18 December 2013

Jangan Buat-Buat Tak Nampak!

[Kredit]

"Terangkan kepadaku tentang ihsan," tanya Jibril AS.

"Engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya. Jika engkau tidak melihatNya, ketahuilah, Dia selalu melihat kamu," jawab Rasulullah SAW. 

[Potongan hadith 2 dalam Arbai'n an-Nawawiyah. Hadith riwayat Muslim]

Ya, itulah pengertian ihsan. Kita melaksanakan solat, membaca Quran, bangun untuk solat malam, berzikir, bersedekah dan berpuasa seolah-olahnya kita dapat melihat Allah di hadapan mata kita. Jika tidak, paling koman pon, kita dapat merasakan yang Allah sedang memerhatikan gerak-geri dan tindak-tanduk kita. Setiap masa dan ketika. 

Gulp. Susah kan..? Untuk menjadi seorang yang muhsinin?

Op op. Tunggu sebentar. Apa takrifan ibadah sebenarnya..? 

"Tidak aku ciptakan jin dan manusia, MELAINKAN untuk beribadah kepada-Ku."
[adz-Dzariyat, 51:56]

O.O. Lap peluh.

Maknanya, jika kita ambil ayat ini sebagai takrifan ibadah, kehidupan kita itulah satu ibadah. Atau sekiranya otak anda sedikit perlahan hari ini dan masih tidak dapat menghadam apa yang dimaksudkan dengan kehidupan itu satu ibadah, batuk, maknanya segala apa yang kita lakukan sehari-hari, setiap masa dan ketika, dari sekecil-kecil perkara kepada sebesar-besar perkara sebesar ikan paus goreng tepung, adalah suatu ibadah. 

Maknanya... Bangun pagi gosok gigi itu ibadah. Mandi dan sarapan pagi itu ibadah. Pakai kasut dan stoking itu ibadah. Korek hidung senyap-senyap itu ibadah. Naik tren untuk ke tempat kerja itu ibadah. Bersin itu ibadah. Berborak-borak bersama rakan-rakan itu ibadah. Kentut itu ibadah. Membaca surat khabar itu ibadah. Menulis belog itu ibadah. Eh.

Biar benar Inche gabbana ni. Takkan sampai korek hidung pon ibadah..? Macam mana nak jadikan semuanya itu sebagai ibadah...??

Nah, di sinilah kaitannya hadith yang saya kongsikan di atas.

Kita lakukan semua itu seolah-olahnya kita dapat melihat Allah. Atau sekurang-kurangnya, kita melakukannya dengan merasakan yang Allah sedang melihat kita. Itulah ibadah. Itulah sebenar-benar ibadah. 

Ihsan.

Gulp. Gulp. Gulp.

Kali ini lebih sukar dan membotakkan kepala bukan? Terasa macam baharu dihempap dengan seguni beras Faezah seberat lima puluh kilo. 

Tidak hairanlah ihsan itu merupakan antara pondasi terutama dalam ad-deen ini, selain daripada Islam dan Iman itu sendiri. Kerana dengan ihsan, baharulah kita dapat menjadi seorang Muslim yang beriman dengan penuh ikhlas dan tawadhu'. Seorang mu'min yang juga muhsin! 

Jika semua manusia di dunia ini dapat ihsan dalam kerja-kerja sehariannya, sudah tentu dunia ini sudah menjadi sorga. Tiada pencabulan hak-hak asasi manusia. Tiada kes-kes rasuah. Tiada orang tamak dan sanggup berdusta semata-mata kerana mahu menjadi kaya. Tiada zina. Tiada jenayah. Tiada kes di hadapan media cakap lain di belakang cakap lain. Tiada pecah amanah. Tiada curi tulang. Tiada kes menaikkan harga barang sesuka hati. Eh.

Seorang ahli politik yang ihsan tidak akan menyalahgunakan kuasa dan harta negara.

Seorang polis yang ihsan tidak akan makan rasuah dan menahan sesiapa sahaja disukainya hanya kerana mahu tunjuk belangnya.

Seorang guru yang ihsan tidak akan menghukum anak muridnya hanya kerana anak muridnya mengejek perutnya yang buncit.

Seorang penjual ikan yang ihsan tidak akan mengubah alat penimbangnya hanya kerana mahu mengenakan harga yang tinggi kepada pelanggannya.

Seorang ibu dan seorang bapa yang ihsan tidak akan tergamak untuk mendera dan menyeksa anaknya sendiri!
 

Pokoknya, dengan ihsan, segala-galanya sempurna.

Ibaratnya sebuah padang hijau terbentang luas dipenuhi dengan bunga-bunga dafodil segar dan indah, ditemani dengan arnab-arnab gemok berlari riang. Ah, alangkah! 

Masalahnya, ramainya manusia yang tidak nampak akan kewujudan Tuhan. Kewujudan suatu entiti agung yang menciptakan seluruh alam buana ini. Kewujudan sang Hakim yang akan mengadili setiap perbuatan dan perlakuan kita di akhirat kelak. 

Lebih teruk lagi untuk kita yang bergelar muslim ini. Kita sepatutnya tahu akan kewujudan Allah yang Esa. Kita sewajarnya beriman bahawa akan ada suatu hari pembalasan yang tiada tempat untuk melarikan atau menyembunyikan diri ketika itu. Dan kita seharusnya 'nampak' bahawa Allah itu sentiasa ada mengawasi gerak-geri kita.

Apa yang berlaku adalah kita 'buat-buat' tak nampak. Kita tidak ihsan. Kita tidak merasakan adanya di situ Tuhan. 

Pasir masuk mata. 

Dan bagaimana pula konsep ihsan ini di dalam kehidupan kita sebagai seorang dai'e?

Sama sahaja. 

Kita berdakwah kerana mahu mengajak orang kepada Allah. Kita mentarbiyah manusia kerana mahu mereka memahami kebesaran dan keagungan Allah. Segala amal-amal tarbiyah dan dakwah yang kita laksanakan, adaalah kerana dan untuk Allah. Kita melakukannya seakan-akan kita melihat Allah, atau kita merasakan Allah sentiasa memerhatikan kita.

Maknanya... Kita akan sentiasa bersungguh-sungguh melakukan kerja-kerja mentarbiyah manusia dan berdakwah kepada masyarakat sekitar. Tiada masa untuk bermalas-malas. Tiada masa untuk berehat-rehat, bersenang-lenang. Tida masa untuk syok sendiri. Tiada masa untuk mencari-cari kesalahan orang lain. Tiada masa untuk melabel orang ini begini dan orang itu begitu. Apatah lagi masa untuk melakukan jahiliyyah dan maksiat!

Kerana tugas kita besar. Kerja-kerja kita masih banyak. Kita akan korbankan seluruh masa, tenaga, emosi dan harta kita untuk kerja-kerja menegakkan Islam ini. Semuanya hanya kerana kita mengharapkan keredhaan Allah semata.

Dan kerana kita dapat melihat Allah. Atau tahu dan yakin bahawa Allah sedang melihat kita. 

Jangan buat-buat tak nampak tahu? Kerana ketahuilah, Allah itu ada dan Dia sentiasa memerhatikan kita.

Bagaimana..? Sudah ihsankah kita?

-gabbana-

Terasa macam sedang menampar diri berulang-ulang kali ketika menulis post ini.

Adoiii sakitlaaahhh! 

9 Caci Maki Puji Muji:

Nurul Afiqah Rahim 18/12/2013, 15:31  

Wahai inche gabbana. Asif, ana mahu brtanya apakah maksud muhsin itu?

Anonymous 18/12/2013, 16:32  

assalamualaikum, saya nak tanya sikit sikit je boleh? terima kasih.

sebagai seorang yang berada dalam jalan dakwah, kita sedar yang sifat ihsan memang perlu ada dalam diri masing2 untuk buat kita lebih ikhlas dalam melaksanakan tugas ni (ini pendapat saya lah). Tapi kadang kadang kita rasa tak seronok nak berdakwah, rasa terbeban dan rasa bosan sebab kadang2 kurang komitmen dengan orang yang didakwah, dan kadang2 jeles dengan orang lain yang berjaya dan seronok dalam tugas ini atas alasan 'dia lebih baik dari aku, memangg laaa, bolehh laa, padannn laa' . Macam mana nak atasi sifat tak best sebegini. Mohon nasihat..

Inche gabbana 18/12/2013, 17:19  

Nurul Afiqah Rahim: Muhsin adalah orang yang ihsan.

Enonimus: Itu tandanya belum betul-betul lagi ihsan. Sebab kita buat kerja-kerja dakwah ni untuk Allah semata kan?

Hanya Allah sahaja motivasi kita, kerana hanya redha Dia yang kita mahukan. ;)

asyraf kaizen 18/12/2013, 18:13  

Macam mana nak dapat ihsaan????????

Anonymous 18/12/2013, 18:29  

nljcshdis,csdbjhbdsin.......................cjskcsdvnskckkldndzkcnslk..........mantap..........;)

Anonymous 18/12/2013, 23:22  

IG, nak tanya sikit ni.
Saya, student, di sebuah MRSM. Saya ahli Badar di maktab saya. Tapi apa yg saya buat utk kerohanian maktab saya mcm tak dpt sambutan mcm mana kawan saya di maktab lain mendpt sambutan daripada pelajar di maktab tersebut.
Utk sedapkan hati saya, saya ckp 'yela, maktab dia tu form4 and form5 je, senang la sikit nak dptkan attention'
Adakah itu menandakan saya belum ihsan? Belum muhsin?

Anonymous 19/12/2013, 00:12  

Nak tanya, kan IG ckp hanya redha Allah yg kita mahukan, tapi pada masa yg sama kita perlu juga restu or berkat (can't find the correct word) daripada manusia. Kawan2, parents, cikgu2. Hablu minallah wa hablu minannas.
Macam mana tu?
Jazkillah khairan kathiran.

Anonymous 19/12/2013, 00:13  

Eh, silap, jazakallah. Youre a male rite

Anonymous 19/12/2013, 10:10  

subhanallah...

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP