1 December 2012

Tunjuk Ajarku Sifu!

[Kredit]

Khas buat para murabbi da'a ilallah. Teruskan berjuang. Jalan ini masih panjang, tapi ia menuju destinasi yang pasti, abadi...

Kalaulah saya menulis post ini untuk menggalakkan anda menonton malah menyertai rancangan realiti seperti tajuk di atas, sudah tiba masanya anda meninggalkan belog ini dengan tergesa-gesa dan mencari belog lain yang lebih bergaya.

Dan seandainya saya menulis post ini untuk menyatakan hasrat saya menjadi salah seorang peserta rancangan tersebut, err, gaung mana yang paling dalam dan curam di dunia ini untuk saya terjun sambil menjerit sekuat hati? 

Ehem. 

Menjadi murabbi jujurlah bukan perkara yang mudah atau boleh dipandang enteng. Ia adalah satu amanah yang cukup besar yang perlu digalas oleh setiap orang yang menggelarkan dirinya dai'e ilallah. Suka atau tidak, setuju atau pon tidak, seorang al-akh yang benar-benar dengan manhaj taghyir dalam membina jiwa-jiwa manusia yang bersedia menyokong khilafah Islam yang bakal dibina, mesti menjadi seorang murabbi.

Inna al-akh ash-saddiq la budda an-yakuuna murabbiyan. Sesungguhnya seorang akh yang benar tidak diragui lagi mesti menjadi murabbi.

Itu adalah hakikat. Suatu fakta yang perlu dikunyah perlahan-lahan, ditelan kemudian dihadam oleh usus anda yang berselingkar panjang itu, meskipon ia pahit dan tidak selazat yang anda sangkakan.

Apatah lagi apabila mengetahui bahawasanya seorang murabbi itu sewajarnya mempunyai EMPAT akhlak atau kareteristik yang utama, yakni sebagai seorang ustaz; membekalkan ilmu kepada mutarabbinya, sebagai seorang syaikh; menaikkan semangat dan himmah insan-insan yang disantuninya, sebagai seorang ayah; memenuhi kehendak emosi dan nurani si anak yang dikasihinya dan akhirnya sebagai seorang qaid; pemimpin yang berkeupayaan menyusun anak-anak buahnya dan memanfaatkan potensi yang ada pada mereka sebaiknya.

Lantas kita menggaru kepala. Waduh, sukar benar mahu menjadi seorang murabbi ini ya..?

Ya, sudah tentunya sukar. Sudah tentunya perit. Dan sudah tentunya mencabar. Kerana yang kita bina bukannya kilang, kereta atau robot; tetapi jiwa-jiwa manusia yang mahu diajak menyembah yang Esa, disiram dengan ayat-ayat chenta pembasah hati dan diadun dengan sebatian rabbani yang bersemi abadi. 

Lebih sukar dan menggaru hidung apabila kita memikirkan yang objektif atau hadaf pembinaan mutarabbi adalah sehingga dia mampu menjadi seorang murabbi juga, kerana dialah yang akan mewarisi dakwah yang kita perjuangkan. Malah lebih bergaya dan bermakna daripada itu, adalah kita mampu membinanya jauh lebih baik daripada diri kita, sehingga suatu hari nanti, dia bisa menjadi murabbi kita pula.

Apa macam? Ada brannn..?? Gulp.

Nah, siapa rujukan kita dalam memberi panduan agung kepada kita dalam merangka pengembaraan dan merancang perjalanan menjadi seorang murabbi yang osem bergaya?

Siapa lagi kalau bukan si Murabbi Agung, Allah 'Azza Wajal?

Senyum.

Dalam hal ini, suka untuk saya berkongsikan sedikit rasa hati dan tadabbur beberapa awalan ayat surah Thaha, untuk kita sama-sama hayati dan selusuri, moga-moga menjadi pedoman petunjuk jalan, agar kita lebih yakin untuk bersama-sama dengan gerabak ini.

Anda sudah bersedia? Mari.

(Diskelemer: Sebelum itu, ingin saya tekankan di sini bahawasanya apa yang bakal saya lakukan hanyalah tadabbur, atau khawatir (lintasan hati) dan bukannya tafsir. Sungguh, saya yang marhaen ini amat sedar dan menginsafi bahawa saya masih jauh lagi untuk mentafsir ayat-ayat chentaNya. Arakian sekiranya anda benar-benar mahu menyedut ruh surah ini, saya nasihatkan anda rujuk kepada mana-mana tafsir yang berkaitan. Namun pada masa yang sama, tidak salah untuk seorang hamba seperti saya ini mentadabbur ayat-ayat suciNya agar dapat kita sama-sama hayati keagungan kalamNya, sepertimana yang disyorkan di dalam surah Muhammad,. Apa guna ayat-ayat al-Quran diturunkan kepada manusia sekiranya ia tidak dimanfaatkan dan difahamis ebaiknya, bukan..?)

Sebelum kita memulakan sesi tadabbur kita, pastikan anda sudah berwudhu' dan punya Quran di tangan. Tak kisahlah Quran zip ke, Quran prakata ke, Quran besar gajah gedabak ke, tak kisah. Asalkan al-Quran.

Baiklah. Ayat-ayat yang ingin saya tadabburkan adalah ayat-ayat daripada surah Thaha, surah keduapuluh, bermula dengan ayat sebelas sehingga ayat tiga puluh enam.

Ehem.  

A'udzubillahi minassyaitonirrojim. Bismillahirrahmanirrahim. 

"Maka ketika dia mendatanginya (ke tempat api itu) dia dipanggil. Wahai Musa! (11)

Sungguh Aku adalah Tuhanmu, maka lepaskanlah kedua terompahmu. Kerana sesungguhnya engkau berada di lembah yang suci. Tuwa." (12)

Dua ayat ini menggambarkan adab atau akhlak kita dalam mencari redha Allah. Dalam memastikan hati kita benar-benar ikhlas dalam memburu chentaNya, kita hendaklah memastikan hati kita bebas daripada sebarang unsur dan karat-karat duniawi. Hal ini diwakili oleh kedua terompah Nabi Musa. 

Maka seorang murabbi, dalam menanamkan rasa mahu berubah kepada mutarabbinya, hendaklah pertama-tamanya menyemai rasa dan mengajak mereka untuk cuba sebaiknya mengikhlaskan diri dalam rangka menuju perubahan. Hal ini boleh dilakukan melalui pengisian-pengisian yang menggugah jiwa, perkongsian-perkongsian yang membasahkan rasa dan pergaulan (muayasyah) yang berterusan dengan mereka di dalam mahupon luar bulatan gembira.

Lebih cantik dan molek sekiranya anda menyokong poin-poin ini dengan tafsir dan kaitan antara surah an-Nas sehingga al-Ikhlas, dan diperkuatkan pula dengan huraian hadith pertama dalam Arbai'n an-Nawawiah.

"Dan Aku memilih engkau, maka dengarkanlah apa yang akan diwahyukan (kepadamu). (13)

Sungguh Aku ini Allah, tidak ada Tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan laksanakanlah solat untuk mengingat Aku. (14)

Sungguh, hari Qiamat itu akan datang, Aku merahsiakan (waktunya) agar setiap orang dibalas sesuai dengan apa yang telah dia usahakan. (15)

Maka janganlah engkau dipalingkan dari (Qiamat itu) oleh orang yang tidak beriman kepadanya dan oleh orang yang mengikuti keinginannya yang menyebabkan engkau binasa. (16)

Empat ayat ini adalah empat ayat yang sumpah osem..! Ok kurang sopan di situ. Ulang semula.

Empat ayat ini adalah ayat-ayat yang sumpah bergaya! Eheh.

Ayat tigabelas sehingga ayat keenambelas adalah ayat-ayat tauhid, yakni perkara paling asas dan utama dalam Islam; aqidah. Ayat ketigabelas adalah pelantikan rasmi Nabi Musa a.s. sebagai Rasul utusanNya. Lantas pada ayat seterusnya, Allah memperkenalkan diriNya sebagai Tuhan, Rabb yang berkuasa melantik Musa sebagai RasulNya tadi. Dalam ayat ini, Allah menekankan bahawa tiada Tuhan selain daripadaNya maha hanya Dia sahajalah yang layak disembah. Solat pula adalah manifestasi kepada ketaatan ini. 

Ayat kelimabelas menceritakan tentang hari Qiamat, salah satu daripada rukun iman dan asas kepada aqidah kita yang mengaku diri sebagai umat Islam. Ia bersifat ghaib, untuk menguji orang-orang yang beriman sama ada yakin atau tidak dengan kewujudannya. Orang-orang yang percaya dan yakin dengan kewujudan hari Qiamat tidak akan berlaku sewenangnya di dunia ini dan sentiasa bersifat ihsan dalam setiap perbuatannya. 

Ayat keenambelas pula, Allah memberikan bayangan, amaran awal bahawa akan ada orang yang menentang risalah yang akan dibawa oleh Musa a.s. kelak. Mereka ini adalah orang-orang yang berTuhankan nafsu dan kepentingan diri mereka sendiri. 

Sudah, apa kaitannya dengan kami yang mahu menjadi murabbi ni, Inche gabbana?

Senyum. Terima kasih kerana bertanya.

Anda perasan tak, peranan Allah sebagai ustaz kepada Nabi Musa dalam keempat-empat ayat ini? Bagaimana dia mendidik dan membimbing baginda? Juga, ia memberi bayangan kepada kita, bagaimana dalam bulatan-bulatan gembira awalan bersama hadek-hadek, perkara utama yang perlu ditekankan adalah aqidah. Ya, aqidah. Kita mengajak mereka untuk berkenalan dan jatuh chenta dengan Allah dahulu. 

Perkara ini sangat-sangat penting untuk saya tekankan, kerana ramai daripada kita yang amat mudah alpa dengan hakikat ini. Terlalu syok berbulatan gembira, terlalu larut dengan ukhuwwah chenta, sehingga terlupa kepada perkara yang lebih utama. Jangan lupa, pertama-tama kita menjadi dai'e dan murabbi, adalah kerana mahu mengajak orang tunduk dan patuh kepadaNya. Apa guna kita berbulatan gembira bagai, menjadi murabbi agung seandainya tidak mengajak orang mengesakanNya..?

Hal inilah yang telah dilakukan oleh ar-Rasul SAW kepada para sahabat ketika di fasa Mekah dahulu. Baginda tidak pernah bosan mengajak para sahabat memperhambakan diri mereka kepada Allah. Baginda tidak pernah culas mengingatkan mereka tentang kewujudan sorga. Dan baginfa tidak pernah lelah meyakinkan mereka betapa azabnya api neraka yang tersedia menanti untuk orang-orang yang ingkar. Sehinggakan para sahabat dan sahabiah seperti Bilal, Sumayyah dan Mus'ab sanggup mengorbankan jiwa mereka semata-mata demi Islam, dek aqidah yang sudah membumi pada ruh dan nurani mereka. 

Inilah tarbiyah. Inilah yang kita mahukan daripada tarbiyah. 

Saya terutamanya amat tertarik dengan ayat tujuhbelas. Setelah panjang lebar menerangkan tentang hakikat aqidah kepada Nabi Musa, tiba-tiba, tidak semena-mena Allah bertanya kepada baginda,

"Dan apakah yang ada di tangan kananmu, wahai Musa?" (17)

Err. Eh, anda tak rasa pelikkah dengan ayat ini..? Garu kepala.

Yalah, masakan tidak pelik. Elok-elok, sudah sedap-sedap Allah bercerita tentang hakikat zatNya, tatkala Dia sudah membumikan keyakinan bahawa hanya Dia sahaja yang layak disembah, alih-alih Allah menukar topik. Bukan sebarangan topik, tapi topik yang tampaknya langsung tidak ada kena-mengena dengan perbincangan kita sebelum ini. 

Pelik kan...? 

Ha, di sinilah peranan Allah sebagai ayah dalam erti kata seorang murabbi amat jelas kelihatan. Setelah membelasah Nabi Musa dengan persoalan aqidah; suatu ideologi yang cukup berat dan mengalirkan peluh besar, Allah menenangkan baginda sebentar dengan menukar topik perbincangan kepada sesuatu yang lebih ringan dan menghiburkan.

Hal inilah yang amat perlu kita contohi sekiranya kita mahu menjadi seorang murabbi yang benar-benar efektif dalam mengakar-umbikan kepercayaan hadek-hadek kepada diri kita. Dalam kekembangan kekempisan hidung kita, penuh semangat untuk menyampaikan fikrah Islamiyah kepada mereka, jangan lupa bahawa mereka adalah manusia biasa, yang tiada bedanya dengan rakan-rakan mereka yang lain.

Maka setelah kita membakar, menghentam dan mengoyak mereka dengan paradigma perubahan yang perlu mereka laksanakan, di sinilah kita perlu berperanan sebagai ayah untuk sentiasa berada di sisi mereka, menenangkan mereka dengan penuh kasih-sayang usap rambut dan baring atas paha. Muntah hijau.

Bayangkan, hadek anda yang terasa begitu bawah dan dihempap seguni beras berat setelah mendapat pengisian Saya Hoyeah; ketika itu dia merasakan seluruh dunia dan seisinya menghimpitnya sehingga tiada lagi ruang untuknya bernafas. Dan ketika itu, tepat di saat itu anda datang dengan seekor kuda putih gagah, mata bersinar-sinar mahu mengeluarkannya daripada himpitan dan keperitan perasaan itu. Perrrggghhh. Tak ke cair dan berkaca-kaca mata hadek anda itu..?? Eheh. 

Dan bagaimana mahu kita ketahui sama ada hadek-hadek kita itu sudah terpercaya (tsiqah) dan yakin dengan ketulusan kita dalam memimpin tangan mereka ke arah sorga?

Anda sudah bersedia untuk ternganga mulut, penuh dengan rasa kekaguman? Mari kita lihat reaksi Nabi Musa terhadap pertanyaan Allah sebentar tadi.

"Dia (Musa) berkata, 'Ini adalah tongkatku, aku tertumpu padanya, dan aku merontokkan (daun-daun) dengannya untuk (makanan) kambingku, dan bagiku masih ada manfaat yang lain.'" (18) 

Nah, inilah bukti bahawa Nabi Musa sudah jatuh hati dan tsiqah pada Allah!

Ha? Apa yang anda merepek ni Inche gabbana? Saya tak nampak apa-apa yang spesel pon dengan jawapan Nabi Musa tu..?? Biasa je?

Mari kita ulang tayang. Apa yang Allah tanyakan kepada Nabi Musa? Dan apa pula jawapan baginda?

Allah hanya bertanyakan apakah yang berada di tangan kanan Nabi Musa. Tapi jawapan yang diberikab oleh baginda lebih daripada apa yang ditanya. Itulah tandanya Nabi Musa sudah selesa dan percaya dengan Allah.

Sayugia kita sebagai murabbi, sekiranya kita mahu mengetahui sama ada hadek-hadek kita sudah mula boleh percaya dan yakin kepada kita, adalah dengan melihat sebanyak mana dia bermuayasyah dengan kita. Sebanyak mana yang sudi dia kongsikan dengan kita dan sedalam mana khazanah berharga rahsianya yang sanggup dia selami bersama-sama kita. 

Kadang-kadang kita hanya bertanya khabar atau ingin mengetahui perkara-perkara yang tampak remeh tentang dirinya. Namun cerita  yang dikisahkan kepada kita pong pang pong pang berjela-jela, tanpa dipinta atau dipaksa. Ya, ketika itu kita seharusnya tersenyum gembira penuh makna, kerana itu isyaratnya dia sudah amat selesa untuk berkongsi rasa dengan kita. Senyum kenyit mata. 

Saya kira cukuplah setakat itu sesi tadabbur kita. Saya berkira-kira juga untuk menghabiskan tadabbur ini sehingga ayat tiga puluh enam. Namun saya khuatir ia akan menyebabkan anda dalam kalangan anda yang juling mata dan berbuih mulut kerana terpaksa menghabiskan bacaan post yang berjela-jela ini. 

In Sha Allah, kalau diijinkanNya, akan saya sambung sesi tadabbur ini, kerana jujurnya saya sendiri begitu teruja untuk berkongsikan dengan anda ibrah besar dan pengajaran bergaya yang terkandung dalam beberapa ayat-ayat chentaNya ini. Dan saya yakin, kini anda juga bersetuju dengan saya, betapa basah dan osemnya ayat-ayat chentaNya, apabila ia dibaca dengan kaca mata tarbiyah dan dakwah yang cukup kool dan mempesona.

Ia menambahkan keyakinan saya dengan apa yang sedang saya laksanakan dan perjuangan sekarang ini.

Juga, yang lebih utama, ia benar-benar membuktikan bahawa benarlah Allahlah sebaik-baik dan seagung-agung murabbi.

Senyum lebar tak henti henti.

Jumpa lagi di sesi akan datang. Wa billahi taufiq wal hidayah.. Ewah kau ingat ini slot dalam TV al-Hijrah ke apa..?? Err.

-gabbana-

Sedang berjaulah bersama hadek-hadek muharrik terchenta di Pulau Pinang.

"Ya Allah, bukakan hati mereka yakinkan nurani mereka dan bumikan fikrah Islam ini dalam setiap jiwa mereka, agar mereka inilah yang mewarisi dakwah Nabi dan para sahabat baginda nanti!"

Amin ya robbal a'lamin.

Menyiapkan post ini sambil mencuri-curi dengar pengisian sumpah osem daripada seorang Ustaz yang sudah mencapai tahap Super Saiya kesembilan. 

Inilah PENANG-an jaulah yang mahu merapatkan ukhuwwah, membumikan fikrah, fillah. Senyum.

5 Caci Maki Puji Muji:

Syuaib Supani 01/12/2012, 15:29  

ya akh, enta kena sambung pengisian ni..sumpah oCem.. T.T

نور توفيقة ادريس 01/12/2012, 20:54  

..those parts missed up as a Murabbi..

Tolong sambung ni sebelum esok/ petang esok.

Anonymous 01/12/2012, 23:46  

moga trus ikhlas.ini juga 1 cbrn utk mgekalkan keikhlasan.keep it up!

cyclops 02/12/2012, 05:02  

org yg bijak adalah mereka yg sentiasa bersiap utk hidup selepas mati-rasulullah saw





Anonymous 02/12/2012, 09:52  

thanks for sharing n sesi e-tadabbur.:)


p/s:tafsir ayt ke-18 tu.ad sdkit typing error maybe."..tongkatku.. "

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP