Jika Esok Kiamat, Adakah Kita Sudah Bersedia?
[Kredit] |
Baru-baru ini gempar di media sosial tentang kejadian 'pelik' yang berlaku di tengah-tengah padang pasir di tanah Arab sana. Padang pasir yang sepatutnya kering kontang ditumbuhi tumbuh-tumbuhan hijau melata dengan air sungai yang mengalir di tengah-tengahnya.
Pantas rakyat jelata negara internet membuat kesimpulan bahawa ia tanda hari kiamat sudah dekat, berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW (meskipun ada asatizah yang telah membuat penjelasan ia sebenarnya satu fenomena biasa di tanah Arab).
Ah kita memang macam tu kan? Suka benar dengan berita-berita dan cerita-cerita tentang kiamat ini. Suka benar dengan teori-teori konspirasi, cerita-cerita ajaib dan kisah-kisah misteri. Kita mungkin terlepas pandang bahawa tanda kiamat yang pertama adalah kelahiran Nabi SAW ke muka bumi!
Persoalan yang lebih utama yang perlu kita tanya pada diri sendiri; sekiranya kiamat benar-benar akan berlaku dalam masa yang paling hampir ini, adakah kita sudah bersedia? Bagaimana dengan bekalan kita untuk menghadapinya?
Jatuh kerusi.
Di sinilah, sebuah surah yang cukup luar biasa dapat membantu kita bagi menyiapkan bekalan. Itulah surah al-Kahfi, sebuah surah yang menurut sebuah hadith, dapat menjadi benteng bagi melindungi kita daripada fitnah al-Masih ad-Dajjal.
Dalam tafsir fi Zilal al-Quran karangan Sayyid Qutb rahimahullah, beliau menyebut bagaimana surah al-Kahfi berfungsi melindungi orang-orang yang beriman daripada fitnah Dajjal kerana ia menyediakan 'tools' untuk menghasilkan 3 perkara:
i) Membetulkan sistem kepercayaan (Aqidah)
ii) Membetulkan metod memerhati dan berfikir (Pandangan hidup)
iii) Membetulkan sistem nilai dengan pertimbangan kepercayaan (Nilai)
(Dipetik dari buku 'Setia Dengan Kebenaran' karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil)
Manakala menerusi tadabbur surah ini, kita akan mendapati EMPAT FITNAH utama yang bakal dibawakan oleh ad-Dajjal dan konco-konconya dan bagaimana pula untuk berhadapan dengan setiap fitnah ini.
FITNAH AQIDAH/KEPERCAYAAN
Fitnah ini diceritakan menerusi kisah para pemuda al-Kahfi. Cara menghadapi ujian ini adalah dengan kebergantungan yang total kepada Allah.
FITNAH HARTA
Fitnah ini disampaikan melalui kisah pemilik dua kebun. Cara menghadapinya adalah sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah dan merasakan dunia itu hina.
FITNAH ILMU
Fitnah ini pula dikisahkan kepada kita menerusi pengalaman Nabi Musa AS bertemu dengan Khidir AS. Cara mengatasi ujian ini adalah dengan sentiasa merendah diri dan bersabar dalam menuntut ilmu.
FITNAH KEKUASAAN
Fitnah ini dijelaskan melalui kisah Zulkarnain. Cara untuk menyiapkan diri bagi berhadapan dengan ujian ini adalah dengan mengembalikan sesuatu anugerah/pangkat/kebesaran itu kepada yang Maha Berkuasa.
(Poin-poin tadabbur ini diambil daripada kuliah tafsir Ustaz Nouman Ali Khan)
Ya, apabila Dajjal keluar nanti, dia akan datang dengan fitnah-fitnah ini bagi menyesatkan sekalian umat manusia. Allah SWT telah pun mempersiapkan kita dengan bekalan dari al-Quran yang akan memandu kita agar sentiasa berada di atas jalan yang lurus.
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا
"Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan Kitab (al-Quran) kepda hamba-Nya dan Dia tidak menjadikannya terpesong."
[al-Kahfi, 18:1]
Sekarang ini, apa sikap dan tindakan kita..? Adakah kita sudah bersedia?
Tepuk dada, tanyalah iman dan taqwa!
-gabbana-
0 Caci Maki Puji Muji:
Post a Comment