11 January 2020

Allah Itu Tidak Pernah Zalim dan Islam Itu Indah!



Betulkah Islam itu zalim dan kejam? Benarkah syariat Allah itu menyusahkan lagi membebankan? Adakah masuk Islam sahaja, ia beerti seseorang itu perlu jadi sempurna, langsung tiada silap dan cacat celanya?

Mungkin inilah yang banyak bermain dalam fikiran mereka yang jauh daripada Islam; baik orang-orang kafir mahupun mereka yang mengaku diri mereka Muslim sendiri.

Dalam situasi dunia yang menggila dan media yang lebih suka bermain dengan isu-isu yang sensasi, tidaklah hairan pemikiran begini yang dipegang oleh sedemikian ramai manusia, hatta dalam kalangan orang-orang Islam sendiri.

Saya ingin mengajak diri saya dan anda semua untuk melihat beberapa ayat dalam al-Quran untuk menjelaskan salah faham ini dan merungkaikan beberapa keserabutan yang mungkin sudah hampir terikat mati dalam kepala anda itu.

Iyalah, kalau tuduhan Allah itu kejam dan zalim, syariat Allah itu sukar dan menyusahkan itu yang dilemparkan, maka sumber apa lagi yang harus dijadikan rujukan kalau bukan al-Quran, kerana ia adalah kalam Allah sendiri kan? 

Perhatikan ayat ini:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [az-Zumar, 39:53]

Ayat ini adalah antara ayat kegemaran saya kerana ia menceritakan betapa tingginya kasih-sayang dan besarnya pengampunan Allah.

Tetapi ia juga punya maksud tersirat. Ia menggambarkan seolah-olah Allah 'mengiktiraf' bahawa ada manusia yang melampaui batas dengan bermaksiat kepada-Nya. Tetapi adakah Allah membuang mereka ini? Adakah Allah terus mencampakkan mereka ini ke dalam api neraka-Nya? 

Bahkan Allah menjanjikan pengampunan buat mereka yang bertaubat!

Allah Allah!

Perhatikan pula ayat ini; ia mempunyai maksud (ma'ani) yang hampir serupa:
وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ * فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ

"Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di hadapan Tuhannya, serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya." [an-Nazia't, 79:40-41]

Apa yang menarik dan luar biasa dengan ayat ini?

Allah SWT seolah-olah mengiktiraf bahawa manusia itu punya hawa nafsu kerana ia adalah fitrah. Maka yang disuruh kepada manusia adalah mengawalnya, dan bukan mengekang apatah lagi menghancurkannya!

Dan apa balasan buat mereka yang berjaya mengawal - dan bukan menafikan atau menolak terus - hawa nafsu mereka? Sorga ya akhiii!

MaashaAllah!

Bagaimana? Mula terasa indah dan syoknya Islam?

Ayuh kita lihat beberapa lagi potong ayat al-Quran.

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

"Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: 'Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.'" [al-Hasyr, 59:10]

Ayat ini mengandungi antara doa yang paling luar biasa dan seringkali kita dengar diulang baca usai solat berjemaah di mesejid. Apa istimewanya? 

Sekali lagi, Allah 'Azza Wajalla mahu memberitahu kita, bahawasanya manusia itu kadangkala tidak dapat lari daripada sifat fitrahnya' dalam ayat ini, sifat hasad dengki. Maka apa yang perlu kita lakukan? Berdoalah kepada-Nya agar dijauhkan daripada sifat itu!

Banyak lagi ayat-ayat lain dalam al-Quran yang menunjukkan betapa Allah itu sebenarnya sangatlah 'bertolak-ansur' dengan kelemahan dan kekurangan yang ada pada makhluk bernama manusia.

Misalnya, ayat "Janganlah kamu mendekati zina" dan ayat "Hendaklah mereka menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan." Perhatikan perkataan-perkataan yang digunakan.

Jangan mendekati. Tundukkan pandangan. Pelihara kemaluan.

Allah... Indahkan Islam? Cantikkan syariat Allah? Betapa kasih dan sayangnya Allah kepada kita bukan?

Hanya sahaja apabila manusia tetap keras dengan kedegilan mereka, meskipun segala macam seruan kebenaran telah diberikan dan segala macam rahsia penciptaan alam buana telah dijelaskan, dan mereka tetap terus mahu ingkar dan menolak kebenaran, bahawa hanya Allah yang layak disembah dan Muhammad itu pesuruh Allah, hanya ketika itu mereka layak untuk diazab dan dicampakkan ke tempat yang paling hina.

Nau'dzubillahi min zalik.

Tetapi adil bukan? Yang zalim itu adalah manusia yang tunduk pada hawa nafsu dan bujukan syaitan!

Islam itu sebenarnya mudah. Ia tidak memaksa anda untuk menjadi 'orang lain'. Jadilah diri anda yang sebenarnya bersesuai dengan fitrah seorang manusia, tetapi tunduk dan patuh kepada-Nya.

Islam itu indah. Ia tidak menuruh anda melakukan sesuatu yang bertentangan dengan tabi'e dan sifat semulajadi manusia, bahkan syariatnyalah yang menyambung suai kehidupan seharian kita dengan pergerakan alam.

Dan Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala apa yang Dia arahkan dan sediakan untuk manusia di muka bumi ini, tidak lain dan tidak bukan hanyalah sebagai ujian untuk melihat siapakah dalam kalangan hamba-Nya yang dapat merasai kehadiran-Nya dalam setiap keadaan dan ketika, juga sebagai bekalan untuk kita bertemu dengan-Nya di akhirat sana.

Kerana sungguh, Allah amat rindu untuk bertemu dengan para kekasih-Nya dengan para kekasih-Nya yang telah menyerahkan seluruh kehidupannya di dunia untuk berkhidmat kepada agama-Nya!


Senyum.

-gabbana-

InshaAllah sedang warming-up untuk PBAKL 2020. Maka kena paksa diri untuk rajin menulis semula. Eheh. Doakan!


4 October 2019

Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!

[Kredit]
Kita seringkali mendengar sepotong hadith "Doa itu senjata bagi orang mu'min." Sama ada didendangkan di ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah, atau diucapkan berapi-api di konferens-konferens riang atau demonstrasi solidariti Plaestin dan Syria. Kot.

Tetapi sejauh mana kita benar-benar memaknai hadith ini?

Pertama-tama sekali, penting untuk kita memahami konsep doa itu sendiri. Doa itu berasal dari perkataan 'da'a' yang bermakna menyeru atau memanggil. Doa dan dakwah mempunyai kata akar yang sama.

Jadi apabila kita berdoa kepada Allah, sebenarnya kita sedang 'menyeru' Allah untuk mendengar rintihan, permintaan dan aduan kita kepada-Nya. Doa sebagai satu bentuk ibadah, mempunyai martabat yang tinggi di sisi Allah. Hal inilah yang seringkali teralpa daripada benak fikiran kita, yang tidak melihat doa itu sebagai satu bentuk ibadah, tetapi hanya satu ritual selepas solat atau talian hayat ketika kita berada dalam keadaan yang sukar atau mendesak.

Salah satu salah faham yang terbesar tentang doa adalah kita sering menyangka yang doa itu sifatnya mesti 'meminta'. Meminta kepada Allah untuk sebarang hajat dan niat. Minta agar diampunkan dosa. Minta untuk dipanjangkan usia. Minta untuk dimurahkan rezeki. Minta untuk bertemu jodoh pilihan hati yang tidak meminta mas kahwin yang tinggi. Eh.

Tetapi doa lebih besar dari sekadar kita meminta-minta daripada Allah.

Doa itu adalah satu dialog antara kita dan Allah. Ia adalah perbualan mesra antara seorang hamba dengan kekasih agungnya. Ia adalah aduan, rintihan dan keluhan seorang makhluk yang lemah kepada Rabbnya yang Agung lagi Perkasa. Ia bukan sahaja diluahkan ketika susah dan tersepit, tetapi juga ketika senang dan lapang.

"Berdoalah kepada Tuhanmu di saat kamu senang (bahagia). Sesungguhnya Allah berkata, 'Barangsiapa berdoa (memohon) kepada-Ku di waktu dia senang (bahagia), maka Aku akan mengabulkan doanya di waktu dia dalam kesulitan.'"
(HR Ar-Rabi')

Di dalam al-Quran, Allah telah mencatatkan begitu banyak doa yang diungkapkan oleh para anbiya' kekasihNya, juga doa-doa yang diajarkan sendiri oleh Allah untuk diamalkan kita. Seolah-olahnya Allah mahu memberitahu kita, berdialoglah dengan-Nya kerana Dia amat mendambakan para hamba-Nya untuk berbual mesra dan mengadu chenta pada-Nya!

Kembali kepada hadith:
لدُّعَاءُ سِلاحُ الْمُؤْمِنِ

Apabila berbicara tentang senjata, apa yang terlintas di fikiran kita? Senjata itu digunakan untuk menyerang bukan? Tetapi kadangkala kita terlepas pandang; senjata juga digunakan untuk mempertahankan diri.

Demikianlah sifat doa.

Ia bukan sahaja senjata untuk 'menyerang' tetapi juga senjata untuk 'mempertahankan' diri kita.

Apa contoh doa itu sebagai satu bentuk serangan?

Selain doa agar Allah menghancurkan musuh-musuh Islam dan pakatan jahat yang menzalimi umat Islam di samping agar Allah memenangkan gerabak dakwah yang mahu memenangkan agama ini, sebenarnya doa sebagai satu tindakan yang ofensif mempunyai makna dan aplikasi yang lebih meluas.

Misalnya, kita berdoa agar Allah melembutkan dan membuka hati mak dan ayah kita untuk lebih menerima Islam dan menerima serta menyokong kerja-kerja dakwah kita. Itu juga satu bentuk 'serangan.'

Atau kita berdoa agar Allah menghantar Makcik Hidayah menempeleng mad'u yang sedang kita santuni agar mereka menyertai gerabak dakwah dengan riang dan gembiranya. Itu pon satu bentuk 'serangan' sebenarnya.

Atau kita berdoa agar Allah tautkan hati para penggerak dakwah dan kurangkan pergeseran dan pergaduhan, lembutkan hati dan rapatkan saff mereka. Itu juga, bagi saya, adalah satu bentuk 'serangan.'

Bagaimana pula doa sebagai satu bentuk pertahanan?

Apabila kita berdoa agar Allah tetapkan hati kita di atas agama ini dan terus istiqamah di atas manhaj-Nya.

Tatkala kita bermunajat kepada-Nya, agar dikuatkan hati berhadapan dengan pelbagai jenis dugaan dan ujian, mehnah dan tribulasi.

Ketika kita menanges-nanges mengangkat tangan di waktu sahur yang hening, dengan seikhlas hati mengadu pada-Nya, agar diberikan keteguhan iman dan kemantapan jatidiri untuk terus berdakwah dan menyebarkan kebenaran. 

Itulah doa dalam bentuk pertahanan. Dan pertahanan yang kita minta itu bukan calang-calang bentuknya; ia adalah pertahanan terkuat kerana bersumberkan daripada-Nya!

Hanya setelah kita berjaya memaknai doa ini sebagai satu bentuk serangan dan pertahanan pada masa yang sama, baharulah kita dapat memahami konsep doa itu adalah senjata bagi orang-orang yang beriman. 

Malangnya, ramai daripada kita yang meremehkan kepentingan dan kehebatan berdoa ini. Merasakan tidak ada pentingnya berdoa dalam melengkapkan usaha-usaha yang telah kita lakukan. Atau pon tidak serius dalam berdoa dan tidak menghayati setiap bait doa yang kita lafazkan. 

Rugilah sekiranya kita punya mentaliti sebegitu rupa. Sedangkan Allah SWT telah berjanji di dalam al-Quran:

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran." 
(al-Baqarah, 2:186)

Seperti tidak cukup dengan satu ayat itu, Allah berfirman lagi:

"Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku akan perkenankan bagimu..."
[al-Ghafir, 40:60]

Sebagai dua't yang sentiasa 'bertempur' di medan untuk menyebarkan al-haq dan menegakkan kebenaran, pada masa yang sama terpaksa pula bertarung dengan musuh-musuh Islam dalam bentuk taghut dan jahiliyyah, alangkah ruginya andai kita tidak melengkapkan kelengkapan perang kita dengan senjata ampuh yang telah Allah khususkan buat orang-orang yang beriman; itulah doa. 

Imam al-Banna, ketika ditanya apakah rahsia kejayaan dakwahnya. Beliau menjawab:

"Aku berdakwah kepada mereka di siang hari dan aku berdoa untuk mereka di malam hari."

Padu bak hang!

Sekiranya kita telah memberikan usaha yang sebaik dan seikhlas mungkin dalam dakwah ini, ditambah pula dengan doa yang bersungguh-sungguh sebagai penguat jiwa dan pelengkap usaha, tidak mustahil, dakwah kita itu berupaya menggegarkan seluruh alam buana ini lebih dahsyat dari sebutir bom nuklear! 

Nah persoalannya sekarang... Sudahkah kita berdoa? 

-gabbana- 

Meskipon ada perbahasan dalam kalangan ulama' tentang status hadith 'Doa adalah senjata orang mu'min', saya tidak mahu menyerabutkan kepala anda semua dengan perinciannya. Cukuplah kita mengambil makna yang baik daripada hadith ini. Moga ada manfaatnya!

Anda boleh baca tulisan-tulisan saya yang lain tentang doa di sini:


Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP