4 June 2012

Ra.. Ra.. Rasputin!

[Kredit]

Rasputin. Barangsiapa yang pernah mengambil subjek sejarah dunia, nama keramat ini pasti tidak asing lagi.

Grigori Yefimovich Rasputin.

Seorang ikon misteri yang penuh kontroversi. Dia dikatakan antara penyebab kepada kejatuhan Dinasti Romanov, empayar monarki Russia yang telah memegang takhta sejak sekian lama. Wahai, bagaimana agaknya seorang insan sahaja sudah bisa menjatuhkan sebuah empayar yang sudah berkuasa ratusan tahun lamanya dan mempunyai tanah jajahan yang luar biasa luasnya dalam sekelip mata..?

Rasputin merupakan seorang anak petani yang biasa-biasa dan tidak punya apa-apa. Sehinggalah usianya menjejaki lapan belas tahun, dia mula berubah dan mengambil keputusan untuk mendalami ilmu agama. Bukan ilmu agama Islam, sudah tentunya. Choyyy.

Rasputin menjadi terkenal dan namanya mula disebut-sebut apabila dia mula terlibat dengan keluarga diraja Russia ketika itu. Anak bongsu Tsar Nicholas, Putera Alexei menghidapi sejenis penyakit ganjil (hemofolia; ganjil di zaman itu) yang amat sukar untuk diubati. Permaisuri Alexandra, yang pernah mendengar khabar angin tentang 'Lelaki Sakti' bernama Rasputin, segera mencari jalan untuk mendapatkan pertolongan lelaki itu.  

Ajaibnya, Rasputin seolah-olah berupaya untuk mengubati, atau sekurang-kurangnya melegakan kesakitan yang melanda Putera Alexei. Malah pernah suatu peristiwa, diceritakan bagaimana Rasputin berjaya melegakan kesakitan Alexei hanya dengan menghantar telegram dari Siberia. Gila mistik ah!

Disebabkan itu, Rasputin menjadi orang yang terpercaya di kalangan keluarga diraja. Malah dia diberikan kedudukan dan status yang khas, dek terhutang budinya Tsar dan Tsarina kepada lelaki mistik itu. Pengaruh Rasputin semakin menjadi-jadi apabila dia dikatakan berupaya untuk mempengaruhi Tsar Nicholas secara terus, sehinggakan urusan berkaitan hal-ehwal negara juga tidak terlepas daripada pengaruhnya. Pengaruh Rasputin terhadap Permaisuri Alexandra menjadi lebih hebat apabila Tsar Nicholas ke medan perang memimpin tentera Russia ketika Perang Dunia Pertama; kini segala keputusan negara terletak di tangan Tsarina. Tsarina amat bergantung kepada Rasputin sehinggakan Rasputin bisa sahaja mempengaruhi Tsarina untuk mengisi jawatan-jawatan kosong dalam kerajaan dengan calon-calon yang dipilihnya. 

Ini.. Ini.. Ini sumpah kronisme!

Disebabkan ini juga, Rasputin amat dibenci oleh kerabat diraja yang lain, juga menteri-menteri dan orang kenamaan sedia ada yang merasakan pengaruh Rasputin terhadap keluarga diraja begitu kuat. Tambahan pula, semenjak Rasputin menjadi penasihat kanan kepada Permaisuri Alexandra sepanjang ketiadaan Tsar Nicholas, keadaan ekonomi Russia menjadi sangat buruk dan teruk. Gandingan Tsarina dan Rasputin dijadikan kambing hitam untuk disalahkan atas keadaan Russia yang semakin kacau-bilau. 

Menariknya, di sebalik kritikan dan serangan peribadi yang dihunjamkan kepada Rasputin, pengaruh dan kedudukannya di kalangan keluarga diraja tidak berubah. Malah Rasputin mengambil kesempatan ini untuk memuaskan nafsu seks dan araknya yang ibaratnya tiada penghujungnya. Sehingga satu tahap, bagi menggambarkan betapa kuatnya pengaruh Rasputin terhadap keluarga diraja, sehingga seolah-olahya mereka menutup sebelah mata terhadap kebejatan akhlak Rasputin, orang ramai menuduh Permaisuri Alexandra menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki ghasar itu!   

Lukisan yang menggambarkan betapa hebatnya pengaruh Rasputin terhadap Tsar Nicholas II dan Tsarina Alexandra. [Kredit]

Hebatnya Rasputin ini, hanya dengan melihat wajah Rasputin, suatu perasaan seakan-akan seekor ulat bulu sedang mengengsot perlahan di belakan tengkuk anda sudah boleh dirasai. Renungan matanya sahaja sudah biasa membuatkan anda menelan air liur beberapa kali. Tidak hairanlah ramai orang, terutamanya kaum wanita di Russia ketika itu, yang terpesona dengan 'kesaktian' lelaki ganjil ini lantas menyerahkan seluruh harta dan tubuh mereka untuk Rasputin. Rasputin pon apa lagi, pucuk dicita ulam mendatang! Ku minta betis, paha  yang datang! Ewaaahhh! Err.

Rasputin akhirnya dibunuh oleh beberapa orang kerabat diraja yang dibantu oleh seorang menteri kanan Russia ketika itu, dek rasa marah dan tidak puas hati kepada lelaki itu yang semakin memuncak. Rasputin yang didakwa sebagai lelaki sakti yang penuh keajaiban itu, menjadi orang kepercayaan Tsar dan Tsarina, menjadi orang kanan kepada Tsarina memerintah kerajaan, akhirnya mati ditembak di kepala. 

Bukan, ini bukan kelas sejarah. Ya, Rasputin sememangnya seorang watak yang cukup menarik dalam filem sejarah dunia. Malah, ketika pertama kali saya mendengar tentangnya, saya pantas menjadi amat teruja untuk mengetahui lebih lanjut tentang lelaki mistik yang penuh misteri ini. Tapi saya tidak berminat untuk membawa anda menelusuri sirah hidup Rasputin dengan lebih jauh dan mendalam. 

Tergerak hati saya untuk menulis artikel ini apabila pagi tadi, sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja, lagu 'Rasputin' nyanyian Boney M. berkumandang di corong radio kereta Inche Papa. Lagu yang suatu ketika dahulu pernahlah mendapat tempat dalam senarai lagu kegemaran saya. Peluh kecil.

Gerun untuk saya mengatakan ini, tetapi sedarkah anda kadangkala kita dan Rasputin punya persamaan yang tidak jauh bezanya? Oh bukan, saya tidak maksudkan persamaan dari segi kepercayaan, mahupun kebejatan moral yang mampu membuatkan sesiapa sahaja terbeliak matanya. Oleh sebab itu, sila duduk kembali, tidak perlu rasa marah-marah mahu berdiri di atas kerusi, atau buat tarian punggung yang hodoh seperti itu. Ahah. 

Begini.

Rasputin yang mendapat kepercayaan peringkat tertinggi daripada keluarga diraja telah mengkhianati amanah itu, bukan sahaja dengan menyalahgunakan kedudukannya demi kepentingan diri, malah telah menyebabkan keluarga diraja dibenci. Walaupon terang-terangan dia melakukan kesalahan dan terang-terangan juga dia dibenci oleh ramai orang di sekelilingnya, dia terus buat selamba badak seolah-olahnya tiada apa yang perlu dihiraukan. Akibat daripada keselambaan tahap Mahadewa Kaiou ini, atau mungkin hatinya dibutakan oleh pangkat, harta dan nafsu seksnya, keluarga diraja yang akhirnya terpaksa menanggung akibatnya.

Walaupon Rasputin seorang tidak mungkin menjatuhkan keluarga diraja begitu sahaja, tidak dinafikan dia berjaya mewujudkan sentimen kebencian yang cukup besar di kalangan orang ramai terhadap keluarga diraja. Hal ini akhirnya merintis pula untuk runtuhnya Dinasti Romanov yang telah bertapak di Russia sejak sekian lama, seterusnya kerajaan komunis Soviet yang pertama di dunia berjaya didirikan di Russia.

Kalau dalam bahasa omputih, kejadian seperti ini bolehlah dikatakan sebagai 'Domino Effect' atau 'Snowball Effect.' Kalau dalam bahasa Melayu, 'Kesan Domino.' atau 'Kesan Bebola Salju.' Wahahahaha.. Pandang kiri, pandang kanan. Peluh besar. 

Jadi apa kaitannya kita dengan Rasputin, Inche gabbana..? Kami tak nampak apa-apa hubungan pon antara kami dan Rasputin yang berjanggut lebat dan bermata bundar itu..??

Tidak nampak anda kata..? Haih.

Semenjak amanah dakwah diletakkan di pundak kita, agak-agaknya, sudah berapa kali kita mengkhianati amanah ini? Lebih teruk (Baca: Teghokkkk!) dan busuk daripada itu, semenjak kita menggalas tugas Syahadatul Haq ini, sudah berapa ramai pula orang menjadi semakin benci pada dakwah dan tarbiyah disebabkan oleh kelalaian dan kecuaian kita..?

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul, dan janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu, sedangkan kamu mengetahui."
[al-Anfal, 8:27] 


Bagaimana yang dikatakan mengkhianati amanah Allah itu? Siapakah dia pengkhianat amanah itu..??

Pengkhianat amanah itu adalah orang yang bermain-main dengan dakwah dan tarbiyahnya!
 

Pengkhianat amanah itu adalah dai'e yang masih suka bergelumang dengan jahiliyyah!
 

Pengkhianat itu adalah kita yang sengaja menyembunyikan al-Haq daripada manusia keseluruhannya!
 

Itulah pengkhianat amanah Allah dan RasulNya! Itulah pengkhianat agama! Itulah pengkhianat yang tidak bertimbang rasa...!
 

Allahu Allah.

Air mata mengalir laju.

Kadang-kadang tidak faham juga dengan dai'e jenis begini. Hatinya menjadi semakin kotor pula selepas bergelar seorang dai'e dan murabbi. Mulut dia, ya Allah, light saber pon kalah! Dan di dalam kepalanya, tidak lain hanya memikirkan bagaimana mahu wakenabeb orang itu dan wakenabeb orang itu. Kemudian suka pula bergaduh sesama sendiri, menyerang dengan pelbagai tohmahan  mahupon ejekan, sehingga akhirnya menyebabkan ramai yang melihat dakwah dan tarbiyah dengan pandangan penuh rasa sangsi dan benci.

Semuanya akibat mata dan hati mereka dikaburi dengan fitnah dan tipu daya dalam dakwah. Sama ada kerana mahu mengejar status dalam dakwah, atau memburu akhawat tertentu untuk dikahwini, atau akibat hasad dan dengki melihatkan kejayaan ikhwah dan akhawat yang lain atau.. Walau apa pon sebabnya, golongan ini tidak lagi berpaksikan kepada keaslian dalam berdakwah dan mentarbiyah.

Jika kesannya hanya memakan diri sendiri tidak apa lagi. Yang menjadi masalahnya adalah apabila hal sebegini mendatangkan fitnah pula kepada dakwah dan tarbiyah. Sama seperti Rasputin yang telah menyebabkan keluarga diraja dibenci oleh orang ramai, perangai dan sikap pengkhianat amanah Allah ini pula telah mengakibatkan orang ramai semakin jauh daripada Allah..! 

Benar, kita seorang tidak mungkin menjatuhkan dakwah dan tarbiyah secara keseluruhannya. Tetapi kita lupa, selepas bergelar dai'e, segala tingkah laku, percakapan dan perbuatan kita tidak lagi mewakili diri kita seorang sahaja. Segala perbuatan kita akan dikaitkan dengan bulatan gembira yang kita sertai. Percakapan kita akan kembali kepada konferens riang yang kita hadiri. Dan setiap perlakuan kita akan diperhatikan dan dinilai; inilah dia budak dakwah dan tarbiyah!

"Aih kau tengoklah budak bulatan gembira tu. Harap je pakai tudung labuh, tapi mulut.. Allah, kalah raksasa gorgon tangan sepit!"

"Ish tak faham la gua dengan lu ni. Kata budak surau. Pakai jubah, serban semua. Bau harum semerbak satu pekan tahu! Tapi bila bab kebersihan, bab kekemasan, reban ayam gua dekat kampung tu lagi trendy la brooo..!"

"Mak nak tegur sket kamu ni. Keluar setiap malam berbulatan gembira. Hujung minggu berkonferens riang lagi. Tapi bila duduk kat rumah, haram kamu nak tolong emak cuci pinggan ke, basuh baju ke, bagi ayam makan ke ye? Dok melangut depan telebisen tengok Diskaberi Cenel tu. Baik toksah buat dakwah begini!"

Tarik nafas. Hembus nafas. Ada bau sesuatu yang hangit tak..?

Dan kemuncak pengkhianatan terhadap amanah Allah dan RasulNya adalah apabila si dai'e mula meninggalkan tanggungjawab dakwah dan tarbiyahnya. Si dai'e yang dahulunya bersinar-sinar matanya dan berterbangan rambutnya dek semangat yang berkobar-kobar  untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini, akhirnya meninggalkan saf-saf perjuangan ini dek jahiliyyah yang menebal di dalam diri. Kefuturan dirasakan normal. Sekali-sekala berkaraoke nasyid dan menonton wayang bersama rakan-rakan lama apa salahnya ye dak..? Garu kepala. Semangat yang dahulunya menjadi bara kepada jihad ini hilang entah ke mana. Fokus dan azam untuk membina dan mendidik hati-hati manusia mencapah ke laut sana!
 

Akhirnya jadilah kita dai'e Rasputin; syok sendiri dan buta mata hati sehingga kita yang dahulunya 'sakti' dan penuh semangat jati lupa diri dan mendatangkan pula fitnah besar pada obor-obor perjuangan yang kita bawa. Sedar tidak sedar, orang ramai mula membenci dan menjauhkan diri daripada kita. Lantas musuh mula menyusun langkah, menunggu sahaja peluang untuk menghancur lumat diri kita dan perjuangan yang kita bawa.

Alangkah! Alangkah rugi dan bodohnya diri!
 

Galaslah amanah yang telah Allah beri ini dengan penuh ikhlas dan tulus dari hati!
 

Genggamlah hidayah ini ibaratnya ia mahu berterbangan lari!

Dan penuhi hak manusia di sekelilingmu sama seperti kamu mahu hak dirimu dipenuhi!
 

Jangan jadi Rasputin pada dakwah dan tarbiyah ini, kerana kelak ia akan memakan diri!

Ra.. Ra.. Rasputin!
Russia's greatest love machine,
It was a shame how he carried on!

 -gabbana-

16 Caci Maki Puji Muji:

Pemimpi Tegar 04/06/2012, 23:02  

Panjangnya post ! Heh.

Dear bella 04/06/2012, 23:45  

Mlm ni dpt ilmu tentang sejarah...
Btw.. nice post... ^^

Anonymous 04/06/2012, 23:48  

erk lagi2 tyme xzam banyak hak ayang tak tertunai.jzkk untuk post yang mengetuk hati yang lalai dgn xzam..tsskk~

Syuhada 04/06/2012, 23:50  

Tau pasal Rasputin ni sebab tengok Detective Conan. Tak ingat pulak ade belajar dalam sejarah?

Dan memang post kali ni agak panjang. Lagi pun post panjang2 kan memang trademark IG.. :P

paejahrock 05/06/2012, 00:07  

Assalamualaikum..great job, dude!

Saya dah lama nak tulis entri pasal Rasputin ni... Tengok2 sedara dah publish... haha... x pa lah.. tapi entri sedara lebih menarik...

Saya pun sebijik macam sedara bila dengar lagu Rasputin oleh Boney M, saya tertarik nak mengkaji dan mengenali tentang beliau walaupun dia seorang yang boombastik kejam.Hoho..

Btw, memang betul kita kadang2 macam Rasputin the Junior.

p/s: "Ra..ra.." di pangkal korus lagu tu menunjukkan Tuhan Ra yakni tuhan orang mesir Purba. Betul, kan?

Fishy 05/06/2012, 00:21  

Woooo,ditakdirkan(xde istilah kbtulan)sebelum ada post ni, kemarin dah terbaca serba sedikit mengenai Rasputin, semua gara-gara nak tau apa peranan dia dalam movie Anastasia (ok,sedikit jahiliyah di situ) tapi baca punya baca tak ambik ibroh!!! Allah.. self-reflect.

Thanks 4 da post,good job! shook run.

Uriko_Chan 05/06/2012, 00:28  

nice entry!~~

Anonymous 05/06/2012, 07:19  

larat tulis panjang2

Anonymous 05/06/2012, 09:29  

erkk . first time dgr psl rasputin .
great story . great ibrah .
alhmdulillah .

- PradaCompany :DD

Unknown 05/06/2012, 11:46  

wohhh menarikkkk..kesat peluh membaca nehhh..:D

Anonymous 05/06/2012, 14:05  

err, tak boleh ke tengok wayang..?

alia 06/06/2012, 01:17  

dush!!!sengal rse btg hidung...
tp kdg2 rse cam nk keluar je dr bulatan gmbira sbb risau dgn refleksi n prestasi dri yg mgkin mncemari kesucian bulatan trsebut...coz ad sorg homosapien yg mnsabitkn keterlibatn dlm da'wah fktor prestasi sy jatuh,tnpa bukti yg kukuh...agak terkesima d c2...

jom 06/06/2012, 02:25  

wali syaitan

Anonymous 16/06/2012, 01:29  

menarek.tak penah dengaq la pulak rasputin ni.tapi taim baca part surah al anfal tuh memang tekena sebijik laaah ataih muka!

suzainizam 23/05/2021, 11:10  

First time juga dengar lagu ni masa on the way dari Bintulu ke Miri. Lagu memang catchy sedap halwa telinga ni. Tergerak hati nak google Rasputin ni dapat blog ni 😂. By the way nice info and head up. Saya dari masa depan 😆 agak bersetuju wujudnya ‘Raputin’ zaman moden ni. P/s lebih lagi time Covid ni.

suzainizam 23/05/2021, 11:11  

First time juga dengar lagu ni masa on the way dari Bintulu ke Miri. Lagu memang catchy sedap halwa telinga ni. Tergerak hati nak google Rasputin ni dapat blog ni 😂. By the way nice info and head up. Saya dari masa depan 😆 agak bersetuju wujudnya ‘Raputin’ zaman moden ni. P/s lebih lagi time Covid ni.

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP