2 August 2013

Di Sorgakah Aku...? [Hari Keduabelas]

[Kredit]

"Di sorgakah aku..? Tolonglah ya Allah, aku benar-benar mahu ke sorgaMu..."

Adam rasa seperti tidak mahu bangkit daripada tidurnya. Jika boleh, dia mahu melelapkan matanya buat selamanya.

Kehidupannya selepas pemergian Qatadah amat berbeza sekali. Segala-galanya tampak lain. Tampak tidak kena.

Dia amat merindui sahabatnya itu. Dadanya sebak setiap kali memikirkan tentang Qatadah. Hatinya lebur setiap kali terbayang di kepalanya peluru yang merobek nyawa sahabat baiknya itu.

Pipinya basah dengan air mata. Perlahan-lahan disekanya air mata yang masih tumpah dan perlahan-lahan dia bangkit dari tidurnya. Mimpi ngeri.

Lama dia duduk tidak berbuat apa-apa. Matanya terpejam sepanjang itu. Yang hanya bermain di kepalanya adalah Qatadah, yang telah dahulu pergi menemui sang Pencipta.

Ah aku amat cemburu padamu! Aku amat rindu!

Dengan segala kekuatan yang ada, dia bangun. Sudah menjadi rutin, dia akan menyapu-nyapu pakaiannya untuk membuang pasir dan debu yang ada. Perlahan-lahan dia menjengah keluar. Masih gelap. Sejuknya menggigit-gigit kulitnya. 

Tatkala dia melangkah keluar dari khemahnya, matanya terus tertumpu pada tempat Qatadah selalu mendirikan tahajjudnya. Dia seperti tidak percaya apabila melihat kelibat Qatadah yang sedang khusyu' rukuk, tanda tunduk kepada Yang Maha Berkuasa. Hanya apabila Qatadah bangkit daripada rukuknya, baharulah Adam tersedar yang itu bukan Qatadah. Seorang pemuda yang amat mirip dengan sahabat baiknya itu.

Air matanya tumpah lagi. 

Pantas terbayang-bayang di matanya pada hari jenazah Qatadah disolati. Adam meminta izin untuk mengimamkan solat tesebut. Permintaannya itu dipersetujui semua. Apatah lagi Qatadah tidak punya ahli keluarga terdekat yang bersama-sama ketika itu. 

Melihatkan jenazah Qatadah, Adam menjadi sebak. Tidak tertahan. Oleh kerana Qatadah dikira syahid, jenazahnya tidak dimandikan dan tidak juga dikafankan. Ia dibiarkan dalam keadaan ketika mana kali terakhir dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Bukan Adam seorang yang bersumpah, yang melihat wajah Qatadah yang berseri-seri ketika itu. Bibirnya mengukir senyuman. Pipinya terangkat dan keningnya juga menampakkan yang seolah-olahnya dia sedang bergembira. 

Yang lebih menakjubkan, tubuh badan Qatadah mengeluarkan bauan yang luar biasa wanginya. Di bahagian di mana peluru menembus masuk kepalanya, darah masih lagi mengalir. Merah. Wangi. Seharum kasturi.

Mereka yang berpeluang melihat dan menguruskan jenazah Qatadah pada hari itu tidak henti-henti bertasbih dan bertakbir. Qatadah telah menjadi seorang saksi yang benar di muka bumi, yang telah menjadikan mati di jalanNya sebagai cita-citanya yang tertinggi. Dan orang ramai pula menjadi saksi, betapa Qatadah menjadi qudwah tertinggi buat mereka semua. 

Lantas Adam teringatkan sepotong ayat dalam al-Quran, yang sering dizikirkan mereka terutamanya sewaktu sepanjang demonstrasi diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat dan kesungguhan para penunjuk perasaan.

"Dan jangan sesekali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki."
[ali-Imraan, 3:169]


Ya Qatadah! Kau tidak mati! Kau kekal hidup di sisiNya! Kau tidak mati sahabatku!

Adam cuba mengawal perasaan dan emosinya ketika mengimamkan solat jenazah yang diikuti ribuan para penunjuk perasaan yang lainnya. Namun dia gagal. Setiap kali suaranya mengucapkan takbir, pasti makmum di belakang dapat mengesan esakan dan rengekan pada butir-butir serak suaranya itu. Adam benar-benar sebak. Dadanya berombak.

Hanya mereka yang kenal Qatadah dan tahu perhubungan antara Adam dan Qatadah sahaja yang faham benar perasaan Adam ketika itu. Qatadah bukan manusia biasa. Dan perhubungan antara Adam dan Qatadah juga cukup luar biasa. 

Adam dahulunya seorang pemuda liar yang tidak punya tujuan hidup, diselamatkan oleh Qatadah, seorang pemuda miskin yang besar jiwanya. Adam yang sudah begitu hampir dengan jurang api neraka berjaya diselamatkan oleh Qatadah. Keikhlasan dan kesungguhan Qatadah membimbing Adam benar-benar meruntun dan menggugah jiwa Adam, sehinggakan Adam yang pada mulanya memberontak, akhirnya tewas juga di tangan Qatadah.

Di bawah bimbingan Qatadah, Adam mula berjinak-jinak dengan al-Quran, kitab-kitab hadith, sudah mula menjaga solatnya, meninggalkan maksiat-maksiat yang mengotori jiwanya dan mula berakhlak dengan akhlak Islam yang sebenar. Sehingga suatu tahap, mereka yang tidak pernah tahu menahu akan sejarah silam hidup Adam, pasti akan menyangka dia adalah graduan daripada mana-mana universiti Islam tersohor di Timur Tengah. 

Kerana itu Adam amat terhutang budi sekali dengan Qatadah. Kerana itu Adam amat ikhlas menchentai Qatadah. Dan kerana itu, Adam kepingin benar untuk masuk sorga bersama-sama dengan sahabatnya itu. 

Lamunan Adam terhenti apabila azan Subuh berkumandang. Habis basah janggutnya dengan air mata. Cepat-cepat dia bersiap-siap untuk bersolat jemaah Subuh dengan yang lainnya. 

Imam di pagi itu membacakan surah ali-Imraan, bagi mengobarkan lagi semangat jihad dalam kalangan para pemuda yang ada. Adam tidak dapat menahan esaknya apabila imam sampai pada ayat yang ketujuhpuluh:
"...mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah kepadanya, dan bergirang hati terhadap orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati."

Bukan Adam sahaja yang merengek apabila ayat itu dibacakan dengan begitu merdu sekali oleh sang Imam. Malah hampir semua orang yang satu saff dengannya turut mengalirkan air mata, sehingga basah janggut dan pipi mereka. Tersedu-sedu mereka, kerana chentanya mereka pada syahid.

Ketika itu, tiada wajah lain yang bermain dalam minda Adam melainkan Qatadah. Dia terbayang-bayang Qatadah sedang tersenyum lebar, berpakaian serba putih dan wangi, sedang menunggu dirinya untuk menyertai Qatadah di pintu sorga dengan penuh setia. Tanpa Adam sedari, bibirnya mengukir sekuntum senyuman. Bahagia.   

Ketika para jemaah rukuk pada rakaat yang pertama, tiba-tiba bunyi riuh-rendah dengan jeritan dan pekikan kaum wanita dan kanak-kanak. Rupa-rupanya tentera-tentera laknat Subarni menyerang hendap mereka pagi itu. Tembakan demi tembakan dilepaskan dari lokasi yang tidak dapat dikenalpasti. Tembak curi. Subarni sudah benar-benar hilang akal. Dia benar-benar terdesak. Bacul!

Keadaan menjadi semakin tidak terkawal apabila ada yang cedera ditembak. Mereka yang sedang bersolat mula bertempiaran lari. Tetapi Adam dan beberapa orang tetap teguh berdiri pada saff mereka. Mereka yakin Allah bersama-sama mereka. Tiada apa yang perlu ditakutkan mereka, melainkan Allah. Subarni ada tentera dan senapang. Mereka ada Allah; pemilik Subarni, tentera dan senapang! 

Imam membacakan pula beberapa ayat dari surah al-Ahzab dalam rakaat kedua. Ketika sang Imam sampai pada ayat yang keduapuluhtiga,

"Di antara orang-orang mu'min itu ada orang-orang yang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka (ada pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pon tidak mengubah (janjinya)..."

Adam benar-benar merasakan sorga itu sangat dekat dengan dirinya. Telinganya tidak lagi menangkap bunyi hingar-bingar pekikan atau tembakan. Hidungnya seperti dapat menghidu wanginya setanggi sorga. Angin lembut yang cukup nyaman yang bertiup ketika itu menambahkan lagi perasaan Adam bahawa dia benar-benar berada di sorga.

Ketika itulah Adam merasakan ada benda panas yang menusuk laju dada kirinya. 

Zuupppp. Tembus. Panas. Besi. 

Pandangan Adam tidak semena-mena menjadi kabur. 

Hitam.


***

"Di sorgakah aku...?"

Adam terpinga-pinga. Dia benar-benar keliru. Dia tidak tahu dia di mana.

"Salaam a'laikum warah matullah, sahabatku. Sudah lama aku menunggu, akhirnya kau tiba jua."

Adam menoleh kepada punca suara itu. 

Adam tersenyum. Lebar.

-TAMAT-

-gabbana-

Alhamdulillah, diijinkan oleh Allah untuk menyiapkan karya ini. Jujur, mungkin tidak serancak dan sekencang Baihaqi atau Zilal ketika menulis ini. Jalan ceritanya juga mudah dan amat lurus ke hadapan. Namun ada mesej-mesej yang mahu saya sampaikan kepada anda semua. Moga sampai dan tertanam mesej-mesej itu. Moga bermanfaat untuk anda semua.

Kepada sahabat-sahabat yang sedang berjihad di Mesir, Syria, Palestin, Kashmir, Chechnya dan lain-lain lagi, bergembiralah! Kerana sungguh, anda amat dekat dengan sorgaNya! Saya cemburu! Doakan kami semua di sini agar dapat menyusul kalian suatu hari nanti!

Moga Allah memilih kita semua untuk mati syahid suatu hari nanti. Kematian yang menjamin tiket VIP ke sorga. Kematian yang mewangi. Kematian yang menghidupkan! Insha-Allah!

Allahu ghayatuna!
Ar-Rasul qudwatuna!
Al-Quran dusturuna!
Al-Jihad sabiluuna!
Al-Mautu fi sabilillah, asma amanina!

>> Di Sorgakah Aku...? [Hari Ketujuh]
>> Di sorgakah Aku...? [Hari Kesembilan]

5 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 02/08/2013, 19:06  

Allahu..tulisan yg menggegarkan! Subhanallah

Unknown 02/08/2013, 19:27  

Allah.. hampir menangis kite dibuatnye..

Wafa 02/08/2013, 23:02  

Tabarakallah akh..moga syahid jua milik kita. Takbir!!

Anonymous 04/08/2013, 16:24  

Wow.. Masya Allah..
*speechless*

Anonymous 05/08/2013, 07:23  

Err, boleh x share " resepi menjadi seorang Qatadah"
Sunggoh femos dan mencemburui sosok itu >.<

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP