29 July 2016

Tiada Bumi Yang Menyekat, Tiada Seksaan Yang Menggugat!

[Kredit]

Pinjam tagline Muassis sat. Ehehe.

Sebenarnya, Muassis pon ambil kata-kata ini dan olahnya dari buku al-Muntalaq, tulisan Syaikh Muhammad Ahmad ar-Rasyid (Syaikh Muntalaq) di dalam bab Kriteria Generasi Pengasas. Ehem.

"Ada dua hakikat nyata yang sentiasa menjadi ciri dai’e Islam sejati, mereka akan hanya hidup bahagia bila di berada di bawah naungan kedua-duanya:

1. Tiada bumi yang menyekatnya
2. Tiada penyiksaan yang menggerunkannya.

Dua hakikat ini sentiasa diulang-ulang dalam nasyid mereka: 

Kamilah gerombolan Allah,
Agamanya itulah tanah air (watan) kami,
Kamilah adalah tentera Rasul yang telah dipilih-Nya segala ujian terasa ringan bagi kami!

Dai'e Islam sebenar, akan sentiasa bekerja walau di mana pon dia berada dan ke mana pon dia diusir. Dia langsung tidak rindu dan teringat kepada mana-mana tanah. Dia tidak sempit seperti orang lain dengan batas sempadan yang diada-adakan oleh penjajah. Dia merasai seluruh umat Islam adalah saudaranya. Jika dia tidak mengembara berjalan kerana dakwah, kemungkinan pada masa itu disebabkan kerana dia dipenjara. Maka penjara pada masa itu adalah pengembaraan rohani dan pemikirannya. Hinggakan apabila dia digantung, maka rentapan tali gantung itu sebenarnya mengangkatnya ke tempat yang mulia dan indah di dalam sorga." - Kriteria Generasi Pengasas, Al-Muntalaq
 
***

Sekali lagi kita akan menelusuri sejarah hidup Nabi agung Allah, Musa AS. Sekiranya anda sudah mengikuti belog ini sejak sekian lama (Baca: Pengikut boleh tahan tegar), anda pasti akan terperasan yang Musa AS seringkali menjadi watak utama dalam banyak penulisan saya. 

Tidak lain dan tidak bukan, kerana Allah SWT sendiri banyak sekali menyebut nama Musa di dalam kitab agung-Nya. Malah, Nabi Musa AS adalah nabi yang paling banyak disebut namanya di dalam al-Quran. Sudah tentunya setiap perkataan dan kisah yang Allah nukilkan di dalam al-Quran bukan sia-sia. Maka apabila Allah berulang-kali mengisahkan perjalanan hidup Musa di dalam al-Quran, sudah pasti ada ibrah dan hikmah besar yang ingin Allah tonjolkan. 

Di dalam al-Quran, Allah menceritakan bagaimana Musa yang masih lagi kecil telah dihanyutkan oleh ibunya di Sungai Nil dan dengan kuasa dan iradah-Nya, dipungut oleh keluarga Firaun dan dibesarkan di dalam istana Firaun.

"Dan Kami ilhamkan kepada ibunya Musa, 'Susuilah dia (Musa) dan apabila kau khuatir terhadapnya maka hanyutkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kau takut dan jangan (pula) bersedih hati, sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan menjadikannya salah seorang Rasul.'

Maka dia dipungut oleh keluarga Firaun agar (kelak) dia menjadi musuh dan kesedihan bagi mereka. Sungguh, Firaun dan Haman bersama bala tenteranya adalah orang-orang yang bersalah.

Dan isteri Firaun berkata, '(Dia) adalah penyejuk mata hati bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan dia bermanfaat kepada kita atau kita ambil dia menjadi anak,' sedang mereka tidak menyedari."
[al-Qasas, 28:7-9]

Ramai orang yang apabila membaca kisah Musa AS dibesarkan di dalam istana Firaun, mereka hanya membacanya sekali lalu sahaja; sebagai fakta yang berdiri sendiri tanpa ada apa-apa signifikannya. Seolah-olah ia adalah penambah perisa yang menambah seri atau drama kepada keseluruhan kisah perjalanan nabi Allah yang agung Musa. Namun sebenarnya, ia punya pengajaran yang sangat osem dan bergaya. Malah tunggulah nanti saya kongsikan dengan anda, anda pasti rasa tak percaya dan rasa seperti mahu lari sekeliling kompaun rumah anda sambil menjerit-jerit mengangkat tangan penuh gembira. Eheh.

Seperti yang diketahui umum, Nabi Musa AS berasal dari bangsa Yahudi. Dan di zaman Firaun, bangsa Yahudi adalah bangsa hina yang diperhambakan oleh Firaun dan bangsanya (bangsa Qibti).

"Sungguh, Firaun telah berbuat sewenang-wenangnya di bumi dan menjadikan penduduknya berpecah-belah; dia menindas segolongan dari mereka (Bani Israil), dia menyembelih anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak perempuan mereka. Sungguh dia (Firaun) termasuk orang yang berbuat kerosakan."
[al-Qasas, 28:4] 

Tidaklah diketahui sejak bila bangsa Yahudi diperlakukan sebagai hamba. Namun yang pasti, bangsa Yahudi mula memasuki dan menduduki Mesir di zaman Nabi Yusuf AS ketika baginda dilantik menjadi Perdana Menteri (ada yang mengatakan Menteri Kewangan) Mesir ketika itu. 

Oleh sebab posisi bangsa Yahudi sebagai hamba di zaman Firaun itulah, mengapa fakta yang Nabi Musa AS dibesarkan di istana Firaun itu adalah suatu fakta yang cukup menakjubkan.

Pertamanya, Alah SWT ingin menunjukkan kepada kita, betapa Maha Berkuasa dan Maha Perkasanya Dia. Bagaimana Firaun, seorang raja yang hebat dan sangat berkuasa, yang telah merencana untuk membunuh semua anak lelaki bangsa Yahudi, akhirnya terkalahkan oleh perencanaan Allah. Bukan itu sahaja, Allah SWT seolah-olahnya ingin 'menganjing' Firaun dengan menghantar Musa ke istananya sendiri; manusia yang diramalkan akan menghancurkan kerajaan Firaun dibesarkan oleh Firaun sendiri!

Hal ini sewajarnya menjadi pengajaran besar buat para dua't ilallah. Sebesar dan sehebat mana pon ancaman atau ugutan yang dilontarkan kepada mereka, tiada apa yang dapat menghancurkan usaha dan menyekat kemaraan mereka selagi mana mereka berada di dalam perlindungan Allah. Tiada apa yang boleh menakutkan mereka. Tiada apa pon yang boleh menghalang mereka daripada terus menyampaikan kebenaran jika Allah tidak mengizinkannya.

Ia seharusnya menjadi motivasi iman dan penguat semangat para dua't untuk terus beriltizam dengan dakwah dan bermujahadah sehingga ke titisan darah yang terakhir kerana sungguh, tiada bumi yang menyekat dan tiada seksaan yang menggugat!

Tudiaaaa.

Dan kedua, Allah SWT mahu Musa AS membesar dalam suasana yang jauh dari mentaliti seorang hamba. Musa, yang suatu hari nanti ditakdirkan akan memimpin bangsanya, telah mendapat kelebihan yang tidak dijangka-jangka apabila hidup dan membesar di istana Firaun. Fikirkan, dari mana Musa mendapat kemahiran memimpin bangsanya? Dari mana Musa mendapat keberanian dan kemahuan untuk menggalas tugas membimbing Bani Israil berhadapan dengan Firaun yang gagah perkasa itu?

Ya, di dalam istana Firaun.

Membesar melihat ayahnya* (Firaun) memerintah. Berlanggar bahu dengan para pembesar istana. Belajar di istana bersama adik-beradiknya yang lain. Keluar memburu bersama Firaun dan para hulubalang istana. Semua ini pastinya memberikan Musa AS suatu pengalaman yang cukup berbeza dan berguna, yang tidak mungkin diperolehinya seandainya dia tinggal dan membesar bersama bangsanya.

(*Nota: Fikirkan. Isteri Firaun mengambil Musa sebagai anaknya sendiri. Bukankah itu menjadikan Firaun sebagai ayah Musa?)

Yang lebih utama dari itu semua, Allah SWT mahu membebaskan Musa AS dari mentaliti dan pemikiran seorang hamba. Ini adalah karakter yang sangat penting yang diperlukan Musa untuk memimpin dan membimbing bangsanya. Bayangkan seandainya Musa dibesarkan dalam persekitaran perhambaan, yang mana bangsanya ditindas dengan sangat dahsyat oleh Firaun. Boleh jadi Musa akan menjadi sama sahaja seperti orang-orang Yahudi yang lainnya; penakut, tidak berkeyakinan, lemah semangat dan hanya menurut perintah. 

Hanya dengan pemikiran yang bebas seperti itulah, Musa AS dapat merencana dan merancang halatuju bangsanya. Hanya dengan keberanian dan pengalaman yang ada pada Musa AS sahajalah, Bani Israil cukup yakin dan percaya kepada Musa untuk memimpin mereka. Maka bukan kebetulan Musa AS dihanyutkan ke Sungai Nil, sampai ke istana Firaun dengan selamat dan membesar dengan sihat dan kuat di dalam istana musuhnya sendiri. 

Tidaklah saya nafikan bahawa Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Boleh sahaja Musa tetap lahir dan membesar dalam kalangan bangsanya dan kemudian tetap menjadi Nabi dan pemimpin kepada Bani Israil. Tetapi sama seperti ibrah kelahiran Nabi Muhammad SAW di tengah-tengah masyarakat Arab yang jauh dari ketamadunan dunia ketika itu, setiap sesuatu yang berlaku itu pasti ada hikmahnya bukan?  

Ha, kan saya dah cakap? Lepas dah tahu apa sebab Musa AS dihantar oleh Allah untuk membesar di dalam istana Firaun, anda jadi sangat teruja tidak terpercaya bukan? Eheh.  

Op nanti dulu. Kita takkan hanya mahu berhenti di situ sahaja bukan? Pasti ada kaitannya dengan kehidupan kita pada hari ini bukan? 

Seorang dai'e itu tidak mungkin dapat membawa perubahan yang besar dan signifikan dalam masyarakat andai pemikirannya tidak bebas; tidak bebas dalam erti kata masih lagi terikat dengan jahiliyyah-jahiliyyah pemikiran dan sebahagian adat yang akan membantutkan dan menghalang dari seruannya tersebar luar. Apatah lagi andai dia masih terikat dengan kebiasaan atau tabiat bangsanya yang buruk dan menjelikkan.

Misalnya, sekiranya dia lahir dalam kalangan bangsa yang malas, yang suka menyalahkan orang lain daripada bermuhasabah kelemahan sendiri, yang suka makan dedak, yang mudah tertipu dengan pujuk rayu dan janji manis, yang lebih gemar mengharapkan ihsan belas orang lain dari berusaha sendiri, yang suka mungkir janji dan entah macam-macam lagi, kemungkinan besar dia juga akan mewarisi sedikit sebanyak sifat-sifat itu.

Mata pandang ke tepi buat-buat tidak bersalah. 

Seorang dai'e itu juga tidak mungkin dapat mencipta suatu revolusi perubahan yang meninggalkan impak yang besar dan mendalam sekiranya mentalitinya dipengaruhi dan terikat dengan ideologi-ideologi lain selain dari Islam yang syumul. Baik liberalisme, utilitirianisme, kapitalisme, komunisme, sosialime dan entah apa-apa -isme yang lainnya, semuanya itu tidak mungkin dapat menggerakkan ruh dan seluruh jiwa raga seorang dai'e itu untuk memimpin umatnya menuju kebenaran yang hakiki.

Perhatikan kata-kata saya dengan cermat dan teliti; saya tidak menyatakan salah untuk belajar dan mengkaji ideologi dan pemikiran-pemikiran yang ada. Yang saya katakan adalah 'dipengaruhi' dan 'terikat' dengan ideologi dan pemikiran tersebut sehingga menghalang seorang dai'e itu untuk bergerak dengan lebih laju dan jauh. 

Mungkin sebab itulah Imam Hasan al-Banna mensyaratkan untuk para mujahid dalam kalangan ikhwan itu mempunyai sifat 'tajarrud' dalam dirinya; yakni membebaskan dirinya secara total dari fahaman dan ideologi lain selain dari Islam, dan berpaut dan berpegang teguh dengan Islam semata-mata.

Perhatikan apa yang al-Banna sebut sebagai tajarrud: 

"Tajarrud ialah anda memberikan tumpuan sepenuhnya kepada fikrah atau gagasan anda dan anda ketepikan semua prinsip dan tokoh lain selain daripada gagasan anda kerana gagasan anda adalah yang paling mulia, paling lengkap dan paling tinggi."

Fuh.

Maka sudah terang lagi bersuluh, betapa Musa AS dihantar dan dibesarkan di istana Firaun bukan saja-saja apatah lagi suka-suka. Tetapi ia punya hikmah dan ibrah yang cukup hebat dan manis. Ia memberi ruang kepada Musa AS untuk membebaskan pemikirannya daripada mentaliti hamba yang mungkin akan mempengaruhi perjalanan hidupnya sebagai seorang Nabi dan Rasul. Ia juga memberi peluang kepada baginda untuk belajar banyak perkara daripada Firaun, yang akhirnya dengan kemahiran dan ilmu yang dipelajarinya itu akan menghancurkan Firaun dan kerajaannya.

Memang cukup perisa untuk buat drama. Eh.

Dai'e sejati, seperti Musa AS, mempunyai jiwa dan fikiran yang bebas dan hidup. Hanya dengan itu sahajalah dia dapat membebaskan umatnya dari belenggu taghut dan jahiliyyah yang mencengkam dan hanya dengan itu sahajalah dia dapat menghidupkan kembali hati-hati manusia di sekelilingnya yang telah lama mati! 

Kerana sungguh, untuk mereka pada dua't sejati ini:

TIADA BUMI YANG MENYEKAT, TIADA SEKSAAN YANG MENGGUGAT!

-gabbana-

9 Caci Maki Puji Muji:

Ninja Sado 11/08/2016, 16:34  

Ya betul, betapa saya terinspirasi dengan penulisan akh. Jzkk.

mr asdfghjkl 20/08/2016, 16:31  

Teruskan menulis akh, moga Allah terus limpahkan idea2 bernas utk akh smpaikan ilmuNya melalui tulisan akh

Anonymous 28/08/2016, 00:37  

Kwn non-muslim sye tanye, kalau sblum kdtngn islam wanita x diangkat darjatnya, dibunuh dgn kejam dan x dilayan dgn adil... Mcm mna saidatina khadijah boleh jd usahawan yg kaya raya sdgkan dia tu seorang wanita?

raihanah 13/09/2016, 09:54  

subhanallah, thanks untuk peringatan ini

matdin 14/09/2016, 08:02  

wahh.. ramainya follower.. hehe..

jom jenguk sini ya.. hehe

Anonymous 19/09/2016, 23:31  

Terkejut saya bila nampak gambar bergerak.Ingatkan khayalan saya.hehehe.Anyway,bertambah lagi ilmu saya.


HS

Nadh 25/09/2016, 17:33  

Good work! Seronok baca penulisan anda, tak sabar nak tunggu penulisan seterusnya.

Wan Syahida Kahar 11/10/2016, 09:22  

Banyak benda baru saya belajar daripada entry nie. Especially tentang Nabi Musa n Firaun. Kaitannya dengan daie kini. Tq for sharing.

Muhammad Ammar 21/10/2016, 12:49  

Kenapa inche gabbana berhenti menulis?
X sekerap dahulu

Related Posts with Thumbnails
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh...

Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang Agung."

-At Taubah, 9:111

  © Blogger template 'Ultimatum' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP