Showing posts with label cerita pendek. Show all posts
Showing posts with label cerita pendek. Show all posts

30 October 2018

Apa Yang Penting? Tajmik!

[Kredit]

"Abang Aidil. Dalam dakwah ni, memang kena tajmik ke? Wajib ke?"

Aidil cuba untuk tersenyum, meskipon teh ais yang baru disedutnya terasa seperti tersekat di esofagusnya. Dipandang anak buahnya Zikri itu dengan pandangan yang penuh kasih-sayang. Ewah.

Hari tu Raihan, hari ni Zikri pula. Tu lah sapa suruh lama tak menulis! Eh.

"Apa yang nta faham tentang tajmik?"

Aidil menyoal, sekadar mahu menguji. Test the water omputih kata.

"Tajmik tu...mengumpulkan kan? Dalam konteks T&D, mengumpulkan orang untuk bersama-sama dalam gerabak dakwah ni. Betul tak?"

Zikri menggaru-garu kepalanya yang sudah lima hari tidak disyampu.

"Betul. Tepat sekali. 10 markah ana bagi! Hehe."

Aidil berseloroh. Walaupon taklah kelakar mana.

"So kalau dalam dakwah ni, apa yang pentingnya tajmik ni?"

Pantas dahi Zikri berkerut. 

Aku tanya dia, dia tanya aku balik. Haish.

"Entahlah bang. Saya faham je dakwah tu wajib apa semua. Dah berapa kali sentap dengar SH. Huhu. Tapi takleh ke nak buat dakwah sorang-sorang? Takleh ke semangat buat dakwah sorang tanpa perlu tajmik? Tak payah ada anak buah semua?" 

Aidil tersenyum lagi. Dia tahu akar kepada soalan itu. Ini bukan kali pertama Zikri mengeluh tentang betapa sukarnya mahu mentajmik, espeseli di zaman Mobile Legend dan Tik Tok ini. Adeh.

"Untuk menjawab soalan nta tu, jom kita sama-sama tadabbur ayat chenta sikit. Buka surah Yusuf, ayat 108."

Segera Zikri mengeluarkan telefon pintarnya dari kocek seluar. Terus dibuka aplikasi al-Quran yang terkandung dalam telefonnya itu. Budak-budak zaman sekarang, mana main Quran zip berpelekat dah! 

قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللهِ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

"Katakanlah, 'Inilah jalanku. Aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan basirah. Maha Suci Allah dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik.'" [Yusuf, 12:108]
"Ayat ni antara ayat yang paling osem untuk menterjemahkan fikrah dakwah yang kita imani. Nampak simple je ayat ni en? Tapi sebenarnya ia mengandungi 1001 hikmah dan ibrah untuk kita sama-sama hayati.

Nampak tak ayat tu cakap apa? AKU dan ORANG-ORANG YANG MENGIKUTIKU. Yang buat dakwah tu, yang 'mengajak kamu kepada Allah dengan basirah' tu bukan 'aku' je, bukan kita je. Tapi juga 'orang-orang yang mengikutiku'. Maknanya, kita nak buat dakwah ni tak boleh buat sorang-sorang. Mesti ada team yang sapot kita.

Nta pon dah maklum kan tentang kehebatan Abu Bakr RA dalam mentajmik sahabat-sahabat yag lain? Sehari je lepas dia masuk Islam, dia berjaya tarik 5 orang lagi untuk masuk Islam. Dan 5 orang ini bukan calang-calang, tapi 'asyara mubasyara!

Tapi kenapa? Kenapa Abu Bakr bersungguh-sungguh nak Islamkan orang lain walaupon dia sendiri baru je masuk Islam? Sebab dia faham yang dia kena ada team. Dia faham yang nak sebarkan Islam ni tak mudah. Jadi dia perlukan lebih ramai orang untuk sama-sama bantu dia dan Rasulullah SAW untuk sebarkan kebenaran.

Samalah macam kita ni akhi. Beban dakwah ni berat. Tapi ia akan terasa ringan kalau lebih ramai orang yang sudi untuk menghulurkan tangan. Beban dakwah tu tetap sama beratnya, tapi sebab semakin ramai yang bersama dengan kita mengangkatnya, ia terasa sedikit ringan.

Sebab tu kita tajmik. Bukan semata-mata sebab amanah SH tu, tapi sebab kita perlukan pasukan untuk sama-sama tegakkan Islam yang terchenta ni!"

Penuh semangat Aidil menjelaskan. Bersinar-sinar matanya. Orang di sekeliling memandang dengan penuh hairan. Malu pula Aidil dibuatnya.

Tapi jelas terpancar kepuasan pada wajah Zikri. Dia kini faham. Dan lebih sejahtera.

"Eh nta nak ke mana tu? Tak habis lagi teh tarik nta tu."

"Nak gi tajmik la bang. Tak sabar nak ada team sendiri ni!"

Mereka sama-sama tertawa. Bahagia.

Happy ending bak hang!

-gabbana-

18 July 2018

Setiap Dari Kita Ada Sumbangan Pada Dakwah. Tahu?





"Abang, saya nak minta rehat dari dakwah dulu boleh?"

Akhirnya terkeluar juga ayat itu dari mulut Raihan yang terkemam-kemam dari tadi.

Kalau urat bola mata tu diperbuat daripada spring, konfem dah terjojol keluar dari soket mata Aidil. Tapi Aidil rilek je. Control macho dan kool.

"Random sangat ni. Kena rasuk ke apa nta ni?"

Aidil cuba berseloroh. Sebenarnya nak cover rasa terkejut.

"Taklah bang. Saya penatlah bang."

Raihan tersenyum nipis.

Penat?

"Kenapa ni akhi? Ada apa-apa yang boleh ana bantu?"

Aidil dah tenang sikit. Rasional dia dah kembali.

"Entahlah bang. Saya rasa macam takde function dalam dakwah ni."

Raihan memandang ke bawah sambil menguis-nguis kakinya yang bersarungkan Fipper itu. Dia malu mahu memandang wajah murabbinya.

"Takde function? Maksud nta?"

"Ye lah. Rasa macam takde pape sumbangan pada dakwah ni. Usrah tak bawak. Tajmik tak menjadi. Nak mengisi pon tak reti. Nak infaq pon, bukan ada duit sangat. Aaah rasa useless!"

Aidil tersentak. Dia sudah lama boleh mengagak, tetapi tidak sangka Raihan akan meletup hari ni.

Aidil menarik nafas yang boleh tahan dalam. Dia berfikir-fikir apa cara terbaik untuk tackle isu ni. Salah tackle, kena kad merah nanti! 

"Akhi, siapa kata nta takde sumbangan? Nta tau tak, nta dah baaannyaaakk jasa pada dakwah ni?"

Berkerut dahi Raihan. Dia tak pasti, murabbi nya itu sedang menganjingnya atau bagaimana.

"Nta tau tak, doa-doa yang nta panjatkan untuk ikhwah dalam solat dan munajat nta, dalam maathurat dan musafir itulah yang menguatkan kami semua. Entah-entah, dakwah ikhwah lain yang menjadi tu, disebabkan keberkatan doa nta!"

Mata Raihan tiba-tiba membundar. Dia terpana. Tak pernah langsung dia terfikir sedemikian rupa!

"Nta tau tak, lawak jenaka nta, senyuman nta, tak pernah fail buat ikhwah senang hati. Ikhwah yang penat balik kerja, tengok muka nta, dengar lawak nta, terus tak jadi nak penat!"

Aidil tertawa sendiri, teringatkan lawak-lawak hambar Raihan.

"Nta tau tak, nta yang ringan tulang kemas RI, yang rajin jadi AJK teknikal masa program, yang selalu volunteer nak masak dan hidangkan makanan masa daurah, semua tu adalah sumbangan nta pada dakwah. Boleh tempang ikhwah dibuatnya kalau takde orang macam nta!"

Entah kenapa, Raihan tiba-tiba jadi sebak. Rasa macam nak mengalirkan air mata je, tapi malu la pulak menanges depan murabbi. Tak jantan lah!

"Akhi, ana bukan tak tau yang nta sungguh-sungguh mentajmik. Yang nta memang sangat teringin nak bawak usrah. Yang nta dah beri sehabis baik pada dakwah. Tapi belum rezeki nta lagi untuk semua itu.

Dakwah ni besar akhi. Ada banyak relung-relung yang nta boleh menyumbang. Selagi mana nta bersama gerabak ni menuju ke destinasi yang sama, selagi mana nta mainkan peranan nta sebagai jundiyy kepada dakwah ni, selagi itulah nta sebenarnya ada sumbangan pada dakwah.

Berapa banyak watak-watak dalam al-Quran yang tidak disebut namanya atau kemunculan mereka hanya sekejap sahaja. Macam pemuda yang teman Nabi Musa cari Nabi Khidir tu. Walaupun namanya tidak disebut, tetapi Allah abadikan peranan pemuda tu menemani Nabi Musa dalam musafirnya.

Mengapa? Kerana Allah nak beritahu kita, setiap daripada kita ada peranan dan sumbangan yang boleh kita berikan pada dakwah ini!"

Mata Raihan berkaca-kaca. Tiba-tiba dia terasa malu kerana minta untuk direhatkan dari dakwah.

Bukankah kata-kata Nabi SAW "Sudah berlalu waktu tidurku!" yang menjadi azimatnya selama ini?

Aidil tersenyum syukur. Dia tahu, tackle nya bukan sahaja menjadi, malah siap berjaya jaringkan gol sekali! Eh.

-gabbana-

20 March 2018

Akhi, Ana Tak Pandai Menulis

[Kredit]

“Macam mana nak pandai menulis macam nta ye Aidil?”

Muammar bertanya dengan penuh tulus.

Muammar mana pulak ni, watak baru pulak dah. Lantak lah asal cerita sedap. 

“Hah? Ana pandai menulis? Bila pulak?”

Aidil menggaru-garu hidungnya yang tak berapa gatal.

“Alah nta janganlah merendah diri. Ana tau je nta lah orangnya yang banyak menulis dalam telegram channel Muassis tu. Best la baca tulisan-tulisan nta. Basah!”

Allah. 

Aidil menelan air liurnya. Hatinya berdegup.

Ujian hati tahap apakah ni? Getus Aidil sendiri. 

“Ish mana ada Mar. Biasa-biasa je lah. Ana cincai je tulis tu. Bila ada idea, ana tulis lah. Bila kemarau, sebulan dua jugaklah ana menyepi. Haha!”

Aidil cuba main taici.

“Uihhh kalau macam tu pun dah kira cincai, macam mana lah agaknya kalau nta serius menulis. Kalah Inche gabbana ni!”

Erk. Pulak dah.

“Kenapa Mar? Kenapa nta tiba-tiba timbulkan benda ni?”

Aidil cuba untuk menjadi the last airbender pulak. Harapnya kali ni strateginya menjadi. Dia memang susah hati setiap kali kena puji!

“Entahlah Dil. Ana rasa ana takde contribution sangatlah kat dakwah ni. Ana jeles gila dengan orang macam nta, yang pandai menulis, yang dapat menterjemahkan fikrah-fikrah dakwi dan tarbawi ke dalam bentuk yang lebih mudah difahami. Ana nak je menulis, tapi lepas sepatah dua, mesti blur, dah tak tau nak tulis apa. Kalau berjaya pun tulis satu perenggan, mesti bosan gila. Takde seni. Tak basah!”

Aidil tersenyum. Biasalah Aidil, mesti akan tersenyum sebelum dia nak beri buah balas dia. Eheh. 

“Mar, siapa cakap untuk menyumbang dalam dakwah, dia kena pandai menulis? Nta tahu tak, sepanjang sejarah dakwah, begitu banyak tokoh-tokoh dakwah yang hebat, wara’ lagi istiqamah, yang tidak pernah menghasilkan walau satu warkah penulisan? Tetapi mereka begitu dikenali kerana sentuhan dakwah mereka begitu mengesani!” 

Muammar mengerutkan dahinya.

“Sapa contohnya?”

Aidil tersengih sehingga menampakkan giginya.

“Rasulullah SAW. Bukankah baginda itu ummiyy, tidak pandai membaca dan menulis? Tapi lihat sahaja kesan dakwahnya sehingga ke hari ini; bilionan manusia mengaku dirinya menyembah Allah yang Esa!”

Membundar mata Muammar. Sumpah dia langsung tidak menyangka sosok itu yang akan disebut Aidil!

“Mar, cantiknya Islam ni, kita diajar bahawa Allah tidak pernah dan tidak akan melihat pada hasil dakwah kita, tetapi setiap niat dan usaha yang kita curahkan untuk dakwah ini, itulah yang akan dinilai oleh-Nya.

Kalau nta pandai memasak untuk tarik hati mad’u, maka itu boleh jadi sumbangan nta untuk dakwah. Kalau nta cekap memandu, tahu jalan-jalan belakang siap boleh drift lagi, agar ikhwah semua tak lambat gi daurah haha, maka itulah sumbangan nta. Kalau nta pandai bisnes untuk cari dana untuk dakwah, by all means, silakan kerana itu boleh jadi sumbangan besar nta untuk dakwah!

Pendek kata, ada banyak cara untuk menyumbang pada dakwah. Ada banyak pintu untuk masuk sorga! Hehe. Yang penting, kena dan faham dan ikhlas lah kenapa kita buat semua tu. Dan boleh jadi, sumbangan nta dalam bentuk yang tak dikenali dan orang tak perasan tu, nilainya lebih besar di sisi Allah berbanding tulisan-tulisan ana tu. 

Rasulullah pernah meninggalkan pesanan yang cukup deep Mar. Sabda baginda, 'Janganlah kamu memandang remeh apa-apa amalan yang baik walaupun dengan hanya menunjukkan muka yang manis semasa menemui saudaramu.'

There. I’m done.”

Ada butiran kaca pada mata Muammar. Sungguh dia terharu.

“Jom Dil, ana belanja nta teh tarik.”

“Aik?”

“Kalaulah dengan hanya bermuka manis pon dah dikira sebagai satu kebaikan, apatah lagi belanja air manis untuk ikhwah uhibbuka fillah abadan abadaa kan?”

Berderai tawa Aidil dan Muammar. Adoi memang sweet la depa berdua ni. Eh.

-gabbana-

6 February 2018

Hilangnya Kebahagiaan Membaca al-Quran!



“Dil, kenapa sekarang aku tak rasa apa-apa ek bila aku baca dan tadabbur al-Quran? Rasa kering je. Tadabbur sebab rasa terpaksa, taknak rasa bersalah. Adeh.”

Halim menguis-nguis kakinya di tanah. Nampak sangat kepala tengah berserabut.

“Maksud kau?”

Biasalah, soalan standard dari Aidil. Takkan nak terus jawab kan? Jadi pendek la post ni nanti. Eh.

“Ye lah. Baca Quran sekadar baca Quran. Tadabbur sekadar tadabbur. Tak lebih dari tu. Dia tak macam awal-awal aku kenal tarbiyah dulu. Masa tu baca, zupp zuppp masuk terus dalam hati. Basah je rasa!”

Sudah semacam ada satu corak pada tanah yang dikuis Halim. Corak yang sama serabut dengan kepalanya. 

“Hmm aku cakap ni kau jangan marah eh Lim. Kalau aku salah, aku minta maaf awal-awal ni.”

Halim mengangkat keningnya. Dia kenal benar dengan Aidil. Jarang Aidil tersilap tentang dirinya. Selalunya tegurannya betul. Dan pedih.

“Ok, shoot. Aku dah ready.”

Halim menelan air liur, bersedia dengan tembakan yang bakal dilepaskan Aidil. Aidil hanya tertawa kecil dengan gelagat Halim.

“Boleh jadi… Boleh jadi bila kau baca Quran, kau membaca untuk cari apa yang nafsu kau MAHU, dan bukannya apa yang Allah MAHU.”

“Maksud kau?”

Halim pantas memotong. Tidak puas hati agaknya.

“Kau baca Quran untuk cari sesuatu yang spesifik untuk kepentingan diri kau. Contoh, kau nak cari dalil untuk menghukum orang yang mengumpat. Kau pun buka Quran, baca baca baca, tadaaa kau pun jumpa! Atau kau marah sebab kau rasa kau kena fitnah. Kau bukan carilah dalil dalam surah al-Baqarah, pap, jumpa dalil tu!”

Dahi Halim berkerut.

“Err salah ke aku buat macam tu?”

Aidil tersenyum.

“Tak salah Lim. Tapi hilanglah keseronokan dan kebahagiaan membaca al-Quran tu. Kau tak dapat lagi nak memaknai al-Quran itu sepertimana ketika ia diturunkan kepada para sahabat dulu.

Kau baca al-Quran untuk menegur, bukan ditegur.
Kau baca al-Quran untuk menyentap, bukan disentap.
Kau baca al-Quran untuk memfire, bukan difire!”

Ok memang pedas. 

“So bila kau tak jumpa apa yang kau cari, kau akan kecewa. Kau akan rasa al-Quran tu tak basah. Kau rasa tadabbur kau kering. Kau tak lagi merasakan yang al-Quran tu sedang berbicara dengan kau.”

Aduh pediiihh!

“Ok ok I get your point. Apa yang boleh aku buat skang ni? Apa yang patut aku buat untuk mengembalikan kebahagiaan membaca al-Quran?”

Aidil tersenyum lagi.

"اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ"

“Hah?”

“Bacalah dengan nama Tuhanmu! Bacalah al-Quran itu dengan penuh ikhlas dan keinsafan, mengharapkan petunjuk dan bimbingan dari-Nya!

الم *  تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْحَكِيمِ * هُدًى وَرَحْمَةً لِّلْمُحْسِنِينَ

Dan ‘Inilah al-Quran yang mengandungi hikmah, sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang berbuat kebaikan!’

Selagi mana kita berada di atas jalan kebaikan dan sentiasa mengharap keredhan-Nya, selagi itulah al-Quran akan menjadi sumber kebahagiaan kita!”

-gabbana-

3 January 2017

Siapa Itu Ulama'?

[Kredit]

Sejak kebelakangan ini, terma 'ulama'' begitu hangat diperkatakan. Pemergian Tuan Guru Haji Hadi ke Iran menghadiri sebuah persidangan telah menyemarakkan lagi perbahasan dan perdebatan tentang terma ulama'.

(Oh maaf, saya tidak bercadang untuk berbincang tentang niat dan tujuan TGHH ke sana kerana itu bukan tujuan artikel ini ditulis. Titik.)

Sebenarnya, sejak dahulu terma atau status ulama' seringkali diperdebatkan. Di satu pihak kita melihat satu golongan yang membabi-buta mencela, mencaci dan merendah-rendahkan ulama'. Di satu pihak yang lain, ada pula golongan yang terlalu taasub dan ekstrem dalam mempertahankan ulama'.  

Tidak hairan, masyarakat awam lah yang seringkali menjadi mangsa, terkebil-kebil dan terkedip-kedip mata tidak bersalah, tersepit di antara dua golongan ini. Jika bersetuju dengan golongan pertama, pasti mereka akan dituduh sebagai liberal dan munafiq haraki. Dan andai mereka menyokong golongan kedua, mereka akan dilabel sebagai Taliban dan ostad kampung pula. Alih-alih, mereka ini hanya mampu untuk berhuhu sahajalah! 

Geleng kepala. 

Maka saya ingin mengajak diri saya dan anda semua untuk kita mengambil jalan tengah di dalam isu ini; itulah memahami siapa itu ulama' dalam konteksnya yan sebenar dan tidak terpengaruh dengan apa jua jenis pandangan berbentuk persepsi, dzanni (sangkaan) apatah lagi provokasi. Di dalam dunia teknologi yang serba moden ini, sepatutnya tidak sukar untuk kita mendapatkan maklumat yang sahih lagi tepat. Malangnya masih ramai dalam kalangan kita yang lebih gemar untuk terus mempercayai dan meyakini fakta-fakta (atau auta-auta) yang belum terbukti benar. 

Lebih menyedihkan lagi, sebahagian masyarakat hari ini sepertinya sudah didoktrin bahawa mereka tidak dibenarkan untuk berbicara tentang isu agama. Mereka hanya perlu bersetuju dan menganggukkan kepala apabila ostad atau ostajah mengajar mereka. Mereka yang digelar ulama' itu suci dan tiada dosa. Apa yang keluar dari mulut mereka dianggap sebagai fatwa yang tidak boleh disanggah dan digugah. Mempersoalkan kata-kata atau pendapat mereka dikatakan sebagai derhaka dan tidak hormat pada institusi ulama'.

Alahai.

Arakian muncullah kisah-kisah pelik lagi ajaib yang berputar di sekitar tuan guru atau syaikh tertentu. Keluarlah segelintir manusia yang taasub dalam mengkuduskan tok guru dan muallim mereka. Kumpulan-kumpulan Waksep penuh dengan mesej-mesej yang dikehadapankan (Baca: Forwarded) tentang amalan-amalan atau hadith-hadith yang tidak diketahui mana asal dan sumbernya, hanya kerana ia diucapkan atau disyorkan oleh ostad atau ostajah tertentu.

Sungguh ironi, di abad ke duapuluhsatu ini, di zaman yang semakin canggih dengan entah bermacam jenis teknologi, masyarakat kita semakin terkebelakang dan jumud dalam pemikiran mereka. Dalam isu agama, kita disuruh untuk bertaklid semata dan jangan banyak bertanya. Walhal Islam itu adalah agama yang revolusionis (ketika ia mula-mula turun di jazirah Arab) dan dinamik; sentiasa mengajak para pengikutnya untuk berfikir dan menjadi rasional. Jika tidak, masakan Islam mampu tersebar dengan begitu luas dalam masa yang begitu sekejap dan ketamadunannya hampir sahaja menguasai seluruh pelusuk bumi

Maka penulisan yang marhaen ini diharap dapat membuka mata dan minda kita untuk berfikir dan bertaklid buta. Memandangkan ulama' mempunyai status yang amat tinggi dalam masyarakat Melayu Muslim di sini, yang seringkali menjadi rujukan dalam banyak hal, ada baiknya untuk kita mengenali siapakah yang disebut sebagai ulama' ini. 

Sebelum itu saya ingin memberikan diskelemer bahawa tulisan ini sama sekali tidak bertujuan untuk menghina atau merendah-rendahkan golongan ulama'. Jauh sekali. Status ulama' sebagai pewaris Nabi adalah status yang cukup mulia dan wajib dihormati. Namun persoalan yang ingin saya ketengahkan di dalam penulisan ini adalah ulama' yang bagaimana yang dikatakan sebagai pewaris Nabi itu? Siapakah yang berhak dan layak digelar sebagai ulama'? Adakah ulama' ini mesti di dalam bidang agama sahaja atau bagaimana? 

Jeng jeng jeng.

Baiklah, persoalan pertama. Adakah ulama' itu suci; bebas dari melakukan kesilapan dan kita tidak boleh khilaf dengan pendapat mereka?  

Imam as-Syahid Hasan al-Banna di dalam risalaah taalimnya yang fenomenal itu, menyebut di dalam Usul Enam betapa:

"Kata-kata manusia boleh diterima atau ditolak kecuali kata-kata al-maksum (Rasulullah) SAW. Segala yang datang daripada salafussoleh (ridhwanu 'alaihim) jika bertepatan dengan kitab dan sunnah hendaklah diterima. Jika tidak, kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya lebih utama untuk diikuti. Walau bagaimanapon, kita sesekali tidak akan mengecam atau memburukkan seseorang daripada mereka kerana perbezaan pandangan mereka. Kita serahkan kepada niat mereka. Mereka telah pon menyampaikan apa yang mereka kemukakan."


Imam as-Shafi'e rahimahullah dengan lejennya pernah mengungkapkan:

"Apabila kamu dapati di dalam kitabku kata-kata yang bercanggah dengan sunnah Rasulullah SAW, maka terimalah sunnah Rasulullah SAW dan tinggalkanlah kata-kataku itu."

Inilah sikap yang perlu kita amalkan dalam menyantuni para ulama'. Jika fatwa atau kata-kata para ulama' silam yang sudah tentunya lebih pawer dan hebat itu boleh sahaja ditolak (dengan sebab yang kukuh), apatah lagi para ulama' moden pada hari ini.  

Ya, ulama' itu juga manusia biasa, tidak pernah sunyi dari melakukan silap dan dosa. Janganlah kita terlalu taasub dalam menanggapi kata-kata mereka sehinggakan menjadikan ia ibarat wahyu dari langit yang wajib ditaati dalam apa jua keadaan tidak kira masa dan ketika. Janganlah kita terlalu memuji dan memuja mereka sehingga andai mereka berbuat silap dan salah sekalipon, kita bukan setakat menutup sebelah malah kedua-dua belah mata.

Namun al-Banna telah menggariskan sesuatu yang amat penting di dalam usul yang keenam seperti di atas; itulah kita tetap menghormati para ulama' ini meskipon kita berbeza pendapat dengan mereka. Kita sama sekali tidak akan menghina, mengecam dan merendah-rendahkan mereka ini. Itulah sikap dan dan akhlak yang perlu kita imani.    

Hari ini kita melihat, para ostad dan ostajah di madrasah netizen tanpa segan-silu memburuk-burukan ulama' itu dan menjatuhkan ulama' ini. Hanya kerana perbezaan pendapat yang sedikit di dalam sesetengah isu, terus diserang ostad itu bertubi-tubi dari pelbagai arah. Hanya kerana khilaf dalam pandangan tentang sesuatu hukum atau hadith, terus dikatakan syaikh itu sebagai sudah tua nyanyuk tidak sedarkan diri. Eh. 

Sikap seperti inilah yang amat perlu untuk kita jauhkan. Akhlak sebegitu rupa tidak akan menguntungkan sesiapa melainkan musuh-musuh Islam yang bertepuk-tangan gembira melihat kita saling menikam dan menjatuhkan. Tidak salah untuk kita menegur atau menasihati para 'alim ulama' ini andai kita punya perbezaan pendapat dengan mereka; tetapi tegurlah dengan adab dan nasihatilah mereka dengan kasih-sayang. 

Kita serahkan pada Allah untuk mengganjari dan membalas segala tindakan atau ucapan mereka kerana sungguh, hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang tersirat di dalam sanubari mereka.

Persoalan kedua; adakah yang bernama ulama' itu sudah tentunya soleh dan musleh (baik dan membaikkan)? 

Begini. Dari segi bahasanya, ulama' adalah kata jamak bagi orang yang 'alim, yakni orang yang berpengetahuan di dalam sesuatu bidang. 

Di dalam al-Quran, Allah SWT telah mengkisahkan beberapa kali tentang segolongan ulama' dari bangsa Yahudi yang curang dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki mereka.

Di dalam surah al-Maidah contohnya, Allah berfirman:
"Mengapa para ulama' dan pendeta mereka (orang Yahudi) tidak melarang mereka mengucapkan perkataan bohong dan memakan yang haram? Sungguh, sangat buruk apa yang mereka perbuat."
 [al-Maidah, 5:63] 

Ayat ini menceritakan bagaimana sikap ulama' Yahudi yang mengambil pendekatan untuk berdiam diri dan melihat sahaja kebejatan yang berlaku dalam kalangan orang Yahudi, sedangkan mereka adalah golongan yang paling berpengetahuan dan arif tentang syariat Tuhan ketika itu.

Begitu juga dengan ayat 196 dan 197 surah as-Syu'ara:

"Dan sungguh (al-Quran) itu (disebut) di dalam kitab-kitab orang terdahulu. Apakah tidak (cukup) menjadi bukti bagi mereka, bahawa para ulama' Bani Israil mengetahuinya?"
[as-Syu'ara, 26:196-197]

Dalam ayat ini pula, Allah mengecam para ulama' Yahudi yang menyembunyikan kebenaran tentang al-Quran daripada kaum mereka sendiri.   

Ayat-ayat surah al-Maidah dan surah as-Syua'ara memberitahu kita bahawa di dalam sesebuah bangsa atau masyarakat, wujud segelintir ulama' yang tidak amanah dengan ilmu yang mereka miliki. Sama ada mereka ini menyembunyikan kebenaran yang sebenar atau mereka tidak mencegah kemungkaran. Malah lebih teruk lagi, mereka turut sama-sama melakukan kemaksiatan dan kecurangan!

Hari ini kita melihat perkara yang sama berlaku di dalam masyarakat kita. Ada segelintir ulama' yang hanya mendiamkan diri apabila melihat kemungkaran berlaku dengan dahsyatnya di hadapan mata. Apatah lagi apabila kemungkaran tersebut dilakukan oleh para pemimpin atau mereka yang punya jawatan dan status yang tinggi di dalam masyarakat, mereka dilihat seperti boneka yang dikawal oleh tangan-tangan yang ghaib di belakang mereka. Sama ada mereka ditekan dan diugut oleh para pemimpin tersebut atau takut kehilangan jawatan, sikap seperti ini amat merbahaya kerana masyarakat memandang tinggi kepada mereka dan sentiasa menjadikan mereka ini sebagai sumber rujukan utama. 

Ah kita amat merindukan sosok-sosok hebat seperti Imam Ahmad dan Ibn Taimiyyah yang tidak ragu-ragu untuk bangkit menentang pemerintah apabila sudah jelas yang mereka ini melakukan kemungkaran yang wajib diperangi! 

Kita juga tidak sunyi daripada berita-berita jenayah yang melibatkan mereka yang bergelar ostad, mufti atau syaikh ini. Ada yang ditangkap basah, ada yang kantoi memakan rasuah dan ada juga yang didakwa kerana merogol. Baru-baru ini kita digemparkan dengan insiden yang melibatkan sebuah maahad tahfiz yang dimiliki oleh seorang pendakwah terkenal, apabila beberapa orang pelajar di maahad tersebut mendedahkan salah laku seksual yang  berlaku dalam kalangan pelajar di situ. Yang lebih mengejutkan adalah reaksi pendakwah tersebut yang dilihat mahu menyapu segala sampah sarap ke bawah karpet sahaja dan bukannya sama-sama mahu membantu mencari kebenaran.

Tidak kurang juga ostad ostajah di luar sana yang menggunakan platform ceramah dan kuliah mereka untuk menyebarkan fahaman-fahaman yang pelik dan tidak masuk akal. Sama ada menghentam mana-mana kumpulan lain yang tidak sefikrah dengan mereka, atau kisah-kisah ajaib yang layaknya hanya di dalam hikayat-hikayat dongeng penglipur lara, hadith-hadith palsu yang menyesatkan dan entah apa-apa lagi kecurangan pada amanah ilmu yang terletak di bahu mereka ini. Itu belum lagi dihitung jumlah mereka yang mengambil kesempatan berniaga atas nama agama. Aduhai!

Semua ini sama ada sedar atau tidak, telah menimbulkan persepsi yang negatif terhadap institusi ulama' atau asatizah yang mulia itu. Masyarakat hilang kepercayaan terhadap mereka, sehingga sudah ada yang berani memperlekeh institusi ini secara terbuka. Mereka yang berniat jahat pula mengambil peluang ini untuk melaga-lagakan umat Islam dan melemahkan lagi institusi para pewaris Nabi ini

Geleng kepala.

Maka bukan semua yang bergelar ulama' itu sudah terjamin kesolehan dan kemuslehannya apatah lagi jika gelaran ulama' itu diberikan oleh manusia sendiri. Kerana itu masyarakat perlu untuk mempunyai pengetahuan asas siapakah yang dimaksudkan dengan ulama' itu, agar kita tidak tidak terpedaya dengan dakyah-dakyah sesetengah golongan yang mahu menunggang agama dan pada masa yang sama, kita dapat mempertahankan institusi ulama' yang sebenar dari terus dirogol dan dicabul oleh tangan-tangan keji musuh Islam!

Fuh.

Persoalan ketiga dan persoalan terakhir; siapakah dia yang digelar ulama' itu? 

Ironinya, para ulama' sendiri berbeza pendapat siapakah yang dimaksudkan dengan ulama' itu

Ada yang berpendapat, ulama' itu adalah golongan yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan agama; seperti aqidah, tauhid, fiqh, usuluddin, bahasa Arab, syariah dan sebagainya.

Ada pula yang berpendapat, sesiapa sahaja yang menguasai apa-apa jua ilmu (selagi tidak bertentangan dengan syara') dan ilmu itu mendekatkan diri-Nya kepada Allah, dia layak digelar sebagai ulama'. Sesuai dengan firman Allah SWT:

"Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya, hanyalah para ulama'." 
[Faatir, 35:28]

"Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada-Nya dengan sebenar-benarnya adalah para ulama' yang mengenal-Nya," ungkap Imam al-Hafidz Ibn Kathir rahimahullah di dalam tafsirnya. "Kerana, setiap kali bertambah sempurna pengetahuan seseorang tentang Allah yang Maha Agung lagi Maha Mengetahui serta memiliki sifat-sifat - yang sempurna dengan nama-namaNya yang terbaik - semakin sempurna serta lebih lengkap, maka setiap kali itu pula rasa takut itu semakin besar dan semakin banyak."

Sayyid Qutb juga hampir senada dengan Ibn Kathir apabila beliau menukilkan di dalam Fi Zilal al-Qurannya, "Para ahli ilmulah yang memerhati dan memikirkan kitab alam buana yang amat menakjubkan ini. Oleh sebab itu mereka mengenal Allah dengan makrifat yang hakiki. Mereka mengenal Allah dengan kesan-kesan penciptaan-Nya. Mereka memahaminya dengan kesan-kesan kudrat-Nya dan mereka menginsafi hakikat kebesaran-Nya dengan melihat hakikat-hakikat penciptaan-Nya."

Ujarnya lagi, "...kejadian alam yang selaras yang tidak disedari melainkan oleh para ahli ilmu yang mengetahui kitab alam buana ini, dengan ilmu yang menyampaikan kepada Allah dan diinsafi hati. Dengan ilmu inilah, dia bergerak dan melihat tangan kudrat Ilahi yang menciptakan aneka warna, mengadakan bentuk rupa dan penyelarasan yang rapi di alam buana yang indah ini." 

Begitulah.

Nah, saya mungkin tidak boleh memberikan jawapan yang konklusif, siapakah yang dimaksudkan dengan ulama' itu dalam erti katanya yang sebenar. Tapi saya ingin mengajak anda untuk mentadabbur beberapa ayat dari surah Faatir yang memuatkan ayat yang sama yang menyebut siapakah itu ulama'. 

"Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan air dari langit, lalu dengan air itu Kami hasilkan buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. Dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya, dan ada (pula) yang hitam pekat.

Dan demikian (pula) di antara manusia, makhluk bergerak yang bernyawa dan haiwan-haiwan ternak, ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya, hanyalah para ulama'. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Pengampun."
[Faatir, 35:27-28]

Anda tidak rasa menarik dan terujakah bagaimana ayat yang menyebut tentang ulama' itu, datangnya selepas Allah bercerita tentang kebesaran dan kehebatan-Nya dalam menciptakan alam semesta? Ayat tentang ulama' itu disusun selepas fakta-fakta yang kita pada hari ini mengenalinya sebagai ilmu sains? Tidak pula disebut tentang zakat, atau fiqh thaharah, atau muamalah, atau munakahat, tetapi yang disebut adalah ilmu-ilmu yang ketika al-Quran itu diturunkan, belum pon lagi terbukti menerusi kajian sains!



Mana mungkin orang yang berilmu itu tidak merasa apa-apa apabila melihat keindahan alam sebegini rupa? [Kredit]

Mungkin inilah yang menjadi motivasi besar buat umat Islam suatu ketika dahulu untuk mendalami pelbagai cabang ilmu, sehingga nama-nama seperti Ibn Khaldun, Ibn Sina, Ibn Rushd, al-Khawarizmi dan ramai lagi, bukan sahaja faqih dalam bidang agama, tetapi juga ilmu-ilmu 'dunia'! Mereka bukan sahaja ulama' dalam subjek tradisional agama, malah ulama' juga dalam ilmu-ilmu sains dan teknologi. Subhanallah!

Dan mungkin salah faham tentang definisi ulama' yang sebenar itu juga yang menyebabkan tradisi keilmuan Islam yang begitu cemerlang suatu ketika dahulu, kini begitu mundur dan miskin. Kerana masyarakat begitu taasub dan fokus untuk mendalami ilmu-ilmu agama, sehingga terlupa dan cuai dalam menekuni illmu-ilmu yang lainnya. Lihat sahaja 'kegilaan' ibu bapa hari ini yang mahu menghantar anak-anak mereka ke maahad-maahad tahfiz, sekolah-sekolah agama dan sebagainya, sehingga ia menjadi satu industri yang begitu menguntungkan buat segelintir penunggang agama!  

Namun perlu diingatkan sekali lagi, apa sahaja ilmu yang ingin dikuasai, ia perlulah bertepatan dengan kehendak syarak dan bermanfaat untuk ummah. Para ilmuwan perlulah sentiasa bermuhasabah dan mengingatkan dirinya apakah tujuan mereka ingin mendalami dan menuntut sesuatu ilmu itu, agar tidak tergelincir dari landasan kebenaran. 

Mungkin kerana itulah, ayat-ayat selepas ayat keduapuluh lapan surah Faatir itu bercerita tentang peringatan-peringatan yang asas, tapi boleh jadi seringkali dilupakan oleh ramai daripada kita.

"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah (al-Quran) dan melaksanakan solat dan menginfaqkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepadanya dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perdagangan yang tidak rugi.

Agar Allah menyempurnakan pahalanya kepada mereka, dan menambah kurnia-Nya. Sungguh Allah Maha Pengampun, Maha Mensyukuri."
[Faatir, 35:29-30]    

Sungguh, apa sahaja ilmu yang boleh menjadikan kita lebih mengenali Allah, yang menjadikan kita lebih takut kepada-Nya, yang menjadikan kita lebih chenta kepada-Nya, yang menggerakkan kita untuk menjadi sang hamba dan si khalifah yang sebenarnya, itulah ilmu yang perlu kita cari. Dan sesiapa sahaja yang menguasi cabang-cabang ilmu ini, baik seorang Professor Ekonomi di Universiti Malaya, seorang doktor falsafah di dalam bidang botani di Universiti Oxford atau seorang guru pakar matematik tambahan di sebuah sekolah menengah di luar bandar, dia adalah seorang ulama'.

Natijah daripada ilmu yang benar ini pula akan melahirkan seorang 'alim yang mantap akhlaknya. Ulama' yang amanah dengan ilmunya tidak akan mengatakan sesuatu yang dusta, tidak merendah-rendahkan ulama' lain atau sesiapa sahaja tanpa alasan yang benar, tidak memfitnah (buhtan) orang lain, tidak menyebarkan sesuatu yang tidak sahih, tidak mencarut atau mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya diucapkan oleh seorang yang mulia, merendah diri, tidak angkuh dan takabbur, tidak bermewah-mewah dan lain-lain lagi. 

Begitulah.  

Saya ingin akhiri penulisan saya ini dengan sebuah kata-kata yang pernah disebutkan oleh seorang lelaki, seperti yang diriwayatkan oleh Sufyan ats-Sauri dari Abu Hayyan at-Taimi:

"Disebutkan bahawa para ulama' itu ada tiga golongan; orang yang 'alim tentang Allah dan orang yang 'alim tentang perintah-Nya, orang yang 'alim tentang Allah tetapi tidak 'alim tentang perintah-Nya, serta orang yang 'alim tentang perintah Allah akan tetapi tidak 'alim tentang-Nya." 

Moga Allah tunjukkan kita siapakah ulama' yang 'alim tentang Allah dan 'alim pula tentang perintah-perintahNya. Dan saya mendoakan agar anda yang sedang mendalami apa-apa jua bidang ilmu, agar suatu hari nanti anda menjadi si 'alim yang arif tentang Allah dan arif pula tentang perintah-perintahNya. Amiin ya robbal 'alamin! 

-gabbana-

Mustahil untuk berbincang tentang topik yang sebesar ini secara konklusif dan komprehensif di dalam satu penulisan sebegini. Namun saya kira, saya sudah berusaha sebaiknya untuk berkongsikan poin-poin utama yang saya rasakan berbaloi untuk dibincangkan. 

Kerana khuatir penulisan ini mungkin akan disalah anggap dan berpotensi menimbulkan kontroversi, saya telah meminta bantuan seorang al-akh yang juga merupakan seorang graduan dalam bidang agama, untuk membacanya terlebih dahulu dan memberikan komennya.  

Alhamdulillah dia telah memberikan maklum balas yang positif dengan sedikit cadangan penambahbaikan. Senyum. 
       

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP