Showing posts with label Merepek Kerepek. Show all posts
Showing posts with label Merepek Kerepek. Show all posts

31 December 2013

Gelak Turun-Turun

[Kredit]

TELUK ANSON, 29 Disember 2013 - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) digesa untuk mengkaji semula cadangan untuk mendaftarkan kata 'guling' sebagai ganti nama (atau sinonim) kepada kata 'turun.' Hal ini mungkin akan menyebabkan kekeliruan yang mengerikan di samping kekacauan yang akan menggugat kestabilan dan keamanan negara.

Menurut Encik Somtam Berahim, seorang guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Kudup Teratai, tindakan DBP itu dilihat sebagai tidak relevan dan mementingkan diri. "DBP sepatutnya menjadi lebih pro-aktif dalam menangani isu-isu semasa dan terkini, terutamanya apabila ia melibatkan kepentingan masyarakat secara umum. Penukaran ganti nama 'turun' itu akan menyebabkan anak-anak murid saya tidak keruan dan gila meroyan."

Cadangan DBP ini bukan sahaja akan memberikan kesan kepada warga akademik, tetapi juga masyarakat secara umumnya. Menurut Makcik Lailatul Karim, seorang penjual nasi lemak sambal kerang tepi jalan, "Makcik dan konpius dah sekarang ni. Hari tu ada seorang pelanggan dok cakap kat Makcik, 'Ala makcik, gulingkan harga nasi ni. Saya amik separuh je nasi. Guling sikit deh?' Makcik pening. Makcik pening!"

Antara situasi-situasi lain yang dijangka akan terjejas teruk dengan langkah yang bakal dilaksanakan oleh DBP ini termasuklah:

Situasi 1
"Leman..! Lemaaaannn! Mana kau Lemaaannn..!! Oooohh kau ponteng sekolah ye hari ni...?? Cikgu kau telepon mak tadii...! Lemaaann! Kau guling sekarang Leman, kau gulinggg!!!"

Situasi 2
Beberapa pemain bola sepak wakil daerah Rompin dilihat berguling-guling di atas padang bola selama beberapa minit, sehinggalah ada yang pening-pening lalat dan muntah-muntah.

Apabila ditanyakan kepada mereka, apakah yang menyebabkan mereka berbuat demikian, ini jawapan mereka:

"Entah. Jurulatih suruh guling padang tadi pukul 5."

Situasi 3
"Weyhh seram aku tengok bomoh Siam sorang ni," bisik Andy Murray.

"Aik? Apehal nak seram pulak? Kau bukan selalu mintak nombor ke?" jawab rakannya, Rafael Nadal.

"Ye la. Selalunya tak macam ni. Ni siap guling-guling lagi."

"Ye la, nak mintak nombor, kenalah mengguling!"

Situasi 4
"Leha, oh Leha. Dah nak Maghrib ni. Kau tolong gulingkan langsir tu. Ha ye la, langsir kat ruang tamu tu. Kau gulingkan elok-elok ye?"

Situasi 5 
Menurut kajian yang dilakukan oleh Pusat Merdeka, populariti Dato' Sri Najib telah mengguling sejak beliau mengumumkan satu demi satu kenaikan harga barang. 

Situasi 6
"Eh Mail...?? Kau buat apa tu...??"

"Lah, kata nak guling ke laut kan hari ni..? Aku tengah mengguling la ni!"

Situasi 7
*sarikata Bahasa Melayu filem Spiderman*

"Hah! Tengok tu! Spiderman sedang guling dari atas bangunan! Kool!"

Situasi 8
Seorang ustaz sedang memberikan tazkirah di sebuah surau.

"Ego dan manusia memang tidak dapat dipisahkan. Namun seorang mu'min itu mestilah pandai menguruskan egonya. Kalau egonya terlalu tinggi, dia hendaklah menggulingkan egonya itu sebaik mungkin."

Situasi 9
Nilai pasaran saham Syarikat Biskut Cap Bola Baling mengguling dengan teruk sekali, rentetan harga gula yang naik menyebabkan produk utama syarikat tersebut, Biskut Gula Hohoyeah tidak lagi mendapat sambutan di hati para pelanggannya.

Situasi 10
*Iklan produk Sendayu Rendah*

"Dapatkan produk kami dengan segera! Ia gerenti akan menggulingkan berat badan anda serta-merta, sekiranya anda mengambilnya dengan istiqamah, tiga kali sehari setiap kali selepas makan!"

Situasi Bonus* 
Lagu Sudirman yang  dimodenkan:

"Hujan yang guling, bagaikan air mata..."

Demikianlah beberapa situasi yang dijangkakan akan menyebabkan masyarakat keliru dan garu kepala sekiranya DBP benar-benar akan melaksanakan pendaftaran 'guling' sebagai ganti nama kata 'turun.' Sebarang tindakan melulu dan tergopoh-gapah bukan sahaja akan menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia, malah dijangkakan akan turut memberi kesan kepada ekonomi dan industri hiburan negara. 

Sekian melaporkan, dari bilik berita Sinar Parodi.

-gabbana-

*(Terima kasih kepada idea seorang pembaca di MukaBuku) 

Lepas ni kalau baca Mutiara Naga terjemahan baru, ada kemungkinan akan keluar dialog seperti ini:

"Son Goku! Cepatlah! Panggil awan turun kamu datang sekarang juga!"

Awan turun = Awan guling

Wahahaha. Peluh kecil. 

Ada sesiapa nak guling ke masjid malam ni dengan saya, sambut tahun baru dengan tahajjud dan munajat..? Senyum. 

20 September 2013

Apa Jadi Kalau Orang Terkenal Ikut Tarbiyah

[Kredit]

Anda yang sudah jatuh chenta berguling-guling di lereng bukit ala-ala filem Hindi dengan tarbiyah, pasti amat bersetuju dengan saya, betapa tarbiyah benar-benar telah mengubah hidup kita. Daripada seekor raksasa gorgon yang kerap meranapkan bangunan kehidupan orang lain, dengan kuasa ajaib pada tarbiyah, kini kita sudah bergelar sebagai Otromen Daina yang hidupnya bukan sekadar mengalahkan pula raksasa-raksasa di luar sana, malah sentiasa berlatih dan bersenam untuk memantapkan lagi diri sendiri. 

Ok merepek. 

Dan anda juga pasti akan bersetuju, tanpa tarbiyah, kehidupan kita pada hari ini mesti amat berlainan dan kucar-kacir sekali. Dahulu saya pernah menukilkan andaian-andaian liar saya, bagaimana agaknya kehidupan saya tanpa tarbiyah dalam post "Kalau Saya Tidak Bersama Tarbiyah, Saya Sudah Menjual Dadah. Err." Peluh kecil. 

Tarbiyah benar-benar telah memberikan kita dengan kaca mata kehidupan baru yang benar-benar osem lagi bergaya. Kita tidak lagi melihat dunia dan manusia di luar sana dengan pandangan biasa; pandangan nafsu dan jahiliyyah yang selama ini menjadi darah daging dalam diri. Alhamdulillah, kini kita melihat manusia yang jauh daripada Allah dengan perasaan kasih dan belas, di mana kita benar-benar mahu mereka kembali menjadi hamba yang taat kepadaNya. Dan kita juga memandang dunia ini dengan penuh optimis, betapa suatu hari nanti kita yakin Islam akan tertegak kembali menjadi sistem yang akan memerintah alam buana ini dengan penuh adil dan saksama. 

Betulkan tempat duduk. Betulkan tali leher.  

Nah, pernahkah anda terfikir,  sekiranya tarbiyah punya kesan yang cukup mendalam kepada kita semua, bagaimana agaknya dunia ini andai orang-orang terkenal dan selebriti glamor berjaya diumpan, ditangkap dan dihumban masuk ke dalam sangkar tarbiyah..? Ha, pasti menarik bukan? Mereka yang punya pengaruh yang cukup besar dalam masyarakat dan sering menjadi contoh tauladan, pasti dapat memberikan impak yang cukup signifikan kepada kampung, daerah, negeri, negara, benua dan seterusnya dunia! Wahai!

Jom kita saksikan!  

P. Ramlee
Seniman agung yang karyanya masih lagi dipuja dan dihormati oleh segenap lapisan masyarakat pada hari ini, P. Ramlee yang mengikuti bulatan gembira dan sering menghadiri konferens-konferens riang mendapat ilham untuk menghasilkan filem-filem berunsurkan tarbiyah yang bermutu tinggi. Antara filem-filem yang dihasilkannya termasuklah:

  1. Ikhwah Lapuk
  2. Alif Baa Taa
  3. Tiga Abdullah
  4. Ibu Mertuaku, Bukan Akhawat
  5. Jangan Tinggal Daku, Wahai Hidayah
  6. Mutarabbi Berjanggut
  7. Ustaz Pak Belalang
  8. Ahmad Asbab
  9. Sitora Ikhwah Jadian
  10. Anakku Sazali Kenapa Kau Tak Nak Masuk Usrah?

Filem-filemnya yang cukup berkesan dan menyentuh ramai jiwa di luar sana, menjadikan karyanya adalah suatu hasil seni pasti tonton oleh ikhwah dan akhawat, malah dijadikan silibus wajib dalam bulatan gembira. 

Ada iras-iras Hassan al-Banna tak..? Heh. [Kredit]
J.K. Rowling
J.K Rowling disentuh hidayah ketika menaiki keretapi menuju ke sebuah destinasi. Terus sahaja dia mendapat ilham untuk menulis buku kanak-kanak berunsurkan tarbiyah yang watak utamanya adalah Ahmad Heri. Buku ini ditulis dalam lapan siri kesemuanya dan berjaya menembusi pasaran antarabangsa dalam sekelip mata. Jualan buku Ahmad Heri ini begitu laris sekali sehinggakan J.K Rowling, yang kini merupakan seorang akhawat berapi menjadi salah seorang penulis terkaya di dunia.

Antara siri-siri buku Muhammad Heri termasuklah:

  1. Ahmad Heri dan Bulatan Gembira Pertamanya
  2. Ahmad Heri dan Jaulah Menuju RedhaNya
  3. Ahmad Heri Belajar Berdakwah
  4. Ahmad Heri Mengucapkan Babai Jahiliyyah!
  5. Ahmad Heri dan Syahadatul Haq
  6. Ahmad Heri dan Pengalamannya Membawa Bulatan Gembira Sendiri

Martin Luther King Jr.
Marthin Luther King Jr., merupakan seorang aktivis kulit hitam yang memperjuangkan nasib orang-orang kulit hitam yang ditindas dengan begitu teruk di Amerika. Setelah mendapat sentuhan tarbiyah, perjuangannya bukan sahaja memfokuskan kepada memerdekakan bangsanya daripada penindsan dan kezaliman orang kulit putih, tetapi beliau juga memperjuangkan Islam secara keseluruhannya dan mahu melihat Islam tertegak sebagai khilafah di bumi Amerika. 

Di dalam ucapannya yang begitu terkenal di Washington pada tahun 1963, beliau berkata,

"Saya mempunyai sebuah impian, untuk melihat Islam kembali tertegak sebagai khilafah yang bukan sahaja memerintah Amerika, malah dunia dengan penuh adil dan saksama!

Saya mempunyai sebuah impian, umat Islam dan yang bukan Islam akan tinggal dengan penuh harmoni, saling menghormati di bawah panji negara Islam yang benar-benar menjaga kebajikan manusia keseluruhannya.

Saya mempunyai sebuah impian  baik anak-anak para hamba, mahupon anak-anak para pemilik hamba, akan sama-sama bergandingan bahu, berpegangan tangan menuju redhaNya menjadi hamba yang sebenar.

Dan saya mempunyai sebuah impian, suatu hari nanti kita semua dihakimi bukan dengan warna kulit kita mahupon harta yang ada pada kita, tapi nilai taqwa kita di sisiNya."

Epik. 

Mahatma Gandhi
Siapa yang tidak kenal dengan Mahatma Gandhi? Sehingga ke hari ini, wang-wang kertas India dihiasi dengan wajah si tua yang telah berjaya menggegarkan dunia dengan perjuangan aman dan sivilnya dalam menuntut kemerdekaan yang total daripada pihak British. Setelah berkali-kali berhubungan dan berbincang dengan Syaikh Abul 'Ala al-Maududi, beliau mendapat hidayah lantas matanya bersinar-sinar dengan cahaya tarbiyah. 

[Kredit]

Antara kuot-kuot tarbiyahnya yang begitu femes lagi menyentuh hati:

"Hiduplah seperti anda mati pada esok hari. Dan tuntutlah ilmu seperti anda akan hidup buat selamanya."

"Jadilah perubahan soleh sepertimana yang anda mahu lihat pada dunia ini."

"Sekelumit kesabaran adalah jauh lebih berharga daripada satu tan percakapan."

"Tanpa amal, usaha dakwah anda tidak akan ke mana."

"Si lemah tidak mungkin memaafkan. Sifat pemaaf hanya dimiliki oleh mereka yang qawiyy."

"Anda dapat menggegarkan dunia dengan bulatan gembira." 

"Saya adalah seorang askar; askar kepada Allah!"

"Meskipon ada seorang ghuraba, kebenaran tetap adalah kebenaran."

Beliau akhirnya menukar namanya menjadi Muhammad Gandhi. Lejen.

Steve Jobs
[Kredit]

Siapa sangka, pengasas kepada jenama Apple ini yang telah berjaya mengubah dan merevolusikan dunia digital kita pada hari, sebenarnya telah disapa oleh Makcik Hidayah setelah tersalah muatnaik aplikasi azan ke dalam iPhonenya, dan terus tersentuh apabila terdengar laungan azan Subuh di pagi hari. Setelah itu beliau tidak berpaling ke belakang lagi dan terus menghasilkan produk-produk pintar bermutu tinggi yang mempunyai unsur-unsur tarbiyah dan dakwah. Antaranya:
  1. iTadabbur
  2. iTafsir
  3. iHadith
  4. iMutabaah
  5. iSlam
  6. iKhwah
  7. iSK
  8. iHalaqah
  9. iUsul20
  10. iPK

Sudirman Haji Arshad
Penyanyi terkenal di era 80-an ini telah berjaya menarik ramai orang untuk menyertai bulatan gembira dengan lagu-lagu nasyid dan tarbiyahnya, setelah beliau sendiri berjaya diperangkap masuk ke dalam gerabak tarbiyah dan dakwah oleh para peminatnya yang telah berubah. Konsert nasyidnya di Jalan Chow Kit pada tahun 1986 telah berjaya menarik lebih 100,000 orang peminatnya, bukan sahaja dalam kalangan ikhwah dan akhawat, malah masyarakat umum yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan bangsa. Memang osemness!

Antara lagu-lagu nasyidnya yang begitu menggugah jiwa dan memotong bawang termasuklah:
  1. Balik Kampungku, Sorga!
  2. Di Manakah Nilai Tarbiyahmu
  3. Mari Berbulatan Gembira
  4. Milik Siapakah Ukhti Ini
  5. Akhawat Impian
  6. Buraq Tua
  7. Mat Usrah
  8. Merisik Khabar Dah Nak BerBM
  9. 31 Ogos, Kita Sebenarnya Belum Lagi Merdeka Heyy!
  10. Allahu Ghayatuna

Dato' Sri Najib 1Malaysia
Perdana Menteri Malaysia yang keenam ini terkenal dengan pelbagai agenda tranformasinya. Beliau juga amat terkenal dengan pendekatan unik dan berani dalam mendekati anak muda dan pelbagai lapisan masyarakat. 

Ditakdirkan ketika sedang beriktikaf di Masjid Putra pada bulan Ramadhan yang lalu, beliau telah tersentuh dengan taujihat oleh seorang al-akh dan terus membuat keputusan untuk menyertai gerabak tarbiyah. Sayugia bermulalah era transformasi yang berasaskan Islam pada umumnya dan tarbiyah pada asasnya. Antara polisi-polisi dan agenda yang telah dilaksanakan oleh YAB Perdana Menteri kita:

  1. Bantuan Dakwah 1Ummah (BaDIUmm!). Dana akan diberikan kepada program-program tarbiyah dan dakwah tanpa banyak soal, birokrasi mahupon kompromi.
  2. Islamic Economic Transformation Program (iETP). Sistem ekonomi akan ditukarkan sepenuhnya kepada sistem ekonomi berasaskan syariah. Perbankan yang berasaskan riba' diharamkan sama sekali. 
  3. Perumahan Rakyat Ikhwah Akhawat (PRIWA). Bantuan tambahan akan diberikan kepada mana-mana ikhwah atau akhawat bujang yang mahu menubuhkan Rumah Islam (RI) untuk tujuan dakwah.
  4. Permodalan Tambahan Bulatan Gembira (PERMATA). Ini adalah badan pelaburan milik penuh kerajaan untuk memastikan setiap rakyat yang layak dan berkelayakan untuk direkrut masuk ke dalam bulatan gembira
  5. Bantuan Spesel Baitul Muslim (BSBM). Dana tambahan untuk ikhwah atau akhawat bujang yang mahu mendirikan rumah tangga. Ehemmm. 
  6. Rasuah dibanteras habis-habisan. Mana-mana pegawai kerajaan yang didapati mengambil/menerima rasuah akan dibuang negara.
  7. Harga minyak diturunkan dua puluh lima sen.
  8. Zakat diberikan secara adil dan saksama kepada semua orang yang layak, sehinggakan Pusat Zakat terpaksa pergi dari satu kawasan ke satu kawasan semata-mata mahu mencari mereka yang benar-benar layak menerima zakat bukan hanya tahu beli bangunan mahal-mahal dan buat majlis besar-besaran di hotel. Eh. 
Selain itu, Pilihan Raya Umum yang ke-13 yang lalu merupakan pilihan raya yang paling adil dalam sejarah, apabila semua pihak diberikan platform yang sewajarnya untuk berpolitik. Parti pimpinan Dato' Sri Najib, Saff Nasional (SN) menang besar dek rakyat yang begitu takjub dengan transformasi yang dibawakan beliau. Banyak lagi agenda-agenda lain yang telah dilaksanakan oleh Dato' Sri Najib yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, sehingga beliau dijolok dengan gelaran Amirul Mu'minin Khalifah Najib.

Alhamdulillah, Datin Sri Rosmah Mansur juga sudah mula mengenakan tudung, malah memakai tudung labuh paras lutut dan mula menyertai bulatan gembira. 

Pergh bangga siottt!

Adiwira
Para adiwira tersohor lagi ternama juga rupa-rupanya tidak mahu ketinggalan mengikuti tarbiyah. Alhamdulillah, setelah mendengar pengisian-pengisian berapi seperti Ini Sumpah Kool, Saya Hosem, Babai Jahiliyyah dan sebagainya (juga menghaplod aplikasi pintar ciptaan Steve Jobs seperti di atas), mereka bertekad untuk bukan sahaja terus berbakti kepada masyarakat, malah mengubah penampilan mereka supaya lebih soleh dan musleh.

Antara perubahan drastik yang dilakukan termasuklah:

  1. Superman: Tidak lagi memakai seluar dalam di luar. Bajunya juga lebih labuh dan longgar
  2. Inkredibel Hak: Rasanya dia sudah tidak lagi dapat berkhidmat, kerana setiap kali dia nak marah, pasti dia akan teringat pada hadith Rasulullah SAW, "Jangan marah. Jangan marah. Jangan marah." Wahahaha.
  3. Batman: Kekayaannya yang melimpah-ruah kini diinfaqkan kepada Palestin, Syria dan mereka yang amat-amat memerlukan. Bat Mobile yang dimilikinya juga selalu dipinjamkan kepada ikhwah yang mahu pergi berjaulah atau berehlah. 
  4. Cat Woman: Cat Woman kini sudah memakai tudung labuh dan tidak lagi membuat aksi seksi dan menggatal. Dia sudah menukar namanya kepada Ummi Hurairah. Berjaga-jaga, cakaran tarbiyahnya tajam dan berbisa!
  5. The Flash: The Flash memanfaatkan sepenuhnya kelajuannya untuk tidak lewat ke bulatan gembira mahupon konferens riang. Dia selalunya akan dilantik menjadi runner untuk membantu program-program tarbiyah.
  6. Spiderman: Spiderman masih lagi memanfaatkan kelebihannya untuk menangkap penjahat dan membantu mereka yang lemah. Di masa lapang, dia akan mentadabbur al-Quran sambil bertenggek di tepi dinding bangunan. Surah kegemarannya? Al-Ankabut. Eheh.
  7. Iron Man: Setelah begitu terkesan mendengar hadith logam dalam pengisian Ini Sumpah Kool, Iron Man bertekad untuk menggunakan kelebihan yang ada pada dirinya dengan sebaiknya untuk tarbiyah dan dakwah. Antara gajet yang berjaya diciptanya termasuklah magnet kuat untuk menarik mad'u (sasaran dakwah) di luar sana. Kool.
Mungkinkah ini rupa Superman andai dia mengikuti bulatan gembira..? Eheh. [Kredit]

Ramai lagi orang-orang yang tersohor lagi berpengaruh seperti Leornado da Vinci, Albert Einstein, Abraham Lincoln, Lenin, Mao Tze Dong, X-Men dan Christiano Ronaldo yang pastinya akan memberi impak maksima kepada dunia, andai mereka bersama dengan gerabak tarbiyah. 

Begitulah. Sungguh mengujakan bukan..? Bayangkan dunia yang pastinya berbeza dan lebih riang dengan bunga-bunga dafodil dan arnab gemok berlari gembira apabila ramainya orang-orang hebat bersama dengan tarbiyah.

Anda bagaimana..? Tidak mahu bersama-sama kami dalam gerabak ini untuk mengubah dunia..? Yakinlah, anda mampu melakukannya!

Kerana anda tidak perlu jadi terkenal dan tersohor untuk mengubah dunia. Anda hanya perlu menjadi manusia berjiwa hamba, yang jelas dengan tujuan hidup anda di dunia dan punya azam dan kesungguhan untuk mengubah alam buana!

Anda mampu melakukannya tahu..?

Senyum kenyit mata. 

-gabbana-

Banyak kali tergelak seorang diri tatkala menulis ini. Moga ia menghiburkan anda juga. Dan yang lebih utama, moga ia memberi manfaat yang besar kepada anda yang membacanya!

Aman.

19 July 2013

Bak Kut Teh: Apa Kata Mereka?


[Kredit]

Berikutan kes penghinaan Islam oleh pasangan Alvin dan Vivian yang pernah menggegarkan negara dengan aksi seks mereka tidak lama dahulu, beberapa pihak telah mengeluarkan kenyataan, komentar dan pandanan mereka tentang isu ini.

Ayuh kita lihat bagaimana reaksi dan maklum balas masyarakat berkenaan isu yang cukup panas lagi sensasi ini.

Ustaz Pierre Cardin (Penceramah bebas)
"Bismillahirrahmanirrahim. Ini semua bidaah! Dolalah! Mereka ini sepatutnya dihukum pancung! Penggal! Apa yang mereka buat benar-benar menghina dan menjatuhkan maruah Islam! Jangan beri muka pada mereka. Allah murka!" 

YB Gayah Sulong (Wakil rakyat)
"Saya melihat apa yang berlaku daripada perspektif jangka masa panjang. Sekiranya anda semua mengundi parti Pembaris Kebangsaan pada pilihanraya akan datang, saya jamin masalah seperti ini tidak akan berulang lagi.."

Encik Takashi Honda (Jurutera)
"Begini. Sekiranya kita mengambil kira sudut chopstick yang dipegang saudara Alvin dengan jumlah isipadu Bak Kut Teh yang disepitnya, kita mungkin akan mendapati yang Bak Kut Teh yang dimakan Alvin dan Vivian bukanlah Bak Kut Teh babi tapi Bak Kut Teh sayur brokoli! Itu suatu kemungkinan yang tidak boleh ditolak tepi."

Tuan Haji Roslan Zakaria (Pegawai JAKIM)
Aik? Bila masa pula kita bagi cop halal kat depa ni..? *garu kopiah* Diana, kamu tolong periksa fail saya tu, bila masa pulak kita ada bagi kelulusan halal kat budak dua orang ni."

Cik Mia Samira (Akauntan bertauliah)
"Tindakan mereka tu ada beri apa-apa keuntungan tak pada syarikat? Berapa hasil jualan? Hasil dapatan kasar? Bagaimana pula dengan keuntungan bersih selepas ditolak cukai dan pemerosotan pada nilai aset..?"

Sulaiman Khan (Tokei kedai mamak)
"Deyy! Apa susah hati? Macha, you worang jangan garu kepala la. You worang tak mahu makan bak kut teh untuk berbuka kan..? You worang mari sini la, kedai saya makan. Macam-macam ada! Teh tarik, roti telur bawang, nan cis, ayam goreng, nasi beriyani, sup tulang.. Semua halal jugaaa..!" 

Dato' Awang Banyakwo (Ahli perniagaan)
"Bak Kut Teh tu, kalau kita pasarkan dalam bentuk yang halal dan tayyibah, lepas tu kita bungkus cantik-cantik dan jual di pasar raya besar, ada permintaan tak agak-agak..?"

Exora Che Wan Kempis (Artis)
"I.. I bukan apa you.. I rasalah.. I rasalah kan... Uhm diorang ni.. Mekap diorang tak cukup tebal lah you.. Rambut si Vivian tu tak cukup mengurai.. Si Alvin tu pulak, nampak tak berapa yakin. Baju dah ok dah, cuma tone dia lari sikit. I rasalah.."

Puan Sabariah Ketupat (Suri rumah sepenuh masa)
"Eh Peah, aku dah bilang sama kamu. Budak-budak tu memang perangai macam hantu! Kau tahu hari tu masa aku tengah sedap-sedap nak beli sayur kat pasar borong Selayang, aku nampak budak dua ekor tu pot pet pot pet..." (Dialog penuh tidak dapat disiarkan di sini kerana dikhuatiri akan ada yang berdarah telinga nanti.)

Professor Dr. Zamani Asumsi (Ahli ekonomi) 
"Baiklah. Kita anggap lah saudara Alvin dan saudari Vivian tu merupakan manusia yang rasional. Maksudnyta, tindakan mereka itu adalah berdasarkan kepada masukan maklumat yang tepat dan tiada ketirisan yang berlaku, ceteris paribus. Maka apabila garis permintaan bertemu dengan garis penawaran, sepatutnya suatu titik Pareto akan wujud dan tidak timbul soal sama ada mereka sedar atau tidak akan kesan tindakan mereka itu."

Miss Teri Sung Goh (Ahli teori konspirasi)
"Anda semua tak nampakkah..? Ini semua propaganda Freemason! Kerja Yahudi semua ni! Cuba tengok balik gambar mereka di MukaBuku tu. Sekiranya anda melihat gambar itu pada sudut tepat enam puluh enam darjah, anda akan dapati tangan Alvin yang memegang kayu chopstick sebenarnya membentuk bentuk tiga segi bermata satu apabila digabungkan dengan tangan Vivian! Ini benar-benar suatu tindakan licik untuk menghapuskan umat manusia!" 

Anda bagaimana Inche gabbana? Sibuk dengar apa orang lain kata. Apa kata anda? 

Saya? Jujur saya merasakan, seperti biasa, kita mudah melompat dan menggelabah apabila isu sebegini berlaku. Apa bezanya kita dengan mereka yang amat mudah melatah, pong pang pong pang membakar tayar dan memecahkan tingkap sewaktu peristiwa Innocence Muslim suatu ketika dahulu?

Kena cuit, melompat. Kena jentik, terkujat. Kena usik, mengamuk! Adeh.

Dan mengapa kita perlu berasa terlalu amat marah tahap Inkredibel Hak dengan tindakan mereka itu? Maksudnya, apa yang kita dapat apabila bertindak melulu dengan memaki hamun, mencarut-marut dan bertindak ganas sebagai reaksi kita terhadap apa yang berlaku?

Yang pasti, kita dapat memuaskan nafsu amarah kita. Dan mungkin jugalah menyebabkan orang lain tidak berani lagi untuk melakukan perkara yang hampir serupa.

Namun pada masa yang sama, saya pasti umat Islam di Malaysia kini dilihat tiada bezanya dengan Taliban atau pengganas di Pakistan. Tindakan-tindakan kurang matang dan kurang bijak kita telah membenarkan sangkaan-sangkaan tidak baik orang bukan Islam kepada agama yang suci ini.

"Oh betullah Islam tu agama ganas."

"Aku dah kata dah umat Islam ni sama je kat mana-mana!"

"Islam agama aman? Agama sejahtera? Ceh! Pigidaaahhh!"

"Tak mahulah belajar pasal Islam. Agama tu menggalakkan penganutnya bertindak samseng pada penganut agama lain!"

"Islam tu hanya sejahtera dan aman untuk sesama penganut mereka sahaja. Bukan untuk orang lain yang berlainan agama. Itu fakta tahu..?"

Astaghfirullah. Geleng kepala.

Sekiranya Nabi SAW masih hidup di zaman ini, agaknya apa yang akan baginda lakukan? Saya pasti tindakan yang sama akan baginda ambil apabila seorang Arab Badwi kencing pada tiang masjid. Ya, ada para sahabat yang mengamuk, mahu memancung kepala si Badwi itu. Tapi qudwah bagaimana yang telah ditunjukkan oleh kekasih, junjungan besar kita itu..?

Baginda melarang para sahabat untuk bertindak keras, hatta memarahi si Arab Badwi. Malah baginda menyuruh para sahabat untuk pergi mencuci dan membersihkan najis yang ditinggalkan oleh si Badwi tadi! Wahai!

Dan cuba teka apa yang terjadi selepas itu..? Hasil kesabaran dan kebijaksanaan Rasulullah ini, si Arab Badwi lantas memeluk Islam! Subhanallah!

Malangnya, sunnah yang sebegini indah, tidak mahu kita ikuti. Kita hanya mahu menyimpan janggut, bersugi, memakai jubah, berwangi-wangian dan berbahagi isteri. Eh. Tapi bab akhlak dan budi pekerti baginda SAW, kita tolak tepi. Aduhai.

Saya tidak hairan seandainya selepas ini lebih banyak sindiran, kutukan, cacian, cercaan dan makian terhadap Islam akan berlaku, meskipon tindakan ganas dan amaran garang telah diberikan. Mengapa? Kerana mereka seronok, teruja dan terhibur melihat umat Islam yang mudah melatah dan menggelabah hey!

Samalah seperti apabila kita mengusik adik kita yang kecil, gebu dan montel itu. Apa yang menyebabkan kita rasa seronok dan teruja mahu mengusiknya lagi? Apabila dia memberikan reaksi, sama ada menangis, marah, emo atau apa-apa sahaja, bukan? Sekiranya dia buat bodoh, buat biskut sahaja, pastilah kita tidak berminat mahu mengusiknya lagi. 

"Tinggalkanlah orang-orang yang menjadikan agamanya sebagai permainan dan senda-gurau, dan mereka telah tertipu dengan kehidupan dunia. Peringatkanlah (mereka) dengan al-Quran agar setiap orang tidak terjerumus (ke dalam neraka) kerana perbuatannya sendiri."
[al-An'am, 6:70]

Nah! Allah sendiri beritahu kita, jangan layan sangat mereka yang suka mempermainkan dan menjadikan agama sebagai senda gurau ni! Menghabiskan beras cap Faezah je kak oi!

Tidak timbul mereka ini kafir harbi atau kafir zimmi, maka cara teguran perlu berbeza-beza. Dey, bila pulak negara Islam tertegak kat Malaysia ni..? Bila masa mereka membayar jizyah kepada kerajaan Islam 1Malaysia..?? Adoilaaa.

Ya, marah marah juga. Tapi marahlah dengan cara yang berhikmah. Agama suci ini sudah semestinya wajib dipertahankan. Tetapi pertahankan ia dengan kefahaman dan akhlak Islami yang tinggi dan mulia nilainya. 

Kerana Islam ini terlalu agung dan mulia untuk disibukkan dengan isu yang remeh-temeh sebegini. Fulsetop.

Saya rehatkan kes saya. Aman tanpa perang.

-gabbana-

Kalau mahu marah, maka Ibrahim Ali perlu lebih dimarahi kerana mengesyorkan agar semua kitab Injil dibakar. Apa punya jenis manusia la macam ni. 

Dan kalau mahu marah, rasanya lebih baik marah dan bengkek dengan umat Islam yang berzina, main judi, tonggang arak, makan rasuah, pecah amanah, tidak puasa, buang anak, pakar rompak, kaki joget dan hisap dadah sebab mereka ini yang banyak sekali mendatangkan fitnah kepada Islam!

Dan sila juga berasa marah kepada diri sendiri yang tidak menjalankan tugas Syahadatul Haq dengan baik dan amanah. Nanges laju-laju.

11 June 2013

Kit Futur

[Kredit]

Ehem.

Futur yang saya maksudkan dan akan digunapakai dalam sepanjang post ini adalah futur lemah/gugur iman dan berasa tidak semangat dan bukannya futur sarapan pagi.

Baiklah. 

Gejala kefuturan ini sudah tidak asing lagi. Setiap daripada anda yang sudah berkenalan atau berjinak-jinak dengan tarbiyah dan dakwah, pasti sudah amat biasa dimomok-momokkan dan diprovokasi dengan frasa yang satu ini. Sehinggakan perkataan 'futur' itu seperti sudah terlalu biasa didengari dan tidak memberikan apa-apa kesan lagi pada hati.

Sedangkan, pernah suatu ketika ia adalah frasa yang amat ditakuti lagi digeruni. Pernah suatu saat kita menggeletar dan goyang lutut kaki apabila futur disebut berulang-kali. Pernah juga kita berasa lemas dan sesak nafas apabila kita diserang oleh kefuturan ini, meski kita tidak rela dan benci.

Tetapi entah mengapa, sejak kebelakangan ini kita tidak lagi merasa apa-apa dengan raksasa gorgon yang satu ini. Seolah-olahnya ia tidak lagi memberikan apa-apa kesan kepada hati kita. Ia tidak lagi mengalirkan peluh besar kita atau menyebabkan kita tidak senang duduk dan panas punggung. 

Hanya ada dua penjelasan kepada fenomena/gejala ini:

1) Sama ada iman kita sudah benar-benar mantap ala-ala Super Saiya peringkat kelima sehinggakan kefuturan tidak bisa mengganggu-gugat dan menjejaskan hati dan jiwa kita. Pergh.

atau...

2) Kita sudah begitu larut dan biasa dengan kefuturan sehinggakan kita tidak lagi merasakan apa-apa dengannya. Alah biasa tegal biasa gitu! Eh.

Batuk batuk.

Maka pada hari ini saya mahu berkongsi dengan anda, KIT FUTUR yakni satu set soalan yang mengandungi sepuluh soalan, bagi menguji sejauh mana tahap kefuturan anda. Soalan-soalan ini direka khas setelah mengambil kira faktor-faktor tempatan seperti iklim Khatulistiwa, keadaan sosio-politik Malaysia pasca PRU 13, kadar obesiti yang tinggi dalam kalangan penduduk Malaysia dan juga kadar penghapdetan status MukaBuku oleh hadek-hadek yang pulang bercuti meningkat naik dengan raksasanya. Eh. Wahahaha.. 

Juga, soalan-soalan ini mungkin lebih relevan buat mereka yang pulang bercuti ke kampung, maka menyebabkan mereka jauh dari sumber-sumber tarbiyah dan dakwah (yang tidak sepatutnya berlaku). Soalan-soalan ini diharapkan dapatlah menampar muka kita semua semua dengan tamparan wanita gagah berani dan mengejutkan kita daripada lena yang panjang. 

Format KIT FUTUR ini amat mudah dan lurus ke hadapan; jawab setiap soalan dengan penuh jujur dan ikhlas kemudian beri markah kepada setiap jawapan yang diberikan. Skor/markah bagi setiap jawapan sudah disediakan. Markah yang diberikan adalah pada julat yang tertentu; maka sila berikan markah yang paling tepat dan sesuai dengan situasi anda. Jawapan-jawapan sudah disediakan dalam bentuk aneka pilihan (Baca: Multiple choice).  Setelah anda selesai menjawab semua soalan, kira jumlah markah anda dan padankan dengan status kefuturan anda yang akan disediakan di hujung soalan nanti.

Mudah bukan? 

Sebagai diskelemer, futur itu normal. Yang tidak normal dan merbahaya adalah futur yang dihiasi, yakni kita berasa ok malah syok dengan kefuturan itu. Dan.. Err.. Meskipon futur itu normal, sebagai seorang dai'e hidung kembang kempis yang hoyeah di atas yang sumpah panjang ini, takkanlah kita nak biarkan diri kita terus berada dalam kefuturan bukan..?

Baling hirisan bawang tepat pada mata.

Betulkan kolar. Luruskan tali leher. Duduk tegak. Batuk batuk.

Baiklah, anda sudah bersedia..?


KIT FUTUR

Arahan: Bulatkan jawapan yang paling tepat dengan situasi diri anda. Sila gunakan pensel 2B sahaja. Sekiranya anda menggunakan gajet elektronik seperti iPapan atau Nota, pastikan anda jari anda bebas daripada kotoran, minyak mahupon sisa cili lauk ayam kampung goreng bercili yang anda bedal siang tadi. 

Sila jawab dengan keadaan diri anda yang paling jujur dan ikhlas, kerana ini hanyalah antara anda dan Tuhan (juga orang yang mengintai dari belakang jika ada). Andai anda tidak tahu menjawab mana-mana soalan atau sengaja buat-buat tidak tahu, pandanglah ke atas dan harapakan petunjuk hidayahNya, kemudian kau bantai sahajalah labu! Sekian. 

Masa: Sila jawab dalam masa (maksima) sepuluh minit. Yang anda nak lama-lama tu buat apa? Kalau dah futur tu, futur juga, tidak perlulah berselindung lagi! Wah!

Arahan tambahan minit terakhir: Sila baca bismalah dan solawat banyak-banyak sebelum menjawab. 

Soalan 1
Semenjak anda pulang bercuti ke kampung, bagaimanakah keadaan solat berjemaah anda?

Jawapan
A) Solat jemaah tu apa...? (9-10 markah)
B) Err.. Err.. Masjid atau surau berdekatan jauh! (6-8 markah)
C) Sekurang-kurangnya tiga waktu pasti berjemaah (3-5 markah)
D) Alhamdulillah, saya berusaha sebaiknya untuk berjemaah. Selalunya penuh. Tanda aman. (1-2 markah)

 
Soalan 2
Apakah status tilawah dan tadabbur Quran anda?

Jawapan
A) Err.. Aahh.. Saya lupa saya letak Quran saya kat mana.. Garu kepala. (9-10 markah)
B) Saya hanya buka Quran apabila saya ada masalah (6-8 markah)
C) Masih bertilawah dan tadabbur, cuma kurang sedikit daripada selalu (4-5 markah)
D) Cukup! Kadang-kadang tu terlebih pulak. Ye lah, nak kejar Ramadhan kan? (1-3 markah)

 
Soalan 3
Bagaimana tahap kesihatan qiamullail anda ya?

Jawapan
A) Ngrroorrhh.. Ngrrooaahh.. Hah..? Hah..? Apa dia..? (8-10 markah)
B) Dah macam-macam bunyi penggera saya pasang, sampai jiran sebelah rumah dah marah dah! Tapi tak bangun-bangun jugak! Hailaaa... (6-7 markah)
C) Alhamdulillah, adalah kadang-kadang tu terbangun. Tetapi selalunya kalau bangun tu, memang tekan snooze la.. Sedar-sedar je dah Subuh! *gelak bersalah* (4-5 markah)
D) Alhamdulillah... (faham-faham sendiri) (1-3 markah)

 
Soalan 4
Selalu tak baca buku fikrah?

Jawapan
A) Kalau kat rumah selalunya baca Doraemon atau Dik Cerdas je. Mata terkedip-kedip. (9-10 markah)
B) Err.. Digilir-gilirkan dengan Mastika, Metro dan bahan bacaan yang lain. Termuntah jugaklah kalau asyik baca buku fikrah je tak..? (6-8 markah)
C) Kalau ada masa lapang InshaAllah utamakan bahan-bahan fikrah dulu. Senyum. (3-5 markah)
D) Oooh. Memang saya wajibkan diri baca setiap hari, dalam apa jua keadaan. Sikit pon jadilah! (1-2 markah)


Soalan 5
Dalam seminggu, berapa kali anda menghubungi ikhwah untuk bertanya khabar dan sebagainya?

Jawapan
A) Leh... Dekat kolej/uni dah selalu jumpa ikhwah! Takkan masa coti pon nak kontek ikhwah jugaaa! Nak jugak lepak dengan geng-geng lama! Isshhh. (9-10 markah)
B) Ada lah sekali-sekala. Selalunya main cucuk-cucuk dekat MukaBuku je. Kalau ekstra rajin, adalah tag nama ikhwah pada gambar-gambar comel ala-ala Gwiyomi! Eh. (6-8markah)
C) Selalu jugalah. Kalau tak berdinding-dinding mesra di MukaBuku, sekali-sekalu tu ada juga berbalas sms atau Waksep chenta! *tersipu-sipu* (4-5 markah)
D) Kontek ikhwah? Setiap hari! *mata berkaca-kaca sebab rindu ikhwah* (1-3 markah)

 
Soalan 6
Selalu tak hubungi hadek-hadek, tanya khabar iman mereka dan tanya ada bulatan gembira atau tidak?

Jawapan
A) Err... *lari jauh-jauh laju-laju* (8-10 markah)
B) Aaahh. Adalah teringat kadang-kadang. Tapi selalunya takde kredit! Uish. (6-7 markah)
C) Ada ada, alhamdulillah. Seminggu tu adalah dua tiga kali. (3-5 markah)
D) Bukan tadi dah jawab ke? Bukan hadek-hadek tu ikhwah jugak ke? (1-2 markah)

 
Soalan 7
Movie peberet?

Jawapan
A) Oiiihh sume movie yang ada karakter adiwira! Superman, Avengers, Ironman sume tu lahhh..! Pssstt, jangan lapor pada murabbi saya deh...? (8-10 markah)
B) Alamak, kena jawab ke...? Entah, saya suka movie yang ada elemen saspens dan misteri. Macam Inception. Perrgghh tu memang lejen! Tapi sekarang ni dah jarang tengok ah. Sibuk. (6-7 markah)
C) Eh, dai'e tengok movie ke..? Bukan dah dengar pengisian Babai Jahiliyyah ke? Kalau movie yang macam Sang Murabbi ke, The Omar Series ke, atau kartun-kartun yang ada pengajaran bagus macam KungFu Panda ok kot. Ke macam mana? (4-5 markah)
D) Movie..? Apa tu..? (1-3 markah)

 
Soalan 8
Kalau murabbi anda telefon atau sms/waksep, apakah yang pertama sekali anda lakukan?

Jawapan
A) Buat-buat tak dengar/nampak. Lepas seminggu baru 'buat-buat' teringat nak balas. (9-10 markah)
B) Kalau iman tengah naik dan konfiden nak jawab, saya akan angkat dan balas. Boleh ke camtu..? (6-8 markah)
C) InshaAllah kalau waktu tu percuma dan takde benda lain yang lebih penting untuk dibuat, saya akan segera angkat dan jawab. Senyum. (3-5 markah)
D) Woahhh! Murabbi telefon...?? Saya akan angkat cepat-cepat laju-laju dan benda pertama sekali saya akan cakap, "Salaam a'laikum Inche Murabbi! Saya rindu anda uhibbuka fillahhh! Eh." (1-2 markah)

 
Soalan 9
Apa aktiviti anda ketika masa lapang...?

Jawapan
A) Uisshh saya tahu anda nak pekena saya en..?? Masa lapang sudah tentulah saya akan buat aktiviti-aktiviti yang berfaedah macam kumpul setem, tanam bunga ros dan tangkap rama-rama! (9-10 markah)
B) Selalunya tolong mak di rumah; macam hantar adik pergi sekolah, tolong mengemas rumah dan tolong basuh baju. Soleh kan..? (6-8 markah)
C) Masa lapang..? Uish. Selalunya akan cuba habiskan bahan-bahan fikrah yang ada, tak pon pergi ziarah ikhwah! (3-5 markah)
D) Masa lapang..? Err.. Maafkan saya, tapi.. Dai'e ada masa lapang ke..? (1-2 markah)



Soalan 10
Bulatan gembira anda semasa cuti ni apa khabar..? 

Jawapan
A) Eh, cuti kan..? Kena berbulatan gembira jugakah...?? Orang dah plan nak pergi holiday ni! (8-10 markah)
B) Garu kepala. Pandang kiri, pandang kanan. Err.. Adalah sikit-sikit. Kalau ada orang kontek, saya pergilah... (6-7 markah)
C) Susah sikit la nak cari bulatan gembira masa cuti ni. Tapi saya akan cuba usahakanlah untuk cari. Kalau tak jumpa juga, saya akan minta sesi atas talian dengan murabbi gebu saya. (4-5 markah)
D) Bulatan gembira saya sendiri atau bulatan gembira yang saya bawa..? (1-3 markah)

Soalan bonus
Impikanlah! 

Jawapan
A) Saya mengimpikan agar keputusan hekzem saya gilang-gemilang tahap gaban agar dapatlah saya terbang dan bermain salji yang putih dan sejuk itu! (Sila beri markah sendiri)
B) Impian? Impian saya nak berjaya di dunia dan akhirat, inshaAllah. (Sila beri markah sendiri)
C) Saya nak impi macam 'Umar al-Khattab boleh? Rijal-rijal hebat yang akan memenangkan Islam ini! (Sila beri markah sendiri)
D) Allah, susahnya soalan. Hhmmm. Saya mengimpikan agar setiap amalan dan perbuatan saya ikhlas keranaNya. Saya mengimpikan agar Islam tertegak semula di dunia ini sebagai Ustadziyatul 'Alam dan andai saya tidak sempat melihatnya, biarlah ia tertegak dengan peluh dan darah saya. Dan saya mengimpikan redhaNya yang hakiki dan saya nak masuk sorga yang abadi dengan ikhwah yang terchenta agar dapatlah saya main osom gergasi dengan mereka di sana! (Kalau betul ada yang jawab begini, sila beri -10 markah. Eheh.)

Krriiinnnggggg! Ok masa dah tamat. Hallo hallo, masa dah tamat!

Ok, sila letakkan pensel anda (atau iPapan/peranti pintar anda) sekarang juga. Anda berpuas hati dengan jawapan anda..?

Ok sekarang anda boleh mula mengira markah dengan penuh jujur lagi amanah. 

Selesai? Baiklah, sekarang anda boleh periksa status kefuturan anda seperti jadual di bawah. Saya nasihatkan kepada anda yang tidak dapat menerima hakikat atau sering hidup dalam penafian (Baca: Live in denial), sila sediakan nombor paramedik atau waris yang terdekat. Eheh.

STATUS FUTUR

80-100 markah: Kefuturan pada tahap yang amat kritikal. Jika anda merasakan tidak ada harapan lagi untuk meningkatkan iman, saya nasihatkan lebih baik terjun gaung atau berenang bersama jerung sahaja.

60-79 markah: Kefuturan anda pada tahap yang membimbangkan tapi jangan khuatir, masih ada sinar di hujung terowong. Masa hadapan anda cerah sekiranya anda berazam untuk berubah dan sedia untuk berkorban!

40-59 markah: Uhm. Macam mana nak cakap eh? Kefuturan anda pada tahap manusia biasa. Kiranya agak normal ah. Tapi... Takkan nak jadi orang biasa-biasa sahaja kan? Ahli-ahli sorga itu, ramainya mereka yang luar biasa! Senyum.

20-39 markah: Tahniah! Iman anda bolehlah dikatakan pada tahap yang stabil dan tidak mengalirkan peluh besar. Tingkatkan usaha agar graf iman anda pada trend yang menaik!

0-19 markah: Woohooo! Jika anda teruskan begini, tidak lama lagi anda sudah boleh berjalan di atas air! 

Jom sarapan pagiiii! Eh? [Kredit]

Batuk kecil.

Haaa, bagaimana..? Apakah status kefuturan anda..? Op op, jangan beritahu saya atau kepada sesiapa! Biarlah ia menjadi rahsia anda dan Dia. Semoga menjadi muhasabah dan peringatan yang berguna untuk anda.

Sebenarnya ada banyak lagi soalan yang boleh dimuatkan dalam kit ini. Tetapi cukuplah setakat itu. Khuatir pula saya ada rumah yang terbakar atau ramai yang akan dikejarkan ke hospital nanti. Ahah.

Oh oh! Kit ini untuk kegunaan peribadi sahaja tahu...?? Tidak boleh dibawa keluar ke dalam bulatan gembira, apatah lagi dijadikan bahan pengisian dalam konferens riang! Pengsan. 

Tiada lagi kajian secara saintifik atau pemerhatian secara bersistematik untuk mengesahkan ketepatan dan kepersisan keputusan kit ini. Saya tidak bertanggungjawab untuk sebarang kejadian terjun gaung, terjun ke dalam kandang buaya atau baring di atas landasan keretapi. Pada masa yang sama, saya juga tidak tahu menahu seandainya benar-benar nanti ada kejadian orang berjalan atas air atau keluar tingkap terus terbang ke udara! Ohoi! 

Tapi untuk anda, ya andalah siapa lagi! Ya anda, yang sedang menggaru hidung buat-buat tidak tahu itu. Senyum.

Anda tahu kit ini berguna. Anda tahu kit ini dekat dengan hati anda. Dan anda tahu, kit ini dapat mengesahkan status kefuturan anda. 

Akhirnya, tepuk dada, silalah tanya iman dan taqwa dengan penuh sopan santun dan penuh tatasusila. Anda pasti akan ketemu jawapannya!

Senyum kenyit mata. Ewah!

-gabbana-

Menulis adalah suatu terapi yang cukup baik untuk saya bagi melepaskan tekanan di jiwa.

Ya Allah, permudahkanlah. 

3 May 2013

Gua Tak Tahu Gua Nak Gelak Atau Terjun Gaung Baca Ni

Klik gambar untuk pembacaan yang lebih memuaskan.

IQ rakyat Malaysia ni rendah sangat ke, sehingga kita disajikan dengan berita-berita sebegini..? Ini pon nak dijadikan berita ke..? Daya intelektual kita benar-benar dihina dengan berita jijik sebegini..!

Ini bukan suratkhabar sembarangan kawan. Ini Utusan Meloya! Muka depan pula tu!

Dengan tulisan berunsurkan lucahnya. Lepas tu hadith yang digunakan secara semborono..

Wartawan dan editor yang susun dan tulis berita ni tak rasa malu ke dengan berita picisan sebegini? Tak rasa berdosa ke..? 

Inilah dia berita yang disogok kepada minda dan otak rakyat Malaysia saban hari. Belum lagi dikira dengan berita-berita di Buletin TigaSuku. Tak hairanlah politik kita jauh daripada matang! Cukup memualkan dan menyedihkan!

Seriyesli mula-mula nak tergelak baca ni. Tapi lepas tu rasa sedih sebab inilah negaraku. Lepas tu rasa geram, rasa macam nak tarik rambut sambil lari laju-laju dan terjun gaung. 

Bikin gua panas brooo!

Jom ubah..! Kalau tak mahu terus baca berita lucah dan sampah sebegini!

-gabbana-

InshaAllah akan hasilkan amanat Inche gabbana sehari sebelum mengundi. Doakan. Senyum tawar. 

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP