2 December 2012

Boleh Tunjuk Ajar Sekali Lagi, Sifu..?

[Kredit]

Wahai akhi sayang,
Perjalanan ini sumpah panjang,
Penuh duri bukan sebarang,
Peluh dan darah laju berlinang,
Ibarat cahaya sirna terang,
Hingga iman di dada digoncang-goncang.

Namun akhi sayang,
Bukankah aku ada sepanjang siang?
Juga semalaman mata bersengkang?
Bersama dirimu susah dan senang,
Kerana aku tidak ingin mengenang,
Masuk sorga seorang seorang.

Alhamdulillah, tsummal hamdulillah, Allah ijinkan juga saya untuk menyambung tadabbur surah Thaha yang telah saya kongsikan dalam post sebelum ini. Silalah tersenyum gembira. Penuh teruja. Eheh.

Pada penulisan yang lalu, saya telah tinggalkan anda dengan Nabi Musa yang sudah mula tsiqah dan percaya pada Allah. Bagaimana Allah di samping menggalaskan beban keRasulan kepada Nabi Musa, Dia juga telah berjaya meyakinkan baginda bahawa tiada Tuhan yang wajar disembah melainkanNya. Juga, Dia juga telah berjaya mewujudkan rasa selesa dalam hati baginda, sehingga baginda tidak malu untuk bercerita panjang kepadaNya.

Baiklah, mari kita sambung tadabbur kita. Anda sudah bersedia? Sudah ada wudhu'? Quran zip sudah tersedia?

Marilah.

"Dia (Allah) berfirman, 'Lemparkanlah ia, wahai Musa!' (19)

Lalu (Musa) melemparkan tongkat itu, maka tiba-tiba ia menjadi seekor ular yang merayap dengan cepat. (20) 

Dia (Allah) berfirman, 'Peganglah ia dan jangan takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya semula.'" (21)

Apabila Allah sudah yakin bahawa Nabi Musa sudah percaya pada diriNya, maka kini Dia mahu menguji pula tahap keimanan baginda. Menarik sekali apabila Allah menggunakan kelebihan Nabi Musa, yakni tongkatnya untuk mengujinya. 

Apa yang terjadi selepas itu? Di dalam ayat-ayat pada surah yang lain, dikisahkan bagaimana Nabi Musa ketakutan melihat tongkatnya yang bertukar menjadi seekor ular yang besar, lantas mahu berlari cepat menjauhinya. Ketika inilah, sekali lagi Allah, yang menunjukkan contoh sebagai seorang ayah dalam erti kata seorang murabbi, menenangkan baginda. 

Walaweh. Sungguh, Allah adalah sebaik-baik murabbi. Rugilah kita sekiranya kita tidak mahu belajar daripada hikmah yang telah ditunjukkanNya.

Sebagai seorang murabbi, ada masa-masanya kita perlu menguji mutarabbi yang kita bimbingi, untuk melihat sama ada dalam dirinya fikrah Islami sudah benar-benar membumi. Kita mungkin menggunakan kelebihannya bercakap, atau kekuatannya dalam menulis, atau kehebatannya dalam menjalinkan perhubungan, untuk mengujinya.

Misalnya, selepas mendengar pengisian Ini Paling Kool!, kita merasakan hadek kita begitu semangat dan faham untuk melakukan sesuatu. Maka kita berikan tugasan kepadanya, untuk mengajak rakan-rakan lain menyertai bulatan gembira. Tugasannya tampak mudah untuk kita, tapi mungkin sangat berat dan menjerihkan buat hadek kita itu. Ketika ini dia mungkin sudah mula was-was dan ragu-ragu dengan kefahaman yang sudah diperolehnya. Ketika ini, dia mungkin tidak pasti lagi dengan semangat yang sudah ditiupkan pada jiwa dan ruhnya.

Apa peranan ketika ini? "Peganglah ia dan jangan takut." Ya, ketika inilah kita ada bersama-samanya untuk menyokongnya dan memastikan dia tidak mudah berputus-asa. Setelah kita memberinya tugasan dan amanah yang tertentu, kita tidak sentuh dan berlalu pergi begitu sahaja (Baca: Touch and Go), tapi kita bimbing dan pandu dirinya dengan penuh kasih-sayang dan ketulusan hati. Kerana akhirnya kita mahukan dia turut bersama-sama kita di atas jalan dakwah ini; akhirnya kita mahu dia berjaya menempuhi segala cabaran dan mehnah yang menghiasi jalan yang sumpah panjang ini.

"...dan kepitlah tanganmu ke ketiakmu, nescaya ia keluar menjadi putih (bercahaya) tanpa cacat sebagai mukjizat yang lain, (22)

untuk Kami perlihatkan kepadamu (sebahagian) dari tanda-tanda kebesaran Kami yang sangat besar." (23)

Selain memberi sokongan dan membimbingnya, kita turut menyediakan hadek-hadek kita dengan sarana-sarana tambahan untuk memperkuatkan dan mempersediakan dirinya bagi menghadapi cabaran-cabaran yang akan datang menyerang kelak, sepertimana Allah memberi mukjizat tambahan kepada Nabi Musa untuk sebagai senjata tambahan agar baginda dapat meyakinkan lagi orang ramai dengan risalah yang dibawanya.

"Pergilah kepada Firaun; dia benar-benar telah melampaui batas." (24)

Setelah Allah sudah benar-benar yakin dengan kemampuan Nabi Musa, dan Dia pula telah mempersiapkan baginda dengan persiapan yang sewajarnya, baharulah baginda diberikan tugas yang sebenar dan benar-benar mencabar, yakni berdakwah kepada Firaun yang sudah melampaui batas itu.

Sebagai murabbi, sebelum kita menugaskan hadek-hadek kita dengan tugasan yang besar lagi membuatkannya garu kepala, kita terlebih dahulu sewajarnya memastikan yang mereka sudah benar-benar bersedia. Hal inilah yang amat perlu difahami oleh seorang murabbi, selayaknya sebagai seorang qaid (pemimpin) yang perlu bijak dan berstrategi menyusun gerak kerja hadek-hadeknya dengan sebaik-baiknya, agar tidak ada yang tersia.

Jangan petik buah sebelum masak. Jangan makan lagi megi kalau belum rendam dengan air mendidih selama dua minit. Eh.

Apatah lagi tugas yang bakal kita berikan kepada hadek kita itu bukan sebarangan tugas. Bayangkan, kita mengamanahkannya untuk membuka satu kawasan baru sebagai medan amal dakwahnya; sebuah kawasan yang memang tiada ikhwah atau akhawat sebelumnya. Atau menguruskan sebuah program besar yang dihadiri oleh ratusan peserta dari pelbagai tempat dan latar belakang dan harapan yang tinggi diletakkan pula pada keberjayaan program tersebut.

Sekiranya hal tersebut benar-benar berlaku, apa peranan kita sebagai murabbi..? Sekadar melihat dari tepi? Setakat menjulang pom-pom menyorak dan membuat formasi penyuntik semangat? Atau cukup dengan kita mengurut bahunya dan menepuk belakangnya dengan penuh kasih mesra?

Maka setelah kita hanya benar-benar pasti yang mutarabbi kita telah bersedia untuk membahu amanah yang besar, setelah kita sejujurnya dapat menilai kemampuannya sebagai seorang rijal dakwah dan setelah kita yakin yang mutarabbi kita itu sedia untuk disusun tanpa banyak songeh dan soalan, hanya ketika itu kita dapat memberikannya tugas dan tanggungjawab, hatta sebesar banjaran Himalaya seberat gajah Thai dengan selega dan sesenang hati.

"Dia (Musa) Berkata, 'Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku, (25)

dan mudahkanlah untukku urusanku, (26)

dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, (27)

agar mereka mengerti perkataanku, (28)

dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, (29)

(iaitu) Harun, saudaraku, (30)

teguhkanlah kekuatanku dengan (adanya) dia, (31)

dan jadikanlah dia teman dalam urusanku, (32)

agar kami banyak bertasbih kepadaMu, (34)

sesungguhnya Engkau Maha Melihat (keadaan) kami.'" (35)

Meskipon Allah telah mengurniakan mukjizat tongkat sakti dan cahaya yang keluar dari celah ketiak Nabi Musa, baginda masih tidak merasakan yakin dengan kemampuan dirinya untuk berdakwah kepada Firaun. Apatah lagi subjek dakwah yang bakal dihadapi nanti bukan calang-calang figur; seorang raja yang amat berkuasa, hartanya melimpah-ruah mengalahkan khazanah dunia dan keangkuhannya sehingga ke langit sana, sampaikan dia tidak malu lagi mengaku dirinya sebagai Tuhan yang berkuasa.

Oleh sebab itu, Nabi Musa dengan penuh ta'zim dan kerendahan hati, meminta agar Allah melancarkan lisannya untuk menyampaikan risalahNya dan diperkuatkan lagi dengan seorang pembantu dalam kalangan saudaranya sendiri, yakni Nabi Harun AS. Hal ini juga menguatkan lagi hujah bahawa dalam kita mahu mentarbiyah dan berdakwah, dua tugas yang agung yang cukup besar dan berat, ia tidak mungkin dapat dilakukan seorang diri. Nabi Musa AS, seorang manusia yang kuat karaternya itu, diperkuat lagi dengan keRasulan dan mukjizat-mukjizat yang dikurniakan Allah kepadanya, masih meminta kepada Allah seorang teman untuk bersama-sama berpimpinan tangan menelusuri jalan sunnah ini. Nah, bukanlah lebih indah, bukankah lebih mudah apabila tanggungjawab tarbiyah dan dakwah itu dikongsi bersama dengan ikhwah yang sefikrah?

Mutarabbi kita juga begitu. Kita sendiri mungkin sudah yakin yang dia sudah bersedia untuk digalasi dengan tugas yang besar dan amanah yang sewajarnya. Malah dia sememangnya sudah bersedia. Cuma yalah, manusia. Kadangkala nebes juga. Kadangkala teringin juga untuk mengada-ngada bermanja-manja. Eh. Di dalam situasi dan saat-saat genting sebegitu, siapa sahaja boleh berasa resah dan gelisah. Apabila diberikan tugas yang mengalirkan peluh besar,  siapa sahaja boleh mempunyai fikiran kedua (Baca: Second thought).

Arakian menjadi tugas kita sebagai murabbi untuk sebaiknya mempersiapkan mutarabbi dengan sarana-sarana yang mampu untuk kita berikan. Contohnya, sekiranya kita tugaskan hadek kita untuk membuka kawasan baru, menangkap ikan-ikan yang bebas dan riang berenang di sungai yang baru (gelak keji), kalau bukan kita sendiri yang menemaniya, sebaiknya kita pasangkan dia dengan seseorang yang mampu menemaninya. Sekali lagi kita memainkan peranan sebagai qaid yang mampu untuk memanfaatkan kelebihan hadek-hadek kita sebaiknya, di samping menjadi seorang syaikh yang tidak pernah bosan dan lelah meniupkan semangat membara perjuangan pada jiwa dan ruh mereka.

Dan yang paling menarik sekali perhatian saya, kelebihan dan kekuatan tambahan ini tidak lain hanyalah "...agar kami banyak bertasbih kepadaMu." Subhanallah. Punyalah hebat dan berkesannya Allah mentarbiyah Nabi Musa AS, sehinggakan akhirnya baginda dapat melihat segala sesuatu itu mestilah kembali kepadaNya. Segala kurniaan dan bantuan tambahan yang dipinta oleh baginda bukanlah untuk kepentingan diri, apatah lagi disalah guna untuk keseronokan sendiri. Namun segalanya ditagih hanya kerana baginda mahu mendekatkan lagi dirinya kepada Rabbnya yang terchenta.

Lari-lari anak ke bilik air. Nanges.

Inilah manifestasi kepada kejayaan kita mentarbiyah hadek-hadek kita. Apabila sahaja, kita berjaya membumikan ketaatan yang total kepada Allah semata, di dalam hati dan jiwa mereka. Apabila kita berjaya mengubah neraca kehidupannya daripada berpaksikan dunia kepada pasak akhirat yang utama. Dan apabila kita berjaya meyakinkannya bahawa kehidupannya di dunia ini hanyalah sebuah kehidupan yang sia-sia melainkan dia berusaha segigihnya memenuhi tujuan hidupnya sebagai makhluk yang bernama manusia.

"Dia (Allah) berfirman, 'Sungguh telah diperkenan permintaanmu, wahai Musa!'" (36)

Akhirnya, kita redha untuk melepaskan mutarabbi yang telah kita asuh dengan penuh kasih-sayang dan bimbing dengan penuh perasaan chenta dan tulus. Kerana kita yakin yang dia sudah benar-benar bersedia. Kerana kita pasti yang dialah yang akan mewarisi perjuangan tarbiyah dan dakwah kita. Dan kerana kita faham, itulah yang terbaik untuknya.

Senyum.

Cukuplah. Cukuplah sekadar itu saya berkongsikan tadabbur beberapa ayat daripada surah Thaha ini. Moga bermanfaat untuk anda semua yang benar-benar mahu menjadi murabbi bergaya, yang ingin belajar dari hikmahNya. Juga moga menambah pelaburan saham-saham sorga yang seringkali defisit itu. Peluh kecil. Harap dapat maafkan dan tegur mana-mana kekhilafan dan kesilapan yang tidak disengajakan.

In Shaa Allah, jika ada kesempatan lain, akan saya kongsikan lagi tadabbur daripada surah-surah yang lain pula. Doakan jika itulah yang terbaik untuk agama, agar Allah kurniakan saya dengan kekuatan dan kesempatan untuk berkongsikannya. Senyum.

Yang baik itu pasti dan selalunya datangn daripada Allah semata, sedangkan yang bobrok dan buruk itu tidak lain melainkan bersandarkan kepada kelemahan dan kepincangan pada diri yang marhaen ini.

"Ya Allah, saksikanlah yang aku telah sampaikan, ya Allah. Saksikanlah!"

Moga Allah redha.

-gabbana-

Disiapkan di dalam kereta, dalam perjalan pulang ke Kuala Lumpur. Demi tarbiyah dan dakwah yang terchenta, tidak ada yang mustahil bukan..? Ohoi! 

4 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 02/12/2012, 22:09  

Jazakallah khayr.. Walaupun blum sempat menjadi murabbi yang official, tapi cukup jelas apa yang perlu dibuat jika menjadi seorang murabbi.. Jazakallah khayr sekali lagi

kupu-kupu mlm 03/12/2012, 02:50  

quran panduan hidup yg lengkap







Anonymous 05/12/2012, 00:08  

menarik apb diolah dlm bentuk penulisan,pernah dgr tafsir yg sama disampaikan oleh nouman ali khan..

Unknown 01/11/2013, 23:50  

thanks.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP