Menjadi Dai'e Milo, Murabbi Pampers Dan Rijal Megi
[Kredit] |
Anda masih ingat tak, sewaktu sekolah rendah
dahulu, usai sahaja berarak atau berlari keliling padang semasa hari sukan,
ketika masih berpeluh-peluh masam di bawah sinaran matahari yang terik, apa
benda yang anda cari dan tuju dahulu? Trak Milo yang memberikan air Milo sejuk
dan segar secara percuma itu bukan?
Pergh sumpah epik.
Atau pon masih ingat tak semasa Puan Ibu kita
menukar lampin pakai buang adik bongsu kita yang masih tidak reti lagi mahu
basuh berak sendiri suatu ketika dahulu? Apa yang terlintas di kepala kita?
Pampers bukan?
Ah memori.
Atau masih terngiang-ngiang tak sewaktu di sekolah
asrama dahulu, ketika kita bersengkang mata menelaah pelajaran di saat-saat
akhir sebelum hari hezkem keesokan harinya, tatkala kesejukan malam mencengkam
tulang dan kulit kita? Apa yang kita amat dambakan ketika itu? Megi perisa asam
laksa atau tomyam bukan?
Aduhai sumpah lejen!
Nah, apa persamaan Milo, Pampers dan Megi?
Oleh kerana betapa hebatnya penjenamaan
produk-produk ini, ia benar-benar melekat di dalam otak kita. Oleh kerana
penangan produk-produk ini begitu mengesankan kita, amat sukar sekali untuk
kita melupakannya. Oleh kerana sudah begitu lama produk-produk ini wujud di
dalam kehidupan kita, ia seolah-olahnya sudah sebati dengan kita.
Sehingga semua produk air berperisa cokolat kita
panggil Milo.
Sehingga semua lampin pakai buang kita panggil
Pampers.
Sehingga semua jenis mi segera kita panggil Megi.
Samalah juga dengan produk-produk lain seperti
Kolget, Kiwi (kasut), Nescafe, Taperwer dan burger Ramly. Produk-produk ini
begitu mengesani kehidupan kita, rakyat Malaysia khususnya, sehinggakan semua
produk yang serupa akan dipanggil dengan nama yang sama.
Hampir semua jenis ubat gigi dipanggil Kolget.
Hampir semua bekas makanan plastik dipanggil
Tapewer.
Dan hampir semua jenis burger yang dijual tepi
jalan akan dipanggil burger Ramly.
Memang lejen!
Di dalam bidang pemasaran, ini adalah suatu
pencapaian yang cukup cemerlang dan membanggakan. Masakan tidak? Tidak perlu
bersusah-payah dan berpeluh ketiak, produk-produk ini akan sentiasa mendapat
pemasaran secara percuma sahaja apabila makcik-makcik sibok bersohseh-sohseh di
pasar-pasar pagi atau pakcik-pakcik yang sibok bermain dam haji di kedai-kedai kopi.
Andai kita boleh mengaplikasikan fenomena ini ke
dalam tarbiyah dan dakwah, sehingga dakwah yang kita bawa dan tarbiyah yang
kita perjuangkan begitu mengesani masyarakat, sehingga apabila berbicara
tentang Islam, tentang dakwah, tentang tarbiyah, pasti sentuhan kita dahulu
yang akan bermain di dalam minda mereka. Sehinggakan tarbiyah rabbani yang mahu
kita sebarkan itu benar-benar hidup dengan mereka.
Wah. Itu sangat osem bukan?
Lantas, bagaimana kita boleh jadi sehebat itu?
Bagaimana kita bisa menjadi seorang dai’e seganteng Milo, sehaibat Pampers dan
sehandal Megi?
Saya tidaklah hebat, apatah lagi hensem di atas
jalan tarbiyah dan dakwah ini. Tapi apalah kiranya ijinkan saya untuk
berkongsikan beberapa tips marhaen untuk membantu kita menjadi seorang dai’e Milo,
Pampers dan Megi.
Anda sudah bersedia? Baiklah!
1. Ikhlas
Rasanya tak perlu nak sembang kencang pasal ikhlas
ni. Terlalu banyak dalil, baik dalil Quran mahupon hadith yang menekankan
keutamaan ikhlas dalam diri seorang mu’min, apatah lagi untuk seorang mu’min
murabbi.
Nak jadi dai’e Milo, memang wajib ikhlas. Nak Jadi
murabbi Pampers, konfem kena ikhlas. Dan nak jadi rijal Megi, tiada kompromi
mesti kena ikhlas.
Ikhlas inilah yang menghubungkan kita dengan Allah.
Ikhlas inilah yang mengabsahkan segala amalan dan kerja-kerja dakwah kita. Dan
ikhlas inilah yang menjadikan perjuangan dakwah kita benar-benar mengesani
jiwa-jiwa di luar sana.
Jika kita mahu tarbiyah dan dakwah kita membumi dan
mengakar di dalam hati dan jiwa mad’u-mad’u kita, maka hanya dengan ikhlas kita
sahajalah ia mungkin terjadi.
“Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit, (pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat.”
[Ibrahim, 14: 24-25]
Akar yang kuat itu adalah manifestasi kepada
kefahaman yang jitu pada prinsip-prinsip agama ini, dan kefahaman ini
diterjemahkan pula dengan amal-amal ikhlas yang sampai ke langit sana; itulah
cabangnya yang menjulang tinggi hingga ke langit.
Natijahnya? Buah-buah yang ranum, wangi dan lazat
yang dihasilkan setiap waktu dan ketika! Woah!
2. Amal
Nak jadi Murabbi yang Kolget, amal pon mesti Kolget
jugalah. Maksudnya, jangan bermimpilah kerja-kerja tarbiyah dan dakwah kita
akan mengesani masyarakat andai usaha dan kesungguhan kita ala kadar sahaja.
Tarbiyah dan dakwah kita hanya akan mengesani
jiwa-jiwa di luar sana, apabila kita benar-benar mentarbiyah dan berdakwah.
Bukan hanya pandai berteori dan berbalah di alam maya. Bukan hanya tahu
berkonferens riang dan menjadi pahlawan papan kekunci semata.
Manusia di luar sana perlu melihat sendiri kita di
medan. Mereka perlu merasa sendiri sentuhan kita. Mereka perlu menjadi saksi
kepada kesungguhan dan keseriyesan kita dalam menegakkan agama ini.
“Dan katakanlah, ‘Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga RasulNya dan orang-orang mu’min…”
[at-Taubah, 9:105]
Bukan, bukan untuk riya’. Bukan untuk menunjuk.
Bukan juga untuk takabbur. Nau’dzubillah.
Tetapi anda yang bersungguh-sungguh beramal, yang
dasarnya faham dan asasnya ikhlas, pastilah manusia di luar sana akan dapat
merasakan tempias kerja-kerja anda itu, meskipon anda sendiri tidak pernah
terlintas untuk menunjuk-nunjuk dan mempamerkan perkerjaan anda itu.
Cukuplah Allah dan ar-Rasul yang menjadi saksi!
3. Qudwah/Akhlak
Sepertimana Tapewer, burger Ramly dan Nescafe
mendapat tempat yang spesel dan unik di dalam kalangan jutaan hati para
pelanggannya dek kualiti produk dan bagaimana ia dipersembahkan (Baca: Presentation), para dua’t juga wajib
menitikberatkan aspek bagaimana tarbiyah dan dakwah itu dipersembahkan dan
dijenamakan pada mata mad’u yang beraneka ragam dan perangai itu.
Dan tarbiyah dan dakwah hanya dapat dipersembahkan
dan dijenamakan dengan benar-benar berkesan apabila para dua’t murabbi
mempunyai qudwah yang mantap dan akhlak yang meletop-letop boom bommm
kedabommmm! Eh.
Sejahat-jahat mana pon si Hashimun Olandoboyo si
gengsta jalanan itu, dia pasti akan cair dan tersentuh dengan akhlak kita
apabila kita sanggup berkongsi nasi bungku lauk ikan goring cecah sambal
belacan dengannya.
Sekeji-keji mana pon mulut si Nyonya Mansore itu
mengutuk dan mencerca kita, dia pastinya akan kagum dengan qudwah yang kita
tunjukkan apabila kita bertandang ke rumahnya membawa buah lai Cina
kegemarannya ketika dia sedang demam selsema.
Sekeras mana pon hati si Haruko Murakama sentiasa
menolak dakwah yang kita bawa dengan keras malah mengadu-domba berbohong-dusta
pula tentang kita, dia pasti akan tabik spring respek sama kita andai kita
terus teguh dengan prinsip kita menyebarkan dakwah dengan chenta.
Nah, bukankah ini semua sudah pon ditunjukkan oleh
kekasih hati kita, Muhammad SAW yang terchenta? Maka tidak hairanlah, para
orientalis dan sarjana Barat sendiri mengiktiraf keagungan akhlak dan budi
pekerti baginda, malah terpaksa mengakui bahawa kekuatan akhlak yang
ditunjukkan baginda adalah antara sebab mengapa dakwah Islam boleh pergi begitu
jauh.
“Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung.”
[al-Qalam, 68:4]
Apabila kita berakhlak dengan sebaik-baik akhlak
dan berbudi-pekerti dengan sehebat-hebat budi-pekerti, amat sukar sekali mad’u
di luar sana untuk menolak ajakan kita kepada Islam. Dan musuh-musuh kita juga
akan kehabisan cara dan ketandusan akal untuk memburukkan dan membunuh karakter
kita (Baca: Character assassination).
Paling busuk pon, andai manusia di luar sana tetap
menolak ajakan dan dakwah kita, yang akan mereka kenang sampai bila-bila dan
tak mungkin lupa adalah akhlak kita yang semerbak bunga, seharum chenta. Ewah
kau!
Senyum.
4. Muayasyah
Dalam banyak tulisan saya, saya sering menekankan
kepentingan muayasyah, atau dalam bahasa urbannya, borak bantal ini. Ramai
dai’e murabbi yang kadangkala terlepas pandang betapa signifikannya acara
berborak bantal mesra dengan mutarabbi mereka.
Hanya dengan muayasyah yang hidup dan tulus sahaja
yang akan dapat membuka mangga kunci besar lagi tebal si mad’u. Hanya dengan
muayasyah yang bersungguh dan seriyes sahaja yang akan berjaya merungkaikan isi
hati si mutarabbi yang paling dalam. Dan hanya dengan muayasyah yang terbit
dari hati yang ikhlas sahaja, akan dapat menyentuh sanubari subjek dakwah kita
dengan sentuhan yang benar-benar basah dan berkesan.
Sekiranya kita rajin mentadabbur al-Quran, kita
akan dapati elemen muayasyah ini banyak sekali diamalkan oleh para anbiya’
dalam menyantuni mad’u mereka. Nabi Yusuf a.s. contohnya, bermuayasyah dengan
mad’u rakan sepenjaranya. Atau Nabi Ibrahim a.s. yang bermuayasyah dengan
ayahnya. Atau Nabi Nuh yang bermuayasyah dengan kaumnya. Malah Allah sendiri
bermuayasyah dengan Nabi Musa a.s., seperti yang dinukilkan dalam surah Thaha,
bermula ayat sebelas sehinggalah ayat ketiga puluh enam.
Begitulah besarnya pengaruh muayasyah dalam
mentarbiyah dan berdakwah. Sepertimana Milo yang meninggalkan kesan yang cukup
mendalam ke atas memori kanak-kanak kita, atau Megi yang tidak mungkin kita
akan lupakan kerana menjadi penyelamat kita di sekolah asrama dahulu, atau
Tapewer yang sentiasa menjadi sebutan Puan Mama kerana kualitinya yang tidak
pernah mengechiwakan, muayasyah yang benar-benar efektif akan turut meninggalkan
kesan yang cukup mendalam di dalam jiwa mutarabbi kita.
Wahai!
5.
Pengorbanan/ Mujahadah
Akhirnya, seorang dai’e Milo dan murabbi Kolget itu
tidak boleh tidak, wajib mempunyai kekuatan untuk berkorban dan bermujahadah.
Bukan sehari dua Milo menjadi produk yang begitu femes dan glamor. Bukan
sekelip mata Pampers berjaya menempa nama. Dan bukan semudah alif baa taa
Kolget akhirnya berjaya menambat hati para pengguna.
Hanya selepas melalui pengeluaran demi pengeluaran,
dikritik dan dikomen, diperbaiki dan ditambahbaik, dikaji dan diteliti berulang
kali, produk-produk ini berjaya mencapai suatu tahap kualiti yang unggul
seperti yang kita lihat pada hari ini.
Nah, tiada bezanya hal ini dengan kehidupan kita
sebagai seorang dai’e.
Hanya selepas melalui mehnah dan tribulasi, dikutuk
dan dikeji, dicuba dan diuji, kita dapat bermuhasabah dan mengkoreksi diri. Hanya
setelah melakukan kesilapan, kita akan belajar untuk berjalan di atas
kebenaran. Hanya setelah memijak dasar laut yang paling dalam, kita mampu untuk
menginjak dan berenang laju ke permukaan.
Puitis kan? Eceh.
Semuanya itu memerlukan pengorbanan yang besar dan
mujahadah yang mahal harganya. Kita yang telah melalui kesusahan dan
penderitaan, yang kini lebih matang setelah diuji dan dicuba dengan bermacam
jenis mehnah dan kepayahan, kini pastinya lebih bersedia, bertenaga dam
bersemangat waja untuk menyebarkan ayat-ayat chentaNya!
“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”
[al-Insyirah, 94:5-6]
Fuh.
Cukup mungkin lima tips untuk menjadi seorang dai’e
Milo, Pampers dan Megi. Juga Kolget, Tapewer dan burger Ramly. Eheh.
Semuanya ini dengan ruh kita mahu mentarbiyah dan
berdakwah dengan cara yang paling efektif. Semuanya ini dengan semangat yang
kita mahu melakukan yang terbaik untuk ummah ini! Dan semuanya ini hanya kerana
kita mahu menjadi manusia yang bermanfaat untuk orang lain, sesuai dengan sabda
baginda SAW:
“Dan
sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.”
[Hadith riwayat Thabrani dan Daruquthni]
Selamat menjadi dai’e Megi, murabbi Pampers dan
rijal Megi!
In before,
“Akhi, kalau
nta gi kedai karang tolong belikan ana Pampers sebungkus.”
“Hah?? Nta
nak buat apa..??”
“Entah tu
baca dalam belog Inche gabbana tu, kita kena jadi dai’e Pampers…”
Tepuk dahi.
-gabbana-
Ya, saya tahu. Kena boikot Milo dan Megi tu semua,
sebab produk Nestle.
Sengaja nak jadikan contoh, sebab rakyat Malaysia
memang amat susah untuk berpisah dengan produk-produk Nestle ni kan?
Bacalah antara baris. InshaAllah ada ibrahnya tu.
Senyum.
7 Caci Maki Puji Muji:
Salam.. saya suka cara fikri yg begini... rasanya dalam dakwah pun dah berlaku penjenamaan yg tak rasmi ni
contohnya Jemmah Tabligh tak pernah menamakan jemaah mereka begitu tapi sebab sebutan Tabligh selalu keluar dari mulut jemaah mereka maka dipanggil orang Jemaah Tabligh... mula nya ada yg kurang senang tapi lama kelamaan ianya bagaikan satu anugerah...
saya setuju bahawa seorang dai adalah mereka yg banyak berkorban... dengan korban baru akan merasa kecintaan pada agama
Salam kenal
:-) tahniah ats tips ni En. Gabbana:-)
InsyaAllah. Kita perlu yakin bahawa kita mampu menjadi khalifah di muka bumi ini.
Soalan :
Kalau jemaah yang kita join tu tertutup dan rahsia, perlu ke teruskan juga? Sebab kalau terus join, ...... dapat tahu, akan dibuang ...... terus. Kakak usrah sangat memaksa. Lepastu orang2 yang join jemaah ni dianggap taraf lagi tinggi daripada yang x join.
Bila nak tarik diri, ada yang cakap takpe iman semua orang lain2. Apekah?
Sebab saya baca ipj, lepastu dalam tu cakap kena bawa bulatan gembira. Tapi dalam kes saya kalau bawa bulatan gembira kena join jemaah, lepastu boleh kena buang .........
Betul betul betul . Pengisian yang mendalam IG ^.^ Tabik sepering..
Pasal soalan tu hehe saja nak bg pendapat. Macam kurang setuju je dengan pemikiran akak akak urah tu. Sepatutnya kita bimbing orang nak masuk usrah, bukan main buang kalau tak suka. Lagi satu, usrah atau jemaah patut dihebahkan, supaya lebih ramai yg dpt pendedahan.. Bukan disorok atau dirahsiakan. Tak eloklah kalau nak kedekut ilmu kan. Syurga kan luas.. ^.^
Wallahua'lam ;D
sy setuju dgn cadangan awak, dakwah kalau dibuat mcm kaedah pemasaran pasti melekat dihati ...
semua jenis marjerin saya panggil planta...:D
-CL
Post a Comment