6 August 2014

Adil Itu Adalah Meletakkan Sesuatu Pada Tempatnya

[Kredit]

Sekiranya anda ditanya, jika ada, siapakah manusia yang paling adil di seluruh galaksi bimasakti ini, siapakah calon-calonnya yang mungkin bermain di dalam kepala anda?

Mungkinkah Ketua Hakim Negara atau Ketua Hakim Melaya kerana mereka adalah hakim yang sememangnya tugasnya adalah untuk berlaku adil?

Atau mungkin juga Ketua Polis Negara kerana sebagai ketua kepada pasukan keselamatan yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan negara, pastinya beliau orang yang adil dalam menjalankan tugasnya?

Atau mungkin Perdana Menteri Malaysia Dato' Sri Najib Tun Razak yang menjadi pojaan hati anda; melihatkan amanahnya yang cukup besar sebagai pemimpin nombor satu negara, mana mungkin beliau berani untuk tidak berlaku adil?

Atau mungkin juga Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim selaku pemimpin de-facto bagi Parti Keadilan Rakyat; nama parti sahaja sudah melambangkan keadilan?

Atau mungkin nama Presiden Obama yang berlegar-legar di dalam kepala anda; selaku ketua kepada polis dunia dan negara yang paling berkuasa di muka bumi, takkanlah beliau berani untuk berlaku tidak adil dalam tindak-tanduknya sehari-hari? 

Atau guane boh? 

Hakikatnya, individu-individu yang disebut di atas ini, pasti akan ada ketidakadilan yang pernah mereka lakukan, sama ada dalam kapasiti peribadi atau kapasiti mereka sebagai pemimpin yang memimpin organisasi masing-masing. Apatah lagi apabila ia melibatkan kroni atau ahli-ahli keluarga yang terdekat; sukar sekali untuk mereka berlaku adil di dalam situasi sebegitu. 

Sekiranya soalan itu ditanyakan kepada saya, hanya ada seorang insan sahaja yang boleh saya fikirkan; Rasulullah SAW. Keadilan baginda yang sumpah lejen tidak hanya merentasi para sahabatnya dan umat Islam, malah musuh-musuhnya juga. 

"Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (Muhammad untuk meminta keputusan), maka berilah keputusan di antara mereka atau berpalinglah dari mereka, dan jika engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan membahayakanmu sedikit pon, tetapi jika engkau memutuskan (Perkara mereka), maka putuskanlah dengan adil. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil."
[al-Maidah, 5:42]

Kerana itu baginda amat disayangi oleh para sahabatnya dan dihormati pula oleh seterunya. Keadilan sememangnya tiada tolok bandingnya. Kerana itu juga ramai yang tersentuh lantas tunduk kepada risalah yang dibawa baginda, kerana terkesan dan kagum pada keadilan yang ditunjukkan baginda.

Antara kisah yang mahsyur menceritakan tentang keadilan Rasulullah SAW adalah apabila seorang perempuan Yahudi dari keturunan bangsawan didapati mencuri. Maka ahli keluarga perempuan itu mencari cucu angkat kesayangan Rasulullah, Usamah bin Zaid r.a. dengan harapan dapatlah hukuman ke atas perempuan itu diringankan.

Rasulullah SAW menjadi murka. Baginda bersabda: 

"Adakah kamu ingin memberi syafaat (memohon diringankan hukuman) dalam perkara hudud (hukum-hukum yang telah diputuskan oleh Allah)? Sesungguhnya telah binasa golongan terdahulu kerana apabila para pembesar melakukan kesalahan, mereka tidak dikenakan hukuman, tetapi apabila rakyat biasa yang lemah melakukan kesalahan, rakyat tersebut terus dihukum. Demi Allah, sekiranya Fatimah anakku mencuri, nescaya aku pasti akan memotong tangannya!"

[Hadith riwayat Bukhari dan Muslim] 

Pergh. Sekiranya anak kesayangannya, Fatimah, pon baginda berjanji akan dipotong tangannya sekiranya didapati mencuri, anda boleh bayangkanlah betapa adilnya baginda!

Epik. 

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah sudah tentunya selaras dengan perintah Allah. Allah berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, walaupon terhadap dirimu sendiri atau terhadap ibu bapa dan kaum kerabatmu."
[an-Nisa', 4:135]

Allah tahu, hamba-hambaNya ini sukar untuk berlaku adil apabila ia melibatkan isteri kesayangan yang sudah dikahwini sepuluh tahun itu. Allah tahu hamba-hambaNya berat untuk menghukum anak sendiri yang gebu gebu dan pipi tembam itu. Allah tahu yang hamba-hambaNya mudah untuk bias apabila sahabat baiknya sejak kecil yang mandi parit dan kena kejar dengan tebuan sama-sama itu berbuat kesalahan.

Allah tahu semua itu kerana sungguh, Dia adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui segala sesuatu. 

Namun keadilan adalah asas utama untuk Islam. Dalam hal keadilan, tiada kompromi yang akan diberikan, hatta apabila ia melibatkan anak kesayangan kekasihNya yang agung, Rasulullah SAW. Tidak kiralah ia melibatkan sahabat besar yang rapat dengan baginda atau tidak, atau sesiapa sahaja, keadilan di dalam Islam tidak boleh sama sekali diberi diskaun.

Oleh sebab itu, saya gusar dan khuatir melihat perkembangan masyarakat marcapada ini, terutamanya kita yang bergelar umat Islam ini. Dalam banyak hal dan perkara, kita gagal untuk berlaku adil, terutamanya apabila ia melibatkan kepentingan bersama. Dalam banyak situasi dan peristiwa, umat Islam dilihat gagal untuk memperjuangkan keadilan dalam erti katanya yang sebenar apabila bertindak bias dan membela mereka yang punya persamaan atau hubungan dengan kita, meskipon sudah trang tang tang yang mereka ini telah melakukan kesalahan. Dan kadangkala, kerana didorong oleh emosi dan perasaan benci terhadap sesuatu kumpulan atau kelompok, menjadikan kita kurang matang lantas bertindak zalim pada pihak tertentu.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penegak keadilan kerana Allah, (ketika) menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah. Kerana (adil) itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Teliti apa yang kamu kerjakan."
[al-Maidah, 5:8] 

Untuk rekod, keadilan yang sedang kita bicarakan ini TIDAK bermakna layanan yang sama rata. Keadialan yang sedang kita bincangkan ini TIDAK pula bermaksud lima puluh lima puluh (50:50) dalam setiap tindakan dan perkara. Tidak. Tetapi keadilan dalam erti katanya yang sebenar; itulah meletakkan sesuatu itu kena pada tempatnya. 

Mari kita lihat dan kaji beberapa kejadian dan peristiwa baru-baru ini yang menunjukkan kegagalan kita meletakkan sesuatu itu kena pada tempatnya.

Kiki & Rakan-Rakan


Ok tiada rakan-rakan; hanya ada Kiki seorang. 

Saya rasa hampir semua rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat dan warna kulit sudah maklum akan kefemesan Kiki. Tindakannya yang memarahi dengan penuh emosi Pakcik Sim yang tidak sengaja melanggar keretanya dan mengugut pula dengan pengunci stering adalah suatu tindakan yang jelas salah dan tidak berakhlak. Alhamdulillah, kejadian ini telah selesai apabila Kiki meminta maaf secara terbuka dan Pakcik Sim juga telah memaafkannya.

Namun apa yang berlaku selepas itu benar-benar membuatkan saya menggaru kepala. Ada pihak-pihak tertentu yang membela dan mempertahankan tindakan Kiki, malah melancarkan tabung untuk membiayai kos denda yang dikenakan ke atas Kiki. Semuanya atas alasan tuntas bahawa Kiki adalah seorang Melayu Muslim maka dia perlu dibela.

Aduhai. Yang salah tetap salah. Kentut busuk tetap akan berbau hatta disembur dengan Febreeze perisa oren sekalipon. Eh. Inilah yang saya katakan zalim, apabila kita gagal melihat sesuatu kesalahan  itu sebagai kesalahan malah mempertahankannya pula.

Berlaku adillah setiap masa dan ketika! 

Kempen Boikot Produk Israel


Alhamdulillah, suatu perkembangan yang sangat positif apabila kempen boikot produk Israel kali ini lebih meriah daripada biasa. Sekiranya hendak dibandingkan dengan konflik Israel-Palestin sebelum ini, penangan boikot kali ini benar-benar luar daripada biasa. 

Namun tidak kurang yang memboikot dengan emosi dan bukannya dengan rasional dan informasi terkini. Ada yang mengherdik dan memarahi para pekerja Setabak dan Mekdi. Ada yang mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut dan caci maki. Di Dungun baru-baru ini sebuah premis Mekdi dibaling dengan batu dan pintunya digoncang dengan kasar sekali.

Haih, apa nak jadi? Di mana budi pekerti? Di mana akhlak terpuji?

Tidak mustahil juga sekiranya ada syarikat-syarikat atau produk tertentu yang dianiayai, dituduh menyokong agenda Zionis raya walhal sesen pon tidak pernah disalurkan kepada Israel. Bayangkan perasaan Makcik Limah apabila nasi lemak kukus sambal kerang lejennya itu diboikot hanya kerana dia membungkus nasi lemaknya menggunakan surat khabar Haaretz? Eh.

Dan jika dilihat dari skop yang lebih kecil, mengapa hanya Mekdi, Setabak dan Koka Kola yang diboikot, tapi bukan rokok yang dihisap sejak bertahun itu? Bukankah rokok itu haram maka ia wajib diboikot..? Berlaku adillah pada diri sendiri!

Lari laju-laju. 

Boikotlah dengan matang. Boikotlah dengan taqwa. Boikotlah dengan adil!

Islamic State (IS atau ISIS)
Perkembangan di Timur Tengah benar-benar merungsingkan kita. Kemunculan dan kebangkitan IS pada mulanya menimbulkan sedikit keterujaan namun apabila berita-berita yang menceritakan tentang kekejaman IS tersebar, kita tidak lagi pasti. Antaranya adalah bagaimana IS menghalau dan mengugut kaum Kristian minoriti di Iraq sedangkan selama ini mereka hidup aman bahagia di sana. Begitu juga dengan tindakan IS menghancurkan binaan-binaan dan monumen bersejarah tanpa punya sebab musabab yang boleh diterima.

Abu Bakar al-Baghdadi, ketua IS
Meskipon ada kemungkin bahawa berita-berita ini adalah sebahagian daripada propaganda musuh untuk memburuk-burukkan Islam, namun apabila berita-berita yang sama dilaporkan pula oleh agensi-agensi berita yang tidak berkepentingan (Middle East Monitor contohnya), tidak dapat kita nafikan lagi bahawa ada ikan yang sedang berenang-renang dengan riang gembiranya. Err.

Apatah lagi apabila pengumuman kekhilafahan IS dikritik dan dinafikan oleh Persatuan Ulama Muslim Sedunia melalui ketuanya, Syaikh Yusuf al-Qardhawi. Kenyataan Syaikh al-Qardhawi itu boleh dibaca di sini. 

Yang menghairankan dan tidak boleh saya otakkan adalah apabila ada segelintir manusia yang bersungguh-sungguh masih mahu mempertahankan IS ini, dengan pelbagai hujah dan justifikasi. Apabila diberikan bukti dan hujahan balas yang menunjukkan kepincangan IS, mulalah mereka ini melompat dan marah dan menuduh pula kita ini sudah terpengaruh dengan propaganda Syiah, ejen taghut Saudi dan sebagainya. Alahai. 

Berlaku adillah, meskipon yang melakukan kezaliman itu adalah umat Islam sendiri.

Virus Perkauman Di Malaysia
Jujur, saya semakin risau dengan kejadian-kejadian berorientasikan perkauman yang berlaku di Malaysia. Entah mengapa, semua benda pon mahu dikaitkan dengan kaum dan warna kulit. Harga barang naik? Salah Cina! Jenayah semakin berleluasa? Ini semua India punya kerja! Malaysia korup dan tak maju maju? Melayu punya pasal lah ni!

Aduhai.

Yang lebih menghairankan fenomena ini meletup sejak dua tiga kebelakangan ini. Daripada isu kalimah Allah, isu rampasan Bible, video pasangan Alvin dan Vivian, insiden kepala Kedberi di surau, serbuan perkahwinan Hindu dan macam-macam lagi. Saya pasti Malaysia sepuluh tahun yang lalu tidaklah seteruk ini. 

Mahukah kita menjadi seperti ini? Na'udzubillah.

Baru-baru ini terdapat beberapa inisiatif, sama ada yang dimulakan oleh individu-individu sivil atau figur-figur politik yang mahu memperbaiki hubungan antara kaum. Namun mereka ini segera dilabel sebagai liberal, menjual agama, ada agenda tersembunyi dan lain-lain lagi, hanya kerana mereka berani memperjuangan sesuatu yang luar daripada status quo yang sedia ada. 

Kadang-kadang keegoan dan keangkuhan kita telah menjadikan hati kita buta. Inisiatif yang baik dan mulia kita kambus dan ketepikan. Usaha-usaha yang ikhlas dan murni kita belasah dan bunuh. Semuanya tidak baik pada pandangan mata kita. Semuanya konspirasi dan ada agenda tersembunyi pada firasat kita. 

Berlaku adillah; janganlah kebencian kita pada sesuatu kelompok menjadikan kita berlaku zalim dan tidak adil.

Kemelut Politik
Anda yang mengikuti perkembangan politik semasa tanah air pasti rimas dan garu kepala. Sehingga ke suatu tahap, saya tidak tahu siapa lagi yang boleh saya percayai. 

Kita masih jauh lagi untuk mencapai tahap matang dalam politik. Mengapa? Ramai daripada kita yang menyokong sesuatu parti atau ideologi itu dengan emosi dan menjadi fanatik membuta tuli.

Tidak dinafikan kerajaan yang memerintah sekarang ini, setelah lebih setengah abad memimpin negara, punya banyak kelemahan dan kepincangan. Untuk menjadi negara yang benar-benar maju, saya melihat ada keperluan untuk menukar parti pemerintah agar rakyat dapat melihat dan merasakan sendiri perbezaan antara dua ideologi. Juga yang lebih utama, supaya adanya sistem check and balance yang benar-benar berkesan.

Namun itu tidaklah bermakna semua benda yang dicadangkan dan diusahakan kerajaan itu buruk dan tidak bermanfaat. Ada juga inisiatif dan usaha mereka yang menguntungkan dan wajar dipuji. Kadang-kadang rimas juga dengan sikap para penyokong pembangkang yang hanya tahu membangkang dan menentang. 

Give credit when it's due. Berlaku adillah apabila tiba masanya. 

Tarik nafas. 

Begitulah sedikit sebanyak analisa saya yang jelas menunjukkan betapa dalam banyak hal dan perkara, kita telah gagal untuk berlaku adil dan saksama. 

Hal ini sering mendatangkan fitnah kepada Islam itu sendiri, apabila umat Islam dilihat membela dan mempertahankan sesama mereka membabi buta, meskipon kadangkala sudah terang lagi bersuluh lampu sorot bahawa yang silap itu kita, yang salah itu kita. Orang-orang bukan Islam dilihat dengan pandangan yang penuh skeptik dan curiga; semuanya disebabkan oleh tindakan kita sendiri yang tidak tahu untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sebenar. 

Akibatnya, lebih ramai yang lari daripada Islam. Mereka semakin menyampah dan benci dengan Islam, kerana kulit luarnya yang busuk dan buruk, meskipon isinya masih harum dan cantik. Menjadi cabaran besar buat dua't di zaman ini untuk menanangi mad'u-mad'u yang pesimis dan was-was terhadap Islam, dek kerana sikap dan akhlak umat Islam itu sendiri. 

Bukan pula niat saya untuk menjadi apologetik. Tidak. Yang salah tetap salah. Yang benar, mesti dipertahankan dan dibela. 

Dalam kes Ustaz Shahul Hamid baru-baru ini, jelas sekali apa yang diungkapkannnya dalam ceramahnya, meskipon niatnya hanyalah untuk berjenaka, adalah tidak sensitif dan tidak kena pada tempatnya. Namun dia sudah meminta maaf. Malah tidak salah untuk saya mengatakan yang dia benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh meminta maaf. Terimalah permohonan kemaafannya itu. Tidak perlu lagi memanjangkan dan memburukkan persengketaan. 

Ayuh. Mari kita latih diri kita untuk mula bersikap adil dalam setiap perkara, hatta dalam sekecil-kecil hal seperti membelanjakan wang kita, menghukum adik kita yang degil, membahagi-bahagikan masa, dalam memberi tugasan kepada hadek-hadek bulatan gembira atau dalam kita melayan manusia-manusia di sekeliling kita.

"Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah itu adalah orang yang paling bertaqwa."
[al-Hujuraat, 49:13]

Berlaku adillah, setiap masa dan ketika, dalam setiap hal dan perkara. Kerana berlaku adil itu sangat dekat dengan taqwa.

-gabbana- 

Yang masih belajar untuk menjadi seorang yang adil.

3 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 06/08/2014, 22:07  

Slm. apg menuju kematangan, dah tak kuat melatah lagi. walau hiruk pikuk melanda kemelut politik negeri, namun apg tetap cool, without taking side neaming tidak terusan mneomen, in fact terus menyepi.

Anonymous 07/08/2014, 19:01  

Dalam dunia politik atau apa sahaja yg berkaitan dunia itu ada pro & kontra nya.




Anonymous 08/08/2014, 18:57  

Good job inche gabbana...:D

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP