Showing posts with label Game Tarbiyyah yang Osem. Show all posts
Showing posts with label Game Tarbiyyah yang Osem. Show all posts

22 February 2012

Super Dai'e, Inkredibel Murabbi dan Otrohamba

It's a bird! It's a plane! No..! It's Super Muslim! ;D [Kredit]

Nama Permainan: Super Dai'e, Inkredibel Murabbi & Otrohamba

Pembangun/Pengeluar: Syarikat Pendidikan Sampai Mati Bersaudara Sendirian Berhad

Tahun Dikeluarkan: Sejak zaman Nabi Adam a.s.

Harga Pasaran: Percuma. Apa..? Tak percayakah..?

Klasifikasi: Sesuai untuk dimainkan oleh semua lapisan umur dan latar belakang, walaupon tidak pernah menyertai bulatan gembira atau konferens riang sebelum ini. Sungguh.

Sinopsis
Permainan ini menonjolkan tiga watak adiwira utama; Super Dai'e, Inkredibel Murabbi dan Otrohamba, yang sedang dalam pengembaraan mencari keredhaan Ilahi. Misi mereka adalah untuk sampai ke destinasi terakhir membawa bekalan pahala dan amalan soleh untuk dihakimi oleh Tuan pemilik mereka.

Sepanjang perjalanan, mereka akan melalui pelbagai mehnah dan halangan, juga bermacam-macam ujian dan tribulasi. Watak-watak jahat, keji lagi kejam seperti Jeneral Syaitonirojim, Bomoh Jahiliyyah dan Raksasa Nafsu akan sentiasa menggangu gugat perjalanan dan pengembaraan mereka ini.

Kadang-kadang, salah satu watak akan lupa diri dek tipu daya Jeneral Syatonirojim dan rakan-rakan. Kadang-kadang salah satu watak akan berasa letih dan lelah dengan perjalanan dan pengembaraan yang sangat panjang. Dan kadang-kadang juga, salah satu watak tertipu dengan fatamorgana yang merentangi perjalanan mereka, merasakan mereka sudah berjaya sampai ke destinasi.

Ketika inilah, watak-watak lain yang akan memainkan peranan mereka untuk memastikan pengembaraan diteruskan. Mereka saling menguatkan ketika ada yang lemah, saling mengingatkan ketika ada yang lupa dan saling menceriakan ketika ada yang berduka. Perjalanan dan pengembaraan mereka sumpah panjang. Berbagai-bagai jenis makhluk mereka temui sepanjang perjalanan dan bermacam jenis pengalaman berguna mereka timba.

Menggunakan kelebihan dan kekuatan masing-masing, mereka pastikan kelebihan mereka itu digunakan dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Super Dai'e mempunyai hikmat untuk mengajak, mempengaruhi dan meyakinkan makhluk-makhluk yang mereka jumpa di sepanjang perjalanan untuk menyokong dan menyertai perjalanan mereka. Inkredibel Murabbi pula berperanan untuk membimbing dan mendidik bukan sahaja makhluk-makhluk tadi, malah sesama mereka dan diri sendiri juga. Manakala Otrohamba mempunyai kelebihan merendah diri tahap moksya dan berperanan untuk sentiasa mengingatkan rakan-rakan yang lain akan matlamat pengembaraan mereka.

Ketiga-tiga mereka berkongsi sifat dan perwatakan yang sama; jelas dan yakin dengan matlamat perjalanan mereka, bersemangat, ikhlas dan telus sepanjang perjalanan dan mereka tidak mudah berputus-asa.

Dek kecekalan dan ketabahan setiap watak, di samping kelebihan yang ada pada diri masing-masing, mereka saling membantu untuk mengharungi setiap kesusahan dan kesengsaraan yang ada. Berkat panduan dan cahaya Ilahi, mereka akhirnya berjaya! 

Cara-cara Bermain

1) Pilih satu watak untuk dimainkan; anda boleh bertukar-tukar watak sepanjang pengembaraan. Ketika anda memilih satu watak, contohnya Inkredibel Murabbi, watak Super Dai'e dan Otrohamba akan dimainkan secara otomatik.

2) Sepanjang pengembaraan, kutip pahala dan ilmu sebanyak mungkin. Ia mungkin datang dalam bentuk duri di tengah jalan, anjing yang kehausan atau seorang kanak-kanak yang amat membutuhkan bulatan gembira. Eh. Ilmu pula boleh diperolehi apabila anda menyertai bulatan gembira, duduk-duduk beriman sejenak atau berjumpa dengan mana-mana tok guru berjanggut putih untuk menyedut ilmu pengetahuannya. Pendek kata, macam-macam ada!

3) Jauhi jahiliyyah dan dosa-dosa yang berlambak-lambak di sepanjang pengembaraan. Jangan tertipu dengan rupa bentuk dan wajah luaran kekejian ini. Ia boleh jadi dalam bentuk wanita cantik, kereta Posye, anak-anak kecil tembam-tembam gebu-gebu, ayam goreng berempah daun kari dan bermacam-macam lagi. Di sini anda akan diuji sama ada boleh membezakan yang mana dosa dan yang mana pahala.

4) Ada beberapa tangga yang perlu anda lepasi. Di setiap tangga, ada ujian dan cabaran yang tersendiri. Ketika ini, anda perlu menggunakan kemahiran dan kelebihan ketiga-tiga watak untuk mengharungi mehnah dan tribulasi dengan jayanya. Semakin tinggi anak-anak tangga yang anda daki, semakin hebat dan mencabar ujiannya. Maka amat penting untuk anda memastikan anda benar-benar mempersiapkan diri anda di anak tangga yang pertama lagi.

5) Markah akan diberikan untuk setiap perbuatan baik dan amalan soleh sepanjang perjalanan. Markah bonus ekstravaganza akan diberikan sekiranya anda berjaya mengajak orang lain pula untuk menyertai anda (Ketika ini peranan Super Dai'e amat penting). 

6) Bekalan untuk menguatkan anda bukan sahaja terdiri daripada makanan dan minuman yang boleh anda perolehi sepanjang perjalanan, tetapi juga dengan bacaan al-Quran, hafazan doa-doa ma'thur, bangun malam untuk bermunajat, zikrullah dan berpuasa sunat.

7) Untuk menjadi juara, tidak semestinya anda perlu melepasi setiap anak tangga. Tidak juga bermakna anda mesti mengalahkan dan menewaskan setiap musuh. Boleh jadi anda gugur dan mati di tengah jalan (Permainan ini tiada konsep hidup semula atau nyawa tambahan, harap maklum), tetapi sekiranya anda mati menjadi saksi kepada kebenaran, Insha-Allah anda akan dinobatkan sebagai pemenang agung permainan ini.

Tips-tips Untuk Bermain Dengan Osem

1) Ikhlas ketika memainkan permainan ini

2) Tidak mudah berputus-asa

3) Redha dengan sebarang ketentuan dan malapetaka

4) Sentiasa berdoa meminta pertolongan

5) Rendah diri, tidak ego dan bersedia belajar daripada kesilapan

Trivia

1) Permainan ini hanya boleh dimainkan sekali sahaja. Jika mati, anda tidak boleh bermain sekali lagi.

2) Sekiranya satu watak lemah, watak-watak lain akan menjadi lemah juga. Jadi amat penting untuk anda memastikan setiap watak sentiasa kekal segar dan bertenaga.

3) Cara untuk menang dengan mudah adalah dengan mati syahid. Aman.

Komen-komen Mereka Yang Sudah Pon Bermain Permainan Ini

"Ini.. Ini.. Ini sumpah osemmmmmm!" - Pak Cik Subari Wigoyono, pemilik warung bakso, Kampung Sungai Tiram.

"Hakak bukan apa, tapi hakak rasalah, permainan ni memang sangat-sangat sesuai untuk dimainkan oleh semua orang! Sungguh! Tak kiralah bos besar ke, penyapu sampah ke, drebar lori ke.. Semua ponn bolehhh!" - Puan Hajjah Zabedah Bunyamin, pengusaha kerepek pisang besar-besaran, Temerloh.

"Perumpamaannya begini.. Anda pernah dengar pasal watak Son Goku Super Saiya itu bukan..? Ya, sekiranya anda mahu menjadi sepertinya, rambut berwarna perang keemas-emasan, boleh terbang di udara dan boleh pula mengeluarkan kamehameha, tidak boleh tidak, anda wajib bermain permainan ini!" - Misuzo Ajinomoto, pemilik kilang serbuk perasa segera, Osaka Utara.

"Xang xing *klik* zhubawe xasha *klik klik* syuhuwa zsxuru uihuxu *klik*... Osheeemmm!!" - Zulu Mandele, ketua puak suku Suxuke, Barat Laut Uganda. 

"Mung maingla! Memang bagus mainang ni! Sungguh! Untuk mat-mat minah-minah rempit, memang digalakkang!" - Ustaz Azhar Idris, penceramah tak berapa nak bebas, Kuala Berang, Terengganu. 

Stok tidak terhad! Bila-bila pon ada bekalan! Cumanya, tak tahu la kan bila ajal nak datang menziarahi anda. Jadi apa yang ada duduk tercokoh tunggu la tu..?? Dapatkannya segera sebelum terlambat!

-gabbana-

"Dan kehidupan di dunia ini hanyalah permainan dan senda gurau. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui. "
[al-Ankabut, 29:64] 

2 November 2011

Sungguh Gigih Lagi Jujur Posmen Itu

[Kredit]

Bayangkan kita punya maklumat yang terlalu super penting untuk disampaikan. Dan sebelum maklumat ini sampai  kepada penerima yang terakhir, maklumat ini terlebih dahulu perlu melalui beberapa orang penerima maklumat yang lain.

Bayangkan sekarang apa perasaan kita seandainya kita mendapat tahu maklumat yang diperolehi oleh penerima terakhir bukanlah mesej yang kita mahu sampaikan; lebih mengerikan lagi maklumat yang diterimanya adalah jauh berbeza dengan maklumat awal yang kita sampaikan!

Bayangkan juga apa akibatnya, apabila tindakan yang diambil adalah berdasarkan maklumat yang salah! Misalnya, arahan sebenar adalah untuk memasak enam ekor burung dan dihidangkan kepada raja, tetapi maklumat akhir yang diterima adalah merebus terung untuk diberi makan kepada Rajagopal a/l Mutusamy! Kita kirim untuk dibelikan bedak sejuk cap Mak Cik Seroja, tapi yang sampai kepada kita adalah badak air dari Afrika! Lebih teruk dan marabahaya seandainya maklumat-maklumat ini melibatkan nyawa, aqidah dan kepentingan-kepentingan sejagat; hakim menjatuhkan hukuman geletek sampai geli hati, tetapi hukuman yang dilaksanakan kepada pesalah adalah geletek sampai mati..! Tak ke haru-biru namanya tu..?

Demikianlah tema utama yang ingin saya ketengahkan dalam Game Syahadatul Haq yang telah saya kongsikan tempohari.

Dalam kita melaksanakan tugas Syahadatul Haq (Baca: Dakwah) kita, nak tak nak, ada dua perkara yang perlu kita betul-betul jaga:

1) Kesungguhan kita dalam menyampaikan mesej yang dilaksanakan, dan

2) Keaslian mesej yang kita sampaikan, yakni tiada unsur tokok-tambah mahupon menambah perencah secukup rasa hey!

Pengajaran yang pertama itu cukup signifikan. Produk yang mahu kita jual kepada masyarakat adalah risalah suci daripada Ilahi; tiada satu apa pon di dunia ini yang boleh menandingi kepentingan dan keutamaannya. Maka suka atau tidak, kita sewajibnya bersungguh-sungguh memastikan bebanan yang kita galas pada bahu kita yang dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Jika tidak? Kita secara terhormatnya tergolong dalam golongan yang paling zalim dan kejam di dunia.

"Siapakah yang lebih zalim daripada mereka yang menyembunyikan kesaksian terhadap Allah..?"
[al-Baqarah, 2:140]

Kita zalim dan kejam kerana ramainya manusia di luar sana yang hidup dalam kegelapan, yang bergelumang dengan kejijikan dan bermain dengan kenodaan. Ketika kita sedang larut dalam ibadah kita, tawajuh dengan uzlah kita dan hanyut dalam zikir-zikir kita, masyarakat di luar sana hidup seolah-olah mereka tidak punya Tuhan, berseronok seolah-olah tiada hari kebangkitan dan bekerja sehari-sehari seolah-seolah tiada malaikat kematian.

Ketahuilah, mereka ini punya sejuta satu alasan untuk mendakwa kita di hari pembalasan nanti. Sekiranya mereka dicampakkan ke dalam api neraka kelak, mereka akan pastikan kita turut ditarik sama masuk bersama mereka. Ha, dahulu kau di dunia seronok kan menjadi baik sorang-sorang, sekarang ni kau teman aku kat dalam api yang maha panas tu, sebab aku tak nak terseksa sorang-sorang..! Nau'dzubillah.. Air mata menitik gemuk.

Kerana itu kita wajib melaksanakan tugas menyebarkan risalah Allah dan menegakkan deenNya di muka bumi ini dengan sebaik-baiknya. Sehingga tiada lagi fitnah terhadap risalah yang mulia ini. Sehingga tiada lagi alasan untuk mereka yang menolak risalah ini, mendakwa kita di akhirat nanti. 

"Dan berjihadlah kamu di jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu dan (begitu pula) dalam (Al-Qur'an) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia.."
[al-Hajj, 22:78]

Pengajaran yang kedua itu juga tidak kurang signifikannya. Ramai di antara kita yang alhamdulillah, sudah mahu seriyes dalam berdakwah, sudah mula faham tanggungjawab dan keutamaan untuk melaksanakan tugas Syahadatul Haq ini. Tetapi sedihnya, di dalam kerakusan dan semangat berkobar-kobar dalam mahu berdakwah, ramai antara kita yang gagal menjaga keaslian mesej dakwah itu. 

Tidak kurang juga yang cukup berani menokok-nambah dalam mesej dakwah yang dibawakan. Di sini, bukanlah isu bida'ah yang mahu saya tekankan, tetapi lebih kepada cara dan kaedah dalam menyampaikan dakwah itu sendiri.

Berapa ramai antara kita yang kononnya bergelar du'at ini cukup gemar menjatuh-jatuhkan dan menghina pergerakan-pergerakan dakwah dan Islam yang lain, seolah-olah kita ini sebahagian daripada Kelab Malaikat Sempurna, bersih dan maksum daripada khilaf dan kelemahan yang ada.

Tidak kurang daripada kita yang sibuk mahu mengajak manusia kepada jemaah atau individu-individu tertentu semata-mata, walhal dakwah dan seruan ini adalah mengajak seluruh manusia dan seisinya menyembah Allah semata, dan tiada ghayah atau tujuan yang lain selain daripada itu! Sampaikan kepada Islam itu yang pertama, dakwah kedua dan baharulah jemaah yang ketiga!

Kita sahajalah yang betul, orang lain semuanya salah. Kita sahajalah yang hebat dan kuat, orang lain semuanya lemah dan jahil. Kita sahajalah yang buat dakwah di muka bumi ini, orang lain semuanya membuang masa sahaja...!

Astaghfirullah.. 

Bukankah itu tokok-tambah namanya? Bukankah itu mencemari dan mencabuli keaslian dakwah namanya? Ingat! Kita semua adalah saksi kepada sekalian manusia dan siapakah yang akan menjadi saksi kepada kita..? Sudah tentunya Rasulullah SAW, pembawa obor deen ini yang mula-mula sekali. Maka bersedialah untuk didakwa oleh baginda kelak, sekiranya kita pandai-pandai mahu menokok-nambah dan mencemarkan keaslian dakwah baginda!

"Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu..."
[al-Baqarah, 2:143]

Dakwah ini tidak jauh beza konsepnya dengan perniagaan Multi-Level Marketing itu. Kita mahu meramaikan garisan bawah (baca: Downline) kita, maka kita sesungguh-sungguhnya berjuang, berjihad pergi mencari 'mangsa-mangsa' baru. Kita sanggup bersengkang-mata hanya kerana mahu berjumpa dengan bakal garisan bawah yang berpotensi di kedai-kedai mamak. Kita sanggup berbelanja besar semata-mata mahu menawan hati mereka, membelanja mereka makan cendol pulut sekerim Pak Mad yang sungguh mahsyur lagi terkenal itu. Kita juga sanggup mengembara, berjalan jauh hanya kerana mahu memastikan garisan bawah kita faham dan hadam dengan konsep perniagaan yang kita perjuangkan.

Dan kita lakukan semua itu hanya kerana mengharapkan bonus lumayan yang menanti kita. Kita tahu dan faham, seandainya kita bekerja dengan gigih lagi bersungguh, kereta Nissan Fairlady yang sungguh seksi itu akan menjadi milik kita tidak lama lagi. Kita tidak sabar untuk membina banglo empat setengah tingkat, lengkap dengan kolam renang bersaiz Komanwel dan jakuzi serta bibik Myanmar empat lima orang ramainya, dan oleh sebab itu kita bekerja keras.

Nah, apa bezanya dengan dakwah dan tarbiyyah yang kita perjuangkan ini..? Kita juga mahu meramaikan kader-kader dakwah ini. Kita juga mahu pastikan bakal pemegang panji-panji Islam ini benar-benar faham dengan risalah yang bakal mereka bawa. Dan yang lebih mahsyuk lagi, yang menanti kita bukanlah bonus besar berkepuk-kepuk, bukan juga kereta mewah mahupon mahligai indah di atas bukit menghadap laut dan matahari yang terbenam, tetapi sorga kekal abadi yang tiada apa pon di dunia ini mampu menandinginya.

Bezanya cuma satu; dengan MLM (atau apa-apa urusan dunia yang seangkatan dengannya) kita bebar-benar menjual jiwa-dan raga kita hanya kerana bonus bulanan yang tidaklah banyak mana itu. Sanggup kita tinggal anak isteri hanya kerana mahu pergi berkursus, mahu memantapkan gaya penyampaian supaya orang lebih yakin kononnya. Sanggup kita gadaikan masa, emosi dan tenaga kita untuk memperluas empayar jajahan kita...

Tetapi dengan dakwah dan tarbiyyah...? Tunduk malu, berlari laju sambil tersedu-sedu.

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): "Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya". Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu.
[ali-Imran, 3:187]

Isi-isi kitab yang agung sudah pon berada di dalam genggaman anda. Kini hanya tinggal untuk anda menyebar-luaskannya dan berkongsikan kehebatan ayat-ayat chenta Allah ini dengan sekalian manusia. Jangan jadi seperti orang-orang Yahudi, yang suatu ketika pernah dimuliakan Allah dengan risalah ini tetapi mereka membelakangkannya hanya semata janji-janji manis dunia yang sedikit cuma.

Buatlah apa cara sekalipon untuk memastikan risalah agung ini tertegak di muka bumi ini! Namun pada masa yang sama, laksanakanlah amanah ini sepertimana yang telah ditunjukkan oleh ar-Rasul SAW dan para sahabat yang mulia. Barulah dakwah dan tarbiyyah yang kita lakukan itu benar-benar osem. Sumpah..!

Jadilah seorang posmen dakwah yang jujur, telus dan sungguh bergaya! 

-gabbana-

Atas permintaan ramai, sini saya kongsikan hasil-hasil lukisan para peserta konferens riang Saya Hosem pada wiken lepas. Sekali lagi saya nasihatkan, kalau rasa mahu pecah perut atau ginjal anda, pastikan ada paramedik yang sudah siap bersedia. Suka untuk saya memberi amaran, pastikan anda tidak berada di tempat-tempat awam terutamanya opis atau bersama ibu yang sedang sarat mengandung ketika melihat gambar-gambar di bawah ini. Sebarang lebam di muka atau tulang belikat yang remuk atau patah-riuk, saya akan lari laju-laju menyelamatkan diri terlebih dahulu. Wahahaha..

Baiklah, sila tatapi dengan penuh keikhlasan lagi semangat keterujaan yang penuh di dada! Hihihi..

Ini adalah hasil lukisan kumpulan yang paling hampir tepat dengan kisah sebenar (boleh rujuk post yang lalu). Yang silapnya hanyalah burung Rajawali dan si tupai yang tampaknya seperti menjual mahal. Hoh.

Ini pula lukisan kumpulan kedua yang paling hampir tepat. Mereka berjaya menggambarkan kura-kura di sungai sebagai kura-kura yang tua. Juga saya sangat suka dengan senyuman mak cik nasi lemak itu. Sungguh manis! Hehe.. Cuma silapnya, si tupai telah bertukar menjadi kera! Wahahaha..


Ketika ini saya sudah mula menggaru kepala yang bebas ketombe itu, juga menggaru perut yang hampir pecah. Lihatlah bagaimana sungguh magika makcik itu boleh bermain bola di atas pokok, sambil diperhatikan oleh burung Rajawali (yang lebih hampir kepada burung belatuk). Peluh. Nasi lemak juga entah ke mana.
Dan pemenangnya...! Pahlawan Melayu ber-sup tulang dan mak cik nasi lemak merokok di atas pokok..! (Tak tahu nak gelak besar atau menangis laju..)

Semoga anda terhibur di petang Rabu ini! Jangan tergelak sorang-sorang macam orang kurang siuman sudahlah! Wahahaha..

31 October 2011

Kadangkala Tarbiyyah Boleh Datang Dalam Bentuk Game Juga #3

[Kredit]

Dah lama saya tak tulis pasal permainan riang gembira yang boleh memberi faedah besar kepada kesihatan dan kesejahteraan tubuh badan tarbiyyah diri kan..? 

Baiklah. Izinkan untuk saya berkongsikan satu lagi permainan yang saya jamin boleh meningkatkan tahap adrenalin dan meningkatkan kecekapan dan merungkaikan neuron-neuron otak anda yang sudah berserabut itu. Wahahaha.. Permainan ini amat sesuai dimainkan di dalam konferens riang Saya Hosem (SH) kerana pengajaran dan nilai-nilai moral yang terkandung di dalamnya. Tetapi sesuai juga dimainkan di dalam bulatan gembira anda; jangan risau, saya tidak akan menyaman anda kerana tidak memainkannya dalam format konferens riang! Gelak keji sedikit.

Begini. Untuk memainkan permainan ini dengan berkesan, jumlah pemain yang disarankan adalah lebih daripada lima orang dan tidak melebihi sepuluh orang. Maknanya, kalau permainan ini dimainkan di konferens riang, pecahkan para peserta mengikut kumpulan dalam kira-kira tujuh atau lapan orang bagi setiap kumpulan. 

Untuk bermain permainan ini, setiap kumpulan hanya memerlukan sehelai kertas dan sebatang pen. Kalau anda rajin dan pemurah, boleh juga bekalkan satu set pensel krayon untuk setiap kumpulan. Tidak perlulah cat minyak dan kanvas kulit antelop yang mahal itu. Wahaha.. Err, ok syok sendiri pula.

Beri arahan supaya para peserta duduk di dalam kumpulan masing-masing di dalam satu barisan yang memanjang ke belakang. Beritahu pada mereka, insan bertuah yang duduk di belakang sekali jika boleh hendaklah seseorang yang pandai melukis. Panggil makhluk yang duduk di depan sekali untuk datang ke hadapan. 

Ha, sekarang ni adalah bahagian yang paling penting dan cukup mengujakan. Kumpul mereka ini (yang duduk paling hadapan tadi) dan bawa mereka ke suatu sudut yang agak jauh daripada ahli-ahli kumpulan yang lain. Reka satu cerita yang boleh tahan kompleksnya dan ceritakan kepada mereka ini.

Boleh jadi ceritanya berbunyi begini:

"Seorang lelaki bermisai tebal yang mencecah telinga, sedang berjalan-jalan di tebing sungai. Tidak jauh daripada lelaki itu, seekor tenggiling sedang bermain kejar-kejar dengan seekor kijang. Tiba-tiba air berkocak dan keluar seekor beruang polar yang sedang menggigit seekor udang galah. Seorang mak cik yang berbaju kurung yang juga menyaksikan perisitwa itu begitu terkejut sehingga dia menjerit 'Opocot mak kau!'"

Atau..

"Di sebuah kota metropolitan yang canggih lagi moden, kelihatan seekor raksasa gorgon sedang dalam perjalanan untuk menghapuskan kota tersebut. Seeorang kanak-kanak yang terserempak dengan raksasa itu, menangis ketakutan sehinggakan lolipop yang dimakannya jatuh ke tanah lantas dikerumuni semut. Seorang hakak yang memakai tudung labuh yang baru habis membeli-belah pula terus pengsan apabila ternampak raksasa itu. Dari jauh kelihatan Otromen sedang terbang menuju ke arah raksasa itu. Sekumpulan tok-tok aji yang sedang bermain dam haji bertepuk-tangan gembira sambil mengucapkan 'Alhamdulillah!' apabila melihat kedatangan Otromen itu."

Boleh juga..

"Seorang pahlawan zaman Melayu Melaka yang tersisip kemas keris di tepi pinggangnya dan juga memakai songket sedang menunggang seekor harimau di dalam sebuah hutan yang penuh dengan flora dan fauna. Sebuah sungai mengalir tidak jauh dari situ dan kelihatan seekor kura-kura tua di dalamnya. Sebuah pokok tersergam dan di atasnya seekor burung rajawali sedang berbual mesra dengan seekor tupai. Kelihatan juga seeorang mak cik yang sedang menjual nasi lemak sambal ikan bilis dengan harga lima pulosen sebungkus di situ."

Terpulanglah pada kreativiti kepala hotak anda, asalkan ceritanya kompleks dan cukup berwarna-warni. Pastikan anda bercerita dengan jelas dan sekali lalu sahaja. Selesai bercerita, peserta yang sudah mendengar cerita daripada anda itu, hendaklah memanggil peserta di belakangnya tadi ke hadapan dan menceritakan semula kepada rakannya itu apa yang didengari dan difahaminya. Pastikan peserta yang ketiga tidak dapat mendengar apa yang peserta pertama ceritakan kepada peserta kedua.

Pastikan cerita atau mesej disampaikan pada peserta yang seterusnya, tanpa didengari oleh peserta yang lain! [Kredit]

Teruskan permainan sehinggalah peserta terakhir dipanggil ke hadapan. Seusai dia mendengar cerita daripada peserta kedua yang terakhir, dia hendaklah segera melukiskan suasana atau situasi yang didengarinya itu, tanpa bantuan daripada ahli-ahli kumpulannya.

Saya kira kini anda sudah boleh mengagak bukan permainan apakah ini sebenarnya? Ya, ada orang memanggilnya sebagai Bisikan Cina (Baca: Chinese Whisper). Ada juga yang menamakannya Telefon Rosak. Saya..? Saya gelar permainan ini sebagai 'Game Syahadatul Haq.' Baru kool.

Pada konferens riang hujung minggu yang lepas, buat pertama kalinya saya telah bermain permainan ini bersama hadek-hadek yang mendengar pengisian Saya Hosem. Dan saya telah mereka-reka cerita seperti contoh yang ketiga di atas ondedot ketika itu juga. Pada mulanya niatnya hanya untuk menghilangkan rasa bosan maksima dan mengantuk tahap beruang koala. Tetapi terus saya mendapat ilham permainan ini punya ibrah dan pengajaran yang cukup besar untuk diaplikasikan kepada pengisian Saya Hosem itu. Sumpah osem.

Namun begitu, saya ada amaran tiga perempat keras untuk anda. Permainan ini mempunyai potensi yang cukup besar untuk memecahkan perut atau usus besar anda. Sumpah. Saya sendiri entah berapa gelen air mata yang dirembeskan akibat tidak tertahan melihat hasil akhir permainan ini. 

Mari saya kongsikan lukisan-lukisan bertaraf Picasso yang telah dihasilkan oleh hadek-hadek ini. (Maaf, anda terpaksa bayangkan di dalam kepala sahaja. Tidak berkesempatan untuk skan hasil lukisan mereka.)

Daripada empat kumpulan yang ada, hanya satu sahaja yang hampir-hampir tepat menghasilkan lukisan yang menggambarkan situasi sebenar. Hampir sempurna, kecuali mereka gagal menggambarkan kura-kura di dalam sungai adalah kura-kura yang sudah lanjut usianya. Kumpulan kedua yang paling tepat, hampir semua watak dan situasi berjaya digambarkan dengan tepat, malah nasi lemaknya siap dengan harga dan sambal ikan bilis di sebelah. Memang terbaik, kecuali satu; burung rajawali berbual mesra dengan kera dan bukannya tupai. Peluh kecil.

Tiada kedudukan ketiga atau keempat kerana, err, kedua-dua kumpulan yang selebihnya menghasilkan lukisan yang cukup 'sesat' lagi menyesatkan. Hohoho.. Satu kumpulan melukis mak cik sedang berbual mesra dengan burung rajawali di atas pokok. Tiada sebarang nasi lemak kelihatan. Kura-kura juga hilang entah ke mana. 

Kumpulan satu lagi lebih mengharu-birukan. Mak cik itu sedang bertenggek di atas pokok dan melaungkan 'Nasi Lemak...!' sambil.... MEROKOK. Ya. Merokok. Dan pahlawan Melayu Melaka pula sedang memegang mangkuk berisi sup tulang di tangannya. 

Sekarang anda boleh bayangkan bukan, risiko besar yang dihadapi oleh perut dan paru-paru saya ketika itu. Peluh besar menitik-nitik.

Oleh sebab itulah permainan ini lebih sesuai dimainkan di dalam konferens riang berbanding bulatan gembira, kerana anda berpeluang untuk melihat lebih banyak hasil seni dan karya yang menggeletek buah pinggang dan pankreas anda. Wahahaha.. 

Baiklah, sekarang saya akan beri anda masa dan peluang untuk memikirkan pengajaran dan ibrah daripada permainan ini (padahal sebenarnya malas nak tulis sekarang. Hohoho...). Saya telah pon memberi panduan yang permainan ini punya aplikasi yang cukup besar untuk Saya Hosem. 

Nah hamek satu lagi hint dari saya! [Kredit]

Maka saya kira anda yang cukup bijak dan cekap di luar sana, pasti tidak punya masalah untuk menaakul dan memproses pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalam permainan ini bukan..? Jangan segan-segan untuk meninggalkan komen anda yang penuh bergaya itu tahu..? Jangan nak kedekut sangat berkongsi ilmu dan rahsia yang terkandung di dalam permainan ini dengan kami semua! (Err.. Bunyi macam ironik je.. Peluh.)

Dan oh, seperti biasa, sekiranya anda membuat keputusan untuk bermain permainan ini, seperti biasa, saya tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kemalangan jiwa atau kehilangan harta-benda, baik milik persendirian atau kerajaan tempatan. Sayugia sekiranya anda betul-betul mahu mengambil risiko bermain permainan ini, pastikan anda pasang tali pinggang dan topi keledar keselamatan..! Wahahaha..

Selamat mencuba! (Err.. Tapi anda mungkin mahu menunggu pengajarannya dahulu..) 

Sekali lagi.

Selamat mencuba bermain permainan ini setelah anda faham dan hadam betul-betul pengajarannya nanti..! Hoyeeaahhh!

Senyum sambil membuat tanda aman.

-gabbana-

11 April 2011

Kadangkala Tarbiyyah Boleh Datang Dalam Bentuk Game Juga #2

Semalam saya ke Kolej Yang-Namanya-Dirahsiakan untuk sesi bulatan gembira buat sekian kalinya. Alhamdulillah, semakin berbulatan gembira bersama mereka, semakin produktif dan efektif dirasakan. Ukhuwwah yang dirasakan juga semakin rapat dan mantop. Itu tidak lain hanyalah kurniaan dan nikmat daripada Allah SWT. Jadi, terima kasih banyak-banyak Ya Allah..!

Percayalah, berbulatan gembira memang sungguh menggembirakan! [Kredit Gambar]

Tetapi ada satu perkara yang amat perlu saya muhasabahkan; post-post yang saya tulis di dalam belog ini. Rupa-rupanya, hadek-hadek Kolej Yang-Namanya-Dirahsiakan juga turut mengikuti perkembangan belog marhaen ini. Makanya, apabila saya ingin mengkuot kata-kata atau tulisan saya daripada belog ini, kebiasaannya mereka sudah dapat meneka atau mengagak apa yang bakal saya katakan. Sungguh hampagas dan anti-klimaks. Peluh.

Contohnya semalam, saya bawakan tadabur surah as-Saffaat, sebijik-sebijon macam yang saya tulis dalam post 'Kalau Tak Mampu Jadi Pembuat Minyak Wangi, Berkawanlah Dengan Pembuat Minyak Wangi!'. Belum apa-apa lagi beberapa orang hadek-hadek sudah tersenyum lebar, mengetahui apa yang bakal saya katakan. Hadohai. Tetapi mujurlah mereka ni hadek-hadek yang baik lagi bersopan-santun; sayugia tidak pula mereka menyampuk atau mengambil isi-isi penting saya. Wahahaha.. Bagus bagus. *usap rambut hadek-hadek* Jelir lidah sambil mengenyit mata.

Apa-apa jalan, semalam sebelum membentangkan tajuk kedua dalam bab Iman daripada himpunan khutbah Jumaat Abul 'Ala a;-Mawdudi (Dasar-Dasar Islam), saya telah menganjurkan temasya permainan bulatan gembira bagi meregangkan otak mereka yang mungkin sudah tepu akibat tadabur surah as-Saffaat yang zaaasss lagi membakar jiwa sehingga hangus dan rentung. *koff koff*

Anda yang mengikuti belog ini sejak zaman Paleolitik dahulu mungkin masih ingat post 'Kadangkala Tarbiyyah Boleh Datang Dalam Bentuk Game Juga' di mana saya berkongsi satu permainan lembut (Baca: Soft game) yang amat gembira untuk dimainkan di dalam bulatan gembira. Dan pengajaran daripada permainan tersebut saya tulis di dalam post 'Inche, Boleh Tunjukkan Arah Qiblat?' 

Alhamdulillah, respon daripada para pembaca amat mengujakan. Ada juga di kalangan anda yang cukup berani untuk mencuba permainan tersebut di dalam bulatan gembira masing-masing. Syabas, tahniah dan terima kasih diucapkan..!

Jadi saya rasa ada baiknya sekiranya saya berkongsi permainan yang kami mainkan di dalam bulatan gembira semalam, dengan harapan dapat membantu anda semua untuk menjadikan bulatan gembira anda lebih bermakna dan of kos, lebih gembira. Wah! Insha-Allah..

Tetapi sebelum saya kongsikan cara-cara dan pengajaran daripada permainan ini (kali ini saya tidak sekeji dahulu dengan menangguhkan pengajaran permainan), izinkan saya untuk memberi amaran separa keras tentang konsekuensi dan kemungkinan akibat daripada bermain permainan ini. Permainan ini sekiranya dimainkan untuk suka-suka sahaja dan bukannya diniatkan ikhlas untuk Allah, Islam dan dakwah (Hohoho..) pasti akan menjadi sangat lagho dan huhahuha. Kerana permainan ini memang amat seronok dan mengujakan untuk dimainkan dan amat mudah untuk larut dan hanyut di dalam permainan ini.

Dan ini amaran sangat keras pula. Permainan ini juga boleh menjadi kotor dan err, tidak berakhlak mulia apatah lagi menepati adab-adab ketimuran sekiranya para pemain bermain mengikut nafsu dan semata-mata untuk bersuka-suka jom henjoy dan gelak ketawa hey! Maka perlu diingatkan dengan tegas bahawa sekiranya anda sebagai habang-habang dan hakak-hakak ingin bermain permainan ini di dalam bulatan gembira anda, anda perlulah memainkan peranan anda dengan sebaiknya agar permainan ini tidak pergi atas papan (Baca: Go overboard) dan dipenuhi dengan dosa dan noda.

Dan sudah semestinya Inche gabbana tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kasualti mahu pon kemalangan jiwa dan emosi. Anda nak main, itu hak anda tapi apa-apa yang tidak diingini berlaku, sila tanggung sendiri sekian terima kasih. 

Amacam? Cuak tak..? Wahahaha..

Ok mungkin saya terlalu serius di situ. Jangan khuatir, sekiranya anda ikhlas mahu bermain untuk mendapat pengajarannya demi dakwah dan tarbiyyah, pasti semuanya akan berjalan dengan baik dan lancar, Insha-Allah.

Ok begini. Permainan ini boleh dimainkan oleh seberapa banyak orang pon. Yang anda perlukan hanyalah kertas dan pen. Cara-cara bermain permainan ini adalah seperti berikut:

  1. Duduk di dalam satu bulatan yang tak berapa bulat, mungkin berbentuk lonjong atau sfera juga boleh diterima. Hehe..
  2. Sediakan kepingan-kepingan kertas yang kecil; tidak terlalu kecil sampai tidak boleh ditulis apa-apa di atasnya dan tidak terlalu besar juga. Kalau nak mudah, kalau kertas A4 tu lipat empat kali. Kiranya ada enam belas kepingan kecillah.
  3. Berikan satu keping kertas tadi kepada setiap pemain. Setiap pemain memerlukan sebatang pen atau pensel atau pensel tekan atau bulu ayam yang dicelup dakwat. Wah!
  4. Arahan pertama: Tulis nama individu/watak/personaliti di bahagian atas sekali kepingan kertas tersebut. Posisi kertas adalah menegak. Jangan tulis terlalu besar kerana ada tiga lagi perkara yang hendak ditulis. Cukup sekadar dapat dibaca. Conoth nama yang boleh ditulis: Mahathir, Napoleon Bonaparte, Inche Kasim, Rafidah Aziz dan sebagainya.
  5. Arahan kedua: Lipat kertas tersebut cukup-cukup untuk menutup nama yang sudah ditulis. Jangan lipat besar-besar kerana masih ada perkara-perkara yang perlu ditulis di bawah lipatan tersebut. Seusai melipat, pass kan kepingan kertas tersebut kepada orang sebelah, tak kisahlah arah jam atau lawan jam.
  6. Arahan ketiga: Kini sepatutnya setiap pemain memegang kepingan kertas rakan sebelahnya tadi. JANGAN BUKA lipatan tadi dan biarkan sahaja lipatan tersebut. Sekarang tulis pula satu bentuk perbuatan yang dimulai dengan imbuhan 'me' di depan, DI BAWAH lipatan kertas tadi dan BUKAN DI ATASNYA. Contoh perbuatan: MEmukul, MEmbaca, MEncukur, MEngundi, MEmijak, MEngusrahkan dan sebagainya. (Nota: Di sinilah permainan ini boleh jadi sedikit kotor dan nakal. Amat penting untuk anda mengawal pemboleh ubah ini. Hoh.)
  7. Langkah yang sama; lipat bahagian yang tertulis perbuatan itu dan passkan pada orang sebelah anda. Sekiranya tadi anda pass mengikut arah jam, maka ikut arah jam sampai habis bermain dan begitu juga sebaliknya.
  8. Seperti sebelumnya, jangan buka lipatan (kini sepatutnya sudah ada dua lipatan) dan tulis pula satu anggota badan di bawah lipatan yang kedua. Tidak kiralah organ dalaman atau pon apa-apa sahaja asalkan ada kena-mengena dengan tubuh badan. Contoh: dagu, lesung pipit, rambut, bulu mata, pankreas, paru-paru, medula oblongata dan sebagainya. (Nota II: Sekali lagi, bahagian ini juga amat penting untuk dikawal agar permainan kekal bersih dan suci sepanjang masa)
  9. Lipat bahagian tersebut dan passkan lipatan tersebut. Akhir sekali, tulis satu lagi nama individu/watak/personaliti di bawah lipatan yang ketiga. Dan lipat dan passkan sekali lagi. 
  10. Walla! Permainan tamat.
Ya..! Begitulah permainannya..! Seronok kan...?? 

Permainan berasaskan kertas sememangnya mudah, murah dan simpel! Kool! [Kredit Gambar]
Err.

Err.

*krrikk kriiikkkk*

La, lepas tu kena buat apa Inche gabbana oii..??

Wahahaha.. Chill chill, jangan emo boleh tak..? Hihihi.. Selepas passing yang terakhir, buka lipatan dan baca ayat yang terhasil. Dan anda akan mendapati ayat-ayat yang super lucu dan mengarut dan ntahapehape dan ekele seperti ini:

  1. Najib Tun Razak membakar rambut Rosmah Mansor
  2. Pak Cik Semaun Osman menggaru usus besar Michael Jackson
  3. Barrack Obama melastik siku kiri Muammar Gaddafi
  4. Sharifah Aini menetak paru-paru Siti Nurhaliza
  5. Inche Buang Kasim memukul buku lali Benjamin Netanyahu
  6. dan sebagainya...

Mungkin tulisan saya tidaklah selucu yang sepatutnya. Tetapi tunggulah sehingga anda bermainnya nanti. Kompem menangis sampai keluar air mata bercucuran laju! Wahahaha..

Dan arahan dan prosedur permainan ini tampaknya seperti sedikit kompleks dan penuh dengan karenah birokrasi. Jangan risau, anda main dahulu dan biasakan diri anda dengannya, nanti alah bisa tegal biasalah tu. Hihihi.. 

Ok, berseronok-seronok juga, tapi apa pengajarannya Inche gabbana? Anda bertanya dengan rasa tidak puas hati kerana permainan ini yang akan menghasilkan terlalu banyak gelak tawa yang boleh membahayakan kesihatan manusia sejagat. Hoh. 

Sabar, sabar. Kan saya dah janji yang kali ini saya akan terangkan apakah pengajaran daripada permainan ini. Senyum sambil membuat isyarat 'peace.' Ok, sebelum saya bocorkan jawapan apakah pengajaran kepada permainan ini, cuba anda fikirkan dahulu apakah agak-agaknya pengajaran daripada permainan ini. Tak syoklah kalau saya suapkan terus pengajarannya kan..?? Saya bagi anda sepuluh saat untuk memikirkannya.. Mula dari... Sekarang..!

1...

2...

3...

4...

5...

6...

7...

8...

9...

Ok 10..!

Bagaimana..? Anda rasa-rasa apa pengajarannya? Inche pocong? Cucu Hj. Hassan? Bukan enonimus? SN..? Arissa Myana..? Payung kecil..? Cepat-cepat, siapa dapat jawab saya belanja gula-gula Fruit Plus sebijik..! Wahahaha.. 

Baiklah. Anda semua bersedia? Begini.

Dakwah dan tarbiyyah itu bersifat dinamik dan bukannya statik. Maka, secara fitrahnya, ia perlu dilakukan secara berjemaah, secara berkumpulan dan tidak boleh berseorangan. Setiap orang mempunyai keistimewaan, kelebihan dan kekuatan masing-masing. Dan sekiranya setiap kelebihan dan kekuatan ini dikumpulkan, digemblengkan dan dikerahkan dengan efektif dan efisien, pastinya satu pasukan dakwah yang hebat lagi mantop dapat diwujudkan.

Anda beritahu saya, ketika mula-mula bermain permainan ini, adakah anda dapat meneka yang bermula daripada satu nama individu sahaja, ia akhirnya berkembang menjadi sepotong ayat yang menarik dan lucu? Setiap daripada para pemain hanya menyumbangkan satu aspek sahaja, namun apabila setiap sumbangan ini dikumpulkan menjadi satu, sumbangan yang pada mulanya tampak seperti tiada apa-apa kini lebih bermakna.

Begitu juga dengan dakwah dan tarbiyyah. Ada yang berbulatan gembira, ada yang mendakwah fardhiah, ada yang menjadi penyampai, ada yang menyebarkan brochure dan pamphlet, ada yang mengumpulkan dana, ada yang pergi menuntut ilmu dan sebagainya. Sekiranya setiap aktiviti itu dilihat sebagai satu entiti, maka ia statik, tidak bergerak dan tiada signifikannya. Tetapi apabila setiap aktiviti itu dikumpulkan dan digerakkan di dalam satu organisasi, barulah setiap aktiviti itu kelihatan signifikan dan amat bermakna untuk menggerakkan dakwah dan tarbiyyah. 

Ada faham Inche-Inche dan Puan-Puan sekalian..?

Allah berfirman di dalam surah as-Saff,

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam saff-saff yang tersusun; mereka seakan-akan seperti sebuah bangunan yang kukuh."
[as-Saff, 61:4]


Eh, kita tak nak ke dicintai Allah..?? Ini Allah tahu..?? Kalau Allah cinta pada kita, pastinya itu suatu perkara yang sangat-sangat baik bukan..?? Lebih baik dan bagus daripada dunia dan seisinya..! Dan sudah semestinya jaaaauuuuhhhh lagi bermakna daripada janji-janji ahli politik ketika pilihan raya Sarawak ketika ini! Eh.


Berjemaah bukan di dalam solat sahaja, tapi di dalam dakwah dan tarbiyyah juga. Tapi kalau solat pon dah tak berjemaah... Zaaaaappp. [Kredit Gambar]

Ingat! No man is an island. Kita tidak mungkin dapat hidup berseorangan. Kita adalah manusia yang punya banyak kelemahan dan kekurangan. Sekiranya dalam organisasi biasa seperti di pejabat atau persatuan-persatuan lainnya kita mengakui kepentingan untuk bekerja sebagai satu pasukan, mengapa tidak di dalam dakwah..??

Sekiranya kita yakin bahawa di dalam menggerakkan negara mahu pon keluarga, setiap daripada ahli-ahlinya perlu memainkan peranan tersendiri kerana setiap peranan adalah signifikan, mengapa ketika berdakwah dan mentarbiyyah kita tidak menggunakan sifir yang sama..??

Uhm uhm, bagaimana..? 

Inilah pengajaran utama yang saya boleh kongsikan daripada permainan ini. Permainan ini tampaknya simpel dan seperti huhahuha sahaja bukan..? Tapi subhanallah, pengajarannya yang terkandung di dalamnya amat-amat bermakna.

Begitulah. Sekiranya setiap hari kita memakai kaca mata dakwah dan tarbiyyah, setiap apa yang kita lihat dan lakukan pastinya berpaksikan dakwah dan tarbiyyah juga. Neraca dan kiblat kita adalah Allah, Islam dan dakwah. Bukankah indah begitu..? Dan sekiranya hidup dan mati kita berneracakan dan berqiblatkan tiga perkara ini, Insha-Allah, nothing can go wrong.

Siapa tahu, mungkin selepas ini kita boleh mengutip buti-butir mutiara dakwah dan tarbiyyah yang cukup berharga daripada bermain guli, teng-teng dan zero point pula..?

Senyum sambil memakai cermin mata hitam yang kool lagi bergaya.

-gabbana-

16 March 2011

Inche, Boleh Tunjukkan Arah Qiblat?

"Eh Inche, nak tau arah qiblat kena guna kompas lah!" [Kredit Gambar]

Ha, seperti yang ditunggu-tunggu, post ini adalah post lanjutan kepada 'Kadangkala Tarbiyyah Boleh Datang Dalam Bentuk Game Juga.'  Dan seperti yang dijanjikan, Insha-Allah dalam post ini saya akan menerangkan apakah nilai-nilai moral yang sungguh tarbawiyy yang boleh diperoleh daripada game yang tampak ringkas tetapi cukup bergaya itu. 

Ok sebelum tu, angkat tangan kanan siapa yang betul-betul main game ni. Saya tak tahu dan tak nampak siapa yang angkat tangan tapi SYABAS..! Anda memang kool...! Ok, anda yang tak main, sila ketuk-ketampi sepuluh kali setengah sekarang..! Wahahaha..

Eh, ada ke yang main? Kalau ada, apa respon para pemain ye..? Nak tahu jugak..!

Oleh sebab anda begitu sombong tak mahu kongsi dengan saya (:O), biar saya teka apa respon mereka (juga berdasarkan pengalaman saya bermain game ini dengan orang lain):

1) Hiburan
  • Movie!
  • Game!
  • Shopping, jalan-jalan
  • Membaca buku
  • Lepak dengan rakan taulan

2) Cinta
  • Perempuan
  • Awek cun!
  • I lap you!
  • Kapel
  • Sehidup semati

3) Gaya Hidup/Fesyen
  • iPhone (gajet)
  • Jam tangan
  • Terkini
  • Ikut trend
  • Tak kisah

4) Politik/Ekonomi
  • Demokrasi
  • Komunis
  • Riba
  • Duit
  • Rasuah

5) Islam
  • Syumul
  • Solat
  • Puasa
  • Haji
  • Teroris
Ha, anda dah nampak dah apa yang cuba saya sampaikan melalui game ini..? Apa? Masih tak nampak..? Ish ish ish.. *Geleng kepala sambil buat muka keji*

Anda perasan tak kebanyakan respon atau jawapan yang diberi 'berkacamatakan' Barat..? Neraca yang diigunakan untuk berfikir lantas memberikan jawapan adalah neraca Barat?

Kalau sebut sahaja hiburan, pasti yang pertama-tama terlintas di kepala adalah lagu, atau movie, atau apa-apa sahaja yang menyeronokkan berdasarkan definis Barat. Bukan begitu? Begitu juga dengan cinta. Hampir setiap hari kita disogokkan dengan mentaliti bahawa cinta itu mesti bercumbuan, cinta itu mesti berpelukan, cinta itu mesti diekspresikan! Lebih bahaya apabila sogokan-sogokan ini diberi secara halus; selalu sahaja kita tidak menyedarinya. Melalui lagu-lagu Barat contohnya, hampir setiap lirik lagu yang dinyanyikan para penyanyi mereka pasti berunsurkan cinta. 

"I love you like crazy..."

"Because I love you.."

"Baby, baby baby.. Ooohhh.."

"You are everything.."

Peluh besar.

Punyalah kuat dan besar pengaruh Barat ni, sehinggakan kita di Malaysia turut meniru cara mereka ini. Lihat sahaja lagu-lagu nyanyian penyanyi kita. Jarang sekali lagu-lagu yang dinyanyikan tidak menyentuh soal cinta. Hatta lagu nasyid sekali pun banyak benar yang menjadikan cinta sebagai tema. 

Yang lebih lucu, perkara-perkara yang kelihatannya tiada kena mengena dengan cinta juga mahu menjadikan cinta sebagai tema mereka. Contohnya iklan pencuci muka. Kebanyakannya pasti menjadikan cinta sebagai modal untuk menarik pengguna untuk membelinya..! Hadoilamak. Terbaru iklan ubat ketiak (Baca: Deodorant) cap Axe. Pada tanggapan saya iklannya ada berbaur lucah dan menggalakkan ke arah hubungan seks. Sumpah. Nak jual ubat ketiak je pon..! (Tengah bengang juge dengan Nuffnang sebab siarkan iklan tu di belog ini. Sudah diadukan dan harapnya adalah tindakan..)

Eh, panjang la pulak bab cinta ni. Hohoho.. Begitu juga dengan hal-hal yang lain. Setiap kali suatu perkataan itu disebut, pastinya perkara-perkara yang yang melintas di fikiran kita adalah datang dari Barat, atau et lis berorientasikan cara mereka berfikir. Pokoknya..

KITA SEDANG BERQIBLATKAN BARAT. 


Otak kita telah dikawal dan direncanakan oleh Barat! :O [Kredit Gambar]

Memang zaaassss tetapi itulah hakikatnya. Baratlah ustadziatul a'lam ketika ini; menjadi rujukan kepada seluruh alam. Setiap benda pon nak kena rujuk Barat dahulu. Bagaimana nak pertahankan negara daripada serangan pengganas? Sila rujuk Barat. Bagaimana nak stabilkan ekonomi yang telah lumpuh? Sila tanya Barat. Apakah caranya untuk kita memastikan alam ini tidak tercemar? Sila lihat Barat. Semua benda pon Barat. Hatta cara-cara nak gosok gigi sekali pon, kita tiru cara orang Barat menggosok gigi. Tak gitu..?

Berapa ramai daripada kita yang apabila 'hiburan' disebut, terus teringatkan al-Quran, zikrullah, ziarah, berjumpa dengan ikwah dan yang sewaktu dengannya? Berapa ramai antara kita yang apabila 'cinta' disebut, Allah, Rasulullah, mak ayah, ukhuwwah atau hadith 'La yu'minu ahadukum hatta yuhibbu li akhih...' dahulu yang terlintas di kepala? Berapa ramailah agaknya daripada kita yang apabila 'gaya hidup' disebut, terus sahaja terfikir halal, sunnah Rasulullah atau yang diredhaiNya.

Tak ramai en..? Itulah realitinya dan hakikatnya, walaupon ia pahit untuk dikunyah. Termasuklah diri ini sendiri. Air mata mengalir laju.

Di mana agaknya kita campakkan Islam? Ketika hendak kahwin dan buat tahlil malam jumaat baca Yassin. Bila agaknya kita mengingati Allah? Bila tengah susah, tengah sakit dan ketika solat. Time solat tu pon selalunya otak kita nun jauh melancong ke mana. Adakah kita mengamalkan sunnah Rasulullah SAW di dalam kehidupan kita? Ada ada, ketika nak kahwin empat, ketika nak makan (kadang-kadang) dan ketika buat salah dan mita orang maafkan kita ("Nabi pon ampunkan umat.."). 

Yang paling best adalah apabila 'Islam' disebut, respon yang diberikan selalunya teramat cliche dan jumud. Islam tu solat. Islam tu zakat. Islam tu hudud. Lagi menyedihkan apabila yang terlintas di kepala kita adalah takrifan Barat pada Islam; Islam tu jahat,kejam dan teroris..! La hawla quwwata illa billah.. Lupakah kita Islam itu sewajarnya diletakkan pada setiap perbuatan dan gerak-geri kita..?? Mandi kita, makan kita, riadhah kita, masak kita, kemas rumah kita, belajar kita, pandu kereta kita.. Sepatutnya semuanya Islamik..! Anda sedarkah selama ini kita sebenarnya SEKULAR...?? 

"Tidak aku ciptakan jin dan manusia MELAINKAN untuk beribadah kepadaKU."
[adz-Dzariyat, 51:56]

Setiap masa dan ketika, hidup ini sewajibnya diabdikan kepada Yang Maha Esa. 


Allah di mana-mana, setiap saat dan ketika. Cuma kita sahaja yang sengaja membutakan hati.. [Kredit Gambar]

Kawan-kawan, adik-adik, kakak-kakak, abang-abang, pakcik-pakcik dan makcik-makcik sekalian.. Lupakah kita yang Islam itu adalah syumul? Lupakah kita yang Islam itu cara hidup dan bukannya agama semata-mata..? Lupakah kita yang Islam itu ada solusi untuk setiap krisis dan masalah..? 

"Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?"
[al-Maidah, 5:50]


Dan Islam itu perlu diambil dan diamalkan secara keseluruhannya. Tak boleh lah kalau nak ambil mana yang suka-suki dan buang mana yang benci-menci. Kerana sifat Islam itu ia syamil, kamil dan mutakamil; menyeluruh, sempurna dan melengkapi. Tidak boleh dipecahkan mengikut juzuk-juzuk tertentu, dan kita membuat pilihan mana yang sesuai dengan citarasa kita. 

"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu."
[al-Baqarah, 2:208] 


Ha, Allah dah suruh masuk ke dalam Islam secara kaffah, keseluruhan. Holistik. Lengkap. Tak boleh nak sikit-sikit jah. Tak boleh, eh aku nak solat, zakat, puasa tetapi sekali-sekala best juga kalau berzina hey..! Atau pon rukun Islam aku jaga semua, tapi tak bergayalah kalau tak minum arak dan dedah aurat sini sana..! Kalau tak, secara otomatiknya kita sudah pun terjerumus ke dalam perangkap syaitonirojim! Wahahaha padan muka kau, kata Jeneral Iblis Laknatullah. Nau'dzubillah..

Begitu juga dengan sistem, baik sistem pendidikan, politik, sosial mahu pon ekonomi. Sewajibnya semua sistem ini berlandaskan Islam yang sebenar, dan bukannya Islam hadhari  dan Islam 1Malaysia yang direka-reka oleh manusia. Kerana manusia sifatnya lemah, bernafsu dan tidak sempurna, sayugia sistem yang datangnya daripada akal dan pemikiran manusia pastinya pincang dan bobrok..! Hoh.

"Aku tinggalkan untuk kalian dua perkara. Kalian tidak akan sesat selama mana kalian berpegang dengannya, iaitu Kitabullah dan sunnahku."
[Hadith Riwayat Muslim] 


Kita tidak mahu sesatkan..? Kita tidak mahu menjadi hambaNya yang ingkar kan..? Dan kita tidak mahu menjadi orang-orang yang bodoh (jahil) kan..? Jadi apa lagi..? Kita kena tukar neraca kita, kita kena pakai kaca mata yang baru; semuanya berlandaskan dan berpaksikan Islam..!

Ya, bercakap (dalam kes saya, menulis) memang jauh lebih senang daripada melakukannya. Tetapi bukankah sebelum kita menyelesaikan sesuatu masalah, kita mestilah mengenalpasti masalah itu terlebih dahulu..? Nah, sekarang kita semua sudah mengambil langkah yang pertama dalam ber'taaruf' dengan masalah ini. Tiba masanya untuk kita mengambil langkah-langkah yang seterusnya pula. Lebih bergaya sekiranya kita sanggup untuk berlari laju terus..! Senyum sambil kenyit mata. 

Dan bersama-sama bermujahadah untuk membuat perubahan adalah lebih mudah dan kool daripada membuatnya secara berseorangan bukan..? Jadi, apa lagi..?? Jomlah kita sama-sama berubah..! Jom kita berlari pecut menuju garisan penamat! Fastabiqul khairat..!


Jom kita sama-sama, berpimpin tangan menuju sorgaNya..! xD Ayuh...!

"Eh Inche, tak mengapalah. Saya dah jumpa qiblat saya.." 

Mata bersinar-sinar.

-gabbana-


Oh ye! Selamat maju jaya mencuba game ini di dalam bulatan gembira anda, atau di mana-mana sahaja! Moga ia memberi manfaat yang besar, biidznillah.. ;) Jay zack kay kay sekiranya anda benar-benar akan memainkannya..!

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP