23 April 2015

Buta

[Kredit]

Pintu LRT terbuka. Dalilah melangkah masuk tergesa-gesa. Angin dingin penghawa gerabak menampar wajahnya.

Dalilah sudah lewat untuk ke pejabat. Pagi tadi entah macam mana, penggera yang dipasang pada smart phone nya tidak berbunyi.

Selalunya tepat jam lima empat puluh lima pagi, akan berkumandanglah lagu ‘Assalamua’laikum’ dendangan Opick mengejutkannya untuk bangun. Jika Opick gagal untuk mengejutkannya, ada Maher Zain pula dengan ‘Thank You Allah’ untuk membangunkannya pada jam enam sepuluh pagi. Dan jika itu juga gagal, masih ada lagu jihad penuh rancak ‘Pemuda al-Qassam’ yang selalunya tidak pernah mengecewakan untuk menyedarkannya dari lena yang panjang pada jam enam setengah pagi. Oh versi Arab punya, bukan versi mendayu-dayu Hijaz.

Namun pagi tu, ketiga-tiga itu gagal untuk mengejutkannya. Ketika mata Dalilah terbuka, matanya terus menangkap jam dinding yang digantung betul-betul berhadapan dengan katilnya. Terbeliak matanya apabila melihat jarum pendek jam tersebut sudah menghampiri angka tujuh. Terus segar Dalilah dibuatnya. Apa lagi, melompat Dalilah dari katilnya.

Macam lipas kudung, dicapai tuala yang sudah lusuhnya itu dan selepas tujuh gayung air, setompok cecair pencuci muka dan sekali sental satu badan, selesailah Dalilah mandi pada pagi itu. Buat cukup syarat. Cepat-cepat pula dia mengambil wudhu’ untuk menunaikan solat subuh gajahnya. Bukan gajah lagi dah, boleh jadi paus biru atau raksasa Godzilla dah.

Kemudian tibalah masa yang paling menggetirkan buat Dalilah. Dia terpaksa berhadapan dengan masalah dunia pertama; tudung warna dan jenis apa yang mahu dipakainya. Ada shawl labuh dari Uswah Clothing. Ada bawal labuh keluaran Aryani. Ada Tudung People. Ada Elle Zada. Dalilah runsing. Dia buntu. Dia serabut. Dia menggigit jarinya kerana tidak tahu nak pilih tudung yang paling matching dengan jubah yang dipakainya dan pada masa yang sama, dia tahu yang dia sudah lewat. 

Ish ingat senang ke nak jadi akhawat ni. Dalilah membebel sendirian.

Akhirnya dia memejam mata dan tawakkal sahaja. Tudung Inspirasihana berwarna keperangan menjadi pilihan.

Nampaknya hari itu dia terpaksalah memandu ke stesen LRT. Selalunya dia menaiki bas sahaja. Mudah. Murah. Jimat. Lagi-lagi bila dah kena GST ni. Namun hari itu dia tidak punya pilihan. Wajah Puan Markonah Saari, penyelia jabatan tempat dia bekerja yang bengis sambil mencekak pinggang sudah terbayang-bayang di dalam kepalanya. Tidak sanggup dia mahu dijegil dan dijeling tajam oleh Puan Markonah. Dia pernah kena sekali dahulu. Serik!

Masa itu jugalah jalan untuk ke stesen LRT itu sesak semacam. Tiba-tiba, entah dari mana, ada lori pengangkut pasir yang pergi park tepi jalan. Ikut suka hati tok nenek dia je.

Dalilah hampir-hampir mahu termencarut ketika itu. Mujur dia teringat wajah Hasan al-Banna ketika itu. Terus dia tukar niat. Dari mencarut dia beristighfar.

Dalilah memang begitu. Bila ada masa-masa yang dia rasa mahu buat jahat, mahu jadi nakal, mahu buat dajjal, dia akan bayangkan wajah Hasan al-Banna. Entah kenapa Pakcik Hasan itu yang menjadi pilihan. Setakat ini cara itu agak berkesan jugalah untuk mengawal tingkah lakunya. Yalah, nak bayangkan wajah Rasulullah SAW, mustahil. Nak bayangkan wajah kekasih hatinya, Mus’ab bin Umair, juga mustahail. Alih-alih, Hasan al-Banna pon jadi lah. Budak usrah la katakan.

Ada sedikit berita baik yang memberi kegembiraan pada Dalilah pagi itu apabila dia berjaya mendapatkan parking dengan agak mudah. Itu pon mujur dia dahulu yang memberi signal untuk masuk sebab tidak jauh dari situ, ada seorang amoi Cina juga sedang tercari-cari ruang untuk parking.  Dengan penuh cekap dan bergaya, Dalilah mengundurkan bontot kereta MyVi-nya berwarna ungu pekat itu. Kagum jugalah bila seorang perempuan macam Dalilah boleh reverse parking tanpa perlu adjust dua tiga kali.

Usai mematikan enjin keretanya, berlari Dalilah ke aras stesen LRT Taman Jaya. Dua tiga orang juga yang dirempuh Dalilah tanpa sengaja. Dalilah buat-buat pekakkan telinga apabila seorang makcik India yang dilanggarnya menjerit-jerit penuh kemarahan seperti orang yang kerasukan. Wajah Puan Markonah terseringai jauh lebih mengerikan.

Tercungap-cungap jugalah Dalilah sebaik sahaja dia sampai di platform. Boleh tahan basah jugalah ketiaknya bermandi peluh masam dan masinnya. Mujur jubah yang dipakainya berwarna gelap. Tidaklah nampak tompok basah pada ketiaknya itu. Memalukan. Kepalanya terasa sedikit ringan, gara-gara tidak cukup oksigen yang masuk ke dalam salur darah.

Dalilah memandang pada papan info elektronik yang tergantung. Papan itu memberitahunya ketika itu sudah jam lapan lima minit pagi. Tren seterusnya adalah tren empat koc yang dijangka tiba dalam masa 3 minit lagi.

Dalilah mencongak mudah di dalam kepalanya. Dia perlu sampai di opisnya paling busuk pon pada jam lapan tiga puluh lima. Perjalanan dari Taman Jaya ke opisnya di KL Sentral mengambil masa kurang lebih lima belas minit. Dia tersenyum lega buat kali kedua hari itu; kali pertama adalah apabila dia berjaya mengalahkan amoi Cina mendapatkan ruang parking.

Ramai orang sudah memenuhi platform. Tren dijangka tiba dalam masa seminit lebih lagi. Dalilah mengeluh. Pengalamannya menaiki tren di masa-masa ketika itu bukanlah pengalaman yang menyeronokkan. Tren selalunya sesak dan penumpang terpaksa berhimpit-himpit. Bau ketiak, tak usah cakaplah. Mat Bangla ada, mat Myanmar ada, mat Indon ada, mat Melayu tak mandi pagi pon anda. Saat-saat seperti itu adalah peluang untuk Dalilah menambahkan pahalanya kerana selalunya dia akan beristighfar panjang.

Mata Dalilah bersinar bercahaya apabila tren akhirnya tiba. Tren tidak sesesak yang Dalilah jangkakan. Tidaklah kosong seperti menaiki tren di tengah malam, tetapi tidak pula terlalu sesak macam tin sardin.

Akhirnya tren yang dinanti tiba. Sebaik sahaja pintu tren terbuka, Dalilah melangkah masuk tergesa-gesa. Angin dingin penghawa gerabak menampar wajahnya. Dalilah menarik nafas lega. Dia memandang jam di tangannya dan berasa optimis yang Puan Markonah Saari tidak akan memarahinya pada hari itu.

Sepanjang perjalanan, Dalilah melayan perasaannya seorang diri. Nak sambung bacaan buku #Chenta karya Inche gabbana, rasa seperti tiada mood pula pagi itu. Nak baca al-Quran, apatah lagi. Sekali-sekala itu ada lah gelagat dua tiga orang penumpang yang menarik perhatiannya. Dalilah memang suka memerhatikan orang. Kalau ada pekerjaan yang kerjanya hanya memerhatikan orang lain, sudah lama Dalilah apply.

Tiba di stesen Kerinchi, masuklah seorang penumpang lelaki ke dalam koc yang dinaiki Dalilah. Lelaki itu sudah agak berusia, mungkin di hujung empat puluhan atau awal lima puluhan. Komposisi rambutnya terbahagi dua pada kadar yang agak adil antara rambut hitam dan rambut putih. Wajahnya biasa-biasa sahaja, tidaklah hensem mana tetapi tidak pula buruk atau hodoh. T-shirtnya berkolar dengan corak geometri dan berseluar slack berwarna kelabu berjalur. Lelaki itu juga memakai sebuah beg sandang kulit berwarna perng gelap. Dah oh, dia bercermin mata hitam.

Lelaki itu mengambil tempat betul-betul setentang dengan tempat Dalilah berdiri. Pada mulanya Dalilah tak ambil peduli sangat dengan lelaki itu. Sehinggalah dia merasakan lelaki itu asyik merenungnya.

Dalilah mula berasa tidak selesa. Dalilah cuba untuk berlapang dada. Dia berpusing ke arah kanan supaya kini dia tidak lagi berhadapan dengan lelaki itu. Namun mata lelaki itu tidak beralih, tetap dihalakan tepat pada sosok Dalilah. Dan lelaki itu tersenyum. Senyuman yang membuatkan Dalilah terasa seperti mahu beri penampar percuma pada lelaki itu.

Dalilah berasa jengkel. Geram. Dan marah. Semua perasaan negatif yang boleh difikirkan sedang membuat perhimpunan besar-besaran di dalam diri Dalilah.

Lelaki tua tak sedar diri! Miang! Gatal! Takde sivik ke..?? Kalau hensem takpelah jugaaakkk…!! Eyyyyhhhh! 

Semua itu berlaku di dalam hati Dalilah yang sedang berkecamuk hebat. Tak berani lah Dalilah mahu bercakap sebegitu berdepan-depan. Jatuhlah sahamnya nanti sebab semua orang pastinya akan berfikirlah apa pasal lah makcik seorang ini melalak meroyan macam nenek kebayan. Walaupon hatinya bengkek. Meluat.

Lelaki itu memandang tepat pada Dalilah seolah-olah tiada apa yang salah dan jelik dengan tindakannya itu. Dan dia terus tersenyum, seakan-akan mahu memberitahu satu dunia yang dia sedang menikmati momen-momen itu.

Nasib baiklah stesen KL Sentral sudah tidak jauh lagi. Dalilah tidak sabar untuk berambus cepat-cepat dari koc tren itu. Buat sakit hati sahaja dengan manusia tidak berakhlak sebegitu. Buat tambah dosa sahaja kerana sejak dari tadi Dalilah tidak henti memaki-hamun dan mencaci lelaki itu.

Hasan al-Banna hilang entah ke mana. Istighfar pon sudah entah ke mana. Ke laut Cina Selatan agaknya. Hilang sebentar keakhawatan Dalilah ketika itu. 

“Stesen berikutnya… KL Sentral… KL Sentral…” 

Buat pertama kali dalam hidupnya, Dalilah menghargai suara Yasmin Yusof itu. Dia benar-benar sudah tidak sanggup untuk berada di dalam tren itu. Dia terasa dirinya seperti diraba oleh mata liar lelaki itu. Terasa kehormatan dirinya dinoda oleh mata lelaki yang durjana itu.

Ketika tren semakin mendekati platform, lelaki itu akhirnya mengubah posisinya. Dia berpusing dan menghadap ke arah pintu. Rasa jengkel Dalilah bertambah apabila mengetahui lelaki itu akan turun di stesen yang sama.

Lelaki itu meraba-raba sesuatu dari dalam begnya. Dia membawa keluar sebatang besi berwarna putih yang dilipat-lipat. Perlahan-lahan dia membuka lipatan itu dan menjadikan batang besi itu bertukar menjadi tongkat.

Pucat wajah Dalilah melihat apa yang sedang berlaku di hadapan matanya. Terasa seolah-olah mengalir semua darah yang ada di dalam dirinya. Terasa seperti ada orang yang sedang menampar-nampar mukanya.

Pintu tren terbuka dan lelaki itu keluar dengan tongkatnya memandu arahnya. Ketika itu Dalilah seperti mahu melompat sahaja ke atas landasan LRT.

Dia lebih rela digilis oleh tren berwarna putih empat koc itu.

***

Ada sebuah kereta berwarna marun yang sedang menanti lelaki itu di tepi jalan. Lelaki itu memandang ke kiri dan ke kanan, seperti mahu memastikan sesuatu sebelum dia membuka pintu kereta dan masuk ke dalamnya. 

“Amacam hari ni? Ada bagus? Banyak dapat?” 

Lelaki yang duduk di belakang stereng memulakan perbualan. 

“Bolehlah. Kat Central Market tadi tak ramai pelancong macam biasa. Bolehlah.” 

Lelaki yang kini sudah duduk di tempat penumpang itu menanggalkan cermin mata hitamnya.

Dia tersengih sendiri mengingatkan apa yang dilihatnya di dalam tren sebentar tadi.

Comel jugak budak tudung labuh tadi… 
"Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada."
[al-Hajj, 22:46]

-gabbana-


13 Caci Maki Puji Muji:

Sang Musafir 23/04/2015, 21:15  

Pergh...thorbaek pak cik gabbana..huraian cerita yg sgt complex dan mengasyikkan..mohon tunjuk ajarnya!

Anonymous 23/04/2015, 21:27  

Suke dengan gaya cerita. Seperti biasa inche gabanna berjaya buat cerita pendek tahap gaban. Tahniah dan sile jangan jemu meneruskan penulisan! :)
Tapi apa kaitan dengan tajuk? Ke terlalu deep saya tak paham? ._.

Saya anon di atas 23/04/2015, 21:30  

Eh I mean. Apa kaitan dengan 'buta mata or buta hati'? Kah

Anonymous 23/04/2015, 22:34  

Lelaki yang pura2 buta tu kira buta hati lah. Menipu untuk dapat duit dan usha perempuan. Bukan buta mata pun. Tu la kot maksudnya.

i'm not a robot 24/04/2015, 07:44  

eee...mcm sakit hati je baca cerita pakcik ni..

Anonymous 25/04/2015, 18:00  

Plot menarik.. Ada twist plak di hujung cerita.
Lelaki yang disangka innocent oleh para pembaca itu rupa2nya menipu untuk hidup dan juga mengambil kesempatan di atas 'kekurangan' dirinya itu dengan menjadi mata keranjang.
Walhal, gadis usrah itu pula telah mencaci hamun kepada org yg disangkanya 'nakal' itu dan kemudiannya menyesal kerana bersangka buruk kepada si penipu itu.
Pengakhirannya, kedua2nya dapat dosa disebabkan salah pertimbangan akal dan kegagalan untuk mengawal emosi dan hati.
Tetapi sekurang-kurangnya gadis itu belajar daripada kesilapan dan insiden itu akan menjadi tauladan buat dirinya di masa hadapan.

Unknown 26/04/2015, 23:59  

Deep . Alhamdulillah trimakasih anonymous for ur point of view erm faham serius pendek sangat tapi pack thorbaek

Azizi official 27/04/2015, 00:34  

Moral value; jangan memandang org lain dgn zahirnya sahaja..kena sentiasa husnu dzon..

Anonymous 27/04/2015, 12:37  

Huh..lelaki psiko

Farah Hanim Mohd Alwi 29/04/2015, 00:17  

Plot twist terbaikkkk (y)

mr tom riddle 02/05/2015, 05:05  

Nice plot twist

Anonymous 02/05/2015, 23:34  

Cayalah . Nice story. Keep it up encik gabbana! May Allah bless you.

Cikgu 'Aina 05/05/2015, 12:08  

Nice pakcik banna nice...
Jzkk for the reminder..

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP