11 November 2011

Babi Itu Muslim, Yang Makan Babi Itu Kafir

[Kredit]

Ok, sila jangan cepat menggelabah, melompat mahu menghunus keris ke udara apabila membaca tajuk email ini. Hohoho..

Yalah, orang Melayu* kan. Pantang dicabar dengan benda-benda yang amat rapat dengan diri mereka. Raja-raja pantang dicabar. Hina Nabi Muhammad SAW tidak mengapa. Babi itu totok haramnya, tapi berzina, tonggang arak sekali sekala, solat fardhu entah ke mana, ha yang itu tadehal pula.

(Sekiranya ada di kalangan para pembaca yang bukan berbangsa Melayu, sila lompat ke perenggan yang seterusnya.)

Pening pening.

Apa-apa jalan, ini adalah sambungan kepada perkongsian ilmu marhaen saya dalam cubaan untuk menghuraikan kata-kata Sayyid Qutb dalam Muqaddimah Zilal, berdasarkan pemahaman saya setelah mendengar rakaman suara Dr. Yue Qiu Wai (maaf kepada anda yang kechiwa setelah mengetahui pendedahan sensasi ini; saya hanya mendengar rakaman suara sahaja dan bukannya bertalaqi ilmu muka ke muka dengannya..)

Sayyid Qutb menyatakan:

"Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku dapat merasakan adanya keseimbangan yang indah antara harakat manusia seperti yang dikehendaki Allah dengan harakat alam buana yang diciptakan Allah."

Apakah yang dimaksudkan dengan beliau apabila beliau menyatakan keseimbangan yang indah antara harakat manusia dengan harakat alam buana?

Adakah keseimbangan yang dimaksudkan bermakna keseimbangan dunia dan akhirat seperti yang selalu dicanang-canangkan ke telinga kita? (Di tepi jalan, konsep keseimbangan antara dunia dan akhirat yang difahami ramai tidak tepat sebenarnya.) 

Atau adakah beliau sedang merujuk kepada pemakanan seimbang; pagi kena makan sarapan berserat tinggi, tengah hari kena makan nasi yang lengkap dengan buah-buahan dan pencuci mulut dan malam pula hanya minum susu atau makan oat..?

Err...

Dalam cobaan untuk memahami kata-kata Sayyid Qutb ini, ada beberapa kata kunci yang perlu kita berikan perhatian dan calon-calonnya adalah:

1) Keseimbangan yang indah
2) Harakat manusia
3) Seperti yang dikehendaki Allah
4) Harakat alam buana yang diciptakan Allah

Saya akan sentuh yang nombor empat itu dahulu.

Harakat alam buana bermaksud 'jemaah' atau pergerakan (pergerakan di sini bermaksud kumpulan atau organisasi dan bukannya bergerak sekian harap maklum) seluruh alam semesta, dari sekecil-kecil semut api dan cucu kepada semut api sehinggalah sebesar-besar ikan paus dan ikan paus goreng tepung. Eh. Matahari, langit, bintang-bintang, laut, padang pasir, semuanya termasuk di dalam kategori ini.

Apabila Sayyid Qutb mengatakan harakat alam buana ini adalah seperti yang diciptakan Allah, apa yang dimaksudkannya adalah Allah mengkehendaki seluruh alam ini tunduk dan patuh kepadaNya. Maksudnya, seluruh makhluk (kecuali manusia) baik yang bernyawa atau tidak, baik yang bergerak, berkaki lapan belas, bertanduk, berekor, berakar umbi, keras, lembut... Semuanya hidup di muka bumi dalam keadaan taat dan patuh kepada Allah.

Inilah yang kita katakan sebagai Islam Ijbari; yakni mereka adalah Muslim secara 'paksaan'. Mereka tidak punya pilihan melainkan tunduk, taat dan menyerah diri segiempat-segiempat kepada Allah semata-mata. Maknanya, beruang yang tampak ganas dan menyerang anak kijang comel yang lompat girang gemilang itu, sebenarnya ia taat dan patuh kepada Allah. Matahari yang panas terik di Afrika tetapi malap-malap sehaja ketika musim sejuk di Eropah, itu adalah satu tindakan matahari yang patuh kepada Allah. Nyamuk yang menggigit manusia dan haiwan, menghisap darah sehingga gatal-gatal dibuatnya mujurlah ada Mopiko, itu juga adalah penyerahan diri nyamuk secara total kepada sunnatullah; hukum Allah yang sudah termaktub sejak sekian lama.

Hatta seekor babi yang kita katakan najis mughalazzah, kotor, jijik, makan sampah, kerbau pendek, hidung penyek dan entah apa-apa lagi.. Kehidupannya sehari-hari juga adalah satu manifestasi ketaatannya kepada Allah. Dengan kata lain, babi adalah Muslim; menyerah diri secara total kepada Allah.

Apa akibatnya sekiranya mereka ini ingkar, derhaka kepada perintah Allah dan hukum fitrah alam..? Nescaya akan rosak binasalah bumi dan seluruh alam semesta ini. Cuba bayangkan, pokok-pokok membuat keputusan untuk tidak lagi melakukan proses fotosintesis; alamatnya tercekik oksigenlah kita! Atau bayangkan matahari tiba-tiba terasa mahu berjalan-jalan, mahu merapatkan hubungan dengan bumi; silap haribulan hangus terbakar menjadi barbecue manusialah kita! Atau bayangkan juga lembu dan kambing mahu menukar selera, tidak mahu lagi makan rumput dan dedaunan; mereka terasa seperti mahu melapah daging manusia pula. Haih, hidup dalam ketakutan sepanjang masalah kita!

Sedangkan harakat manusia, bezanya dengan harakat alam buana ialah Allah mengurniakan akal fikiran kepada manusia; Allah berikan 'kelebihan' kepada manusia untuk membuat pilihan sendiri. Sama ada mereka mahu tunduk dan patuh kepada perintah Allah, atau ingkar dan manjadi durhaka ala-ala Anakku Sazali kepada perintah Allah dan RasulNya. Sifat manusia ini pula kita namakan sebagai Islam Ikhtiari; manusia perlu berikhtiar atau punya pilihan sendiri dalam membuat keputusan tentang hala tuju hidupnya.

Masalah besar berlaku apabila manusia memilih untuk tidak patuh kepada syariat dan hukum-hakam Allah. Mereka mencipta peraturan dan undang-undang sendiri. Mereka menjadi hamba kepada hawa nafsu mereka sendiri. Mereka yakin tiada lagi hidup selepas kematian; sayugia mereka berhak untuk berbuat apa sahaja di dunia ini bagi melempiaskan nafsu dan kemahuan mereka yang tiada hujungnya itu. Dosa dan noda adalah rutin dan makanan ruji sehari-hari. Mereka memilih untuk menjadi ingkar dan durhaka kepada si Pencipta, Tuhan sekalian Alam.

Arakian berlakulah pertembungan antara 'harakat alam buana yang diciptkan Allah' dengan harakat manusia TIDAK seperti yang dikehendaki oleh Allah. Akibatnya? Kucar-kacir dan kelam-kelibutlah alam semesta, dunia dan seluruh isinya.

Mari saya berikan anda beberapa contoh yang mudah lagi menguji Kemahiran Berfikir secara Kritis dan reatif (KBKK) anda. Allah menciptakan tubuh badan manusia secara umumnya sempurna dengan sifat-sifatnya; ada jantung yang mengepam darah, ada paru-paru yang memproses oksigen, ada ginjal yang mencuci darah dan sebagainya. Mereka ini semua tunduk dan patuh kepada perintah Allah; tidak pernah pula kita dengar jantung memberontak dan tidak lagi mahu mengepam darah atau otak mogok dan tidak mahu lagi berfungsi memproses maklumat!

Tetapi manusia, yang sungguh bijak pandai itu, yang dikurniakan akal itu, selalu sahaja menzalimi tubuh badan sendiri. Menonggang arak sehingga pengsan. Menghisap rokok berkotak-kotak sehari. Menonton dan membaca bahan-bahan lucah seolah-olah itu makanan ruji. Akibatnya? Tubuh badan dan seluruh anggotanya bangkit memberontak. Paru-paru menjadi rosak. Otak menjadi lembap, bongok dan tidak dapt membezakan mana yang baik dan buruk. Jantung juga menjadi semput. Senang kata, tidak wujud keseimbangan yang indah antara fungsi sebenar tubuh badan dengan tindakan dan gerak-geri sehari-hari makhluk bernama manusia!

Kita juga boleh melihat contoh dalam skop dan erti kata yang lebih besar. Allah menciptakan alam sekitar dan ekosistemnya cukup sempurna. Ada rantaian makanan untuk mengimbangi populasi haiwan; tikus makan padi dan ular makan tikus. Tidak munasarawak sekiranya tiba-tiba sahaja tikus menukar selera dan terasa seperti hendak memakan kerbau pula. Ada pula proses penyejatan air laut untuk menurunkan hujan. Hujan yang turun ini pula kemudiannya menyuburkan tanam-tanaman yang menjadi sumber rezeki kepada manusia. Dan ada pelbagai lagi proses 'semulajadi' untuk mengimbangi harakat alam buana ini.




Allahu Akbar! Lihatlah keajaiban dan kesempurnaan ciptaan Allah! Ini.. Ini.. Ini sumpah super duper osemmmness! ;D [Semua gambar diambil di sini]

Kemudian tangan-tangan manusia merosakkannya. Pembangunan material yang melampau-lampau merosakkan keseimbangan ini. Ketamakan dan kehalobaan manusia dalam mengejar kekayaan dunia telah menghancurkan simbiosis antara alam dan seluruh isinya yang selama ini berjalan dengan sempurna. Maka tidak perlu hairan apabila seluruh alam buana bangkit memprotes kebiadapan manusia ini. Banjir besar di mana-mana. Gempa bumi kini ibarat acara wajib bulanan. Pelbaga lagi tok nenek bencana alam memberi isyarat jelas kepada kita bahawa tidak wujud keseimbangan antara harakat alam buana dengan harakat manusia.

Kerosakan bumi akibat tangan-tangan durjana manusia! [Kredit]

Kerosakan bumi yang melata tidak lain adalah disebabkan oleh kekufuran manusia; kufur pada nikmat dan amanah yang telah Allah kurniakan kepada kita semua. 

“Telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan-perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”
[ar-Rum, 30:41] 


Kerana itu Sayyid Qutb, yang dikurniakan oleh Allah dengan kelebihan untuk memahami al-Quran menyatakan, dia dapat merasakan betapa indahnya hakikat kejadian alam semesta dan seluruh isinya ini seandainya wujud keseimbangan yang harmoni antara harakat alam buana dengan harakat manusia. Di dalam al-Quran sudah terkandung rahsia-rahsia keindahan ini. Di dalam al-Quran sudah jelas apakah yang bakal dikecapi dan dinikmati oleh manusia seandainya manusia yang dikurniakan dengan akal fikiran, dapat mentadbir dan memakmurkan alam semesta ini selari dengan hakikat penciptaan alam buana.

Bukti-buktinya sudah pon jelas di depan mata. Ok mungkin tidaklah di depan mata anda sekarang ini. Peluh kecil. Tapi bacalah dan hayatilah sirah! Dan akan dapati betapa agungnya kerajaan dan pemerintahan manusia yang menjadi khalifah yang adil lagi saksama kepada seluruh alam buana!

Bayangkan, dalam masa tidak sampai seratus tahun, Islam yang hanya bermula dengan seorang itu, berjaya memakmurkan sebahagian besar dunia ini! Di bawah pemerintahan 'Umar al-Khattab contohnya, umat Islam telah berjaya membuka dan membebaskan Parsi, Mesir dan Palestin daripada cengkaman dan genggaman pemerintahan Kuffar! Dan umat manusia tidak pernah lagi melihat dan menyaksikan pemerintahan yang begitu adil dan makmur!

Dan tidak pernah ada lagi mana-mana ketamadunan di dunia ini, semenjak zaman nabi Adam AS yang berjaya memakmurkan dunia dengan sebegitu hebat sekali. Dan seluruh umat manusia dan alam semesta mengakui keagungan dan kehebatan Islam, yang berjaya mewujudkan keseimbangan indah antara harakat manusia dan harakat alam buana. Semuanya kerana mereka bersungguh-sungguh dalam menjadi manusia-manusia yang berjiwa hamba, tunduk dan patuh kepadaNya.

Ok sudah cukuplah saya membebel. Saya pasti sekarang anda sudah jelas dengan hujah-hujah yang telah saya keutarakan. Dengan itu saya mohon mencadang terima kasih tuan yang dipertua heyyy! Eh. Kalau masih belum jelas bolehlah berlari-lari laju mengelilingi pokok di depan rumah anda sambil mengangkat tangan dan menjerit sekuat hati, "Aku taaakk faaahhhaaammmm!" Wahahaha..

Ok.

Cuma satu sahaja lagi yang saya rasakan perlu untuk saya sentuh.  Leh, ada lagi ke Inche gabbana..?? Kata anda sambil berpeluh besar. Ada, jawab saya sambil tersenyum lebar.

Peranan kita sebagai du'at, pendakwah di muka bumi. Sila jangan nak mengada-ngada berfikir bahawa pendakwah itu adalah ustaz ustazah sahaja, atau pak lebai yang berjubah dan berserban sahaja. Seorang akh yang memakai jeans boleh berdakwah juga tahu..? Dakwah itu milik semua, dan wajib dilaksanakan oleh semua..!

Saya yakin dan pasti, antara faktor utama mengapa dunia menjadi kucar-kacir sebegini adalah kerana kurangnya kesungguhan kita dalam menyebarkan risalah-risalah suci Allah. Antara sebab utama mengapa alam semesta kelihatannya begitu kelam-kelibut, tidak terurus adalah disebabkan kita yang malas dan culas untuk melaksanakan tugas syahadatul haq. Dan antara sebab mengapa kebanyakan manusia secara amnya ingkar dan durhaka kepada Allah, adalah kerana golongan seperti kita yang kononnya faham dengan tujuan hidup kita ini, gagal menyempurnakan amanah kita dengan sebaiknya..! Astaghfirullah.. tunduk malu, air mata menitik-nitik.

Tidak sehingga kita berjaya bekerja dan menyatukan harakat manusia selari dengan harakat alam buana, sehinggalah itu kita tidak dapat mengecapi dan menikmati potensi sebenar alam semesta dan seluruh isinya. Dan kalau bukan kita yang melaksanakan tugas ini, siapa lagi..?

Ketahuilah, cacing tanah, kanggaru liar, awan mendung, gunung tinggi, padang pasir, rumpai laut, petroleum hitam, kucing Parsi... Semuanya yang ada di alam semesta ini, sedang menanti-nantikan segolongan manusia yang akan mengembalikan keseimbangan hakiki yang indah lagi agung antara harakat manusia dengan harakat mereka semua.

Dan ketahuilah, sesiapa sahaja yang taat dan patuh kepada Allah, mereka adalah Muslim, hatta babi yang haram itu. Walhal sehebat-hebat ciptaan Allah bergelar manusia itu, sekiranya mereka kufur, durhaka dan ingkar pada nikmat-nikmat dan amanah yang telah Allah kurniakan kepada mereka, maak mereka telah kafir, yakni terkeluar daripada landasan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah. Na'udzubillah.. 

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan! Sungguh ia musuh yang nyata bagi kamu."
[al-Baqarah, 2:208] 


Jadi ayuh kita berazam dan beriltizam untuk menjadi 'm'uslim (perhatian pada 'm' kecik) yang sebenarnya, yang bakal mengembalikan keseimbangan antara harakat manusia dengan harakat alam semesta! Tidak teringinkah kita menikmati dan mengecapi keseimbangan itu, sepertimana yang telah disebut oleh Sayyid Qutb...?

Dan yang lebih utama, kita tidak mahu menjadi lebih teruk dan hina daripada... Err.. Kerbau pendek itu..! Choyyy!

"Kamu (umat Islam) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah."
[ali-Imran, 3:110]

-gabbana-

Selamat berhujung minggu anda semua! Insha-Allah saya akan berkonferens riang wiken ini, maka tiadalah berkesempatan untuk menghapdet belog. Pastikan wiken anda dipenuhi dengan perkara-perkara yang bermanfaat!

Oh saya telah menerima satu lagi penyertaan untuk Petandingan Video Osem APG 2011. Senyum. Tidak sabar-sabar untuk menerima lebih banyak penyertaan!


7 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 11/11/2011, 20:53  

siyes. sngat amat panjang dan padat.. aduhaiii

Infiru 11/11/2011, 21:52  

'Asas-asas Islam' by Abu 'Ala Al-Maududi.

:) best buku fikrah ni.ada sebut pasal haiwan dan segala alam ciptaan Allah yg mengikut kadarNya adalah muslim.

Anonymous 11/11/2011, 22:31  

nak rakaman suara MFZQ!

mungkin boleh upload di 4shared atau mana2, dan beri kami link untuk download.

jzkk!~

elyse 11/11/2011, 23:48  

Anonymous: saya pun nak

thx, entry ni banyak memberi kesedaran :)

Anonymous 12/11/2011, 00:04  

teringat satu lagu ni..

Mengapa di tanahku terjadi bencana
Mungkin Tuhan mulai bosan
Melihat tingkah kita
Yang selalu salah dan bangga
dengan dosa-dosa
Atau alam mulai enggan
Bersahabat dengan kita

Anonymous 12/11/2011, 00:41  

rasa diri ni hina dan lemah..

Anonymous 12/11/2011, 03:00  

....agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”
[ar-Rum, 30:41]

still ALLAH sangat BAIK!!! sebab ALLAH turunkan bencana pun untuk manusia kembali pada-NYA

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP