7 August 2013

Sindrom Kemaruk Raya Yang Lejen

Baju raya budak-budak zaman sekarang. Haih. [Kredit]

Alhamdulillah, tsummal hamdulillah, hari ini sudah duapuluhsembilan hari kita berpuasa. Jika mengikut kalendar Cina judi lumba kuda itu, hari raya inshaAllah akan jatuh pada esok hari. Kemungkinan besar selepas Maghrib hari ini, Inche Pemegang Mohor Besar diRaja secara rasminya akan mengumumkan esok sebagai Hari Raya 'Idul Fitri.

Maka berakhirlah Ramadhan untuk tahun 1434H. Jujur, saya sudah pon merasakan rindu dan seolahnya tidak sanggup untuk meninggalkan Ramadhan kali ini. Begitu banyak kenangan dan memori manis, semanis kek lapis Sarawak yang bakal dijamah esok, dicatatkan pada Ramadhan kali ini.

"Oh Ramadhan! Jangan tinggal daku! Aku belum sanggup berpisah dengan dirimu!"

Mode sinetron petang.

Ehem.

Namun Hari Raya 'Idul Fitri tetap perlu disambut dengan gembira dan ceria. Apatah lagi ia adalah sambutan kemenangan setelah sebulan menahan dan mengawal nafsu raksasa yang menggila. Maksud 'Idul Fitri sendiri - kembali kepada fitrah - menggambarkan betapa kita dituntut untuk kembali kepada kehidupan normal kita selepas sebulan mentarbiyah diri dengan pesta ibadah dan amal soleh, dengan harapan amalan yang kita praktiskan sepanjang Ramadhan akan berkekalan sepanjang tahun. Harapan.

Oleh sebab itu, sekiranya dilihat kepada beberapa amalan sunat dalam menyambut hari raya, kita dapat merumuskan yang sememangnya kita disuruh untuk bergembira dan senyum pipi gelembung ketika menyambutnya. Contohnya, larangan berpuasa pada 1 Syawal, tuntutan untuk mengenakan pakaian yang cantik, berwangian, amalan ziarah-menziarahi dan saling mengucap selamat, adalah bukti betapa hari raya adalah hari untuk bergembira.

Meskipon demikian, wujud sejenis spesies manusia yang terlebih awal sudah teruja untuk menyambut ketibaan Syawal. Tatkala orang lain masih sibuk dan khusyuk menghidupkan malam-malam bulan Ramadhan, makhluk ini sudah pon bersiap-sedia untuk menyambut hari raya dengan penuh warna-warni dan letupan kegembiraan. Ala-ala Colors of Rangoli gitu. 

Saya gelarkan mereka ini menghidap sindrom kemaruk raya yang melampau. Tidak salah untuk memandang ke hadapan (Baca: Look forward) dan berasa gembira dan teruja dengan kedatangan hari raya. Malah tidak salah juga membuat persiapan untuk menyambutnya. Tetapi yang menjadi masalahnya apabila keterujaan dan kegembiraan hidung kembang kempis ini tidak terkawal dan tertahan lagi, sehingga mengabaikan Ramadhan.

Mari kita lihat beberapa simptom mereka yang telah menghidap sindrom ini; manalah tahu kita juga sebenarnya menghidap sindrom yang sama! Disertakan juga 'Meter Lejen' untuk mengukur tahap kelejenan setiap simptom yang dikenalpasti.

Baiklah. Sila baca dengan format kira detik ke bawah (Baca: Countdown)

Nombor Sepuluh
Lagu-lagu Raya sentiasa dipasang dan disiulkan tidak kira masa dan ketika. Masuk kereta pasang lagu Cahaya Aidilfitri. Dalam jamban nyanyi Balik Kambung. Di opis dengar lagu Bila Takbir Bergema. Dalam tidur pon mengigau nyanyi lagu Dendang Perantau! Adeh.

Meter lejen - Boleh tahan lejen


Nombor Sembilan
Sehari lebih daripada sepuluh kali cari iklan raya terbaru di TiubAnda. Mentang-mentang Yasmin Ahmad dah takde, semua syarikat pon nak buat iklan tangkap leleh. Iklan sampai tujuh lapan minit pulak tu. Tercongoklah mereka ni depan skrin komputer riba atau iPapan, menonton satu demi satu iklan. Lepas Petronas, TM. Lepas TM, Mamee. Lepas Mamee, Maxis. Dan seterusnya.

Meter lejen - Boleh tahan lejen


Nombor Lapan
Topik perbincangan makcik-makcik di opis, di pasar pagi atau di kawasan kejiranan hanyalah berkisarkan langsir, sofa dan set pinggan mangkuk baru. Jika ada sesiapa yang cuba untuk membawa topik krisis kemanusiaan di Somalia atau statistik jenayah di Malaysia yang semakin membimbangkan, pastilah dia akan disishkan dan dibuat biskut sahaja.

Meter Lejen - Lejenlah juga


Nombor Tujuh
Hari-hari bergaya di depan cermin, berlatih bagaimana mahu mengucapkan 'Selamat Hari Raya' dengan gaya yang paling bergaya dan senyuman yang paling memikat hati. Latihan awal. Practice makes perfect katanya.

Meter lejen - Ini lejen!


Nombor Enam
Memakai baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok ke solat terawih. Amboi ini memang kemaruk tahap berani mati. Orang lain berkain pelikat, berjubah dan berbaju Melayu biasa, dia siap dengan butang sampai ke anak tekak. Silap haribulan dipakainya tanjak! Takut Makcik Laila dibuatnya!

Meter Lejen - Ini sangat lejen!


Nombor Lima
Berbuka puasa dengan kuih semperit; bersahur dengan tat nenas. Err.. Yusoof Tayyoob dah tak jual kurma ke bang..? 

Meter Lejen - Ini memang lejen!


Nombor Empat 
Mencari-cari kawasan atau tempat yang tampak ala-alanya di luar negara, semata-mata kerana mahu menghantar ucapan dendang perantau di Utusan Meloya. Nampak macam musim luruh, siap berbaju tebal berbut tinggi sampai ke lutut, rupa-rupanya tangkap gambar di ladang getah Felda di tengah-tengah panas iklim Khatulistiwa. Buang tebiat ke kak?

Meter Lejen - Lejen tak boleh belah!


Nombor Tiga
Tersasul menyebut 'Masjid India' apabila ditanya iktikaf di mana. Orang lain semua sibuk mencari masjid yang paling hidup dan meriah dengan program dan aktiviti menghidupkan Ramadhan, dia pula sibuk berkira-kira nak beli baju Melayu cap apa dan kain samping sulaman Terengganu atau India.

Meter Lejen - Kelejenan!


Nombor Dua
Bersarapan pagi nasi lemak dan teh tarik segelas selamba badak sebab ingatkan dah hari raya. Err tak dengar pengumuman waktu imsak di radio dan telebisen tu ke bhai..?

Meter Lejen - Ini lejen tahap berbuih mulut


Nombor Satu
Bertakbir raya ketika diminta untuk melaungkan azan. Pengsan.

Meter Lejen - Ini sumpah terlalu lejen!

Jadi bagaimana? Anda ada tak menghidap salah satu, salah dua, salah tiga dan salah beberapa simptom di atas..? Sekiranya ada, dukacita dimaklumkan yang anda sebenarnya salah seorang penghidap sindrom kemaruk raya! Wahahaha.

Hari Raya 'Idul Fitri adalah hari untuk melihat sejauh mana kita telah berjaya mentarbiyah diri kita sepanjang sebulan lamanya di bulan Ramadhan. Kegembiraan yang sewajarnya terpancar pada 1 Syawal bukanlah kegembiraan kerana dapat melantak lemang dan rendang, dapat mengenakan baju kebaya sutera Uganda untuk ditayangkan kepada semua dan tidak perlu lagi berlapar dan dahaga, bukan. Tetapi ia adalah kegembiraan meraikan taqwa yang diraih, selepah berhempas-pulas, sebulan memburu dan mengejarnya.

Kerana buah kepada Ramadhan adalah taqwa, buat mereka yang berjaya menanam benih yang baik di awal Ramadhan, kemudian bersungguh-sungguh pula menyiram, membenih dan membelainya sebaik mungkin. 

Itulah kegembiraan yang sebenar. Itulah sebenarnya yang dimaksudkan dengan kembali kepada fitrah. Kerana fitrah seorang hamba adalaah taat dan patuh kepada Tuannya. Fitrah seorang hamba ialah takut akan seksaanNya, dan pada masa yang sama berharap pada kasih-sayang dan belas ihsanNya. Dan kerana fitrah seorang hamba itu mahu menchentai dan dichentai; sungguh taqwa itu adalah chenta.

Moga kita semua berjaya meraih taqwa. Selamat Hari Raya.

Senyum.

-gabbana-

Di kesempatan ini, saya dengan penuh rasa takzim dan rendah hati, ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA 'IDUL FITRI 1434H kepada semua para pembaca APG yang terus setia menyokong dan memberi tepukan di bahu kepada saya selama ini. Minal a'idin wal faidzin. Moga anda peroleh rahmat dan redhaNya di hari yang mulia ini, bersama dengan orang-orang yang tersayang! 

Saya menyusun duapuluhjari, memohon kemaafaan atas kekhilafan diri sepanjang berkarya di alam maya ini. Sebarang kata-kata dan tulisan saya yang menggusarkan, menghiris hati dan menyebabkan ada dalam kalangan anda yang terasa seperti mahu melompat di harapan keretapi, jujur, tiada niat buruk apatalah lagi keji di sebalik semua itu. Cuma adalah sekali-sekala memang tulisan saya bertujuan khas untuk merobek dan mengoyak pihak-pihak tertentu. Wahahaha. Eh. 

Kepada yang akan memandu pulang ke kampung, tolong tolong berhati-hati ketika memandu. Ingatlah orang yang tersayang. Sekiranya mengantuk, sila berhenti, minum kopi dan bacalah belog APG. Eheh. Dan di sebalik kegembiraan kita meraikan Syawal, jangan dilupakan nasib saudara-saudara seaqidah kita yang kurang bernasib baik di tempat lain. Semoga Allah merahmati mereka.

Sambutlah hari raya kali ini dengan penuh kesederhanaan dan ketaqwaan. Moga ia menjadi manifestasi kepada tarbiyah Ramadhan kita yang berjaya, InshaAllah. Oh, sila jangan sumbat perut anda dengan terlalu banyak wajik dan dodol, air sirap dan ketupat palas! 

Taqabbalallahu minna wa minkum! Kullu 'am wa antum bi khair!

8 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 07/08/2013, 18:25  

haha!teramat legend..mujur tiada golongan yang betul betul beraya pada 1 Ramadhan hari tu

p/s:Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin untuk Inche Gabbana..walaupun banyak perkataan dan suku kata yang tahap "ZASS!" dan "OUCH!" dalam blog ini..tapi terima kasih kerana ayat tersebut telah membentuk diri saya

:3

Haulid Al-Hararr 07/08/2013, 18:27  

Santai dan menghiburkan.. Terima kasih cik gabbana

lisa lalala~ 07/08/2013, 18:56  

entry ni sumpah amat lejen sekalii ! ;)

Anonymous 07/08/2013, 20:34  

post inche gabbana sangat lah style :)

ChaiDaN 07/08/2013, 22:03  

wow!! boleh cilok idea mcm mana nk jadi lejen ni..hihihi

Selamat hari raya inche gabbana!! :)

Unknown 08/08/2013, 02:24  

Tabik! :D

Anonymous 09/08/2013, 18:26  

Banyak betul idea nak bagi situasi lejen. 10 tuuu...selamat hari raya inche! Boleh tepuk bahu selalu.haha

siti hazreen 10/08/2013, 13:45  

semua sekali memang lejen ;)

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP