14 November 2012

Matryoshka

[Kredit]

Aroma secangkir kopi segar memenuhi ruang sebuah bangsal usang.

Lelaki tua lebih separuh abad itu tersenyum puas melihat hasil ukiran terbarunya. Dia lantas menemukan bibir kole besinya dengan bibir kerepotnya dan menghirup kopi hitam yang masih panas. Dia tersenyum lagi. Puas.

Dibelek-beleknya patung sebesar burung pipit itu. Sekejap dipusingnya ke belakang. Sekejap dipusingnya ke tepi. Ditiupnya habuk-habuk kayu yang masih berbaki pada patung itu. Kemudian diletakkan patung itu di atas meja kayu tempatnya bertukang, benar-benar berhadapan dengan dirinya. Berdiri seorang wanita bertudung litup ala rahib di gereja, berpakaian warna-warni dengan hiasan bunga-bunga cerah di hadapannya, tersenyum penuh makna memandang kembali lelaki itu. 

Matryoshka. Patung hiasan Russia yang diperbuat daripada kayu bermutu. Patung yang beranak-pinak, selepas dibuka satu-persatu.

Sudah hampir empat puluh tahun lebih lamanya Sergei Mayorov menjadi tukang kayu, pekerjaan turun-temurun keluarganya yang diwarisi daripada ayahnya. Hobinya di masa lapang, ketika tiada pesanan dari penduduk kampung atau panggilan untuk membaiki perabot yang rosak, adalah dengan mengukir patung Matryoshka. Hobi tidak sengaja yang bertukar menjadi kerjaya. Dan Matryoshka yang diukir Sergei bukan calang-calang kualitinya. Patung-patung yang diukirnya mendapat sambutan yang cukup hangat, sehinggakan dia sering menerima tempahan daripada syarikat kecil-kecilan menjual cenderamata di Moscow, untuk dijual kepada para pelancong di sana. 

Namun Sergei tidak menjadikan kepakarannya itu sebagai sumber pendapatan utamanya. Bukan itu niatnya. Dia lebih selesa mengukir Matryoshka sebagai tempat dia mencurah cinta dan rasa. Isterinya yang telah pergi meninggalkannya beberapa tahun lalu menjadikan kehidupannya sunyi. Mereka yang tidak dikurniakan anak menyebabkan Sergei kini tinggal seorang diri. 

Maka Matryoshkalah yang menjadi tempatnya mengadu rindu. Pada patung-patung tidak bernyawa itulah Sergei mengukir rasa kemilau cintanya, yang semakin pudar setiap hari. Setiap lekuk ukiran Sergei melambangkan rindu dendamnya pada isterinya yang tercinta. Setiap calitan warna pada patung yang diukirnya itu menandakan perasaannya yang sekian lama terpendam buat isterinya yang telah pergi. 

Semenjak kematian isterinya, tema patung Matryoshka yang diukir Sergei lebih hidup dan ceria. Padanya, tiada guna dia bersedih, meratapi seseorang yang telah pergi dan tidak akan kembali lagi. Matryoshka adalah tempat dia mengalirkan tenaga cinta dan rindunya, yang sepatutnya dikongsi bersama bersama isteri si peneman jiwa. Dan dek ketiadaan pewaris untuk mewarisi bakatnya itu dan perniagaan keluarga turun-temurun, Sergei mahu memastikan setiap Matryoshka yang dihasilkan adalah yang terbaik dan tercantik, sebagai manifestasi bukti keberadaannya di muka bumi milik Tuhan ini. 

Tidak hairanlah setiap Matryoshka yang dihasilkannya cukup unik dan punya tarikannya yang tersendiri. Kerana rupa-rupanya, setiap patung Matryoshka, baik yang berupa wanita berskaf di kepala, atau wanita petani desa, atau lelaki beruniform tentera, atau apa-apa sahaja, setiap satunya ibaratnya membawa mesej cinta tersendiri dari Sergei. Seolah-olahnya, setiap patung itu mampu  untuk berkata-kata dan menyampaikan apa yang terbuku di hati Sergei. Unik. Kuasa cinta. 

Sergei membalas senyuman patung yang diletakkanya di atas meja sebentar tadi. Patung itu terutamanya, bukan patung biasa-biasa. Kali ini, ia benar-benar luar biasa. Malah untuk kayu yang diukir bagi menghasilkan patung itu, Sergei sendiri yang mencarinya di hutan tepi sungai Volga, yang merentasi Nizhny Novgorod, tempat di mana Sergei lahir, membesar, kahwin, berpisah dengan isterinya dan mungkin juga di situ matinya nanti. Dia meredah kesejukan bulan November yang menggigit hingga ke tulang hitamnya, semata-mata mahu mencari kayu birsch yang terbaik.  

Dia mengukir patung tersebut dengan penuh perasaan dan kesungguhan. Belum pernah lagi Sergei begitu bersemangat dan serius. Malah dia sendiri berasa sedikit pelik dengan kesungguhannya kali itu. Dirasuk jin hutan agaknya. Setiap ukiran yang terpahat pada patung itu ibaratnya dibacakan mantera cinta. Setiap warna yang mewarnai setiap inci permukaan patung itu seolah-olahnya sudah dijampi dengan bait-bait sakti.

Dia cukup berpuas hati kali ini. Dan dia tidak mahu menyimpannya seorang diri. Dia mahu menjualnya, agar dunia tahu manifestasi cintanya kepada isterinya yang tercinta. Agar dunia dapat berkongsi mesej cintanya yang agung.

Dia menghabiskan titisan terakhir kopi dalam kole besinya. Sejuk. Dia justeru bangkit, meninggalkan Matryoshka itu seorang diri. Matryoshka yang sudah diberi nama, sebagai ingatan buat isteri tercinta.

Lyubov'. Cinta.

*** 

Ili memandang foto di dalam bingkai kayu berukir itu dengan mata berkaca. Gambarnya bersama Najwa berangkul mesra di tepi dinding al-Hambra di Sepanyol, ditatapi dengan penuh rasa.

Itu tiga tahun yang lalu. Ketika itu musim sejuk. Ili, Najwa dan beberapa orang lagi rakan-rakan mereka telah mengambil keputusan untuk melarikan diri dari cuaca maha sejuk di Russia dengan pergi berjaulah ke Sepanyol yang cuacanya tidaklah terlalu kejam. 

Jaulah. Jalan-jalan. Perkataan yang masih asing buat Ili ketika itu.

Persahabatan dengan Najwa bukanlah suatu persahabatan yang sengaja. Bukan juga dirancang. Sekurang-kurangnya pada pandangan mata mereka berdua. 

Mereka sudah berkenalan sejak di bangku kolej lagi. Ketika itu mereka menuntut di Kolej Mari Belajar, sebuah kolej persediaan ke luar negara. Namun kedua-duanya ibarat langit petala ketujuh dengan kerak bumi lapisan ketiga. Najwa yang sememangnya berasal dari sekolah agama, bertudung labuh, sentiasa berjubah, lembut dan sopan-santun percakapannya memang kelihatan amat berbeza sekali dengan Ili. Ili yang berasal dan dibesarkan di bandar besar, amat ranggi orangnya. Rambut lepas menggerbang, suka berbaju tee sendat dan berseluar jeans; mana-mana lelaki yang yang melaluinya pasti tidak gagal untuk memandangnya  buat kali kedua. Orangnya cantik dan manis sekali. Juga ceria dan peramah orangnya.

Ketika di kolej dahulu, mereka ibaratnya kenalan bila perlu sahaja. Maknanya, apabila ada urusan-urusan tertentu yang memerlukan mereka berhubungan, baharulah mereka akan bertegur-sapa. Selebihnya, mereka adalah dua orang yang punya kehidupan dan urusan yang tersendiri. Masakan tidak, Najwa sering sibuk dengan program-program keagamaannya. Hampir setiap malam pasti ada aktiviti atau liqa' yang perlu dihadirinya. Hujung minggu pula pasti dipenuhi dengan daurah atau rehlah.

Ili? Malamnya akan dipenuhi dengan lepak-lepak di kafe bersama rakan-rakan sekepala. Atau sekali-sekala dia akan bertemu-janji dengan kekasih hati, Zaki. Hujung minggunya, sama ada ayahnya akan datang mengambilnya dengan Audi Q5 berwarna perak keputihan itu untuk pulang ke rumah, atau dia akan keluar ke bandar bersama rakan-rakannya. 

Tahun akhir mereka di kolej itu, berlaku sesuatu yang kurang enak yang menyebabkan berlaku perang dingin antara 'geng usrah' dengan 'geng free hair.' Kisahnya bermula apabila Majlis Perwakilan Pelajar yang ingin menganjurkan Majlis Makan Malam Perpisahan untuk para pelajar senior tahun itu. Majlis Perwakilan Pelajar berhasrat untuk meletakkan kod pemakaian dalam memberi panduan kepada para pelajar agar tidak memakai pakaian yang menjolok mata atau yang pelik-pelik. Hal ini telah mendapat tentangan yang hebat daripada segelintir pelajar. Antara kepalanya adalah Ili. 

Mereka yang aktif dengan program-program agama pula telah mengugut untuk memboikot majlis itu seandainya Majlis Perwakilan Pelajar tunduk kepada tekanan geng free hair. Akibatnya, huru-hara satu kolej dengan insiden tersebut. Ili merasakan geng usrah ini terlalu kolot. Jumud! Dan Najwa bersama rakan-rakannya yang lain pula pening memikirkan keekstreman Ili dan rakan-rakannya. Buntu.

Akhirnya selepas campur tangan pihak atasan kolej, Majlis Perwakilan Pelajar terpaksa menarik semula kod pemakaian yang telah dikeluarkan. Ili dan rakan-rakannya merasakan satu kemenangan manis buat mereka. Geng usrah bertekad untuk tidak menghadiri Majlis Makan Malam tersebut, walaupun ia dianjurkan untuk mereka juga. Ili tidak peduli, yang penting dia dapat berseronok dan bergaya pada malam itu nanti. Puas!

Selepas insiden tersebut, seolah-olahnya ada dua aliran di kolej tersebut; sekurang-kurannya di kalangan para pelajar perempuan. Sama ada mereka bersama dengan geng usrah atau dengan geng free hair. Tiada antara tengahnya. Hubungan antara dua kumpulan ini kadangkala boleh menjadi sangat tegang, sehinggakan di blok asrama juga mereka mengasingkan bilik mengikut ideologi masing-masing. Masing-masing keras kepala. Masing-masing mahu mempertahankan ego dan kepentingan bersama. Kononnya. 


Akhirnya masing-masing bersetuju untuk membawa urusan dan hal masing-masing, tanpa menjaga kain, seluar mahupun tudung orang lain. Para pelajar lelaki hanya tertawa geli hati melihatkan karenah dan perangai rakan-rakan perempuan mereka. Macam budak-budak, kata mereka. Dan hal ini berterusan sehinggalah semuanya habis belajar di Kolej Mari Belajar itu. Tiada majlis bermaaf-maafan. Tiada bersalam tangan atau berpeluk cium tanda tiada lagi dendam perasaan. Tiada. 


Ketika keputusan penempatan universiti diumumkan, Ili terasa seperti hendak pengsan apabila mengetahui dia adalah satu-satunya daripada rakan-rakan baiknya yang akan melanjutkan pelajaran ke Russia.  Moscow Medical Academy. Lebih mengharu-birukan apabila dia mendapat tahu yang Najwa juga mendapat tempat yang sama. 


Bertungkus-lumus dia turun naik pejabat MARA untuk merayu agar permohonannya untuk menukar universiti diterima. Dia ingin ke United Kingdom, bersama 'Girlfriends Forever'-nya yang lain. Puas juga dipujuk-rayu ayahnya, seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk untuk menggunakan kabel yang ada untuk memudahkan urusan pertukaran universiti. Mujurlah ayahnya enggan bermain kotor. Mujur juga MARA tidak meluluskan permohonannya. 


Mujur. Kerana bukan kebetulan Ili dan Najwa akhirnya akan bersahabat di bawah teduhan pohon-pohon syurga. Bukan kebetulan, tetapi sudah suratan.  


bersambung...


-gabbana-


Ok jujurnya tiada niat pon di awalnya untuk buat cerita bersiri. Tapi sebab khuatir akan jadi terlalu panjang, maka... Kita berehat sebentar di sini dahulu deh..? Senyum. 


18 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 14/11/2012, 12:27  

tengah syok2 baca, boleh pula ada 'bersambung'
cepat2 ye APG buat sambunganya. hihi
jzkk akhi^^

Anonymous 14/11/2012, 13:05  

seronok baca tdi,tup2 besambung..
smoga kluar cpt smbungannya..
^_^

Anonymous 14/11/2012, 13:51  

eksaited je baca tadi..
tengok2 bersambung plak..
semoga cepat sambungannya

Anonymous 14/11/2012, 14:48  

Waa..exited tu pula nak baca ni:),smga Allah permudah kan urusan Akhi dlm menyampaikan mesej utama cerita ni.

Isky 14/11/2012, 16:16  

Looks promising. :)

Write / publish the next chapter quickly please. ;p

ad Deen 14/11/2012, 17:02  

masyaAllah..sungguh berbakat menulis novel. Tapi cerita Baihaqi hari tu belum habis lagi kan? ke tergantung macam tu je? Ana ingin sangat nak tau penghujungnya..

Jzkk akhi.

cahayalembut 14/11/2012, 17:12  

Setuju dengan semua komentar di atas. Cepat2 post sambungan cerita ni :)

Anonymous 14/11/2012, 18:02  

tak sabar nak tahu sambungannya..tapi cerita baihaqi tu macam tak habis lagi je??

Ahmedkzaman 14/11/2012, 18:09  

oiyyyooo!!

KhalifahRock 14/11/2012, 18:20  

cepat inche gabbana! cepat!

prodigy 15/11/2012, 00:00  

angel, y do u wears gucci?

Anonymous 15/11/2012, 01:00  

spasiba^^

no body 15/11/2012, 03:00  

"Hai orang-orang yang beriman! kalau datang kepada kamu orang fasik membawa berita, periksalah dengan saksama supaya kamu tidak mencelakakan suatu kaum dengan tidak diketahui, kemudian kamu menyesal atas perbuatan itu" (Ayat 6 : Surah Al-Hujurat)

"Yang paling dikasihi oleh Allah di antara kamu adalah : mereka yang baik akhlak, yang merendahkan sayapnya (diri), yang suka dengan orang dan yang disukai orang. Manakala yang dimurkai oleh Allah adalah : mereka yang pergi membawa fitnah, yang menceraiberaikan di antara saudara dan mencaci orang yang tidak berslah akan kesalahannya" (Hadith riwayat At-Tabharani dan Abu Hurairah r.a.)

Abu Zhar Al-Ghiffari berkata, Rasullullah s.a.w. bersabda :"Barangsiapa menyiarkan terhadap orang muslim satu perkataan untuk memalukannya dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat" (diriwayatkan oleh Ibnu Abid Dunya

komen ini sekadar perkongsian antara insan sempena maal hijrah agar umur yg dilanjutkan peroleh barakah-NYA

tukang taip :D 15/11/2012, 20:06  

waaa cepat2 sambung seronoknye :)
Alhamdulillah olahan cerita yg sangat menarik
tak sabar nak tau seterusnye :D

uhud 15/11/2012, 20:47  

wah, ada citer bru lak..best2..
baihaqi da abes, xde sambungan da.. pjuk la Inche Gabbana sambung tumbesaran baihaqi..hihi

Lintasan Hati 16/11/2012, 17:10  

Inche Gabbana cerpen origami tu takde sambungan ka

olga nikolaevna 17/11/2012, 01:36  

waaa.. cerita pasal matryoska tuh memang betol ke?? huhu.. org yg study kat rusia nih pon x taw.. menarik2.. =)

hikari 03/12/2012, 14:29  

wah..cite rusia..menarik2..hehe

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP