16 November 2018

Indahnya Akhlak Saorang Penuntut Ilmu!

[Kredit]

Ketika Nabi Musa AS bertemu dengan Khidir AS buat pertama kalinya, al-Quran telah merekodkan suatu adab seorang penuntut ilmu yang benar-benar ikhlas dan telus dalam mahu menadah ilmu dari seorang guru yang hebat. Al-Quran mencatatkan:

قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا

"Musa berkata kepadanya, 'Bolehkah aku mengikutimu agar engkau mengajarkan kepadaku (ilmu yang benar) yang telah diajarkan kepadamu (untuk menjadi) petunjuk?'"
 [al-Kahfi, 18:66]

Perhatikan ayat ini.

Nabi Musa AS tidak memulakan kata-katanya dengan,

"Bolehkah engkau mengajar aku?"

Atau

"Bolehkah aku menjadi pelajarmu?"

Atau yang seumpama dengannya.

Tetapi baginda memulakannya dengan, "Bolehkah aku mengikutimu..?"

Setelah mengembara puluhan (jika tidak ratusan atau ribuan) batu, kita mungkin terfikir, tiada salahnya jika Nabi Musa AS mahu terus meminta menjadi murid kepada Khidir. Setelah kepenatan berjalan tanpa arah yang pasti, apalah salahnya jika baginda meminta untuk Khidir mengajarnya di situ?

Tetapi bukan itu yang berlaku. Musa AS meminta untuk 'mengikutimu'!

Lihatlah! Betapa halus dan mulusnya tarbiyah Allah kepada kita semua!

Sifat tarbiyah itu, ia mesti 'mengikuti' dan bukan 'diikuti.' Tarbiyah itu tidak akan benar-benar membumi andai ia satu hala sahaja, i.e. murabbi hanya mencurahkan ilmunya kepada sang mutarabbi.

Tetapi usaha, kesungguhan dan kesabaran dalam menuntut ilmu mesti datang dari si penuntut ilmu. Sang mutarabbi mesti menunjukkan kesanggupan dan usahanya jika dia benar-benar menchentai ilmu.

(Namun murabbi di luar sana, janganlah pula anda menggunakan dalil ini untuk menghukum mutarabbi anda ya?

"Akhi, effort tu perlu datang dari nta. Kalau nak usrah, nak daurah, nta lah yang kena cari ana, bukan ana yang cari nta. Tu, ambil ibrah dari kisah Nabi Musa tu!"

Adoi pengsan.)

Dan mengapa Musa AS begitu tawadhu' dan bersungguh dalam menuntut ilmu dari hamba Allah yang, "Kami berikan rahmat kepadanya dari sisi Kami" ini?

Jawapannya pada, "...agar engkau mengajarkan kepadaku (ilmu yang benar) yang telah diajarkan kepadamu (untuk menjadi) petunjuk?"

Ya, kerana ia bukan ilmu yang biasa-biasa, tapi ilmu yang bisa menjadi PETUNJUK!

Dari Musa AS kita belajar, ilmu itu hanya bermanfaat apabila ia menjadi petunjuk kepada sang penuntutnya. 

Dari Musa AS kita belajar, sehebat mana seorang itu sekalipun, masih ada orang yang lebih hebat daripadanya.

Dan dari Musa AS kita belajar, keberkahan ilmu itu terletak pada keikhlasan sang penuntutnya.

Alangkah indahnya akhlakmu wahai Musa!

-gabbana-

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP