12 December 2018

Kekurangan Yang Tidak Melemahkan

[Kredit]

Pengorbanan dan perjuangan Musa AS sebagai seorang Nabi dan Rasul dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dipertikaikan.  Mungkin inilah antara sebab mengapa namanya disebut sedemikian banyaknya di dalam al-Quran.

Perjalanan hidup baginda dari kecil sehinggalah dewasa, diceritakan dengan begitu terperinci sekali di dalam al-Quran, melebihi perincian kisah hidup Nabi dan kekasih kita, Rasulullah SAW. 

Menariknya, dalam banyak sisi kehidupan dan keperibadian yang Allah rekodkan tentang sosok bernama Musa itu, aspek kelemahan yang ada pada baginda juga diceritakan dengan begitu telus. 

Salah satunya adalah seperti yang diungkapkan oleh baginda sendiri dalam doanya, yang diabadikan dalam surah Thaha:

"...dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku."
[Thaha, 20:27]

Perkataan 'uqdah' dalam ayat ini membawa erti kesukaran dalam menyampaikan sesuatu maksud. Ada yang menafsirkannya sebagai gagap atau sejenis kecacatan yang membawa kepada kesukaran dalam bercakap. Namun pendapat yang lebih kuat, uqdah ini bermaksud ketidakmampuan dalam menyampaikan sesuatu hasrat atau maksud dengan fasih dan lancar. Atau seperti yang disebut oleh Dr. Hammam Said dalam buku Qawaid Dakwah, tidak balagh. Pandangan ini lebih sesuai dan menepati peribadi dan kemuliaan seorang Rasul bernama Musa.

Namun yang jauh lebih menarik daripada itu ialah bagaimana di sebalik kekurangan yang satu ini, ia tidak melemahkan semangat baginda malah baginda berusaha mencari jalan lain agar dakwahnya tetap sampai! 

"Dia (Musa) berkata, 'Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku agar mereka mengerti perkataanku dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, iaitu Harun saudaraku. Teguhkanlah kekuatanku dengan (adanya) dia dan jadikanlah dia teman dalam urusankau...'"
[Thaha, 20:25-31]

Jelas sekali dari doa yang diungkapkan oleh Nabi Musa AS ini, baginda benar-benar ikhlas mahu agar seruannya sampai kepada sasaran dakwahnya. Ya, baginda menyedari ada kelemahan pada dirinya, tetapi ia tidak menghalangnya daripada melaksanakan tugas syahadatul haknya. Dan fikirkan, sasaran dakwahnya yang utama bukan calang-calang dan sembarangan orang, tetapi Firaun, si maharaja yang amat berkuasa! 

Allah seakan-akannya mahu memberi penekanan tentang hakikat ini; Musa AS ialah nabi yang paling banyak disebut di dalam al-Quran. Seolah-olahnya Allah mahu memberitahu kita,

"Hey tengok sini! Kau tengoklah Musa ni! Dia ada kelemahan dan kekurangan, tapi itu semua bukan alasannya untuk berdakwah! Malah Aku hantarnya untuk berdakwah pada manusia yang paling angkuh dan kejam, Firaun! 

Nah, apa lagi alasan kalian untuk tidak bersungguh-sungguh dalam dakwah hah?!"

Gulp. 

Begitulah pengajaran yang boleh kita ambil dari Nabi Musa AS.

Kelemahan dan kekurangan yang ada pada kita tidak sesekali boleh dijadikan alasan untuk kita culas dan malas dan menyampaikan risalah Allah. Malah dari baginda juga kita belajar, kelemahan yang ada pada diri sewajarnya menjadi motivasi untuk kita mencari alternatif lain agar kita tetap dapat menyumbang pada dakwah ini! 

Dan andai kita masih mencari-cari alasan dan kelemahan pada diri untuk dijadikan hujah agar 'dilepaskan' dari amanah dakwah ini, tunggulah Nabi Musa AS di Mahsyar nanti untuk bertanyakan kepada kita, 

"Aku tidak fasih berkata-kata sedangkan mad'uku ialah Firaun. Apa kekuranganmu dan siapa mad'umu?"

Rabbi salimnaa!

-gabbana-

0 Caci Maki Puji Muji:

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP