29 April 2015

Dunia Yang Gila Amat Memerlukan Dai'e Yang Gila Gila Bekerja

[Kredit]

Ok tajuk di atas terlalu jujur bukan? Berapa ramai penulis di luar sana yang mampu berlaku jujur dan bergaya pada masa yang sama seperti saya? Ehem.

Marcapada ini kita menyaksikan betapa dunia sudah menjadi semakin tidak terkawal dan waras. Kerosakan dan kehancuran, baik dari segi material dan moral berlaku di mana-mana. Dengan kata lagi, kegilaan dunia ini sudah mencapai tahap yang kritikal dan fatal. 

Seakan-akannya dunia akan menuju penamatnya esok hari. Bukan, malam ini. Eh bukan, sekejap lagi. Gulp.

Lontarkan pandangan anda ke Timur Tengah, maka anda akan melihat ke'kelam-kelibut'an abad ini berhimpun di sana. Dengan konflik Israel-Palestin yang tidak berpenghujung. Dengan keganasan ISIS di Iraq dan Syria. Dengan peperangan golongan Sunni dengan Syiah Houthi di Yaman dengan tangan-tangan kotor Iran di sebalik tabir. Dengan krisis kemanusiaan di Syria yang tidak berkesudahan. 

Errggghhh semua ini bisa menjadikan kepala kita botak sebelum waktunya!

Kini alihkan pula pandangan anda ke benua Afrika dan anda akan melihat krisis kemanusiaan yang sejak dahulu lagi tidak pernah mengenal titik noktah. Kebuluran dan kemelaratan di mana-mana. Ekstremis seperti Boko Haram di Nigeria atau Al-Syabab di Somalia menjadikan Afrika sebagai sebuah negara berdarah di dalam peta dunia. Kegilaan al-Sisi dan anjing-anjingnya di Mesir yang memenjarakan dan menjatuhkan hukuman mati kepada para pemimpin dan ahli Ikhwanul Muslimin akan terus menghantui umat manusia. 

Semua ini menjadikan kita hanya mampu untuk menggeleng kepala. 

Sekarang lontarkan pula pandangan ke Eropah dan benua Amerika dan apa yang dapat kita lihat? Kehancuran moral dan peradaban pada tahap yang amat mengerikan. Seks bebas yang tidak punya sempadan. Penggunaan dadah yang dihalalkan. Golongan homoseksual diraikan dan dijanjikan hak dan kedudukan. Golongan kapitalis yang tamak haloba terus berkuasa mengumpul kekayaan. Gaya hidup hedonis dan jauh daripada Tuhan menjadi pilihan dan ikutan.

Semua ini adalah sebuah kenyataan yang amat pahit untuk kita telan.

Kini ayuh kita lontarkan pandangan pada dunia dan seisinya secara tuntas dan rambang. Apa yang dapat kita lihat? Peperangan yang membunuh ratusan ribu nyawa manusia seolah-olah perkara biasa. Bencana alam yang mengganas semakin kerap berlaku, menjadikan manusia benar-benar lemah tidak bermaya. Penyakit-penyakit merbahaya yang masih belum diketemukan penawarnya seperti Ebola dan super-bug semakin mengancam jiwa. Kebuluran dan kepapaan menjadi agama sebahagian besar umat manusia. Yang kaya semakin rakus menambahkan harta, manakala yang miskin terus-menerus dibelenggu derita.

Semua ini menyebabkan kita kadangkala terfikir, masih adakah harapan buat dunia? 

Dan sekarang, kembalikan semula pandangan kita ke negara Malaysia yang kita chentai ini. Negara ini tak kurang gilanya. Dengan politik kepartian yang memecahbelahkan rakyat. Kebejatan sosial yang menjadikan rakyat negara ini seolah-olahnya tidak mengenal tamadun dan agama. Masalah rasuah dan pecah amanah yang terus menjadi barah kepada kemajuan dan kemakmuran negara. Golongan Islamis yang sering melabel dan bercakaran sesama sendiri. GST yang membebankan sehingga memaksa para pelajar IPT memasak sendiri. Eh.

Aduhai, semua ini bisa merenggut jantung kita dan memutus urat-urat kita bila-bila masa sahaja!

Dari mana datangnya semua kegilaan ini? Apakah punca kepada segala macam kerosakan dan kehancuran ini? Bagaimana kejahilan dan kebodohan sebegini boleh dibiarkan sahaja sebegitu rupa?

"Telah tampak kerosakan di darat dan laut disebabkan kerana perbutan tangan manusia; Allah mengkehendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)."
[ar-Ruum, 30:41]

Ya, tangan-tangan kitalah yang sebenarnya menjadi dalang utama kepada kehancuran umat kita sendiri. Tangan-tangan kitalah yang menanam makar yang akhirnya tumbuh berkembang menjadi pohon yang membuahkan racun yang dimakan oleh anak cucu cicit kita. Dan tangan-tangan kita jugalah yang akhirnya akan menamatkan riwayat bumi yang sudah berusia bilionan tahun ini. Tsk.  

Namun di sebalik semua ini, di sebalik kegelapan yang kelam dan harapan yang bisu, rupa-rupanya masih ada harapan. Apa yang berlaku rupa-rupanya hanyalah gerhana yang menipu dan bukannya matahari yang tenggelam sayu. Bak kata omputih, ada cahaya di hujung terowong. 

Di sebalik tangan yang menghancurkan itu, rupa-rupanya ada tangan yang menghidupkan.

Di sebalik tangan yang merosakkan itu, ada juga tangan yang membaikkan.

Dan di sebalik tangan yang menoda dan membobrokkan itu, masih ada tangan yang membersih dan menyucikan.

Tangan siapa? Itulah tangan para dua't yang tidak pernah mengenal erti lelah dan penat dan menegakkan agama Allah di muka bumi!  

"Dakwah kepada Allah taala menjadi tanda kasihan kita kepada hamba Allah," menurut Dr. Hammad Sa'id di dalam bukunya yang fenomenal, Qawaid Dakwah. "Ini kerana kerja dai'e adalah mengeluarkan manusia dari kemelut kehidupan yang teruk dan porak peranda hasil hidup di bawah pijakan sistem-sistem ciptaan manusia, kepada keluasan kelegaan agama yang luas. Membawa mereka kepada sistem Islam yang menjamin kebahagian manusia."  

Fuh. Berat bukan?

Memang berat. Kerana tahap kegilaan dunia ini sudah mencapai tahap yang benar-benar gila!

OIeh sebab itu, untuk merawat dunia yang sudah benar-benar gila ini, kita memerlukan para dua't yang gila gila dalam bekerja. Bukan, bukan seorang al-akh yang berlari-lari memakai kasut tinggi, berkain pelikat sambil gelak seorang diri. Bukan juga seorang al-ukht yang memakai mekap tebal, gincu berwarna ungu, kemudian melompat katak berselang-seli dengan lompat bintang sambil makan karipap. Bukan gila yang itu.

Err.

Tapi gila gila dalam menyebarkan risalahNya. Gila gila dalam memperjuangkan kebenaran dan mencegah kemaksiatan. Gila gila menjadi saksi kepada kebenaran dan sanggup bermatian untuk menegakkannya! 

Gila gila yang bagaimana tu Inche gabbana?

Gila gila yang sanggup tidak tidur malam hanya kerana mahu menyantuni manusia di luar sana.

Gila gila yang sanggup mengorbankan rasa gembira agar orang lain tidak sengsara.

Gila gila yang sanggup berlaparan agar orang lain dapat menjamah sedikit makanan.

Gila gila yang sanggup berhabis wang dan harta untuk mereka yang benar-benar memerlukannya. 

Gila gila yang sanggup berpenat lelah tidak mengenal rehat bersungguh-sungguh mahu menghapuskan maksiat.

Gila gila yang sanggup mengorbankan perasaan dan emosi sendiri hanya kerana mahu melihat seukir senyuman dititipkan pada bibir orang lain.

Dan gila gila yang sanggup memakan dan membunuh diri agar manusia di luar sana terus hidup di bawah panji agamaNya. 

Ya, gila bukan? 

Juga gila gila seperti Bilal yang sanggup diseksa dengan begitu berat kerana mempertahankan aqidahnya.

Gila gila seperti Sumayyah yang rela dibunuh dengan kejam demi sebuah al-haq yang tidak mungkin boleh dijual-beli. 

Gila gila seperti Salman yang sanggup meninggalkan keluarga dan mengembara ribuan batu jauhnya hanya kerana sebuah kebenaran.

Gila gila seperti Mus'ab yang sanggup melupakan kemewahan dan populariti kerana mahu menjadi seorang manusia berjiwa hamba.

Gila gila seperti Suhaib yang menyahut seruan untuk berjual-beli dengan Allah, demi sebuah sorga.

Gila gila seperti Hamzah yang bermati-matian di medan Uhud kerana mahu menghapuskan taghut dan jahiliyyah di muka bumi.

Gila gila seperti Abu Dzar yang tidak kisah dibelasah dan dipukul sehingga hampir menemukan ajal kerana chentanya dia kepada sebuah syahadah. 

Epik!   

"Demikian juga kita mengharapkan agar bangsa kita mengetahui bahawa kita mengasihi mereka lebih dari kita sendiri. Kita mengharapkan mereka mengetahui bahawa jiwa-jiwa ini sanggup menjadi tebusan demi kepentingan mereka andainya ketinggian itu meminta tebusan. Jiwa-jiwa ini sanggup dicabut sebagai harga keagungan mereka, kemuliaan mereka, agama dan cita-cita mereka andainya perkara-perkara ini memerlukan demikian," kata as-Syahid Hasan al-Banna, di dalam risalahnya, Dakwah Kami. 

Sambungnya lagi, "Kita mengambil sikap demikian terhadap mereka hanyalah kerana kasih sayang telah membelenggu hati dan merajai perasaan kita, membuatkan kita tidak nyenyak tidur dan sentiasa mengalirkan air mata. Amat sukar dan luar dari kesanggupan kita melihat sesuatu menimpa bangsa kita dan kita terus menyerah diri kepada kehinaan dan merelainya, ataukita terus berputus-asa. Kita bekerja untuk manusia kerana Allah lebih dari kita bekerja untuk diri kita, kita untuk kalian, bukan untuk orang lain dan kita tidak akan menjadi beban kepada kalian."

Peh lap air mata. 

Hanya ketika itu, ketika para dua't sudah benar-benar menyerahkan dirinya untuk agama Allah yang suci ini, ketika para pejuang kebenaran ini sudah menchentai Allah dan ar-Rasul melebihi segala-galanya dan ketika para penegak keadilan telah mengorbankan dirinya untuk melihat manusia lain berpegang dengan syariatNya, ketika itulah, ketika itu sahajalah dunia yang gila ini dapat dipulihkan.

Ketika kita sudah melaksanakan amanah ubudiah dan khilafah ini dengan gila gila!

"Sesungguhnya titisan darah masih mahal bagi umat Islam. Selagi mana mereka menganggap titisan darah itu mahal, mereka tidak akan sampai mana-mana, kerana harga kemuliaan dan kemerdekaan hanya boleh dibayar dengan titisan darah." Begitulah kata-kata seorang dai'e mujahid yang lejen seperti yang dirakamkan di dalam Muzakkirat al-Dakwah wa al'Da'iyah. 

Bagaimana? 

Adakah kita juga akan menjadi sebahagian daripada majoriti manusia yang sudah larut dan hanyut di dalam dunia yang gila?

Atau kita akan menjadi si pejuang gila gila yang akan terus hidup mulia atau mati syahid menemuiNya kerana mahu menyelamatkan dunia?

Pilihan di tangan kita.

Senyum.

-gabbana-

Alhamdulillah, sambutan terhadap buku Ikhwah Pakai Jeans dan #Chenta di PBAKL 2015 begitu gila sekali! Hehe. Moga menjadi saham-saham yang akan saya persembahkan di hadapanNya nanti, biidznillah.

InshaAllah nantikan projek-projek terbaru dari Penerbitan Wahai! yang akan diumumkan tidak lama lagi. Mohon teruja.  
 

3 Caci Maki Puji Muji:

Anonymous 29/04/2015, 17:11  

Inche Gabbana!!! Datang pbakl lg tak?

Anonymous 01/05/2015, 23:15  

Inche Gabanna, saya nk tanya ni. Saya ada buat tempahan buku IPJ tu. Boleh saya tahi berapa lama tempahan tu dibuat dan bila akan sampai? Saya risau kalau duit yg saya dh bayar tu tak sampai kepd pihak Inche Gabanna. Syukran jazilan

Anonymous 01/05/2015, 23:15  

*tahu*

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP