20 November 2012

Matryoshka 3.0

[Kredit]


Wala gholib ilallah. Dan tiada penakluk selain daripada Allah.

Penuh dinding-dinding di Istana al-Hambra dengan ukiran tersebut. Memukau. Hanya mata-mata yang pernah melihatnya dari dekat sahaja yang dapat menghargai keindahan dan keunikan Istana al-Hambra. 

Dan sepasang mata yang satu ini, sejak menjejakkan kakinya ke dalam perkarangan al-Hambra, hampir-hampir tidak berkelip, menikmati setiap inci daripada ukiran yang cukup mempesonakan itu.

Lidah Ili juga tidak henti-henti mengucapkan syukur dan tasbih memuji kebesaran Allah. Binaan ratusan tahun itu cukup memukau dirinya. Dia yang sememangnya minat pada seni fotografi tidak henti-henti menekan punat kamera Nikon D5000 miliknya. Entah beraneka sudut dan bermacam sisi yang telah diabadikan dalam kameranya. 

Najwa hanya tersenyum melihatkan gelagat Ili. Lebih tersenyum apabila memikirkan Ili yang pada mulanya enggan menyertai jaulah ke Sepanyol itu. Segan - alasan yang diberikan Ili.

Najwa faham benar dengan alasan Ili itu. Kalau dia berada di dalam kasut Ili, sudah tentu dia sendiri yang akan segan. Masakan tidak. Baru sebulan lebih Ili menyertai geng-geng usrah. Ili masih bertatih lagi dalam mengenal erti tarbiyah. Dia masih merangkak lagi dalam menauti tali ukhuwwah.

Benarlah hidayah itu milik Allah. Namun ia perlu dicari. Syukur sekali Ili telah membuka pintu untuk hidayah masuk dan menyantuni hatinya. Siapa sangka, Iliya Maisarah binti Datuk Ahmad Rustam, suatu ketika dahulu ketua kumpulan anti-usrah, kini bersama-sama dengan gerabak usrah dan dakwah. Semuanya tidak dirancang dan berlaku dengan tidak sengaja. Tidak dirancang dan tidak sengaja pada pandangan mata manusia. 

Wala gholib ilallah. Benarlah tiada penakluk selain Allah. Dan kini, hati Ili telah berjaya ditakluki dengan hidayahNya.

Najwa amat kagum dengan perubahan yang ditunjukkan oleh Ili. Kesungguhannya dalam mahu berubah. Semangatnya dalam mempelajari ilmu dan perkara-perkara baru. Kesanggupannya meninggalkan jahiliyyah yang berkarat di hati.. Sungguh, kalau bukan kekuatan hidayah yang mendorongnya untuk melakukan pengorbanan sebegitu rupa, Najwa tidak tahu dari mana Ili memperoleh kemahuan yang sebegitu kuat untuk berubah! Subhanallah.

Yang lebih mengejutkan Najwa adalah keputusan Ili untuk memakai tudung. Semenjak Ili menyertai usrah yang dibawa Najwa, seingatnya, tidak pernah sekali pun dia menyebut tentang tudung atau kewajipan menutup aurat; semata-mata mahu meraikan Ili yang masih amat baru dengan usrah dan tarbiyah. Maka apabila pada suatu hari Ili datang ke usrah dengan memakai tudung, semuanya terkedu, terpesona dengan bidadari dunia yang menyertai taman-taman syurga mereka. Najwa masih ingat, betapa hari itu, bibirnya tidak henti-henti mengucap syukur, dek terharu dengan hadiah agung yang Allah kurniakan kepadanya. Berkali-kali dia terpaksa mengesat matanya yang basah, terlalu gembira dengan insan baru yang mendakap dalam ukhuwwah fillah.

Ahli-ahli usrah lain turut terharu dan gembira dengan perubahan yang ditunjukkan Ili. Masing-masing tahu akan latar belakang Ili dan siapa dia sewaktu di kolej dahulu; sama ada melalui pengalaman sendiri atau gosip-gosip liar yang didengari mereka. Semacam sudah ada poster yang tergantung di lehernya untuk memberitahu seluruh dunia siapa dirinya sebelum ini.

Maka perubahan Ili adalah sesuatu yang cukup bermakna pada mereka semua. Ili adalah manifestasi betapa sentuhan rabbani yang membasahkan hati, bisa menundukkan sesiapa sahaja yang bergelar manusia. Ili adalah bukti bahawa sejahat atau sekeji mana pun seseorang itu, namun apabila dia mahu dan sudi menerima hidayah yang datang menyapa hati, dia bisa sahaja menjadi sebaik-baik manusia. 

Najwa terus memerhatikan gelagat Ili yang tidak habis-habis menekan punat kameranya. Dia tersenyum. 

"Wa, jom tangkap gambar sama-sama?"

Najwa tersentak. Kemudian dia tersenyum dan mengangguk-angguk tanda setuju. 

Apabila rakan-rakan lain turut mahu menyertai mereka, Ili menghalangnya.

"Ok saya tahu korang sume ni fotogedik. Eh. Fotogenik. Tapi tolong beri peluang, saya nak tangkap gambar dua orang je dengan Najwa! Haha.." 

Najwa hanya tertawa melihat telatah Ili. Kedengaran rakan-rakan lain merungut dengan permintaan Ili itu. Masakan tidak, ada sahaja peluang bergambar, mereka pasti tidak mahu melepaskannya. Sudahlah Ili pandai pula menangkap gambar. Mana boleh lepas peluang! Tipikal. 

Klik. Kliiikk. 

Ili dan Najwa berangkul mesra, tersenyum gembira. Dalam dakapan ukhuwwah. Ukhuwwah fillah. Gambar itulah yang akan sentiasa menjadi bukti kepada persahabatan mereka yang abadi. Dan al-Hambra menjadi saksi kepada persahabatan yang terjalin hanya keranaNya.

Wala ghalib ilallah.

"Ili, jom?"

"Jom mana..?"

"Generalife."

"Generalife? Apa tu..?"

Berkerut-kerut dahi Ili mendengar ajakan Najwa. 

"Taman syurga. Dibina oleh Sultan Muhammad III. Baginda nak tiru kebun-kebun syurga yang disebut dalam al-Quran."

"Wah.."

"Yep. Dan saya nak duduk-duduk di bawah bayangan pohonan di taman syurga tu dengan awak Ili. Supaya kita sama-sama tanam impian untuk sama-sama masuk syurga yang sebenar nanti." 

Najwa tersenyum. Matanya sedikit berkaca. Dia menggenggam erat tangan Ili.

Ili cepat-cepat mengesat matanya. Dia mengangguk. Tersenyum.

Wala ghalib ilallah!


***

Ili membiarkan air mata membasahi pipinya. Dia seperti tidak mahu melepaskan bingkai gambar yang dipegangnya dengan kejap itu. Ditatapnya lama-lama gambarnya bersama Najwa di tepi al-Hambra tiga tahun yang lalu. 

Dia hanya sempat bersama dengan Najwa di Russia selama setahun sahaja. Najwa terpaksa pulang ke Malaysia dek masalah keluarga yang amat membutuhkan keberadaannya di sana. Bunga persahabatan yang baru hendak mekar segar kini ibaratnya sekelip mata dihancurkan oleh tangan-tangan yang kasar.

Ili masih ingat ketika Najwa memberitahunya tentang berita tersebut. Ketika itu mereka berada di Malaysia untuk cuti musim panas. Ili benar-benar tidak dapat menerimanya. Kata Najwa, keputusan itu adalah muktamad. Puas dia cuba memujuk keluarganya, namun mereka berkeras agar Najwa menyambung pelajarannya di Malaysia.

"Sanggup awak tinggalkan saya, terkontang-kanting sorang-sorang kat Russia tu.."

"Ili... Kan ramai lagi kawan-kawan kita kat sana..? Saya yakin mereka akan jaga awak..."

"Tak sama Wa, tak sama.. Awak tahu tu.." 

"Ili..."

Najwa tidak mampu untuk menghabiskan kata-katanya. Dadanya sebak. Air matanya mengalir tidak tertahan-tahan lagi. Ili juga begitu. Dia seperti tidak mahu memandang pun wajah Najwa. Tidak mampu. Dia rasa seperti dikhianati.

Ili segera mendapatkan Najwa dan memeluknya sepenuh hati. Dalam sedu-sedannya, dia cuba dengan payah berbisik, untuk menghabiskan kata-katanya.

"Ili... Allah.. Allah yang telah mempertemukan kita. Dulu.. Dulu kita jauh. Jauh sangat. Jauh.. Dari rahmat dan kasih.. Dan kasih sayangNya. Lalu Allah.. Allah dekatkan kita. Tautkan hati kita. In Shaa Allah Ili, hubungan ni tak...tak akan habis di sini. Hanya Allah je yang tahu...betapa...be-tapa sayangnya saya pada awak."

"Wa..."

"Ili... Awak ingat tau. Walau apa pun yang terjadi, saya nak masuk syurga dengan awak. Saya nak duduk-duduk bawak pohon syurga, berborak mesra dengan awak, macam dekat Andalus dulu. Kalau...awak rindu pada saya bila-bila pun... Awak bagitau Dia... In Sha Allah kerinduan awak...akan sampai pada saya.."

Ili hanya mampu mengangguk dalam pelukan Najwa. Terasa panas telinganya dibisikkan dengan kata-kata itu. Panas dan basah. Basah dengan ukhuwwah. 

Kata yang terbit dari hati pasti akan sampai ke hati jua. 

Ketika Najwa ikut sama menghantar Ili ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur seusai habis cuti musim panas, sekali lagi mereka mengucapkan kata-kata perpisahan. Tetapi kali ini kurang sedikit emosinya, kerana masing-masing sudah mengerti bahawa semua ini adalah sebahagian daripada perancanganNya yang Maha Bijaksana. Juga kerana mereka amat yakin untuk bertemu lagi, kalau bukan di Malaysia pada cuti musim panas yang seterusnya, pasti di alam sana nanti. Penuh bahagia. 

"Ili. Saya...ada something untuk awak."

Najwa mengeluarkan sesuatu daripada beg tangannya. Sebuah kotak berwarna ungu cair dengan corak bunga akasia menghiasi seluruh kotak itu. Cantik.

"Bukalah."

Dengan cermat Ili membuka kotak tersebut. Perlahan-lahan dia keluarkan isinya. Matanya bersinar-sinar. Berkaca-kaca.

"Matryoshka. Comel."

Najwa tersenyum.

"Saya beli kat Moscow dulu. Waktu tu lepas daurah musim bunga. Ingat tak ada satu masa tu saya kata nak pergi beli something..? Saya beli patung ni lah. Memang untuk awak. Tapi tak sangka pula akan jadi milik awak hari ini."

Ili hanya tersenyum. Diperhatikannya patung bertudung litup dan berwarna-warni itu dengan penuh minat dan teruja. Lantas ditanggalkannya patung itu satu persatu. 

"Ili, kehidupan kita ni macam patung Matryoshka ni lah jugak. Penuh dengan kejutan. Kejutan yang menggembirakan. Lepas satu, satu. Ada sahaja kejutan yang menanti kita. Dan In Sha Allah, semuanya adalah kejutan yang mengasyikkan. Terpulang bagaimana kita melihatnya."

Ili terus khusyuk membuka patung-patung itu.

"Eh. Mana pergi patung yang ketiga..? Eh Wa, awak kena tipu ni! Awak tak periksa dulu ke waktu beli dulu..?? Alaaaa ruginya...." 

Najwa tertawa kecil.

"Eh taklah. Ada lah. Ada tu. Awak akan tahu nanti.."

Ili memandang Najwa dengan penuh kehairanan. Diikutkan hatinya mahu sahaja dipaksanya sahabat baiknya itu memberitahunya apa rahsia di sebalik kehilangan patung yang ketiga. Tapi disebabkan panggilan untuk penerbangannya sudah pun diumumkan, dia terpaksa bergegas masuk ke pagar keselamatan. 

Tok tokkk. 

Ili tersentak dari lamunannya. Cepat-cepat dilapnya air mata yang berseka. Sempat dia sekilas memandang patung Matryoshka yang setia berdiri di atas meja belajarnya. Matryoshka yang misterinya masih belum berjaya dirungkai sehingga ke hari itu.

"Assalamu a'laikum. Kak Ili..? Ini bilik Kak Ili ke..?" 

Ili kaget. Tidak dikenalinya suara itu. Kak Ili..? 

Perlahan-lahan dibukanya pintu biliknya itu.

"Wa'alaikummuss.."

"Kak Iliiii....!!"

Tidak semena-mena sekujur tubuh genit menyerbunya dan memeluknya erat-erat. Ili terkesima. Dia hilang punca sebentar.

"Err.."

"Alhamdulillah, akhirnya dapat juga Yasmin jumpa Kak Ili!" 

Ili menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Err. Yasmin? Sorry, kita pernah jumpa ke sebelum ni..?"

"Oh hahaha. Sorry kak! Excited sangat jumpa akak sampai lupa nak perkenalkan diri..!" 

Dalam keterujaan Yasmin itu, sempat mata Ili menangkap sesuatu pada beg yang dipakainya. Keychain Matryoshka. Amat serupa dengan patung Matryoshka yang dimiliki Ili. Cuma lebih kecil. Bulat mata Ili memerhatikannya.

"Nama saya Yasmin. Yasmin Mujahid. Saya belajar di Kolej Mari Belajar dulu. So akak Ili ni kira super super senior saya lah!"

Yasmin tertawa kecil. Memang riang budaknya!

Ili masih terus mahu mendengar. Persoalan bagaimana Yasmin boleh mengenali dirinya sehingga begitu teruja masih belum terjawab. Matanya sekali-sekala melirik pada Matryoshka milik Yasmin.

"Di sana, saya berusrah dengan Kak Najwa..."

Oh.

"Nak dekat dua tahun jugalah saya berusrah dengan dia. Macam-macam dia cerita pasal akak!"

Yasmin tersenyum lebar. Ili sudah menemui jawapannya.

"Dia pesan suruh cari akak bila sampai Russia nanti. Dia kata, dia nak buat surprise kat akak!" 

Yasmin tertawa lagi. Kali ini Ili turut tertawa. Najwa; sentiasa penuh dengan kejutan!  

"Err.. Patung dekat beg anda tu.. Err, Kak Najwa ke yang bagi..?" 

Yasmin sedikit terkejut. Mungkin tak disangkanya soalan itu yang akan ditanya.

"Patung orang pakai tudung ni..? Haah. Apa ntah nama dia. Matroska. Matroshka. Apa ntah. Tapi Kak Najwa cakap dia beli kat Russia dulu.."

"Boleh.. Boleh saya pinjam sekejap..?" 

"Eh amiklah!" 

Sedikit gopoh, Ili mengambil keychain Matryoshka itu. Ditanggalkannya tali yang terikat pada kepala patung itu. Lantas dibawanya ke meja belajarnya. Yasmin memandang gelagat Ili dengan penuh kehairanan. Kehairanan yang bercampur dengan minat. Teruja.

Ili segera mengambil patung Matryoshka miliknya. Ditanggalkan patung yang pertama. Ditanggalkan pula patung yang kedua dengan penuh teruja. Dikeluarkan pula patung yang keempat dan kelima. Kemudian disusunnya satu persatu sebelah menyebelah. Tempat yang sepatutnya diisi oleh patung ketiga dibiarkannya lompong.

Diambilnya patung Matryoshka milik Yasmin dan diletakkannya di tengah-tengah. Di tempat patung yang ketiga. 

Sempurna.

Ili tersenyum. Puas. Tidak semena-mena air mata menitis perlahan melalui pipinya. 

"Eh, diorang serupalah!"

Yasmin bersuara. Ili tidak dapat menahan tawanya mendengar reaksi Yasmin. Lantas dipeluknya Yasmin erat dan kuat.

"Saya sudah menjumpainya. Saya sudah jumpa penggantinya.." 

"Pengganti apa kak..?"

Terima kasih, Najwa. Terima kasih... Hati Ili bersuara penuh rasa. 

"Saya nak bagi namalah pada patung-patung kita ni. Boleh..?"

Yasmin mengangguk. Dia tersenyum. Sedikit kehairanan. Dia masih belum boleh mencantumkan teka-teki yang bermain di kepalanya.

"Akak nak bagi nama apa..?"

"Lyubov'."

"Lyubov'..? Cinta...?"

Ili tersenyum. Penuh makna. Dipeluknya Yasmin sekali lagi. Penuh kasih dan sayang keranaNya. Dia lantas berbisik perlahan pada seorang sahabat yang baru dikenalinya itu.

"Cinta. Ya.. Cinta."

Matryoshka; sentiasa penuh dengan kejutan, sarat dengan kechentaan! Senyum. [Kredit]

***

"Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa..."

[al-Hujuraat, 49:13]

"Teman-teman karib pada hari itu saling bermusuhan satu sama lain, kecuali mereka yang bertaqwa."
[az-Zukhruf, 43:67]

-gabbana-

Alhamdulillah, habis juga siri Matryoshka ini. Pada awalnya, saya bercadang hanya untuk menjadikannya dalam satu penulisan sahaja. Tengok-tengok, terpaksa bersiri tiga juga akhirnya. Peluh kecil.

Oh kepada anda yang mungkin tertanya-tanya, jangan khuatir, saya sudah periksa fatwa. Tidak ada masalah untuk memiliki patung Matryoshka ini. Senyum.

Moga persahabatan yang kita jalinkan dengan sahabat-sahabat kita adalah tidak lain melainkan untuk memngejar redhaNya dan memburu chentaNya. Moga persahabatan yang terjalin akan menjadi penaung di Mahsyar nanti, menjadi pembela di hadapanNya dan menjadi penaut kasih di sorgaNya yang abadi. Biidznillah.

Oh ya. Jangan lupa untuk terus berdoa untuk saudara-saudara kita di Gaza dan Palestin sana. Teruskan menderma. Teruskan membina rijal-rijal manusia yang galak memburu redhaNya! Moga Allah redha!

Hak Cipta Terpelihara (C) 2012. Angel Pakai Gucci.

>> Matryoshka 1.0
>> Matryoshka 2.0

14 Caci Maki Puji Muji:

نور توفيقة ادريس 20/11/2012, 15:54  

you've made one's room flooding with tears

bidadari syurga 20/11/2012, 15:54  

menarik. lepaa ni sambung pulak cerita yasmin. cerita yang ada kait mengait ni best. teruskan

org 20/11/2012, 20:27  

inche gabbana..so touching~ tp kan, macam tergantung je ending dia...ape2 pun, syukran..

A. Asyraf (asd_slade) 20/11/2012, 20:43  

salam...cerita ni memang menarik,,tapi boleh ke habiskan cerita pesal laki yang buat patung tue..
yang kematian isteri tue,nak taw juga kesudahannya,,,

mutiara bd 20/11/2012, 21:55  

pandai pulak buat cerita dari sudut orang perempuan..!

Anonymous 20/11/2012, 23:44  

ehem...maybe sy antara yg ego tinggi dan kurang perasaan.

tapi seriusly cerita kali ini kurang rasa,'telah kuduga begini jadinya' dan sebenarnya cerita pakcik awal2 tu mmg menarik dan penuh debaran.

ke sebenarnya nak buat kisah lain, jadinya kisah lain sebab sdg baca buku atau terinfluence dr pengalaman yg br didgr...

ala kulli hal, keep on writing.wlpn cerita x best sure org suka juga,sebab APG tulis.kan?

jgn down dgn komen.bukan komen en gabbana, komen cerita ini shj.

Anonymous 21/11/2012, 00:46  

ehemm. bukan sebab APG tulis. sebab Allah bagi.
just saying :)

Anonymous 21/11/2012, 16:46  

Az-zukhruf kalau tak salah surah 43

whitqiss 21/11/2012, 21:36  

assalamualaikum..

sejak APG buat cerita berangkai ni, saya rasa best nak baca artikel kat sini(hihi .. cerita2 series je lah...) penyampaian dakwah melalu bahasa yang mudah dan simple.. sya suka, saya auka:)

maknyah bertaubat setelah mendengar azan subuh dari masjid al-aqsa 23/11/2012, 00:22  

story yg best dikala hati sepi sendiri sambil memuji ilahi

Anonymous 23/11/2012, 00:36  

Indahnyah ukhwah mereka..
Wa laa ghalib ilallah

mariah kari 23/11/2012, 18:14  

sgt indah

gadiskokot 24/11/2012, 09:15  

nanges

si pencari cintaNya 27/11/2012, 20:24  

ayer mata jatuh perlahan..

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP