25 November 2012

Haaza Min Fadhli Rabbi

[Kredit]

Haaza min fadhli rabbi.

Ini bukan kata-kata berbasa-basi. Ia kata-kata sakti yang diucapkan oleh seorang Nabi.

Haaza min fadhli rabbi. Ini termasuk kurnia Tuhanku.

Kisahnya apabila Nabi Sulaiman 'alaihi solatu wassalam  bertanya siapakah gerangan dalam kalangan pembesarnya yang bisa menerbangkan mahligai Puteri Balqis, dari negeri Saba' ke negerinya sesegera mungkin. 

Lantas jin 'Ifrit menawarkan dirinya, mengatakan bagaimana dia dapat melaksanakan tugas tersebut sebelum baginda dapat berdiri dari tempat duduknya. Sungguh Ripley's Believe It or Not bukan..?

Tunggu dahulu. Kerana selepas itu, seorang hamba Allah yang soleh, yang faqih dalam kitab di zaman itu, menawarkan dirinya untuk memindahkan mahligai Puteri Balqis dalam sekelip mata. 

Tatkala Nabi Sulaiman melihat mahligai itu sudah pon berada di hadapan matanya, al-Quran telah merekodkan kata-katanya yang penuh dengan kekaguman dan keinsafan:

"Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau mengingkari (nikmat-Nya). Barangsiapa bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri, dan barangsiapa ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, Maha Mulia."
[an-Naml, 27:40]

Haaza min fadhli rabbi. Ini termasuk kurnia Tuhanku.

Untuk apa? Untuk menguji sama ada bersyukur atau pon ingkar.

Inilah akhlak mulia seorang Nabi yang amat perlu kita contohi, terutamanya kita yang kononnya menggelarkan diri kita seorang dai'e. Melihat setiap sesuatu yang berlaku sebagai ujian daripada Allah untuk memantapkan keimanan di dada. 

Inilah sumber kekuatan agung seorang mu'min; apabila dia diuji dengan bertubi-tubi dari pelbagai arah, dia tetap bersabar dan bersangka baik dengan Allah, kerana dia amat faham bahawa pastinya Allah yang Maha Bijaksana itu punya perancangan yang amat bergaya buat dirinya. Semuanya kerana kalimat magis Haaza min fadhli rabbi.

Tatkala seorang dai'e itu diuji dengan mehnah besar dan memeritkan di jalan dakwah, tatkala dakwahnya tidak diterima dan ditolak, tatkala dia dicela dan dikeji kerana risalah yang dibawanya, ketika itu apakah sikap yang diambilnya..? Adakah dia akan mengeluh, menuduh dan berpeluh? Adakah dia akan berputus-asa, kecewa dan membiarkan jiwanya sengsara..? Atau dia akan bersyukur, kerana merasakan Allah masih sayangkan dirinya, lantas memberikan peringatan sebegitu rupa? Malah dia akan gembira, kerana dia faham, tidak ada sebab lain Allah mengujinya sebegitu rupa, melainkan untuk memantapkan keimanannya dan membersihkan jiwanya?

Haaza min fadhli rabbi.

Apabila kita diuji dengan kejayaan, dengan keputusan hekzem cemerlang yang mengembangkan saiz pinggang, dengan kekayaan melimpah-ruah sikit lagi nak celen Syed al-Bukhari, dengan puji-pujian dan sanjungan kembang hidung orang di sekeliling, ketika itu bagaimanakah kita menghadapi semua ini..? Adakah kita melihatnya sebagai sesuatu yang kita berhak ke atasnya, berasa bangga dan takjub dengan kejayaan yang berjaya dikecapi dan melihat orang lan lebih lemah dan marhaen daripada diri sendiri? Atau ketika itu, ia akan menambahkan rasa rendah hati kita kepadaNya, menambah rasa syukur yang tidak terhingga kita atas segala limpah nikmatNya dan meningkatkan ketaqwaan kita kerana takut kita tidak mampu menanggung amanah yang cukup besar ini?

Haaza min fadhli rabbi.  

Ketika seorang dai'e itu ditimpa musibah yang menggugah, kemalangan yang benar-benar menguji emosi dan kekuatan jiwa dan kemiskinan melarat yang menggigit dan mencengkam perasaan, aduhai, siapa dia ketika itu..? Adakah dia pantas menyalahkan Allah kerana telah menulis nasibnya sebegitu rupa, hilang kepercayaan pada firmanNya bahawa Dia akan memenangkan sesiapa sahaja yang membantu agamaNya dan tidak putus-putus meratapi nasibnya yang kononnya malang itu? Atau apabila tibanya saat itu, ia menjadikannya seorang hamba yang benar-benar merdeka, redha dengan segala apa yang menimpanya dan teruja memandang ke hadapan, kerana yakin ada yang jauh lebih baik sedang menantinya? Yakin yang masih ada cahaya di hujung terowong?

Haaza min fadhli rabbi.

Ketika kita ditempelak oleh keluarga yang ibaratnya menghalang kita untuk terus laju dalam dakwah, disindir oleh Inche Papa yang jelas tidak selesa dengan kita yang sering keluar malam dan terpaksa bersabar dengan Puan Mama yang sering merungut dek kita yang selalu tiada di rumah, apakah yang akan kita lakukan ketika saat itu tiba..? Adakah kita akan turut melayan emosi, lantas berasa lemah semangat untuk terus mujahadah dan istiqamah di atas jalan dakwah? Adakah kita akan menuruti desakan mereka yang mahu kita menjadi manusia 'biasa-biasa' sahaja seperti rakan-rakan kita yang lain? Atau ia akan membakar semangat kita untuk lebih kuat bekerja, berazam untuk gigih berusaha agar suatu hari nanti kedua orang tua turut dilanggar oleh Makcik Hidayah? 

Haaza min fadhli rabbi. 

Tatkala kita sudah semakin jauh dalam dakwah, mula terjun dalam medan amal yang sebenar, mula diberikan pelbagai tugas dan amanah dan sudah mula pening garu kepala dengan segala tok nenek masalah yang ada, waduh, bagaimana agaknya kita ketika itu..? Adakah kita pantas menuding jari dan lari daripada tugas yang diberikan, lantas merungut-rungut dengan mas'uliyah yang diamanahkan kepada kita dan berasa lemah dan lemas dengan masalah yang ada? Adakah terlintas di hati kita untuk berputus-asa sahaja dengan dakwah ini? Atau ketika itu, kita melihatnya sebagai peluang untuk kita memperbanyakkan amal kita, ruang untuk kita mengisi lompang-lompang besar yang berlubang dan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada? Melihatnya sebagai peluang untuk kita memperbanyakkan saham-saham sorga..?

Haaza min fadhli rabbi.  

Apabila kita diserang dengan hebatnya oleh raksasa futur, berasa lemah lemau biskut Merrie di atas jalan ini, terasa seperti mahu gugur dek jatuh berguling-gulingnya iman kita ketika itu, sudah, apakah yang akan kita lakukan..? Adakah kita akan tunduk pada kehendak nafsu serakah kita, membiarkan futur yang indah dan mewah itu menghiasi jiwa kita dan menurutkan sahaja kehendak syaitonirojim yang sudah berjaya menembusi perisai hati kita? Adakah kita akan terus membiarkan raksasa futur mengganas, menghancurkan segala-galanya yang telah kita bina selama ini? Atau kita akan segera insaf, melihatnya sebagai masih jauhnya kita daripada rahmat dan keampunanNya, lantas menolak diri kita untuk terus laju dan gigih mengejar redhaNya? Menjadikan kita lebih kuat dan menghargai nikmat hidayah yang masih bertamu di hati kita?

Haaza min fadhli rabbi.

Ketika kita sudah semakin tinggi dalam tarbiyah dan dakwah, punya ilmu dan pengalaman yang luas dek bertahun lamanya duduk seronok di dalam gerabak ini, sering dijemput untuk memberi pengisian sini ceramah sana, ohoi, ketika itu bagaimana agaknya keadaan diri kita..? Adakah kita akan berasa bangga kembang kempis hidung penyek, takkabur merasakan diri ini jauh lebih baik daripada orang lain dan melihat mereka semuanya lebih rendah dan lemah daripada diri kita? Adakah kita merasakan tanpa kita, dakwah tidak akan ke mana dan segala-galanya bergantung kepada diri kita...? Astaghfirullah. Atau semua ini menjadikan kita lebih dekat denganNya, menambahkan ketaqwaan kita kerana kita faham, lebih banyak yang kita tahu, sebenarnya lebih banyak yang kita tidak tahu dan menjadikan kita lebih peka dan arif dengan duri dan liku yang memenuhi jalan dakwah ini..? Lebih lama kita di atas jalan ini, akan menjadikan kita hamba yag lebih bersyukur kerana Allah masih mahu memilih kita..?

Haaza min fadhli rabbi.

"Hairan sungguh urusan orang mu'min itu, semua urusannya baik belaka; perkara itu tidak akan didapati dalam diri seseorang kecuali pada orang mu'min. Iaitu apabila ia mendapat kebahagiaan dia bersyukur dan bersyukur itu baik baginya. Apabila ia ditimpa musibah dia bersabar, dab bersabar itu adalah hal yang baik baginya."

[Riwayat Imam Ahmad]

Haaza min fadhli rabbi.

Haaza min fadhli rabbi.


Haaza min fadhli rabbi...!


"Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau mengingkari (nikmatNya)..."

Pandang ke langit, tersenyum. Nanges.

-gabbana-

10 Caci Maki Puji Muji:

akh melaka 25/11/2012, 17:24  

timing yang kena dengan ana entry ni.. semenjak 2 menjak sering ditolak, rasa mcm malas nk buat dakwah pun ada.. tp selak semula muntalaq, igt saudara kat palestin, semangat balik

Anonymous 25/11/2012, 17:49  

semoga allah sentiasa bukakan pintu hati kita.amin.jdi solehah,itu impian saya.

Farah Hanim Mohd Alwi 26/11/2012, 03:55  

haza min fadhli rabbi.
*senyum. wipe tears*

Of Lilies and Daffodils (: 26/11/2012, 09:17  

Jazakallahu khair akhi. Your post jst gave me the strength to move forward. To keep on keeping on, insya-Allah.

Anonymous 26/11/2012, 19:56  

:)

Anonymous 26/11/2012, 19:57  

Best sgt post ni....jzkk khair....mungkin penulis pun slalu diuji dgn pujian dr org sekeliling kan?

chocolate indulgence 26/11/2012, 22:34  

food taste the best when u hungry

Anonymous 27/11/2012, 18:13  

Haaza min fadhli rabbi...!

"Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau mengingkari (nikmatNya)..."

Pandang ke langit, tersenyum. Nanges.

TTT_________TTT nanges btul ni.

Anonymous 28/11/2012, 09:16  

terkadang mereka yang di sebelah juga ada haknya pada kita.

terutamanya keluarga, mereka mad'uu kita terdekat

pernah tinggal bersama keluarga untuk tempoh yang lama, pergerakkan sangat tersekat apatah lagi mahu keluar dan balik lewat.

Maka masa yang ada dimaanfat untuk pentarbiyyahan keluarga sendiri.
mungkin bukan seperti program2 yang dihadiri kita, tapi pendekatan yang lebih mesra dan santai.

Uslub da;wah dan tarbiyyah tidak hanya di prog2 kita sahaja, tidak hanya pada mereka yang di dalam bawaan kita sahaja
tetapi sesiapa sahaja di sebelah kita
di mana juga kita berada...

kita adalah agen,
kita sentiasa beragenda,
kita yang mencorakkan bagaimananya..
ALlah akan mempermudahkan, jika meminta!

Unknown 07/09/2019, 02:33  

Tabik...

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP