir serupa - Sindrom Budak Sekolah Agama. Artikel ini mendapat maklum balas yang begitu mengujakan sekali; ramai yang bersetuju dengannya, namun tak kurang yang mengkritiknya.

Di dalam artikel ini, saya berhujah bahawa boleh jadi, 'ego' selaku pelajar sekolah agamalah yang menjadikan budak-budak sekolah agama ini amat sudah untuk diajak masuk ke dalam gerabak tarbiyah dan dakwah. Kerana mereka merasakan diri mereka sudah hebat, sudah tahu segala-galanya, lebih pandai dan arif daripada mereka yang tidak bersekolah agama. Jadi siapa kau hah nak cerita pada aku tentang dakwah..?? Ok emo sebentar.

Maka, boleh jadi faktor ego jugalah yang menjadikan tarbiyah itu dirasakan tepu. Dirasakan tidak lagi lazat dan basah. Dilihat tidak lagi mampu untuk menggugah. Kerana apa? Kerana merasakan diri sudah cukup bagus. Kerana merasakan diri tidak perlukan apa-apa lagi masukan-masukan baru. Kerana melihat tarbiyah itu bukan lagi makanan dan minuman buat ruh dan jiwa.

Mungkin. 

Namun ada sisi lain pada keresahan hadek bulatan gembira saya itu. Matanya ikhlas, memberitahu yang dia benar-benar risau dengan keadaan dirinya. Pada riak wajahnya terpampang kegelisahan yang mahu masalahnya yang sedang dihadapinya itu dapat ditangani dengan sesegera yang mungkin. 

Ia terkait dengan dengan kebiasaan bersama dengan tarbiyah. Ia berkenaan dengan rasa bosan dengan perkongsian dan pengisian yang diberi. Mungkin juga ia adalah tentang rasa rimas dengan wasilah-wasilah tarbiyah yang sedia ada.

Sikit-sikit usrah. Sikit-sikit tarbiyah. Sikit-sikit dakwah. Sikit-sikit tazkirah. Sikit-sikit daurah. Bosan ah! 

Jika itu adalah puncanya, maka solusinya mudah. Tukar sahaja cara persembahan dan penyampaian wasilah-wasilah yang ada. Bulatan gembira tidak semestinya dilakukan di surau atau bilik asrama, duduk-duduk membentuk satu bulatan. Tazkirah tidak semestinya disampaikan dengan kaedah satu hala sahaja. Sekali-sekala berjaulahlah mentadabbur alam dan jalan raya. Heh. Pergi mandi sungai. Main luncur ais. Berbulatan gembira di tengah hutan sambil harimau bintang meniarap malam di atas pokok. Tazkirah dilakukan dengan penuh semangat diselang-seli dengan lawak jenaka. Bangun untuk qiamullail di tepi pantai, ditemani dengan ikan dolfin yang melompat riang.

Pergh. Bukankah itu menarik lagi mengujakan..? 

Namun bagaimana jika bukan itu masalahnya...? Sekiranya teknik dan kaedah melaksanakan wasilah tarbiyah yang ada bukanlah punca utama kepada masalah tarbiyah yang dirasakan telah tepu ini..?

Kemanisan dan kelazatan tarbiyah hanya dapat dirasakan oleh hati yang lapar dan jiwa yang dahaga. Tarbiyah hanya bisa membasahkan jiwa-jiwa yang kering dan kontang. Tarbiyah hanya mampu untuk mengguggah ruh dan iman insan-insan yang sensitif, yang sentiasa tercari-cari dan meminta-meminta untuk diisi. 

"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka) dan janganlah mereka (berlaku) seperti orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang yang fasik."
 [al-Hadid, 57:16]

Seruan ini bukan untuk orang-orang kafir. Bukan untuk orang-orang munafiq. Bukan juga untuk orang-orang yang fasiq. 

Tapi untuk orang-orang yang beriman. Ya, buat mereka yang sudah percaya. Buat mereka yang sudah beramal dengan keimanan mereka.

Dan apa seruannya...?

"...untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan."

Ya, orang-orang beriman juga rupa-rupanya mengalami masalah ini. Masalah kering hati. Masalah jiwa kekosongan. Masalah tepu dengan tarbiyah. 

Sebenarnya frasa tepu dengan tarbiyah adalah suatu frasa yang mustahil. Seorang hamba Allah itu tidak mungkin cukup ditarbiyah. Seorang hamba Allah itu akan sentiasa dahaga dan lapar pada tarbiyah; dia akan sentiasa memerlukan tarbiyah. Kerana tarbiyah adalah suatu proses yang berterusan. Dari saat seorang hamba itu dilahirkan, sehinggalah nafasnya yang terakhir. Tarbiyah sampai mati. 

Kemungkinan besar, punca sebenar kepada permasalahan ini adalah hati. Hati yang menjadi raja kepada seluruh tubuh kita itu. Ada karat-karat, dinding penghalang pada hati kita, sehingga menyebabkan sentuhan tarbiyah itu tidak terasa basah oleh kita. Hatta pukulan dan tamparan tarbiyah juga tidak berjaya mengapa-apakan hati kita yang sudah keras itu. 

Apa puncanya?

Hati kita mungkin sudah benar-benar ikhlas mahu mencari redha Allah, tapi masih punya rasa hasad pada ikhwah itu dan dengki pada akhawat ini. 

Hati kita mungkin sudah bersungguh mahukan pada tarbiyah, tapi seringkali terlepas melakukan zina apabila melihat wanita berdahi licin dan berskirt pendek.

Hati kita mungkin sudah sering mengingat Allah dan Rasulullah, tapi masih punya ruang untuk mengumpat lubang hidung si Tuan Bos yang besar dan mulut Makcik Pembuat air yang busuk.

Hati kita mungkin sudah selalu berzikir dan memuji-muji kebesaranNya, namun kadangkala mencari-cari ruang untuk bermaksiat, melempiaskan hawa nafsu yang berbara. 

Dan hati kita mungkin sudah benar-benar mendambakan chenta dan kasih-sayang Allah, namun ia masih lemah, tidak sanggup untuk berkorban dan bermujahadah.  

Hati kita belum lagi khusyuk. Belum benar-benar khusyuk. 

Sekiranya hal inilah yang berlaku, mana mungkin hati merasa lazat dengan suapan tarbiyah? Mana mungkin jiwa merasa basah dengan siraman hidayah? Mana mungkin ruh merasa hidup dengan sentuhan rabbaniyah..?

Nanges laju-laju. 

Maka hati yang sedang sakit itu perlu dirawat. Hati yang sedang mengerang menderita itu perlu diobat. Hati yang sedang mengumpul bintil-bintil hitam itu mesti segera diberikan antidotnya.

Kerana jika dibiarkan lama-lama, dibiarkan terus begitu tanpa ada yang peduli...

"...kemudian mereka melalui masa yang panjang, sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang yang fasiq."

Na'udzubillah. Campak bawang depan mata. 

Ya, si murabbi juga perlu memainkan peranannya. Mengenalpasti punca masalah sebenar. Mencari jalan bagaimana mahu mencairkan kembali tarbiyah, membasahkan kembali tazkirah yang telah lama kering. Menjadikan wasilah-wasilah tarbiyah yang ada lebih menarik, menyegarkan lagi menghidupkan.

Tapi pada masa yang sama, diri kita juga perlu bersegera dalam merawat hati ini. Diagnosisnya mestilah tepat, agar obat yang diberikan juga benar-benar merawat. 

Tanpa membuang masa lagi, kita mesti mengembalikan semangat yang mungkin telah hilang, membakar kembali obor yang telah lama padam. Tanpa berlengah-lengah lagi, kita mesti menyelamatkan diri kita sebelum disambar oleh api neraka. Tanpa bertangguh-tangguh lagi, ayuh kita lembutkan hati-hati kita, sebelum ia mengeras, sakit dan mati.

Belum tibakah waktunya...?

"Ok puan-puan, adunan yang sudah tepu tadi, jangan dibiarkan lama-lama ya? Nanti dia mengeras, susah pula nak lembutkan kembali. Cepat-cepat cari bekas yang sesuai, masukkan adunan tadi ke dalamnya. Lepas tu, selepas disapu dengan ikhlas dan ditambah dengan tawakkal, terus masukkan ke dalam ketuhar sabar yang panas.

Tunggu untuk beberapa lama dan... Voila! Siaplah kek gebu chenta tarbiyah yang lazat lagi berkrim! Selamat mencoba! Op op, sebelum melahap macam serigala lapar, jangan lupa baca basmalah dulu!"

Senyum.  

-gabbana-   

15 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 19/12/2013, 12:11  

jzkk gabanna
artikel yg tepat pada masanya
ana jgk merasakan hal yg sama sikalang sama seperti hadek terchenta anda T.T

sepertinya dilempang seploh lempangan membaca ayat chenta Dia itu

hati yg tidak khusyuk
belum khusyuk :'(

Anonymous 19/12/2013, 12:17  

u make me cry T_T

Anonymous 19/12/2013, 12:31  

Sy jarang baca blog encik.tapi bila baca,memang kena tepat.terima kasih.Dia tegur sy melalui blog ni.alhamdulillah.jzkk.

Unknown 19/12/2013, 12:38  

Jzkk Allah, yg menggerakkan hati ini utk membaca post anda, tepat pada waktunya. Your writing surely can touch other's heart, jua dgn izinNya. Keep on being a medium to spread the message and happiness. Moga Allah redha.

Lutpee 19/12/2013, 14:34  

Jzkk akh seluar jeans, terus-menerus melemparkan akh-akh lain ke dalam ketuhar 'pencair anti-tepu' :)dan turut melemparkan abg-abg murabbi ke dalam ketuhar yang sama juga.

May Allah bless you! ^^

Anonymous 19/12/2013, 14:59  

Salah satu benda yang boleh buat adalah dengan bagi task kepada dia. Mungkin terlalu banyak input tanpa medan amal di luar halaqah akan menyebabkan seseorang menjadi tepu. Contoh amal seperti volunteering work.Too much input without output akan menjadikan orang rasa tepu. Mungkin

Anonymous 19/12/2013, 15:28  

Iman kalau tidak di uji, tidak dicabar memang hati boleh jadi kering dan tiba-tiba bosan.

Kalau selama ini mereka gembira, buat dia menangis! kalau selama ini mereka bersenang2 saja, buat dia bersusah payah pula!

Atau barangkali,
sudah tiba masanya mereka 'dilepaskan'. Masa ini lah baru boleh tahu tiap2 ketahanan hati/diri setelah melalui proses tarbiyah itu tadi.

Hati kering= hati yang tiada sebutan allah allah dalam qalbinya lagi.

Anonymous 19/12/2013, 16:00  

post kali ni ana sangat suka
sangat sangat sangat suka...
masyaAllah.
doa ana buat anta

Anonymous 19/12/2013, 16:20  

saya pernah merasai detik itu,
detik yang berlalu tanpa seru,
menjengah kalbu,
Moga Allah mengukuhkan dan meneguhkan hati kita semua di atas jalan ini.

Anonymous 19/12/2013, 16:22  

terpukul dengan comment 'sudah tiba masanya mereka dilepaskan'

LunaZulaikha 19/12/2013, 16:40  

cenggitu hupenyeee.
aku lak rindu nak tarbiah usrah2 gini .

mungkin bila dalam gelap baru kita rindu nak kepada cahaya kot ?

ex-hira' 19/12/2013, 22:28  

Sklh musleh? Hira' jeram kah? Ataupn al-amin bngi or gombak...tp,ap2 pn sy yg dlu hira' pn merasa jugak..bila dh msuk kolej,bru nk mncri2 blik...dn btol,bila trlalu 'selesa',kna bwk p ke tmpt yg 'kurg selesa'

Anonymous 19/12/2013, 23:20  

Assalamualaikum, nak share jugaklah.

Saya setuju dengan pendapat di atas yang mengatakan kalau tidak diuji hati menjadi tepu.

Ada ayat yang mengatakan dengan mengingat Allah hati menjadi tenang. Mengingat dalam bahasa arab adalah zikr (harapnya). tetapi Zikr juga digunakan untuk memaksudkan Quran. Dan peringatan itu bermanfaat untuk mukminin. Macam mana untuk menjadi manfaatnya?iaitu untuk orang yang mentelaah diri sendiri dgn menggunakan Quran.

Quran itu dialog. Mesejnya tidak akan sampai jika hanya seorang yang berkata-kata.

Anonymous 20/12/2013, 09:34  

Saja singgah..banyak istilah tak faham.

Anonymous 22/12/2013, 05:30  

"mungkin mereka dilepaskan..."

ada sorang ex student sekolah arab yang agak femesss la kat malaysia ni...walaupun sekolah tu sebenarnya sekolah private lagi kampun jer...-ok,motif cerita pasal sekolah?-
sebab sekolah dia dikenali dengan budak warak2 yang bertudung sampai siku...tapi the girl tak pakai tudung yang cukup saiz pun...5 tahun study situ,dia boleh buat gaya lepak habis pakai tudung kecik lagi nipis.perfect dengan jeans s...but once,bila dia tamat belajar kat sekolah tu,dia kenal baju kurung dengan tudung labuh...

"tak boleh ah...tak selamat.bebudak sini bukan macam m****d.at least kalau aku pakai cam ni,kalau nak jadi tak betul pun,boleh ingat lagi...'haih,takkan dengan tudung ni kut'

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP