Ibrah Para Anbiya'
Sekiranya kalian benar-benar chenta akan kebenaran, mendambakan al-Haq dan bermati-matian mahu menghapuskan kebatilan, jadilah seperti Nabi Ibrahim 'alaihi solatu wassalam, yang tidak pernah malu, tidak pernah ragu-ragu dan tidak pernah pula takut dalam menyelongkar khazanah teragung dan rahsia semesta, hanya semata-mata mahu memantapkan aqidah di dada.
"Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata, 'Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati.' Allah berfirman, 'Belum percayakah engkau?' Dia (Ibrahim) menjawab, 'Aku percaya, tetapi agar hatiku tenang (mantap).' Dia (Allah) berfirman, 'Kalau begitu ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah olehmu kemudian letakkan di atas masing-masing bukit satu bahagian, kemudian panggillah mereka, nescaya mereka datang kepadamu dengan segera.' Ketahuilah, bahawa Allah Maha Perkasa Maha Bijaksana."
[al-Baqarah, 2:260]
Wahai si Pendakwah Tegar!
Sekiranya kalian benar-benar chentakan dakwah ini, seandainya kalian sungguh-sungguh terasa beban dengan tugas Syahadatul Haq ini dan jika kalian seikhlas hati mahu menyebarkan kebaikan, maka contohilah qudwah yang ditunjukkan oleh Nabi Nuh 'alaihi solatu wassalam yang tidak pernah kenal erti putus-asa dalam menegakkan kebenaran, hatta tidak ada sesiapa yang mahu merangkul mesra chenta yang disebarkannya!
"Dia (Nuh) berkata, 'Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam, tetapi seruanku itu tidak menambah (iman) mereka, justeru mereka lari (dari kebenaran).Dan sesungguhnya, aku setiap kali menyeru mereka (untuk beriman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anakjarinya ke telinganya dan menutup bajunya (ke wajahnya) dan mereka tetap (mengingakari) dan sangat menyombongkan diri.Lalu sesungguhnya aku menyeru mereka dengan cara terang-terangan. Kemudian aku menyeru mereka secara terbuka dan diam-diam..'"
[Nuh, 71:5-9]
Wahai si Pelaku Dosa!
Seandainya kalian sudah putus-asa dengan dosa dan noda yang sudah penuh di dada, hilang semangat dek merasakan betapa hinanya diri di hadapanNya, merasa hampa dengan hati yang sering berbolak-balik itu, ambillah iktibar dari Nabi Adam 'alaihi solatu wassalam yang meskipun mengundang kemurkaan Allah, baginda tidak pernah kecewa dengan kasih-sayang dan rahmatNya, terus berharap dan mendamba chentaNya sehinggalah Dia mengurniakan keampunanNya!
Wahai si Mujahid Muda!
"Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya pastilah kami termasuk orang-orang yang rugi."
[al-A'raf, 7:23]
Wahai si Mujahid Muda!
Jika suatu hari nanti kalian diuji dan digoda, jika suatu masa nanti kalian ditimpa dengan mehnah yang amat menyesak dada, jika suatu ketika kalian menggeletar dek tak tertahan dengan tribulasi yang menghimpit, ketika itu ingatlah pada doa Nabi Yusuf 'alaihi solatu wasalam yang meminta perlindungan daripada rabbNya dari ujian yang benar-benar menggugah jiwa dan imannya, daripada merelakan diri diperhambakan oleh iblis laknatullah dan nafsu yang menggila!
"Wahai Tuhanku! Penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka. Jika aku tidak Engkau hindarkan dari tipu daya mereka, nescaya aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentu aku termasuk orang yang bodoh."
[Yusuf, 12:33]
Wahai si Pentadbir Alam!
Kalian telah dianugerahkan dengan amanah yang cukup besar, bukan sekadar mentadbir manusia, tetapi juga memakmurkan seluruh alam buana! Maka peganglah amanah ini dengan jujur dan telus. Laksanakan tanggungjawab ini dengan sesungguh hati dan sepenuh jiwa. Jangan malu untuk mengambil ibrah dari alam yang tidak pernah kedekut berkongsi ilmu, tidak pernah bosan menjadi guru. Dan jadilah seorang pentadbir yang penuh takzim dan syukur, meneroka khazanah agung yang ditinggalkan oleh Nabi Sulaiman 'alaihi solatu wassalam yang tidak pernah lekang bibirnya memohon bimbingan suci dari langit.
"Maka dia (Sulaiman) tersenyum lalu tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa, 'Ya Tuhanku, anugerahkanlah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Kau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar aku mengerjakan kebajikan yang Kau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang saleh.'"
[an-Naml, 27:19]
Wahai si Pejuang al-Haq!
Sekiranya kalian berasa lemah dalam menggalas amanah, seandainya kalian berasa gusar dengan tugas yang besar dan jika kalian merasa benar-benar tidak bersedia untuk melaksanakan tujuan kalian diciptakan ini, mintalah bantuan daripadaNya untuk memperkuatkan persiapan dan hati kalian, jangan segan berdoa meminta pertolongan daripadaNya untuk melancarkan perjuangan kalian, sebagaimana Nabi Musa 'alaihi solatu wassalam memohon seikhlas hati pertolongan daripada kekasihnya untuk membantunya menghadapi Firaun yang melampaui batas itu.
"Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku, dan mudahkanlah urusan untukku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, agar mereka mengerti perkataanku, dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, (iaitu) Harun saudaraku, teguhkanlah kekuatanku dengan (adanya) dia.."
[Taha, 20: 25-31]
Wahai si Pewaris Dakwah!
Ingatlah! Kalian telah mewarisi dakwah ini ribuan tahun lamanya! Perjuangan yang kalian galas di bahu ini, bukanlah perjuangan yang baru, tapi sudah dimulai sejak zaman Nabi Adam lagi! Maka bekerja keraslah kalian untuk mewariskan pula dakwah ini kepada generasi seterusnya! Bersungguh-sungguhlah kalian dalam memastikan kelangsungan dakwah ini, agar generasi seterusnya turut merasa betapa nikmatnya berada di bawah bayangan tarbiyah! Berpesanlah, sepertimana Nabi Yaakub 'alaihi solatu wassalam berpesan kepada anak cucunya, agar dakwahnya dapat diwariskan turun-temurun, tak termakan dek zaman!
"Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini untukmu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim."
[al-Baqarah, 2:132]
Wahai si Pelaksana Amanah!
Boleh jadi nanti kalian akan bosan dan tertekan dengan penerimaan orang ramai terhadap dakwah kalian. Boleh jadi ketika itu kalian sudah tawar hati dan terfikir untuk melarikan diri daripada terus memikul amanah ini. Boleh jadi ketika itu kalian merasakan dengan melarikan diri daripada masalah akan membebaskan kalian daripada mehnah. Seandainya itu terjadi, tiada kisah yang lebih baik untuk dijadikan pengajaran daripada kisah yang menimpa Nabi Yunus 'alaihi solatu wassalam. Hayatilah kisahnya dan tadaburlah muhasabahnya di dalam perut ikan nun!
"Dan (ingatlah kisah) Zun Nun (Nabi Yunus) ketika dia pergi dalam keadaan marah, lalu dia menyangka bahawa kami tidak akan menyulitkannya, maka dia berdoa dalam keadaan yang sangat gelap, 'Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha suci Engkau. Sungguh aku termasuk orang-orang yang zalim.'"
[al-Anbiya', 21:87]
Wahai si Pembenar Firman!
Peringatan dari Tuhan sudah lama diwarkahkan dalam kitabNya yang agung. Perintah dari Tuhan sudah termaktub tanpa keraguan. Suruhan dan hukum-hakamNya juga sudah jelas, tanpa sebarang persoalan. Namun seandainya terdetik syak wasangka atau ragu-ragu di dalam hati kalian dengan firman dari langit ini, contohilah akhlak Nabi Ismail 'alaihi solatu wassalaam yang tanpa berfikir dua atau tiga, tanpa sebarang syak atau wasangka, membenarkan firman TuhanNya walaupon sekiranya terpaksa mengorbankan nyawa dan jiwa!
"Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata, 'Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!' Dia (Ismail) menjawab, 'Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; Insha-Allah kau akan dapatiku termasuk orang yang sabar.'"
[as-Saffaat, 37:102]
Wahai si Pembawa Kalimah Agung!
Jika benar kalian berdakwah keranaNya, sekiranya benar kalian sudah berbai'ah mahu menjual seluruh jiwa, harta dan tenaga hanya demi untukNya dan seandainya benar hidup, mati dan seluruh amalan kalian hanyalah untukNya, maka andai tiba suatu hari di mana seluruh manusia, langit dan seisinya bangkit menentang risalah yang dibawa kalian, kalian tetap akan berdiri teguh, sekeras gunung mempertahankan perjuangan suci ini. Kerana kalian tahu, Allah tetap ada di sisi, bersama-sama kalian sehingga kalian menang atau mati menuju redha Ilahi. Hayatilah doa kekasih kita, Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi solatu wassalam yang dialunkan baginda sesayu hati setulus murni, sebaik sahaja baginda dihalau oleh kaum sendiri di Thaif. Moga menjadi pembakar semangat kita, walau apa yang terjadi, walau ombak besar menghempas pantai, walau badai gagah membaham bahtera, perjuangan keranaNya akan tetap dan tetap diteruskan!
"Wahai Tuhanku, kepada Engkaulah aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya upayaku pada pandangan manusia.
Wahai Tuhan Yang Maha Rahim, Engkaulah Tuhannya orang-orang yang lemah dan Engkaulah tuhanku.
Kepada siapa Engkau menyerahkan diriku? Kepada musuh yang akan menerkam aku atau kepada keluarga yang Engkau berikan kepadanya urusanku, tidak ada keberatan bagiku asalkan Engkau tidak marah kepadaku.
Sedangkan afiat-Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya muka-Mu yang mulia yang menyinari langit dan menerangi segala yang gelap dan atas-Nyalah teratur segala urusan dunia dan akhirat.
Dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahan-Mu atau dari Engkau turun atasku azab-Mu. Kepada Engkaulah aku adukan halku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau."
Wahai Tuhan Yang Maha Rahim, Engkaulah Tuhannya orang-orang yang lemah dan Engkaulah tuhanku.
Kepada siapa Engkau menyerahkan diriku? Kepada musuh yang akan menerkam aku atau kepada keluarga yang Engkau berikan kepadanya urusanku, tidak ada keberatan bagiku asalkan Engkau tidak marah kepadaku.
Sedangkan afiat-Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya muka-Mu yang mulia yang menyinari langit dan menerangi segala yang gelap dan atas-Nyalah teratur segala urusan dunia dan akhirat.
Dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahan-Mu atau dari Engkau turun atasku azab-Mu. Kepada Engkaulah aku adukan halku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau."
-gabbana-
8 Caci Maki Puji Muji:
assalamualaikum
saya tersentap tesentuh...
keep writing..
ini, kata2 super saiya yg asli..
jzkk akhi!
aku hanya hamba yg lemah
nice words
Allahu rabbi
masha Allah..jiwa refreshed
teruskan menulis akhi :)
Jzzk akhi for the motivation... Dah lama x jumpa... enta ape kabor? ^^
inche adam effendi.. berapa org dah enta kaderkan mad'u setakat ni?
Post a Comment