Showing posts with label Konferens Riang. Show all posts
Showing posts with label Konferens Riang. Show all posts

4 October 2019

Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!

[Kredit]
Kita seringkali mendengar sepotong hadith "Doa itu senjata bagi orang mu'min." Sama ada didendangkan di ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah, atau diucapkan berapi-api di konferens-konferens riang atau demonstrasi solidariti Plaestin dan Syria. Kot.

Tetapi sejauh mana kita benar-benar memaknai hadith ini?

Pertama-tama sekali, penting untuk kita memahami konsep doa itu sendiri. Doa itu berasal dari perkataan 'da'a' yang bermakna menyeru atau memanggil. Doa dan dakwah mempunyai kata akar yang sama.

Jadi apabila kita berdoa kepada Allah, sebenarnya kita sedang 'menyeru' Allah untuk mendengar rintihan, permintaan dan aduan kita kepada-Nya. Doa sebagai satu bentuk ibadah, mempunyai martabat yang tinggi di sisi Allah. Hal inilah yang seringkali teralpa daripada benak fikiran kita, yang tidak melihat doa itu sebagai satu bentuk ibadah, tetapi hanya satu ritual selepas solat atau talian hayat ketika kita berada dalam keadaan yang sukar atau mendesak.

Salah satu salah faham yang terbesar tentang doa adalah kita sering menyangka yang doa itu sifatnya mesti 'meminta'. Meminta kepada Allah untuk sebarang hajat dan niat. Minta agar diampunkan dosa. Minta untuk dipanjangkan usia. Minta untuk dimurahkan rezeki. Minta untuk bertemu jodoh pilihan hati yang tidak meminta mas kahwin yang tinggi. Eh.

Tetapi doa lebih besar dari sekadar kita meminta-minta daripada Allah.

Doa itu adalah satu dialog antara kita dan Allah. Ia adalah perbualan mesra antara seorang hamba dengan kekasih agungnya. Ia adalah aduan, rintihan dan keluhan seorang makhluk yang lemah kepada Rabbnya yang Agung lagi Perkasa. Ia bukan sahaja diluahkan ketika susah dan tersepit, tetapi juga ketika senang dan lapang.

"Berdoalah kepada Tuhanmu di saat kamu senang (bahagia). Sesungguhnya Allah berkata, 'Barangsiapa berdoa (memohon) kepada-Ku di waktu dia senang (bahagia), maka Aku akan mengabulkan doanya di waktu dia dalam kesulitan.'"
(HR Ar-Rabi')

Di dalam al-Quran, Allah telah mencatatkan begitu banyak doa yang diungkapkan oleh para anbiya' kekasihNya, juga doa-doa yang diajarkan sendiri oleh Allah untuk diamalkan kita. Seolah-olahnya Allah mahu memberitahu kita, berdialoglah dengan-Nya kerana Dia amat mendambakan para hamba-Nya untuk berbual mesra dan mengadu chenta pada-Nya!

Kembali kepada hadith:
لدُّعَاءُ سِلاحُ الْمُؤْمِنِ

Apabila berbicara tentang senjata, apa yang terlintas di fikiran kita? Senjata itu digunakan untuk menyerang bukan? Tetapi kadangkala kita terlepas pandang; senjata juga digunakan untuk mempertahankan diri.

Demikianlah sifat doa.

Ia bukan sahaja senjata untuk 'menyerang' tetapi juga senjata untuk 'mempertahankan' diri kita.

Apa contoh doa itu sebagai satu bentuk serangan?

Selain doa agar Allah menghancurkan musuh-musuh Islam dan pakatan jahat yang menzalimi umat Islam di samping agar Allah memenangkan gerabak dakwah yang mahu memenangkan agama ini, sebenarnya doa sebagai satu tindakan yang ofensif mempunyai makna dan aplikasi yang lebih meluas.

Misalnya, kita berdoa agar Allah melembutkan dan membuka hati mak dan ayah kita untuk lebih menerima Islam dan menerima serta menyokong kerja-kerja dakwah kita. Itu juga satu bentuk 'serangan.'

Atau kita berdoa agar Allah menghantar Makcik Hidayah menempeleng mad'u yang sedang kita santuni agar mereka menyertai gerabak dakwah dengan riang dan gembiranya. Itu pon satu bentuk 'serangan' sebenarnya.

Atau kita berdoa agar Allah tautkan hati para penggerak dakwah dan kurangkan pergeseran dan pergaduhan, lembutkan hati dan rapatkan saff mereka. Itu juga, bagi saya, adalah satu bentuk 'serangan.'

Bagaimana pula doa sebagai satu bentuk pertahanan?

Apabila kita berdoa agar Allah tetapkan hati kita di atas agama ini dan terus istiqamah di atas manhaj-Nya.

Tatkala kita bermunajat kepada-Nya, agar dikuatkan hati berhadapan dengan pelbagai jenis dugaan dan ujian, mehnah dan tribulasi.

Ketika kita menanges-nanges mengangkat tangan di waktu sahur yang hening, dengan seikhlas hati mengadu pada-Nya, agar diberikan keteguhan iman dan kemantapan jatidiri untuk terus berdakwah dan menyebarkan kebenaran. 

Itulah doa dalam bentuk pertahanan. Dan pertahanan yang kita minta itu bukan calang-calang bentuknya; ia adalah pertahanan terkuat kerana bersumberkan daripada-Nya!

Hanya setelah kita berjaya memaknai doa ini sebagai satu bentuk serangan dan pertahanan pada masa yang sama, baharulah kita dapat memahami konsep doa itu adalah senjata bagi orang-orang yang beriman. 

Malangnya, ramai daripada kita yang meremehkan kepentingan dan kehebatan berdoa ini. Merasakan tidak ada pentingnya berdoa dalam melengkapkan usaha-usaha yang telah kita lakukan. Atau pon tidak serius dalam berdoa dan tidak menghayati setiap bait doa yang kita lafazkan. 

Rugilah sekiranya kita punya mentaliti sebegitu rupa. Sedangkan Allah SWT telah berjanji di dalam al-Quran:

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran." 
(al-Baqarah, 2:186)

Seperti tidak cukup dengan satu ayat itu, Allah berfirman lagi:

"Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku akan perkenankan bagimu..."
[al-Ghafir, 40:60]

Sebagai dua't yang sentiasa 'bertempur' di medan untuk menyebarkan al-haq dan menegakkan kebenaran, pada masa yang sama terpaksa pula bertarung dengan musuh-musuh Islam dalam bentuk taghut dan jahiliyyah, alangkah ruginya andai kita tidak melengkapkan kelengkapan perang kita dengan senjata ampuh yang telah Allah khususkan buat orang-orang yang beriman; itulah doa. 

Imam al-Banna, ketika ditanya apakah rahsia kejayaan dakwahnya. Beliau menjawab:

"Aku berdakwah kepada mereka di siang hari dan aku berdoa untuk mereka di malam hari."

Padu bak hang!

Sekiranya kita telah memberikan usaha yang sebaik dan seikhlas mungkin dalam dakwah ini, ditambah pula dengan doa yang bersungguh-sungguh sebagai penguat jiwa dan pelengkap usaha, tidak mustahil, dakwah kita itu berupaya menggegarkan seluruh alam buana ini lebih dahsyat dari sebutir bom nuklear! 

Nah persoalannya sekarang... Sudahkah kita berdoa? 

-gabbana- 

Meskipon ada perbahasan dalam kalangan ulama' tentang status hadith 'Doa adalah senjata orang mu'min', saya tidak mahu menyerabutkan kepala anda semua dengan perinciannya. Cukuplah kita mengambil makna yang baik daripada hadith ini. Moga ada manfaatnya!

Anda boleh baca tulisan-tulisan saya yang lain tentang doa di sini:


11 January 2019

Budak-Budak Usrah Ni Wajib Skema Kah?

[Kredit]

Boleh pandang ke atas dan tangan letak di bahu lepas baca tajuk post ni. Heh.

Ramai orang fikir yang bila dah jadi budak usrah ni, otomatik akan jadi macam malaikat. Pakai baju kena tuck-in (untuk ikhwah). Tudung labuh sampai kaki (untuk akhowat) sambil-sambil tu ambil upah sapu lantai. Gelak kena tutup mulut. Jalan kena langkah kecik-kecik lepas tu sopan-santun. Pijak semut tak mati. Kentut pon wangi. Eh.

Memanglah tak nafikan, lepas join usrah ni, lepas dapat tarbiyah, lepas selalu tilawah dan tadabbur al-Quran, lepas selalu pergi daurah apa semua tu, sedikit-sebanyak pastilah personaliti diri akan berubah. Bukan berubah apa, tapi berubah menjadi lebih baik la. Diri yang lebih diredhai Allah. Peribadi yang lebih dirindui Rasulullah.

Kalau dulu nak solat lima waktu pon ya rabbi liat macam apa, tapi sekarang alhamdulillah bukan setakat kita saff paling depan, sikit lagi nak kena lantik jadi tok siak dalam pemilihan AJK mesejid baru-baru ni. Wakaka.

Kalau dulu nak baca Quran tu punyalah susah sampai orang ingat hari dah nak kiamat bila kita baca al-Fatihah, tetapi alhamdulillah sekarang rasa rinduuu je bila berpisah dengan al-Quran, rasa macam ada something yang tak kena je bila bibir mula kering dari mengalunkan ayat-ayat Allah.

Kalau dulu sebut dakwah, usrah apa semua tu naik meremang bulu tengkuk kita siap mintak izin nak lari jauh-jauh, tapi sekarang alhamdulillah dakwah tarbiyah tu benda yang kita betul-betul pegang dan sayang, sehinggakan kita benar-benar rindu untuk syahid di jalan-Nya.

Perubahan yang macam tu lah.

Tapi siapa diri kita, ia tetap diri kita. Yang itu tak perlu nak ubah pon kan? Kita yang suka berlawak-jenaka itu. Kita yang suka buat orang lain tersenyum itu. Kita yang gila-gila dan periang itu.

Di dalam surah al-Kahfi, Allah rekodkan bagaimana pemuda yang "beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka" itu, di sebalik kehebatan mereka ketika mereka mempertahankan keimanan mereka dan bangkit menentang kemungkaran Sang Penguasa, mereka tetap adalah para pemuda biasa!

Tidak percaya? Baca ayat ini:

"Dan demikianlah Kami bangunkan mereka, agar ada antara mereka saling bertanya. Salah seorang antara mereka berkata, 'Sudah berapa lama kamu berada (di sini)?' Mereka menjawab, 'Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari.' Berkata (yang lain), 'Tuhanmu lebih mengetahui berapa lama kamu berada (di sini). Maka suruhlah salah seorang antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang perakmu ini dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik dan bawalah sebahagian makanan itu untukmu, dah hendaklah dia berlaku lembah lembut dan jangan sekali-kali menceritakan halmu kepada sesiapa.'" 
[al-Kahfi, 18:19]  

Lihat! Dalam kalangan mereka, ada yang 'nakal', sengaja mahu memprovokasi dengan bertanya soalan "Dah berapa lama kita kat sini eh?" Macam kita jugalah. Ada dalam kalangan kita ni, yang kadang-kadang sengaja bertanyakan soalan hanya kerana suka melihat sahabat-sahabat kita bertelagah dan ketika itu, kita mengundur ke belakang sambil tertawa keji. Eheh.

Dan lihat sahaja mereka ini. Setelah lena untuk satu tempoh yang agak lama (pada pandangan mereka), mereka langsung tidak risaukan perihal Sang Raja yang memburu mereka atau adakah ibu dan ayah mereka khuatir akan keadaan mereka. Yang mereka risaukan ialah keadaan perut mereka!

Makanan dan ikhwah memang tidak dapat dipisahkan bukan?

Juga siapakah yang mereka tugaskan untuk pergi membeli makanan? "Hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik." Si dia yang paling tahu mamak mana yang jual roti naan cheese yang paling layaaannn atau kedai tomyam mana yang paling masyuuukk! Wahahaha. Eh.

Menarik bukan, bagaimana Allah rekodkan semua ini di dalam al-Quran? Ketahuilah, tiada satu kisah, satu ayat, satu perkataan hatta satu huruf pun di dalam al-Quran yang 'kebetulan' dan sia-sia!

Sekiranya kita rajin menelusuri kisah para sahabat, kita akan dapati, mereka juga manusia biasa seperti kita. Ada yang suka bergurau-senda. Ada yang mahu berjenaka dengan mencampakkan buah tembikai kepada sahabat yang lain. Ada yang suka berpakaian indah bermacam gaya. Ada yang pemarah. Ada yang suka membebel dan banyak mulutnya. Beraneka ragam dan rupa!

Tetapi mereka itu tetap para sahabat bukan? Mereka yang redha kepada Allah dan Allah redha kepada mereka?

Mungkin dari kisah para pemuda al-Kahfi tadi, Allah mahu kita belajar, betapa komitmen dengan tarbiyah dan dakwah itu tidak memerlukan untuk kita melupakan siapa diri kita yang sebenar; yang dituntut dari kita hanyalah keikhlasan dan kesungguhan untuk menegakkan kebenaran dan menyebarkan chenta!

-gabbana-

(Tadabbur ayat ini 'dipinjam' dari perkongsian oleh Ustaz Nouman Ali Khan. Moga Allah merahmati beliau!)

1 November 2015

Tiada Negosiasi Dalam Dakwah!

[Kredit]
[Amaran dari Kerajaan Burkina Faso: Bacaan ini hanya sesuai untuk anda yang sudah berkecimpung dalam arena sukan renang berirama tarbiyah dan dakwah sahaja. Sebarang kecederaan jiwa akibat tidak mematuhi amaran ini adalah di luar tanggungjawab pihak kerajaan Burkina Faso mahupon penulis. Sekian.]

"Akhi ana ada kerja la malam ni. Kalau ana datang lambat malam ni boleh tak?"

"Ukhti, boleh tak buat bulatan gembira kita dekat sikit dengan tempat ana malam ni? Ana penat kerja lah hari ni."

"Apa? Konferens riang kita buat dekat Kedah? Apahal lah nak buat jauh-jauh. Buat area Lembah Klang sudahlaaah. Huhu."

"Ala ana kena bawa bulatan gembira lagi ke? Ana dah nak start HO ni akhi. Ana akan sibok gile nanti. Bagi ana kerja lainlah. Boleh tak?"

"Afwan hujung minggu ana tak boleh kacau lah. Ana dah ada plan. Dah lama ana plan. Afwan ye."

Sekali baca macam tiada apa-apa dengan dialog-dialog di atas. Dua tiga kali baca pon, belum tentu kita akan bertemu dengan apa-apa. Biasalah tu kan. Budak-budak usrah pon manusia juga?

Cuma ia jadi sedikit luar biasa apabila ia dituturkan oleh mereka yang bukan setahun dua duduk di dalam gerabak tarbiyah dan dakwah ini, tapi mereka yang sudah bertahun-tahun lamanya.

Dan murabbi/ah hanya mampu berhuhu sahajalah apabila mendapat mesej-mesej Waksep atau Telegram sebegini. Jika tidak dibenarkan, dikatanya kita kejam, tidak prihatin, tak fikir pasal kebajikan orang lain. Jika dibenarkan, takut naik lemak susu penuh berkrim pula jadinya! Serba salah dibuatnya! 

Hakikatnya, tiada negosiasi atau tawar-menawar di dalam tarbiyah dan dakwah ini. Para dua't yang telah berbaiah dengan manhaj perjuangan ini, sewajarnya faham bahawa mereka tidak boleh tawar-menawar atau bermanja-manja dengan perjuangan ini.

Hei ini gerabak tarbiyah dan dakwah lah, bukan gerabak gula-gula kapas atau gerabak badut dan monyet sarkis!

Bagi menambah pedih pada luka, rabak pada jiwa dan keserabutan kepala, mari kita sama-sama tadabbur sepotong ayat dari surah al-Hujuraat:

"Orang-orang Arab Badwi berkata, 'Kami telah beriman.' Katakanlah (kepada mereka), 'Kamu belum beriman, tapi ucaplah 'Kami telah tunduk (kepada Islam)' kerana iman belum masuk ke dalam hatimu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya, Dia tidak akan mengurangi sedikit pon pahala amalanmu. Sesungguhnya, Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.'" 
[Al-Hujuraat, 49:14]

Jika kita cukup rajin untuk membuka mana-mana tafsir al-Quran, kita akan mendapati bahawa ayat ini diturunkan untuk menempelak sebuah kaum Arab Badwi yang baharu memeluk Islam. Mereka berasa berjasa dengan keIslaman mereka itu; seolah-olahnya apabila mereka menjadi Muslim, ia memberi kekuatan tambahan kepada umat Islam ketika itu. Maka sebagai balasan atas 'jasa' mereka itu, mereka meminta imbalan dari Nabi SAW. Ada riwayat yang menyebut imbalan yang diminta ialah berupa makanan. 

Nah, apa jawapan Allah untuk menempelak permintaan mereka ini?

Allah berfirman bahawa mereka ini belum lagi beriman. Mereka baru Islam dan belum lagi membuktikan apa-apa dengan keIslaman mereka itu.

Bagaimana? Anda dah nampak permainannya di situ?

Anda bersedia untuk ditampar kuat? Diterajang hebat? Dibelasah dahsyat?

Sila sediakan peti kecemasan di kawasan yang berhampiran dengan anda. 

Baiklah. 

Kita yang suka bernegosiasi dengan dakwah ni, atau dengan kata lainnya suka memberikan alasan dan bermanja-manja ni, tak jauh bezanya dengan Arab Badwi yang ditempelak oleh Allah dalam surah Al-Hujuraat tadi. 

Ish, mana boleh samakan Inche gebuna! Tak acilah gitu! Depa tu baru masuk Islam! Kami ni dah lamaaa. Dah buat tarbiyah dan dakwah! Mana samaaa!

Hehe. Ye ke tak sama?

Yang sama tu adalah pada bahagian negosiasi tu.

Mengapa kita sampai tergamak boleh mahu bernegosiasi (Baca: Memberikan alasan) dengan dakwah? Mahu bermudah-mudah dan bersenang-senang dalam kerja-kerja tarbiyah kita? Bukankah kerana kita merasakan kita sudah ada jasa pada dakwah ini kerana lamanya kita berada di dalam gerabak ini? Bukankah kerana ego dan angkuh yang tersembunyi di dalam hati kita, dek kerana kita merasakan yang gerabak yang kita sertai ini sedikit sebanyak sudah menuai buah dan hasil biji benih yang kita tanam suatu ketika dahulu? Bukan begitu?

Aduhai. 

Entah mengapa, secara tidak sedar, perlahan-lahan kita sudah masuk ke dalam zon selesa kita. Bulatan gembira kita mula dirasakan bosan dan terlalu lama. Konferens riang dirasakan jauh dan tidak berfaedah untuk kita. Bulatan gembira hadek-hadek mula kita abaikan, entah ke mana. Tarbiyah, tajmik dan perkara-perkara asas dalam dakwah sudah mula kita pandang enteng dan tinggalkan. Sebarang taklifan atau tugasan yang mahu diberikan kita tolak dengan alasan beri peluang kepada orang lain untuk belajar dan timba pengalaman.

Sedangkan dahulu kitalah yang pertama-tama sekali menyahut bila sahaja ada seruan yang menggerakkan. Kita dahulu yang masuk ke dalam kereta, tidak sabar-sabar untuk bertemu dan bermuayasyah dengan teman-teman seperjuangan setiap kali ada program yang menghidupkan. Tidak pernah sekali kita mengomel atau membebel bila mana murabbi kita mahu berbulatan gembira di tempat yang tidak berdekatan. Kita tidak pernah berkira apatah lagi capai kalkulator apabila seruan infaq dicanangkan. Dan kitalah yang paling bersemangat dan bersungguh-sungguh setiap kali kita diamanahkan dengan tanggungjawab atau tugasan.

Ke mana perginya ruh itu? Sudah matikah semangat itu? Sudah layukah hamasah itu??

Semakin lama kita berada di dalam gerabak ini rupa-rupanya tidak menambah semangat pengorbanan dan bara kesungguhan yang ada di dalam jiwa. Tetapi ia hanya menambah lemak pada futur dan kotor pada kefahaman yang pernah kita bina!

Allah Allah! 

Rupa-rupanya kita masih belum lagi benar-benar beriman dengan manhaj perjuangan ini. Rupa-rupanya kita masih belum betul-betul faham pada tuntutan dakwah ini. Dan rupa-rupanya selama ini kita hanya bermain-main dan berangan-angan dengan tarbiyah ini!

Kerana iman belum masuk lagi ke dalam hati dan meresapi sanubari kita!

Nanges laju-laju. 

Pada masa yang sama, saya tidak menolak apatah lagi menafikan sensitiviti saorang murabbi untuk mengambil kira keadaan dan situasi mutarabbi yang dibawanya. Iyalah, dalam mentakwin, membina dan membentuk mutarabbi yang dibimbing itu, kita tidak mahu terlalu gopoh memetik buah, sehingga terpetik juga buah yang belum masak bukan? Proses pembinaan dan pentakwinan yang dilakukan mestilah dilakukan dengan teliti, berhati-hati dan penuh dengan kasih-sayang, agar rijal yang dilahirkan ialah mereka yang benar-benar intima' dengan dakwah dan perjuangan ini! 

Namun itu bukan alasan untuk bermudah-mudahan dan bermanja-manja dengan dakwah ini tahu? Dan sekali-sekala mencubit perut atau mempiat telinga dengan penuh ketegasan itu juga boleh jadi suatu bentuk kasih-sayang tahu? Wahahaha.

Maka sekiranya kita pernah melakukan itu semua, bernegosiasi dengan dakwah, beralasan agar dapat berselesa dengan tarbiyah, ayuhlah kita bermuhasabah. Ke mana perginya ruh kita yang membara suatu ketika dahulu? Ke mana perginya diri kita yang dahulu, yang apabil semboyan perjuangan diseru, kitalah yang pertama bangkit untuk menyahutnya? Ke mana perginya jiwa kita yang tidak pernah mengomel atau beralasan apabila kita diuji dengan bebanan tarbiyah dan dakwah?

"Dan jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya, Dia tidak akan mengurangi sedikit pon pahala amalanmu."

Sungguh, dalam tarbiyah dan dakwah ini, tiada negosiasi mahupon tawar menawar. Yang ada hanyalah siap-siaga menurut perintah apabila diseru, dalam keadaan ringan mahupon berat, bertenaga atau penat, lapang atau sendat!

Ayuh!

-gabbana-

Alhamdulillah akhirnya berjaya menyiapkan satu artikel selepas hiatus sebulan lamanya. Doakan saya terus tsabat untuk menyumbang kepada ummah! 

26 August 2015

Ikhwah Lipas

Balik je rumah, nampak benda ni. Menjerit melompat atas almari tak dibuatnya kita? Eheh. [Kredit]

Apabila mendengar sahaja perkataan lipas', benda apa yang pertama sekali menerjah kepala dan otak anda?

"Ewwwww!"

"Serangga perosaaaak!"

"Makhluk paling pengotorrr!"

"Ewwwww!"

"Geliiiiiii!!!"

"Ewwwww!"

Dan beberapa lagi reaksi dan respon yang tidak sanggup saya tulis di sini. Begitulah stereotaipnya masyarakat kita tentang lipas.

Lipas ialah makhluk yang seringkali disalahertikan, sebaris dengan babi dan ikan jerung. Kasihan mereka ini yang sering menjadi mangsa su'udzan manusia. Eh.

Hakikatnya, lipas adalah salah satu daripada makhluk terhebat ciptaan Allah. Malah tidak keterlaluan untuk saya katakan, lipas adalah makluk bertaraf super yang tiada tolok tandingnya.

Anda tidak percaya?

Mari kita lihat beberapa fakta tidak terpercaya tentang lipas. 

  1. Bukan semua lipas ialah serangga perosak. Ada 4,000 spesis lipas dan hanya kurang lebih 30 sahaja yang dikategorikan sebagai serangga perosak.
  2. Lipas sudah pon melata di muka bumi Allah ini sejak tiga ratus lima puluh juta tahun yang lampau! 
  3. Lipas boleh hidup dalam keadaan yang amat mendesak. Ia malah boleh hidup tanpa sebarang makanan untuk enam minggu lamanya!
  4. Lipas boleh makan apa sahaja dan ini antara sebabnya mengapa kadar survival nya amat tinggi
  5. Lipas boleh hidup berminggu-minggu lamanya tanpa kepala! Apa?? 
  6. Lipas adalah serangga yang sangat laju pergerakannya. Apabila keenam-enam kakinya beraksi, ia boleh bergerak selaju 80 sentimeter per saat (atau 3 batu per jam)! Tak hairanlah ada simpulan bahasa 'lipas kudung'!
  7. Lipas boleh menahan nafas sehingga empat puluh minit lamanya. Kalau kita tu mahu muka dah biru pekat jadinya!
  8. Lipas Jerman hanya memerlukan tiga puluh enam hari untuk membesar menjadi lipas dewasa! 
  9. Dan ini fakta yang paling meletupkan otak: Lipas boleh kekal hidup hatta selepas letupan nuklear...!! (Pasukan Mythbuster telah membuktikan fakta ini dengan sedikit diskelemer)

Bagaimana? Tidakkah kini anda merasakan lipas bukan calang-calang makhluk? Bukankah kini anda melihat lipas tidak sama seperti dahulu? Bukankah kini anda terasa seperti mahu membela lipas dan menjadikan ia sebagai serangga kesayangan anda? Wahahaha. 

Nah, apa kena-mengena lipas dalam kehidupan sehari-hari kita, apatah lagi untuk ikhwah (dan akhawat) seperti yang dicadangkan oleh tajuk post ini? Selain daripada serangga perosak yang sering menghabiskan sisa-sisa makanan kita, yang berlegar dan merayap di dalam kereta kita yang kotor dan sebab utama mengapa kita membeli Ridsect atau Shieldtox? 

Saya ingin mengambil ibrah daripada fakta-fakta menakjubkan tentang lipas seperti yang saya kongsikan dan kaitkan dengan kita semua. 

Anda sudah bersedia? Tahan nafas anda. 

Bukan semua lipas adalah serangga perosak
Seperti lipas, kehidupan sebagai seorang al-akh juga sering disalahertikan. Ikhwah tidak kool. Ikhwah tidak hensem. Ikhwah skema. Ikhwah takde life. Ikhwah itu dan ini.

Kasihan kan menjadi ikhwah? 

Namun itulah kepahitan yang terpaksa kita telan apabila dahulunya kita melompat masuk ke dalam gerabak tarbiyah dan dakwah ini. Menjadi seorang al-akh bermakna bersedia untuk menjadi ghuraba' di dalam dunia fana yang penuh fatamorgana ini. Eceh. 

Melihatnya dari satu sudut yang sedikit berbeza, ia sebenarnya adalah motivasi untuk kita agar lebih giat dan bersungguh dalam menyebarkan dakwah, agar orang di luar sana tahu betapa bahagia dan terujanya menjadi sebahagian daripada konspirasi tarbiyah ini. Eheh. 

Biarlah orang salah sangka dan salah erti kita ini seperti lipas sekalipon, asalkan kita ini lipas yang menuju redha Allah! Eh.

Lipas sudah wujud sejak ratusan juta tahun
Obor dakwah yang kini di tangan kita, sebenarnya sudah menyala sejak zaman Nabi Adam AS lagi. Jika kita menelusuri al-Quran, kita akan dapati semua Rasul dan Nabi membawa risalah tauhid yang sama. Mereka menyeru dengan seruan yang sama dan mengajak dengan ajakan yang sama.

Makanya, kita perlu berasa teramat bangga bahawasanya al-Haq yang kita perjuangkan ini bertokmoyangkan para Nabi dan Rasul kekasih Allah semuanya! Allahu Akbar!

Lipas adalah survivor
Sebagai seorang dai'e, tidak boleh tidak, kita pasti akan diuji dengan pelbagai mehnah dan tribulasi. Dan kadangkala, cubaan yang menimpa kita tersangatlah berat dan mencabar, sehinggakan yang tinggal ketika itu hanyalah kita dan Allah semata. Hatta rakan-rakan dan keluarga kita juga mungkin akan meninggalkan kita! 

Maka bersedialah. Ketika kita diuji pada titik kita yang paling lemah, sehingga kita tergolek dan terduduk, tersadung dan terjatuh, ketika itu, ingatlah pada semangat lipas!

Lipas boleh makan apa sahaja
Kadangkala sumber-sumber untuk berdakwah yang ada pada kita tersangatlah terhad. Mungkin pada satu ketika, kita tidak punya kenderaan untuk bergerak. Pada ketika yang lain, mungkin kita tiada satu sen pon untuk dibelanjakan. Dan pada masa masa yang lain, kita tidak punya masa dan tenaga, kerana terlalu penat diperah dan dikerah oleh dunia. 

Ketika itu, kita perlu manfaatkan apa sahaja yang kita ada agar obor dakwah itu akan terus menyala. Kita perlu gunakan segala sumber yang tersisa agar tarbiyah dan dakwah itu agar terus hidup di dalam diri kita! 

Lipas boleh hidup tanpa kepala
Ha yang ini sangat menarik untuk diinterpretasikan. Kadangkala kita terpaksa meneruskan kehidupan dakwah kita hatta tanpa murabbi yang membimbing kita. Contoh yang sangat praktikal adalah apabila kita tercampak nun ke hujung ceruk tok kun atau tempat jin bertendang sana, sama ada disebabkan kerjaya atau balik kampung. Buatnya pulak tiada internet atau lebih teruk, talian telefon! Adeh. 

Nah, ketika itu takkanlah kita sanggup membiarkan tarbiyah diri yang sudah terbina sejak sekian lama tergadai terkorban begitu sahaja?

No no no! Jadilah seperti lipas yang boleh hidup berminggu lamanya walaupon tanpa kepala!

"Oh kalau macam tu Inche gabbana, lepas takde murabbi untuk berminggu lamanya, boleh futur lah?"

Tersedak. 

Lipas kudung
Seperti lipas, seorang dai'e murabbi itu mesti pro-aktif dan sentiasa laju di dalam setiap tindakannya. Bukan gopoh, tapi laju! 

Tidak perlu sentiasa menanti arahan murabbi untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Sentiasa sensitif dengan keadaan ikhwah dan sebarang konflik/isu yang ada. Sentiasa pantas melangsaikan sesuatu tugasan dan taklifan yang diberikan. Sentiasa merebut peluang dakwah yang ada tanpa menunggu sesiapa. Dan dengan penuh keterujaan dan semangat menyebarkan syahadatul haq!  

"Err Inche gabbana, kalau murabbi ajak berbulatan gembira atau konferens riang, lepas tu saya cepat-cepat lari, itu dikira mengambil semangat lipas tak?"

Jatuh kerusi.  

Lipas boleh menahan nafas lama
Err.

Kadangkala kita ditahan daripada sumber yang paling asas dalam berdakwah; tarbiyah contohnya. Hal ini boleh jadi disebabkan oleh keadaan setempat yang punya banyak kelemahan sehingga tarbiyah para kader dakwah diabaikan. Atau boleh jadi disebabkan oleh cabaran-cabaran kehidupan seperti kerjaya, keluarga dan sebagainya.

Apabila kita dilanda badai sebegini, tatkala sumber asas yang memberi kehidupan kepada jiwa dan ruh kita ditarik dan dirampas, ketika itu kita mesti punya kebolehan untuk terus bertahan dan bertahan. Paling koman, kita masih punya tarbiyah dzatiyah untuk dijadikan pergantungan. 

Terer tak saya goreng? Wahahaha. 

Lipas boleh membesar dalam tempoh yang singkat
Dalam dakwah, kita perlu menjadi matang dengan cepat. Matang itu bukan bermakna berjambang, jalan mendabik dada dan apabila ada orang terlanggar bahu, kita marah-marah. Itu bukan matang. 

Tetapi matang yang dimaksudkan di sini adalah tidak kebudak-budakan, manja dan mengada-ngada dalam berdakwah. Semuanya nak mengharapkan pada murabbi sahaja. Ikhwah tegur sikit dah merajuk belakang pokok. Semua perkara nak siap tersedia tanpa kita mengeluarkan sebarang usaha. Kena berkorban sikit dan mengeluh berjela. Kalau murabbi atau mas'ul tak suruh, satu benda pon tak jalan.

Tak lipas la bro!

Lipas boleh tahan letupan nuklear
Akhirnya, kita perlu menjadi seorang dai'e murabbi yang punya jati diri yang utuh dan keimanan yang kukuh. Sehinggakan apabila musibah yang paling dahsyat dan mehnah yang paling mengerikan datang melanda sekalipon, kita tetap berdiri dengan hensem bergaya.

Tidak kiralah musibah berupa pergolakan jemaah, keluarga yang tidak memahami, kesempitan hidup, masyarakat yang menolak dakwah yang kita bawa atau pihak penguasa yang memburu kita, sehebat dan sekuat mana pon ujian yang datang menyerang kita, kita akan tetap tsabat di atas jalan perjuangan ini. 

Kerana apa? Kerana kita punya Allah di sisi. 

Senyum.

Begitulah sedikit sebanyak pengajaran dakwi dan tarbawi yang boleh kita ambil dari kehidupan saorang lipas. Eh maksud saya, seekor lipas. Siapa sangka bukan, dari lipas yang sering disalaherti itu pon, rupa-rupanya ada banyak pengajaran dan hikmah yang boleh kita ambil dan amalkan?

"Tidakkah engkau tahu bahawa apa-apa yang ada langit dan apa-apa yang ada di bumi bersujud kepada Allah, juga matahari, bulan, bintang, gunung-gunung, pohon-pohon, haiwan-haiwan yang melata dan banyak antara manusia? Tetapi banyak (manusia) yang pantas mendapatkan azab. Barangsiapa dihinakan Allah, tidak seorang pon yang akan memuliakannya. Sungguh, Allah berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki."
[al-Hajj, 22:18]

Ayuh ikhwah!

Jika lipas yang kecil dan tidak dikurniakan akal itu pon boleh jadi sebegitu hebat, manusia yang Allah kurniakan akal fikiran, tinggikan derajat dan muliakan melebihi sekalian makhluk yang lainnya, wajiblah menjadi jauh lebih hebat lagi kan?? 

Malulah kalau pada bila-bila masa, hatta sesaat cuma, perangai dan akhlak kita menjadikan kita lebih hina dari lipas!
Ayuh jadi ikhwah lipas!

Err maksud saya, ayuh jadi sehebat lipas! Wahai!

-gabbana- 

Saya ada beberapa cerita yang menarik tentang lipas:

1) Saya pernah dengar kes kemalangan yang melibatkan akhawat kerana terlalu sibuk mahu membunuh lipas di dalam keretanya. Moral dari cerita ini? Jangan biarkan ada sisa makanan di dalam kenderaan anda.

2) Ada satu tips berguna untuk memerangkap lipas yang berkeliaran di dalam kereta anda. Dapatkan sebotol minuman manis dan minum air di dalamnya sehingga hampir habis. Biarkan botol itu tanpa penutupnya. Tinggalkan di dalam kereta anda buat semalaman. Esok pagi, anda pasti akan dikejutkan dengan nenek lipas, atok lipas, mak lipas, bapak lipas dan anak beranak lipas sedang berkenduri kendara di dalam botol itu. Tutup dan buang botol itu. 

3) Orang Sarawak menggelar orang Semenanjung sebagai 'lipih' iaitu lipas. Mengapa? Sila dapatkan kawan Sarawak yang terdekat dengan anda dan tanyakan kenapa. 


Mohon jangan ada mana-mana pengarah atau penerbit yang mencari saya selepas ini untuk menulis skrip filem terbaru berjudul 'Lipas Man.' Kekeke. 


17 November 2014

Motivasi Di Atas Jalan Dakwah

[Kredit]

Apabila kita mula berasa penat dengan kerja-kerja dakwah kita; sering pulang lewat malam kerana banyaknya bulatan gembira yang dibawa, dengan entah pelbagai isu tarbiyah dan dakwah yang perlu ditangani, jemputan-jemputan mengisi di konferens riang yang tidak berhenti, belum dihitung campur perangai hadek-hadek yang entah beraneka rupa, juga dengan pelbagai masalah peribadi... Ketahuilah bahawa rehat yang abadi hanya di sorga sana.

Tatkala kita mula berasa mahu berputus-asa dengan dakwah ini dek keberhasilan dakwah yang cukup mengecewakan, mad'u yang lari angkat kaki, ikhwah akhawat yang sering bertengkar dan berperang waksep hanya kerana perkara-perkara remeh dan temeh, masalaah taadud jemaah yang sentiasa pasang dan tidak pernah surut... Ketahuilah bahawa masih ramai lagi manusia di luar sana yang memerlukan sentuhan rabbani menerusi tangan-tangan kita.

Ketika mana kita mula berasa 'mahalnya' pengorbanan kita di atas jalan dakwah ini; duit yang terpaksa dibelanjakan untuk minyak dan kereta, tenaga yang dihabiskan untuk amal-amal menyantuni masyarakat, masa yang diluangkan untuk bermuayasyah bersama mad'u sedangkan keluarga sendiri entah ke mana, jawatan atau kedudukan yang terpaksa kita lepaskan, emosi yang terpaksa ditahan dan dijinakkan hanya kerana mahu itsar pada ikhwah dan akhawat yang lainnya... Ketahuilah sorga itu sememangnya mahal, amat mahal harganya.

Di kala kita merasakan bahawa kita tidak memperoleh apa-apa daripada dakwah ini; hanya ejekan dan jelingan yang diterima, tiada bonus atau ganjaran yang menjadi pembakar semangat untuk lebih kuat bekerja, tiada juga pujian atau penghargaan daripada sesiapa, malah terpaksa pula menanggung pelbagai ujian baik dari segi harta, keluarga mahupon kerjaya... Ketahuilah, dakwah ini sememangnya tidak memerlukan kita.

Tika mana kita membandingkan diri kita dengan mereka yang tidak bersama-sama dengan gerabak dakwah ini dan berasa cemburu dengan mereka; cemburu pada harta yang mereka berjaya kumpulkan, cemburu pada tempat-tempat pelancongan yang pernah mereka lawati, cemburu pada jawatan dan kedudukan yang mereka pegang, kecewa dengan pencapaian akademik dan kokurikulum mereka... Ketahuilah bahawa kerja-kerja dakwah yang sedang anda lakukan itu lebih besar nilainya dari seluruh dunia dan seisinya.

Pabila kita sudah tidak tertahan lagi dengan ujian dan mehnah di atas jalan dakwah ini, terasa terpukul dengan cubaan yang datang bertubi-tubi, terduduk dengan entah beraneka tribulasi yang tidak henti-henti, naik stress dan migran dengan entah bermacam macam masalah yang perlu ditangani, mahu muntah dengan entah apa-apa yang memakan dan menyeksa diri...Ketahuilah Rasulullah, para sahabat dan generasi awal telah melaluinya malah lebih teruk dan dahsyat lagi. 

Apabila kita merasakan diri kita mahu futur daripada jalan ini, berasa muak dan rimas dengan kerja-kerja tarbiyah dan dakwah yang dirasakan rutin itu, sudah bosan menjadi 'orang baik', sudah tidak berasa basah lagi dengan pengisian-pengisian ruhiyah yang dahulunya menggugah jiwa, tidak terasa lagi dengan kehangatan ukhuwwah... Ketahuilah dakwah ini tidak akan rugi apa-apa dengan gugurnya kita di atas jalan ini.

Tatkala kita berasa semakin jauh dari Allah, malu dengan jahiliyyah dan dosa-dosa yang masih belum kita tinggalkan, merasakan diri tidak layak lagi untuk bersama-sama dengan gerabak dakwah ini, berasa lemah dan sakit untuk meneruskan perjuangan di atas jalan ini... Ketahuilah Allah itu sentiasa ada, sentiasa dekat di sisi kita, sentiasa menanti-nanti agar kita kembali.

Bergembiralah kerana yang kita kejar adalah redhaNya, bukan redha manusia. 

Bergembiralah kerana menyambung mata rantai dakwah yang ditinggalkan Nabi.

Bergembiralah kerana kita sebenarnya sedang menyelusuri jalan yang sama yang pernah dilalui oleh para Nabi.  

Bergembiralah kerana kita punya akaun saham-saham sorga yang harganya menaik saban hari.

Bergembiralah kerana dengan ujian dan mehnah yang kita lalui, Allah sedang menaikkan darjat kita.

Bergembiralah dengan pengorbanan kita yang sedikit itu, kerana ia adalah tiket kita ke sorga.

Bergembiralah kerana menjadi dai'e, suatu gelaran yang amat mulia di seluruh galaksi Bimasakti.

Bergembiralah kerana telah dipilihNya untuk berada di atas jalan ini.

Bergembiralah!

"Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itu adalah kemenangan yang agung."
[at-Taubah, 9:111]

-gabbana-

2 July 2014

Baitul Muslim: Dakwah Atau Fitnah?

Ehem? [Kredit]
Meski ada yang tersedak, walau ada yang tersembur, juga mungkin ada yang jatuh kerusi, saya merasakan perlunya untuk saya menulis ini.

Ya, setelah melihat berkali-kali di hadapan mata kepala saya sendiri, saya merasakan perlunya untuk saya mewarkahkan sesuatu tentang hal ini.

Benar, seperti yang pernah saya sebutkan dalam artikel-artikel bertemakan al-Baitul Muslim (BM) sebelum ini, saya bukanlah orang yang paling layak untuk berbicara tentangnya; atas premis yang paling mudah dan tuntas yakni saya sendiri belum lagi mendirikannya.

Pandang kiri, pandang kanan. 

Samalah seperti orang yang tidak pernah menebar roti canai kemudian dengan selamba pandanya berkata, alah kacang goreng cap Nganyin je nak buat roti canai! Eh boleh pakai ke analogi sebegitu?

Namun saya melihat ada sedikit kelebihan berada di dalam posisi saya. Saya melihat situasi yang berlaku sebagai orang luar. Dan bukan orang luar yang biasa-biasa, tapi orang luar yang telah dimomokkan dengan pelbagai cerita dan teori tentang BM. Atau dengan bahasa yang lebih mudah difahami, saya adalah juga kelayakan untuk memberi sedikit komentar tentangnya. 

Samalah seperti orang yang tidak pernah menebar roti canai, tapi dia pernah menguli tepung yang akan digunakan untuk membuat roti canai tersebut. Wahahaha ok mengarut. 

Ehem.

Sepertimana yang kebanyakan daripada anda ketahui (saya agak-agak je kebanyakan), BM terletak pada tangga kedua selepas Individu Muslim dalam maratibul amal (tanggal-tanggal amal). Secara idealnya, BM didirikan selepas ciri-ciri asas dalam pembinaan individu muslim telah berjaya dilangsaikan. Dengan kata lain, hanya mereka yang telah benar-benar bersedia sahaja yang sewajarnya berBM.

Nah, di sinilah masalahnya bermula. Bagaimana kita dapat mengetahui bahawa seseorang itu telah benar-benar bersedia untuk berBM? Apa syarat-syaratnya? Apa tanda-tandanya? Adakah sekiranya seseorang itu gagal melepasi syarat-syarat minima yang telah ditetapkan, maka dia tidak layak untuk mendirikan rumah tangga?

Peh ektrem sungguh anda ini. 

Oh ya. Terlupa pula saya untuk meletakkan disklemer terlebih awal. Tapi saya nasihatkan hanya mereka yang jelas dengan konsep maratibul amal atau yang telah terlibat dalam gerabak tarbiyah dan dakwah sahaja yang harus meneruskan pembacaan. Kepada anda yang lain-lainnya, saya sama sekali tidak bertanggungjawab dengan sebarang kejadian berpeluh tanpa kawalan, kejadian ketap gigi sampai patah, upacara garu kepala sehingga botak dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya sekiranya anda berdegil juga dan mahu meneruskan pembacaan.

Bak kata omputih, you have been warned.

Baiklah, kita sambung.

Sejak awal mengenali tarbiyah, saya telah dididik hanya mereka yang benar-benar bersedia sahaja yang layak mendirikan BM. Tidak perlu gopoh. Tidak perlu terburu-buru. Jangan terkocoh-kocoh.

Kerana amanah dan tanggungjawab yang datang bersama dengan pembinaan BM itu terlalu amat besar dan berat. Fitnah dan mehnah yang datang sejurus sahaja lafaz akad dilaksanakan itu begitu getir dan perit. Risau nanti jika tidak bersedia, jika tidak benar-benar kuat, akan jatuh tersungkur dan tersembam. Adeh.

Maka fasa individu muslim itu perlu dilalui dan dibereskan dengan teliti dan amanah. Batu-bata yang mahu disediakan untuk membina khilafah Islam itu perlu diadun dan dibakar dengan baik agar hasilnya nanti kuat dan utuh. Proses tarbiyah yang perlu dilaksanakan untuk membentuk rijal ummah ini hendaklah dipenuhi tanpa ada sebarang kompromi.

Namun orang macam saya ini sering dilabel sebagai syadid. Terlalu keras dan cerewet. Malah ada yang marah, mengatakan mengapa perlu disusahkan dan dipayahkan urusan perkahwinan. Kalau sudah jatuh hukum wajib atau sunat untuk berkahwin dari segi fiqhnya, maka kahwin sahajalah! Buat apa mahu lengah-lengah?

Asek-asek individu muslim. Asek-asek usrah. Asek-asek tarbiyah. Tak kawenlaaaahh aku nokkkk!

Err.

Bukan, bukan mahu sengaja menyukarkan. Bukan mengada-ngada mahu melewatkan. Bukan pula mahu bajet diva. Eh.

Tetapi ikatan perkahwinan seorang lelaki yang bergelar al-akh dan seorang perempuan yang memegang status al-ukht itu bukan ikatan yang biasa-biasa. Sungguh, ia sebuah ikatan suci yang luar biasa. Dan kerana keluarbiasaannya itulah, ia datang dengan pelbagai mehnah dan ujian yang luar biasa juga.

BM yang dibina sewajarnya melajukan lagi dakwah. BM yang terlaksana seharusnya menggerakkan lagi tarbiyah. Ikatan suci seorang al-akh dengan al-ukht yang faham dan jelas akan peranan masing-masing dalam gerabak tarbiyah dan dakwah sewajarnya menyemarakkan lagi hamasah dan jiddiyah mereka untuk terus laju memacu perjuangan ini. Semacam Son Goku yang membuat penggabungan dengan Bezita. Eheh. 

Malangnya, bukan itu yang saya lihat.  

Ada akh yang begitu hebat dan lancah di pentas dakwah, jatuh tersungkur selepas berBM.

Ada ukht yang sungguh berkobar-kobar semangatnya memperjuangankan risalah, terpadam bara himmahnya selepas berBM. 

Ada akh yang dahulunya paling ke hadapan apabila diminta berkorban, kini seringkali memberi alasan selepas bergelar seorang zauj.

Ada ukht yang dahulunya tidak pernah ragu-ragu apabila ditagih harta, masa dan tenaganya, kini sering mengelak setelah bergelar seorang zaujah. 

Amboi amboi Inche gabbana. Lebatnya anda berkata-kata. Mana anda tahu semua ini..?? Anda bukan pernah berBM ponn! Gebang je lebih!

Alahai. Mana saya tahu?

Kerana saya sudah melihatnya dengan mata kepala saya sendiri. Tidak cukup dengan itu, siap dengan cermin mata sekali. Heh.


Bukan seorang dua. Bukan sepasang dua. Tetapi cukup ramai sehingga membuatkan saya tertanya-tanya, benarkah kesatuan ini benar-benar bermanfaat untuk dakwah? Atau hanya mendatangkan fitnah?

Berapa ramai ikhwah yang meninggalkan bulatan gembira atas alasan sibuk dengan keluarga?

Berapa ramai akhawat yang dilarang untuk pergi menghadiri konferens riang kerana dihalang oleh zaujnya?

Berapa ramai ikhwah yang lesu dan layu setelah berBM, tidak lagi seperti dahulu penuh semangat melaungkan slogan jihad? 

Berapa ramai akhawat yang tidak lagi membawa bulatan gembira seperti dahulu dengan alasan tidak lagi punya ruang dan peluang untuk semua itu?

Berapa ramai orang ikhwah dan akhawat yang futur dan gugur dari perjuangan ini selepas mendirikan BM yang kononnya dibina atas dasar tarbiyah dan dakwah...??

Allahu.

Ya, tidak terjadi kepada semua. Tetapi seperti yang saya katakan, saya sudah melihat sendiri begitu banyak kes sehinggakan saya sendiri berasa ngeri dan cemas untuk mendirikan BM sendiri. Tidak yakin adakah saya mampu untuk mengharungi ombak mehnah yang begitu dahsyat. Ragu-ragu dengan kemampuan dan persiapan diri untuk bergelar seorang, err, *telan air liur* suami kepada seorang al-ukht nanti.

Seorang al-akh yang amat saya kasihi dan tsiqahi malah pernah mengungkapkan sesuatu yang amat sukar untuk saya telan, terutamanya kerana ia datang daripada seorang murabbi yang cukup berpengalaman di atas jalan ini. Katanya,

"Ana tak percaya yang BM ni melajukan dakwah. Ana dah tengok ramai ikhwah yang jadi lagi slow selepas berBM."

Aduh.

Di mana silapnya al-Baitul Muslim yang didirikan atas nama tarbiyah dan dakwah itu? [Kredit]

Untuk rekod, memang ada ikhwah yang terus tsabat malah semakin hebat selepas berBM. Memang ada ikhwah yang terus membawa bulatan gembira setelah mendirikan rumah tangga. Memang ada ikhwah yang tidak pernah putus bermuayasyah dengan hadek-hadeknya meski sudah bergelar suami kepada orang lain. Mereka inilah yang menjadi qudwah kepada saya dalam menyantuni erti sebuah BM. Mereka inilah yang terus memberikan saya harapan bahawa idealisme ikhwah dan akhawat yang masih boleh kekal tsabat dan hebat setelah berBM itu benar dan bukannya ilusi semata-mata.

Namun bilangannya tidak ramai. Jumlahnya sedikit. Tidaklah seramai seperti yang sepatutnya. Justeru di mana silapnya? Di manakah perginya asas-asas yang telah dibina sewaktu fasa individu muslim dahulu? Mengapakah benih-benih yang disemai sewaktu melalui fasa pembinaan rijal itu tidak berbuah seperti yang diharapkan?

Seorang lagi al-akh yang juga saya kasihi lagi tsiqahi menawarkan penjelasan untuk situasi ini, kerana dia juga risau dan garu kepala melihatkan keletah ikhwah yang terrsungkur secara berjemaah selepas berBM. Untuk rekod, dia sudah berBM dan dia antara al-akh yang saya kagumi dan hormati kerana keteguhannya selepas mendirikan mahligai chenta. Katanya:

"Mungkin BM ini adalah tarbiyah dan tapisan kepada al-akh yang bernikah itu, untuk melihat sejauh mana dia benar-benar ikhlas menyertai gerabak dakwah ini."

Padu. Sumpah padu.

Lantas saya teringatkan kepada sepotong ayat Quran, yang sering kita ulang baca, ulang dan ulang, namun jarang sekali kita memaknainya.


"Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia chenta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda tang tertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik."
[Ali-Imraan, 3:14]

Hubb. Chenta. Suatu perasaan yang hanya difahami oleh hati. Suatu perasaan apabila dialami, maka bergegarlah jiwa bergoncanglah dunia.

Sehingga mandi pon tak bersabun, tidur pon tak berdengkur dan makan pon tak bertambah nasi. Wahahaha.

Yang pertama itu Allah letakkan perempuan-perempuan. Nisa'. Keduanya anak-anak. Yang mana kedua-duanya membentuk sebuah keluarga impian bagi setiap lelaki yang fitrah. 

Mengapa lelaki? Kerana...
"Lelaki (suami) itu adalah pelindung kepada perempuan (isteri), kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan)..."
[an-Nisaa, 4:34]


Arakian lelakilah yang lebih bertanggungjawab dalam memacu halatuju keluarganya.

Seorang lelaki itulah yang memegang amanah untuk membimbing dan memandu ahli-ahli keluarganya. 

Seorang lelaki itulah yang menentukan hitam putihnya, bersih kotornya perjalanan kehidupan keluarganya.

Maka benarlah chenta itu buta. Kerana seorang lelaki yang telah jatuh chenta berguling-guling kepada perempuan-perempuan dan anak-anak, terus melupakan chentanya pada yang lain.

Ke mana chentanya pada tarbiyah dan dakwah dahulu?

Ke mana chentanya pada muayasyah bersama hadek-hadek bulatan gembira?

Ke mana chentanya pada semangat jihad yang berkobar-kobar sewaktu ketika dahulu?

Ke mana chentanya pada tidur gelandangan di mesejid bersama ikhwah tersayang?


Ke mana chentanya pada erti sebuah pengorbanan?

Semuanya dibutakan atas nama chenta pada perempuan-perempuan dan anak-anak. Semuanya dikaburkan dengan keluarga idaman yang bernama al-baitul muslim itu.

Tarik nafas.

Ya, Allah tahu apa yang kita sembunyikan di dalam hati kita itu. [Kredit]

Silakan untuk berasa marah. Silakan untuk berasa jengkel. Anda berhak untuk semua itu. Anda berhak untuk tidak bersetuju.

Malah silalah komen. Silalah kritik. Silalah tegur dan perbetulkan mana-mana bahagian yang tidak tepat.

Buktikan saya salah. Buktikan saya terkhilaf. Buktikan yang saya tidak faham. 

Kerana ini luahan sebuah hati. Sebuah hati yang jujur, yang semakin sangsi dengan sebuah institusi bernama al-baitul muslim itu.

-gabbana- 

Emosi? Tidaklah. Cuma meluahkan apa yang sudah lama terpendam selama ini.

Doakan agar saya banyak berkata-kata ini, tidak terjatuh ke dalam lubang yang sama. Doakan al-baitul muslim saya suatu hari nanti akan menjadi qudwah dan bukannya fitnah.

Jujur, saya benar-benar risau...
    

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP